Tuesday, June 16, 2015

SASTERA TIDAK DAPAT DIJADIKAN TERAS NEGARA BANGSA



Dalam pos bertarikh 13 Jun 2015, saya mengatakan pos bertarikh 8 Jun 2015 memberi pukulan maut kepada usaha para sarjana dan sasterawan untuk menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa, seperti yang didakwa oleh buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, yang mengandungi makalah untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Tidak sebuah pun tulisan dalam buku itu yang membahaskan dengan mendalam dan meyakinkan mengapa sastera perlu dijadikan teras negara bangsa. Semua tulisan dalam buku itu hanya ocehan, idle talk, yang tidak mempunyai asas ilmu yang akan melayakkan sastera dijadikan teras negara bangsa. Sebahagian besar tulisan di dalam buku itu berupa leteren yang melalut dengan andaian umum yang tidak ditunjangi dengan analisis, penilaian dan penghujahan yang mantap berasaskan konsep ilmu yang benar. Saya akan jelaskan kesimpulan ini untuk memudahkan para sarjana dan sasterawan memahaminya.

Kita mulai dengan asal usul kejadian manusia seperti yang diceritakan di dalam al-Quran.  Tidak ada masalah dari segi keyakinan para sarjana dan sasterawan Islam tentang kebenaran al-Quran; yang menjadi masalah ialah pengetahuan mereka yang terlampau cetek sehingga mereka muncul  seolah-olah sebagai penentang ajaran al-Quran tanpa mereka sedari. Saya harap dengan penjelasan ini mereka akan berfikir dengan kritis dan cuba memahami mengapa saya masih berterusan menentang kepalsuan sastera yang dipandang begitu tinggi oleh mereka, dalam kejahilan mereka.  Tak mungkin saya membuang masa berbicara tentang sesuatu perkara yang tidak berfaedah; oleh itu kritikan saya terhadap sasterawan negara dan terhadap kesusasteraan keseluruhannya berasaskan penjelasan yang akan saya berikan di sini.

