Monday, May 16, 2011

Fitnah Dalam Politik dan Fitnah Dalam Sastera


Politik Malaysia beruntung dengan munculnya Dr. Mahathir Mohamed sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.  Selama 22 tahun berkuasa, yang hampir mutlak sifatnya, Dr. Mahathir Mohamed meninggalkan tiga warisan penting untuk orang Melayu:  (1) demokrasi Mahathir yang membenci Islam (ada yang sebut yang anti-Islam);  (2) kekayaan negara yang digunakan sepenuhnya untuk kemewahan peribadi, anak-beranak dan kroni; (3) budaya fitnah dalam politik Melayu yang bermula dengan penyingkiran Anwar Ibrahim. 

Penyingkiran Anwar Ibrahim dilakukan dengan segala strategi jahat yang tidak pernah berlaku di Malaysia sebelum ini. Kejahatan itu akhirnya dijadikan budaya politik baru dalam UMNO dalam kerajaan Barisan Nasional, dan nampaknya diterima dengan baik oleh sebahagian rakyat yang menyokong UMNO/BN. Demikianlah fitnah diangkat ke taraf perdana sebagai senjata politik untuk mengaibkan pemimpin politik yang dimusuhi. Kejayaan besar Dr. Mahathir Mohamed ialah memperkenalkan istilah liwat dalam masyarakat Melayu dan Malaysia. Jika sebelumnya amat jarang kita dengar kes liwat dan perkataan ini digunakan dalam akhbar, tetapi selepas dipopularkan oleh Dr. Mahathir Mohamed, liwat diterima oleh akhbar dan masyarakat sebagai perkara biasa yang menjadi kebanggaan Malaysia. Waktu ini kita dapati Kuala Lumpur dijadikan pusat para peliwat yang melawat negara ini untuk mendapat perkhidmatan itu hasil dari promosi yang dimulai oleh Dr. Mahathir Mohamed setelah berjaya menjadikan Anwar Ibrahim seorang peliwat dan disahkan oleh mahkamah. Paling penting dalam pembudayaan liwat ini ialah terpenjaranya Anwar Ibrahim selama sembilan tahun kerana mahkamah mengesahkan strategi politik Dr. Mahathir Mohamed  untuk menyingkirkan  Anwar Ibrahim dari UMNO dan dari menjadi penentangnya dengan menggunakan fitnah liwat sebagai senjata politik.  Bagi penanalisis politik, inilah kejayaan besar strategi Dr. Mahathir yang telah mengangkatnya menjadi seorang negarawan yang dihormati dan disanjung di seluruh dunia sebagai seorang penjana budaya baru dan juga seorang yang melaksanakan dengan berkesan fungsi kepemimpinannya tanpa sebarang keraguan dari segi moral dan nilai agama yang dianutnya. Selepas fitnah ini, kita lihat anak-anak gadis Melayu, dengan sokongan para pemudanya, memperkenalkan budaya “buang anak” yang kini maharajalela dan menjadi tajuk berita penting dalam akhbar. Inilah kesan strategi politik Dr. Mahathir Mohamed yang akhirnya membudayakan “buang anak” ini di kalangan para pemuda pemudi Melayu.

