Saturday, February 29, 2020

PERJUANGAN MAHATHIR MOHAMAD MENJADIKAN ANAKNYA PERDANA MENTERI MALAYSIA

Kekalutan politik yang dicetuskan oleh Mahathir Mohamad pada waktu ini ialah untuk memastikan anaknya, MB Kedah, dilantik menjadi Perdana Menteri. Caranya dengan meletakkan Muhyiddin Yasin sebagai PM dan anak Mahathir sebagai Timbalan PM, yang akhirnya akan dilantik sebagai PM.  Sejauh mana rakyat Malaysia sedar akan perancangan Mahathir Mohamad ini? Kesedaran itu tidak penting; yang penting ialah melantik Muhyiddin Yasin sebagai PM dahulu, selepas itu barulah dilancarkan beberapa perancangan ekonomi untuk mengabui mata rakyat sehingga mereka akan meletakkan Mahathir Mohamad sebagai tokoh terbesar dalam politik Malaysia sepanjang zaman.

Inilah matlamat politik Mahathir Mohamad, yang mungkin belum lagi, malah tidak disedari oleh rakyat Malaysia yang baik hati itu dan sangat kuat jiwa feudalnya. Dari segi kedudukan, Mahathir Mohamad sebagai ketua orang Melayu mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada para Sultan, oleh itu Mahathir Mohamad diletakkan oleh orang Melayu lebih tinggi darjatnya daripada para Sultan itu. Hal ini hanya berubah ketika Sultan Kelantan menjadi Agong satu ketika dulu, yang membawa masuk Anwar Ibrahim ke Istana dan memberikan beliau pengampunan penuh, yang amat dibenci oleh Mahathir Mohamad. Dalam keadaan biasa, Anwar Ibrahim boleh saja dikeluarkan dari penjara, tetapi kena tunggu 5 tahun sebelum diberi pengampunan, jika JK Pengampunan bersetuju. Lepas 5 tahun kemudian barulah beliau boleh berpolitik dan mungkin boleh bertanding dalam pilihan raya. Maknanya, dia kena tunggu 10 tahun baru boleh aktif dalam politik. Tetapi Agong dari Kelantan itu memberikan pengampunan penuh, oleh itu Anwar Ibrahim boleh bertanding dalam pilihan raya serta-merta, tiada halangan lagi. Begitulah beliau kini anggota Dewan R Port Dickson.

Itulah ceritanya. Tetapi Mahathir Mohamad tidak suka cerita itu.  Baginya, walau apa pun yang terjadi, satu perkara adalah jelas baginya, yang mesti beliau lakukan dalam bentuk apa sekali pun. Iaitu menghalang Anwar Ibrahim dari menjadi PM Malaysia. Mengapa Mahathir Mohamad takut sangat pada Anwar Ibrahim? Saya tahu jawapannya; tetapi saya tidak perlu memberitahu anda pada waktu ini. Saya pun bermain politik juga, seperti Mahathir Mohamad.

Mahathir Mohamad adalah seorang tokoh politik Malaysia yang sangat istimewa, tersangat istimewa, sehingga tidak mungkin akan muncul lagi seorang Mahathir Mohamad dalam politik Malaysia. Seorang penulis telah menganalisis keistimewaan Mahathir Mohamad sebagai tokoh politik terpenting dan terbesar Malaysia.

Tarikh  29/2/2020

Ketika menulis sambungan entri ini, Mahathir Mohamad tidak lagi Perdana Menteri. Beliau diganti oleh Muhyiddin Yassin melalui perebutan kuasa senyap-senyap.  Peribahasa Melayu menyebut, “terlepas dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya.” Tepat.  Besok PM ke-8 akan angkat sumpah di Istana Negara.

Bagaimana dengan tesis saya di atas, tentang anak Mahathir itu? Nampaknya sudah lingkup, bila Muhyiddin merebut kuasa dengan persetujuan Agung. Tahniah dilantik PM ke-8. 

Petaling Jaya, 29/2/2020.



Friday, February 28, 2020

MASUK LONGKANG PEMBOHONGAN

Mahathir Mohamad menggali longkang politik untuk menolak Anwar Ibrahim ke dalam longkang itu. Tidak berjaya, kerana yang terjadi beliau sendiri kini berada dalam longkang yang dibinanya. Politik Malaysia sekarang dalam huru-hara tak tentu arah tanpa Perdana Menteri dan tidak ada lagi kabinet. Adakah Mahathir degan sengaja melahirkan situasi gila ini?

Sekarang kita diharamkan dari menyebut satu pepatah Melayu yang terkenal, “jika berjumpa ular dengan Keling, bunuh …. dulu.”  Perkataan Keling sudah diharamkan dalam politik Malaysia, walaupun kita masih kekalkan Tanjung Keling; dan Bukit Cina. Yang terkenal di kalangan orang Melayu ialah Bukit Katil! Kata orang yang bijaksana dalam budaya Melayu, memang orang Melayu terkenal suka bermain di atas katil. Lalu disebutnya beberapa episod dari Sejarah Melayu, tentang raja dan anak raja bermain di atas katil. 

