Satu ketika dulu riuh
sekali sastera Melayu dibisingi celoteh tentang perubahan paradigma yang
diperlukan dalam sastera Melayu. Kini suara nyaring menjeritkan perlunya
perubahan paradigma itu senyap sepi, apabila perubahan yang mereka jeritkan itu
betul-betul terjadi dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru dan munculnya
karya persuratan yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Adakah jeritan ini
akan kembali dalam Seminar Sastera di UKM pada bulan November 2018 nanti? Masalah besar yang akan mereka hadapi dalam
seminar itu ialah bagaimana mereka boleh mempertahankan kedudukan para
sasterawan negara dan karya mereka yang bersifat picisan? Adakah ucaputama Baha
Zain nanti tidak lagi mengulangi tabiat lama beliau yang bombastik (saya telah
memberikan ulasan tentang perkara ini dalam beberapa entri) tetapi kosong dari
segi makna? Saya perlu beri sedikit
contoh supaya anda tidak keliru.
Perhatikan contoh ini:
“Sasterawan bukan konsumer yang
tenggelam dalam estetika yang melangit,
atau luluh dalam tafakur sufistik
yang berpanjangan. Dia berakar di bumi
budayanya, dan peka terhadap
unsur-unsur yang datang daripada budaya luar
untuk melakukan penilaian kritis.
Dia pula tidaklah bersikap taksub dan nostalgik
terhadap apa-apa sahaja yang bernama
tradisi, adat resam, dan kekampungan
yang telah memupuk orientasi dan
pilihan-pilihannya sejak zaman kanak-kanak;
serta melihat dengan pandangan
jaundis terhadap kekuasaan, birokrasi dan
kemodenan. Dia harus membebaskan
fikirannya daripada terperangkap dalam
perasaan dan pandangan yang
hitam-putih dan gelap-terang untuk
menghidupkan jiwanya, menghidupkan
hati nurani; dan mengetengahkan
pandangan yang autentik.” (Daripada
kertas kerja beliau yang dibentang dalam Seminar 6 Sasterawan Negara, 2014 di
UPM).
Hebat. Tetapi kosong, hanya retorik
peragaan yang tidak sedikit pun terpancar “pemikiran” yang berdasarkan konsep
ilmu yang benar. Kegemaran sasterawan
negara ini memperagakan retorik kosong ini menafikan semua kehebatan yang
dilemparkan terhadap beliau oleh Muhammad Haji Salleh (sahabat karib) dan
Rahman Shaari, kedua-duanya membuat penegasan yang tidak dibuktikan bahawa Baha
Zain adalah pengkritik sastera yang
paling unggul, yang bahasanya murni dan kaya dengan pemikiran yang luas dan
mendalam. Apakah pemikiran beliau? Kita mahu tahu supaya apa yang disebut “pemikiran”
itu boleh digunakan untuk membina tamadun intelektual yang canggih di Malaysia.
Jika inilah harapan kita, maka tokoh ini perlu membuktikannya dalam buku-buku
ilmiah dan berisi pemikiran itu, terutama sekali dalam perkembangan yang
mengarah kepada wujudnya paradigma baru yang dijeritkan selama ini. Yang jelas,
yang boleh kita lihat dengan nyata, Baha Zain memang berjaya menulis
sajak-sajak kontot, seperti yang dikritik oleh Shahnon Ahmad, oleh itu menurut
Shahnon Ahmad keadaan ini tidak melayakkan beliau diberi gelaran sasterawan
negara. Dalam kritikan sastera pun begitu juga, masih dilindungi oleh tulisan
kontot yang bersifat popular, bukan menyerlahkan pemikiran baru tentang
pengajian sastera dan juga dalam kritikan. Inilah orangnya yang diberi tugas
memberi ucaputama nanti. Tidakkah ini membebankan beliau dan peserta seminar
yang terpaksa mendengar retorik kosong seperti yang dibuktikan dalam kutipan di
atas. Tidak saja pengetahuan Baha Zain
cetek, tetapi juga sikapnya terhadap ilmu sangat angkuh. Jika beliau jujur, dan
sedar tentang perubahan besar yang sudah dan sedang berlaku dalam persuratan Melayu dan dalam sastera, maka
beliau wajar memberi sanggahan beliau yang terperinci mengapa kita tidak
perlukan Gagasan Persuratan Baru untuk maju dalam penulisan kreatif dan
kritikan sastera. Inilah paradigma baru yang dilaungkan itu, sudah berada di
depan mata. Tetapi kerana hati sudah buta dengan sikap angkuh yang kaya dengan
kejahilan ilmu, maka perubahan besar dalam pemikiran itu dipijak-pijak sebagai
tidak relevan dan bertentangan dengan sifat sastera yang kreatif dan berasaskan
imaginasi, bukan analisis dalam konteks ilmu. Jika inilah pandangan mereka yang
berada dalam kandang pandirisme ini, maka sangat jelas mereka tidak membaca
karya para gergasi sastera dunia, umpamanya Thomas Mann, yang menulis tiga buah
novel besar tentang Nabi Yusuf dalam Injil.
Siapa dari mereka yang sudah membaca Pujangga
Melayu dengan kritis dan kreatif?
Tidak seorang pun daripada kumpulan para sasterawan negara ini telah
menghasilkan sebuah karya yang boleh menandingi Pujangga Melayu dari segi pemikiran, teknik, dan pengolahan yang
bersifat intelektual; sebuah buku mini ensiklopedia dalam penulisan kreatif.
