Wednesday, May 18, 2011

Fitnah Dalam Politik dan Fitnah Dalam Sastera (bahagian II).

Bolehkah kita kemukakan satu soalan yang mungkin boleh mengejutkan para sasterawan, yang berbunyi: Mengapa kita tidak boleh berkata institusi anugerah sastera negara adalah satu bentuk (antara beberapa bentuk) fitnah dalam sastera Melayu moden?  Dengan cepat seseorang akan berkata, soalan itu bermotif jahat, berniat jahat, bermaksud jahat, tidak jujur dan sengaja mencari fasal. Yang akan berkata begitu tentulah, sudah pasti, orang yang tidak membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara, tidak meneliti karya-karya yang diangkat untuk memenangi anugerah itu dengan kritis dan mendalam, dan tidak mempunyai pendirian yang tegas dan jelas dalam menentukan ukuran yang bagaimana yang seharusnya digunakan dalam menentukan bernilai tidaknya sesuatu karya sastera. Seseorang yang telah membaca laporan panel mungkin akan memberi reaksi yang sama seperti yang tidak membacanya, tetapi mungkin akan lebih bersedia untuk mendengar hujah yang dikemukakan untuk menjawab soalan itu.  Soalan itu ditujukan kepada orang-orang yang cerdik dan bersedia untuk membahaskan aspek ini dengan hati terbuka, tanpa prasangka. Jika seseorang mempunyai prasangka buruk sebaik saja dia mendengar soalan itu, maka yang ditonjolkannya ialah kualiti peribadinya sendiri. Sekarang kita lihat beberapa perkara yang memang sudah sering dibicaraka dalam konteks lain, tetapi belum diberi perhatian kerana tidak ada apa-apa kejutan yang boleh mendorong seseorang yang terkejut memberikan reaksinya. 

Kita lihat dalam fitnah politik, fitnah bercorak seks yang dikenakan ke atas seseorang musuh politik menjadi hujah yang berkesan dan berkuasa, dengan sokongan mahkamah, untuk menjatuhkan maruah seseorang ahli politik. Menurut Ku Li, seorang tokoh besar UMNO, fitnah ini adalah sejenis politik longkang yang menjijikkan. Lama kemudian, ketika merayakan penubuhan UMNO 65 tahun, seorang yang digelar “ulama muda”, anak bekas mufti Perlis, mengkritik politik longkang itu sambil meminta para pemimpin (UMNO dan bukan UMNO) berhenti daripada melakukannya kerana bertentangan dengan ajaran Islam. Tentu saja UMNO marah dan menentang nasihat itu, kerana bukan tugas “ulama muda” memberi nasihat kepada para pemimpin UMNO yang memang terkenal jujur dan telus. Kata “ulama muda” tadi, nasihat beliau tidak disiarkan dalam mana-mana akhbar “perdana” (menteri?). Oleh sebab fitnah adalah satu pembohongan dan maksudnya tetap jahat, maka fitnah tidak mungkin dijadikan hujah untuk menegakkan kebenaran. Malah Khalifah Sayidina Umar al-Khattab yang megintip seorang lelaki yang berduaan dengan seorang perempuan di rumahnya, ditempelak keras oleh lelaki itu; dan Sayidina Umar tidak mengasarinya kerana hujah yang digunakan oleh lelaki itu memang benar dalam pandangan Islam.  Cuma di sini Sayidina Umar tidak berniat dan tidak bermaksud jahat ketika mengintip, tetapi perbuatan itu tetap salah walaupun maksudnya baik. Ada peraturan lain yang perlu diutamakan dan dipakai dalam keadaan demikian. Orang yang diintai dan Sayidina Umar sendiri tahu apakah peraturan itu. Dengan keputusan yang diambil oleh Sayidina Umar untuk tidak mengambil tindakan, maka dia tidak dapat dikatakan telah membuat fitnah, walaupun orang yang diintainya telah melakukan kesalahan besar dalam Islam.

