RUMAH
K.I.T.A.
Oleh
Mohd. Affandi Hassan
Kaum intelek tanah air pada mulanya
dikenali sebagai sasterawan atau penulis, tetapi sejak muncul pendapat baru di
kalangan pengkritik yang menamakan mereka “kaum sesat di awan” sebagai nama
yang lebih tepat untuk sasterawan, berasaskan hasil karya mereka yang kebanyakannya
berlaku di awan awang-awangan, maka golongan sasterawan dan para penulis
menaikkan martabat mereka menjadi kaum intelek, sama taraf dengan ahli sains,
profesor atau pensyarah universiti. Ada puak yang mengatakan mereka sesat
kerana memuja syaitan yang bernama Mephistopheles, mengangkat Hang Jebat dan Si
Tanggang yang menderhaka itu menjadi wira mereka, memuja pelacuran sebagai tema
agung karya mereka, pendeknya kerana mereka membawa ajaran menyeleweng dalam
budaya Melayu akibat terikut-ikut pengaruh Barat. Sejak itu, selama kira-kira
empat puluh tahun ini, nama persatuan mereka diubah menjadi KITA (akronim bagi
Kaum Intelek Tanah Air), bukan lagi GASPEN (Golongan Sasterawan dan Penulis)
seperti nama asal. Baiknya nama itu sudah terbukti apabila saham KITA yang
diapungkan di Bursa
Saham KL naik harga menjadi hampir-hampir RM30.00 satu saham. Tak pasal-pasal
orang berduit, yang tidak semestinya ahli KITA, yang membeli saham itu menjadi
kaya raya.
Ahli
ekonomi yang buta politik dan buta budaya, yang tidak memahami peranan para
sasterawan dalam masyarakat, tidak dapat menghuraikan dengan tepat mengapa
saham KITA menjadi begitu tinggi di pasaran. Para
penganalisis itu melihat hanya aspek ekonomi semata-mata, tidak aspek
intelektual. Oleh itu mereka tidak sedar bahawa para sasterawan kini dibeli
oleh ahli-ahli politik dan parti-parti politik untuk keperluan politik mereka.
Semua ini tidak disedari kerana terlalu luas terbuka di pasaran, sehingga orang tidak peduli
sedikit pun peranan para sasterawan itu sudah berubah dari “sasterawan pejuang
rakyat” kepada “sasterawan peneroka kekayaan”. Maksud “kekayaan” itu tidak
terbatas kepada wang ringgit saja, tetapi lebih luas. Termasuk juga kedudukan,
pangkat, gelaran, persahabatan dengan ahli politik berjawatan, dan lain-lain
yang boleh membawa “kekayaan”. Kerana itulah ramai di antara ahli sastera yang
dulunya berslogan “sastera untuk rakyat” diberi gelar Dato’, Tan Sri, Datuk
Seri, Datuk Wira, Datuk Patinggi dan sebagainya, sesuai dengan peranan baru
mereka. Demikianlah bagaimana saham mereka meningkat begitu tinggi, setelah
diapungkan di pasaran terbuka, boleh dibeli dan dipunyai dengan mudah oleh
ahli-ahli politik yang banyak wang dan berkuasa pula.