Siapa di antara mereka yang mampu menyanggah kesimpulan ini? Kita mahu dengar
penghujahan mereka dan mahu melihat bukti-bukti yang mereka tampilkan untuk
menafikan kesimpulan ini. Sikap mereka untuk berada dalam kandang pandirisme
sebagai “lembu kenyang” (menurut ungkapan terkenal dalam masyarakat
Kelantan) tidak membantu perkembangan
intelektual yang kita harapkan.
Sekarang masyarakat sastera
dibebankan dengan pandirisme lagi setelah wujud perkembangan baru yang
ditawarkan oleh Gagasan Persuratan Baru dan munculnya karya persuratan yang
jauh mendahului karya sastera yang masih berada di peringkat picisan itu.
Tampilkan sebuah karya oleh mana-mana sasterawan negara yang boleh menandingi Pujangga Melayu dan sajak-sajak yang
terdapat dalam novel persuratan itu. Tunjukkan kepada kita sebuah sajak yang
boleh mengatasi sajak “al-Andalus” yang menghiasi Pujangga Melayu, yang merumuskan perkembangan ilmu selama lebih
seribu tahun yang telah dimulai di Andalus, yang kemudiannya melahirkan zaman
baru di Eropah. (Untuk maksud ini, anda boleh rujuk penerbitan UNESCO berjudul,
Islamic and Arab Contribution to the European Renaissance (Arab Republic of
Egypt National Commission for UNESCO, Cairo 1977).Tidak mungkin cabaran ini
akan membuat para sasterawan negara terkencing ketakutan, walaupun tidak sebuah
pun karya mereka setaraf dengan Pujangga
Melayu dari segi pemikiran, penampilan teknik baru berasaskan stylization of ideas, dan pentingnya
peranan wacana dalam penulisan kreatif. Tampilkan karya anda yang dapat
memenuhi ciri-ciri yang disebutkan itu. Itulah ciri-ciri karya kreatif berasaskan
konsep ilmu.
Cabaran seumpama ini sesuai dengan
perkembangan dalam teori sastera Barat sendiri, yang telah dibincangkan dengan
mendalam dalam buku Frank Lentricchia, After
the New Criticism (1980) dan buku
John E. Ellis, Against Deconstruction (1989). Perkembangan ilmu sastera di Barat
diasaskan kepada dialog dan perbahasan yang sengit antara para sarjana. Mereka
mempraktikkan kaedah yang diperkenalkan oleh para ilmuan Islam dalam
perkembangan ilmu dalam tamadun Islam, yang menggunakan kaedah radd dan syarah. Yakni, berasaskan
sanggahan dan kritikan atau penjelasan dan ulasan mendalam terhadap sesuatu
idea. Kalau anda tidak setuju, anda
tidak berdiam diri, tetapi tampil ke gelanggang ilmu untuk membahaskan yang
anda tidak setuju itu; sebaliknya jika anda setuju, maka anda memberikan
penjelasan lanjut terhadap idea yang dikemukakan. Inilah yang dilakukan oleh
Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani
terhadap Gagasan Persuratan Baru. Kedua mereka memberikan penjelasan mendalam
dengan memperkenalkan beberapa konsep baru yang berguna untuk menjelaskan lagi
PB. Sebaliknya, para penentang PB mengomel sendirian atau berceloteh sesama
sendiri mengutuk PB, tetapi tidak berani tampil ke gelanggang ilmu memberikan
sanggahan mereka secara ilmiah. Kita patut kasihan kepada mereka ini, yang
dalam kejahilan dan keangkuhan mereka, menolak konsep ilmu yang ditekankan
dalam Islam dan dihuraikan dengan jelas dalam al-Quran. Mereka tidak menolak
al-Quran kerana mereka belum murtad; mereka hanya mempersendakan PB sebagai
satu kaedah karut yang tidak wajar diberi perhatian, apatah lagi diberi sanggahan
oleh mereka. Dengan sikap ini, mereka mempersetankan perkembangan baru dalam
perubahan paradigma yang satu ketika dulu mereka jeritkan keperluannya, yang
satu ketika dulu mereka lambakkan dalam tulisan mereka. Mereka juga tidak
termasuk dalam golongan munafik, walaupun mereka menolak konsep ilmu yang benar
dan memperjuangkan gerakan ‘iwajan dalam sastera Melayu. Mereka adalah golongan
yang cetek meraba-raba, untuk menggunakan istilah yang dipakai oleh Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu
(UKM 1972).
Jika persoalan penting ini tidak
dibahaskan dalam Seminar Sastera UKM, November 2018, maka mereka melakukan dua
perkara. Pertama, mereka melanjutkan keadaan cetek meraba-raba itu dengan
melontarkan pandangan berasaskan kejahilan kepada konsep ilmu. Kedua, mereka
juga menolak perubahan paradigma yang ditawarkan oleh PB walaupun satu ketika
dulu mereka menjeritkan supaya dilakukan perubahan paradigma dalam sastera
Melayu. Jika inilah pendirian mereka, di
manakah mereka berada? Mereka berada dalam kandang padirisme, bergelumang
dengan “falsafah” bullshit seperti
yang dihuraikan dalam buku, Pandirisme
Dalam Komuniti Dunia. Inilah yang akan berlaku dalam ucaputama Baha Zain
nanti. Sebagai penghormatan kepada beliau dan rakan-rakan beliau, Baha Zain
adalah seorang tokoh yang mengamalkan konsep berputar-purat dalam sastera, yang telah saya perkenalkan sejak
tahun 2010 dalam blog ini.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 31 Oktober, 2018.