Saturday, June 13, 2015

KEKELIRUAN YANG MEMBAWA KEPADA SIKAP BIADAB TERHADAP ILMU DAN KEBUDAYAAN MELAYU



Buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa (2014) yang menghimpunkan makalah yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia adalah sebuah buku yang amat aneh, yang dari satu segi menggambarkan dengan tepat sekali kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas 1972 (Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, syarahan pengukuhan UKM) bahawa para sasterawan dan sarjana sastera adalah golongan pinggiran yang “cetek meraba-raba”;  dari segi lain pula buku ini tidak langsung mempunyai kredibiliti akademik dan tidak juga mempunyai tanggungjawab moral yang membolehkan “sastera” itu dijadikan teras negara bangsa. Pertama sekali, konsep dan praktik sastera dalam kebudayaan Melayu tidak dijelaskan dengan tepat; oleh itu percubaan Ketua 1 PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam pendahuluannya tidak dapat diterima, dan harus ditolak kerana beliau hanya berbicara tentang “sastera” dalam konteks Barat yang bertentangan dengan praktik persuratan yang menjadi warisan dalam kebudayaan Melayu. Dengan itu beliau menolak konsep ilmu yang benar, yang menjadi tunjang persuratan Melayu, yang sebenarnya telah juga  ditolak oleh para sasterawan, termasuk para sasterawan negara. Saya telah menghuraikan aspek ini dalam beberapa tulisan sama ada yang dimuat dalam blog ini atau yang diterbitkan dalam belbagai penerbitan (buku, makalah dan ceramah).  Kalau mereka, para sarjana dan sasterawan, benar-benar yakin sastera itu sesuai dijadikan teras negara bangsa, mereka harus membuktikan terlebih dahulu  dengan mengemukakan hujah dan bukti berasaskan penelitian yang mendalam sumbangan para sasterawan ini. Pada ketika ini kita hanya mempunyai satu pandangan sahaja, yang diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang telah saya buktikan amat cetek dan bertentangan dengan kualiti sebenar karya para sasterawan negara. Dalam entri bertarikh 8/6/2015 saya telah memberi pukulan maut dari segi hujah dan analisis berasaskan tulisan para sasterawan dan tafsiran para sarjana bahawa “sastera” tidak sekali-kali dapat dijadikan asas atau teras negara bangsa kerana mereka (sarjana dan sasterawan) membawa perubahan yang negatif dan amat mengelirukan dalam karya sastera dan juga dalam tafsiran para sarjana terhadapnya. Sila baca juga “Keunggulan yang Cacat” bertarikh 28/10/2014. Seterusnya entri bertarikh 1/12/2014.  Hujah-hujah yang dikemukakan dalam tulisan itu membuktikan tanpa sebarang keraguan akan kepalsuan hasrat para sarjana dan sasterawan untuk menjadikan “sastera” teras negara bangsa. Jika anda serius dalam persoalan  ini, anda harus membuktikan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tidak tepat dan huraian saya sendiri juga tidak menggambarkan hakikat sebenar kepalsuan sastera yang didewakan sekarang. Seterusnya, saya telah membicarakan aspek ini dalam episod “Wajah Warna” dalam Balai Maqamat, yang mengemukakan “konsep kejahatan” yang menjadi falsafah para sasterawan dan sarjana sastera, dan konsep “kedurjanaan” dalam kebudayaan Melayu moden. Lihat terutama sekali dialog hal. 310, yang dengan tepat menggambarkan novel Naratif Ogonshoto yang mulia dan terunggul itu dalam sastera Melayu moden. Dialog itu ditulis 2004,  sebelum novel itu diterbitkan; dengan itu pemerhatian saya adalah tepat sekali dan ini saya hujahkan lagi dalam “Keunggulan yang Cacat”. Kemuncak kritikan saya tentang kepalsuan ini ialah siri tulisan saya yang menolak teksdealisme Mana Sikana sebagai penyelewengan ilmu dalam sastera Melayu. Anda mempunyai cukup bukti untuk menolak kesimpulan saya dan Prof. Syed Muhammad  Naquib al-Attas dengan membaca sehabis kritis dan analitis tulisan saya dan Prof. al-Attas.  Ini satu permintaan yang adil untuk membuktikan kepalsuan ungkapan “sastera teras negara bangsa” itu bertentangan dengan konsep ilmu yang benar yang menjadi warisan persuratan Melayu.