Dalam kes “Lingam Tapes”, kita mungkin tidak terfikir bagaimana seorang Perdana Menteri boleh menipu rakyat dan para hakim dengan campur tangan secara langsung dalam kenaikan pangkat para hakim, dengan dibantu oleh dua orang Ketua Hakim Negara yang kedua-duanya bergelar “Tun”, seorang peguam yang menjadi peguam belanya yang bernama Lingam, seorang ahli perniagaan yang mendapat banyak faedah daripada kerajaan, dan seorang ketua UMNO yang menjadi Setiausaha Agung UMNO. Kalau kita tidak boleh percaya mereka tidak melakukannya, bererti kita menolak keputusan Suruhanjaya Diraja yang memeriksa kes ini, dengan itu kita memutuskan yang berbohong bukanlah kumpulan “enam jahanam” tadi, tetapi anggota Suruhanjaya Diraja sendiri. Katalah kita memilih yang kedua, maka ini pun suatu perkara yang sangat aneh, yang tidak masuk akal, yang nantinya akan membuat kita meragui semua suruhanjaya diraja yang telah ditubuhkan. Berapa banyak di antara suruhanjaya itu yang berbohong? Tidak mungkinkah terjadi andaian ketiga, iaitu kumpulan “enam jahanam” dan Suruhanjaya Diraja sendiri kedua-duanya berbohong? Semua ini berlaku kerana kita sedar kita telah tertipu beberapa kali. Dalam sastera pun begitu. Kita sering kali membaca komentar perihal para juri bersikap berat sebelah, tidak adil dan pilih kasih. (Terbaru, lihat komentar dalam Berita Harian, 17/5/2011). Jika anda juga meragui kejujuran saya, maka anda seorang yang normal. Kebebasan itu hak anda yang tidak boleh saya ganggu-gugat.  Tetapi adakah dengan sangkaan itu anda telah menyatakan suatu kebenaran?  Inilah yang boleh diperdebatkan dan dalam konteks inilah kita akan berdebat tentang kedudukan Panel Anugerah Sastera Negara.

Dilihat dalam konteks ini, mengapa kita tidak boleh meragui institusi anugerah sastera negara? Dalam kes “Lingam Tapes”, kita diberitahu peguam yang jadi peguam bela ahli perniagaan itu menulis keputusan hakim yang diwakili Ketua Hakim Negara. Jika dalam kumpulan manusia yang sepatutnya kita tidak ragu sama sekali integriti mereka, boleh melakukan kejahatan yang tidak terfikirkan oleh kita, maka bagaimana kita boleh mengecualikan Panel Anugerah Sastera Negara untuk cenderung melakukan kesalahan yang kita tidak nampak kerana kita tidak meneliti laporan mereka dengan kritis? Dalam hal ini, laporan mereka menjadi sumber rujukan analisis yang cukup kuat dan berwibawa untuk dijadikan asas analisis dan penilaian kita.  Dalam hal ini, yang penting ialah sama ada pertimbangan itu berasaskan fakta dan pertimbangan akal yang baik, bukan berasaskan sangkaan dan perasaan semata-mata. Dengan fakta dan pertimbangan akal sihat, kita dapat menjauhkan sebarang kecacatan dalam kesimpulan yang kita buat. Orang mungkin tidak bersetuju, tetapi kita telah menyediakan mereka asas-asas untuk mereka bersetuju atau tidak bersetuju. Itulah antara ciri tulisan yang baik dan saksama. Dalam penilaian karya sastera pun begitu juga; dan dari segi inilah kita akan berbicara tentang aspek fitnah dalam sastera Melayu. Sekiranya Panel Anugerah Sastera Negara telah mengemukakan asas-asas analisis dan penghujahan mereka untuk diterima atau tidak diterima, maka kita berhak membahaskannya dengan kritis dan menolaknya jika kita mempunyai asas analisis dan penghujahan yang lebih kukuh, yang perlu kita buktikan dalam tulisan kita.

Sekarang kita lihat apakah yang ditulis dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Kita tidak perlu melihat semua laporan, kecuali jika anda seorang yang kerjanya membaca laporan kerana itulah sumber pendapatan anda, misalnya kerana kedudukan anda sebagai seorang pensyarah universiti dalam bidang sastera.  Sekiranya anda tidak pernah membacanya (yakni laporan itu), maka anda mempunyai kesempatan yang luas terbuka untuk meninggalkan bidang itu, kerana universiti tidak mahu pensyarah yang tidak membaca atau tidak suka membaca, seperti yang anda tahu (tentu saja anda perlu tahu.)  Jika anda mempunyai sikap negatif terhadap ilmu, dan tidak dapat membezakan mana sumber yang penting mana pula yang tidak penting, maka anda akan menulis sebuah buku kritikan sastera seperti terbitan DBP (2003) berjudul, Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan. Buku itu mengetepikan saja laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Para penulis buku itu tidak dapat mengesan betapa besarnya kesan negatif laporan itu terhadap perkembangan kritikan dan perkembangan ilmu di Malaysia. (Sila rujuk Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, bab 4. Rujuk juga bab 3 untuk mengetahui latar belakang kritikan sastera di Malaysia.) (Bahagian akhir akan menyusul ...)

