Thursday, November 28, 2019

Perubahan Nilai Yang Merugikan Tamadun Melayu



Ketika menulis latihan ilmiahnya yang bertajuk “Pengarang-pengarang Melayu di Saingapura Selepas Perang Dunia II (1946-1958)” (Bahasa, no. 7, akhir 1965; hal. 3-55), Ismail Hussein (kini Tan Sri Prof. Emeritus) menunjukkan istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” tidak terkenal/popular sehingga pertengahan (?) tahun 1950-an. Beliau menggunakan istilah “pengarang” untuk judul latihan ilmiahnya dan dalam analisisnya. Apa yang disebut golongan tua yang menulis novel, cerita pendek dan lain-lain, tidak memanggil diri mereka “sasterawan”, tetapi pengarang. Hanya penulis-penulis muda seperti Keris Mas, A. Samad Ismail, Usman Awang, Hamzah, MAS (Mohammed Ariff Singapura), dan lain-lain yang mendapat dan menerima pengaruh dari Indonesia, yang menganggap diri mereka maju atau progresif, dengan bangga menggelar diri mereka sebagai “sasterawan”, sebagai tanda terputusnya mereka dengan “golongan tua” yang mereka anggap sudah ketinggalan zaman, bukan golongan progresif. Maksud progresif itu ialah kecenderungan kepada faham sosialis, atau golongan kiri, dalam politik dan kebudayaan, sedangkan golongan tua lebih dekat kepada Islam. Maka apabila mereka menubuhkan Angkatan Sasterawan 50 (seterusnya Asas 50), mereka dengan lantang meneriakkan slogan “sastera untuk masyarakat”. Selepas Tanah Melayu merdeka 1957, apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (yang ditubuhkan 1956 di Johor Bahru) dipindahkan ke Kuala Lumpur, para sasterawan Asas 50 memainkan peranan penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu baru. Mereka juga rapat dengan ahli-ahli politik UMNO, dan berjaya mempengaruhi ahli politik itu untuk memberi hadiah “Pejuang Sastera” kepada sasterawan golongan kiri dari kumpulan Asas 50. Dalam tahun 1981, Keris Mas, tokoh Asas 50 yang terkenal sebagai penulis cerita pendek dan penulis esei sastera, dinobatkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebagai Sasterawan Negara pertama. Selepas itu berturut-turut sasterawan Asas 50 atau yang bersimpati dengan mereka diberi anugerah yang sama; terakhir ialah Anwar Ridhwan yang banyak membantu dan membela golongan ini dalam tulisan-tulisannya dan dalam kuliah sasteranya di Jepun. Dengan terlantiknya Anwar Ridhwan sebagai Sasterawan Negara ke-10, maka berakhirlah pengaruh Asas 50. Bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa dengan kehadiran 10 orang Sasterawan Negara ini istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” yang dipopularkan oleh Asas 50 dan diterima untuk dirasmikan oleh Kerajaan Barisan Nasional akan kekal dan tidak boleh dicabar lagi? Perkara ini akan dibincangkan kemudian. 