Apa kaitannya cerita ini dengan tajuk entri ini?  Sekiranya anda seorang penulis kreatif, anda mungkin faham maksud saya. Dalam politik, semua cerita, semua perilaku, tidak perlu mengikut plot seperti dalam sebuah novel. Dalam politik yang penting ialah mendapat kepercayaan orang melalui manipulasi yang disodorkan melalui janji dan harapan yang menggigilkan para pendengar atau masyarakat bahawa mereka akan merasakan semua itu dalam kehidupan mereka. Inilah cara Mahathir Mohamad, dan cara ini amat jelas dalam borak beliau mengenai Pelan Rangsangan Ekonomi Covid-19.  Apa yang disebut Rangsangan Ekonomi Cobid-19 hanyalah sejenis dedak yang ditabur oleh penangkap ikan ke dalam sungai untuk memanggil ikan berhimpun di satu tempat supaya senang dijala.  Sesiapa juga yang percayakan percakapan Dr. Mahathir Mohamad menandakan beliau belum lagi kenal tokoh politik ini.  Sesiapa juga yang tahu peribadi beliau sebagai seorang tokoh politik akan tahu makna ucapan beliau sebagai dedak yang ditabur oleh penjala ikan.  Inilah yang beliau lakukan lagi ketika membentang apa yang dipanggilnya Pelan Rangsangan Ekonomi Covid-19. Pelan yang beliau bentangkan itu adalah sejenis virus ekonomi yang memberi malapetaka kepada masyarakat, bukan untuk membantu mereka mendapat faedah secara kontan.  Sekiranya beliau jujur dan boleh dipercayai ketika membentangkan pelan ekonomi itu, negeri-negeri Pantai Timur tentulah sudah berubah, menjadi maju dan rakyatnya tidak lagi berada dalam situasi yang disebut oleh Prof. Ungku Aziz suatu masa dulu bahawa kemiskinan orang Terengganu itu boleh diukur dengan menggunakan sarung index.  Adakah sarung index itu sudah tiada lagi di kalangan Melayu yang papa kedana di Pantai Timur, terutama di Terengganu?  Tentu saja Mahathir Mohamad tidak tahu perkara seperti ini.  Kalau dia tahu pun, ada dia kisah?

Main kelentong Mahathir Mohamad dalam politik Malaysia meletakkan beliau sebagai seorang tokoh politik yang tidak boleh dipercayai sama sekali. Tetapi mengapa beliau diberi kedudukan lagi setelah meletakkan jawatan? Inilah kesilapan istana yang orang tidak mahu sebut kononnya untuk menjaga istana; tetapi jika kita betul-betul mempunyai sikap ikhlas sebagai seorang Islam, kita akan tetap mengaku dengan jujur bahawa tiada manusia pun yang tidak melakukan kesilapan. Hanya Nabi SAW saja yang tidak melakukan kesilapan kerana baginda dijaga oleh Allah Ta’ala, sesuai dengan kedudukan baginda sebagai rahmat seluruh alam. Jika ini kita pegang, maka kesilapan manusia, walaupun dari istana yang kita hormati, tetap kesilapan yang perlu dibetulkan. Akibat dari kesilapan ini, Mahathir Mohamad mengambil kesempatan untuk melakukan perbuatan yang menimbulkan masalah yang tidak perlu, tetapi perlu bagi beliau untuk memastikan beliau akhirnya mencapai taraf seorang diktator dengan restu istana sendiri. Inilah yang terjadi akhirnya.  Selebihnya saya serahkan kepada anda untuk membuat penelitian anda sendiri dan menyatakan kesimpulan anda pula. Rakyat Malaysia harus berani menyatakan kebenaran, terutama sekali bila berdepan dengan seorang tokoh politik yang sudah nyanyuk.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Petaling Jaya, 28 Februari 2020.



Wednesday, February 26, 2020

PENYAKIT GILA BABI DALAM POLITIK DI MALAYSIA


Epilepsy dalam bahasa Melayu dipanggil “gila babi”. Harap orang yang tahu sejarah nama penyakit ini boleh memberitahu mengapa dipanggil “gila babi”. Adakah “gila babi” sejenis penyakit?  Orang Melayu ada yang memanggilnya “sawan babi”. Mengapa pula sejenis siput yang selalu terdapat di halaman rumah dipanggil siput babi?  Tentang gila, kita ada murai gila, berekor panjang dan menjongketkan ekornya bila berbunyi. Ada lagi perkara yang dikaitkan dengan babi  dan gila yang menjadi sebutan dalam masyarakat Melayu. Mari kita lihat definisi “gila babi” dalam sebuah kamus Inggeris yang terkenal.

Epilepsy ialah “a chronic nervous disorder of the brain of man and other animals affecting consciousness and muscular control with various degrees of severity.  It may be congenital  or the result of damage to the brain caused by tumor, injury, glandular imbalance or toxic  substances, and may result in convulsions and loss of consciousness.’  The New Lexicon Webster’s Dictionary of the English Language.

Saya pilih “sawan babi” untuk dipakai dalam entri blog ini, kerana bunyinya sedap didengar dan tidak terlalu kasar seperti “gila babi”.  Tetapi dua istilah ini sama saja maknanya, yakni seperti yang diberi definisinya dalam kamus yang saya petik. Amaran:  Apabila seorang penulis bermain dengan bahasa, menggunakan kiasan dan tamsil ibarat, maka seorang pembaca yang kurang cerdik atau yang amat terbatas pengalaman intelektualnya, akan membuat andaian sesuka hatinya tanpa menyedari dia sedang memfitnah dan mengumpat (kedua-duanya dosa besar dalam Islam).  Maka itulah diharapkan anda membaca entri kali ini dalam konteks tamsil ibarat dan kiasan tadi.  Semoga anda faham apa yang dimaksudkan dengan ungkapan “sawan babi” dalam politik Malaysia.

Bagaimana tabiat “sawan babi” ini ditunjukkan dalam politik Malaysia?  Seperti yang anda tahu, politik Malaysia amat kaya dengan maki hamun, seranah menyeranah, hina menghina sesama ahli politik yang bertentangan parti (walaupun sama faham politiknya), dan lebih khusus lagi ditujukan kepada seseorang individu yang dimusuhi dan dibenci serta dipandang jijik. Dan lain-lain sebab yang anda tentunya lebih tahu. Ini tentunya amat aneh, kerana merekalah yang akan menjadi peneraju kerajaan nanti, jika mereka ditakdirkan mendapat kerusi majoriti. Kalau sejahat itu perangi mereka, adakah mereka layak diikuti dan malah dikagumi?  Bila sampai kepada pertanyaan ini, saya terkial-kial mencari hujah untuk memberi gambaran yang wajar, dan mungkin adil, kepada mereka yang mengalami “sawan babi” politik ini. 

