Pendahuluan
Tujuan entri
kali ini ialah untuk mengajak anda memerhatikan beberapa isu dalam penulisan
kreatif yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Tidak dapat dielakkan, saya mengambil Pujangga Melayu sebagai “kajian kes”
yang mudah untuk sekadar memberi sedikit gambaran apa yang dimaksudkan dengan
“karya persuratan” yang berbeza dengan “karya sastera”. Sekiranya dua kategori karya ini difahami
betul-betul, saya harap perbezaan dua kategori karya ini akan membantu anda
untuk melihat dengan kritis perkembangan sastera Melayu; seterusnya memahami
dengan kritis mengapa saya menolak kehadiran sasterawan negara sebagai hanya
penyelewengan intelektual yang tidak sepatutnya berlaku jika kita lebih jujur dalam kegiatan akademik dan kritikan
sastera. Sehingga ini belum ada lagi
sanggahan yang benar-benar akademik tentang kesimpulan saya itu; seperti
tiadanya sanggahan terhadap kesimpulan Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam
syarahan pengukuhan beliau 1972 bahawa para sasterawan adalah golongan
pinggiran yang keliru konsep ilmunya dan yang cetek meraba-raba pengalaman
intelektualnya baik mengenai kebudayaan Melayu mahupun kebudayaan Barat yang
mereka tiru. Kemunculan Gagasan
Persuratan Baru ialah untuk mengatasi keadaan yang dihuraikan oleh Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas itu. Melalui penelitian anda yang kritis dan kreatif
terhadap isu-isu yang dibentangkan di sini diharap anda akan dapat membuat
kesimpulan yang tepat mengapa kita perlukan konsep ilmu yang benar dan apakah
akibatnya jika konsep itu ditolak.
I. Penggunaan
sisipan
Sesiapa juga
yang membaca Pujangga Melayu tidak
akan terlepas dari berdepan dengan pelbagai sisipan. Penggunaan sisipan ini penting untuk
meringkaskan novel ini supaya tidak
menjadi lebih panjang (edisi baru 758 halaman).
Sisipan tidak sama dengan padding. Bagaimana wanita “membesarkan” punggungnya
untuk kelihatan lebih besar dan memberahikan? Mereka menggunakan teknik padding. Kalau anda mahu tahu bagaimana
ini dilakukan, anda perlu tanya mereka (wanita). Dalam teknik penulisan cereka
yang digunakan dalam Pujangga Melayu,
sisipan memainkan peranan yang amat penting. Bandingkan ini dengan teknik padding dalam novel Imam. Teknik padding dalam novel Imam digunakan untuk “membesarkan” novel, supaya menjadi panjang;
sama seperti wanita menggunakan padding
untuk membesarkan punggung dan menyerlahkan keberahian palsu.
Teknik
sisipan adalah teknik baru yang diperkenalkan oleh Pujangga Melayu sesuai dengan kedudukan novel itu sebagai sebuah
novel ilmu. Sisipan yang diperkenalkan bertujuan untuk pembaca melihat pelbagai
aspek pemikiran yang relevan dengan matlamat novel itu sendiri untuk
mencerdikkan pembaca dan menimbulkan kesedaran mereka kepada beberapa isu yang
penting mereka fikirkan. Apakah isu-isu itu anda boleh cari dan tentukan
sendiri sama ada dengan melihat jenis-jenis sisipan yang dimasukkan atau pun
meneroka persoalan tertentu yang diperkenalkan dalam sisipan. Sebagai contoh, Pujangga Melayu menjadikan sajak sebagai
sisipan untuk mengajak pembaca melihat perkembangan dua tamadun di al-Andalus
dan Eropah, dengan al-Andalus muncul sebagai guru Eropah. Ini suatu fakta penting yang disembunyikan
oleh Eropah untuk mendakwa bahawa merekalah pembina pelbagai ilmu yang kemudiannya
menjadi asas tamadun moden. Yang membangunkan tamadun moden adalah al-Andalus
yang diteroka oleh para ilmuwan Islam. Siapakah mereka? Anda perlu mencarinya
dan mengenal mereka dengan lebih dekat. Inilah antara perkara yang selalu saya
sebut bahawa sekiranya anda membaca Pujangga
Melayu dengan kritis dan kreatif, anda akan mempelajari banyak perkara
dalam perkembangan ilmu. Saya tidak perlu menyebutnya, anda sendirilah yang
perlu mencarinya. Tujuannya supaya anda mempunyai sifat terbuka untuk mengenal tamadun Islam
dari dekat, sama ada anda sendiri Islam atau bukan Islam. Yang membina tamadun
dunia moden adalah Islam; yang merosakkannya dan menghancurkannya ialah Barat.
