Wednesday, June 21, 2017

SELAMAT HARI RAYA ‘ID MUBARAK 1438 KEPADA SEMUA PEMBACA





Maaf Zahir Batin di atas segala keterlanjuran kata-kata yang tersurat dan tersirat dalam entri blog ini.  Terutama sekali kepada para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera yang tersinggung dengan pandangan saya yang agak kritis.  Harap maaf semuanya.

Daripada Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20 Jun 2017.

Sunday, June 18, 2017

JASA DR. MOHAMAD SALEEH RAHAMAD KEPADA SASTERA MELAYU MODEN



Ketika saya menulis entri 2011 yang saya siarkan kembali dalam entri lepas, saya tidak sangka persoalan yang saya bincang itu telah dibincang oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya yang terpilih sebagai esei sastera terbaik 2004-2005. Dalam tulisan 2011 itu saya belum kenal istilah kerancuan yang rupanya telah digunakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad lama sebelum entri itu saya tulis. Perbezaannya sangat besar: beliau memuji kerancuan sastera sebagai satu wajah yang melahirkan karya besar sepanjang zaman, Naratif Ogonshoto; manakala saya pula menyelar kekeliruan besar dalam sastera Melayu mengenai konsep teknik dan makna dalam penulisan kreatif, dengan memberikan satu contoh yang kelihatan lucu, tetapi sebenarnya amat serius kerana contoh itu memperihalkan keadaan sebenar yang sedang berlaku dalam sastera Melayu.  Makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menyokong tesis saya dengan hujah-hujah yang mantap tentang betapa pentingnya kerancuan dalam perkembangan sastera Melayu, sehingga melahirkan sebuah novel teragung dalam sastera Melayu dari buah tangan sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.  Yang lucu di sini ialah bagaimana seorang sarjana terkenal menjadikan kerancuan sebagai sifat utama sastera Melayu, sedangkan saya mengkritiknya sebagai satu kerancuan intelektual yang keliru dalam konsep ilmu. Antara dua pandangan ini, mana satu yang boleh diterima oleh para sasterawan dan sarjana sastera? Tidak dapat diragukan lagi, mereka menerima “teori kerancuan sastera” itu sebagai sebuah “teori” yang tepat memperihalkan hakikat sebenar sastera Melayu; manakala saya pula melihat kerancuan  sebagai bukti betapa kuatnya sikap anti-ilmu di kalangan sarjana dan sasterawan, yang berada dalam kekeliruan besar, yakni sesat dalam kerancuan seperti yang diberi maknanya dalam kamus Melayu sendiri.  Adakah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengalami kerancuan berfikir sambil merayau di antara kekeliruan teori sastera Barat yang tidak menjadikan konsep ilmu sebagai teras pemikiran para sarjana mereka. Nampaknya begitulah, tetapi kekeliruan beliau sangat penting dalam kritikan sastera, kerana usahanya menelurkan “teori kerancuan sastera” berjaya mempertahankan kedudukan novel agung sepanjang zaman, Naratif Ogonshoto.  Dengan itu adalah selamat jika anda memanggil novel besar sepanjang zaman itu sebuah hasil kerancuan kreatif yang paling hebat dalam sastera Melayu, yang diberi pujian tinggi oleh anggota Panel Anugerah Sastera Negara.  Inilah penilaian yang saya kritik daripada perspektif Gagasan Persuratan Baru yang menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas gagasan itu. Dalam keadaan yang biasa dan siuman, seperti yang saya huraikan dalam entri 2011 itu, anda mahu tidak mahu terpaksa membuat pilihan yang paling siuman dan tepat; dan ini telah anda lakukan dengan menjadikan kerancuan intelektual dalam karya kreatif sebagai tonggak yang akan membolehkan sesebuah karya mendapat pujian dan penghargaan tertinggi dalam kritikan sastera Melayu.

Kalau begitu, perbincangan tentang Naratif Ogonshoto ini tamat di sini. Anda sendirilah yang perlu membuat pertimbangan yang paling teliti mana satu di antara dua pandangan ini yang betul; atau kedua-duanya betul; dan mungkin juga kedua-duanya tidak betul. Kalau begitu, sastera Melayu nampaknya berada dalam keadaan yang amat bercelaru, dalam dunia kerancuan intelektual, yang amat teruk.

Sungguh hebat sastera Melayu ini!  Rasanya tidak perlu dibincangkan lagi. Biarlah para sarjana ciritan dan sasterawan picisan bermaharajalela meneruskan tradisi kerancuan intelektual ini.  Saya tinggalkan pandirisme dan Gagasan Persuratan Baru untuk memerhatikan mereka.

Mohd. Affandi Hassan,
18 Jun 2017.

Thursday, June 15, 2017

PERIHAL MASALAH KERANCUAN DALAM SASTERA MELAYU



Catatan:
Saya siarkan kembali tulisan ini (2011)  kerana boleh membantu pembaca memahami entri terbaru yang sudah disiapkan, tetapi masih disemak. Lihat juga entri bertarikh  9 November 2011 tentang tiga beban sastera Melayu. Dengan meremehkan gagasan Persuratan Baru, sarjana sastera dan para pengkritik menjadi penghalang perkembangan baru yang lebih mencabar dalam bidang kreatif dan kritikan. Semua ini membuktikan omong kosong Panel Anugerah Sastera Negara, yang disokong oleh para sarjana dan pengkritik, yang kononnya  menyanjung perubahan. Dalam konteks inilah tulisan ini perlu difahami.  Sikap anti-perubahan ini berkait rapat dengan sikap anti-ilmu di kalangan sarjana dan penilai/pengkritik sastera. Mereka ingin berleluasa bertindak sesuka hati mereka untuk memastikan mereka masih terus laku, walaupun harga mereka sangat murah. Dalam dunia ilmu, yang laku sepatutnya yang berharga mahal, tetapi di Malaysia terbalik.  Oleh itu anda perlu juga membaca dengan kritis entri bertarikh  16 Julai, 2011: “Persuratan Baru Merombak Kaedah Lama Dalam Analisis dan Penilaian Karya Kreatif”.

