RUMAH K.I.T.A.
Oleh Mohd. Affandi Hassan
Kaum intelek tanah air pada mulanya dikenali sebagai sasterawan atau penulis, tetapi sejak muncul pendapat baru di kalangan pengkritik yang menamakan mereka “kaum sesat di awan” sebagai nama yang lebih tepat untuk sasterawan, berasaskan hasil karya mereka yang kebanyakannya berlaku di awan awang-awangan, maka golongan sasterawan dan para penulis menaikkan martabat mereka menjadi kaum intelek, sama taraf dengan ahli sains, profesor atau pensyarah universiti. Ada puak yang mengatakan mereka sesat kerana memuja syaitan yang bernama Mephistopheles, mengangkat Hang Jebat dan Si Tanggang yang menderhaka itu menjadi wira mereka, memuja pelacuran sebagai tema agung karya mereka, pendeknya kerana mereka membawa ajaran menyeleweng dalam budaya Melayu akibat terikut-ikut pengaruh Barat. Sejak itu, selama kira-kira empat puluh tahun ini, nama persatuan mereka diubah menjadi KITA (akronim bagi Kaum Intelek Tanah Air), bukan lagi GASPEN (Golongan Sasterawan dan Penulis) seperti nama asal. Baiknya nama itu sudah terbukti apabila saham KITA yang diapungkan di Bursa Saham KL naik harga menjadi hampir-hampir RM30.00 satu saham. Tak pasal-pasal orang berduit, yang tidak semestinya ahli KITA, yang membeli saham itu menjadi kaya raya.
Ahli ekonomi yang buta politik dan buta budaya, yang tidak memahami peranan para sasterawan dalam masyarakat, tidak dapat menghuraikan dengan tepat mengapa saham KITA menjadi begitu tinggi di pasaran. Para penganalisis itu melihat hanya aspek ekonomi semata-mata, tidak aspek intelektual. Oleh itu mereka tidak sedar bahawa para sasterawan kini dibeli oleh ahli-ahli politik dan parti-parti politik untuk keperluan politik mereka. Semua ini tidak disedari kerana terlalu luas terbuka di pasaran, sehingga orang tidak peduli sedikit pun peranan para sasterawan itu sudah berubah dari “sasterawan pejuang rakyat” kepada “sasterawan peneroka kekayaan”. Maksud “kekayaan” itu tidak terbatas kepada wang ringgit saja, tetapi lebih luas. Termasuk juga kedudukan, pangkat, gelaran, persahabatan dengan ahli politik berjawatan, dan lain-lain yang boleh membawa “kekayaan”. Kerana itulah ramai di antara ahli sastera yang dulunya berslogan “sastera untuk rakyat” diberi gelar Dato’, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk Wira, Datuk Patinggi dan sebagainya, sesuai dengan peranan baru mereka. Demikianlah bagaimana saham mereka meningkat begitu tinggi, setelah diapungkan di pasaran terbuka, boleh dibeli dan dipunyai dengan mudah oleh ahli-ahli politik yang banyak wang dan berkuasa pula.
Orang-orang yang buta politik, buta budaya, dan buta ekonomi, tentu tidak faham mengapa kaum sasterawan yang sudah menjadi kaum intelek itu tidak kisah apabila bahasa Melayu diketepikan dan bahasa Inggeris disanjung; atau apabila budaya kuning digalakkan di media massa, di rangkaian TV rasmi dan milik syarikat, di pesta-pesta liar yang diberi nama “citra warna” atau “gendang-gedembung pelancong”, heboh sana heboh sini sehingga menjadi “sure” pasti; gosip yang dibudayakan; berita sensasi yang dinaikkan tarafnya menjadi kewartawanan baru dengan laporan terperinci tentang perogolan dan perzinaan anak-anak dara Melayu dilakukan oleh lelaki Melayu berbagai peringkat umur dari pelbagai jenis dan kedudukan; program TV yang penuh babak pembunuhan, kelucahan dan kekejaman; dan banyak lagi yang sudah masuk ke dalam karya-karya para sasterawan menjadi tajuk-tajuk novel seperti TIVI yang dipuji-puji para pengkritik sebagai karya berunsur Islam; atau pemujaan terhadap syaitan yang diberi nama Mephistopheles meniru Geothe yang menurut para sasterawan perlu dicontohi kecerdikannya; atau yang menjadikan Hang Jebat Raja Kendak dan Raja Amuk sebagai wira; malah para penderhaka seperti Si Tanggang kini menjadi wira budak-budak sekolah, diajar oleh guru-guru yang memberitahu muridnya bahawa itulah usahawan Melayu pertama sebelum wujud DEB lagi. Semua kegilaan ini menjadi kemegahan dan sanjungan sejak para sasterawan diapungkan di pasaran, boleh dibeli dengan mudah oleh ahli-ahli politik yang rakus sokongan dan rakus pujian. Ahli-ahli politik ini tersengih-sengih senang hati mendengar puji-pujian para sasterawan yang membaca sajak-sajak khas yang mereka tulis untuk melambungkan jasa-jasa ahli politik sebagai pengumpul harta yang pemurah dan pembolot kuasa yang jujur.