Penjelasan tentang kejadian insan dan tugas insan telah dibicarakan dengan mencukupi untuk difahami dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, oleh itu lebih mudah jika sesiapa yang berminat rujuk di sana. Untuk maksud makalah ringkas ini, memadai jika ditegaskan manusia dan jin dijadikan untuk menyembah Allah SWT, dan khusus bagi manusia diberi dua  tugas asasi: sebagai hamba Allah untuk beribadat (menyembah hanya  Allah) dan kedudukannya sebagai khalifah yang diberi tugas untuk memakmurkan dunia berasaskan ajaran tauhid, yang bererti kembali kepada konsep hamba Allah tadi. Dalam kesusasteraan Melayu, para sarjana dan sasterawan pada umumnya tidak memberi perhatian utama kepada aspek pertama, dengan memberi penekanan kepada konsep khalifah. (Sebagai contoh, lihat hal. 214 Sastera Teras Negara Bangsa).  Ini terjadi kerana mereka menolak konsep taklif dalam Islam, yang merangkum dua aspek itu. Malah konsep taklif tidak dikenali di dalam pembicaraan tentang sastera di Malaysia, dengan itu tanpa kesedaran taklif, maka mereka tidak dapat menerima konsep ilmu yang benar yang terangkum dalam konsep taklif tadi. Seterusnya sila rujuk Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua, untuk mendapat penjelasan lanjut tentang persoalan ini; di samping merujuk juga Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. Para sarjana dan sasterawan Malaysia menolak tanpa sebarang alasan akan penjelasan yang diberikan di dalam dua buah buku itu, oleh itu mereka secara langsung menolak konsep ilmu yang benar. Inilah yang menjadi persoalan besar kepada mereka, maka dengan kekurangan maklumat tentang konsep insan dan sebagainya yang berkaitan dengannya (seperti yang dijelaskan dalam dua buah buku tadi) tidak diberi perhatian ketika para sasterawan menulis karya mereka. Dengan itu mereka menolak konsep uswatun hasanah (contoh yang baik) dalam karya mereka, yang mereka anggap mengganggu kebebasan berkarya. Maka itulah yang menyebabkan mereka menerima kejahatan sebagai teras dan asas penulisan kreatif. Buktinya boleh dilihat dalam karya mereka, termasuk karya para sasterawan negara. Inilah kesan secara langsung yang mereka terima daripada perkenalan dengan teori sastera Barat, yang memang menolak konsep uswatun hasanah, dengan itu watak yang mereka (Barat) lahirkan dalam karya mereka, dan juga karya para sasterawan Malaysia, ialah manusia yang memberontak dan tidak menerima hakikat insan dengan dua fungsi yang disebutkan tadi. Dengan itu lahirlah novel-novel seperti Naratif Ogonshoto yang memuja kejahatan, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang menjadikan kebodohan sebagai lambang seni penglipur lara, Ranjau Sepanjang Jalan yang menjadikan kebodohan dan kejahilan sebagai unsur tragedi, dan lain-lain karya. Dalam dunia persajakan pula, kejahatan diberi nilai unggul dalam sajak “Pulang Si Tenggang”. Semua ini telah dibahaskan dalam beberapa entri dalam blog ini. Semua ini hasil dari penolakan terhadap konsep insan dalam Islam, dan seiring dengan itu konsep taklif itu sendiri tidak diterima. Tetapi para sarjana dan sasterawan menerima semua aspek perwatakan yang dihuraikan dalam teori sastera Barat, dan penerimaan itu secara total, yang boleh dilihat dalam karya mereka dan dalam cara atau kaedah karya itu dinilai oleh para sarjana. Maka apabila Gagasan Persuratan Baru diperkenalkan kepada mereka, maka terjadilah satu kejutan yang berakhir dengan penolakan secara total seperti yang dilakukan oleh panel yang memilih karya kritikan (rujuk entri bertarikh 8 Jun 2015) tetapi mereka menerima karya picisan yang menentang warisan persuratan Melayu dengan memberi hadiah utama kepada buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik walaupun buku itu menolak secara total nilai-nilai murni dalam persuratan Melayu. Semua ini terjadi kerana penilaian dibuat berasaskan ukuran Barat sepenuhnya, yakni yang secara khusus seperti yang dikonsepsikan dalam feminisme. Dalam konteks inilah mereka bercakap tentang “keunggulan” para sasterawan negara.  Tetapi ini menimbulkan persoalan yang sangat serius, iaitu mereka tidak dapat mempertahankan penilaian mereka apabila dikritik. Inilah yang menjadikan kritikan sastera Malaysia lembab, tidak berkembang, dan tidak mencabar daya intelek. Inilah salah satu punca kegagalan pengajaran sastera di Malaysia yang membuat sastera tidak digemari oleh para pelajar.  Saya telah menunjukkan dalam siri tulisan betapa teksdealisme yang dikatakan telah melahirkan beribu siswazah dan beratus sarjana serta pemegang Ph.D. adalah sejenis bullshit yang telah mengaburkan dan mengkhianati nilai asas tamadun Melayu.  Saya akan huraikan kepalsuan teksdealisme ini selepas terlebih dahulu menjelaskan betapa pentingnya konsep ilmu yang benar itu dijadikan asas kritikan sastera dan penulisan kreatif.

Di dalam al-Qruan terdapat satu surah yang boleh dijadikan panduan untuk memahami dengan lebih mudah dan jelas hakikat ilmu yang benar. Saya maksudkan  Surah al-Kahfi. Surah ini dimulai dengan ayat yang menegaskan bahawa di dalam al-Quran itu tidak terdapat yang disebut ‘iwajan (kebengkokan, dalam bentuk apa sekalipun).  Selepas penegasan ini, al-Quran bercerita tentang penghuni gua, kisah Nabi Musa dengan Khidr, kisah Zulkarnain. Semua ini adalah cerita yang sangat aneh, yang dalam teori sastera Barat akan dilabel sebagai mitos. Apakah alasan teori Barat? Tidak ada alasan dan tidak ada bukti dan hujah, kecuali anggapan palsu yang timbul dari konsep ilmu yang secara total berasaskan hawa nafsu manusia, tanpa sebarang authoriti. Para sarjana Malaysia dan sasterawan sepatutnya sudah lama tahu bahawa di Barat manusialah yang menentukan nilai, dan ini dapat dilihat dengan jelas dalam teori sastera mereka yang sentiasa berubah, yang menolak sama sekali konsep nilai-nilai mutlak yang hanya terdapat di dalam Islam. Kalau orang Islam sendiri menolak hakikat ini, maka mereka tidak akan dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan konsep ilmu yang benar.