Monday, May 16, 2011

Fitnah Dalam Politik dan Fitnah Dalam Sastera


Politik Malaysia beruntung dengan munculnya Dr. Mahathir Mohamed sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.  Selama 22 tahun berkuasa, yang hampir mutlak sifatnya, Dr. Mahathir Mohamed meninggalkan tiga warisan penting untuk orang Melayu:  (1) demokrasi Mahathir yang membenci Islam (ada yang sebut yang anti-Islam);  (2) kekayaan negara yang digunakan sepenuhnya untuk kemewahan peribadi, anak-beranak dan kroni; (3) budaya fitnah dalam politik Melayu yang bermula dengan penyingkiran Anwar Ibrahim. 

Penyingkiran Anwar Ibrahim dilakukan dengan segala strategi jahat yang tidak pernah berlaku di Malaysia sebelum ini. Kejahatan itu akhirnya dijadikan budaya politik baru dalam UMNO dalam kerajaan Barisan Nasional, dan nampaknya diterima dengan baik oleh sebahagian rakyat yang menyokong UMNO/BN. Demikianlah fitnah diangkat ke taraf perdana sebagai senjata politik untuk mengaibkan pemimpin politik yang dimusuhi. Kejayaan besar Dr. Mahathir Mohamed ialah memperkenalkan istilah liwat dalam masyarakat Melayu dan Malaysia. Jika sebelumnya amat jarang kita dengar kes liwat dan perkataan ini digunakan dalam akhbar, tetapi selepas dipopularkan oleh Dr. Mahathir Mohamed, liwat diterima oleh akhbar dan masyarakat sebagai perkara biasa yang menjadi kebanggaan Malaysia. Waktu ini kita dapati Kuala Lumpur dijadikan pusat para peliwat yang melawat negara ini untuk mendapat perkhidmatan itu hasil dari promosi yang dimulai oleh Dr. Mahathir Mohamed setelah berjaya menjadikan Anwar Ibrahim seorang peliwat dan disahkan oleh mahkamah. Paling penting dalam pembudayaan liwat ini ialah terpenjaranya Anwar Ibrahim selama sembilan tahun kerana mahkamah mengesahkan strategi politik Dr. Mahathir Mohamed  untuk menyingkirkan  Anwar Ibrahim dari UMNO dan dari menjadi penentangnya dengan menggunakan fitnah liwat sebagai senjata politik.  Bagi penanalisis politik, inilah kejayaan besar strategi Dr. Mahathir yang telah mengangkatnya menjadi seorang negarawan yang dihormati dan disanjung di seluruh dunia sebagai seorang penjana budaya baru dan juga seorang yang melaksanakan dengan berkesan fungsi kepemimpinannya tanpa sebarang keraguan dari segi moral dan nilai agama yang dianutnya. Selepas fitnah ini, kita lihat anak-anak gadis Melayu, dengan sokongan para pemudanya, memperkenalkan budaya “buang anak” yang kini maharajalela dan menjadi tajuk berita penting dalam akhbar. Inilah kesan strategi politik Dr. Mahathir Mohamed yang akhirnya membudayakan “buang anak” ini di kalangan para pemuda pemudi Melayu.