Ini suatu tesis besar yang anda perlu fikirkan. Sesungguhnya kegilaan kepada
Barat dalam sastera Melayu menjadikan sastera Melayu kontot, cetek meraba-raba,
hilang arah dan tenggelam dalam lubuk pandirisme. Semua ini amat jelas jika anda membaca karya
para sasterawan negara dari perspektif ilmu, seperti yang diajarkan dalam
Islam. Dengan menggunakan sisipan, Pujangga Melayu mengambil yang terbaik
daripada tamadun seluruh dunia. Sekiranya anda tidak bertemu, jelaslah anda
tidak tahu apa-apa. Belajar dari Pujangga
Melayu. Yang menjadi asasnya ialah: kebenaran itu milik Islam, manakala kebijaksanaan ibarat barang orang Islam
yang hilang, oleh itu boleh didapati di mana saja. Ambillah kebijaksanaan itu,
kerana itu milik kita sebagai orang Islam.
II. Penekanan
Aspek Intelektual dan Moral dalam Perwatakan
Sukar
mencari watak yang cerdik yang berilmu dan kuat peribadinya dalam novel Melayu.
Kita tidak mendapatnya dalam novel para sasterawan negara; malah novel-novel
para sasterawan negara ini hampir keseluruhannya terdiri daripada watak bodoh
dan amat lemah peribadinya. Tidak mungkin lahir watak yang kuat jika penulis
novel sendiri tidak berilmu, hanya pandai mencarut dan melalut dalam dunia
penglipur lara. Berikan sebuah contoh
(sudah cukup) novel intelektual karya para sasterawan negara, yang boleh
dipertahankan dari segi penampilan intelektual dan ilmu, watak yang bijaksana.
Tidak ada dan tidak boleh ada kerana para sasterawan sendiri sama saja picisannya
dengan watak-watak yang mereka tampilkan dalam karya mereka. Hatta Anwar Ridhwan yang dianggap penulis
yang paling menyerlah kemampuan intelek dan kemampuan kreatifnya tidak
menampilkan watak-watak demikian, seperti yang dibuktikan oleh Nur Fatiha Fadila
Abu Bakar dalam tesis sarjana beliau. Bagi para sasterawan ini, terutama sekali
Shahnon Ahmad, watak-watak bodoh dan lemah adalah realiti masyarakat Melayu
yang tertindas. Tidak ada pendapat yang lebih cetek daripada pendapat ini, dan
inilah yang menjadi ikutan para sasterawan negara. Karya mereka menjadi bukti
sambil membentangkan hujah yang tidak dapat dinafikan tentang kegagalan
perwatakan dalam novel Melayu karya para sasterawan negara ini. Nampaknya kegilaan kepada realiti palsu ini
diteruskan dengan bangga dalam novel dan cerita pendek Melayu para sasterawan.
Persoalan tentang perwatakan ini telah dibincang oleh Mohd. Nor Azam lama
dahulu dalam majalah Dewan Bahasa (kalau tak salah ingatan saya),
kira-kira dalam tahun 1980-an (mungkin lebih awal). Mohd. Nor Azam sendiri adalah seorang watak
penulis yang kuat. Ketika beliau menjadi SU Politik Dr. Mahathir, beliau
terdedah kepada perancangan pembinaan lebuh raya di sekitar Petaling Jaya dan
kawasan berdekatan. Beliau mengambil kesempatan itu untuk membeli tanah-tanah
yang akan dilalui lebuh raya itu. Usaha itu membuahkan hasil yang sangat baik.
