Sunday, March 22, 2020

PEMBOHONGAN SEBAGAI IDEOLOGI POLITIK MALAYSIA

Bila kita ikuti dengan kritis perbincangan politik di Malaysia oleh ahli parti, maka setiap anggota parti dan ketua parti dengan angkuh mendakwa bahawa mereka adalah pemimpin parti yang menjadi pembela rakyat. Kalau anda dengar perbincangan di antara ketua-ketua parti di mana-mana media, kita akan dapati tiada seorang pun anggota parti dan ketua parti tidak menegaskan dengan angkuh bahawa mereka mewakili rakyat dan matlamat mereka untuk menang dalam pilihan raya supaya rakyat terbela dan kehidupan mereka diberi perhatian dan penekanan supaya mereka, rakyat dan pengundi mereka, mendapat peluang untuk menikmati kemakmuran negara. Inilah retorik pembohongan politik yang diulang sudah berapa juta kali sejak Malaysia dikatakan merdeka, padahal pada hakikatnya rakyat dibelenggu oleh sistem pembohongan politik yang dicetuskan dalam manifesto pilihan raya dan dalam ceramah politik untuk mendapat sokongan pengundi, yakni rakyat.  Tidak ada ketua parti yang mengatakan mereka menggunakan kedudukan mereka dalam parti untuk mendapat kemewahan dan mengaut kekayaan dengan menggunakan kedudukan mereka dalam parti.  Inilah pembohongan yang mereka ungkap dengan manis dan meyakinkan supaya mereka diberi kuasa melalui pilihan raya.  Jika anda seorang pemerhati politik yang pintar dan cerdas berfikir, anda akan dapat melihat bagaimana pembohongan itu diungkap dalam kata-kata bersemangat untuk kononnya membela rakyat dan mengheret mereka keluar dari kemiskinan. Jika kita percaya kita telah dimerdekakan pada tahun 1957, bulan Ogos, maka kita berhak meragui kejujuran para pendukung parti politik yang secara total gagal mengangkat rakyat keluar dari belenggu kemiskinan. Yang kaya raya dan hidup mewah ialah para ketua parti. Di mana ada ketua parti yang tidak mewah hidupnya? Mengejar kemewahan adalah matlamat ketua parti; seperti yang ditunjukkan oleh anggota PAS yang bertugas sebagai Exco Kelantan yang baru saja lagi membeli kereta Mercedes untuk kegunaan Ahli Exco, berjumlah 12 buah (lebih lagi?) yang setiap satunya berharga $700,000! Kata ahli Exco PAS Kelantan, semua anggota Exco berhak mendapat kereta itu kerana murah dari segi ekonomi penggunaannya.  Tahan lama pula …

Contoh ini sangat baik dalam konteks pembohongan politik ini.  Orang PAS pun manusia yang ada nafsu inginkan kemewahan yang boleh diperoleh dari kedudukan politik mereka; oleh itu mereka pun sama juga dengan gembung-gembung UMNO yang para pemimpinnya amat mewah.  Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan bangganya memberitahu rakyat Malaysia bahawa di bawah kepemimpinan beliau, semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara hendaklah mengisytiharkan harta mereka kepada Parlemen.  Yang tidak mahu membuatnya hanya anggota PAS, kerana menurut ustaz mereka yang maksum memperagakan harta adalah haram; dan jika didedahkan dengan perisytiharan di Dewan Rakyat, maka perbuatan itu haram kerana memperagakan kekayaan.  Tentang perisytiharan harta ini Buyung Lurus telah memberikan contohnya dari ahli politik England yang diketuai James Callaghan yang mengisytiharkan hartanya sendiri dan semua para jemaah menteri dan pegawai kanan yang dimuat dalam The London Times (edisi Ahad) dalam bulan April 1976, sebaik saja Parti Buruh menang pilihan raya. Kata ahli PAS dan tokoh-tokoh mereka yang maksum, perbuatan itu haram, kerana ada muslihat hendak menunjuk-nunjukkan kekayaan atau kemiskinan!  Ini bukan pendirian Islam, kata gembung-gembung PAS yang maksum.

Kalau benarlah anggota parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad jujur, mereka sepatutnya melakukan perisytiharan harta seperti yang dilakukan oleh orang kafir dari England itu. Nampaknya orang kafir jauh lebih jujur dan berani daripada orang …. (anda tambah sendiri siapa mereka!)

Pembohongan adalah budaya politik yang dijadikan ideologi yang sah dalam politik Malaysia, dan semua ahli politik sangat bangga menjadi penganut ideologi pembohongan politik itu.  Itulah tradisi politik dalam Islam, kata gembung-gembung politik yang menjadikan Islam sebagai alat untuk mendapat kedudukan dan kekayaan, kemewahan dan sanjungan pengikut.  Siapakah tokoh pembohong Malaysia telah pun diberitahu oleh Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj, dan orang itu sangat bangga mengaku beliau berbohong kerana katanya dengan jujur dia tidak sangka akan menang pilihan raya. Orang ini diberi gelaran sebagai seorang, kononnya, yang layak dipanggil “negarawan”, padahal yang lebih cocok dan lebih tepat beliau adalah seorang “nagarawan” – naga yang rawan. Apa makna “rawan” dalam bahasa Melayu? Saya sudah jelaskan hal ini dalam entri yang lepas, oleh itu tak perlu diberi penjelasan lagi.