Ketika berkumpul di Rumah KITA untuk satu upacara meraikan kemenangan salah seorang dari mereka diberi suatu anugerah, seorang intelek negara berkata kepada teman-temannya, setelah membaca banyak ejekan terhadap mereka:
-Sekarang kita setaraf dengan ahli politik, setaraf dengan Menteri atau Ketua Menteri dan Menteri Besar, sama-sama bergelar, sama-sama duduk semeja, sama-sama kenal mengenal satu sama lain. Apa kita peduli jika ada kera sumbang keji kita setelah kita naik taraf? Biarkan kera terus sumbang. Biarkan Si Lunchai terkapai-kapai lemas. Siapa suruh dia terjun dalam sungai kritikan? Biarkan mereka. Kita berjuang begitu lama untuk diiktiraf, untuk dihormati, untuk diberi kedudukan tinggi. Mengapa kita harus malu jika kita apungkan maruah kita di Bursa Saham KL? Persatuan kita untung, kita yang aktif ini pun dapat faedah. Siapa yang tidak mahu ke luar negeri sepanjang masa, melawat dan memperkenalkan diri kita? Aku fikir kita membuat keputusan yang tepat dengan mencontohi ahli politik. Mengapa kamu diam?
Mereka tertawa beramai-ramai.
-Betul juga pandangan kamu, kata seorang yang dihormati di antara mereka. Tapi aku rasa tidak sedap juga bila timbul kritikan mengatakan kita para intelek negara ini tak lebih daripada golongan munafik baru yang mencari kesempatan. Sumbangan intelek kosong, yang melimpah ruah hanya retorik saja. Aku tersipu juga bila ada anak-anak muda yang tidak intelek lebih intelek daripada kita, menghasilkan karya-karya intelek mereka yang bagus-bagus. Kamu, apa yang kamu hasilkan dalam masa sepuluh tahun ini?, dia mencabar seorang sahabatnya yang sangat gigih mempertahankan kedudukannya dalam KITA. Semua mereka tertawa, termasuk yang dicabar.
Sebenarnya dalam masa dua puluh tahun lebih ini dia hanya bercakap dan bertanding jawatan saja. Hatta sebuah sajak kabur tidak bermutu pun tidak ditulisnya. Tetapi dia seorang tokoh penting persatuan KITA, seorang yang menunggu dengan sabar untuk duduk di kerusi Ketua Agung.
-Semuanya tidak perlu, kata yang dicabar. Yang penting, kita diterima oleh tuan kita sebagai golongan intelek yang berjasa. Itu sudah cukup bagiku.
-Ya, ya …, seru yang lain beramai-ramai, seolah-olah mengaminkan pandagan intelek teman mereka.
-Tapi aku naik angin juga, kata seorang yang baru diberi anugerah. Lama dulu aku menulis novelku yang terpenting, menjadi pelopor novel-novel jenis itu di Tanah Melayu. Di dalamnya aku buat satu gaya senyuman istimewa, yang aku suka (lalu dia tersenyum terpulas-pulas bibirnya), aku beri nama senyuman jubur itik lepas berak …
Mereka tertawa kuat beramai-ramai.
-Agaknya berapa lama kau renung jubur itik berak sebelum dapat ilham itu?, seseorang mengusik, disambut tertawa beramai-ramai.
-Mengapa pula kau naik angin? Itu kan perbandingan yang sangat original dan kreatif, menggantikan senyum kambing yang terkenal selama ini …, kata seorang sambil tertawa.
-Aku naik angin bila aku dipanggil “intelek jubur itik”. Bolehkah aku saman budak nakal itu?
Semua mereka tertawa kuat lagi.
-Memang boleh saman, tapi samanmu akan dikenal nanti sebagai “saman jubur itik”. Kau mau itu?
Riuh mereka tertawa, sampai ada yang keluar air mata kerana terlalu lucu. Hairan juga bagaiman jubur itik boleh diangkat begitu tinggi menjadi sejenis senyuman istimewa.
-Tak usah naik angin. Kalau tidak kerana senyuman jubur itik kamu itu, aku fikir kau tidak akan diberi anugerah. Itulah hikmah jubur itik…
Para intelek negara itu tertawa riuh rendah. Ada yang memaki hamun kerana terlalu lucu sehingga membuat mereka terlajak menjadi lucah.
-Semuanya boleh jadi dalam sastera, kata seorang profesor sastera. Sesuatu yang bermutu dan original akan diketawakan, kerana belum biasa. Selepas ini, senyuman jubur itik akan menjadi sebahagian daripada kebudayaan tinggi kita.