Beliau mendapat 30 juta wang compensation;
tetapi sebagai seorang tokoh yang
berwatak kuat beliau tidak puas hati kerana berasa telah dianiaya, lalu
mengemukakan kepada Mahkamah supaya beliau diberi compensation 100 juta. Kerana semua maklumat ini diberikan oleh
kawan-kawan beliau sendiri yang kebetulan menjadi kenalah saya, saya tidak
pasti akan kesahihannya, oleh itu perlu dibetulkan. Saya sebut ini untuk
membuktikan beliau adalah seorang tokoh berwatak kuat, dan tidak hairanlah jika
beliau menulis tentang kelemahan watak-watak dalam novel Melayu.
Saya
menyebut contoh Lodeh SPM sebagai pemelihara beruk dalam sebuah cerita
pendek; dengan itu memberikan contoh
ini untuk menarik perhatian anda betapa perlunya perwatakan yang kuat itu
ditonjolkan, hatta di kalangan pemelihara beruk sekali pun. Siapakah watak yang kuat itu dalam karya Dato’
Dr. Anwar Ridhwan atau Shahnon Ahmad? Tidak ada. Sasterawan negara tidak boleh
seselekeh itu dalam menulis karya “besar” mereka. Para sarjana dan pengkritik
yang memuja tokoh-tokoh besar ini harus tampil dengan gagah perkasa menafikan
kesimpulan saya ini untuk memberi keadilan kepada para sasterawan besar yang
kecil jiwanya ini.
Dilihat
dalam konteks inilah anda akan melihat keistimewaan
Pujangga Melayu. Seterusnya saya serahkan kepada anda sendiri
untuk membincangkannya.
III. Penggunaan
Wacana
Kekuatan dan
keistimewaan Pujangga Melayu dijalin
dalam penggunaan wacana yang menjadi teras penulisan novel persuratan ini. Konsep “wacana” dalam penulisan kreatif tidak
pernah menjadi perhatian dan kesedaran
kepada para sasterawan, apatah lagi dalam sajak-sajak mereka. Mereka akan
bertanya, bagaimana sajak boleh diwacanakan? Satu pertanyaan yang aneh, pelik,
dan terlalu pekat unsur kepandirannya, seolah-olah mereka tidak pernah membaca
sajak-sajak T.S. Eliot misalnya. Dalam sastera Melayu, sajak wacana itu
terdapat dalam Pujangga Melayu, iaitu
sajak “Al-Andalus”. Sajak ini
membicarakan pembinaan dua buah tamadun, iaitu tamadun Islam al-Andalus dan
tamadun Eropah yang diilhamkan oleh al-Andalus. Inilah sajak wacana yang tidak
terfikir pun oleh mana-mana pensajak untuk menulisnya kerana kecetekan
pengetahuan mereka tentang peradaban Islam dan Eropah. Sajak-sajak lain yang
juga terdapat dalam Pujangga Melayu
adalah sajak wacana, misalnya “Kuala Lumpur Kota Gila”, “Pendekar Palsu”, “Anugerah Yang Tercuri” dan
lain-lain. (Saya serahkan kepada anda untuk mengesannya.) Sejak awal penulisan saya lagi saya telah
memperlihatkan kesedaran kepada aspek wacana ini, misalnya dalam cerita pendek
“Kapitalis Kecil” (tersiar Januari 1957, jauh sebelum merdeka Ogos 1957).
Ketika itu saya masih remaja, tetapi ternyata sudah sedar akan perkara ini;
yang kemudiannya terbukti dalam cerita-cerita pendek saya sebelum saya menulis
novel. (Sila rujuk Gagasan Persuratan Baru,
edisi ke-2).