Dalam politik moden, pembohongan diberi nama strategi, atau muslihat dalam bahasa Melayu. Politik memerlukan strategi untuk mencapai kemenangan. Tidak ada seorang yang memanggil dirinya tokoh politik tidak tahu makna strategi dan matlamat strategi itu. Dalam ungkapan yang mudah, semua muslihat bertujuan untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya. Kerana kemenangan itu matlamat utama, maka tidak ada muslihat yang tidak boleh dipakai untuk mencapai tujuan mendapat kuasa apabila sudah menang dalam pilihan raya.  Faham demokrasi telah mendapat, dan diberi, kedudukan yang istimewa dalam politik moden. Pembohongan, yang diberi nama mobilization of bias, menjadi dasar perjuangan semua ahli politik yang mendukung faham demokrasi.   Ahli politik tidak mahu terima hakikat bahawa demokrasi adalah punca segala kejahatan dalam politik, punca segala jenis penipuan, dan puca segala jenis penindasan. Pengalaman demokrasi di Malaysia amat jelas menyokong kesimpulan ini.  Ingat saja operasi lalang yang masyhur itu, yang menurut Mahathir Mohamed perlu dilaksanakan dengan keras kerana kedudukan beliau terancam.  Peristiwa Memali 1985 bertujuan untuk menghapuskan ajaran sesat Ibrahim Libya yang sedang membuat persediaan untuk menyerang kerajaan UMNO. Menurut Musa Hitam, bukan dia yang mengarahkan pertempuran polis dengan pengikut Ibrahim Libya; yang betul ialah Mahathir Mohamad sendiri yang ada dalam negeri ketika kejadian itu berlaku.  Beliaulah yang memberi arahan untuk menangkap Ibrahim Libya. Mahathir Mohamad menafikan dia yang memulai pembunuhan rakyat di Memali itu; yang menurutnya atas arahan Musa Hitam. Sekarang kita ada dua versi. Mana satu yang betul? Tak mungkin kedua-dua pemimpin UMNO ini berbohong.  Tak mungkin juga kedua-duanya bercakap benar.  Apakah sebenarnya yang berlaku?  Siapa yang bertanggungjawab di atas kejadian itu?  Wartawan yang sinis berkata, kejadian itu terjadi sendiri, tiada siapa pun dari UMNO yang terlibat. Adakah ini boleh membersihkan nama UMNO?  Jangan lupa, berapa lama Mahathir Mohamad menggunakan UMNO untuk mencapai cita-cita politik peribadinya.  Dengan bangganya Mahathir Mohamad berkata Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak gagal membantu orang Melayu yang terus miskin. Apa yang dia buat selama 22 tahun dan kemudiannya tambah 2 tahun lagi untuk membantu Melayu?  Semua ini menjadi bukti siapa sebenarnya orang yang bernama Mahathir Mohamad itu.

Kesilapan besar orang Melayu ialah apabila mereka meletakkan Mahathir Mohamad sebagai ketua mereka, dan percaya pula kepada tokoh pembohong ini. Sebenarnya orang Melayu sendiri suka berbohong, dan menjadikan pembohongan sebagai salah satu ciri budaya mereka yang utama. Pada mulanya saya agak ragu hendak mempercayai kesimpulan pakar budaya Melayu yang memberikan kesimpulan itu; lalu saya uji pada bulan puasa lepas. Saya beli sejenis kueh yang terkenal di Kelantan, terutama pada bulan puasa.  Bila saya bertanya adakah kueh ini buatan orang Kelantan, penjual dengan bersungguh-sungguh mengiakan. Bila saya rasa ketika berbuka, ternyata itu kueh tiruan, tiada langsung rasa Kelantan yang memang tidak dapat diragui jika benarlah kueh itu buatan orang Kelantan. Mengapa penjual itu sanggup berbohong hatta di bulan puasa sekali pun?  Penjual itu bukan orang Kelantan, oleh itu anda boleh saja berkata tentu dia tidak tahu, dia hanya tukang jual saja. Jika inilah yang berlaku, ada aspek lain yang saya tidak mahu sebut di sini. Anda boleh fikir sendiri jika anda mahu. Beginilah, ketika diadakan pertandingan merebut Ketua UMNO antara Ku Li dengan Mahathir, semua ahli UMNO dari Kelantan memilih Mahathir. Undi itu berjumlah 43 undi, semuanya memihak kepada Mahathir. Siapa boleh beri penjelasan mengapa hal ini berlaku? 

Ada orang bilang, pengundi UMNO Kelantan memang bodoh, dan korup.  Mungkin juga! Tetapi gembung-gembung PAS berkata, pengundi Kelantanlah yang paling cerdik, kerana terus memilih PAS, walaupun PAS tidak berusaha dan tidak berdaya membaiki ekonomi Melayu. Akhirnya ketua-ketua PAS berkata, pengundi Kelantan tahu dosa pahala, dan mengundi calon yang boleh menjadi saksi mereka di akhirat nanti. Sebodoh itukah pengundi Kelantan?  Sekarang orang Kelantan sangat bangga kerana Exco PAS menggunakan Mercedes besar yang setiap satu berharga RM700,000!  Menurut MB PAS, kereta itu ekonomi, boleh tahan lama pula.

Berapa lama pula PAS boleh bertahan?  Sekarang PAS sudah masuk UMNO, sudah pun menubuhkan Kerajaan Nasional bersama sebuah parti kecil kepunyaan Mahathir Mohamad, tetapi dirampas oleh Muhyiddin Yasin yang melantik dirinya menjadi PM ke-8.  Kata para penyokongnya, PM ke-8 adalah PM terbaik yang pernah dilahirkan Malaysia. Sebenarnya semua PM Malaysia adalah terbaik, kerana semua mereka datang dari UMNO. Dalam UMNO tiada pemimpin yang korup. Itulah hakikatnya politik pembohongan Malaysia, warisan British yang tentunya sangat happy melihat kejayaan polisinya hingga selepas yang dikatakan merdeka itu. Paling hebat, Mahathir Mohamad berusaha untuk menjadikan bahasa Inggeris bahasa negara dalam Sains dan Matematik, katanya. Itulah jasa Mahathir Mohamad yang teragung.

