Friday, November 6, 2020

LAGI TULISAN LAMA YANG MENARIK DAN KRITIS UNTUK DIKRITIK

 

SURATAN KATA, SIRATAN MAKNA:

 

NOTA TENTANG KONSEP STYLIZATION OF IDEAS

 

                                        Mohd. Affandi Hassan

                                        20 April 2001

 

          Gagasan Persuratan Baru menekankan dua aspek utama dalam penulisan: ilmu dan bakat yang tinggi (i.e. kemahiran mengarang yang tinggi). Ditekankan pentingnya style penulisan yang bersifat ilmiah dari segi isi, tetapi indah dari segi penyampaian atau persembahan (bentuk). Konsep style yang sebenarnya merujuk kepada “epistemic choices” dalam penulisan – i.e. pengarang menyerlahkan kemampuan ilmiah/intelektual dan seninya dalam bahasa kesarjanaan (atau ilmiah) tetapi indah dari segi pengucapannya. [Untuk memahami makna dan konsep “epistemic choices”, baca Richard M. Ohmann, “Prolegomena to the Analysis of Prose Fiction” dalam Essays in Stylistic Analysis, ed. H.S.Babb (1972); juga terdapat dalam Style in Prose Fiction: English Institute Essays 1958 (Columbia University Press, 1959); lihat juga tulisan pendek Goethe yang sangat penting, “Simple Imitation of Nature; Manner; Style” dlm. Theories of Style ed. Lane Cooper (1907, reprint 1968).  Lihat kata “stylize” dalam Webster’s Dictionary: Encyclopedic Edition untuk mendapat gambaran tentang makna “stylize”.

 

          Istilah “stylization of ideas” digunakan kerana pada mulanya ada cadangan akan menulis sebuah rencana dalam bahasa Inggeris berjudul, “Stylization of ideas in Literature: Islamic Perspective.” Belum tulis lagi. Cadangan itu masih hangat.

 

          Istilah Melayu untuk “stylization of ideas” belum ada lagi. Tetapi setelah menimbang beberapa konsep dalam seni tenunan, anyaman, dan batik, terdapat istilah-istilah seperti “ragi” (corak atau warna kain); “kelarai” (corak tenunan, anyaman, batik); “sirat” untuk tekatan, anyaman bakul, raga, dinding dll, jala, pukat dll; “sulaman”; “anyaman”; “corak” dan sebagainya. Berdasarkan pemeriksaan konsep-konsep tadi, dipilih istilah “siratan makna”, yang boleh dipakai untuk sementara waktu sebelum ditemui istilah yang lebih tepat. Perkataan “sirat” merujuk kepada sejenis kemahiran, yang hasilnya berguna untuk manusia dan cantik ikatannya, i.e. practical and beautiful. Pada mulanya tertarik kepada ungkapan “kelarai pemikiran”, tetapi ternyata tidak tepat kerana akan diterjemahkan sebagai “pattern of ideas”. Dengan memakai “siratan makna” untuk istilah “stylization of ideas”, kita menekankan dua aspek penting Persuratan Baru, i.e. ilmu dan kemahiran (bakat yang tinggi). Siratan merujuk kepada kemahiran, yakni bakat yang tinggi dalam mencipta sesuatu yang menarik/baru. Makna merujuk aspek intelektual, yakni ilmu. Kita boleh ringkaskan begini: Suratan kata (yang lahir) membawa kepada Siratan makna (yang tersembunyi). Yang “tersirat” (tersembunyi) lebih kaya maknanya daripada yang “tersurat” (bentuk luaran). Style merujuk dua perkara ini: yang tersurat kata-kata, tetapi berasaskan “epistemic choices” (yang tersirat, i.e. makna yang mendalam yang lahir daripada pemilihan kata-kata dan siratan ayat yang dipakai pengarang). Bahasa yang dipakai diberi makna yang mendalam dalam siratan kata yang halus berseni, indah ikatannya, dan tepat penggunaannya.

 

          Untuk memudahkan pemahaman, lihat contoh-contoh yang berikut.

 