Kemunculan istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” menandakan berakhirnya tradisi persuratan yang kaya dalam tamadun Melayu. Malah istilah “persuratan” itu sendiri tidak disukai dan dimomokkan sebagai mencerminkan kemunduran, sedangkan “kesusasteraan” itu mencerminkan kemajuan, sifat progresif para “sasterawan”. Bagi Asas 50, usaha mereka yang pertama ialah menghapuskan tulisan Jawi, meskipun terdapat di antara mereka yang menjadi editor akhbar dan majalah yang bertulisan Jawi. Akhbar Warta (Bil. 58, bertarikh 6 April 1954) menggunakan tajuk berita yang besar dan panjang untuk menarik perhatian orang Melayu tentang matlamat sebenar Asas 50 dalam perjuangannya. Inilah tajuk berita itu: “Memorandum Asas 50: Sebabnya Pertubuhan Mereka Menyokong KGMS (Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura) Mencadangkan Rumi Menjadi Tulisan Rasmi Melayu. Tulisan Jawi tidak ada hubungannya sama sekali dengan Agama Islam. Bahasa Melayu Tidak Perlukan Tulisan Jawi. Orang Turki Telah Menyingkirkan Tulisan Arab.” Menurut pandangan Asas 50, hanya dengan tulisan Rumi saja “kesusasteraan” Melayu baru dapat dimajukan. Pada ketika itu, pendirian Asas 50 amat mengejutkan orang Melayu, dengan itu akhbar Warta menyiarkan sepenuhnya Memorandum Asas 50 untuk diteliti oleh orang Melayu. Walaupun pendirian Asas 50 tentang bahasa Melayu dan tulisan Jawi itu karut, bertentangan dengan fakta sejarah perkembangan bahasa Melayu sendiri, namun dengan pendirian itu mereka telah membuktikan kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya di Universiti Kebangsaan Malaysia 1972 yang mengatakan, “Golongan pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri dari orang-orang yang tiada benar-benar mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaan Barat dan sifat-sifat asasi kebudayaannya sendiri; orang-orang yang dari segi kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran atau marginal society, yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada jelas, tiada mendalam. Penganut-penganut golongan ini pun mereka yang terkeliru, yang kebanyakannya terdiri dari masyarakat bandar, yang sungguh pun terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar-benar menyerapi kebudayaan Barat itu, mahupun kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai-nilai kebudayaan yang terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai-nilai yang dinilai oleh mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu”.

Kita lihat nanti bagaimana para pengasas Asas 50 membuktikan sekali lagi kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu, dalam tahun 1981, apabila mereka mewujudkan Sekretariat Anugerah Sastera Negara, dengan Keris Mas muncul sebagai penerima gelaran “sasterawan negara” yang pertama. Dengan tertubuhnya sekretariat itu dan terpilihnya sasterawan negara dari kalangan mereka, maka kesusasteraan dan sasterawan diberi kedudukan istimewa, dengan itu tidak saja meminggirkan tulisan Jawi, tetapi juga meminggir dan mengetepikan persuratan Melayu yang telah berjasa besar dalam membina dan mengembangkan bahasa Melayu itu. Yang muncul dengan megah dan bergaya sekarang ialah para sasterawan dan karya mereka yang diberi sanjungan tinggi, walaupun pada hakikatnya mereka adalah dari kumpulan orang yang “keliru” seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya. Adakah perubahan dari persuratan kepada kesusasteraan memberi keuntungan kepada orang Melayu?

Dalam makalahnya, Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman menjelaskan bagaimana konsep al-adab dalam persuratan Arab berubah makna, sehingga disempitkan menjadi “kesusasteraan” dalam zaman moden. Persis inilah yang terjadi dalam persuratan Melayu sendiri. Sekitar tahun 1920-an hingga 1940-an, majalah yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, terutama di Kelantan, menggunakan istilah “al-adib” untuk memperkenalkan seseorang penulis, atau istilah pengarang yang sama maksudnya. Penggunaan istilah “al-adib” memperlihatkan kepekaan para editor majalah dan akhbar ketika itu kepada tradisi penulisan dalam Islam yang berasaskan al-adab itu. Sebaliknya, ketika Asas 50 ditubuhkan, para pendukung pertubuhan itu tidak lagi mengenal istilah itu, oleh itu dalam tulisan-tulisan mereka tidak wujud sama sekali kesedaran kepada wujudnya tradisi penulisan dalam Islam. Asas 50 mengambil contoh dan teladan dari Barat sepenuhnya, dengan itu memutuskan sama sekali apa juga ikatan dengan warisan persuratan Melayu yang berasaskan ilmu dan nilai-nilai Islam. Apabila mereka memperkenalkan sajak dan cerita pendek dalam karya-karya mereka, mereka membebaskan diri mereka daripada apa juga pengaruh Islam. Demikianlah akhirnya sebuah novel Salina yang pada mulanya ditolak oleh juri peraduan kerana dianggap bertentangan dengan nilai-nilai Islam, menjadi karya besar setelah diiktiraf oleh seorang sarjana Belanda sebagai sebuah karya bertaraf antarabangsa. Maksudnya, sebagai sebuah karya yang tidak lagi bercorak Islam yang dianggap mundur dan menghalang kemajuan itu. Kini nilai-nilai Islam yang menjadi panduan dalam penilaian para juri itu disisihkan sepenuhnya, dengan itu Salina muncul sebagai karya besar sastera Melayu moden dan diletakkan sebagai sebuah karya unggul sehingga memungkinkan penulisnya dilantik menjadi sasterawan negara. Demikian cepatnya perubahan nilai berlaku dalam masyarakat Melayu: sesuatu yang mereka tolak pada mulanya, mereka terima dengan bangga setelah diiktiraf oleh sarjana Barat, dan mereka dengan itu tidak lagi berasa janggal memisahkan diri mereka dengan tradisi persuratan Melayu yang berasaskan nilai-nilai Islam itu. Dalam penilaian mereka terhadap karya itu, mereka memakai nilai-nilai sastera Barat sepenuhnya, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 1985.


