Thursday, November 12, 2020

BILA AHLI POLITIK GILA BABI

(Nota: maksud gila babi di sini ialah epilepsi, sejenis penyakit saraf yang boleh menyerang seseorang pesakit secara tiba-tiba, dan boleh membuatnya terguling di mana saja serangan itu berlaku, termasuk di jalan laluan).

 

Saya sokong jika PM Tebuk Atap betul-betul mahu isytiharkan darurat. Inilah pilihan terbaik bagi seorang ahli politik untuk mengekalkan KUASANYA yang diperolehi dari “tebuk atap”.  Ini merupakan bukti terbaik bagaimana konsep mobilization of bias dilaksanakan secara kontan, tidak teragak-agak lagi.  Inilah hakikat demokrasi, yang membenarkan tindakan jahat dilakukan untuk mempertahankan demokrasi itu. Orang selalu berkata Parlimen adalah lambang demokrasi. Karut. Tidak ada sebuah negara pun di dalam dunia yang mengaku melaksanakan demokrasi menjadikan Parlimen sebagai lambang demokrasi. Parlimen adalah tempat pembohongan dan kejahatan diluluskan untuk mengekalkan kuasa politik parti yang mempunyai majoriti, sekecil mana pun majoriti itu. Oleh itu, semua ahli politik adalah pengkhianat yang bertindak untuk membela rakyat dengan menggunakan demokrasi sebagai hujah untuk membenarkan pengkhianatan itu diteruskan.

 

@@@@@

 

Pendahuluan entri ini saya tulis sebelum kegagalan PM mendapat kebenaran Agong dan Raja-raja untuk mengizinkan perintah darurat atas alasan untuk memudahkan “perang” terhadap Covid-19.  Peristiwa ini amat penting sebagai bukti bahawa ahli politik menggunakan peluang apa saja untuk mengekalkan kedudukannya, sebagai PM dan lain-ain kedudukan.  Tidak ada seorang pun dari kalangan ahli politik yang tidak mementingkan diri dan kedudukannya.  Pengakuan dan penegasan yang sering mereka lontarkan bahawa mereka mengambil sesuatu tindakan untuk kebaikan rakyat adalah pembohongan biasa yang sering ditegaskan, dan rakyat menerima pembohongan ini kerana menurut mereka adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk menerima pembohongan ahli politik kerana itulah tuntutan yang dikenakan ke atas rakyat supaya para ahli politik boleh terus berkuasa.

 

Bagaimana pula dengan keadaan dalam sastera Melayu?  Ada tidak pembohongan dan penipuan dalam menilai karya para sasterawan negara misalnya?  Bagaimana kita boleh menentukan dengan tepat dan ilmiah bahawa karya para sasterawan negara itulah yang terbaik pernah dilahirkan di Malaysia? Saya telah mengkritik ukuran yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara sebagai ukuran picisan, dan telah memberi penjelasan yang tepat kepada kesimpulan itu. Anda boleh dapat ini dalam blog ini jika anda membacanya dengan teliti dan cara bacaan anda tidak picisan.  Saya telah memberi penekanan kepada konsep picisan kerana penilaian berasaskan ukuran picisan yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera adalah sejenis penipuan intelektual yang dengan sombong diteruskan untuk membuktikan bahawa pembohongan intelektual adalah penting dalam perkembangan sastera Melayu moden. Hujah-hujah saya telah saya jelaskan dalam buku penting mengenai persoalan ini yang saya tidak mahu sebut judulnya kerana saya yakin sebodoh-bodoh pembaca pun tahu judul buku itu. Hingga kini belum ada sanggahan dan tidak mungkin akan lahir apa-apa sanggahan kerana yang dihuraikan dalam buku itu merupakan hakikat sebenar yang berlaku dalam pemilihan para sasterawan negara yang picisan itu.

 

Salah satu kelebihan gagasan Persuratan Baru ialah kerana PB dapat menyelesaikan masalah kejahilan dan kedegilan pandirisme ini.  Persuratan Baru terbuka untuk dikritik, dan dikritik sehabis kritis.  Boleh saja dibawa masuk beratus (jika ada) teori Barat atau teori dari mana saja untuk menangkis gagasan Persuratan Baru dan membuktikan penilaian berasaskan gagasan Persuratan Baru tidak tepat, tidak objektif dan tidak cocok dengan   “bentuk dan isi” karya yang dinilai. Sila berikan hujah anda supaya pendirian dan penilaian anda boleh difahami oleh orang lain; dan anda juga mesti bersedia untuk dikritik dengan sehabis kritis. Kita perlukan dialog terbuka begini, bukan saja untuk memahami satu sama lain, tetapi juga untuk menolak yang palsu dan selekeh dari segi pemikiran dan penghujahan.   Jika anda belum bersedia untuk dialog itu, anda diberi peluang dan masa yang anda  perlukan, berapa lama pun anda mahu. Saya telah memberikan caranya dengan mengemukakan tiga jenis karya yang kini terdapat dalam sastera Melayu. Apakah tiga jenis karya itu juga telah diberi penjelasan dalam blog ini dan dalam buku yang saya sebut itu.  Sekarang giliran anda pula, yang tidak bersetuju dengan saya, untuk membuktikan saya telah melakukan kesilapan intelektual yang besar ketika menilai para sasterawan negara sebagai penulis picisan. Jangan berdiam diri kerana ini tidak baik untuk perkembangan ilmu.  Kita tidak mahu penyakit gila babi intelektual berada dalam kritikan sastera Melayu.