Setelah meneliti entri ini, saya rupanya sedang berbicara tentang “teori kerancuan sastera” yang belum disedari oleh saya, walaupun makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad itu sudah diterbitkan oleh Dewan Sastera 2005.  Yang penting ialah saya telah menghuraikan “kerancuan” dalam sastera Melayu tanpa membaca makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dan ini membuktikan  pendapat saya tentang “kerancuan” ini tepat. Bacalah balik entri ini, lepas itu cubalah kritik jika anda rasa perlu.

Monday, December 5, 2011
TERUSKANLAH KEKELIRUAN ITU JIKA ANDA SELESA BERADA DALAM KEKELIRUAN

Mana yang lebih utama, bentuk atau isi? Bagi seorang pengarang, terutama sekali seorang pengarang yang cerdik dan cukup ilmu (kadang-kadang terjumpa  pengarang bodoh yang berpura-pura cerdik, seperti ada pengkritik bodoh berlagak pandai  sambil memandai-mandai melontar pendapat),  mana satu yang lebih utama tidak membuatnya terhuyung hayang mabuk kognitif kerana belum bersedia untuk menjadi pengarang. Seorang pengarang yang cerdik dan tinggi daya kreatifnya akan mencipta sesuatu yang unik kerana adanya kekuatan daya kreatifnya; dan pada waktu yang sama dia memberikan kebijaksanaan dalam karyanya hasil dari kemampuan inteleknya yang tinggi.  Masalah mana satu yang perlu diutamakan, bentuk atau isi, hanya menjadi masalah di kalangan pengamal pandirisme dalam penulisan dan kritikan sastera, tidak di kalangan pengarang Islam yang dididik dalam epistemologi tauhid dan tanggungjawab taklif.

Katalah anda seorang penulis khat yang sangat handal. Hasil kerja anda sangat cantik dan benar-benar dikagumi. Di antara karya khat anda yang paling terkenal dan banyak disimpan orang salinannya berbunyi: Aku gila, oleh itu aku berjaya. Anda tak mahu jadi gila? Anda tak akan berjaya. Orang gila masuk syurga.  Dia menuliskan kata-kata itu dalam bentuk khat yang amat cantik, tanpa memperdulikan maknanya.  Adakah dia seorang ahli khat yang siuman?  Sekiranya dia hanya ingin membuktikan bahawa kata-kata yang karut dan bodoh masih dihargai dan dipandang cantik jika khatnya cantik, maka dia tentulah seorang penulis khat yang gila. Belum ada lagi penulis khat yang gilakan bentuk tetapi tidak memperdulikan makna. Kemunculan khat itu sendiri sebagai seni kerana matlamatnya untuk memberi dua perkara: kecantikan tulisan, dan kecantikan ucapan. Khat terbentuk kerana manusia sedar kedua-duanya diperlukan oleh manusia yang siuman, kerana itulah sifat tabii dan hakiki seorang manusia.  Dalam dunia penulisan lebih-lebih lagi. Jika teknik anda selekeh, anda tidak mungkin menghasilkan karya kreatif yang bernilai. Itu klise, diketahui oleh penulis yang paling tumpul akalnya sekali pun.  Tetapi jarang orang sedar bahawa teknik dan makna tidak dapat dipisahkan: penulis yang berjaya diukur dari kecanggihan teknik dan kemampuan inteleknya mengolah persoalan yang dikemukakannya dengan cermat dan mendalam. Tetapi hakikat ini tidak disedari oleh Panel Anugerah Sastera Negara sekali pun, jika anda membaca laporan mereka dan meneliti kritikan saya tentang laporan itu.

Betulkah orang gila masuk syurga? Anda akan bertanya soalan ini jika anda seorang yang siuman. Bagaimana jika anda tidak saja  seorang yang siuman, tetapi juga seorang kaya, berilmu, ada firma sendiri (tak kiralah firma apa pun),  dan pada waktu yang sama anda seorang yang amat gemarkan kesenian, sukakan keindahan. Khat tadi memang sangat indah, sesiapa juga yang melihatnya akan terpesona. Kerana anda seorang yang kaya dan berjaya, anda bersedia membayar satu juta atau lebih untuk mendapatkannya. Anda tayang, atau gantung khat itu di tempat paling mulia di dalam rumah anda atau di pejabat anda. Sesiapa juga yang melihatnya akan terpesona dan terus memujinya. Bagaimana jika yang melihat itu tidak tahu membaca jawi? Dia masih boleh menikmati keindahan khat itu tanpa mengetahui ertinya. Dia pun boleh dan masih dianggap siuman jika dia mahu membeli “khat” tulisan China atau tulisan dari bahasa apa sekali pun kerana terpesona melihat keindahannya. Adakah dia seorang yang paling siuman? Atau hanya seorang yang gila-gila seni (kononnya) lalu membeli dengan harga mahal sesuatu hasil seni yang dia sendiri tidak tahu maknanya, kecuali hanya untuk  melihat bentuknya. Selama mana dia akan tergilakan bentuk? Tidakkah dia akan berasa bosan melihat sesuatu seperti tikus melihat besi? Katalah dia terus terpesona ...  Tiba-tiba datanglah seorang cucunya yang boleh bercakap dengan fasih walaupun masih seorang budak berumur tiga empat tahun. Tanya sang cucu: Mengapa datuk gantung benda itu? Datuk yang cerdik dan gemarkan keindahan itu menjawab selamba: Nanti kamu akan faham bila kamu sudah besar.  Kerana budak itu cerdik, dia tidak bertanya lagi, kerana dia pun tahu dia tidak akan diberikan jawapan, hanya helah atau alasan menurut cita rasa datuknya.

