[Nota: Posting ini perlu dibaca bersama posting bertarikh 21/2/2011; 13/3/2011; 15/3/2011 dan 24/3/2011]
Setiap kali kita lihat dan baca tulisan mengenai apa yang dinamakan “sastera” dalam blog, dalam ruangan sastera di akhbar, dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang khusus membicarakan soal sastera, kita akan berasa amat hairan dan terkejut membaca tulisan-tulisan yang begitu dangkal, kontang kering garing tiada idea bernas, dan terlalu banyak gosip atau ocehan yang lebih menonjolkan keghairahan penulis untuk memuja dirinya dan teman-teman rapat daripada berhujah tentang sesuatu idea yang menarik.
Jika anda ikuti ruangan sastera Berita Harian misalnya, anda akan berasa kita sudah kehilangan kemampuan berfikir dengan tenang dan kritis untuk membicarakan sesuatu perkara yang perlu dibincang dengan cermat dan teratur, tidak sekadar melambakkan istilah, ungkapan, kata-kata bombastik yang berselerak tanpa fokus yang akhirnya akan membawa kepada satu kesimpulan yang boleh mencabar pembaca untuk terus berbincang tentang sesuatu isu yang wajar dibincangkan dengan lebih mendalam. Sebagai contoh, satu ketika dulu pernah dibangkitkan isu kegagalan persatuan penulis yang dalam kegiatannya tidak mendorong ke arah pemikiran kritis yang boleh membantu perkembangan sastera yang lebih terarah, terutama dari segi pengisian ilmu dalam karya. Isu yang ditimbulkan itu tidak hidup, mati beragan atau dimatikan kerana sebab-sebab tertentu.
Sebagai penjelasan yang lebih mirip kepada gosip, kita mendengar ada pendapat yang mengatakan para ahli akademik yang terlibat dalam pengajaran sastera terlalu banyak tugas, tidak ada waktu sama sekali untuk ikut serta dalam perbincangan serius. Kata mereka, perbincangan serius itu berlaku di bilik-bilik kuliah, oleh itu tidak diketahui oleh masyarakat umum. Tetapi penjelasan ini nampaknya bertentangan dengan munculnya Majlis Profesor Negara, yang antara lain bertujuan untuk memasyarakatkan ilmu apabila para profesor “turun padang” (dulu yang turun padang hanya pesawah dan petani kerana mencari kehidupan mereka) memperkenalkan diri dan ilmu mereka kepada masyarakat. Bagaimana pula dikatakan tidak ada waktu jika antara tugas mereka ialah mendidik masyarakat supaya menjadi cerdik?
Kegagalan para ahli akademik ini sangat ketara apabila kita meneliti tulisan murid-murid mereka yang hanya sekadar mengulangi pendapat mereka yang kebanyakannya sudah jauh ketinggalan zaman. Dengan itu kita tidak melihat apa-apa perubahan yang boleh mencetuskan pemikiran baru dalam dunia persuratan. Nampaknya para sasterawan dan ahli akademik terlalu terikat kepada konsep kesusasteraan yang sempit dan terbatas, sehingga mereka sanggup mempertahankan idea lama yang pada umumnya telah ditolak di tempat asalnya. Contoh paling baik ialah rayuan empat orang sasterawan negara baru-baru ini, yang memohon supaya mereka dan para sasterawan diberi kebebasan untuk menulis tentang apa saja yang mereka mahu, “walau betapapun tidak manis kenyataan itu”. Mereka masih berfahaman lapuk tentang makna realisme yang mereka sanjung, dan tentang faham sastera yang dibawa oleh Kritikan Baru yang menjadikan karya sastera sesuatu yang autonomous, yang berdiri sendiri dan harus dinilai daripada perspektif itu. Inilah pendirian Kritikan Baru yang telah ditolak di Amerika Syatrikat sejak tahun 1980-an lagi, tetapi masih menjadi pegangan para sasterawan dan ahli akademik di Malaysia.
Jika anda masih ingat, satu ketika dulu mereka inilah juga yang bercakap lantang supaya diadakan anjakan paradigma. Apa maksudnya mereka tidak tahu, hanya terikut-ikut rentak perbahasan ketika itu yang selalu bercakap tentang “perubahan paradigma”. Dengan terus mempertahankan idea lapuk seperti Kritikan Baru dan realisme semu yang menjadi pegangan mereka, maka semua cakap-cakap tentang anjakan paradigma itu hanya omong kosong sahaja. Bagaimana para sasterawan, dan terutama sekali ahli akademik yang jadi profesor sastera dan pensyarah sastera, boleh terlibat dalam kegiatan omong kosong begini? Tidak hairanlah kesusasteraan Melayu begitu lesu dari segi pemikiran, kerana yang terlibat dalam bidang ini bukan terdiri daripada kumpulan manusia yang berfikir dan jelas konsep ilmunya.
Tetapi Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan seminar pemikiran sasterawan, khususnya pemikiran sasterawan negara. Jika anda membaca kertas kerja yang dibentang, dan perbincangan yang mengikutinya, anda akan teringat sindiran tajam Umar Khayam, ahli matematik dan penyair, yang berkata dia bosan sekali menghadiri majlis perbincangan dan perbahasan, kerana dia masuk dan keluar dari pintu yang sama. Maksudnya: pengalamannya tidak bertambah. Tidak ada benda baru. Inilah sifat seminar pemikiran yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bagus juga jika DBP mahu adakan seminar pemikiran sekali lagi, dikumpulkan dahulu para penulis kertas kerja, dibincangkan dengan mendalam maksud dan makna pemikiran, diagihkan kepada penulis kertas kerja tajuk-tajuk khusus yang benar-benar membahaskan aspek pemikiran. Tetapi jika DBP sendiri tidak mahu berubah dan tidak bersedia untuk berubah, maka apa juga program dan projek yang berbentuk pemikiran ini akan hanya berada di tahap sindiran Umar Khayam saja. Dengan itu baik ditutup saja pintu yang satu itu untuk mengelak daripada berkeliaran orang keluar masuk sambil mengepit fail yang isinya entah apa-apa. Jangan bikin malu sama Umar Khayam!
Mohd. Affandi Hassan, 13/4/2011
As-salam, menarik entri Tn Hj kali ini.
ReplyDeleteAs-salam Tn Hj, sekadar ingin tahu, Tn Hj ada menulis artikel dalam Antologi Semangkuk Interlok terbitan Matahari Books?
ReplyDeleteTerimakasih Pak Affandi,
ReplyDeleteDengan sentuhan ini, sekali lagi.Saya boleh bersetuju bahawa jika seorang pengkaji menimbulkan isu kedangkalan dalam esei sastera mutakhir.
Saya sangat bersetuju juga dikatakan punca utama ialah keupayaan penulis-penulis itu untuk keluar daripada cengkaman penjajahan minda sukar dan keterikatan dengan mengagumi apa yang datang dari orang barat lebih disayangi dan sangat kukuh malah berakar umbi sebagai agenda pengkaryaan juga halatuju.
Pembaca,manusia kerdil dalam luasnya khazanah persuratan Melayu turut sama memberi ulasan.
Tuan Hj. Affandi yang saya hormati,
ReplyDeleteadakah faktor ini menyebabkan masyarakat begitu alergi dan kurang ambil peduli mengenai hal ehwal sastera Malaysia?