Demikianlah hikayat politik Malaysia yang diceritakan oleh Buyung Lurus, tokoh terbesar dalam sastera Melayu.  Buyung Luruslah yang mengupas dengan mendalam makna dan maksud korupsi dalam politik Malaysia.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20 Mac 2020.


Saturday, March 14, 2020

GAGASAN PERSURATAN BARU DAN PARA PENENTANGNYA

Saya diberitahu PB ditentang hebat oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Bila saya bertanya, “Mengapa ditentang?”, jawapan yang diberikan pada hemat saya adalah yang paling bodoh dan tidak siuman. Saya diberitahu PB ditentang kerana menghina para sasterawan negara, menghina kesusasteraan Melayu, dan menghina para pengkritik sastera dan para sarjana sastera.  Orang ini  tidak dapat  membezakan kritikan dan penghinaan. Kalau anda tidak bersetuju, menurut mereka anda telah menghina mereka.

Mengapa saya terus menerus membangkitkan persoalan penerimaan PB dalam sastera Melayu? Saya lihat para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera Melayu sudah lama hanyut dalam teori sastera Barat yang hanyir dan hapak itu, yang menentang ilmu dan tidak terbuka untuk menerima pandangan yang bertentangan dengan mereka. Saya fikir tentu ada di antara sarjana sastera Melayu yang tahu dan mungkin faham maksud saya. Semua ini terjadi, menurut hemat saya, kerana mereka tidak benar-benar faham teori sastera Barat yang menentang ilmu, kerana terlalu ghairah dengan luahan hawa nafsu rendah manusia dalam penulisan kreatif mereka. (Mengenai persoalan ini, sila rujuk buku Pitirim Sorokin, The Crisis of Our Age, (1941); Robert Sinai, The Decadence of the Modern World (tesis Ph.D, Union Graduate School, 1976). Saya sudah buktikan perkara ini dalam tulisan saya, dan sesiapa juga yang membacanya tahu maksud saya. Semua ini terjadi kerana mereka ingin mempertahankan kedudukan para sasterawan negara. Inilah sikap tidak siuman yang saya maksudkan. Jika mereka benar-benar hendak mempertahankan para sasterawan negara, mereka harus bersedia untuk menerima sasterawan negara perlu dikritik sehabis kritis untuk menyerlahkan keistimewaan mereka. Inilah yang saya cabar mereka lakukan terhadap karya saya sendiri, tetapi mereka tahu mereka tidak dapat melakukannya kerana dengan berbuat begitu, mereka tiada pilihan melainkan terpaksa meletakkan karya kreatif saya jauh lebih bermutu daripada mana-mana karya para sasterawan negara. Cabaran ini terbuka untuk semua sarjana menafikannya dan menolaknya, dengan hujah yang objektif. Saya kira ini satu cabaran yang adil dan tiada sedikit pun terdapat apa-apa penghinaan. Tujuannya hanya satu: membuktikan karya para sasterawan negara itu sebenarnya karya picisan saja jika dinilai dari perspektif PB.

Kita lihat satu contoh yang diberikan oleh A. Samad Said.

