Sunday, April 17, 2011

Pengaruh Sisyphus Dalam Pemikiran Sastera Melayu Moden


Dalam mitos Yunani, dewa Sisyphus telah dikutuk dan dilemparkan ke dalam neraka untuk dihukum dengan satu hukuman yang hampir menyerupai kaldai yang ditutup matanya untuk berpusing-pusing menarik kincir air. Berapa ribu batu pun kaldai itu berjalan, dia masih di tempat yang sama. Dalam mitos Sisyphus pula, dewa ini dihukum untuk menolak batu ke atas gunung; tetapi sebaik saja akan sampai ke puncak, batu itu bergolek turun; jadi Sisyphus akan mula menolaknya semula, begitulah selama-lamanya. Usahanya kuat, seperti kaldai di kincir air tadi, tetapi tidak pernah berhasil. Perlukah sang kaldai dan dewa Sisyphus melakukan “anjakan paradigma” untuk berubah?

Soalan ini menarik bila dilihat dari perspektif konsep kesusasteraan yang dipakai dan dipertahankan di Malaysia. Seperti yang telah kita lihat, hingga kini pengaruh Kritikan Baru dan pengaruh realisme Abad 19 di Barat masih menjadi tunjang yang kukuh dalam kritikan dan penilaian karya sastera di Malaysia, dipertahankan dengan gigih oleh para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara yang mereka rakam dalam sepuluh laporan mereka. Walaupun satu ketika dulu, sekitar tahun 1980-an, kita sering dengar laungan para sasterawan dan pengkritik (termasuk ahli akademik) supaya memulai “anjakan paradigma”, namun semuanya sudah sepi sekarang. Adakah para sasterawan dan sarjana sastera kita telah dihukum untuk menolak batu seperti Sisyphus atau diberi tugas seperti sang kaldai? Kini yang timbul, dan mungkin akan menjadi agak popular, ialah ungkapan “fikiran terjajah” (the captive mind) yang diperkenalkan oleh Prof. Syed Hussein al-Attas satu masa dulu. Mungkin juga “anjakan paradigma” itu tidak terjadi kerana wujudnya “fikiran terjajah” ini. Siapa pula yang mengidap penyakit baru yang bernama “fikiran terjajah” ini? 

Ungkapan “fikiran terjajah”  mencerminkan betapa kuatnya pengaruh the captive mind yang dialami oleh para sasterawan dan sarjana sastera, yang terikat kepada teori-teori Barat untuk memahami konsep sastera yang mereka praktikkan.  Mereka tidak mungkin dapat membebaskan diri mereka daripada menjadi “tawanan” Barat dalam epistemologi selagi mereka tidak mahu berpegang kepada epistemologi Islam. Oleh itu, apabila mereka bercakap tentang “anjakan paradigma”, mereka sepatutnya jelas dan tegas untuk berpindah dari epistmologi Barat kepada epistemologi Islam dalam memahami makna kesusasteraan, supaya mereka dapat membebaskan diri mereka daripada kekeliruan epistemologi ini. Mereka harus berpindah dari kesusasteraan kepada persuratan, yang dimulai dan dikembangkan oleh para ulama dan cendekiawan kita sendiri. Mengapa mereka tidak mahu melakukannya?  Sebenarnya inilah pengaruh Sisyphus yang menerima kutukan itu sebagai tugas  yang akhirnya dilakukan dengan selesa setelah diulang beribu kali. Bagi sang kaldai, berapa lama pun dia berjalan berpusing di telaga untuk menaikkan air di kincir tidak menjadi persoalan kepadanya, kerana matanya tertutup tetapi mulutnya terbuka untuk disuap jerami.  Adakah para sasterawan dan sarjana sastera kita demikian pula keadaannya? Walau apa pun jawapan yang kita berikan, atau yang kita cari, namun satu perkara tidak dapat kita elakkan: kesusasteraan telah gagal mencerdikkan bangsa Melayu dan pelajar kita, dengan itu kita telah membuang masa begitu lama bergayut pada dahan buruk yang dinamakan sastera. Sesiapa juga yang menolak kesimpulan ini akan terus berada dalam tawanan pemikiran Barat yang sudah begitu lama mencengkam mereka. Hanya melalui konsep ilmu yang benar yang diajarkan dalam epistemologi Islam saja kita dapat menilai apa juga pengaruh yang kita terima atau yang dipaksakan ke atas kita. Jikalau kita bersunguh-sungguh ingin membebaskan diri dari belenggu intelektual yang diberi nama “fikiran terjajah” itu, dan benar-benar ingin melakukan “anjakan paradigma” yang sudah sekian lama kita laungkan, maka pilihan terbaik ialah dengan kembali kepada taklif, dan menerima konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam.