Perhatikan ayat pertama Surah al-Kahfi: (terjemahan oleh M. Quraish Shihab dalam tafsirnya, Tafsir al-Mishbah, jilid 7, hal. 229) “Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya al-Kitab dan tidak membuat padanya kebengkokan”. Inilah tafsiran yang diberikan oleh Tuan Shaikh kita: “Kata ‘iwajan/bengkok menyifati sesuatu yang immaterial. ... ‘iwaj adalah kebengkokan yang sulit terlihat dan memerlukan pemikiran yang dalam untuk mengetahuinya. Jika pendapat ini diterima, itu bererti jangankan kebengkokan yang jelas, yang sulit ditemukan pun tidak terdapat dalam al-Quran. Dalam arti, walau dibahas dan diteliti untuk dicari kesalahannya, pasti tidak akan ditemukan.” (huruf condong asal, hal. 231). Berapa banyak kita dapati konsep ‘iwaj ini dalam teori sastera Barat. Kita dapati dalam semua teori sastera mereka, dan untuk melihat bagaimana ini terjadi, bacalah dengan teliti buku John M. Ellis, Against Deconstruction, yang menunjukkan dengan begitu jelas sifat ‘iwaj ini dalam teori sastera Barat. Dengan kesedaran ini, apakah hujah yang anda boleh kemukakan untuk membenarkan anggapan anda bahawa teori sastera Barat itu begitu akademik sehingga boleh digunakan dengan selamat untuk menganalisis, membuat tafsiran dan menilai karya para sasterawan dengan tepat dan sesuai dengan kualiti sebenar karya itu, tanpa terdapat sebarang unsur ‘iwajan dalam penilaian anda dan juga dalam karya itu sendiri. Sekiranya anda faham hakikat ini, anda akan mengerti mengapa saya mengkritik keras kaedah teksdealisme kerana yang ditunjukkan dan yang ingin dicapai oleh kaedah itu keseluruhannya unsur ‘iwajan ini. Teksdealisme itu sendiri adalah lambang unsur ‘iwajan yang dimaksudkan dalam al-Quran. Sekarang anda mungkin boleh memahami mengapa saya menolak sastera sebagai teras negara bangsa. Dan selaras dengan itu, saya  juga menolak gelaran sasterawan negara kerana di dalam gelaran itu terdapat keseluruhan maksud ‘iwajan itu. Andainya anda masih sukar hendak memahaminya, baca kembali dengan kritis saranan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh, sasterawan negara, supaya penulis mencontohi Salman Rushdie. Baca juga dengan kritis saranan Dr. Anwar Ridhwan, sasterawan negara, yang menganjurkan supaya diterima dengan ghairah program IB (International Baccalaureate) di sekolah-sekolah elit kita, yang di dalam iklannya memetik pandangan “ilmiah” seorang paderi Kristian, William Montgomery Watt, yang dengan pasti memberikan pandangan ini: “To say that Muhammad was sincere does not imply that he was correct in his beliefs. A man maybe sincere but mistaken.  The modern Westerner has no difficulty in showing how Muhammad may have been mistaken. What seems to a man to come from ‘outside himself’ may actually come from his unconscious.”  (huruf tebal ditambah) (dipetik daripada Muhammad: Prophet and Statesman, hal. 17). Amat jelas sifat ‘iwajan-nya. Inilah ajaran songsang yang tersembunyi yang dijadikan teks dalam bahagian Islam program IB ini. Mengapa Anwar Ridhwan boleh terlepas perkara yang begitu penting ini?  Tidak lain kerana beliau begitu terpesona dengan ilusi yang ditayangkan oleh IB, dan walaupun beliau memetik pendapat Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang konsep khalifah, dia tidak tahu menahu tentang falsafah pendidikan Islam berasaskan ad-din dan adab yang dihuraikan dengan mendalam sejak 1976 lagi dalam satu persidangan penting di London 1976. Inilah sifat tidak beradab, atau kehilangan adab, yang sebenarnya.

