Bolehkah kita kemukakan satu soalan yang mungkin boleh mengejutkan para sasterawan, yang berbunyi: Mengapa kita tidak boleh berkata institusi anugerah sastera negara adalah satu bentuk (antara beberapa bentuk) fitnah dalam sastera Melayu moden? Dengan cepat seseorang akan berkata, soalan itu bermotif jahat, berniat jahat, bermaksud jahat, tidak jujur dan sengaja mencari fasal. Yang akan berkata begitu tentulah, sudah pasti, orang yang tidak membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara, tidak meneliti karya-karya yang diangkat untuk memenangi anugerah itu dengan kritis dan mendalam, dan tidak mempunyai pendirian yang tegas dan jelas dalam menentukan ukuran yang bagaimana yang seharusnya digunakan dalam menentukan bernilai tidaknya sesuatu karya sastera. Seseorang yang telah membaca laporan panel mungkin akan memberi reaksi yang sama seperti yang tidak membacanya, tetapi mungkin akan lebih bersedia untuk mendengar hujah yang dikemukakan untuk menjawab soalan itu. Soalan itu ditujukan kepada orang-orang yang cerdik dan bersedia untuk membahaskan aspek ini dengan hati terbuka, tanpa prasangka. Jika seseorang mempunyai prasangka buruk sebaik saja dia mendengar soalan itu, maka yang ditonjolkannya ialah kualiti peribadinya sendiri. Sekarang kita lihat beberapa perkara yang memang sudah sering dibicaraka dalam konteks lain, tetapi belum diberi perhatian kerana tidak ada apa-apa kejutan yang boleh mendorong seseorang yang terkejut memberikan reaksinya.
Kita lihat dalam fitnah politik, fitnah bercorak seks yang dikenakan ke atas seseorang musuh politik menjadi hujah yang berkesan dan berkuasa, dengan sokongan mahkamah, untuk menjatuhkan maruah seseorang ahli politik. Menurut Ku Li, seorang tokoh besar UMNO, fitnah ini adalah sejenis politik longkang yang menjijikkan. Lama kemudian, ketika merayakan penubuhan UMNO 65 tahun, seorang yang digelar “ulama muda”, anak bekas mufti Perlis, mengkritik politik longkang itu sambil meminta para pemimpin (UMNO dan bukan UMNO) berhenti daripada melakukannya kerana bertentangan dengan ajaran Islam. Tentu saja UMNO marah dan menentang nasihat itu, kerana bukan tugas “ulama muda” memberi nasihat kepada para pemimpin UMNO yang memang terkenal jujur dan telus. Kata “ulama muda” tadi, nasihat beliau tidak disiarkan dalam mana-mana akhbar “perdana” (menteri?). Oleh sebab fitnah adalah satu pembohongan dan maksudnya tetap jahat, maka fitnah tidak mungkin dijadikan hujah untuk menegakkan kebenaran. Malah Khalifah Sayidina Umar al-Khattab yang megintip seorang lelaki yang berduaan dengan seorang perempuan di rumahnya, ditempelak keras oleh lelaki itu; dan Sayidina Umar tidak mengasarinya kerana hujah yang digunakan oleh lelaki itu memang benar dalam pandangan Islam. Cuma di sini Sayidina Umar tidak berniat dan tidak bermaksud jahat ketika mengintip, tetapi perbuatan itu tetap salah walaupun maksudnya baik. Ada peraturan lain yang perlu diutamakan dan dipakai dalam keadaan demikian. Orang yang diintai dan Sayidina Umar sendiri tahu apakah peraturan itu. Dengan keputusan yang diambil oleh Sayidina Umar untuk tidak mengambil tindakan, maka dia tidak dapat dikatakan telah membuat fitnah, walaupun orang yang diintainya telah melakukan kesalahan besar dalam Islam.