Bagaimana jika anda yang melihat khat itu dan membaca ayat: Orang gila masuk syurga.  Siapakah yang akan memastikan ucapan atau ungkapan itu betul? Dari perspektif mana? Katalah anda seorang Islam, dan anda mahu tahu betul tidaknya ucapan itu, kerana anda ada seorang sahabat yang gila, oleh itu anda mahu tahu, adakah sahabat anda akan masuk syurga? Dia gila kerana bangkrap, terlalu tamak waktu siumannya, sehingga kekayaan dan kejayaannya lesap sekelip mata kerana terlalu tamak untuk mendapat lebih banyak lagi. Dia gagal. Terus gila. Adakah betul dia  akan masuk syurga? Untuk menjawab soalan itu, anda perlu bertanya seseorang yang tahu aspek kegilaan yang bagaimana yang akan membawa seseorang gila ke syurga. Ke mana pun anda pergi, dan bagaimana pun anda berdalih, anda akan hanya mendapat jawapan yang betul apabila anda tahu perspektifnya. Jika anda seorang Islam, anda akan mendapat jawapan yang memuaskan daripada seorang yang tahu tentang aspek kegilaan dalam kehidupan manusia, dan gila yang bagaimana yang sekira-kira dapat menjamin anda akan masuk syurga. Pendeknya, anda harus bertanya seorang yang berilmu, tetapi bukan sebarang ilmu. Sebaik saja mendapat kepastian jawapan daripada seorang yang berilmu, dan anda memang jujur ingin tahu betul tidaknya orang gila masuk syurga, maka anda akan membuat keputusan yang tepat:  Perlukah aku simpan khat yang cantik itu di tempat yang istimewa pula? Sekarang anda sudah tahu maknanya, oleh itu lebih mudah anda membuat keputusan. Keputusan itu tidak lagi berasaskan kegemaran anda kepada keindahan semata-mata, tetapi sekarang berasaskan ilmu yang anda dapat. Kini anda berupaya membuat keputusan yang betul dan  adil. Katalah keputusan itu seperti ini:  Anda mahu jual khat itu dengan harga mahal untuk mendapat keuntungan besar. Sebuah galeri sudah bersedia membayarnya kerana galeri itu tahu khat itu hasil seni seorang penulis khat yang amat terkenal. Menyimpan khat itu saja pun satu perbuatan yang amat dikagumi, yang “berprestij”. Katalah anda berjaya menjualnya dengan harga dua juta. Tiba-tiba setahun kemudian anda bertemu dengan orang yang anda kemukakan kemusykilan anda, yang kini bertanya anda: Bagaimana dengan khat itu?  Dengan bangga anda menjawab: Saya sudah jual dengan harga dua juta. Orang yang bijaksana itu terkejut.  Katanya dengan kesal: Tidakkah itu sejenis penipuan dan pembohongan? Anda tahu khat itu sia-sia dan mengelirukan. Mengapa kekeliruan itu dipindahkan kepada orang lain? Tidakkah itu pembohongan dan kekeliruan yang lebih besar? Anda hanya tersenyum, tidak berasa tergugat atau kesal. Dalam hati anda berfikir dengan jelas, Aku dapat dua juta senang-senang. Apa yang kelirunya?

Memang anda seorang yang cerdik dan pintar kerana sekarang anda tidak saja tahu makna sebenar kata-kata yang berbunyi, Orang gila masuk syurga; tetapi anda juga sudah berjaya menjual khat yang istimewa itu dengan harga mahal. Anda untung dalam dua perkara: tahu hakikat sebenar dan makna tulisan khat itu; dan berjaya pula mendapat faedah dari keuntungan perniagaan anda. Tetapi adakah anda  seorang yang bijaksana, jujur, ikhlas, dan insaf serta sudah bertaubat?  Oleh sebab semua itu bukan masalah anda sebenarnya, tetapi masalah orang-orang seperti saya, maka perbuatan anda itu akan tetap menjadi persoalan kepada saya: Mengapa orang seperti anda itu terus wujud dalam kehidupan manusia?  Adakah saya akan mendapat jawapan kepada soalan itu?