Dalam Balai Maqamat, saya membezakan antara
pandai tulis (yang suka bercerita) dengan pandai mengarang (yang menggunakan
wacana). Sesiapa juga yang membaca Balai Maqamat dengan kritis dan berasaskan pengetahuan yang
agak memadai dalam cara berfikir, akan dapat melihat betapa pentingnya antara
cerita dan wacana dalam penulisan kreatif, yang dihuraikan dengan lebih teliti
dan mendalam dalam Gagasan Persuratan
Baru. Gaya angkuh dan bodoh para
sarjana ini saya perlihatkan dalam “Rumah Impian Polan Cupan”, pada permulaan
karya itu apabila seorang profesor berjumpa dengan Polan Cupan dan bertanya
perihal namanya yang pelik. Belum sempat Polan Cupan memberikan jawapannya,
profesor itu berlalu dengan jijik kerana baginya Polan Cupan seorang yang
bodoh. Dia tidak pun bertanya isi ceramah Polan Cupan. Inilah tabiat angkuh dan
bodoh yang memang menjadi pakaian para sarjana dan pengkritik sastera, yang
sampai ke kemuncaknya apabila mereka mengkritik perkataan “ketayap” dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan
Tauhid, tanpa membicarakan isi buku
itu dengan kritis dan mendalam. Kalau
ini bukan sikap biadab, apa lagi nama atau panggilan yang lebih manis yang
boleh kita tujukan kepada para juri ini?
Masalah ini, dalam konteks penilaian sebuah karya yang menang peraduan
menulis novel Dewan Bahasa dan Pustaka yang menyambut jubli emas, dibicarakan
dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. (Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan, bab 10).
IV. Penggunaan
Ruang Naratif
Konsep ini
mula diperkenalkan oleh Prof. Ungku Maimunah, yang kemudiannya membuat konsep stylization of ideas, wacana dan cerita
senang difahami. Seseorang pengarang
yang berjaya menunjukkan keterampilan teknik penulisannya boleh dilihat dan
dinilai dari caranya menggunakan ruang naratif dalam karya kreatifnya. Dengan menggunakan konsep ini, anda sebagai
pengkritik sastera akan dapat menghuraikan dengan lebih mudah pembinaan teknik
seseorang sasterawan; dan ini akan membantu anda membuat penilaian yang tepat
dan objektif terhadap karya tersebut.
Dengan
mengawal dan menyusun ruang naratif dalam karya anda, anda akan mempertajam
tema yang anda pilih dan melakukan penghematan dari segi penceritaan, yakni
memilih hanya cerita yang membolehkan anda menyampaikan tema yang anda pilih.
Tidak ada campur aduk, semua tersusun dengan tertib, yang akan juga memudahkan
pembaca mengikuti karya anda, dan yang lebih penting anda akan dapat
menyerlahkan kepintaran berfikir anda bukan untuk faedah anda, tetapi untuk
faedah pembaca anda. Karya yang baik ialah karya yang boleh mencerdikkan
pembacanya; dan ini anda boleh capai melalui penyusunan ruang naratif tadi.
Kalau anda
bertuah dapat melihat orang Melayu menuai padi, anda akan melihat mereka
memotong padi dan menghempaskannya di dalam bakul besar dan tinggi; kemudian
mereka anginkan padi itu untuk memisahkan padi berat dengan hampa. Padi berat
itulah yang anda mahu, dan itulah hasil penguasaan ruang naratif dalam
penulisan kreatif. Sekiranya anda faham
maksud contoh ini, anda akan faham mengapa ruang naratif itu perlu diberi
perhatian supaya anda tidak mencampur-adukkan padi berat dengan padi hampa. Pak
Pandir memilih padi hampa kerana lebih rengan dibawa. Itulah juga pilihan para
sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Inilah yang melahirkan pandirisme
dalam kebudayaan Melayu dan dalam sastera Melayu.
V. Sebuah
Novel Mini Ensiklopedia
Maksud mini
ensiklopedia di sini merujuk kepada kepelbagaian isu dan tajuk yang disentuh
dalam novel ini. Saya sudah bincang perkara ini dulu (lihat entri bertarikh 22
September, 2017. Entri itu agak panjang.)
Saya sebut sekali lagi persoalan ini kerana kaitannya yang rapat dengan
persoalan “pemikiran” dalam penulisan kreatif.