Orang-orang yang buta politik, buta budaya,
dan buta ekonomi, tentu tidak faham mengapa kaum sasterawan yang sudah menjadi
kaum intelek itu tidak kisah apabila bahasa Melayu diketepikan dan bahasa
Inggeris disanjung; atau apabila budaya kuning digalakkan di media massa, di
rangkaian TV rasmi dan milik syarikat, di pesta-pesta liar yang diberi nama
“citra warna” atau “gendang-gedembung pelancong”, heboh sana heboh sini
sehingga menjadi “sure” pasti; gosip
yang dibudayakan; berita sensasi yang dinaikkan tarafnya menjadi kewartawanan
baru dengan laporan terperinci tentang perogolan dan perzinaan anak-anak dara
Melayu dilakukan oleh lelaki Melayu berbagai peringkat umur dari pelbagai jenis
dan kedudukan; program TV yang penuh babak pembunuhan, kelucahan dan kekejaman; dan
banyak lagi yang sudah masuk ke dalam karya-karya para sasterawan menjadi
tajuk-tajuk novel seperti TIVI yang
dipuji-puji para pengkritik sebagai karya berunsur Islam; atau pemujaan
terhadap syaitan yang diberi nama Mephistopheles meniru Geothe yang menurut
para sasterawan perlu dicontohi kecerdikannya;
atau yang menjadikan Hang Jebat Raja Kendak dan Raja Amuk sebagai wira;
malah para penderhaka seperti Si Tanggang kini menjadi wira budak-budak
sekolah, diajar oleh guru-guru yang memberitahu muridnya bahawa itulah usahawan
Melayu pertama sebelum wujud DEB lagi. Semua kegilaan ini menjadi kemegahan dan
sanjungan sejak para sasterawan diapungkan di pasaran, boleh dibeli dengan
mudah oleh ahli-ahli politik yang rakus sokongan dan rakus pujian. Ahli-ahli politik
ini tersengih-sengih senang hati mendengar puji-pujian para sasterawan yang
membaca sajak-sajak khas yang mereka tulis untuk melambungkan jasa-jasa ahli
politik sebagai pengumpul harta yang pemurah dan pembolot kuasa yang jujur.
Ketika berkumpul di Rumah KITA untuk
satu upacara meraikan kemenangan salah seorang dari mereka diberi suatu
anugerah, seorang intelek negara berkata kepada teman-temannya, setelah membaca
banyak ejekan terhadap mereka:
-Sekarang kita setaraf dengan ahli
politik, setaraf dengan Menteri atau Ketua Menteri dan Menteri Besar, sama-sama
bergelar, sama-sama duduk semeja, sama-sama kenal mengenal satu sama lain. Apa
kita peduli jika ada kera sumbang keji kita setelah kita naik taraf?
Biarkan kera terus sumbang. Biarkan Si Lunchai terkapai-kapai lemas. Siapa
suruh dia terjun dalam sungai kritikan? Biarkan mereka. Kita berjuang begitu
lama untuk diiktiraf, untuk dihormati, untuk diberi kedudukan tinggi. Mengapa
kita harus malu jika kita apungkan maruah kita di Bursa Saham KL? Persatuan kita untung, kita
yang aktif ini pun dapat faedah. Siapa yang tidak mahu ke luar negeri sepanjang
masa, melawat dan memperkenalkan diri kita? Aku fikir kita membuat keputusan
yang tepat dengan mencontohi ahli politik. Mengapa kamu diam?
Mereka tertawa beramai-ramai.
-Betul juga pandangan kamu, kata
seorang yang dihormati di antara mereka. Tapi aku rasa tidak sedap juga bila
timbul kritikan mengatakan kita para intelek negara ini tak lebih daripada
golongan munafik baru yang mencari kesempatan. Sumbangan intelek kosong, yang
melimpah ruah hanya retorik saja. Aku tersipu juga bila ada anak-anak muda yang
tidak intelek lebih intelek daripada kita, menghasilkan karya-karya intelek
mereka yang bagus-bagus. Kamu, apa yang kamu hasilkan dalam masa sepuluh tahun
ini?, dia mencabar seorang sahabatnya yang sangat gigih mempertahankan
kedudukannya dalam KITA. Semua mereka
tertawa, termasuk yang dicabar.
Sebenarnya dalam masa dua puluh
tahun lebih ini dia hanya bercakap dan bertanding jawatan saja. Hatta sebuah
sajak kabur tidak bermutu pun tidak ditulisnya. Tetapi dia seorang tokoh
penting persatuan KITA, seorang yang menunggu dengan sabar untuk duduk di
kerusi Ketua Agung.