Selepas Dr. Mahathir, tetapi dalam pengawasannya, fitnah liwat itu diteruskan sebagai senjata politik untuk mengaibkan dan menjatuhkan musuh politik UMNO, yang ditujukan terhadap orang yang sama. Tujuan tuduhan liwat baru ini ialah untuk membuktikan betapa tidak bermoralnya Anwar Ibrahim,  pengasas ABIM, satu pertubuhan pemuda Islam,  yang akhirnya menjadi seorang pemimpin Melayu yang cenderung kepada Islam dan terkenal dalam dunia Islam sebagai seorang pemimpin Islam.  Budaya fitnah liwat ini diangkat ke taraf yang lebih tinggi dan dijadikan berita arus perdana yang dibesar-besarkan dalam apa yang dinamakan oleh UMNO sebagai “kes video seks Anwar Ibrahim.” Sekarang Anwar Ibrahim diberi kedudukan paling tinggi sebagai manusia paling tidak bermoral di Malaysia dengan “membuktikan” kegiatan zinanya dalam video seks itu. Tentu saja UMNO tidak mengaku terlibat dalam fitnah terbaru ini, walaupun yang mendedahkannya ialah bekas Ketua Menteri Melaka sendiri, bekas Ketua Pemuda UMNO, dengan dua orang kawannya yang bergelar datuk. Kata mereka, inilah Anwar Ibrahim yang sebenarnya, seorang penzina yang tidak  bermoral langsung untuk merakamkan perbuatan zinanya. UMNO berharap dengan fitnah ini, mereka akan muncul sebagai sebuah parti yang paling bersih dan telus. Pihak polis sendiri memberi sokongan kuat dengan mengisytiharkan video itu tulen, bukan buatan. Ketulenan video itulah yang dibesar-besarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian,  untuk memberitahu pembaca dan rakyat Malaysia bahawa sekarang sudah terbukti Anwar Ibrahim memang “tulen” seorang penzina. Semua pemimpin UMNO, termasuk Dr. Mahathir Mohamed dan Perdana Menteri sekarang, Najib Tun Razak (anak Tun Razak Hussein dari Pahang), turut menyokong keputusan penyiasatan polis, walaupun mereka tidak memgesahkan siapa sebenarnya yang melakukan perbuatan zina itu. Polis tidak mahu mendedahkannya, walaupun mereka berkata mereka tahu siapa orangnya. Dengan itu polis telah berjaya mengangkat status mereka sebagai satu organisasi yang bermoral tinggi dengan tidak mendedahkan pelaku dalam video untuk tidak mengaibkannya.  Tetapi lain halnya dengan perbicaraan kes liwat II: hakim mendapati orang yang menuduh adalah saksi yang berwibawa, oleh itu boleh dipercayai, dan dengan itu Anwar Ibrahim wajib dibicarakan supaya beliau dapat mempertahankan dirinya, kerana memang jelas, kata hakim, terdapat kes prima facie.  Adakah dengan keputusan hakim ini Anwar Ibrahim terlucut daripada tuduhan difitnahkan? Fitnah itu masih kekal, kerana tujuan dan matlamat fitnah itu masih kekal, iaitu untuk menjatuhkan maruahnya dan menyingkirkannya dari politik. Paling menarik ialah, fitnah itu telah dipestakan oleh UMNO dan para pemimpin tertinggi UMNO, yang akan dijadikan bukti dan hujah bahawa Anwar Ibrahim bukanlah seorang pemimpin yang berwibawa, hanya seorasng peliwat yang rakus. Tidak timbul soal adil atau tidak adil, kerana yang penting ialah kemenangan, bukan keadilan atau kebenaran. Pesta fitnah ini telah saya tulis dalam sebuah cerita pendek berjudul, “Bukan Orang Jahat” (dalam kumpulan Biarlah Orang Tahu, DBP 2005. Baca juga “Lodeh SPM dan Beruknya”). Untuk makluman ringan (bukan serius), dalam sebuah buku yang digunakan di sekolah-sekolah sebelum merdeka (judul saya lupa, mungkinkah Julung Bacaan?) terdapat sebuah cerita untuk bacaan budak-budak sekolah yang berjudul “Hakim Beruk”, mengenai dua orang petani yang dinasihatkan oleh orang kampung supaya mengadap Hakim Beruk di pinggir hutan untuk menyelesaikan masalah mereka bagaimana hendak membahagikan pisang gergasi yang mereka dapati. Akhirnya mereka tidak dapat apa-apa, kerana Hakim Beruk makan sedikit demi sedikit untuk mendapat keadilan dalam pembahagian itu, sampai habis sebiji pisang besar.  Bolehkah kita kembalikan cerita menarik ini dalam bilik-bilik darjah sekarang, supaya murid-murid sekolah tahu apa yang telah diceritakan oleh nenek moyang mereka yang bijak menyindir itu. Kiranya cerita ini jauh lebih tajam dan berbisa sebagai cerita daripada yang dihidangkan dalam beberan Interlok yang masih dipersoalkan kesahihannya. Hendaknya selepas merdeka kita tidak menjadi semakin bodoh dan penakut untuk mengembalikan kebijaksanaan seperti yang diceritakan dalam kisah “Hakim Beruk” itu.

Tetapi inilah yang terjadi dalam kesusasteraan Melayu moden. Kebijaksanaan itu tidak saja tidak terdapat dalam karya sastera, malah dalam penilaian yang dilakukan terhadap karya sastera.  Sudah muncul kembalikah kisah Hakim Beruk ini dalam kebudayaan Melayu? Dalam perundangan dan bidang kehakiman, persoalan ini telah dibuktikan kebenarannya dengan tertubuhnya Suruhanjaya Diraja untuk memeriksa kes “Lingam Tape” yang terekenal itu, yang telah memutuskan enam orang telah dihukum bersalah kerana menipu dalam kenaikan pangkat para hakim. Dan yang melakukannya antaranya ialah bekas seorangPerdana Menteri, dan dua orang Ketua Hakim Negara.  Hingga kini enam jahanam (meminjam judul sebuah filem P. Ramli) ini belum dihukum, kerana belum ada lagi Hakim Beruk yang berani menjadi hakim. Sungguh tajam pemerhatian nenek moyang kita yang memberikan kita cerita Hakim Beruk itu. Mari kita lihat pula dalam kesusasteraan Melayu moden. (Tunggu sambungan ...)