Jika benarlah terdapat sasterawan yang percayakan seruan lantang supaya dimulai “anjakan paradigma” dalam sastera Melayu, maka yang pertama harus mereka lakukan ialah  membebaskan diri daripada belenggu “fikiran terjajah” yang kini masih mereka pertahankan, seperti yang jelas dalam deklarasi empat orang sasterawan negara supaya para sasterawan diberi kebebasan untuk menyatakan keburukan walaupun tidak “manis”, persis seperti yang dianjurkan oleh realisme Abad 19 di Barat yang kini masih dipegang kuat oleh para sasterawan. Apakah makna “anjakan paradigma” jika mereka masih mahu bergayut di dahan reput realisme Abad 19 di Eropah dan Kritikan Baru yang telah ditolak di Amerika?  Sekiranya mereka masih percaya perlunya “anjakan paradigma” dengan menolak “fikiran terjajah” yang terus kuat mencengkam fahaman mereka tentang sastera, maka yang harus mereka lakukan ialah turut serta dalam gerakan untuk membina generasi persuratan di Malaysia dalam Abad 21 ini. Untuk itu mereka harus menerima epistemologi Islam sebagai asas kritikan dan penilaian yang juga menjadi tunjang penulisan kreatif. Di sinilah relevannya gagasan Persuratan Baru.

Mohd. Affandi Hassan, 15/4/2011.

3 comments:

  1. Salam hormat_Pak Affandi,
    Boleh saya coretkan di sini,dua hari(23&24 April,2011)satu seminar anjuran Kerajaan Perlis berlangsung di Hotel Royale Chulan,Jln Conlay,KL.
    Tajuknya_Berpegang Kepada Al Quran & As Sunnah, ramai panel jemputan.
    Pada 23 April,petang saya sempat ke Hotel Armada,P.J.(ada program anjuran Forum Iqra_Bicara tentang Pluralisme,..
    Dalam masa yang terdekat ini ,saya mengimbas kembali bacaan terhadap cerpen yang dihasilkan oleh M.A.H suatu waktu dulu,"Lodeh SPM Dan Beruknya" dalam Antologinya Tenggelam di Lautan China,suatu renungan tajam_buah karya garapan beliau,isunya terus relevan dan menarik pembaca yang menyelami ke dalamnya (cet.tahun,1996).
    Bicara kes Lodeh dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah,sebelah kakinya hancur berkecai ditembak dan dipenjarakan,..
    Ini hukum dunia,"Siapa berkuasa dialah raja".
    Lidah kelu tiada kata hilang suara.
    Bersuara disiksa,berdiam pun merana.
    Dengarlah rintihan Lodeh,dia merintih dengan sayu,."Mak maafkan Lah,Lah tak bersalah,..Lah cuma nak tolong",..
    Orang mengatakan dia sudah gila!
    Drama rakyat menderita dan kepedihan,siapa yang bersama menghayatinya.
    Akhirnya,"Setiap kebaikan untuk Tuhan itu akan mendapat ganjaran baik juga kebahagiaan disisiNya.Dia tidak pernah menyalahi janjiNya_InsyaAllah".
    Suatu kenangan yang mengusik jiwa.
    Syabas dan takziah juga.
    Wallahu'alam dan salam.

    ReplyDelete
  2. Bismillah.
    Assalamu 'alaikum wbth,Pak Affandi dan pembaca semua yang budiman.
    Saya mulakan dengan memohon kemaafan kepada Pak Affandi khasnya dan pembaca sekalian.
    Dalam tulisan lalu saya melakukan beberapa kesilapan dan kekeliruan fakta.
    Ya,inilah hakikat insan dan saya memohon ampun dan berserah diri kepada Allah.
    Itulah pemahaman dan ia adalah kesan bacaan terhadap cerpen tersebut.Ketika menulis tempohari agaknya begitulah rasa hati saya,gabungan hasil pemahaman dan isu semasa yang melanda negara ketika ini.
    Bila saya mengulang melihat semula cerpen itu memang sahlah berlaku kesilapan ayat atau dialog yang dipindahkan.
    Bukan saya saja-saja mengubah tetapi hakikatnya saya membuat kesilapan dan terjadinya perubahan daripada cerita sebenar.
    Saya mengakuinya dan sudilah Pak Affandi memberikan kemaafan.
    Saya ulangkan semula disini apa yang selayaknya,Kumpulan Cerpen Tenggelam Di Lautan China,Mohd Affandi Hassan (M.A.H),Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia Kuala Lumpur,Cetakan Pertama 1994.
    Dalam Lodeh SPM Dan Beruknya ayat yang Lodeh gunakan ,"Mak,Lah tak buat apa-apa.Lah tak buat apa-apa,mak.Lah tak buat apa-apa.Lah nak tolong Kak Dah saja,mak..."Dia menangis tersedu-sedu.
    (lht di hlm 111).
    Lodeh SPM selamat menjalani hukumannya,termasuk menerima enam kali sebatan rotan.(lht hlm 115).
    "Saya tidak bersalah,tuan.Saya hanya ingin menolong..."Lodeh mengomel perlahan.(lht hlm 117).
    Begitulah seterusnya.
    Orang kampung yakin Lodeh sudah gila.(lht hlm 118).
    Demikian kisahnya.
    Menurut akta Hak Cipta Terpelihara,tidak dibenarkan "mengambil,menceritakan semula tanpa keizinan bertulis daripada Ketua Pengarah,Dewan Bahasa dan Pustaka'.
    Jika dia sertakan h/p bersama namanya kira mudah sikit berurusan.Jika tidak memang masalah besar.
    Saya paparkan cerita ini semua, sebagai bahan perbincangan semua pihak dan sesiapa yang berkenaan.
    Sekian,akhir kata maaf jua yang saya mohonkan.
    Alhamdulillah.

    ReplyDelete