          Dalam Pujangga Melayu, hal. 220, terdapat petikan satu bait syair Iqbal. Ungkapan “menggempur langit angkasa” merujuk kepada doa: walaupun semuanya telah ditentukan (ditakdirkan), tetapi manusia disuruh berdoa. Dengan usaha dan doa, takdir tadi menjadi suatu ketentuan yang dinamik, yang mendorong manusia untuk berusaha dan terus berdoa (menyerahkan kepada Allah). Usaha itu amal salih (seperti yang digambarkan dalam Ayat 1000 Dinar yang masyhur itu), dan doa merupakan penyerahan usaha tadi ke hadirat Allah Ta’ala. Jadi watak yang kuat menurut Iqbal ialah yang dapat “menggempur langit angkasa”, yang sanggup meminta kepada Allah untuk mengubah nasibnya di dunia dengan usahanya. Watak yang kuat itu ialah yang bertakwa dan beramal salih; dia mendapat apa yang dimintanya berasaskan janji Allah seperti dalam Ayat 1000 Dinar itu. Inilah contoh stylization of ideas atau siratan makna yang dimaksudkan. Contoh lain pada hal. 167. Di sini Iqbal menceritakan kreativiti manusia yang tak terbatas yang mendapat ilham daripada ciptaan Allah Ta'ala. Perhatikan yang ditekankan di sini ialah hal-hal kebaikan, kekuatan peribadi; bukan keburukan atau peribadi yang lemah. Ini sifat asasi persuratan Islam, dan ini dicapai melalui stylization of ideas. Contoh lain dalam Pujangga Melayu ialah cerita jenaka “Lembu Masuk Universiti” hal. 669-675. Renungkan dengan kritis perbualan yang mengikutinya, hal. 676-679. Di sini yang dipentingkan “makna”, bukan naratif dan watak.

 

          Setiap karya yang ditulis dalam kesedaran konsep stylization of ideas memerlukan strategi penulisan (rhetoric of fiction) yang sesuai. Aligupit boleh dibaca dari mula hingga akhir, atau dimulai dari akhir, atau ditengah-tengah, atau di mana saja – sama seperti kita melihat awan larat atau kelarai/corak permaidani, boleh dimulai di mana saja. Jika permaidani itu dari sutera buatan tangan yang halus, setiap sudut memberikan kita warna yang berbeza. Cobalah perhatikan sendiri untuk mendapat pengalaman seni

yang mempesonakan.  Tiap tirai dalam Aligupit boleh berdiri sendiri, dinikmati sebagai adanya, tetapi semua tirai mempuyai kaitan satu sama lain dalam makna keseluruhan. Judul Aligupit boleh dibaca aligupit, tipugila, gilatipu. Tirai menyembunyikan sesuatu, yang juga bermakna menutup dari penglihatan; tetapi apabila tirai dibuka, bermulalah kisah (seperti dalam drama pentas). Dalam Pujangga Melayu style yang dipilih lain: dimulai dari alif, diakhiri dengan “ya”. Yang hendak diketengahkan ialah konsep pengarang dan pendidikannya. Stylization of ideas diserlahkan dalam perilaku watak utama. Sebagai contoh: lihat idea tentang kekuatan peribadi dikaitkan dengan istilah “lanang jati” dan nama yang baik yang diberikan kepada watak utama. Sejak permulaan cerita lagi persoalan nama ini dibahaskan. Nama Awang mencerminkan budaya Melayu, tetapi mempunyai makna “terpuji” atau “dipuji” dan “disayangi” dalam konteks Islam, sesuai dengan nama Ahmad atau Muhammad. Nama yang terpuji (bagi Nabi) sentiasa diiringi dengan selawat sewaktu menyebut namanya. Setiap orang – terutama pengarang Islam, mestilah berusaha untuk mendapat kedudukan itu. Seluruh isi buku kemudiannya menggambarkan bagaimana hal itu boleh dicapai. Dalam naratif yang diberikan untuk mencapai matlamat itu, berbagai persoalan ditimbulkan dan diolah. Semuanya bertujuan untuk mentakrifkan makna “pengarang” dalam Persuratan Baru. Penggunaan konsep taklif sebagai paksi pengolahan bertujuan untuk memberi wajah/bentuk kepada gagasan Persuratan Baru.

 

          Lihat contoh kecil dalam cerita pendek “Tenggelam di Lautan China”. Perhatikan suratan kata: tenggelam=lemas (masih boleh diselamatkan); tenggelam=hilang (masih boleh dicari dan mungkin boleh ditemui); tenggelam=lenyap (ghaib, habis, sirna, musnah, tak ada lagi, tamat, finished, the end). Lautan China=Laut China Selatan (tempat peristiwa tenggelam itu berlaku). Lautan China=di tengah-tengah lautan orang China yang ramai. Dalam cerita itu, nelayan tenggelam ke dua-dua sekali, i.e. di tengah laut dan di tengah orang China. Yang tinggal ialah patung “pahlawan laut” (i.e. Pak Ngah Seman) yang dibina oleh tokoh China. (Mengapa dia yang bina?) Patung yang kaku. Mati. Di bawahnya segala macam “pembangunan dan kemajuan” sedang berlaku. Idea tentang “kemusnahan” satu bangsa diberi wajah/bentuk dalam satu naratif yang agak sinis/pesimis kerana kisah diakhiri dengan ayat: “Mereka lebih senang bercerita dengan bangga tentang kemajuan perusahaan ikan yang sudah mereka tinggalkan itu.” Bayangkan “siratan makna”nya: Satu bangsa dengan bangga menceritakan kemusnahan mereka (kerana mereka tidak mengerti!!). Ingatlah kota-kota tinggalan penjajah jadi kemegahan sejarah Melaka dan barang pelancongan yang dibanggakan!!