Mohd. Affandi Hassan, 16/5/2011.

Saturday, May 14, 2011

Benarkah Sastera Melayu Moden Dipinggirkan?


Kita sering mendengar rintihah (keluhan kecewa?) setengah sasterawan dan orang-orang yang berminat dengan sastera (guru sastera, pensyarah/profesor, pengkritik) yang mengatakan sastera Melayu moden dipinggirkan. Paling galak bercakap tentang “peminggiran” sastera ini ialah sasterawan negara, yang menerima pelbagai kemudahan dan ganjaran dari kerajaan, termasuk gelaran yang mengikuti nama mereka setiap kali disebut nama mereka. Adakah inilah yang dinamakan peminggiran? Ada di antara mereka yang bersungut, kurang sangat dibuat terjemahan terhadap karya mereka, padahal mereka adalah golongan istimewa dan telah dibuktikan dengan tidak dapat dinafikan lagi keistimewaan itu dengan pemilihan mereka sebagai sasterawan negara.

Dua perkara yang perlu diperhatikan. Pertama, mereka tidak berasa puas walaupun telah diberi keistimewaan yang berlebihan, mahu disembur hingga basah kuyup dengan pujian dan sanjungan dan lain-lain keistimewaan, tidak cukup dengan siraman kemudahan biasa walaupun sudah lebih dari memadai. Mereka tidak berasa terkilan sedikit pun apabila karya mereka yang tidak bermutu sebelum mereka dilantik sebagai sasterawan negara, tiba-tiba menjadi bermutu setelah diberi sanjungan dan pujian oleh penilai rasmi (Panel Anugerah Sastera Negara) dan tidak rasmi (terdiri daripada pengkritik, pensyarah, lain-lain sasterawan yang memuja mereka). Tidakkah ini merupakan pengiktirafan yang berlebihan? Ini membuktikan karya mereka diiktiraf dan diberi pujian walaupun tidak bermutu, oleh itu tidak ada peminggiran sama sekali. Belum pernah mana-mana Panel Anugerah Sastera Negara meminggirkan mana-mana karya sasterawan negara walaupun dari segi mutu boleh diragui, dan memang dianggap tidak bermutu sebelum mereka dilantik sebagai sasterawan negara. Penyelidik dan sarjana sastera tentulah tahu tentang perkara ini, sekiranya mereka membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Isunya di sini ialah bagaimanakah mereka dinilai, bukan peminggiran yang mereka khayalkan. Jika anda membaca tulisan tentang mereka yang ditulis selepas mereka dijadikan sasterawan negara,  anda akan melihat bagaimana mereka diberi sanjungan yang sebelumnya tidak diberikan. Buktinya dapat dilihat dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, dan segala tesis tentang mereka. Yang terserlah di sini ialah rasa kagum yang dibuat-buat, yang tidak diasaskan kepada penelitian yang kritis dan analisis yang mendalam. Inilah isu yang paling penting, bukan soal peminggiran. Tidak betul sama sekali untuk sesiapa juga melemparkan tuduhan bahawa sastera dan karya sastera telah dipinggirkan, kerana tidak pernah terjadi sastera ditinggalkan dalam pembelajaran pelajar di Malaysia. Malah kita sering mendengar dan membaca komentar yang mengatakan banyak di antara karya yang dipilih tidak bermutu dan tidak sesuai diangkat sebagai bahan kajian dan bacaan pelajar sekolah. Jelas sekali tidak timbul langsung soal peminggiran ini, malah yang terjadi ialah keghairahan pemilih untuk memilih karya-karya tidak bermutu untuk dijadikan teks. Inilah contoh pembaziran ilmiah yang berterusan. Sepatutnya inilah isu yang harus dibahaskan. 