Ketika membicarakan karya-karya A. Samad Said, terutama Salina, Panel Anugerah Sastera Negara menegaskan, kekuatan beliau, selain ketangkasannya meniru dan menggunakan teknik penulisan Barat seperti realisme dan naturalisme, ialah kekayaan unsur kemanusiaan di dalam karya-karyanya. Salina, seorang pelacur, bukanlah sebarang pelacur, tetapi seorang pelacur yang baik hati (ingat: baik secara umum berbeza daripada baik hati yang khusus) dan kaya nilai-nilai kemanusiaannya. Seperti yang diakui oleh A. Samad Said sendiri, novel Salina ditulis dengan penuh kesedaran untuk menceritakan “kisah seorang pelacur yang baik hati” yang bernama Salina, yang gagal dalam percintaan pertama, tetapi semangat kewanitaannya tetap kuat dan teguh, sehingga dia sanggup bersekedudukan dengan seorang lelaki yang pada dasarnya kejam, tetapi dapat memuaskan keperluan tabii dan keperluan kerohanian Salina. Lelaki perkasa itu tidak dicintainya, tetapi disayanginya kerana mempunyai iras yang hampir sama dengan kekasihnya yang meninggal dunia. Tidak penting sama ada unsur psikologi di sini amat dangkal dan terlalu kebudakan, kerana yang lebih diutamakan ialah sejenis sensasi berasaskan seks yang tidak keterlaluan, tetapi cukup untuk melukiskan watak seorang pelacur yang dalam kumpulannya dapat dikatakan bertaraf selebriti tersendiri. Tidak syak lagi, tujuan dan matlamat A. Samad Said untuk berkisah tentang seorang pelacur yang baik hati sudah tercapai dengan jayanya. Salina kemudiannya, di tangan para sarjana Melayu, terutama di tangan sarjana wanita, diangkat menjadi wanita unggul kerana sifat kemanusiaannya yang kaya dan tidak berpura-pura. Pada waktu itu, menurut pemerhatian A. Samad Said, watak wanita Melayu yang menjadi pelacur itulah yang paling menarik untuk dijadikan watak unggul dalam sastera Melayu, dalam bentuk novel yang menurut penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, “Salina membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan yang jitu.” Kekaguman Panel terletak pada keupayaan A. Samad Said “mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka” (Laporan 1985, hal. 13). Bagi Panel, A. Samad Said adalah seorang sasterawan yang par excellence, yang amat istimewa. Walaupun Salina dicabar oleh pembaca yang lebih matang (yang tidak semestinya tua, kerana terdapat pembaca yang matang ini dari kalangan remaja sekalipun), yang menolak Salina sebagai racun tidak ketara dalam kesusasteraan Melayu, yang telah mengheret pembaca Melayu menjadi begitu lembik pemikiran dan daya analisisnya kerana terpesona oleh kepalsuan permainan bahasa yang kosong dari makna yang mendalam tentang erti kehidupan manusia yang sekali atau beberapa kali dalam kehidupannya timbul perasaan menyesal dan ingin bertaubat kerana di sudut paling lemah di dalam hatinya masih berkelip rasa insaf dan ingin kembali menjadi manusia, namun pengaruh hedonisme dan mendalamnya erti sastera dan karya sastera dalam pengertian Barat yang dihunjam ke dalam lubuk hati para pembaca Melayu oleh pengkritik dan sarjana sastera, juga oleh para sasterawan sendiri, maka kehadiran Salina dalam kesusasteraan Melayu moden menjadi ukuran sejauh mana manusia Melayu itu mendapat maklumat dan pengertian yang betul tentang seni mengarang yang dikehendaki dalam Islam. Jika kita menggunakan ukuran ini, kita akan dapati orang Melayu masih hanyut dalam kekeliruan yang berterusan, dan ini menjadi amat memilukan kerana kekeliruan itu diteruskan dan dipertahankan dengan gigih dan penuh perasaan amarah oleh sarjana sastera, pengkritik dan para sasterawan sendiri. Inilah mala petaka yang pernah saya sebut sebagai “fitnah dalam sastera Melayu” yang mendapat reaksi yang sampai ke peringkat amukan di kalangan kumpulan yang mempertahankan Salina sebagai novel agung mereka. Jikalau kita boleh menggunakan istilah tragedi dalam makna negatifnya, maka inilah tragedi yang paling tolol dalam pemikiran kita setelah ditanam dengan nilai yang karut dan keliru oleh Prof. A. Teeuw, yang kemudiannya diteruskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara hingga ke saat ini. Dalam konteks inilah para pelajar, penulis dan pembaca disuap istilah kemanusiaan yang menjadi teras penilaian Panel Anugerah Sastera Negara. Saya telah menyebut dalam tulisan lain bagaimana seorang profesor yang hidupnya mengajar “ilmu sastera” memberitahu kita, bahawa karya sastera itu tidak perlukan ilmu, yang diperlukan hanya cerita, kerana desakan untuk bercerita itu lebih besar dan lebih kuat daripada desakan untuk menyampaikan ilmu, oleh itu sesiapa juga yang menulis karya kreatif yang mahu diterima sebagai karya sastera tidak perlu “berilmu-ilmuan” dalam karyanya, apatah lagi memasukkan unsur didaktik, pengajaran, atau apa juga yang bersangkut paut dengan “dunia ilmu” yang berubah-ubah. Dunia sastera itu dunia rasa, dunia perasaan yang akan mati, atau sekurang-kurangnya layu terus sebaik saja diisi dengan apa-apa juga bentuk yang bersifat ilmu walau sekecil mana sekali pun. Tidakkah ini satu tragedi dalam makna negatifnya? Inilah maksud mala petaka yang saya tekankan dan tegaskan dalam banyak tulisan saya, yang menjadikan “sastera Melayu moden” itu tempat budak-budak berpesta dengan diperhatikan oleh ibu-bapa mereka (yakni: profesor, sarjana, pengkritik, sasterawan) dengan riuh tertawa memerhatikan kelakuan anak-anak yang jauh lagi masanya akan dewasa, itu pun jika mereka akan dewasa. Inilah gambaran budaya pandirisme yang paling jelas, paling tepat mencerminkan apa yang kita lakukan dalam apa yang kita namakan “kesusasteraan” itu. Dengan menggunakan istilah eksperimen, perubahan dan kemajuan, Panel Anugerah Sastera Negara melihat karya sastera itu sebagai sejenis permainan yang mengasyikkan, yang di dalam Quran disebut lahwun wa la’ibun (Rujuk Quran, 6: 32; 29: 64; 47: 36; 57: 20). Dari situlah lahirnya konsep kemanusiaan yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para sasterawan umumnya.

Sastera sebagai permainan (bahasa) dengan matlamat untuk mencapai kepuasan emosi yang mengasyikkan sudah diterima oleh para sasterawan dan diberi pengiktirafan oleh para penilai dan sarjana sastera. Dengan itu karya sastera memenuhi dengan tepat sekali maksud yang terkandung dalam ayat 57: 20. Untuk memuaskan hati semua pihak berkenaan, penafian yang jelas berasaskan bukti diperlukan, dengan itu kita dapat menentukan bahawa karya para sasterawan negara tidak termasuk dalam lingkungan ayat 57: 20 itu. Siapakah yang berani dan mampu memberikan penghujahan yang dimaksudkan? Sehingga hujah yang dimaksudkan itu diberikan, maka kedudukan karya para sasterawan negara tergolong dalam kategori karya yang memenuhi sifat lahwun wa la’ibun yang terkandung dalam ayat 57: 20 itu. 