Dalam dunia sastera Melayu, inilah masalah yang dihadapi berterusan oleh para sasterawan, pengkritik sastera dan para sarjana yang mengajar dan menulis tentang sastera, mungkin tidak akan ada keputusannya kerana mereka (yakni sasterawan, pengkritik, sarjana) memang tidak mahu menerima keputusan yang mereka anggap merugikan mereka.  Mengapa mereka beranggapan demikian?  Jawapannya mudah: konsep ilmu mereka tidak beres, oleh itu keliru, dan dengan itu tidak dapat dijadikan sandaran untuk membuat keputusan yang tepat dan adil.  Sebenarnya ini bukan masalah nilai atau masalah ilmu. Ini masalah sikap. Anda tahu, sebagai orang Islam, mana satu yang betul mana pula yang tidak. Anda cukup faham, kerana itu anda selalu sebut: amar makruf, nahi mungkar.  Tetapi mengapa anda masih berdegil  dan terus melakukan yang mungkar?  Kerana yang mungkar itu dilakukan oleh orang lain; anda sendiri tidak pernah melakukan kemungkaran itu.  Jadi bagi anda tidak ada masalah; semua masalah adalah kepunyaan orang lain.  Kerana itulah anda membuat keputusan: dalam karya sastera atau apa-apa pun jenis kesenian atau yang boleh dipanggil kesenian, bentuklah yang akan membuat karya itu kekal dinikmati selama-lamanya, bukan isinya, kerana isi akan berubah tafsirannya mengikut masa dan cita rasa pembaca atau penonton atau penikmat hasil seni itu. Inilah relativisme yang memang menjadi persoalan, dan masalah, dalam falsafah seni Barat. Tidak ada yang pasti, yang kekal, kerana menurut mereka hanya orang gila saja yang pasti dan mahu kekal dalam kepastian itu.  Semuanya berubah, dan menjadi tugas penulis dan penilai sastera mendewakan perubahan kerana di situlah terdapat kemajuan.  Dengan itu kejayaan dinilai dari perspektif eksperimen yang dilakukan penulis, bukan isinya. Inilah pandangan dan pendirian  Panel Anugerah Sastera Negara jika anda membaca laporan mereka. Tetapi pendapat ini tidak mempunyai asas  epistemologi sama sekali, apatah lagi asas epistemologi Islam.  Jika hakikat ini disedari, mengapa para sasterawan, pengkritik dan sarjana yang mengaku Islam menerima suatu pendirian yang tidak berasaskan ilmu? Jawapannya mudah: kerana mereka keliru dalam konsep ilmu, dengan itu mereka gagal memberi penilaian yang tepat dan objektif dalam menangani masalah kejahilan mereka.  Mereka adalah golongan ingkar yang amat degil mempertahankan kejahilan mereka, dan berasa sangat selesa berada dalam kejahilan itu dan bangga pula membuat keputusan berasaskan kejahilan dan padirisme.

Salah satu kelebihan gagasan Persuratan Baru ialah kerana PB dapat menyelesaikan masalah kejahilan dan kedegilan pandirisme ini.  Persuratan Baru terbuka untuk dikritik, dan dikritik sehabis kritis.  Boleh saja dibawa masuk beratus (jika ada) teori Barat atau teori dari mana saja untuk menangkis gagasan Persuratan Baru dan membuktikan penilaian berasaskan gagasan Persuratan Baru tidak tepat, tidak objektif dan tidak cocok dengan   “bentuk dan isi” karya yang dinilai. Sila berikan hujah anda supaya pendirian dan penilaian anda boleh difahami oleh orang lain; dan anda juga mesti bersedia untuk dikritik dengan sehabis kritis. Kita perlukan dialog terbuka begini, bukan saja untuk memahami satu sama lain, tetapi juga untuk menolak yang palsu dan selekeh dari segi pemikiran dan penghujahan.   Jika anda belum bersedia untuk dialog itu, anda diberi peluang dan masa yang anda  perlukan, berapa lama pun anda mahu. 

Gagasan Persuratan Baru tidak sukar untuk difahami. Dalam tesis sarjana oleh R. Sharatha a/p Ramasamy, bertarikh 2007 yang dikerjakan di Akademi Pengajian Melayu, Univesiti Malaya, di bawah pengawasan dan bimbingan Prof. Madya Dr. Hashim Ismail, berjudul “Pujangga Melayu: Dari Sudut Pendekatan Persuratan Baru”, Puan Sharatha telah membuktikan seorang sarjana bukan Islam pun dapat memahami gagasan Persuratan Baru tanpa masalah.  Tahniah, Puan Sharatha kerana telah menunjukkan kemampuan akademik anda  menghuraikan dengan mendalam beberapa aspek Pujangga Melayu dengan menggunakan ukuran Persuratan Baru. Bagus sekali jika anda (yang membaca tulisan ini)  berkata, sesuailah dipakai kerangka analisis dan penilaian berasaskan gagasan Persuratan Baru, kerana novel itu sendiri memang ditulis untuk membuktikan gagasan itu boleh menghasilkan karya yang bermutu. Anda boleh menambah, tentulah sesuai dan tiada apa-apa masalah jika digunakan Persuratan Baru kerana Mohd. Affandi Hassan memang menulis novel itu untuk membuktikan Persuratan Baru boleh menghasilkan karya yang bermutu. Sekarang anda hanya perlu melakukan dua perkara yang mudah: membuktikan PB tidak boleh dipakai dalam analisis dan penilaian karya kreatif, hanya boleh digunakan untuk menilai dan menganalisis Pujangga Melayu sahaja, tidak boleh dipakai untuk menilai karya lain. Anda boleh uji bagaimana selekehnya gagasan Persuratan Baru jika dipakai untuk menilai “karya besar”  dunia pilihan anda yang akan menelan PB  bulat-bulat, dan Mohd. Affandi Hassan akan terkulat-kulat melihat karya gergasi dunia menelan PB lalu melemparnya ke laut, tenggelam tidak timbul-timbul lagi.  Perkara mudah yang kedua ialah anda boleh membuktikan, dengan menggunakan PB sebagai pendekatan dalam menganalisis Pujangga Melayu,  bahawa novel itu bukan hasil sastera yang bermutu, tidak juga sebuah karya persuratan yang dicanangkan, dan PB sendiri yang dipakai untuk menilai karya itu hanyut dalam kekaburan akademik.  Sebaliknya jika anda berjaya membaca Pujangga Melayu menggunakan mod bacaan intelektual yang diajukan oleh Prof. Ungku Maimunah, maka besar kemungkinan  anda boleh menerima analisis dan penilaian yang dibuat oleh Puan Sharatha dalam tesis sarjananya. Saya fikir ini yang lebih mudah dan lebih siuman, untuk menerima hasil penelitian akademik Puan Sharatha dan dengan itu berpuas hati bahawa gagasan PB dan Pujangga Melayu telah dapat mendamaikan masalah “bentuk dan isi” dalam konteks “indah dan bermakna” yang dijadikan matlamat penulisan kreatif dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992) yang menjadi asas kepada gagasan PB. 