Posted by Mohd Affandi Hassan at 2:28 AM

(Disiarkan pada mulanya 2010. Disiarkan kembali kerana sesuai dengan tajuk perbincangan dalam beberapa entri terbaru.)

Sunday, November 24, 2019

NOTA KECIL UNTUK CERITA PENDEK SASTERAWAN NEGARA WILLIAM SHAKESPEARE



Cerita pendek ini memberi jalan keluar yang terbaik kepada kemelut yang dihadapi oleh para sasterawan negara yang picisan dari segi pemikiran dan kemampuan kreatifnya. Dengan meletakkan para sasterawan negara ini setaraf dengan Shakespeare, maka sifat picisan mereka akan terhakis kerana kini mereka setaraf dengan Shakespeare, sama-sama menjadi anggota sasterawan negara dan sekali gus sasterawan dunia yang ulung.  Jika ini benar-benar berlaku, maka sesiapa juga yang ingin mengkritik  para sasterawan negara ini tidak lagi mempunyai hujah, kerana kini mereka setaraf dengan pengarang besar dunia, yang paling agung di Barat. Cuma, kamu semua mesti ingat pesan Annemarie Schimmel tentang Goethe dan Shakespeare, yang menurutnya hanya pemain guli jika dibandingkan dengan Rumi. Siapakah di antara sasterawan negara ini yang menjangkau kehebatannya mengatasi Rumi? Ada yang mencadangkan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh boleh diangkat setaraf dengan Rumi, malah dalam beberapa buah sajaknya dia melampaui jauh daripada Rumi yang menulis sajak-sajak kontot!!  Lebih baik, kata para sarjana, ialah kedudukan Kemala, yang ternyata mengatasi Rumi melalui sajak-sajak sufinya yang murni itu, menurut Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.

Tetapi ada satu halangan besar yang harus dilalui oleh para sasterawan negara ini.  Saya telah mencabar para penilai mereka dan mereka sendiri untuk mengkritik dan melemparkan ke dalam Sungai Kelang sajak “Al-Andalus”  dan novel  Pujangga Melayu,  Hikayat Buyung Lurus, yang saya klaim tidak mungkin diatasi oleh mana-mana karya para sasterawan negara ini. Para sarjana perlu menolak  klaim saya; kerana jika mereka tidak mampu melakukannya, dan membiarkan cabaran ini tergantung seribu tahun dalam sastera Melayu,  maka yang mereka buktikan ialah keselekehan para penilai dan karya yang mereka nilai yang tetap picisan itu. Demikianlah pentingnya cerita pendek “Sasterawan Negara William Shakespeare” itu sebagai hujah untuk membela  para sasterawan negara.