Adakah semua tokoh politik Melayu menghadapi penyakit “sawan babi” ini?  Jika kita membaca dan meneliti ucapan politik mereka, nampaknya begitulah.  Setiap mereka mengalami penyakit “sawan babi” ini, tidak kira dari parti mana pun mereka berasal.  Perhatikan contoh ini.  Paling menarik tentang contoh ini ialah kerana orang yang dijadikan contohi itu seorang pemimpin sebuah parti Islam yang bernama PAS. Parti ini pada mulanya serpihan daripada UMNO, yang pada mulanya sebahagian daripada UMNO, bahagian Islam dalam parti itu. Kemudiannya keluar UMNO, lalu menubuhkan PAS. Kalau sejarah yang saya baca ini salah, saya harap ada orang yang lebih tahu membuat pembetulan. Betulkah PAS anak kandung UMNO, yang menderhaka lalu keluar UMNO?  Walau bagaimanapun yang betulnya, sila lihat contoh yang saya petik ini.  Anda perlu membaca contoh ini dari perspektif politik dan perilaku ahli politik, terutama sekali gaya peri laku ahli politik yang menjadikan Islam sebagai asas mendapatkan undi dan sokongan.  Saya akan kemukakan beberapa contoh terbaik dalam konteks “sawan babi” dalam politik Malaysia.  Supaya anda tidak keliru, baca kembali dengan kritis definisi “sawan babi” yang diberikan dalam kamus yang saya kutip.  Seperti biasa, sesiapa juga yang membaca tulisan dalam blog ini perlulah cerdik dan tahu bagaimana hendak membaca setiap entri dan tahu pula meletakkannya dalam konteks yang dimaksudkan. Jika anda tersilap tafsir, anda akan terjun masuk lubuk kekeliruan yang akan membawa anda ke lumpur ahmak (ini perkataan Arab yang jarang digunakan sekarang).  Dengan peringatan ini, bolehlah anda terus membaca entri ini seterusnya.

Kita lihat contoh pertama. (Contoh ini akan diulas kemudian.)  Contoh ini mengenai Ketua PAS Perak yang kena hukum kerana memfitnah, tetapi tidak boleh bayar denda, dan marah-marah bila cek post-datednya ditolak oleh bekas MB Perak yang difitnahnya. Satu entri khas mengenai perkara ini akan ditulis nanti.


Contoh kedua lebih menarik, kerana tokohnya ialah seorang PM.  Tokoh ini sejak dulu amat pelik perilaku pemikirannya yang songsang dan tidak ada nilai intelektualnya. Saya rujuk kepada sikap miang Tun Dr. Mahathir kepada bahasa Inggeris, yang disangkanya sumber kemajuan sains dan matematik. Ilmu yang dipujinya itu dimulai dan diteroka oleh ulama Islam, yang membina geometry, aljabar, logarithms dan lain-lain alat ilmu hisab dan sains. Fakta ini dimuat dalam sebuah buku yang diterbitkan oleh UNESCO di Kaherah, Islamic and Arab Contribution to the European Renaissance (terbit 1977).  Setiap jabatan kerajaan, terutama Jabatan Perdana Menteri, perlu mempunyai buku ini dalam bilangan yang mencukupi untuk dibaca oleh semua kaki tangan dan ahli politik. Semua sekolah menengah perlu menyimpan buku ini untuk rujukan murid sekolah menengah dan wajib dibaca oleh guru-guru mereka. Paling peting, semua MP perlu membaca buku ini supaya mereka tahu perkembangan ilmu yang benar dalam tamadun dunia.  Dalam perkiraan saya, kerajaan Malaysia perlu membeli tidak kurang dari 10,000.00 naskhah untuk diedarkan dan ditempatkan dalam semua perpustakaan di Malaysia. Semua orang politik mesti tahu apa yang berlaku dalam dunia ilmu, supaya mereka terlepas dari belenggu kelembuan yang sedang mereka alami sekarang.  Seterusnya lihat program kelembuan yang menjadi obsesi seorang ahli politik.


Polisi bahasa Inggeris di Malaysia adalah yang paling gila dan tidak siuman, contoh terbaik dalam kes “sawan babi” yang kita bincang sekarang.

Slanga Melayu dari johor, biol bermakna gila (asal bahasa harian Jawa yang kuat pengaruhnya di Johor). Contoh polisi berbentuk biol ialah PPSMI ciptaan Mahathir.  Kutipan daripada Kementerian Pelajaran/Pendidikan ini penting untuk memahami mengapa PPSMI dirangka oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi PM selama 22 tahun. Mengapa beliau begitu tegas menjadi penentang bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara? Saya biarkan anda membuat tekaan anda sendiri, kerana dari situ anda mungkin dapat melihat wajah sebenar Tun Dr. Mahathir Mohamad ini. Baca baik-baik dengan sikap kritis yang siuman kutipan ini.

“The rationale for the decision to change the medium of instruction from the Malay Language to English for the teaching and learning of Science and Mathematics subjects was made based on the government’s concern on the nation’s human capital development towards achieving the standard of a developed country, as well as an early preparation to compete in the era of globalization.

It is widely known that the field of science and mathematics form the basis and have a crucial role in the progress and development of a country. Various innovations and discoveries in these two fields happen rapidly and information access is mostly in the English language.

English language is also the language spoken internationally and mastery in this language would allow easy access to information in these fields.