Perkara kedua,  yang perlu diberi perhatian yang serius, ialah sejauh mana karya-karya para sasterawan ini boleh dipertahankan dari segi ketinggian mutunya apabila dianalisis dengan mendalam? Kekacauan dalam isu ini sangat jelas, jika anda membaca kertas kerja tentang “pemikiran” para sasterawan negara ini. Jika anda membaca kertas-kertas kerja ini sebagai seorang pembaca yang kritis dan yang berfikir, anda akan berasa sangat kecewa. Bukan “pemikiran” para sasterawan itu yang ditonjolkan dengan jelas dan cukup pembuktiannya dalam analisis yang kritis; yang terserlah ialah kekaburan dan kekeliruan para penulis kertas kerja sendiri yang hanyut dalam andaian yang tidak diiringi bukti dan penghujahan yang mantap. Isu ini telah dibincang beberapa kali dalam blog ini, oleh itu tidak perlu diulangi.  Yang membuat kita berasa tertipu ialah kita kerap kali diberitahu bahawa setiap penilaian haruslah berasaskan “teori” kita sendiri, bukan berasaskan teori Barat.  Tulisan para pemakalah dalam seminar “pemikiran” ini membuktikan mereka, para penulis ini (yang terdiri daripada para sarjana sastera dan ahli akademik), tidak boleh hidup dan akan menjadi bisu tanpa teori Barat itu. Jika itulah hakikatnya, mengapa mereka harus “memusuhi” teori Barat?  Sebaliknya, mereka harus menegaskan, tanpa ragu-ragu, bahawa tanpa teori Barat tidak ada  karya sastera Melayu, oleh itu teori Barat wajib digunakan untuk menganalisis dan menilai karya-karya itu.  Inilah isu yang paling penting, bukan soal peminggiran yang tidak pernah wujud itu. Malah keengganan menggunakan “teori” tempatan itulah yang sebenarnya berupa “peminggiran” yang paling ketara, dan tidak bertanggungjawab dari segi ilmiah dan etika orang berilmu.  Dewan Bahasa dan Pustaka yang menganjurkan seminar “pemikiran” ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam kecacatan ilmiah yang amat mengaibkan ini.

Mohd. Affandi Hassan, 12/5/2011.

Sunday, April 17, 2011

Pengaruh Sisyphus Dalam Pemikiran Sastera Melayu Moden


Dalam mitos Yunani, dewa Sisyphus telah dikutuk dan dilemparkan ke dalam neraka untuk dihukum dengan satu hukuman yang hampir menyerupai kaldai yang ditutup matanya untuk berpusing-pusing menarik kincir air. Berapa ribu batu pun kaldai itu berjalan, dia masih di tempat yang sama. Dalam mitos Sisyphus pula, dewa ini dihukum untuk menolak batu ke atas gunung; tetapi sebaik saja akan sampai ke puncak, batu itu bergolek turun; jadi Sisyphus akan mula menolaknya semula, begitulah selama-lamanya. Usahanya kuat, seperti kaldai di kincir air tadi, tetapi tidak pernah berhasil. Perlukah sang kaldai dan dewa Sisyphus melakukan “anjakan paradigma” untuk berubah?

Soalan ini menarik bila dilihat dari perspektif konsep kesusasteraan yang dipakai dan dipertahankan di Malaysia. Seperti yang telah kita lihat, hingga kini pengaruh Kritikan Baru dan pengaruh realisme Abad 19 di Barat masih menjadi tunjang yang kukuh dalam kritikan dan penilaian karya sastera di Malaysia, dipertahankan dengan gigih oleh para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara yang mereka rakam dalam sepuluh laporan mereka. Walaupun satu ketika dulu, sekitar tahun 1980-an, kita sering dengar laungan para sasterawan dan pengkritik (termasuk ahli akademik) supaya memulai “anjakan paradigma”, namun semuanya sudah sepi sekarang. Adakah para sasterawan dan sarjana sastera kita telah dihukum untuk menolak batu seperti Sisyphus atau diberi tugas seperti sang kaldai? Kini yang timbul, dan mungkin akan menjadi agak popular, ialah ungkapan “fikiran terjajah” (the captive mind) yang diperkenalkan oleh Prof. Syed Hussein al-Attas satu masa dulu. Mungkin juga “anjakan paradigma” itu tidak terjadi kerana wujudnya “fikiran terjajah” ini. Siapa pula yang mengidap penyakit baru yang bernama “fikiran terjajah” ini? 