Dalam analisis dan penilaiannya, Puan Sharatha banyak menyebut stylization of ideas.  Nampaknya stylization of ideas itu satu teknik yang berjaya difahami beliau walaupun mungkin tidak mendalam, dan teknik itu menghapuskan “masalah” yang dipanggil  masalah “bentuk atau isi” itu.  Betulkah begitu?  Nampaknya teknik stylization of ideas itu berjaya melahirkan karya persuratan, yang diterjemahkan oleh beliau genuine literature.  Kalau analisis Puan Sharatha betul, dan boleh diterima, maka sudah sah kita tidak perlu menjadikan karya sastera itu puncak pencapaian kreatif dan dengan sendirinya kita tidak perlu bersusah payah mencari sasterawan negara baru kalau hanya untuk mengangkat  karya sastera yang berada di bawah karya persuratan, jenis karya  yang menjadi punca masalah “bentuk atau isi” itu, sehingga membingungkan SN Shahnon Ahmad yang  membuatnya menolak karya-karya awalnya yang beliau fikir menyeleweng. Betulkah begitu, Prof. Emeritus Shahnon Ahmad?  Anda tidak perlu menjawabnya, kerana jawapan itu telah diberikan oleh gagasan Persuratan Baru.

Sekali lagi saya ingin mengucap tahniah kepada Puan Sharatha kerana beliau kini muncul sebagai salah seorang yang berupaya membicarakan gagasan Persuratan Baru secara akademik, dengan itu membantu para sasterawan dan sarjana memahami apa maksudnya “bentuk atau isi” dalam konteks “indah dan bermakna” sebuah karya persuratan.   Tesis sarjana anda (2007) kini menjadi rujukan yang penting.  Anda juga telah menyediakan peluang yang luas terbuka dan patut digunakan oleh orang yang masih sangsi bahawa gagasan Persuratan Baru akan menjadi asas perkembangan gemilang persuratan Melayu moden Abad 21 dan seterusnya yang berteraskan ilmu yang benar.  Cabaran bukan lagi terhadap gagasan Persuratan Baru, tetapi tertumpu pada orang yang sangsi itu.

Tuesday, June 13, 2017

BENARKAH SARJANA DAN SASTERAWAN DAN PENGKRITIK SASTERA INGINKAN KEBAIKAN DALAM SASTERA MELAYU?



Kali ini saya ingin membuat kesimpulan dari seluruh kritikan saya tentang dua jenis naratif dalam sastera Melayu: satu, naratif yang diberikan oleh para sasterawan negara, satu lagi yang diberikan oleh para sarjana. Sama ada daripada para sarjana mahu pun daripada para sasterawan, kedua-keduanya adalah palsu dan bertentangan dengan dakwaan mereka bahawa mereka bercakap benar. Kedua-duanya tidak mempunyai asas ilmiah dan asas kreatif yang membolehkan kita menilai dengan objektif dan tepat sumbangan dua kumpulan ini. Tidak ada ukuran yang boleh diuji bahawa itulah ukuran yang tepat dan sahih. Jika itulah keadaannya, maka apakah yang mereka berikan kepada perkembangan ilmu dan kebudayaan di Malaysia? Maksud perkembangan ilmu di sini ialah dari segi akademik; manakala perkembangan kreatif pula dari segi pemikiran yang dijadikan asas penulisan kreatif.  Kedua-dua aspek ini mestilah diasaskan kepada konsep ilmu, tidak boleh sesiapa pun berdolak-dalik bahawa karya kreatif tidak perlukan ilmu.  Perkara ini menjadi sangat serius apabila Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tampil dengan “teori kerancuan sastera”  yang menjadikan konsep kerancuan sebagai asas analisis dan penilaian, baik dalam konteks akademik mahu pun dalam konteks kreatif.  Dengan menjadikan kerancuan sebagai ciri utama, malah satu-satunya faktor dalam penilaian sastera, maka berlakulah nihilisme total dalam sastera Melayu.  Sangat jelas dalam makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang dapat hadiah esei terbaik daripada DBP itu  tidak bertunjangkan sebarang sistem nilai yang terpakai dalam dunia, sebaliknya sistem nilai peribadi beliau itulah yang dijadikan ukuran ketika beliau membuat penilaian terhadap Naratif Ogonshoto. Kesewenangan beliau ini diberi pengakuan rasmi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang memilih makalah Dr. Saleeh Rahamad sebagai esei terbaik.  Siapakah para juri yang membuat keputusan itu? Sesiapa pun mereka tidak penting, yang penting ialah semua mereka terlibat dalam nihilisme total yang menolak semua nilai-nilai murni yang kononnya digalakkan oleh kerajaan Malaysia.  Apakah nilai-nilai murni yang terdapat di dalam makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan juga di dalam Naratif Ogonshoto? Tidak ada, yang berlegar liar ialah nilai-nilai nihilisme total yang menolak semua nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.  Saya ulang sekali lagi, apakah nilai-nilai murni yang terdapat di dalam makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan di dalam novel Anwar Ridhwan?  Sekiranya tidak ada, maka jelaslah pembohongan penilaian yang berlebihan telah dilakukan hanya untuk memuaskan syahwat hasad dalam kritikan sastera. Apakah maksud syahwat hasad?