Jikalau kita membaca karya para sasterawan negara ini dengan kreatif dan kritis, berlandaskan pengetahuan yang agak medalam tentang Islam, anda tidak mungkin menerima hasil karya mereka yang dinamakan karya sastera itu untuk dijadikan teras negara bangsa. Yang paling ironis ialah pendapat Watt tadi tepat sekali menggambarkan perilaku para sarjana dan sasterawan negara, yang mungkin “jujur” dalam kejahilan mereka untuk menerima perkara yang palsu sebagai sesuatu yang benar, persis seperti yang dilakukan oleh Mana Sikana yang menggunakan teksdealisme untuk mengangkat sasterawan negara ini di atas takhta keunggulan. Bukan main megah lagi kepalsuan itu dipaksakan ke atas khalayak yang jahil. Khalayak ini menjadi marah apabila kejahilan mereka didedahkan. Mereka ingin menjadikan kejahilan itu sebagai teras, atau asas, pembinaan tamadun bangsa. Angkat tangan siapa yang bersetuju?

Dalam buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, terdapat satu tajuk perbincangan yang amat menarik, “Wajah sastera Malaysia: Seharusnya Bagaimana?”  Tajuk perbincangan ini bagus, tetapi dua buah makalah yang membicarakan “wajah sastera Malaysia” hanyut dalam belantara retorik peragaan dalam pretensi intelektual yang cukup kaya dengan fatamorgana bahasa, tetapi tidak menyentuh perihal warisan persuratan Melayu yang berasaska konsep ilmu yang benar itu secara jelas. Yang jelas ialah keghairahan untuk mencapai taraf antarabangsa, seperti yang dipropagandakan oleh Mana Sikana melalui teksdealismenya. Kesimpulannya, kita tidak tahu ke manakah sebenarnya sastera Melayu hendak dibawa dan apakah wajahnya. Amat jelas terdapat keengganan untuk menerima konsep ilmu yang benar,  dengan itu perbincangan yang disodorkan  kusut masai dalam belantara ‘iwajan yang memang tidak disedari. Kalau begitu, apa hak anda untuk menggambarkan wajah sastera Melayu jikalau Sidang Kemuncak Penulis Malaysia itu sendiri tenggelam dalam hutan kekeliruan tentang ilmu, yang amat jelas sifat atau unsur ‘iwajan-nya.

Semua ini terjadi kerana enggan menerima hakikat insan sebagai hamba dan khalifah Allah yang digambarkan dengan amat jelas dalam azan yang didengar setiap hari, tetapi tidak difahami implikasi tauhid dan taklif di dalam azan itu, yang menyatakan dengan jelas pula hakikat ilmu yang benar yang menjadi panduan manusia yang sudah menerima tauhid sekali gus harus pula menerima hakikat taklif dalam kehidupannya. Sekiranya anda mahu berbicara tentng wajah “sastera”, itulah prinsip yang seharusnya menjadi paksi perbincangan anda. Kalau bukan itu prinsipnya, anda akan menerima pendapat paderi Watt yang disalin tadi, malah itulah yang terjadi kepada anda semua yang dengan gigih mempertahankan teori sastera Barat, walaupun teori sastera Barat itu berselirat dengan unsur-unsur ‘iwajan yang ditegaskan oleh al-Quran supaya difahami dalam konteks ilmu yang benar.

Sekarang sudah terjawab mengapa saya menolak sastera sebagai teras negara bangsa dan pada waktu yang sama menolak kehadiran para sasterawan negara. Kalau masih ada yang tidak faham, ikutilah nasihat pantun Melayu:

Berburu ke padang datar/ dapat rusa belang kaki/ berlimau purutlah dulu; berguru kepalang ajar/ ibarat bunga kembang tak jadi/ berundur surutlah dahulu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16 jun 2015.