 

          Sebuah contoh lagi. Cerita pendek “Penjual Bintang”. Kaitkan ini dengan hadith sahih yang menyatakan bahawa para sahabat Nabi ibarat bintang-bintang, sesiapa juga yang diambil untuk dijadikan panduan, tidak akan sesat. Lihat tafsiran Jalaluddin Rumi tentang hadith ini dalam bukunya Fihi ma Fihi, diterjemahkan Signs of the Unseen oleh W.M.Thackston, Jr., hal. 134 ff. Rumi menceritakan bagaimana khalifah ketiga, Uthman Ibn Affan, berdiri membisu di atas mimbar selepas dilantik menjadi khalifah. Kata Rumi, alangkah banyaknya yang “diucapkan” dalam diam yang panjang itu. Kata Rumi, itulah makna hadith tadi: bintang tidak bercakap kepada manusia, tetapi orang yang arif menjadikanya panduan dalam perjalanan. Siapakah yang boleh bercakap dengan para sahabat yang telah wafat? Tetapi  kita  sedar akan kehadiran mereka, dan kita kenal sifat-sifat mereka. Mereka telah membisu, tetapi berkata dengan fasih dan banyak sekali melalui pengetahuan kita tentang mereka.

 

          Apakah yang terjadi dalam “Penjual Bintang’? Kebalikan daripada maksud hadith tadi. Bintang di sini merujuk kepada kepalsuan, pura-pura, munafik, penipuan, kezaliman, kejahatan, kesombongan, akhlak yang rendah, keburukan dsbnya. Syarikat penjual bintang diringkaskan menjadi SOT (Syarikat Orang Terbilang). “Sot” dalam bahasa Perancis bererti “bodoh”. Cerita pendek ini menggunakan konsep “bintang” – sesuatu yang disanjung dan dihargai – untuk menceritakan tentang perubahan nilai dalam masyarakat yang memberi penghormatan tinggi kerpada pembuat maksiat, penipu, pembohong dsbnya melalui anugerah negara. Inilah penyelewengan agama yang tak ketara, tetapi direstui oleh para ulama yang juga mengejar bintang. (Bandingkan cerita pendek ini dengan “Bukan Tahi Bintang” yang mengolah kepalsuan ini lebih jauh). Perhatikan bagaimana seorang profesor tua, terikut2 mengejar bintang itu. Apakah maknanya? Penyelewengan budaya dan nilai ini dilakukan oleh orang-orang yang kita percayai boleh memberi teladan yang baik dan ajaran yang benar, tetapi merekalah yang merosakkan kita semua. Penyelewengan  begini berlaku juga dalam memberi tafsiran kepada ayat-ayat Quran. Contoh paling terkenal ialah tafsiran terhadap ayat 13:11 “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (Tafsir Pimpinan al-Rahman). Lihat nota 444 yang mentafsirkan  ayat ini dengan betul oleh ulama besar dari Kelantan, Tuan Guru Hj. Mohd. Noor bin Hj. Ibrahim. Tafsir Muhammad Asad The Message of the Quran dan Abdullah Yusuf Ali The Holy Quran memberikan tafsiran yang sama. Tetapi  ulama2 kerajaan, i.e. ulama UMNO, mufti dll, memberi tafsiran yang menyeleweng, mengaitkan maksud ayat itu dengan “kemajuan kebendaan”, i.e. berusahalah bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib bagi mendapat kemajuan ... Sama dengan yang diberi oleh tafsir Indonesia yang popular di Malaysia, al-Quran dan Terjemahnya. Apa maknanya? Ulama yang diberi bintang dan bergelar Dato dll., sesuai dengan konsep “bintang” yang telah berubah tadi, memberikan tafsiran yang menyeleweng kepada ayat-ayat Quran. Mereka tidak dapat dijadikan panduan lagi. Mereka telah mengubah makna kerohanian, menjadikannya makna sekular sepenuhnya. Semuanya boleh dijual beli, termasuk kebenaran agama

 

          Perhatikan bagaimana ahli ekonomi/pakar ekonomi luar negeri memberi penghargaan tinggi kepada penjual bintang kerana inovasinya. Persis inilah yang dilakukan Teeuw dan A.H.Johns terhadap Salina dan Ranjau Sepanjang Jalan.