In conclusion, the policy decision to implement PPSMI was made to ensure students’ mastery in science and mathematics in view of the fact that most of the sources are available in the English language. Indirectly, it is also hoped that the implementation of PPSMI would contribute to the enhancing of students’ command of the language.”  (Kementerian Pelajaran, 2007)

Inilah contoh SAWAN BABI dalam polisi kerajaan Mahathir. Pembelit politik Malaysia ini tidak tahu sejarah perkembangan sains dan matematik dalam Islam, yang kemudiannya ditiru dan dicuri oleh Barat yang kemudiannya mendakwa merekalah jaguh sains dan matematik dalam sejarah dunia. Jika anda membaca sejarah sains dan matematik dunia, anda akan tunduk kepada hakikat sejarah itu bahawa yang membina dua jenis disiplin ini ialah tokoh ilmuwan Islam. Bacalah buku yang diterbitkan oleh UNESCO itu, yang menggariskan dengan jelas bagaimana Islam membina tamadun Eropah melalui pengaruh al-Andalus yang memerintah Sepanyol lebih dari 700 tahun. (Rujukan mudah mengenai persoalan ini anda boleh dapat dalam buku-buku yang membincangkan aspek sejarah yang penting ini.)

Memperkenalkan PPSMI dalam sistem pendidikan Malaysia adalah satu perbuatan biol yang terlalu songsang untuk dikatakan lucu; malah dari segi intelektual perbuatan itu adalah lucah. Kelucahan intelektual ini menjadi pakaian rasmi dalam tindakan politik semua ahli politik yang boleh kita lihat dengan jelas dilakukan dengan bangga oleh tokoh politik Malaysia, yang Islam mahu pun yang kafir atau yang anti-Islam. Kegilaan kepada bahasa Inggeris melahirkan tindakan tidak siuman di kalangan ahli politik yang amat lemah bahasa Melayunya, kecuali beberapa orang dan kita tahu siapa mereka.

MASUK LONGKANG PEMBOHONGAN

Mahathir Mohamad menggali longkang politik untuk menolak Anwar Ibrahim ke dalam longkang itu. Tidak berjaya, kerana yang terjadi beliau sendiri kini berada dalam longkang yang dibinanya. Politik Malaysia sekarang dalam huru-hara tak tentu arah tanpa Perdana Menteri dan tidak ada lagi kabinet. Adakah Mahathir degan sengaja melahirkan situasi gila ini?

Alakulihal, maka menjelmalah tokoh besar dalam cerita jenaka Melayu, Pak Pandir yang memang cerdik, tetapi seringkali membuat tindakan yang melucukan. Sekarang kita menghadapi politik pandirisme yang dipelopori oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pada mulanya untuk membuktikan kehebatannya, tetapi yang terjadi sebaliknya.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
25/2/2020.  

(Tulisan ini ditulis lebih dari 2 minggu lepas, baru disiarkan kerana sebab-sebab tertentu. Jadi dapatlah juga masuk perkembangan terakhir mengenai Tun Mahathir.  Satu entri khas mengenai kemelut politik sekarang akan ditulis nanti.)

Saturday, February 8, 2020

ANALISIS TERBAIK TENTANG NOVEL MINI-ENSIKLOPEDIA PUJANGGA MELAYU

Saya siarkan kembali tulisan ini atas permintaan. Saya fikir sudah ditrerbitkan, tapi saya tidak pasti tarikhnya.




Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam buku beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, cetakan pertama 2009), amat berhati-hati dan sangat cermat ketika menghuraikan dan menganalisis Gagasan Persuratan Baru. Bagi saya inilah contoh kecemerlangan akademik yang tidak dapat diremehkan oleh sesiapa saja yang mempunyai maruah akademik yang tinggi dan murni.  Dengan terbitnya buku penting ini, tidak ada apa-apa alasan pun dari para sarjana sastera, para pengkritik, dan para sasterawan sendiri, untuk tidak menerima kemunculan PB sebagai satu alternatif yang akan memberi kecemerlangan baru dalam perkembangan ilmu, persuratan Melayu, dan penghasilan karya kreatif yang berteraskan konsep ilmu yang benar.  Reaksi sehabis kecil yang boleh dilakukan oleh para sarjana sastera dan para pengkritik, termasuk juga para sasterawan, ialah menolak analisis ini sebagai hanya permainan akademik yang tidak bermakna apa-apa dalam perkembangan ilmu.  Tentu saja lebih baik jika mereka memberikan sanggahan mereka yang objektif untuk menolak kehadiran PB sebagai satu alternatif yang diperlukan dalam perkembangan kritikan sastera di Malaysia.  Sikap membisu yang mereka ambil tidak memberi faedah kepada mereka, malah boleh disifatkan sebagai menghalang perkembangan ilmu dan pemikiran baru dalam sastera Melayu.  Walaupun kehadiran PB menjadi cabaran besar kepada pemilihan para sasterawan negara, namun PB tidak berminat untuk menghukum para sasterawan negara ini, kerana PB hanya berminat memberikan analisis yang objektif kepada karya para sasterawan negara ini dilihat daripada ukuran yang diberikan oleh PB.  Dalam dunia akademik, cabaran seumpama ini adalah biasa dan perlu dihadapi dengan kontan oleh sesiapa juga yang berasa tercabar.

Peluang untuk para penentang PB memberikan sanggahan mereka menjadi lebih mudah dengan adanya buku Dinamika Pemikiran Sastera Melayu ini. Oleh itu, apa lagi yang anda tunggu, pengayuh sudah di tangan, gerakkanlah perahu akademik anda ke arah mana yang anda mahu dalam sungai besar akademik yang kini terbuka luas untuk diteroka oleh sesiapa saja yang berminat.  Waktu untuk mendiamkan diri sebagai “lembu kenyang”  tidak boleh diterima dalam dunia akademik yang sudah berubah.  Sebagai ahli akademik, anda tidak wajar mendiamkan diri apabila dicabar untuk tampil memberikan  hujah anda yang masih berpegang kepada kekeliruan dalam memahami konsep ilmu seperti yang difahami dalam kebudayaan anda sendiri. Tamadun yang anda warisi sekarang dibina oleh para cendekiawan dan para ulama yang jelas konsep ilmunya; oleh itu anda tidak mempunyai hujah sama sekali untuk menafikan kehadiran mereka dalam pembinaan tamadun yang kita semua warisi sekarang, tamadun yang berasaskan konsep persuratan yang bertunjangkan ilmu yang benar.