Seberapa boleh, para sarjana dan pengkritik sastera harus menjauhkan diri mereka daripada melakukan pembohongan ilmiah dalam penilaian mereka. Biarlah ahli politik saja yang menjadikan pembohongan sebagai hujah tentang kejujuran mereka; para sarjana dan sasterawan negara tidak wajar meletakkan diri mereka jauh ke bawah daripada kedudukan para ahli politik yang menjadikan pembohongan itu sebagai kejujuran politik mereka. Saya harap tidak ada di antara para sarjana dan sasterawan negara, dan para sasterawan secara umumnya, tidak faham maksud pandangan saya itu.  Walaupun para sasterawan negara telah diberi dedak oleh ahli politik dan para sasterawan negara meminta jumlah dedak yang lebih besar daripada 5000 dolar yang mereka terima sekarang, menjadikannya 10,000 kerana kebesaran jasa mereka dalam pembohongan  intelektual yang mereka tunjukkan dalam karya mereka,  namun kedudukan  mereka sebagai sasterawan negara akan lebih terjamin jika mereka disetarafkan dengan Shakespeare dengan melantik tokoh Inggeris ini sebagai seorang sasterawan negara.  Saya harap tiada sarjana dan rakyat Inggeris membantah cadangan ini. Berilah peluang kepada anak jajahan mereka untuk mencapai kedudukan tertinggi sebagai pemuja keagungan penjajahan intelektual dalam sastera Melayu.  Inilah satu-satunya cara untuk menolak Gagasan Persuratan Baru yang kini mencabar seluruh teori sastera Barat yang menjadi asas penilaian para sasterawan negara ini. 

Menurut Ketua Pengarah DBP, semua sasterawan negara dijadikan idola (?) para mahasiswa di semua universiti, seperti yang dikehendaki oleh Menteri Pendidikan kasut hitam. Untuk memastikan cadangan ini bukan lawak Pak Pandir, para mahasiswa ini perlulah diberi peluang oleh para pensyarah sastera untuk memahami kedudukan PB dalam kritikan sastera, dan bagaimana penilaian berasaskan konsep ilmu itu lebih tepat dan jitu daripada penggunaan teori Barat yang ternyata palsu itu.  Beri peluang kepada para mahasiswa sastera untuk berfikir dengan kritis, dan tahu meletakkan karya picisan di tempatnya dan dengan itu dapat mengenal siapakah sasterawan picisan dalam sastera Melayu. Satu permintaan yang mudah untuk dilaksanakan dengan wujudnya Gagasan Persuratan Baru sebagai satu alternatif. Untuk itu, bacalah dengan kritis buku Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang diterbitkan oleh DBP berjudul, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009).  

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 24/11/2019.



Saturday, November 23, 2019

SASTERAWAN NEGARA WILLIAM SHAKESPEARE

Nota:  Sempena entri yang lepas, saya siarkan cerita pendek  yang lucu ini untuk mengangkat para sasterawan negara ke peringkat antara bangsa sebagai tokoh sastera yang setaraf dengan shekespare!!