-Semuanya tidak perlu, kata yang
dicabar. Yang penting, kita diterima oleh tuan kita sebagai golongan intelek
yang berjasa. Itu sudah cukup bagiku.
-Ya, ya …, seru yang lain
beramai-ramai, seolah-olah mengaminkan pandagan intelek teman mereka.
-Tapi aku naik angin juga, kata
seorang yang baru diberi anugerah. Lama dulu aku menulis novelku yang terpenting,
menjadi pelopor novel-novel jenis itu di Tanah Melayu. Di dalamnya aku buat
satu gaya
senyuman istimewa, yang aku suka (lalu dia tersenyum terpulas-pulas bibirnya),
aku beri nama senyuman jubur itik lepas
berak …
Mereka tertawa kuat beramai-ramai.
-Agaknya berapa lama kau renung
jubur itik berak sebelum dapat ilham itu?, seseorang mengusik, disambut tertawa
beramai-ramai.
-Mengapa pula kau naik angin? Itu kan perbandingan yang
sangat original dan kreatif, menggantikan senyum kambing yang terkenal selama
ini …, kata seorang sambil tertawa.
-Aku naik angin bila aku dipanggil
“intelek jubur itik”. Bolehkah aku saman budak nakal itu?
Semua mereka tertawa kuat lagi.
-Memang boleh saman, tapi samanmu
akan dikenal nanti sebagai “saman jubur itik”. Kau mau itu?
Riuh mereka tertawa, sampai ada yang
keluar air mata kerana terlalu lucu. Hairan juga bagaiman jubur itik boleh
diangkat begitu tinggi menjadi sejenis senyuman istimewa.
-Tak usah naik angin. Kalau tidak kerana
senyuman jubur itik kamu itu, aku fikir kau tidak akan diberi anugerah. Itulah
hikmah jubur itik…
Para
intelek negara itu tertawa riuh rendah. Ada
yang memaki hamun kerana terlalu lucu sehingga membuat mereka terlajak menjadi
lucah.
-Semuanya boleh jadi dalam sastera,
kata seorang profesor sastera. Sesuatu yang bermutu dan original akan
diketawakan, kerana belum biasa. Selepas ini, senyuman jubur itik akan menjadi
sebahagian daripada kebudayaan tinggi kita.
Beberapa orang yang ingin tertawa tertahan-tahan
menahan sebak hati, kerana hormatkan pandangan profesor sastera yang terkenal
itu. Seorang yang lain berkata dengan geram:
-Yang buat aku marah bukan timbulnya
jenis senyuman seperti jubur itik itu. Aku perhatikan ada ahli politik yang
tersenyum persis seperti itu. Sebenarnya apa bezanya senyuman jubur itik dengan
jubur ayam? Yang buat aku marah ialah apabila kita semua ini dianggap intelek shit oleh golongan muda yang marah-marah
dan dengki. Ini semua kerana Shahnon Ahmad …
Semua intelek negara itu tunduk
seolah-olah mencoba melindungi kemaluan besar mereka kerana diejek sedemikian
rupa oleh anak-anak muda yang mereka dakwa dididik oleh mereka sendiri.
-Shahnon kata ada Era Shit dalam
politik Malaysia.
Ada jugakah Era
Shit dalam dunia intelek kita? Aku tidak faham mengapa puak kita sendiri yang
mengutuk kita, padahal orang macam Shahnon itu sudah diberi macam-macam
anugerah dan kedudukan. Mau apa lagi?
-Ini betul-betul shit!, jerit seorang dengan marah. Patutnya
sudah tua-tua begini kita dijulang tinggi-tinggi oleh anak-anak muda yang gila
nama gila glamour itu… Kita sudah
beri peluang, mereka berakkan kita
pula. Tidakkah ini betul-betul perangai shit?