Dalam konteks inilah telaah anda yang jujur dan kritis terhadap buku Dinamika Pemikiran Sastera Melayu akan memberikan pencerahan yang amat anda perlukan untuk memahami perkembangan ilmu dalam pembinaan tamadun Malaysia.  Prof. Ungku Maimunah dalam bukunya itu memberi analisis yang amat cermat terhadap novel persuratan Pujangga Melayu, yang wajar didekati dengan kritis oleh sesiapa juga yang berkecimpung dalam dunia sastera; lebih-lebih lagi apabila penilaian seorang sarjana terhadap novel Naratif Ogonshoto tidak boleh dipertahankan, oleh itu harus diterima kesimpulan bahawa novel itu adalah sebuah novel picisan jika dinilai daripada perspektif ilmu dan keterampilan pemikiran pengarangnya ketika menghasilkan novel itu.  Percubaan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk meletakkan novel itu sebagai novel Melayu teragung yang tiada tandingannya, sebuah karya agung sepanjang zaman, ternyata tidak berasas kerana tidak berlandaskan konsep ilmu yang benar yang sudah menjadi asas perkembangan persuratan Melayu sejak beratus tahun. Tidak mungkin sarjana ini tidak tahu hakikat sejarah ini. Walau  bagaimana pun, kita bersedia menerima analisis beliau sekiranya beliau menolak kesimpulan yang diberikan ini sebagai tidak berasas. Kemukakan hujah anda kerana itulah pilihan terbaik dan paling selamat untuk menjaga maruah akademik anda.

Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir telah meletakkan pencapaian penyelidikan akademik yang tinggi untuk diteladani oleh para sarjana sastera yang kebanyakannya agak selekeh hasil “penyelidikan” atau analisis mereka. Saya telah mengemukakan contoh-contoh yang terlalu jelas keselekehannya, seperti syarahan perdana yang dikemukakan oleh Prof. Rahman Shaari tentang sajak-sajak Melayu, hasil penyelidikan Dr. Mawar Shafei tentang novel-novel Anwar Ridhwan, kajian  Dr. Norhayati Ab.Rahman tentang “the poetics of adultery” dalam sastera Indonesia dan Malaysia, tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang Naratif Ogonshoto sebuah novel oleh Anwar Ridhwan, dan yang paling menonjol ialah sikap anti-ilmu dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 anjuran ITBM yang tidak langsung menyebut peranan ilmu yang benar dalam kritikan sastera.  Kita dapat melihat bagaimana sarjana sastera berlumba-lumba kononnya “memperkenalkan” kaedah baru dalam kritikan dan teori sastera yang diambil dari Barat seluruhnya, menunjukkan mereka tidak mampu berfikir secara kritis, hanya menjadi peniru buta sahaja. Semua ini anda boleh lihat dalam kertas kerja Seminar Pemikiran Sasterawan Negara yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.  Walaupun Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh pernah mengatakan tidak wajar teori sastera Barat dijadikan ukuran dalam kritikan karya Malaysia yang ditulis dalam bahasa Melayu, namun beliau sendiri menerima dengan baik, malah bangga, apabila karyanya dinilai dari perspektif Barat dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh.  Semua mereka ketakutan apabila digesa menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas kritikan sastera Melayu. Kata mereka, sastera Melayu dihasilkan berasaskan teori sastera Barat, tidak berasaskan nilai-nilai Islam; oleh itu tidak wajar jika karya mereka dinilai daripada perspektif Islam. Bagi mereka, inilah jawapan yang paling akademik dan jujur!

Hendak ke mana kamu semua, para sasterawan negara dan sarjana sastera?  Pertanyaan ini tidak dapat dielakkan, oleh itu mereka wajib menjawabnya atau memberi penjelasan yang munasabah.  Lebih-lebih lagi apabila Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, tokoh paling terkemuka dan paling terkenal sebagai tokoh akademik yang unggul, pernah menegaskan karya sastera Melayu mesti dinilai daripada perspektif Melayu, bukan perspektif Barat atau Islam. Sehingga ini belum lagi ada penjelasan tentang keputusan yang aneh ini. Siapakah di antara sarjana sastera yang akan tampil memberi penjelasan tentang perkara ini?  Yang pasti, tiada seorang pun di antara mereka yang mempunyai keupayaan akademik yang tinggi untuk membicarakan persoalan yang rumit ini. Kerana semua mereka telah menolak PB, maka mereka kini berada dalam kebingungan yang aneh yang tidak sepatutnya dialami oleh para sarjana.

Itulah situasi yang kita hadapi sekarang dalam sastera Melayu. Semua ini hasil dari kegigihan mereka menolak Gagasan Persuratan Baru sebagai alternatif yang terbaik, seperti yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam bukunya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Dan juga dalam rencana akademik beliau, “Persuratan Baru: An Alternative Paradigm to Western Literary Methodologies” (ASIATIC, vol. 9, no. 1, June 2015).  Dua dokumen penting ini nampaknya tidak dibaca atau tidak diketahui oleh para sarjana sastera, kerana keangkuhan mereka untuk tidak menerima perubahan walaupun dahulunya mereka bising seperti murai bercakap tentang perubahan paradigma dalam sastera Melayu.  Sekiranya ada konsep munafik dalam sastera, mungkin inilah wajahnya.