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++



Sasterawan Negara William Shakespeare



            Semenjak bahasa Inggeris dihidupkan semula dengan suburnya di Malaysia, ayahku mula bekerja keras berkempen seluruh negara supaya kerajaan memberi anugerah  negara tertinggi dalam kesusasteraan kepada William Shakespeare. Kata ayah, kalau P. Ramlee layak digelar Tan Sri selepas meninggal dunia berpuluh tahun, Shakespeare juga layak diberi anugerah sebab dialah yang membawa kemajuan di Malaysia melalui drama-dramanya yang indah. Kata ayah, Shakespeare membuat orang Malaysia jadi cerdik dan fasih berbahasa Inggeris  tinggi, yang membuat mereka berjiwa maju. Selepas surat-surat khabar menyiarkan berita itu, aku menjadi bahan tertawa kawan-kawan dan guru-guru di sekolah.
            -Huu, tak malu!! Ayah kamu gila, sorak teman-temanku.
            -Heeh, Samad, bilang sama ayah kamu suruh dia berhenti buat kerja gila itu, kata guru-guru sambil tertawa. Tak ada calon lainkah? Sampai Shakespeare pun nak dijadikan Sasterawan Negara?
            Apa yang aku boleh buat? Tak mungkin aku menangis, kerana usikan dan ejekan itu pasti akan jadi berganda-ganda lagi jika aku menunjukkan kelemahanku. Tetapi jika aku terlalu kerap disakan guru-guruku, aku tidak sabar juga dibuatnya. Aku terus mengejek mereka pula.
            -Cikgu tahu siapa Shakespeare? Cikgu ingat dia driver bas sekolah?
            Tetapi guru-guru itu semakin kuat mengusikku.
            -Kamu tahu siapa dia Shakespeare? Kamu ingat dia pemain rodatkah?
            Aku terkebil-kebil memandang mereka. Aku tidak tahu apa dia rodat. Aku mula gelisah dan ingin cabut lari sebelum mereka tahu aku tidak tahu.
            -Heiii, jangan lari! Kamu mau ke mana? Bilang sama ayah kamu, dia tak ada kerja lainkah? Mentang-mentang kerajaan galakkan bahasa Inggeris, ayah kamu lebih-lebih pula nak jadikan Shakespeare Sasterawan Negara. Kamu ingat orang putih tak marah?
            Anehnya ayahku hanya tertawa bila aku memberitahunya semua kejadian itu.
            -Ayah lebih teruk lagi diejek kawan-kawan ayah, kata ayah sambil tersenyum. Mereka tidak faham. Mereka tidak mengerti. Kalau kita ada Shakespeare dalam senarai Sasterawan Negara kita, kita akan dikenali dunia. Kita pun boleh menaikkan darjat bahasa Melayu kerana kini sasterawan dalam bahasa Melayu sama taraf dengan sasterawan besar macam Shakespeare. Kita mesti jadi global
            Aku terpinga-pinga, tidak mengerti langsung apa maksud ayahku. Aku mendiamkan diri sambil menunggu ayahku menyambung ucapannya. Tetapi sebaliknya ayah merenungku dengan aneh.
            -Kamu demam?
            Terkejut mendengar pertanyaan yang pelik itu,  tiba-tiba aku tertawa kuat.
            -Haaa, mengapa pula tertawa?
            -Pertanyaan ayah menggelikan hati, kataku sambil terus tertawa kecil. Takkan pula saya akan demam kerana Shakespeare nak dijadikan Sasterawan Negara.
            Ayahku tersenyum.
            -Kamu silap, kata ayah serius. Ada orang bukan saja demam, tapi sudah hampir gila bila ayah kemukakan cadangan ayah supaya Shakespeare dijadikan Sasterawan Negara. Mereka kata ayah sudah gila. Mereka tidak sedar merekalah yang hampir gila, kalau pun tidak gila terus. Mereka tidak mengerti! Kita tak boleh sempitkan Sasterawan Negara kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu saja. Kita mesti global, mesti berani mengakui semua sasterawan, tak kira menulis dalam bahasa apa sekalipun.