Syahwat hasad ada kaitan dengan kemunculan Gagasan Persuratan Baru yang mengejutkan para sasterawan dan sarjana sastera yang menganggap kedudukan mereka amat tercabar, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain dari merawat syahwat hasad mereka. Penjelasan lanjut terdapat dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua.  Mereka benar-benar terperanjat apabila muncul satu “teori” yang lengkap dalam sastera Melayu, yang tidak saja berupaya membicarakan karya sastera dengan lebih teratur dan teliti, tetapi juga berupaya menghadapi semua teori sastera Barat.  Dengan  itu mereka menghadapi dua cabaran sekali gus: pertama cabaran dari segi integriti akademik sama ada menerima dengan wajar kemunculan Gagasan Persuratan Baru, di samping itu menghadapi cabaran yang lebih berat dari segi pemakaian teori sastera Barat yang kini  dicabar kesesuaiannya oleh PB (Persuratan Baru). Tetapi ini tidak bermakna teori Barat ditolak terus; hanya pemakaiannya saja memerlukan ketelitian supaya benar-benar boleh membantu pembaca memahami nilai sebenar sesebuah karya kreatif. Persoalan ini timbul kerana penggunaan teori Barat untuk membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara telah gagal mencungkil “pemikiran” yang dimaksudkan. Persoalan ini menjadi lebih lucu apabila para sarjana dan sasterawan bermati-matian menegaskan tidak perlu pemikiran dalam sesebuah karya kreatif, kerana cerita itu sendiri adalah pemikiran yang secara tabii berada dalam sesebuah karya. Ini suatu pendapat yang palsu, yang dibuktikan dengan amat jelas dalam penilaian ke atas Naratif Ogonshoto. Karya ini bukanlah sebuah karya yang berteraskan pemikiran, tetapi hanya sebuah karya yang penuh sensasi murahan yang tidak langsung memberi gambaran adanya pemikiran yang dimaksudkan. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad cuba memberikan pembelaannya kepada karya ini, dalam tulisan beliau, “Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan” (Dewan Sastera, September 2005).  Tetapi beliau telah gagal melakukannya, kerana makalah beliau itu sendiri penuh dengan sensasi yang disalut dengan konsep “kerancuan” menerusi “teori kerancuan sastera” yang telah saya ulas panjang lebar dalam blog ini. Kesimpulan beliau bahawa semua karya sastera secara hakiki penuh dengan unsur kerancuan dalam bentuk dan makna, seolah-olah kerancuan itulah yang menjadi asas “pemikiran” seorang sasterawan. Ini semua idle talk, yang tidak ada kualiti ilmiahnya. Dalam bahasa yang dipakai oleh Prof. Frankfurt, hanya sejenis bullshit.  Adalah sukar dipercayai sekiranya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak tahu makna “kerancuan”, padahal begitu jelas dalam setiap kamus bahasa Melayu yang pernah diterbitkan di Nusantara. Tidak mungkin Dr. Mohamad Saleeh Rahmah cuba memperlekeh sastera Melayu, kerana tujuan beliau menelurkan “teori kerancuan sastera” ialah untuk membela dan mengangkat novel teragung dalam sastera Melayu, Naratif Ogonshoto.  Adakah kerana novel itu karya picisan, sedangkan penulisnya seorang sasterawan negara, maka mesti dicari satu teori yang boleh membela karya picisan itu.  Saya ulang pertanyaan saya: Apa sudah jadi dengan kritikan sastera Melayu?  Jawapan saya buat masa ini ialah kerana kuatnya syahwat hasad pengkritik sastera Melayu terhadap kemunculan Gagasan Persuratan Baru, yang tidak boleh mereka tolak secara ilmiah. Jika novel agung sepanjang zaman itu dinilai dari perspektif PB, maka tidak boleh dielak untuk ditegaskan dengan lembut dan penuh bermakna bahawa novel itu ialah sebuah novel picisan yang anti-ilmu dan anti-kebaikan, yang perwatakan dan pengolahannya sangat lemah. Sebuah novel yang kaya dengan sensasi dan kerancuan dari segi teknik dan makna, seperti yang diakui oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya.  Jika anda mempunyai penjelasan yang berbeza, kita bersedia mendengarnya.

Satu-satunya teori sastera yang boleh menyelamatkan novel agung ini ialah dekonstruksi.  Sekiranya anda tahu implikasinya, anda mungkin lebih selesa menerima hakikat kepicisanan novel itu daripada menerima akibat yang amat menyedihkan jika dinilai dengan menggunakan dekonstruksi. Kita mempunyai ramai pakar kritikan sastera Barat, oleh itu tanyalah mereka mengapa saya membuat kesimpulan itu.  Jika anda mahu, anda boleh saja berkata saya tidak faham maksud dan matlamat dekonstruksi yang begitu berpengaruh di Barat boleh dikatakan dalam semua bidang akademik yang terdapat di Barat ketika ini dan dalam bidang baru yang akan muncul akan datang. Oleh itu, tentulah satu penghormatan besar jika dekonstruksi yang begitu berpengaruh menjadi penyelamat Naratif Ogonshoto. Anda tidak mahu? Menurut penelitian saya, “teori kerancuan sastera” bikinan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad lebih berwibawa daripada teori dekonstruksi Derrida, oleh itu memang amat cocok jika dipakai saja teori bikinan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad itu untuk menyelamatkan sastera Melayu keseluruhannya daripada dinilai dengan tepat dan objektif oleh Gagasan Persuratan Baru.  Dengan itu terpuaslah syahwat hasad para sarjana.