Keangkuhan kumpulan Mutual Admiration Club ini menjadi penghalang besar kepada perkembangan pemikiran dan pendekatan baru dalam sastera Melayu.  Inilah kumpulan yang memilih para sasterawan negara dan yang mempertahankan sasterawan negara itu secara picisan sekali, sama picisannya dengan karya para sasterawan negara sendiri. Supaya berlaku adil, saya sering menawarkan supaya karya kreatif dan akademik saya dinilai bersama karya mereka. Sehingga ini mereka tidak melayan cabaran ini kerana mereka yakin mereka akan kelihatan jelas sebagai kumpulan penulis picisan dan cetek meraba-raba dalam bidang akademik.  Sekali lagi kita dapat melihat kebenaran kesimpulan ini dalam buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, yang diselenggarakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Apakah kesimpulan kita dalam perbincangan ringkas ini?  Ada dua keadaan yang memerlukan penjelasan untuk keluar dari kekeliruan tentang peranan ilmu ini. Pertama, para sarjana yang menerima teori sastera Barat sebagai jawapan dan asas perkembangan sastera Melayu perlu memberi penjelasan mengapa dalam konteks itu mereka perlu menolak peranan Islam yang definitif dalam perkembangan kebudayaan Melayu seperti yang telah dihuraikan dengan mantap sekali oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Hingga kini mereka belum lagi membuktikan kesimpulan Prof. Syed Naquib itu bertentangan dengan jalannya sejarah Alam Melayu yang menerima Islam sebagai teras kebangkitan tamadun Nusantara.  Kedua,  dari segi apa pencapaian kreatif dan akademik para sasterawan dan sarjana yang menjadikan teori Barat sebagai panduan mereka telah melonjakkan kemajuan berfikir dalam perkembangan kebudayaan dan pemikiran yang berasaskan konsep ilmu yang benar.  Adakah dua keadaan ini saling bertentangan sehingga memaksa kita memilih salah satu, dan jika ini berlaku apakah kesannya terhadap perkembangan ilmu? Kita lihat nanti reaksi mereka, yang saya yakin akan mendiamkan diri dalam sikap dan tabiat “lembu kenyang” yang telah dibudayakan oleh para sasterawan dan sarjana sastera.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10 Ogos 2018.

Sunday, February 2, 2020

PEMBOHONGAN DALAM POLITIK DAN SASTERA


Tidak ada ahli politik dan sasterawan negara yang tidak berbohong, demikian juga sarjana sastera dan pengulas politik. Paling utama yang anda perlu tahu ialah sistem demokrasi itu sendiri diasaskan kepada pembohongan, yang dalam istilah politik dipanggil mobilization of bias. Dalam penilaian karya sastera, pembohongan itu dilakukan melalui teori sastera Barat, yang memang diakui diasaskan kepada pembohongan dalam penilaian sesebuah karya. Oleh sebab aspek ini telah dibincang dengan meluas dalam entri blog ini, dan dalam dua buah buku kritikan sastera terpenting di Malaysia, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019), dan Pandirisme dalam Komuniti Dunia (2016), maka sesiapa juga yang berminat hendak tahu mengenai aspek ini dalam politik dan kritikan sastera dan dalam penilaian karya sastera, perlu membaca dua buah buku penting itu.  Masalah kita di Malaysia ialah tidak ada sarjana yang terusik maruahnya untuk menolak kesimpulan itu, kerana keangkuhan mereka yang dengan tegas mengaku dengan bangga bahawa mereka  adalah ahli waris sastera dunia, oleh itu mereka adalah pengikut dan penganut teori sastera Barat yang menerima pembohongan sebagai unsur penting dalam penulisan dan  penilaian sastera. Contoh terbaik dalam penilaian sastera ialah semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara; untuk bukti dalam politik pula tokoh terbesar pembohong di Malaysia, yang mengaku beliau dan teman-temannya berbohong dalam pilihan raya dan dia dengan bangga mengaku dia memang berbohong kerana dia tidak yakin dia dan rakan-rakannya akan menang. Pakatan Harapan dimenangi berasaskan pembohongan itu. Dan Tun Mahathir Mohamad mengaku dengan jujur beliau berbohong dalam pilihan raya lepas kerana beliau tidak yakin akan menang.  Oleh itu, kemenangan beliau berasaskan pembohongan yang beliau mengaku dengan jujur.

Mengapa aspek ini penting? Dalam politik yang penting ialah kemenangan, bukan proses untuk mendapat kemenangan itu. Anda dibenarkan berbohong dan menipu dengan syarat-syarat tertentu untuk mendapat kemenangan. Perkara ini sudah dibicarakan dengan jelas dalam novel Hikayat Buyung Lurus yang tidak dibaca oleh ahli politik dan tidak juga dibaca oleh para sarjana sastera dan pengkritik sastera. Contoh terbaru dalam politik  dan terbaru dalam pemilihan sasterawan negara ialah pemilihan sasterawan negara ke-14, yang secara langsung dipengaruhi oleh Menteri Pendidikan ketika itu. Dia kemudiannya disuruh meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugasnya. Sama ada tuduhan ini benar atau tidak terpulang kepada sejauh mana anda percayakan Perdana Menteri yang menyuruh menterinya meletakkan jawatan. Kesimpulan paling mudah ialah, pemilihan siapa yang akan dilantik menjadi sasterawan negara dicemari oleh seorang menteri yang kemudiannya diarahkan untuk meletak jawatan kerana gagal menjalankan tugas yang diberikan oleh Perdana Menteri. Tidak terdapat sebuah pun badan penulis yang begitu banyak di Malaysia yang membantah keputusan ini, oleh itu boleh saja dibuat kesimpulan mudah bahawa mereka yang berada dalam persatuan penulis itu juga sama korupnya dengan menteri dan seterusnya ….! Semua ini menggambarkan dengan jelas, jika anda cerdik dan bersikap jujur, bahawa kita tidak perlukan sasterawan negara, yang pemilihannya diragui kesahihannya. Sila teliti dengan kritis Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden yang membicarakan aspek ini dengan terperinci.