Selepas Dr. Mahathir, tetapi dalam pengawasannya, fitnah liwat itu diteruskan sebagai senjata politik untuk mengaibkan dan menjatuhkan musuh politik UMNO, yang ditujukan terhadap orang yang sama. Tujuan tuduhan liwat baru ini ialah untuk membuktikan betapa tidak bermoralnya Anwar Ibrahim,  pengasas ABIM, satu pertubuhan pemuda Islam,  yang akhirnya menjadi seorang pemimpin Melayu yang cenderung kepada Islam dan terkenal dalam dunia Islam sebagai seorang pemimpin Islam.  Budaya fitnah liwat ini diangkat ke taraf yang lebih tinggi dan dijadikan berita arus perdana yang dibesar-besarkan dalam apa yang dinamakan oleh UMNO sebagai “kes video seks Anwar Ibrahim.” Sekarang Anwar Ibrahim diberi kedudukan paling tinggi sebagai manusia paling tidak bermoral di Malaysia dengan “membuktikan” kegiatan zinanya dalam video seks itu. Tentu saja UMNO tidak mengaku terlibat dalam fitnah terbaru ini, walaupun yang mendedahkannya ialah bekas Ketua Menteri Melaka sendiri, bekas Ketua Pemuda UMNO, dengan dua orang kawannya yang bergelar datuk. Kata mereka, inilah Anwar Ibrahim yang sebenarnya, seorang penzina yang tidak  bermoral langsung untuk merakamkan perbuatan zinanya. UMNO berharap dengan fitnah ini, mereka akan muncul sebagai sebuah parti yang paling bersih dan telus. Pihak polis sendiri memberi sokongan kuat dengan mengisytiharkan video itu tulen, bukan buatan. Ketulenan video itulah yang dibesar-besarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian,  untuk memberitahu pembaca dan rakyat Malaysia bahawa sekarang sudah terbukti Anwar Ibrahim memang “tulen” seorang penzina. Semua pemimpin UMNO, termasuk Dr. Mahathir Mohamed dan Perdana Menteri sekarang, Najib Tun Razak (anak Tun Razak Hussein dari Pahang), turut menyokong keputusan penyiasatan polis, walaupun mereka tidak memgesahkan siapa sebenarnya yang melakukan perbuatan zina itu. Polis tidak mahu mendedahkannya, walaupun mereka berkata mereka tahu siapa orangnya. Dengan itu polis telah berjaya mengangkat status mereka sebagai satu organisasi yang bermoral tinggi dengan tidak mendedahkan pelaku dalam video untuk tidak mengaibkannya.  Tetapi lain halnya dengan perbicaraan kes liwat II: hakim mendapati orang yang menuduh adalah saksi yang berwibawa, oleh itu boleh dipercayai, dan dengan itu Anwar Ibrahim wajib dibicarakan supaya beliau dapat mempertahankan dirinya, kerana memang jelas, kata hakim, terdapat kes prima facie.  Adakah dengan keputusan hakim ini Anwar Ibrahim terlucut daripada tuduhan difitnahkan? Fitnah itu masih kekal, kerana tujuan dan matlamat fitnah itu masih kekal, iaitu untuk menjatuhkan maruahnya dan menyingkirkannya dari politik. Paling menarik ialah, fitnah itu telah dipestakan oleh UMNO dan para pemimpin tertinggi UMNO, yang akan dijadikan bukti dan hujah bahawa Anwar Ibrahim bukanlah seorang pemimpin yang berwibawa, hanya seorasng peliwat yang rakus. Tidak timbul soal adil atau tidak adil, kerana yang penting ialah kemenangan, bukan keadilan atau kebenaran. Pesta fitnah ini telah saya tulis dalam sebuah cerita pendek berjudul, “Bukan Orang Jahat” (dalam kumpulan Biarlah Orang Tahu, DBP 2005. Baca juga “Lodeh SPM dan Beruknya”). Untuk makluman ringan (bukan serius), dalam sebuah buku yang digunakan di sekolah-sekolah sebelum merdeka (judul saya lupa, mungkinkah Julung Bacaan?) terdapat sebuah cerita untuk bacaan budak-budak sekolah yang berjudul “Hakim Beruk”, mengenai dua orang petani yang dinasihatkan oleh orang kampung supaya mengadap Hakim Beruk di pinggir hutan untuk menyelesaikan masalah mereka bagaimana hendak membahagikan pisang gergasi yang mereka dapati. Akhirnya mereka tidak dapat apa-apa, kerana Hakim Beruk makan sedikit demi sedikit untuk mendapat keadilan dalam pembahagian itu, sampai habis sebiji pisang besar.  Bolehkah kita kembalikan cerita menarik ini dalam bilik-bilik darjah sekarang, supaya murid-murid sekolah tahu apa yang telah diceritakan oleh nenek moyang mereka yang bijak menyindir itu. Kiranya cerita ini jauh lebih tajam dan berbisa sebagai cerita daripada yang dihidangkan dalam beberan Interlok yang masih dipersoalkan kesahihannya. Hendaknya selepas merdeka kita tidak menjadi semakin bodoh dan penakut untuk mengembalikan kebijaksanaan seperti yang diceritakan dalam kisah “Hakim Beruk” itu.