            Ayahku sebenarnya seorang Sasterawan Negara yang menulis pada mulanya dalam bahasa Inggeris, tetapi berpindah ke bahasa Melayu bila dia sedar tidak ramai orang yang akan membeli bukunya dalam bahasa Inggeris. Kata ayah, penyair Inggeris yang dia paling suka selepas Shakespeare ialah Philip Larkin. Ayah tersenyum-senyum bila menyebut nama Philip Larkin, kerana ayahnya sendiri berasal dari Larkin, manakala nenekku berasal dari Kuala Sedili. Kata ayah, Philip Larkin menggunakan bahasa yang mudah, bahasa kolokial, dalam sajak-sajaknya. Ayahku juga menggunakan bahasa kolokial dalam sajak-sajaknya, baik yang dalam bahasa Inggeris  maupun yang ditulisnya di dalam bahasa Melayu. Kami di sekolah pun menggunakan bukunya yang dia tulis lama dahulu, tentu saja dalam bahasa Inggeris. Dia memang dididik untuk memuja Shakespeare sejak di bangku sekolah lagi. Dia bercerita begitu kepada kami, anak-anaknya. Dia memaksa kami membaca drama-drama Shakespeare, dengan dia sendiri menjadi gurunya. Aku pernah melihat ayah menangis tersedu-sedu apabila membacakan kepada kami drama King Lear yang disiksa oleh anak-anak perempuannya.
            -Sedihkah ceritanya, ayah?, tanya kami yang masih kecil ketika itu.
            -Memang sedih, tapi ayah menangis bukan kerana itu, kata ayah sambil menyapu airmatanya.
            -Mengapa ayah menangis?, tanya adikku yang bingung, sambil tersebek hendak menangis sama.
            Ayah memandang kami sedih.
            -Ayah sedih kerana kita di Malaysia tidak boleh menonton drama Shakespeare lagi. Sekarang kerajaan pentaskan drama-drama sasterawan Melayu saja. Tidak bagus. Memang tidak bagus. Ayah tidak suka melihat pelakon terjerit-jerit di pentas. Ayah meluat mendengar khutbah yang disemburkan dari mulut pelakon yang tidak berbakat pula. Tidak ada kata-kata yang indah, yang puitis, dalam drama-drama itu. Tapi penonton bersorak. Ayah tidak tahu apakah yang disorakkan mereka. Kebodohan mereka? Atau saja-saja nak bersorak…
            Di rumah kami penuh buku-buku drama karangan Shakespeare,  buku-buku yang memuji  drama-dramanya, dan gambar-gambar pelakon handalan yang terkenal kerana melakonkan drama-drama Shakespeare. Aku tidak pernah membaca karangan itu. Ayah selalu terkilan apabila tidak seorang pun di antara kami, anak-anaknya, yang sukakan Shakespeare, atau menonton filem-filem yang dibuat daripada dramanya. Tetapi setiap kali ayah menonton filem-filem itu, kami terpaksa ikut sama menonton. Ayahku diam penuh perhatian menonton drama-drama hebat daripada cerita-cerita Shakespeare itu. Jika sampai ke babak yang digemarinya, yang ditunggu-tunggunya, dia akan bangun dengan hebat, melakonkan dengan penuh perhatian babak itu, mengucapkan dengan fasih dan berirama ucapan-ucapan klasik dalam drama-drama Shakeskpeare…
            -Romans, contrymen, lend me your ears …
            -Life is but a walking shadow …
            -Is that a dagger?…
            -Knock  knock knock …
            Dan seterusnya. Aku mungkin silap sebut bahagian-bahagian itu, sebab aku bukan ingat sangat.
            -Sungguh cantik  bahasa Shakespeare! Kata ayah dengan terharu.
            Selepas itu dia akan membacakan sajak-sajak Larkin yang dihafalnya, termasuk yang digemarinya “Church-Going” yang menurutnya sangat sinis menyindir orang yang berpura-pura beragama. Dia sendiri kemudiannya menulis sajaknya sendiri, “Dalam Masjid”, walaupun dia bukan gemar ke masjid, termasuk hari Jumaat. Kami tahu sebab ayah selalu berkata masjid tempat orang mengumpat dan menghina orang yang tidak disukai. Walaupun aku tidak pernah dengar orang berbuat begitu, aku tidak membantah. Aku fikir ayah selalu mendengarnya, mungkin kerana teman-temannya suka berbuat begitu dalam masjid. Aku tidak tahu, jadi aku percayakan kata-kata ayahku membuta-tuli saja.