Pembohongan dalam sastera dilakukan secara besar-besaran dalam tiga bidang menggunakan tiga arah yang dipertahankan dengan gigih walaupun arah yang diikuti itu menyesatkan dan bidang yang dipertahankan itu palsu.  Dalam bidang kreatif, ditegaskan betapa pentingnya kebebasan berkarya supaya tidak terjadi halangan apa-apa pun yang dipaksa ke atas sasterawan untuk dijauhkan dan diketepikan. Kebebasan berkarya adalah mutlak, sesuai dengan keadaan yang berlaku dalam sastera Barat. Contoh yang selalu dipakai ialah kedudukan D.H. Lawrence dalam sastera Inggeris. Sebuah novel beliau pada mulanya diharamkan; tetapi kemudiannya dibenarkan diterbitkan dalam bentuk original. Di Malaysia Salina tidaklah sampai diharamkan, hanya dikesali pada mulanya, tetapi kini diterima sebagai karya terbesar dalam sastera Melayu. Hanya saya seorang yang terus menerus menegaskan bahawa karya ini adalah sebuah karya picisan dan wajib ditolak oleh para pengkritik sastera kerana sifat picisannya. Mujurlah hanya saya seorang saja yang menolak karya ini, oleh itu karya picisan ini terus menjadi sanjungan para sarjana sastera, malah diberi kedudukan tertinggi sebagai sebuah karya sastera yang bertaraf antara bangsa. Tetapi amat malang apabila tidak seorang pun dari sarjana sastera berupaya memberi penjelasan mengapa Pujangga Melayu itulah karya terbesar dalam sastera Melayu, yang kehadirannya dalam sastera Melayu meletakkan Salina sebagai sebuah karya picisan. Dengan berani terdapat para sarjana yang menegaskan Pujangga Melayulah yang sebenarnya karya picisan, kerana karya itu hanya diberi sanjungan oleh penulisnya sendiri, tetapi ditolak oleh masyarakat, terutama di kalangan para sarjana dan pengkritik sastera.  Cacatnya pandangan ini ialah sikap yang dikatakan menjadi pegangan para sarjana sastera itu sendiri adalah sikap picisan yang tidak berasaskan ilmu, dan tidak ada pula asas intelektualnya. Sifat-sifat ini (yakni mengenai ilmu dan unsur intelektual) terdapat dalam Pujangga Melayu.  Penilaian yang bersifat perbandingan ini amat penting kerana masyarakat sastera yang cetek meraba-raba dan berada dalam kekeliruan tentang makna ilmu dalam penulisan kreatif perlu diberi penjelasan dari perspektif apa Salina itu sebuah karya unggul dan Pujangga Melayu pula sebuah karya picisan. Siapa agaknya di kalangan para sarjana sastera yang sering bercakap besar itu berani tampil memberikan penjelasan ini. Kedudukan mereka yang berpendirian begini dengan jelas kelihatan sifat picisannya.

Pembohongan dari segi penilaian dan ukuran yang digunakan juga dilakukan oleh   Panel Anugerah Sastera Negara ketika memilih para sasterawan negara.  Bagaimana pembohongan ini dilakukan? Apakah yang dimaksudkan dengan pembohongan; mengapa pembohongan penting dalam penilaian Panel Anugerah Sastera Negara?  Persoalan ini saya bincang dalam buku saya, Pandirisme dalam Komuniti Dunia (2016).  Dari komen-komen yang kita dapat dalam tulisan para sasterawan negara dan sarjana sastera, nampaknya mereka tidak membaca buku ini, oleh itu timbul pandangan negatif tentang kritikan, seperti yang dinyatakan oleh antara lain sasterawan negara Anwar Ridhwan. Perhatikan kutipan ini: “Kita memerlukan kritikan sastera yang sihat dan membina, sebagaimana gelanggang politik juga memerlukan kritikan yang konstruktif demi kemaslahatan penduduk negara ini” (hal. 53-54). Kesimpulan ini membuktikan penulisnya tidak mengikuti perkembangan baru dalam kritikan sastera Melayu, yang dicetuskan oleh Gagasan Persuratan Baru. Inilah contoh pembohongan yang paling jelas cuba menafikan perkembangan baru yang dibawa oleh PB. Kita perlukan sedikit penjelasan, sejauh mana tidak membinanya PB dalam perkembangan penulisan Melayu? Dari segi apa PB itu tidak sihat sebagai satu gagasan yang pada dasarnya amat revolusioner dalam perkembangan kritikan sastera Melayu. Tentulah kita memerlukan penjelasan yang  tidak bersifat picisan, tetapi yang bersifat kritis dari segi penghujahannya ketika menolak PB sebagai gagasan yang mengarut saja, seperti yang ditegaskan oleh Anwar Ridhwan tanpa menyebut gagasan ini. Tentulah amat menarik jika seorang tokoh sehebat Anwar Ridhwan menganggap PB tidak konstruktif dalam kritikan sastera Melayu dan dengan itu perlu ditolak kerana kedudukannya sebagai pengacau saja, bukan sebagai satu alternatif yang ditunggu-tunggu.