Tidak ada novel Melayu yang ditulis untuk membicarakan persoalan
pemikiran ini; walaupun kita ada novel tebal yang penuh propaganda berjudul Anugerah. Novel ini adalah sebuah karya
penglipur lara yang menentang perjuangan rakyat yang diwakili golongan kiri dan
agama. Sebuah kisah feudal yang memuji golongan istana dan puak yang menyokong
golongan feudal. Oleh itu sejarah perjuangan rakyat dipalsukan.
Sebagai
sebuah novel mini ensiklopedia, Pujangga
Melayu memberi anda peluang untuk melihat bagaimana pemikiran dalam karya
kreatif diadun begitu rupa untuk mencapai kesatuan teknik dan pengolahan tema
sehingga tercapai matlamat sebuah karya kreatif yang indah dan bermakna.
Tanpa
menguasai aspek wacana dan penggunaan ruang naratif yang kemas dan padat, anda
tidak mungkin menulis sebuah novel mini ensiklopedia yang memerlukan tidak saja
penguasaan dan kemampuan kreatif yang tinggi, tetapi juga penguasaan ilmu yang
agak mendalam untuk membolehkan anda membicarakan aspek intelektual dalam karya
dengan meyakinkan. Berapa lama lagikah
kita harus menunggu untuk mendapat novel mini ensiklopedia yang kedua?
VI. Pujangga Melayu Mencabar Sarjana dan
Pengkritik
Cabaran yang
dimaksudkan sebenarnya terlalu kecil untuk mendapat perhatian para sarjana dan
pengkritik sastera. Walaupun kecil saja, tetapi tajamnya seperti jarum lima
inci yang menikam sifat tidak siuman mereka.
Cabaran itu mengenai kedudukan ilmu dalam penulisan karya kreatif, yang
hanya terdapat dalam Pujangga Melayu,
tidak terdapat dalam mana-mana karya para sasterawan negara sekali pun. Lima cabaran yang saya maksudkan itu ialah
lima tajuk yang saya bincang di atas, tajuk-tajuk yang tidak terdapat dalam
mana-mana karya para sasterawan negara. Setiap tajuk itu pada umumnya agak
berat untuk dibahaskan, oleh itu adalah lebih selamat sekiranya para sarjana
dan pengkritik sastera tidak membahasnya. Pengetahuan mereka tidak sampai ke
tahap itu untuk membincangkan sesuatu yang baru yang tidak terdapat dalam
mana-mana teori sastera Barat, yang menjadi ikutan para sarjana dan pengkritik
sastera. Saya perincikan cabaran itu
dalam karya terbaru saya, Hikayat Salim
Adil (insya-Allah bakal terbit tidak lama lagi). Saya boleh memberi jaminan
bahawa cabaran itu telah dipermudahkan untuk dapat difahami oleh para sarjana
dan pengkritik sastera. Saya tidak pasti sama ada “teori kerancuan
sastera” boleh membantu. Anda perlu membaca ayat ini dalam konteks retorik
sastera yang saya pakai. Inilah cabaran
sebenarnya, yang hanya boleh dijawab dengan meneliti Pujangga Melayu. Jadi
cabaran sebenar yang saya maksudkan ialah cabaran untuk meningkatkan kemampuan
ilmiah anda dengan menerima hakikat bahawa ilmu yang benar hanya bersumber dari
Wahyu, tidak mungkin anda dapat dalam nana-mana teori sastera dunia. Sekiranya
anda menolak hakikat ini, anda dengan sukarela meletakkan diri sebagai kumpulan
yang ingkar ilmu. Apakah kesudahannya nanti? Martin Heidegger yang bijak dan
teliti itu pun tidak dapat memberikan jawapannya dalam mana-mana tulisan
beliau, tentulah tidak munasabah jika para sarjana sastera yang sering saya
sebut dalam blog ini boleh memberi jawapannya. Seperti saya tegaskan
berkali-kali, jawapan itu telah diberikan oleh Pujangga Melayu. Itulah cabaran sebenar yang anda hadapi.