Kami kagum melihatnya begitu hebat menyebut syair-syair Shakespeare, dengan gaya yang hampir sama dengan para pelakon Inggeris atau Amerika. Dia menghafal bahagian-bahagian yang dikatakannya indah itu. Aku tidak pasti berapa banyak syair-syair Shakespeare yang dihafalnya. Aku fikir banyak, kerana setiap kali dia membacanya, aku dengar semuanya berlainan. Adakah ayahku menghafal semua karya Shakespeare? Kata ayah, Lord Macauly memang menghafal semua drama dan puisi Shakespeare, hingga orang Inggeris berkata jika semua karya Shakespeare musnah masa itu, mereka dapat menyalinnya semula sambil mendengar Lord Macauly membacakannya semula dari ingatannya.
-Macam orang hafal Quran, ayah?, tanya adikku hairan.
Ayah tersenyum sambil menganguk-angguk megah.
-Lebih hebat lagi, kerana karya Shakespeare banyak, beratus-ratus, dan sukar pula dihafal. Tapi Lord Macauly boleh hafal semua. Hebat bukan?
Kami memandang ayah terlongo hairan.
-Ayah hafal juga?, tanya adikku lagi, lebih hairan, tetapi aku lihat dia bangga dan menunggu jawapan ayah dengan penuh harapan.
-Ayah pun hafal, tapi yang penting-penting saja, yang guru sastera ayah ajarkan masa ayah bersekolah dulu.
-Ayah masih ingat sampai sekarang?
-Ya, masih ingat. Masih segar dalam ingatan ayah.
Adikku tersenyum bangga.
-Saya pun mau jadi macam ayah, kata adikku.
Tetapi bila kami sudah besar dan lebih cerdik, aku lihat adikku usahkan hendak menghafal drama Shakespeare, menyentuh bukunya pun tidak mahu, apalagi menonton drama yang berat-berat itu bersama ayah. Ayahku sangat kecewa melihat sikapnya, tetapi adikku pura-pura tidak faham, buat-buat tidak dengar, konon-kononnya dia terlalu banyak kerja sekolah yang penting-penting yang perlu dibuat dan disudahkan.
-Kamu jangan ikut adik kamu, kata ayah hampa. Kamu tidak akan rugi jika kamu hafal bahagian-bahagian yang ayah berikan itu sedikit demi sedikit. Kita tidak akan jadi terpelajar jika tidak dapat menyebut bahagian-bahagian drama Shakespeare yang masyhur itu.
Adikku tidak saja liat dan malas menghafal syair-syair Shakespeare, dia lebih liat dan malas lagi menghafal surah-surah pendek al-Quran. Ustaz yang ibuku upah mengajar Quran selalu menggelengkan kepala sedih melihat telatah adikku. Satu hari aku dengar ayah memarahi ibu kerana mengupah ustaz yang mengajar cara lama, suruh budak-budak hafal walaupun tidak faham. Ayah tidak suka adikku dirosakkan dengan paksaan seorang ustaz yang menggunakan cara lama mengajar agama. Ibu diam saja. Lepas itu ustaz Jalil tidak datang ke rumah kami lagi, diganti dengan seorang ustaz baru yang ditugaskan membaca saja, tidak perlu menghafal lagi. Adikku senang hati dan rajin membaca Quran bila ada ustaz. Tapi bila ibuku suruh sembahyang, dia kata nantilah dulu. Aku tahu helahnya. Dia tidak mahu sembahyang lagi kerana belum hafal ayat-ayat pendek, dia beritahu aku. Bila aku beritahu ibu, aku disuruh ibuku mengajar adikku menghafal ayat-ayat pendek. Mana dia mahu? Dengan ustaz pun dia tak mahu, apatah lagi dengan aku. Tetapi aku senang hati kerana ibuku selalu memujiku pandai mengaji dan hafal pula ayat-ayat pendek. Cukuplah untuk sembahyang nanti, kata ibu.
Walaupun sangat tersiksa, kerana aku tidak menggemarinya, aku terpaksa juga menghafal syair-syair Shakespeare, untuk tidak menghampakan ayahku. Untungnya bila diadakan kelas bahasa Inggeris, aku selalu mendapat pujian dari guru bahasa Inggeris, kerana kefasihanku mengeluarkan semula bahagian-bahagian yang sesuai dari syair-syair Shakespeare. Hinggalah apabila ayahku mula berkempen meminta kerajaan menganugerahkan gelaran Sasterawan Negara kepada Shakespeare. Mulai saat itu, aku diejek-ejek, dikatakan sudah jadi keju dan mentega Inggeris, tak tahu belacan dan budu dan cencalok Malaysia lagi.
-Berapa buah pantun Melayu kamu hafal?, cabar kawan-kawanku.
-Kamu hafal syair-syair Hamzah Fansuri?, cabar yang lain.
Aku jadi bingung. Siapakah Hamzah Fansuri? Abang ayahku memang bernama Hamzah, tetapi bukan bin Fansuri. Lagi pula dia bukan pengarang syair. Dia seorang nelayan yang pandai belayar dan pandai membuat perahu.