Dalam keadaan sekarang, arah yang dituju terlalu kabur, keliru dan tiada matlamat yang jelas yang ingin dicapai dalam jangka masa tertentu. Dengan itu sastera Melayu hanyut dalam lubuk hedonisme dan lemas dalam telaga hiburan yang tidak berjejak di bumi intelektual.  Inilah ciri utama karya para sasterawan negara yang mendapat pembelaan dan sanjungan daripada para sarjana ciritan yang cetek meraba-raba merayau dalam belantara ilmu yang ditiru sepenuhnya daripada pengalaman sastera Barat.  Inilah keadaan yang ingin dilanjutkan oleh para sasterawan negara dan para sarjana sastera yang tenggelam dalam lubuk teori sastera Barat itu.  Mereka memperkenalkan segala macam istilah yang menurut mereka baru, oleh itu perlu mendapat pengiktirafan dalam kritikan sastera dan dalam penilaian karya.  Antara jaguhnya ialah Ketua 1 PENA sekarang (semua orang tahu nama beliau), yang menulis satu rencana 2005 dan mendapat Hadiah Sastera tahun itu, kerana tulisan itu memuji sebuah novel Anwar Ridhwan. Jika Anwar Ridhwan jujur (tidak ada sebab untuk beliau tidak jujur), maka tulisan yang memuji novel beliau itu tentulah termasuk dalam kategori “kritikan tidak konstruktif” kerana memuji sebuah novel picisan walaupun diberi hadiah istimewa.  Dalam konteks inilah saya mencabar “tukang karut sastera” ini membuktikan karya mereka lebih baik dan lebih bermutu daripada Pujangga Melayu. Cabaran itu tidak mungkin diberi pandangan “konstruktif” kerana mereka tahu karya mereka akan meraung meminta ampun sekiranya diberi kedudukan tinggi melebihi Pujangga Melayu padahal karya mereka adalah karya picisan, seperti yang diberi huraiannya oleh Gagasan Persuratan Baru. Jika para “tukang karut sastera” ini benar-benar percaya karya para sasterawan negara itu karya unggul, maka cara terbaik untuk membuktikannya ialah dengan menilai dan menganalisis karya itu berasaskan kaedah yang dianjurkan oleh PB.  Jika betul-betul “tukang karut sastera” ini benar-benar percaya karya para sasterawan  negara itu tidak dapat dicabar keunggulannya, maka cara terbaik untuk membuktikannya ialah dengan menilai karya itu berasaskan kaedah yang dianjurkan oleh PB. Sekarang anda diberi peluang untuk meletakkan PB sebagai pencabar teori sastera Barat, dengan itu anda diberi peluang untuk membuktikan bahawa teori sastera Barat itu adalah teori terbaik untuk digunakan dalam menilai karya para sasterawan negara. Maka dengan itu saya cabar mereka semua menilai Pujangga Melayu dan lain-lain karya kreatif saya dengan menggunakan teori sastera Barat. Kita mahu lihat sejauh mana keunggulan karya para sasterawan negara ini jika dinilai secara konstruktif untuk menilai karya kreatif Mohd. Affandi Hassan.

Kita telah melihat secara ringkas cabaran dalam bidang kritikan; oleh itu kita akan bincang pula cabaran dalam bidang pemikiran ketika membicarakan sumbangan para sasterawan negara dan para penyanjung mereka yang bergelar sarjana sastera itu.  Oleh sebab saya telah membicarakannya dengan panjang lebar dalam dua buah buku yang saya rujuk tadi, oleh itu tidak perlu lagi dihuraikan dengan mendalam dalam tulisan ini. Rujuk saja dua buah buku tadi. Hujah dan analisis yang diberikan dalam dua buah buku itu perlu dinilai sehabis kritis untuk membuktikan pemikiran yang dihuraikan dalam dua buah buku itu tidak “konstruktif” untuk membina teori sastera kita sendiri berasaskan konsep ilmu yang benar. Kita mahu lihat konsep “ilmu yang benar” tidak konstruktif untuk membina teori sastera kita sendiri, sikap yang menjadi pegangan para sasterawan negara seperti yang jelas dalam kutipan daripada Anwar Ridhwan. Para “tukang karut sastera” diberi peluang terbaik untuk membuktikan falsafah (?) “tukang karut” yang mereka anjurkan itu adalah konstruktif untuk dijadikan asas kritikan sastera.  Berapa lama lagi para “tukang karut sastera” yang bergelar sasterawan negara dan sarjana sastera ini hendak menafikan kemunculan PB dalam pemikiran baru tentang kritikan sastera dan penulisan kreatif, tidak menjejaskan kemunculan PB yang berdiri gagah mencabar tidak saja para sarjana ciritan dan sasterawan picisan, malah mencabar keabsahan teori sastera Barat sebagai panduan dalam penulisan kreatif dan penilaiannya. Asas teori sastera Barat adalah sikap hedonistik para sarjana mereka, yang menolak apa juga pendekatan yang berasaskan konsep ilmu yang benar yang menjadi asas penulisan dan kritikan sastera di kalangan karyawan Islam.  Berapa lama lagi para sasterawan negara dan sarjana sastera mahu berada dalam belantara teori sastera Barat, hanyut dalam kesesatan ilmu yang dipilih sendiri, walaupun mereka sudah didedahkan dengan konsep ilmu yang benar sejak kira-kira setengah abad perkembangan sastera Melayu moden.  Seandainya mereka memilih untuk terus sesat sambil menentang konsep ilmu yang benar dalam kritikan dan penulisan kreatif, maka kita letakkan kesesatan ini ke atas DBP yang gagal memberi arah yang betul dalam perkembangan sastera berasaskan konsep ilmu yang benar. Contoh terbaru kesesatan ini ialah apabila DBP menjadikan novel picisan Salina sebagai kemuncak pencapaian kreatif dalam sastera Melayu moden.  Keputusan ini tidak saja bodoh dan tidak berasas, malah menghina budaya ilmu dalam perkembangan kreatif dan kritikan sastera yang sedang dibina oleh Gagasan Persuratan Baru.  Inilah kemuncak pembohongan dalam sastera Malaysia.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 2 Februari 2020.