Tunggu, jangan pergi dulu. Saya ingin memberitahu anda satu berita gembira yang kita dapat daripada sasterawan negara Shahnon Ahmad. Anda mestilah pernah mendengar sebuah novel yang saya fikir lebih hebat daripada Naratif Ogonshoto, iaitu novel Shahnon Ahmad berjudul TIVI. Inilah sebuah novel yang penuh dengan pesta shahwat (ejaan ini lebih tepat daripada ejaan syahwat!) jika anda seorang peneliti retorik yang cekap. Novel agung ini telah diberi penilaian oleh seorang pelajar Shahnon Ahmad, Dr. Rahimah Abdul Hamid (lihat rujukan dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua, hal. 198), yang membuat penegasan yang amat menarik, “Walau bagaimanapun pandangan yang diberikan khalayak terhadap TIVI, saya bersetuju dengan pendapat Shahnon  bahawa karya ini berjiwa Islam. Malah, karya nipis ini sebenarnya mendukung nilai-nilai mistik dan sufistik Islam yang halus dan mendalam.” Inilah satu contoh kerancuan sastera yang amat bermakna, yang dengan jelas menyokong “teori kerancuan sastera” Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.  Bagi Shahnon Ahmad pula, apatah lagi hebatnya dia mempertahankan karya lucah itu sebagai “sebuah karya Islam”. (Wawancara dengan Dewan Sastera, Oktober 1997.  Bukan sebarang karya Islam, tetapi “karya Islam mithali!”). Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mendapat bukti paling kuat tentang pentingnya kerancuan dalam sastera Melayu, yang menjadi ciri penting dalam karya seorang sasterawan negara yang berjiwa Islam dan pelopor (menurut beliau) sastera Islam.  Dengan pembuktian ini, saya tidak boleh berkata apa-apa lagi. Semuanya sudah dibereskan oleh Shahnon Ahmad. Jika dilihat dalam konteks ini, memang wajar para sarjana dan sasterawan, terutama sekali sasterawan negara, mencemuh dan meremehkan Gagasan Persuratan Baru.

Tetapi tanpa mereka sedar, inilah pendirian yang paling celaka (bahasa Inggeris: grave:  kubur; serious, important, worrying) yang sebenarnya bercorak anti-Islam, bukan saja anti-ilmu.  Pendirian inilah yang menjadi tunjang Naratif Ogonsoto, seperti yang dihuraikan dengan terperinci oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam eseinya yang diberi hadiah berprestij (?) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai esei terbaik.  Dengan pendirian ini, sastera Melayu dikekalkan berada dalam dunia fictionality yang penuh sensasi. Inilah dunia realiti, menurut mereka yang anti-ilmu ini, yang menghasilkan Salina, Kuala Lumpur Kita Punya, TIVI, dan Naratif Ogonshoto.  Sebuah dunia yang penuh dengan kerancuan dalam bentuk dan makna, yang melahirkan karya picisan dan lucah. Malah inilah yang menjadi kebanggaan Shahnon Ahmad dalam wawancara dengan Dewan Sastera itu; yang juga menjadi kebanggaan Anwar Ridhwan dalam pengakuannya yang palsu bahawa Naratif Ogonshoto sebuah karya bercorak Islam dan membawa nilai-nilai Islam, seperti novel sufistik dan mistik yang bernama TIVI itu?

Hingga sejauh itu sastera Melayu dibawa ke dalam belantara kesesatan nilai oleh para sasterawan.  Mereka inilah yang menentang konsep ilmu, dan serentak dengan itu menentang Gagasan Persuratan Baru.

Sekarang pertanyaan yang menjadi tajuk entri ini sudah terjawab. Terang. Jelas. Tegas. Tuntas.