-Kamu hafal “Syair Perahu”?, jerkah guru bahasa Melayu dengan muka meluat.
-Tapi bapa saudara saya tidak buat syair, cikgu. Dia hanya buat perahu, jawabku bangga.
Mereka, guru-guru dan teman-temanku, tertawa kuat.
-Bodoh. Aku bukan bercakap pasal bapa saudara kamu. Aku bercakap pasal Hamzah Fansuri. Siapa beritahu kamu Hamzah Fansuri itu bapa saudara kamu?
Mereka tertawa kuat.
-Bapa saudara saya memang namanya Hamzah, tapi bukan bin Fansuri, kataku jujur.
Mereka tertawa lebih bergemuruh. Kemudian aku ditinggalkan begitu saja, seolah-olah macam sampah kotor. Aku sangat tersinggung dan sedih. Bila aku beritahu ayah, dia menepuk-nepuk bahuku dengan mesra.
-Biarlah mereka buat begitu. Mereka tidak mengerti, kata ayahku.
-Bila pula Pak Long tulis syair, ayah?, tanyaku hairan.
Ayah tertawa kecil.
-Bukan Pak Long kamu. Yang mereka maksudkan Hamzah Fansuri seorang ulama Sumatra yang tulis syair. Orang Belanda tolong perkenalkan dia dengan menulis tentangnya. Sebab itu kita kenal Hamzah Fansuri. Tapi apa yang dia cakap orang tidak faham, lagi pula tidak indah macam syair-syair Shakespeare.
Aku merenung ayahku lama-lama, kerana berasa kesal tidak diberitahu perkara itu sehinggalah aku diejek-ejek teman-teman dan guru-guru.
-Mengapa ayah tidak beritahu saya?, aku mencabar ayah.
-Bukankah ada dalam buku bahasa Melayu dan buku sastera?, kata ayah hairan.
Tetapi aku tidak bertemu, mungkin ayah betul, cuma aku tidak bertemu. Lagi pula aku tidak ambil mata pelajaran itu. Di rumah kami pun aku tidak pernah lihat buku Hamzah Fansuri. Aku hairan, bagaimana dia jadi pengarang tanpa menulis buku? Tetapi aku tidak bertanya ayahku kerana aku tahu ayahku tidak suka sangat bercakap tentang Hamzah Fansuri, walaupun abangnya bernama Hamzah. Ayah pernah berkata, dia bukannya boleh baca tulisan Jawi cara lama yang ejaannya banyak salah, menurut sarjana Belanda yang dia baca.
-Macam mana bentuknya “Syair Perahu”, ayah? Macam perahukah?
-Perahu itu lambang saja. Bukan betul-betul. Perahu itu hidup kita yang dilambangkan selalu dilambung ombak macam kita naik perahu. Sebab itu jika kita pandai mengemudikan hidup kita, kita akan berjaya.
Aku merenung ayah, tidak faham apa maksud  ayah.
-Tapi Pak Long tetap susah, miskin dan susah hidupnya. Dia cekap mengemudikan perahu. Mengapa pula dia miskin dan susah?
Giliran ayahku pula merenungku dengan hairan.
-Siapa yang ajar kamu faham sosialis ini?,  suara ayah tegang saja.
-Sosialis? Sosialis apa, ayah?
-Sudahlah. Guru-guru bahasa Melayu dan guru-guru sastera memang merosakkan fikiran budak-budak sekolah, rungut ayahku. Para sasterawan ini pun ramai yang sosialis .            Jadi aku tidak tahu jawapan pertanyaanku yang aku fikir mudah itu. Aku tidak faham mengapa ayahku marah bila mendengar pertanyaanku tadi.
Selepas peristiwa itu, aku lupakan saja Hamzah Fansuri, tetapi setiap kali aku ke Kuala Sedili bertemu Pak Long, bila ikut ayah pulang ke kampung, aku sering memandang Pak Longku, yang bernama Hamzah itu, dengan perasaan sedih. Mengapa agaknya orang yang pandai berperahu sepertinya hidup susah? Padahal ayah selalu berkata, barangsiapa yang tahu mengemudikan perahu hidupnya akan berjaya. Bila sudah bosan memikirkan soal-soal yang berat-berat dan membingungkan aku itu, aku merungut sendirian:
-Agaknya Pak Long pandai kemudi perahunya saja, tapi tak pandai kemudikan hidupnya.
Aku tidak bertanya ayah lagi selepas itu. Sementara ayahku makin sibuk berkempen supaya Shakespeare dijadikan Sasterawan Negara, dan semakin besar sambutan orang ramai yang menyokongnya, kami anak beranak lupakan saja Hamzah Fansuri.

                                                   ***tamat***


Tarikh: 13 Mei 2002.