Ungkapan “fikiran terjajah”  mencerminkan betapa kuatnya pengaruh the captive mind yang dialami oleh para sasterawan dan sarjana sastera, yang terikat kepada teori-teori Barat untuk memahami konsep sastera yang mereka praktikkan.  Mereka tidak mungkin dapat membebaskan diri mereka daripada menjadi “tawanan” Barat dalam epistemologi selagi mereka tidak mahu berpegang kepada epistemologi Islam. Oleh itu, apabila mereka bercakap tentang “anjakan paradigma”, mereka sepatutnya jelas dan tegas untuk berpindah dari epistmologi Barat kepada epistemologi Islam dalam memahami makna kesusasteraan, supaya mereka dapat membebaskan diri mereka daripada kekeliruan epistemologi ini. Mereka harus berpindah dari kesusasteraan kepada persuratan, yang dimulai dan dikembangkan oleh para ulama dan cendekiawan kita sendiri. Mengapa mereka tidak mahu melakukannya?  Sebenarnya inilah pengaruh Sisyphus yang menerima kutukan itu sebagai tugas  yang akhirnya dilakukan dengan selesa setelah diulang beribu kali. Bagi sang kaldai, berapa lama pun dia berjalan berpusing di telaga untuk menaikkan air di kincir tidak menjadi persoalan kepadanya, kerana matanya tertutup tetapi mulutnya terbuka untuk disuap jerami.  Adakah para sasterawan dan sarjana sastera kita demikian pula keadaannya? Walau apa pun jawapan yang kita berikan, atau yang kita cari, namun satu perkara tidak dapat kita elakkan: kesusasteraan telah gagal mencerdikkan bangsa Melayu dan pelajar kita, dengan itu kita telah membuang masa begitu lama bergayut pada dahan buruk yang dinamakan sastera. Sesiapa juga yang menolak kesimpulan ini akan terus berada dalam tawanan pemikiran Barat yang sudah begitu lama mencengkam mereka. Hanya melalui konsep ilmu yang benar yang diajarkan dalam epistemologi Islam saja kita dapat menilai apa juga pengaruh yang kita terima atau yang dipaksakan ke atas kita. Jikalau kita bersunguh-sungguh ingin membebaskan diri dari belenggu intelektual yang diberi nama “fikiran terjajah” itu, dan benar-benar ingin melakukan “anjakan paradigma” yang sudah sekian lama kita laungkan, maka pilihan terbaik ialah dengan kembali kepada taklif, dan menerima konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam.

Jika benarlah terdapat sasterawan yang percayakan seruan lantang supaya dimulai “anjakan paradigma” dalam sastera Melayu, maka yang pertama harus mereka lakukan ialah  membebaskan diri daripada belenggu “fikiran terjajah” yang kini masih mereka pertahankan, seperti yang jelas dalam deklarasi empat orang sasterawan negara supaya para sasterawan diberi kebebasan untuk menyatakan keburukan walaupun tidak “manis”, persis seperti yang dianjurkan oleh realisme Abad 19 di Barat yang kini masih dipegang kuat oleh para sasterawan. Apakah makna “anjakan paradigma” jika mereka masih mahu bergayut di dahan reput realisme Abad 19 di Eropah dan Kritikan Baru yang telah ditolak di Amerika?  Sekiranya mereka masih percaya perlunya “anjakan paradigma” dengan menolak “fikiran terjajah” yang terus kuat mencengkam fahaman mereka tentang sastera, maka yang harus mereka lakukan ialah turut serta dalam gerakan untuk membina generasi persuratan di Malaysia dalam Abad 21 ini. Untuk itu mereka harus menerima epistemologi Islam sebagai asas kritikan dan penilaian yang juga menjadi tunjang penulisan kreatif. Di sinilah relevannya gagasan Persuratan Baru.

Mohd. Affandi Hassan, 15/4/2011.

Wednesday, April 13, 2011

Kelesuan Berfikir Dalam Kesusasteraan Melayu

[Nota: Posting ini perlu dibaca bersama posting bertarikh 21/2/2011; 13/3/2011; 15/3/2011 dan 24/3/2011]

Setiap kali kita lihat dan baca tulisan mengenai apa yang dinamakan “sastera” dalam blog, dalam ruangan sastera di akhbar, dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang khusus membicarakan soal sastera, kita akan berasa amat hairan dan terkejut membaca tulisan-tulisan yang begitu dangkal, kontang kering garing tiada idea bernas, dan terlalu banyak gosip atau ocehan yang lebih menonjolkan keghairahan penulis untuk memuja dirinya dan teman-teman rapat  daripada berhujah tentang sesuatu idea yang menarik.

Jika anda ikuti ruangan sastera Berita Harian misalnya, anda akan berasa kita sudah kehilangan kemampuan berfikir dengan tenang dan kritis untuk membicarakan sesuatu perkara yang perlu dibincang dengan cermat dan teratur, tidak sekadar melambakkan istilah, ungkapan, kata-kata bombastik yang berselerak tanpa fokus yang akhirnya akan membawa kepada satu kesimpulan yang boleh mencabar pembaca untuk terus berbincang tentang sesuatu  isu yang wajar dibincangkan dengan lebih mendalam. Sebagai contoh, satu ketika dulu pernah dibangkitkan isu kegagalan persatuan penulis yang dalam kegiatannya tidak mendorong ke arah pemikiran kritis yang boleh membantu perkembangan sastera yang lebih terarah, terutama dari segi pengisian ilmu dalam karya.  Isu yang ditimbulkan itu tidak hidup, mati beragan atau dimatikan kerana sebab-sebab tertentu.