Dalam kes “Lingam Tapes”, kita mungkin tidak terfikir bagaimana seorang Perdana Menteri boleh menipu rakyat dan para hakim dengan campur tangan secara langsung dalam kenaikan pangkat para hakim, dengan dibantu oleh dua orang Ketua Hakim Negara yang kedua-duanya bergelar “Tun”, seorang peguam yang menjadi peguam belanya yang bernama Lingam, seorang ahli perniagaan yang mendapat banyak faedah daripada kerajaan, dan seorang ketua UMNO yang menjadi Setiausaha Agung UMNO. Kalau kita tidak boleh percaya mereka tidak melakukannya, bererti kita menolak keputusan Suruhanjaya Diraja yang memeriksa kes ini, dengan itu kita memutuskan yang berbohong bukanlah kumpulan “enam jahanam” tadi, tetapi anggota Suruhanjaya Diraja sendiri. Katalah kita memilih yang kedua, maka ini pun suatu perkara yang sangat aneh, yang tidak masuk akal, yang nantinya akan membuat kita meragui semua suruhanjaya diraja yang telah ditubuhkan. Berapa banyak di antara suruhanjaya itu yang berbohong? Tidak mungkinkah terjadi andaian ketiga, iaitu kumpulan “enam jahanam” dan Suruhanjaya Diraja sendiri kedua-duanya berbohong? Semua ini berlaku kerana kita sedar kita telah tertipu beberapa kali. Dalam sastera pun begitu. Kita sering kali membaca komentar perihal para juri bersikap berat sebelah, tidak adil dan pilih kasih. (Terbaru, lihat komentar dalam Berita Harian, 17/5/2011). Jika anda juga meragui kejujuran saya, maka anda seorang yang normal. Kebebasan itu hak anda yang tidak boleh saya ganggu-gugat. Tetapi adakah dengan sangkaan itu anda telah menyatakan suatu kebenaran? Inilah yang boleh diperdebatkan dan dalam konteks inilah kita akan berdebat tentang kedudukan Panel Anugerah Sastera Negara.
Dilihat dalam konteks ini, mengapa kita tidak boleh meragui institusi anugerah sastera negara? Dalam kes “Lingam Tapes”, kita diberitahu peguam yang jadi peguam bela ahli perniagaan itu menulis keputusan hakim yang diwakili Ketua Hakim Negara. Jika dalam kumpulan manusia yang sepatutnya kita tidak ragu sama sekali integriti mereka, boleh melakukan kejahatan yang tidak terfikirkan oleh kita, maka bagaimana kita boleh mengecualikan Panel Anugerah Sastera Negara untuk cenderung melakukan kesalahan yang kita tidak nampak kerana kita tidak meneliti laporan mereka dengan kritis? Dalam hal ini, laporan mereka menjadi sumber rujukan analisis yang cukup kuat dan berwibawa untuk dijadikan asas analisis dan penilaian kita. Dalam hal ini, yang penting ialah sama ada pertimbangan itu berasaskan fakta dan pertimbangan akal yang baik, bukan berasaskan sangkaan dan perasaan semata-mata. Dengan fakta dan pertimbangan akal sihat, kita dapat menjauhkan sebarang kecacatan dalam kesimpulan yang kita buat. Orang mungkin tidak bersetuju, tetapi kita telah menyediakan mereka asas-asas untuk mereka bersetuju atau tidak bersetuju. Itulah antara ciri tulisan yang baik dan saksama. Dalam penilaian karya sastera pun begitu juga; dan dari segi inilah kita akan berbicara tentang aspek fitnah dalam sastera Melayu. Sekiranya Panel Anugerah Sastera Negara telah mengemukakan asas-asas analisis dan penghujahan mereka untuk diterima atau tidak diterima, maka kita berhak membahaskannya dengan kritis dan menolaknya jika kita mempunyai asas analisis dan penghujahan yang lebih kukuh, yang perlu kita buktikan dalam tulisan kita.
Sekarang kita lihat apakah yang ditulis dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Kita tidak perlu melihat semua laporan, kecuali jika anda seorang yang kerjanya membaca laporan kerana itulah sumber pendapatan anda, misalnya kerana kedudukan anda sebagai seorang pensyarah universiti dalam bidang sastera. Sekiranya anda tidak pernah membacanya (yakni laporan itu), maka anda mempunyai kesempatan yang luas terbuka untuk meninggalkan bidang itu, kerana universiti tidak mahu pensyarah yang tidak membaca atau tidak suka membaca, seperti yang anda tahu (tentu saja anda perlu tahu.) Jika anda mempunyai sikap negatif terhadap ilmu, dan tidak dapat membezakan mana sumber yang penting mana pula yang tidak penting, maka anda akan menulis sebuah buku kritikan sastera seperti terbitan DBP (2003) berjudul, Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan. Buku itu mengetepikan saja laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Para penulis buku itu tidak dapat mengesan betapa besarnya kesan negatif laporan itu terhadap perkembangan kritikan dan perkembangan ilmu di Malaysia. (Sila rujuk Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, bab 4. Rujuk juga bab 3 untuk mengetahui latar belakang kritikan sastera di Malaysia.) (Bahagian akhir akan menyusul ...)