Ada beberapa implikasi daripada kesimpulan ini. Pertama sekali, karya para sasterawan negara sudah jelas termasuk dalam karya picisan yang mendukung konsep lahwun wa la’ibun itu. Penjelasan secara terperinci terdapat dalam buku saya Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (penerbit Wadi al-Irfan, 2019). Saya belum bertemu apa-apa penulisan yang membahaskan kandungan buku tersebut, dengan itu saya fikir selamat untuk kita membuat kesimpulan bahawa perbincangan dalam buku tersebut adalah tepat membahaskan kedudukan karya para sasterawan negara dilihat dari perspektif PB. Sekiranya anda berkata, kesimpulan PB tidak boleh dipakai kerana bertentangan dengan teori sastera Barat yang menjadi sumber karya para sasterawan negara itu, maka anda sebenarnya mengaku memang benar karya para sasterawan negara itu anti-ilmu. Kini apa yang perlu kita bahaskan ialah kedudukan PB dan teori sastera Barat dalam kritikan sastera. Antara dua pilihan ini, mana satu yang boleh dijadikan hujah untuk membuktikan karya para sasterawan negara itu bukan karya picisan.

Implikasi kedua, yang lebih penting daripada yang pertama, ialah mengenai konsep fiksi dalam penulisan kreatif, yang ditolak oleh PB dengan mengemukakan konsep wacana dalam penulisan kreatif. Konsep wacana mempunyai beberapa peranan yang sehingga ini tidak diketahui sebelum muncul PB sebagai kaedah yang lebih tepat mencirikan peranan dan kedudukan ilmu sebagai asas penulisan kreatif. Aspek ini telah dibincangkan dengan terperinci oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir di dalam buku beliau yang diterbitkan oleh DBP, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009).

Implikasi ketiga, yang bagi saya yang terpenting, ialah kedudukan PB sebagai alternatif terbaik untuk perkembangan kreatif dan kritikan sastera yang selama ini telah gagal diberikan oleh mana-mana teori sastera Barat. Dengan munculnya PB, maka makna kreativiti dan penilaiannya lebih mudah difahami dan lebih jelas untuk dijadikan panduan dalam kerja-kerja kreatif dan kritikan sastera. Aspek ini telah saya huraikan agak terperinci dalam beberapa buah buku saya; sesiapa yang berminat bolehlah rujuk di sana.

Akhir sekali saya ingin menyatakan sesuatu yang mungkin amat asing bagi orang yang tidak berjiwa seni, yang memang mempengaruhi pemikiran saya dalam membicarakan sastera. Saya suka mendengar musik Arab, pengaruh zaman budak-budak lagi yang selalu mendengar datuk saya, seorang qari, menyanyikan lagu-lagu Muhammad Abdul Wahab. Alat musik yang menjadi kegemaran saya ialah qanun dan ‘ud (gambus), kedua-duannya ciptaan ahli falsafah teragung Islam, yang mempengaruhi seluruh Eropah dan menjadi guru kepada peradaban moden Eropah/Barat. Tokoh itu ialah al-Farabi. Dikatakan, beliaulah yang membina/mencipta qanun seperti yang ada sekarang; beliau juga yang membina ‘ud yang bertali lima. Inilah dua instrumen kegemaran saya; tetapi pemain qanun belum ada di Malaysia, mujur juga kita sudah mempunyai pemain gambus yang handal. Dengan agak terharu, saya pernah bayangkan al-Farabi mencipta qanun dan ‘ud untuk Muhammad Abdul Wahab yang akan muncul. Mendengar musik Abdul Wahab membuat saya terpesona, walaupun sudah mendengar sudah beratus kali. Abdul Wahab seorang genius musik yang tidak dapat dinafikan. Setip lagu beliau, mesti terdapat sesuatu yang berbeza jauh daripada ciptaan pemuzik lain. Ada satu gaya istimewa Muhammad Abdul Wahab, yang mungkin tidak ada pada orang lain. Cuba anda dengar lagu beliau yang amat terkenal, “Ya Musafir Wahdak”. Inilah favourite saya. Dengarlah dan lihat gaya Abdul Wahab bermain dengan musik. Hanya seorang genius yang boleh berbuat yang beliau lakukan. Selamat berkenalan dengan tokoh besar ini. Kalau anda sudah dengar orchestra Arab, anda akan berasa koman sangat orkestra yang terdapat di Barat. Ujilah sendiri, nescaya anda akan dapat merasakan perbezaan itu.

Mengapa saya sebut semua ini dalam tulisan mengenai sastera? Bunyi tidak ada sempadan, oleh itu saya boleh menikmati semua musik klasik semua bangsa, dari mana sekali pun. Musik seperti air yang jernih, tetap sama. Sastera dalam bentuknya yang paling sempurna, yang diasaskan kepada konsep ilmu yang benar, pasti akan menarik minat setiap manusia yang berakal dan berbudaya. Karya saya belum sampai ke taraf itu; tetapi kesedaran untuk mencapainya sudah lama tersemat di hati. Melalui PB, saya yakin akan dapat mencapainya.

Setiap kali saya berasa agak bosan, saya akan dengar Abdul Wahab menyampaikan Ya Musafir Wahdak. Hampir semua penyanyi Arab menyanyikan lagu itu. Sayalah Sang Musafir itu, dalam gurun penulisan yang luas ini.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 13 Mac 2020.

Wednesday, March 11, 2020

HIKAYAT SALIM ADIL SEBAGAI KARYA KRITIKAN KREATIF YANG PENTING


Novel yang akan saya bicarakan ini istimewa dari segi pemikiran, tetapi tidak mendapat perhatian para sasterawan dan sarjana sastera.  Sebabnya mudah: mereka tidak biasa membaca karya serius yang tekniknya bertentangan dengan teknik yang mereka biasa membacanya seperti yang ditulis oleh para sasterawan negara dan penulis kreatif Barat. Barangkali yang mungkin boleh membantu anda memahami buku ini ialah dengan meneliti makna keseluruhan Surah al-Insan (surah ke-76) terlebih dahulu sebelum anda membaca novel ini. Novel ini pada umumnya bercerita tentang manusia yang tidak kenal siapa dirinya, oleh itu mereka sangat marah jika diberi peringatan tentang hakikat diri mereka.