Sebagai penjelasan yang lebih mirip kepada gosip, kita mendengar ada pendapat yang mengatakan para ahli akademik yang terlibat dalam pengajaran sastera terlalu banyak tugas, tidak ada waktu sama sekali untuk ikut serta dalam perbincangan serius. Kata mereka, perbincangan serius itu berlaku di bilik-bilik kuliah, oleh itu tidak diketahui oleh masyarakat umum. Tetapi penjelasan ini nampaknya bertentangan dengan munculnya Majlis Profesor Negara, yang antara lain bertujuan untuk memasyarakatkan ilmu apabila para profesor “turun padang” (dulu yang turun padang hanya pesawah dan petani kerana mencari kehidupan mereka) memperkenalkan diri dan ilmu mereka kepada masyarakat.  Bagaimana pula dikatakan tidak ada waktu jika antara tugas mereka ialah mendidik masyarakat supaya menjadi cerdik?

Kegagalan para ahli akademik ini sangat ketara apabila kita meneliti tulisan murid-murid mereka yang hanya sekadar mengulangi pendapat mereka yang kebanyakannya sudah jauh ketinggalan zaman. Dengan itu kita tidak melihat apa-apa perubahan yang boleh mencetuskan pemikiran baru dalam dunia persuratan. Nampaknya para sasterawan dan ahli akademik terlalu terikat kepada konsep kesusasteraan yang sempit dan terbatas, sehingga mereka sanggup mempertahankan idea lama yang pada umumnya telah ditolak di tempat asalnya. Contoh paling baik ialah rayuan empat orang sasterawan negara baru-baru ini, yang memohon supaya mereka dan para  sasterawan diberi kebebasan untuk menulis tentang apa saja yang mereka mahu, “walau betapapun tidak manis kenyataan itu”. Mereka masih berfahaman lapuk tentang makna realisme yang mereka sanjung, dan tentang faham sastera yang dibawa oleh Kritikan Baru yang menjadikan karya sastera sesuatu yang autonomous, yang berdiri sendiri dan harus dinilai daripada perspektif itu. Inilah pendirian Kritikan Baru yang telah ditolak di Amerika Syatrikat sejak tahun 1980-an lagi, tetapi masih menjadi pegangan para sasterawan dan ahli akademik di Malaysia.

Jika anda masih ingat, satu ketika dulu mereka inilah juga yang bercakap lantang supaya diadakan anjakan paradigma. Apa maksudnya mereka tidak tahu, hanya terikut-ikut rentak perbahasan ketika itu yang selalu bercakap tentang “perubahan paradigma”. Dengan terus mempertahankan idea lapuk seperti Kritikan Baru dan realisme semu yang menjadi pegangan mereka, maka semua cakap-cakap tentang anjakan paradigma itu hanya omong kosong sahaja. Bagaimana para sasterawan, dan terutama sekali ahli akademik yang jadi profesor sastera dan pensyarah sastera, boleh terlibat dalam kegiatan omong kosong begini? Tidak hairanlah kesusasteraan Melayu begitu lesu dari segi pemikiran, kerana yang terlibat dalam bidang ini bukan terdiri daripada kumpulan manusia yang berfikir dan jelas konsep ilmunya. 

Tetapi Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan seminar pemikiran sasterawan, khususnya pemikiran sasterawan negara.  Jika anda membaca kertas kerja yang dibentang, dan perbincangan yang mengikutinya, anda akan teringat sindiran tajam Umar Khayam, ahli matematik dan penyair, yang berkata dia bosan sekali menghadiri majlis perbincangan dan perbahasan, kerana dia masuk dan keluar dari pintu yang sama. Maksudnya: pengalamannya tidak bertambah. Tidak ada benda baru. Inilah sifat seminar pemikiran yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bagus juga jika DBP mahu adakan seminar pemikiran sekali lagi, dikumpulkan dahulu para penulis kertas kerja, dibincangkan dengan mendalam maksud dan makna pemikiran, diagihkan kepada penulis kertas kerja tajuk-tajuk khusus yang benar-benar membahaskan aspek pemikiran. Tetapi jika DBP sendiri tidak mahu berubah dan tidak bersedia untuk berubah, maka apa juga program dan projek yang berbentuk pemikiran ini akan hanya berada di tahap sindiran Umar Khayam saja. Dengan itu baik ditutup saja pintu yang satu itu untuk mengelak daripada berkeliaran orang keluar masuk sambil mengepit fail yang isinya entah apa-apa. Jangan bikin malu sama Umar Khayam!

Mohd. Affandi Hassan, 13/4/2011