Tetapi inilah yang terjadi dalam kesusasteraan Melayu moden. Kebijaksanaan itu tidak saja tidak terdapat dalam karya sastera, malah dalam penilaian yang dilakukan terhadap karya sastera.  Sudah muncul kembalikah kisah Hakim Beruk ini dalam kebudayaan Melayu? Dalam perundangan dan bidang kehakiman, persoalan ini telah dibuktikan kebenarannya dengan tertubuhnya Suruhanjaya Diraja untuk memeriksa kes “Lingam Tape” yang terekenal itu, yang telah memutuskan enam orang telah dihukum bersalah kerana menipu dalam kenaikan pangkat para hakim. Dan yang melakukannya antaranya ialah bekas seorangPerdana Menteri, dan dua orang Ketua Hakim Negara.  Hingga kini enam jahanam (meminjam judul sebuah filem P. Ramli) ini belum dihukum, kerana belum ada lagi Hakim Beruk yang berani menjadi hakim. Sungguh tajam pemerhatian nenek moyang kita yang memberikan kita cerita Hakim Beruk itu. Mari kita lihat pula dalam kesusasteraan Melayu moden. (Tunggu sambungan ...)

Mohd. Affandi Hassan, 16/5/2011.

5 comments:

  1. Aiseyman...nampak garang. tapi rupa-rupanya kuda tunggangan Anwar Ibrahim jugak hahah.

    ReplyDelete
  2. Salam kepada semua.
    Saya dahulukan ucapan terikasih dan sikap yang sebagai rakyat sebuah negara yang bebas merdeka.
    Alhamdulilah saya masih dapat berkongsi membaca suatu pandangan yang bersifat kritikal membawa dimensi lain sepatutnya menjadi pengubat minda.
    Bayangkan berapa ramai rakyat yang telah disesatkan dengan fakta-fakta dipaparkan dalam media sedangkan kita mengetahui kebenarannya sangat diragui.
    Demikian "pesta fitnah" berleluasa diusahakan oleh pihak yang berkepentingan dan berkembang biak dimerata tempat.
    Kini budaya baru seperti dilontar oleh laman ini dipandang enteng atau cuba diremehkan,malah budaya fitnah yang dibuat itulah yang hendak dipertahankan,wallahu 'alam.
    Pemikiran yang bersih dan berkualiti itulah yang sepatutnya dimajukan tetapi sebaliknya sering cuba disangkal malah dipinggirkan daripada menjadi agenda.
    Hakim diberi kuasa memutuskan dan kami hanya berpeluang memerhatikannya gelagat 'kerakusan kuasa'.
    Sekian,apa yang cuba dan ingin saya selit.

    ReplyDelete
  3. Salam.

    Terima kasih sdr. Wan Ahmadi dan Oh Me (nama ini aneh, tapi menarik!)

    Komentar Wan Ahmadi penting kerana ia menunjukkan masih ada orang yang berani mengemukakan pendapat kritis yang amat kita perlukan pada waktu ini.

    Pandangan Oh Me juga penting, kerana ia membenarkan pandangan Ku Li betapa jijiknya politik longkang dan para pendukungnya.

    ReplyDelete
  4. Tulisan anda membuka minda orang ME>>LAYU yg MUDAH LUPA !

    ReplyDelete