 

          Konsep stylization of ideas merangkumi taknik menulis yang dipakai dalam satire, parody, allegory dan lain-lain yang banyak menggunakan simbolism, metaphor, simile dsbnya. Istilah-istilah Greek/Latin itu tidak semuanya boleh dipakaikan kepada karya-karya Islam, kerana itu pujangga Islam memberi nama mereka sendiri kepada hasil karya mereka: syair, mathnawi, ghazal, maqamat, nazam, dll. Karya-karya itu dibina dengan menggunakan stylization of ideas yang banyak menggunakan metaphor dan simile. [Lihat buku Kamal Abu Deeb Al-Jurjani’s Theory of Poetic Imagery UKM  PJ 7553 Abu]

 

          Dengan menggunakan konsep stylization of ideas atau siratan makna, kita dapat menulis karya dengan ekonomis, tetapi kaya dengan makna. Untuk memahaminya, perlu huraian/analisis yang mendalam berasaskan pengalaman intelektual yang luas. Perlu memahami dinamika perubahan nilai dalam masyarakat dan melihat bagaimana pengarang menyerlahkannya dalam karyanya.

 

          Dengan menggunakan konsep stylization of ideas ini, kita dapat mengelak daripada terpesona dengan kepalsuan makna dan penilaian, seperti yang digambarkan dalam peristiwa Balqis dengan Nabi Sulaiman a.s. Balqis melihat illusion, dan bertindak (membuat keputusan, penilaian) berasaskan illusion itu. Dalam penilaian terhadap karya A.Samad Said, Shahnon Ahmad dan lain-lain,  para sarjana dan pengkritik menggunakan illusion yang mengelirukan itu sebagai asas penilaian, sebab itu apabila dinilai daripada sudut reality, daripada pandangan Nabi Sulaiman a.s. berasaskan taklif, maka karya tadi tidak boleh dipertahankan lagi.

 

          Siratan makna yang diperlihatkan dalam Quran sangat banyak, dan indah sekali. Ambil satu contoh: ayat  17:24  menggunakan sayap burung untuk menggambarkan kasih ibu. Perhatikan bagaimana ibu burung, yang terbang mencari makan untuk anaknya, kembali membawa makanan, melebarkan sayapnya seketika, kemudian hinggap perlahan-lahan, dan menutup sayapnya perlahan-lahan. Lalu memberi makanan itu. Sayap yang dikembangkan, direndahkan, hinggap yang perlahan, dan pemberian makanan semuanya diambil daripada kejadian alam yang boleh dilihat manusia, tetapi diberi makna yang sangat kaya yang menggambarkan kasih sayang tadi. (Lihat penjelasan Muhammad Asad dalam tafsirnya, hlm. 422, nota 28.) Contoh lain, tentang pakaian dalam ayat 7:26, yang menyatakan bahawa pakaian itu menutup bahagian yang memalukan manusia, ertinya melindunginya daripada sifat-sifat yang memalukan. Tetapi pakaian takwa itulah yang lebih baik. Jika kita sentiasa berpakaian untuk berada dalam  keadaan selesa, maka kita juga diberitahu jiwa/ruh juga perlu pakaian, yang dinamakan takwa. Pakaian itulah yang terbaik sekali kerana dari situ pakaian yang zahir akan diberi makna dan bentuk yang selaras dengan pakaian batin tadi. Makna takwa menjadi jelas dengan perbandingan ini.

 

          Orang Jepun, melalui haiku, menggunakan konsep stylization of ideas ini untuk menggambarkan ajaran Buddha/Zen. Haiku paling terkenal oleh Basho menggambarkan seekor katak melompat ke kolam, dengan percikan air dan bunyi deburan kecil. Ini dianalisis dengan panjang lebar dan panjang berjela-jela oleh sarjana Jepun. Yang boleh kita pelajari di sini ialah bahawa konsep ini disedari oleh seniman tulen, tetapi tidak diketahui oleh sasterawan yang suka meniru-niru saja. Pantun Melayu amat kaya dengan siratan makna yang berlapis-lapis, yang semuanya diambil daripada pengalaman hidup berasaskan kepada pemerhatian terhadap alam dan perilaku manusia. Untuk melihat struktur pantun Melayu dengan lebih tepat, istilah baru perlu digunakan bagi menggambarkan sifat asli pantun Melayu. Dua baris pertama lebih tepat dipanggil “gambaran alam”, manakala dua baris kedua dipanggil “matlamat atau falsafahnya”. Dengan itu pantun akan terjamin untuk dicipta berasaskan pemerhatian terhadap alam dan perilaku manusia (termasuk binatang), seperti yang dilakukan oleh orang Melayu dari asalnya.

 

          Stylization of ideas memberi ukuran estetik dalam penilaian karya dan menyediakan hujahnya sekali dalam penilaian itu. Rujuk kembali contoh2 yang diberikan untuk memahami kesimpulan ini.

No comments:

Post a Comment