 

Oleh sebab saya seorang penulis kreatif dan seorang pengkritik sastera yang melontarkan teori kritikan berasaskan konsep ilmu yang benar, maka anda yang lebih cerdik daripada saya boleh mengkritik sumbangan saya seberapa kritis yang anda mahu, dilakukan secara perseorangan atau secara berkelompok dalam kumpulan tertenu, supaya anda dapat mengumpul hujah-hujah intelektual yang anda mampu menelurkannya, supaya dengan itu anda dapat membuktikan karya kreatif saya tidak bermutu dan karya kritikan saya tidak ada asas intelektual dan tidak ada asas akademik. Mahu apa lagi, ruang begitu luas terbuka untuk anda buktikan penilaian saya tentang para sasterawan negara salah, dan penilaian songsang ahli Panel Anugeraah Sastera Negara itulah yang betul. Jika anda beranggapan saya tidak perlu dilayan, hanya membuang masa, dan tidak perlu diberi perhatian secebis pun, maka sikap itu hanya membenarkan anggapan saya bahawa anda bukanlah layak menggelarkan diri anda ahli akademik atau apa saja gelaran yang anda pandang istimewa, seperti gelaran profesor sastera dan yang seumpamanya, kerana sikap negatif anda menjadi bukti bahawa anda sebenarnya termasuk golongan picisan yang tidak mampu berfikir dan berhujah secara ilmiah dan secara akademik.  Saya bermurah hati memberitahu anda perkara ini untuk memberi kesempatan kepada anda mendalamkan lagi pengetahuan anda tentang sastera supaya anda dapat menangkis cabaran Persuratan Baru. Saya kira cabaran ini wajar, untuk mengelak daripada kegiatan penipuan intelektual anda yang sudah sekian lama anda lakukan tanpa sebarang kritikan atau teguran. Zaman gelap jahiliah sastera dalam sastrera Melayu yang dipertahankan selama ini sudah berakhir, dengan wujudnya gagasan Persuratan Baru dan karya yang berasaskan gagasan itu yang ditulis oleh pencetus idea itu sendiri, seperti novel ulung Pujangga Melayu, yang ternyata lebih bermutu, jauh lebih bermutu daripada karya besar Tolstoy War and Peace!  Jika para sarjana sastera kita mempunyai maruah ilmiah yang tinggi, mereka tentu akan menyahut cabaran ini. Sayangnya, mereka tidak membaca Pujangga Melayu, dan jauh sekali membaca War and Peace yang tebal itu. Sekiranya para profesor sastera kita terus bangga berbohong kepada para siswa mereka, maka mereka hanya meneruskan dengan bangga dan bodoh kedudukan mereka sebagai sarjana picisan. Saya tidak keberatan menerima mereka seadanya , kerana itulah saja kemampuan intelektual mereka. Walaupun dunia akademik kita akan terus menjadi bahan tertawa, kita harus berbangga kerana kita sekurang-kurangnya berjaya melahirkan badut sastera yang ramai, walaupun mereka badut picisan.

 

Demikianlah penipuan intelektual diteruskan dalam budaya Melayu, khususnya dalam dunia sastera yang memang riuh dengan suara para badut sastera ini. Adakah ini nasib yang menimpa sastera Melayu atau itulah pilihan terbaik yang boleh kita lakukan untuk dijadikan tradisi picisan sastera Melayu moden. Pengkhianatan akademik ini boleh diatasi dengan menerima kemunculan Gagasan Persuratan Baru sebagai jalan keluar terbaik dari kesesatan akademik ini.

 

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 12 November 2020.

 

 

 

 

 

 

 

 

 



3 comments:

  1. Bukankah tidak sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui.
    Malahan Gagasan Persuratan Baru dianggap sebagai suara atau idea yang "gharib"dianggap janggal, pelik dan berseorangan melaungkan gagasan ini.
    "Kayu ukur" yang dicadangkan ini menjadi saingan, perhitungan hidup dan mati mereka itu.
    Tanpa kemahuan, keinginan atau tiada terbuka hati, akal minda mereka selamanya tetap menolak gagasan ini, betapa baik pun ia tetap dipandang sepi, dilayan secara endah tak endah sahaja.
    Memandang hanya dengan sebelah mata.
    Gagasan ini dilihat sangat menggugat status yang mereka berada atau miliki sekarang tentulah penafian atau penentangan ini akan berterusan sampai bila-bila..!!,
    Itu sahaja sedikit pendapat yang ingin saya coretkan di sini.
    Terima kasih tuan. Salam hormat.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum tn.haji
    Boleh diceritakan mengenai perkembangan projek besar yang tuan usahakan dalam tempoh dua tahun lalu...
    Harap dapat dikongsikan kepada kami dan pembaca lain, Inshaa-Allah.
    Moga tuan sentiasa di dalam lindungan Tuhan.
    Wassalam.

    ReplyDelete
  3. Sangat teruja kami untuk melihat hasil yang satu ini. Untuk terus menikmati karya yang berimpak tinggi kepada Persuratan Melayu Baru.
    Penantian yang mendebarkan.

    ReplyDelete