6 comments:

  1. Catatan:
    Saya harap konsep iwajan ini difahami oleh para sarjana dan sasterawan dalam konteks kutipan yang saya salin daripada paderi Watt. Apa yang disebut Watt adalah contoh mitos intelektual yang amat megelirukan. Perhatikan tafsiran beliau tentang konsep kejujuran itu. Beliau menolak konsep maksum dengan menegaskan Nabi SAW mungkin jujur tetapi tetap tersilap dalam pandangan hidup baginda. Yang penting ialah kutipan ini dipakai oleh BI yang amat dikagumi oleh SN Anwar Ridhwan. Saya harap ada di antara sarjana Islam yang mendalam ilmunya memberi penjelasan tentang perkara ini kerana ini, bagi para sarjana dan sasterawan Malaysia, ada kaitannya dengan konsep ilmu yang benar yang mereka tolak dengan alasan yang benar itu tidak semestinya tepat. Yang ingin saya tekankan ialah betapa kita dipermainkan oleh sarjana Barat untuk melempar kita semua ke dalam gaung Jahiliah dengan nama postmodernism dan segala macam ism yang cukup memukau para sarjana kita. Wallahu a'lam

    ReplyDelete
  2. Pembetulan:
    Sila baca IB, bukan BI seperti tertulis. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Ketiga-tiga entri terakhir blog ini mencabar dengan mesra para sarjana dan sasterawan Malaysia untuk membuktikan kemampuan intelektual mereka tidak hanya digunakan untuk menangguk kekeliruan teori sastera Barat, tetapi juga berupaya membaca segi-segi tersembunyi yang rumit mengenai hakikat ilmu, supaya mereka tidak terpesona dengan kepalsuan yang dihidangkan oleh teori Barat itu. Untuk itu, semua mereka harus membaca dengan cerrmat buku John M. Elilis, Against Deconstruction, untuk melihat kepalsuan teori sastera Barat daripada perspektif sarjana Barat sendiri. Para sarjana dan sasterawan kita belum lagi sampai ke peringkat itu penguasaan ilmu mereka untuk melihat aspek iwajan dalam teori sastera Barat dan dalam falsafah mereka. Oleh itu mereka masih perlu membaca buku-buku yang baik yang ditulis oleh sarjana Barat sendiri. Diharap para pelajar sastera pun berupaya meneliti kemampuan ilmiah dan kemampuan intelektual para pensyarah mereka, supaya tidak membuang masa dengan hanya mendengar celoteh idle talk ahli akademik yang memborakkan segala macam pretensi intelektual yang keliru dan mengelirukan. Contoh klasik: teksdealisme.

    ReplyDelete
  4. Pembetulan: John M. Ellis, bukan seperti tertaip.

    ReplyDelete
  5. Lain kali jika DBP dan lain-plain badan atau persatuan penulis ingin berbicara tentang "pemikiran sasterawan" dan "pemikiran dalam kritikan sastera", maka inilah sudut pandangan yang harus diketengahkan. Tidak pantas bagi para sarjana dan penulis yang klaim mereka ahli fikir terus berada dalam penjara 'iwajan ini. Keluarlah dari penjara itu dan jadilah Khidr yang membimbing Musa dengan izin dan kehendak Allah!

    ReplyDelete
  6. Kritikan sastera Malaysia amat memerlukan kaedah baru menganalisis karya sastera, supaya penilaian yang dibuat benar2 cocok dengan kualiti karya itu sendiri. Sekarang hal ini tidak terjadi. Bila karya dan penulisnya dipuji terlalu tinggi, sang penulis akan jadi seolah-olah tidak siuman apabila dikritik agak keras. Reaksi ini sendiri pun boleh dijadikan bukti karya mereka tidak bermutu dan mereka sendiri tidak kreatif dan tidak mempunyai bakat besar. Seharusnya jika anda betujl2 bagus, anda tidak gusar dikritik bagaimana sekalipun. Karya andalah yang akan mempertahankan anda, bukan sarjana atau pengkritik. Bayangkan seorang pengkritik murahan meletakkan sasterawan di atas takhta, tiba-tiba tempat yang layak baginya di atas tong susu yang dibuang peniaga, maka tentulah sasterawan tadi jadi tidak siuman. Tak sepatutnya begitu. Bila anda tidak bagus, bagaimana anda boleh kutuk orang lain yang mengatakan karya anda tidak bagus. Adakah itu boleh menjadikan karya anda bagus?

    ReplyDelete