Izinkan saya salin sedikit mengenai karya ini.

“Karya yang sedang anda baca ini adalah jenis karya baru yang belum wujud sehinggalah lahirnya teknik stylization of ideas. Karya ini adalah satu genre baru berasaskan stylization of ideas itu, yang boleh kita beri nama sebagai karya autobiography intellectual yang seluruhnya berasaskan wacana pemikiran, bukannya berasaskan peristiwa yang berbentuk cerita seperti autobiografi biasa. Walau bagaimanapun, peristiwa terpilih yang sesuai masih tetap dimasukkan untuk membantu pembaca memahami perkembangan peribadi seorang penulis yang serius. Yang penting di sini bukan peristiwa, tetapi isu dan persoalan penting yang menjadi tunjang kepada perkembangan intelektual dalam persuratan Melayu, sama ada yang berbentuk kreatif mahupun yang berbentuk kritikan sastera.” Anda perlu membaca seterusnya untuk dapat memahami maksud kutipan itu.

Inilah contoh karya kreatif yang bercerita dalam konteks pemikiran, tidak hanya cerita biasa yang mementingkan peristiwa.  Pemikiran dan peristiwa tidak sama, tetapi peristiwa boleh digunakan untuk membina wacana ilmu secara kreatif. Anda boleh faham dengan mudah kesimpulan ini setelah membaca karya ini keseluruhannya.  Jika anda tidak biasa membaca karya serius yang berasaskan ilmu, anda mungkin menghadapi masalah kognitif untuk memahami Hikayat Salim Adil dan faham mengapa karya ini ditulis.  Tetapi jangan bimbang, kerana karya ini tidaklah sulit untuk difahami. Yang mungkin menjadi masalah ialah anda sendiri, yang biasa membaca karya picisan (picisan ideanya dan picisan tekniknya), misalnya karya yang dihasilkan oleh para sasterawan negara.  Saya sering mengatakan, setiap ukuran yang kita pakai untuk menilai sesuatu karya kreatif, maka ukuran itu mestilah jelas dalam dua perkara utama. Pertama jelas asasnya, atau prinsipnya. Maka itulah saya memberi penekanan kepada aspek ilmu yang benar, untuk memastikan penilaian yang kita lakukan tidak menyeleweng.  Kedua, mestilah jelas matlamatnya, atau maksudnya. Apakah matlamat yang hendak dicapai? Cara paling mudah untuk anda fahami ialah apabila anda keluar dari rumah, ke mana anda hendak tuju dan apa yang hendak dicapai. Sekiranya anda menelusuri aspek ini, anda akan sampai kepada satu keputusan yang tepat. Misalnya: karya ini ternyata memberi faedah, lalu apakah faedah itu? Perkara ini telah dibincangkan dengan mendalam dan jelas oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam bukunya yang saya pernah rujuk dahulu. Carilah di sana.

Para penulis yang menggelarkan diri mereka sasterawan boleh saja terus menulis novel-novel picisan seperti yang dihasilkan oleh para sasterawan negara; tetapi karya seumpama ini tidak setaraf dengan karya persuratan, seperti misalnya novel Pujangga Melayu.  Di tempat lain, saya telah menghuraikan tiga jenis karya yang saya namakan karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan dan erotik.  Sehingga ini belum ada lagi mana-mana sasterawan negara menghasilkan karya persuratan, kerana dua sebab: pertama kerana bakat kreatif mereka terbatas; dan kedua kerana karya persuratan memerlukan pemikiran.  Keadaan ini memerlukan panduan tegas daripada para sarjana dan pengkritik sastera  supaya masyarakat tidak terus tertipu meletakkan karya sastera lebih tinggi kedudukannya daripada karya persuratan, tanpa memberikan sebarang ukuran yang menjadi tunjang kepada penilaian itu.

Para sarjana dan pengkritik sastera berada dalam keadaan serba salah kerana mereka tidak dapat menafikan kewujudan karya persuratan, seperti yang saya buktikan dengan jelas di tempat lain. Dengan wujudnya karya persuratan, sejak tahun 1938 melalui karya Abdul Kadir Adabi, seperti yang dibuktikan oleh Prof. Madya Mohd. Zariat Abdul Rani dalam rencana beliau mengenai Abdul Kadir Adabi, kita telah mempunyai karya persuratan sudah lama, sejak 1938. Hakikat ini boleh saja dinafikan oleh para pengkritik sastera dan para sarjana sastera, juga para sasterawan sendiri; tetapi tentu saja mereka tidak dapat melakukannya kerana dengan berbuat demikian mereka hanya membuka pekung kesarjanaan mereka  dan sekali gus membuktikan sifat picisan karya para sasterawan negara, yang tidak dapat disetarafkan dengan karya persuratan. Apa yang boleh mereka lakukan, jika mereka berani mendedahkan sifat picisan kesarjanaan mereka, ialah dengan membuktikan karya persuratan itu tidak pernah wujud; dan jika pun wujud, maka karya persuratan itulah yang picisan kerana menolak ciri-ciri sastera yang bersifat fantasi dan mengutamakan cerita, bukan wacana.  Saya fikir para sarjana sastera sebenarnya tidak faham apa yang dibicarakan dalam wacana kritikan berasaskan konsep ilmu yang benar. Sekiranya mereka faham, dan menolaknya, maka mereka telah meletakkan kesarjanaan mereka di dalam longkang pembohongan intelektual, seperti yang dibuktikan dalam tulisan mereka ketika memuji novel Anwar Ridhwan yang mereka letakkan sebagai karya agung sastera Melayu, walaupun dari segi penulisan kreatif hanyalah sebuah karya picisan. Hakikat ini telah saya bincang dengan terperinci dalam buku saya Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu (2019).