Beberapa orang yang ingin tertawa tertahan-tahan menahan sebak hati, kerana hormatkan pandangan profesor sastera yang terkenal itu. Seorang yang lain berkata dengan geram:
-Yang buat aku marah bukan timbulnya jenis senyuman seperti jubur itik itu. Aku perhatikan ada ahli politik yang tersenyum persis seperti itu. Sebenarnya apa bezanya senyuman jubur itik dengan jubur ayam? Yang buat aku marah ialah apabila kita semua ini dianggap intelek shit oleh golongan muda yang marah-marah dan dengki. Ini semua kerana Shahnon Ahmad …
Semua intelek negara itu tunduk seolah-olah mencoba melindungi kemaluan besar mereka kerana diejek sedemikian rupa oleh anak-anak muda yang mereka dakwa dididik oleh mereka sendiri.
-Shahnon kata ada Era Shit dalam politik Malaysia. Ada jugakah Era Shit dalam dunia intelek kita? Aku tidak faham mengapa puak kita sendiri yang mengutuk kita, padahal orang macam Shahnon itu sudah diberi macam-macam anugerah dan kedudukan. Mau apa lagi?
-Ini betul-betul shit!, jerit seorang dengan marah. Patutnya sudah tua-tua begini kita dijulang tinggi-tinggi oleh anak-anak muda yang gila nama gila glamour itu… Kita sudah beri peluang, mereka berakkan kita pula. Tidakkah ini betul-betul perangai shit?
-Sebenarnya KITA sebagai sebuah persatuan kepunyaan kita sudah jadi kuat, terkenal seluruh dunia, dipuji merata tempat seluruh dunia. KITA sudah ada rumah sendiri. Kita sekarang ada syarikat sendiri, ada simpanan sudah mencecah jutaan, ada bangunan dan ada tanah sendiri. Ini semua hadiah teman-teman kita ahli politik yang prihatin. Kita berjaya, kerana perjuangan kita ikhlas, maka itulah kita dikritik. Kita dikritik kerana kejayaan kita. Bagiku itu satu penghormatan, bukan ejekan atau sindirian.
Mereka mengangguk sambil mendengus gembira, seperti dengusan singa yang sedang melapah daging rusa yang baru ditangkapnya.
-Sebagai golongan intelek, kita sudah berjasa besar. Coba hitung, sudah berapa ratus seminar kita anjurkan, sudah berapa ribu kertas kerja kita kumpulkan, sudah berapa ratus badan intelektual seluruh dunia kita hubungi dan mengenal kita sebagai satu-satunya wakil kaum intelek Malaysia. Malah ada di antara kerabat kita yang sudah jadi menteri. Jika itu semua bukan kejayaan, apakah kejayaan?
Cabaran Ketua Agung KITA disamburt dengan anggukan kepala beramai-ramai, tegolek-golek seperti buah kelapa kering hanyut di laut.
-Dengan kedudukan ini, dengan wang yang banyak, dengan prestij yang KITA punyai sekarang, kita boleh menjelajah dunia. Ini zaman global, zaman Penglima Awang moden menjelajah dunia sebagai duta bebas, bukan sebagai abdi penjajah lagi. Inilah kejayaan KITA.
Semua kaum intelek itu diam bangga, kerana kejayaan itu dicapai oleh mereka sendiri tanpa pertolongan sesiapa pun, kecuali kawan-kawan dari kalangan ahli politik saja.
-Aku intelek miskin, rajin menulis, kini sudah siap tiga buah buku penting. Siapa yang mahu terbitkan?, tiba-tiba seorang di antara mereka mengadu. Bolehkah KITA terbitkan karya aku ini? Atau pinjamkan aku sedikit wang supaya aku boleh terbitkan sendiri? Aku akan bayar dari hasil jualan buku aku nanti. Siapa yang sokong aku?
Semua mereka tersenyum, tidak tersentuh oleh permintaan teman mereka yang tiada kedudukan apa-apa dalam KITA atau di mana-mana saja, sambil memerhatikan Ketua Agung KITA yang kelihatan masam saja mukanya.
-Aku betul-betul perlu pertolongan, bukan nak sindir-sindir sesiapa, kata intelek yang perlu bantuan itu.
-Kita sudah punya penerbit terbesar negara yang kita perjuangkan dulu untuk menerbitkan hasil karya kaum intelek tanah air. KITA tidak ada wang untuk menerbitkan karya, tidak ada wang untuk diberi pinjam kepada ahli kerana KITA bukan bank. KITA sebuah pertubuhan sukarela. Ini mesti difahami …
Yang membuat cadangan tersengih. Lama juga kaum intelek itu terdiam.
-Jadikah lawatan ke Cina bulan depan?, seseorang berbisik.
-Eh, kau belum dapat tiket lagi?
-Tiket saudara agak lewat, tapi dapat, kata Ketua Agung KITA yang mendengar bisikan cemas itu. Dia kelihatan tidak selesa dengan bisikan itu.
-Ah, tiket? Tiket apa?, tanya seseorang yang nampaknya tidak tahu menahu rancangan melawat China itu.
-Tiket saudara untuk berceramah di Langkawi sudah ada, kata Ketua Agung KITA menyelamatkan keraguan yang bertanya.
-Ohh… Terima kasih, katanya tesengih lega, puas hati.
tamat
Petaling Jaya,
28 Mei 2004
No comments:
Post a Comment