Extra panas!!!
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteFitnah semakin berleluasa, menyelinap masuk dalam kehidupan kita dari segenap ruang dan peluang. Semoga dijauhkan daripada menjadi bahan fitnah atau punca tercetusnya fitnah dalam umat yang seakan-akan alpa dengan tujuan penciptaan mereka di dunia.
ReplyDeleteSaya nantikan sambungan akhir tulisan Tn. Hj. Affandi tentang perkara ini. Terima kasih atas peringatan.
Maaf, komen pertama saya di atas telah saya "delete". Ini kerana khuatir mengundang salah faham pembaca. Saya tulis kembali komen saya dengan menggunakan perkataan yang menepati maksud yang ingin saya sampaikan. Terima kasih.
ReplyDeleteSuaranya seperti tuan haji yang beriya-iya mahukan anugerah sastera tersebut, ataupun tuan haji terkilan tidak dipanggil berbincang atau menghakimi anugerah tersebut, iyelah, para akademik dan panel penilai "tidak layak"kan? Atau hanya mazhab Persuratan Baru sahaja yang layak mencium "anugerah" yang setimpal dengan pemahaman tuan haji?
ReplyDeleteSaya pun tidak bersetuju dengan kemenangan Kemala sebagai SN terbaharu, tetapi tidak mungkin bahan karyanya tidak boleh dinilai atau "tidak perlu dinilai kerana tiada taraf", seperti yang tuan haji bayangkan berlaku dalam pelbagai karya SN yang lain?
Kepada sang kera wala
ReplyDeleteTerima kasih sang kera wala (piut sang hanuman kera putih). Anda seorang peramal yang tepat. Hakim Beruk sudah ada rakan sekarang, dengan munculnya sang kera raja peramal. Sastera Melayu moden maju selangkah lagi, degan munculnya sang kera raja peramal ini. Biasanya kita dengar yang suka meramal tukang sihir, paderi, sami dan bomoh judi.
Komen-komen tohmah, prasangka, tuduhan dan sangkaan buruk yang dibuat oleh sang kera raja peramal telah dituju kepada saya sejak akhir 1960-an lagi, bukan perkara baru. Sang kera wala raja peramal harus berbangga kerana meneruskan warisan sangkaan buruk, tuduhan, prasangka, tohmah dan sebagainya dengan lebih bertanggungjawab sebagai seorang peramal profesional. Perkara-perkara begini berguna untuk dijadikan ukuran sejauh mana kita sudah dewasa dan maju dalam bidang kritikan, juga sebagai peringatan bahawa perkara-perkara begini tidak dapat dielakkan, suatu kebiasaan yang walaupun sia-sia, memberi kepuasan kepada orang-orang yang menggemarinya, seperti orang mencari bomoh judi. Tetapi ini semua tidak menjejaskan kemaraan gagasan Persuratan Baru sebagai alternatif yang diperlukan jika kita benar-benar ingin memajukan persuratan Melayu abad 21 ini. Dilihat dari perspektif ini, kritikan saya terhadap Panel Anugerah Sastera Negara dan para sasterawan negara tidak saja wajar, tetapi perlu dilakukan. Mereka telah mendedahkan diri mereka kepada fitnah intelektual yang perlu dibahaskan. Seperti sang kera raja peramal, mereka telah menjadikan budaya pandirisme sebagai ukuran dalam menilai keupayaan intelektual dalam bidang penulisan. Ini perkara penting, oleh itu harus dibahaskan dengan tegas dan tepat berasaskan gagasan Persuratan Baru, walaupun ada yang tidak menyukainya. Hanya gagasan Persuratan Baru saja yang dapat melakukannya, kerana gagasan ini diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Jika anda masih ragu-ragu, silalah gunakan gagasan Persuratan Baru dalam analisis dan penilaian anda, anda akan tahu kehebatannya.
Sentap mak nak!
ReplyDeletebrick bats and bouquets you ollzz.
sasterawan tu mmemang patut pun kena...kerajaan dah bagi semua kat depa.tapi depa duk sokong Anwar Ibrahim gak.
ReplyDeleteApa yang Anwar bagi kat diaorang?