-Sebenarnya KITA sebagai sebuah
persatuan kepunyaan kita sudah jadi kuat, terkenal seluruh dunia, dipuji merata
tempat seluruh dunia. KITA sudah ada rumah sendiri. Kita sekarang ada syarikat
sendiri, ada simpanan sudah mencecah jutaan, ada bangunan dan ada tanah
sendiri. Ini semua hadiah teman-teman kita ahli politik yang prihatin. Kita
berjaya, kerana perjuangan kita ikhlas, maka itulah kita dikritik. Kita
dikritik kerana kejayaan kita. Bagiku itu satu penghormatan, bukan ejekan atau
sindirian.
Mereka mengangguk sambil mendengus
gembira, seperti dengusan singa yang sedang melapah daging rusa yang baru
ditangkapnya.
-Sebagai golongan intelek, kita
sudah berjasa besar. Coba hitung, sudah berapa ratus seminar kita anjurkan,
sudah berapa ribu kertas kerja kita kumpulkan, sudah berapa ratus badan
intelektual seluruh dunia kita hubungi dan mengenal kita sebagai satu-satunya
wakil kaum intelek Malaysia.
Malah ada di antara kerabat kita yang sudah jadi menteri. Jika itu semua bukan
kejayaan, apakah kejayaan?
Cabaran Ketua Agung KITA disamburt
dengan anggukan kepala beramai-ramai, tegolek-golek seperti buah kelapa kering
hanyut di laut.
-Dengan kedudukan ini, dengan wang
yang banyak, dengan prestij yang KITA punyai sekarang, kita boleh menjelajah
dunia. Ini zaman global, zaman Penglima Awang moden menjelajah dunia sebagai
duta bebas, bukan sebagai abdi penjajah lagi. Inilah kejayaan KITA.
Semua
kaum intelek itu diam bangga, kerana kejayaan itu dicapai oleh mereka sendiri
tanpa pertolongan sesiapa pun, kecuali kawan-kawan dari kalangan ahli politik
saja.
-Aku intelek miskin, rajin menulis,
kini sudah siap tiga buah buku penting. Siapa yang mahu terbitkan?, tiba-tiba
seorang di antara mereka mengadu. Bolehkah KITA terbitkan karya aku ini? Atau
pinjamkan aku sedikit wang supaya aku boleh terbitkan sendiri? Aku akan bayar
dari hasil jualan buku aku nanti. Siapa yang sokong aku?
Semua mereka tersenyum, tidak
tersentuh oleh permintaan teman mereka yang tiada kedudukan apa-apa dalam KITA
atau di mana-mana saja, sambil memerhatikan Ketua Agung KITA yang kelihatan
masam saja mukanya.
-Aku betul-betul perlu pertolongan,
bukan nak sindir-sindir sesiapa, kata intelek yang perlu bantuan itu.
-Kita sudah punya penerbit terbesar
negara yang kita perjuangkan dulu untuk menerbitkan hasil karya kaum intelek
tanah air. KITA tidak ada wang untuk menerbitkan karya, tidak ada wang untuk
diberi pinjam kepada ahli kerana KITA bukan bank. KITA sebuah pertubuhan
sukarela. Ini mesti difahami …
Yang membuat cadangan tersengih.
Lama juga kaum intelek itu terdiam.
-Jadikah lawatan ke Cina bulan
depan?, seseorang berbisik.
-Eh, kau belum dapat tiket lagi?
-Tiket saudara agak lewat, tapi
dapat, kata Ketua Agung KITA yang mendengar bisikan cemas itu. Dia kelihatan
tidak selesa dengan bisikan itu.
-Ah, tiket? Tiket apa?, tanya
seseorang yang nampaknya tidak tahu menahu rancangan melawat China itu.
-Tiket saudara untuk berceramah di
Langkawi sudah ada, kata Ketua Agung KITA menyelamatkan keraguan yang bertanya.
-Ohh… Terima kasih, katanya tesengih
lega, puas hati.
tamat
Petaling
Jaya,
28
Mei 2004