BAHAGIAN 2
Apakah
teknik Naratif Ogonshoto? Adakah teknik itu berkesan? Menurut Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, pengarang novel teragung Malaysia ini
menggunakan teknik “kerancuan bentuk dan makna”, “sebuah teks sastera rakyat moden yang dapat
berdiri sebagai teks pascamoden multiwacana”.
Seterusnya kata beliau, “Sebagai hasil seni, Naratif Ogonshoto juga tidak memberikan makna yang pasti atau
bersifat polos, sebaliknya pelbagai tafsiran dapat diberikan lantaran
kompleksitinya.” Penegasan beliau bahawa
novel agung ini mempunyai makna yang berlapis-lapis tidak berasas sama sekali.
Novel ini adalah sebuah novel hiburan murahan, yang berasaskan konsep
pandirisme, dengan itu menolak peranan ilmu dalam karya kreatif. Kalau sudah begitu
sifatnya, maka dari manakah sarjana yang menjadi Ketua Satu PENA ini mendapat
kesimpulan beliau? Jelaslah kesimpulan beliau berada dalam khayalan beliau,
tidak berada di dalam novel ini yang bagi saya hanya sebuah karya picisan. Saya
telah membahaskan kesimpulan ini dalam beberapa entri dalam blog ini. Malah saya sangat bermurah hati mencadangkan
kepada sesiapa juga yang tidak bersetuju dengan kesimpulan saya supaya membaca
novel agung ini bersama novel persuratan Pujangga
Melayu. Tidak ada yang berani
melakukannya kerana mereka tahu mereka tidak ada hujah untuk mempertahankan Naratif Ogonshoto.
Kesimpulan Umum
Tidak ada
sebab untuk para penilai sastera yang terdiri daripada para sarjana, ahli
akademik, pengkritik sastera melaksanakan penipuan ilmiah dalam penilaian
mereka, seperti yang telah didokumenkan dalam beberapa entri dalam blog ini dan
juga tulisan-tulisan lain yang boleh didapati melalui Internet. Mengapa
penipuan dan pembohongan intelektual dan akademik ini perlu dilakukan? Ada dua
sebab besar. Pertama, untuk mengangkat para sasterawan negara. Kedua, untuk
mempertahankan kedudukan kumpulan Mutual
Admiration Club. Dua sebab besar ini amat menonjol dalam keputusan juri yang
“diamanahkan” untuk memilih karya untuk diberi hadiah dan sebagainya, padahal
mereka tidak amanah dan oleh itu tanpa segan silu mengangkat kumpulan mereka
untuk dirayakan. Adakah ini merupakan kelemahan moral dan akademik mereka?. Contoh-contoh yang diberikan nampaknya
menyokong pertanyaan itu. Adakah ini
boleh dielakkan? Saya fikir tidak, dan memang jelas perilaku mereka ini akan
berterusan dengan adanya sokongan kuat badan-badan penulis, ITBM dan DBP. Ini
adalah sebahagian daripada unsur yang diperlukan dalam perkembangan sastera dan
perkembangan intelektual di Malaysia.
Inilah yang dimaksudkan dengan gerakan ingkar ilmu itu.
Dalam
keadaan inilah Gagasan Persuratan Baru muncul untuk memberi jalan keluar kepada
masalah moral dan akademik ini, yang terang-terang ditolak oleh kumpulan yang
disebut tadi. Perbuatan mereka tidak
menerima kedudukan ilmu dalam kesusasteraan membuktikan mereka bersikap ingkar
ilmu dan dengan sengaja memilih untuk
meneruskan kelemahan moral dan akademik mereka. Budaya ingkar ilmu yang
sudah dibudayakan dan dijadikan arus perdana dalam kegiatan sastera ini telah
menghasilkan kekeliruan yang sangat hebat dalam bidang sastera. Semua ini
terjadi dengan sokongan padu daripada badan-badan penulis seluruh negara dan
dua institusi besar sastera, ITBM dan DBP.
Anda perlu
membaca dengan kritis Hikayat Salim Adil:
Sebuah Autobiografi Intelektual untuk
mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam sastera Melayu.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 30 Oktober 2017.