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 11 Mac 2020.

Nota: Saya akan sambung perbincangan tentang Salim Adil lain kali.

Monday, March 9, 2020

HIKAYAT BUYUNG LURUS DAN POLITIK MALAYSIA

Novel  ini membicarakan dalam bentuk satira perihal tabiat politik Malaysia, terutama di kalangan orang Melayu. Novel ini tidak dibaca oleh para sarjana sastera, kerana menurut mereka, hanya karya para sasterawan negara saja yang wajar diberi perhatian.  Para sasterawan sendiri menerima pendirian ini dengan alasan para sarjana tidak seharusnya membuang masa membaca karya yang tidak menang hadiah, atau karya yang sukar dibaca. Aspek “sukar dibaca” ini menarik kerana sikap ini memberi kemudahan kepada para sarjana untuk tidak perlu berfikir, cukup hanya mengulang-ulang pendapat yang sudah menjadi klise dalam kritikan sastera Melayu, seperti misalnya pendapat yang berkata plot novel ini mudah, bahasanya kering dari kiasan, dan segala pendapat seumpama itu.  Kebalikan dari pendapat demikian ialah pujian melangit, seperti yang dibuat oleh Mana Sikana ketika memuji karya para sasterawan negara, yang anda boleh baca dalam buku-buku beliau.  Dalam konteks inilah novel Hikayat Buyung Lurus tidak dibaca oleh para sarjana sastera, untuk dijadikan hujah bahawa karya seperti Hikayat Buyung Lurus itu tidak mencabar pemikiran tinggi para sarjana.  Kesimpulan ini sangat menarik, bila anda lihat daripada perspektif Buyung Lurus yang mencadangkan supaya rasuah digalakkan dalam pentadbiran negara (hal. 115)  dengan memberi hujah bahawa para sarjana mengenai pembangunan menggalakkan rasuah kerana itulah cara yang paling berkesan untuk mempercepat pembangunan. Agak aneh, dalam politik Malaysia inilah yang berlaku, seperti yang dibicarakan oleh antara lain Dr. Rosli Khan (lihat rencana beliau dalam Harakah bertarikh 14/3/2012, bertajuk “Mahathir’s legacy of camouflaged corruption”).  Rencana ini wajib dibaca untuk melihat wajah sebenar Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam novel tentang politik Melayu itu dihuraikan makna slogan Bersih Cekap dan Amanah ciptaan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi sebutan itu; mengapa kini tidak disebut oleh tokoh agung negara yang mencipta Falsafah Rasuah Negara ini tentulah agak menghairankan (hal. 119).  Slogan BCA hanyut begitu saja dalam pembohongan politik Malaysia kerana penciptanya sendiri telah gagal menghayati slogan ciptaan beliau.  Lebih menarik lagi apabila beliau menegaskan kelmarin, 1 Mac 2020, bahawa beliau telah dikhianati oleh dua orang tokoh Malaysia: oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini PM ke-8, dan oleh Anwar Ibrahim. Menurut Tun Dr. Mahathir, hanya beliau sendirilah yang boleh dipercayai dan yang tidak pernah berbohong dalam tindakan politiknya. Pengakuan ini menarik, kerana Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj pernah memberitahu Tengku Razaleigh supaya jangan percaya Mahathir, kerana beliau seorang pembohong besar. Saya dapat maklumat ini daripada bapa saudara saya yang mendapatnya daripada Tengku Razaligh. Tetapi pada pemerhatian saya, seorang ahli politik yang tidak berbohong bukan seorang tokoh politik yang boleh dipercayai. Pembohongan adalah unsur penting dalam politik. Persoalan ini pun dihuraikan dalam novel Hikayat Buyung Lurus.  Kesimpulan: kalau anda tidak mahu berbohong, jangan masuk politik.  Di mana saja dalam dunia tidak ada ahli politik yang berjaya yang tidak berbohong untuk mendapat kejayaan itu. Masyarakat tidak mahu mendengar sesuatu yang benar, kerana yang onar itulah yang benar lahir dari sanubari ahli politik untuk menggetarkan penerimaan para pengikut dan kebencian yang meluap-luap daripada kumpulan yang membenci sang politikus. Jika anda mahu contoh dalam politik Malaysia terkini, lihatlah permainan Muhyiddin dan Mahathir dalam retorik mereka memperagakan kebenaran tindakan mereka yang tidak difahami oleh masyarakat.  Paling menarik ialah pengakuan Muhyiddin beliau tidak pernah berbohong dalam perjuangan politiknya. Satu pengakuan yang jujur, oleh itu ditolak oleh masyarakat, terutama oleh Tun Mahathir yang menyatakan Muhyiddin mengkhianatinya.  Bolehkah seseorang berlaku khianat tanpa pembohongan? Tanyalah Tun Mahathir yang selalu berbohong, menurut pengkritik beliau.