BAHAGIAN II

Gagasan Persuratan Baru Sebagai Peneroka Persuratan Melayu Abad 21

Kemunculan Gagasan Persuratan Baru sebagai sebuah teori sastera yang lengkap tidak dapat dielakkan, akibat kelesuan dalam sastera Melayu selama lebih dari 80 tahun. Keadaan ini nampaknya mahu dipertahankan oleh sekumpulan sasterawan dan sarjana sastera, kerana status quo yang mereka nikmati memang menguntungkan mereka.  Sama ada disengajakan atau tidak, kemunculan “teori  kerancuan sastera” bikinan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, nampaknya bertujuan untuk menghalang sastera Melayu daripada diganggu oleh PB yang menolak segala aspek kerancuan dalam penulisan kreatif dan dalam kegiatan akademik. Tidak pasti mengapa Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memilih konsep kerancuan ketika membicarakan Naratif Ogonshoto, dengan menjadikan novel agung sepanjang zaman itu sebagai model, sebuah novel yang begitu istimewa baginya sehingga dia menamakan pelbagai pendekatan Barat untuk menyokong pendapatnya. Tetapi yang amat memeranjatkan kita ialah apabila beliau memuji novel agung Anwar Ridhwan itu sebagai sebuah novel multiwacana, yang boleh dinilai dengan berjayanya daripada perspektif apa pun juga yang terdapat dalam teori sastera Barat, termasuk pascamodernisme. Ini yang memeranjatkan, kerana pendekatan berasaskan postmodernism ini telah dipersetujui oleh pakar sastera Barat sebagai satu pendekatan yang amat nihilistic, yang boleh dipanggil dalam bahasa Melayu satu pendekatan yang paling kurang ajar. Menurut Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya yang diberi hadiah esei terbaik 2004-2005 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka itu, pendekatan pascramodernisme itu memberikan kedudukan yang istimewa kepada Naratif Ogonshoto.  Yang menghairankan, mengapa kesimpulannya itu tidak diuji dengan menjadikan Gagasan Persuratan Baru sebagai perbandingan, untuk melihat sejauh mana karya itu benar-benar istimewa dari segi pemikiran. Ketika menulis makalahnya itu Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak pernah mendengar PB dan tidak tahu DBP sudah menerbitkan Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid sejak tahun 1992 (ulang cetak 2005). Dalam tahun 1997 novel persuratan Pujangga Melayu telah diterbitkan oleh Fajar Bakti, diulang cetak oleh Klasika Media 2017 dengan blurb yang diambil dari edisi baru itu mengenai persuratan baru, yang membicarakan tentang karya persuratan.  Tindakan beliau yang begitu negatif dan angkuh telah merendahkan darjat akademiknya dan sekali gus menjadikan Naratif Ogonshoto sebuah karya picisan, walaupun tidak dibaca dengan kritis dalam konteks PB. Malah, makalah beliau yang diberi hadiah berprestij itu pun mempunyai taraf yang sama dengan kedudukan sebenar Naratif Ogonshoto.  Inilah peristiwa akademik yang sungguh memalukan dalam sastera Melayu.  Saya tidak fikir para sarjana sastera yang handal belaka dalam bahasa Inggeris tidak boleh melihat sifat half-witted sarjana yang begitu angkuh melampiaskan sifat half-witted mereka. Anda harus berdepan dengan PB untuk membuktikan anda bukan sarjana half-witted.  (Kamus Inggeris-Melayu Dewan memberi makna half-witted sebagai bodoh. Saya tidak setuju,  kerana seseorang yang half-witted sebenarnya terpelajar, jadi tidaklah bodoh. Yang bodoh mungkin pembikin Kamus sendiri! Lebih tepat dipakai ungkapan separuh matang, kerana buah mangga yang jenisnya manis akan tetap manis bila sudah matang. Begitu juga sarjana yang separuh-matang ada kemungkinan akan menjadi matang satu ketika nanti jika dia tidak angkuh untuk terus belajar!).

(Sekali sekala bagus juga untuk merepek begini, sekadar memberi kesedaran kepada sarjana yang degil dan angkuh, seperti orang tua-tua kita mencubit atau memulas telinga budak-budak nakal dan keras pedal  supaya belajar menjadi cerdik dan tidak terus keras pedal!  Tetapi gaya ini hanya boleh dilakukan dalam blog, tidak dalam makalah akademik. Rasanya terlalu pedas seperti tom-yam Thai).

Sekarang izinkan saya menggunakan perkataan bodoh.  Inilah perkataan yang paling manis untuk mencirikan sikap bodoh sombong seseorang yang mencemuh Gagasan Persuratan Baru tanpa memahaminya.  Inilah kumpulan yang bangga dengan sikap half-witted mereka, yang megah dan angkuh memperagakan sifat separuh masak.  Mereka mencemuh diri mereka sendiri, memperagakan kerendahan maruah intelektual mereka, bangga menolak konsep ilmu dalam karya kreatif dan dalam kritikan sastera.  Cara Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memuji pascamodenisme, ketika memuji Naratif Ogonshoto, menjadikan beliau kepala kumpulan penentang PB seolah-olah beliau dan kumpulan bodoh sombongnya itulah yang telah memberi watak yang dinamik kepada pandirisme dalam sastera Melayu.  Teguran saya mungkin agak keras, tetapi sebenarnya lebih keras lagi pujian tinggi yang tidak munasabah terhadap sebuah novel yang mediocre dari segi teknik dan pengolahan. Memberi gambaran salah dan penilaian yang tidak tepat sepatutnya tidak berlaku lagi dengan wujudnya Gagasan Persuratan Baru yang memberi panduan yang jelas dalam membuat penilaian terhadap karya kreatif. Sungguh malang kepada sastera Melayu apabila seorang sarjana terkenal menjadikan kerancuan (lihat maknanya yang tepat dalam kamus) dijadikan ciri utama sastera Melayu, walaupun memang benar sastera Melayu penuh dengan sifat kerancuan itu. Sekiranya makna kerancuan di dalam kamus betul, maka sesiapa juga yang menggalakkan kerancuan adalah mangsa pertama kerancuan, oleh itu segala kata-katanya tidak dapat diterima kerana makna yang diberikannya bertentangan dengan makna yang dipersetujui di dalam kamus Melayu.  Maka bagaimana sebuah makalah yang mengarut boleh diberikan hadiah esei terbaik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka?  Nampaknya memang terdapat masalah kerancuan ini dalam sastera Melayu, dilaksanakan dengan megah, dengan berprestij pula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri.  Bukan itu saja, Panel Anugerah Sastera Negara yang dilantik oleh DBP juga mempraktikkan kerancuan dalam penilaian mereka. Kalau beginilah keadaannya, realitinya, habislah sastera Melayu! Tak ada makna lagi.

Sekiranya anda dapat memahami penghujahan yang dibentangkan di sini, dan faham pula akibatnya, maka anda akan insaf betapa kita telah dipermainkan oleh para sarjana ciritan, Panel Anugerah Sastera Negara dan Dewan Bahasa an Pustaka sendiri yang melantik mereka untuk menerima karya picisan para sasterawan negara ini. Di sinilah pentingnya kedudukan dan peranan Gagasan Persuratan Baru, kerana hanya PB saja yang boleh menyelesaikan pembohongan intelektual ini.  Tunggu apa lagi?

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  9 Jun 2017.