Satu-satunya watak yang tidak berbohong ialah Buyung Lurus, sesuai dengan namanya. Tetapi Buyung Lurus tidak pernah wujud dalam sejarah; itulah yang membuat novel Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu, satu karya agung yang akan menjadi rujukan sepanjang zaman.  Manusia Melayu akan sentiasa mencari seorang Buyung Lurus, yang tidak mungkin ditemuinya kerana memang tidak ada.  Tentulah rakyat Malaysia dan negara ini sendiri akan beruntung besar jika Buyung Lurus muncul dalam dunia politik Malaysia untuk memberi inspirasi, jika tidak pun panduan, bagaimana sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab dan benar-benar bersih dari rasuah dapat diwujudkan. Seperti yang ada sekarang, yang kita dapat adalah golongan yang berebut kuasa melalui teknik mobilization of bias, teknik mengajak untuk memihak kepada parti-parti tertentu melalui penggunaan  manifesto yang mengandungi janji-janji yang hebat, yang tidak semestinya dapat ditunaikan. Inilah yang terjadi kepada janji-janji Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pilihan raya lepas, yang diakuinya sendiri tidak dapat ditunaikan, malah dia mengaku dengan jujur bahawa memang dia  berbohong kerana dia tidak yakin akan menang dalam pilihan raya lepas.

Lebih menarik ialah apabila tokoh yang jujur mengaku berbohong ini sangat bangga memberitahu rakyat Malaysia bahawa tugas utamanya ialah membasmi korupsi yang dilakukan secara besar-besar oleh Najib Tun Razak ketika beliau menjadi PM. Nampak seimbas lalu apa yang diucapkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membasmi korupsi ke akar umbi itu macam bagus saja, tetapi jika anda faham makna korupsi dalam Islam anda akan mempunyai pandangan berbeza.  Islam menyatakan dengan jelas, pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka. Perkara ini tidak pernah disebut oleh tokoh-tokoh politik Malaysia, dengan itu rasuah hanya sebelah pihak, yakni yang memberi. Galaknya pemberi rasuah kerana begitu ramai yang menunggu untuk menerimanya. Dilihat dari perspektif Islam, adakah Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh terlepas daripada salah seorang pengamal korupsi terpenting di Malaysia, dengan menggunakan politik sebagai cara mendapat kuasa. Bagaimana perkara ini dilakukan oleh orang politik? Jangan tanya saya; tanyalah tokoh-tokoh politik Malaysia. Kita mahu tahu bagaimana mereka akan menjawabnya.

Dalam Islam, konsep korupsi itu dijelmakan dalam konsep fasad yang lebih meluas, termasuk di situ makna korupsi.  Mari kita lihat makna fasad mengikut sebuah kamus Arab-English yang terkenal susunan  Hans Wehr, A Dictionary of Modern Written Arabic (Arabic-English) (4th edition, 1979). Saya salin penjelasan beliau di halaman 834-835:  “fasad (fa-sin-alif-dal): rottenness, spoiledness, corruption, decay, decomposition, putrefaction, putridity;  depravity, wickedness, viciousness, iniquity, immorality; corruptness (e.g., of an official, politician), corruption (of public life); pervertedness, wrongness; incorrectness, imperfection (of a legal transaction; Isl. Law).” Kita lihat pula  penjelasan yang diberikan oleh Elsaid M. Badawi dan Muhammad Abdel Haleem dalam buku mereka, Arabic-English Dictionary of Qur’anic Usage  (Brill: Leiden, Boston, 2008):  fasad: 1. mischief, wrongness, destruction, causing corruption (al-Quran 5: 32);  2.  disorder, corruption (al-Quran 8:73); 3. physical damage, drought, death, malfunction, scarcity of goods (al-Quran 30: 41).

Begitu kaya sekali makna fasad dalam Islam. Bolehkah penggiat politik yang amat gigih berbuat sesuatu untuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya terlepas dari perbuatan fasad?  Dalam politik Malaysia, hanya seorang saja yang tidak melakukan fasad dalam kegiatan politiknya, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Hakikat ini diakui oleh beliau sendiri.

Beruntunglah Malaysia dan rakyatnya. Salahlah penegasan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang mengatakan Mahathir Mohamad seorang pembohong besar.  Kalau  begitu, yang berbohong ialah Tunku.

Dari analisis politik yang saya lakukan berasaskan tingkah laku para tokoh politik Malaysia yang berjaya (yakni, yang mendapat kedudukan hasil dari penglibatan mereka dalam politik), saya dapati tiada seorang pun tokoh politik yang tidak berbohong.  Keadaan ini memang sudah sepatutnya, kerana semua mereka bermati-matian mengaku mereka menyokong demokrasi, yang menurut Ketua PAS, seperti yang tertulis dalam buku beliau, politik Islam dan demokrasi itu sama. Tetapi saya tidak melihat begitu, kerana pengetahuan politik Barat yang saya kaji diasaskan kepada konsep mobilization  of bias, yakni pembohongan yang terancang. Itulah sifat demokrasi, seperti yang diakui oleh orang Barat sendiri. Oleh itu, jika kita terima pandangan ini, sahlah tiada seorang pun ahli politik Melayu dan bukan Melayu, yang Islam atau yang kafir, yang tidak terlibat dalam pembohongan dalam konteks mobilization of bias itu, yang menjadi asas politik demokrasi.

Tetapi persoalan ini tidak penting, oleh itu kita dapati tiada seorang pun tokoh politik Malaysia yang membantah analisis yang kita dapati dalam pembicaraan tentang politik Barat yang dipakai di Malaysia. Malah ahli politik Malaysia dengan bangganya berkata, dan mengaku, model yang dipakai di Malaysia ialah yang ditiru dari England. Bacalah Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu, untuk mengetahui apa maknanya pengakuan ini dalam kegiatan politik Malaysia.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9 Mac 2020.