Pemilihan sasterawan negara adalah bertentangan dengan polisi bahasa Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan dijadikan tugas utama Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang bermaruah. Untuk memajukan sastera tidak bererti mengkhianati tugas yang telah dijadikan fasal penting dalam Perlembagaan Malaysia. Karya para sasterawan negara tidak sedikit pun mencerminkan keunggulan pemikiran yang mengarah kepada perkembangan ilmu yang benar; sebaliknya lebih memberi perhatian kepada “kebebasan” palsu dalam khalayan dan kelangsungan falsafah hidup hedonistik yang dilaksanakan di Barat, yang telah pun mendapat kritikan tajam sejak tahun 1930-an lagi. Untuk memahami aspek ini, sila rujuk buku Pitirim A. Sorokin, The Crisis of Our Age: The Social and Cultural Outlook (diterbitkan 1941). Lihat juga buku David Ehrenfeld, The Arrogance of Humanism (OUP, 1978) yang membicarakan tentang kehilangan agama di Barat. Buku John M. Ellis, Against Deconstruction, (Princeton University Press, 1989) menghuraikan dengan mendalam dan kritis tentang kepalsuan teori deconstruction anjuran Jacques Derrida yang satu ketika dulu menjadikan para sarjana sastera Amerika Syarikat mabuk teori, yang juga menjangkiti sarjana Malaysia (rujuk Muhammad Haji Salleh, Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan, syarahan perdana UKM 1989 yang menggesa sarjana Malaysia menerima deconstruction sebagai model; dan sanggahan saya dalam Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu, 1994; tulisan asal dalam Dewan Sastera, Mac-Julai  1991). Para sarjana dan sasterawan sepatutnya sudah sedar, jika mereka mengikuti perkembangan ilmu, bahawa sasterawan negara adalah tokoh penglipur lara moden yang terpisah dari warisan persuratan Melayu, dengan itu kehadiran mereka tidak diperlukan. Penjelasannya saya berikan dalam tulisan yang dimuat di sini. Untuk kembali kepada kehendak Perlembagaan Malaysia, dan memberi makna serta maruah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, saya mencadangkan supaya diwujudkan “Hadiah Persuratan PETRONAS” yang dikemukakan dalam seminar DBP 2006 mengenai peranan sayembara sastera. (Seminar: Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan, 25 Mei 2006. Tajuk kertas: “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis”,  91 halaman.)  Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 anjuran ITBM sepatutnya membincangkan dengan mendalam aspek perkembangan ilmu melalui persuratan ini, tetapi tidak disentuh langsung.  Sudah tiba waktunya persoalan ini dibincang dengan mendalam oleh mana-mana pihak  yang berasa bertanggungjawab untuk memperkembangkan ilmu melalui persuratan Melayu. Jika kekeliruan ini dibiarkan, dengan misalnya terus menerima kehadiran penglipur lara moden dalam Anugerah Sastera Negara, maka kita secara langsung telah mengkhianati polisi bahasa yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia. Sekurang-kurangnnya langkah pertama perlu dilaksanakan, iaitu dengan meneliti secara kritis sumbangan para sasterawan negara daripada perspektif ilmu dan perkembangan bahasa Melayu yang mencerminkan peradaban Melayu yang diwarisi melalui persuratan Melayu. Kritikan sastera Melayu seharusnya ditingkatkan dengan diberi darjat yang sepatutnya berasaskan konsep ilmu yang benar.  Sasterawan negara tidak akan gila jika sumbangan mereka dianalisis berasaskan konsep ilmu yang benar, malah mereka akan dapat diserlahkan sebagai golongan yang benar-benar memberi sumbangan ilmu dalam peradaban Melayu. Kini mereka belum lagi dibuktikan telah mencapai taraf itu; walaupun mereka dianggap lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang telah membina tamadun Melayu berasaskan ilmu yang benar melalui persuratan Melayu. Takrif sastera dan kritikan sastera yang kita pakai sekarang perlu diperjelaskan dengan tepat sama ada mendorong kepada perkembangan ilmu yang benar dalam pembinaan tamadun atau hanya berlegar dalam pretensi intelektual yang sebenanya bertentangan dengan konsep ilmu yang benar yang kita warisi dalam persuratan Melayu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 13 Jun 2015.

Catatan:  Makna maqamat ada dijelaskan dalam buku Dr. Hadi Mutamam, M. Ag.: Maqam-maqam Sufi dalam al-Quran: Studi Terhadap Tafsir Mafatih al-Ghaib; lihat nota kaki hal. 97.  Tafsir Mafatih al-Ghaib adalah judul tafsir Fakhr al-Raziy. Boleh didapati daripada Sdr. Wan Mohd. Said Wan Seman, H/P 017-3126 211. Ketika kulit Balai Maqamat sedang disediakan, saya diminta memberi cadangan. Saya cadangkan supaya diambil wakaf (Kelantan) sebagai lambang. Cadangan itu tepat, kerana menurut Dr. Hadi, "maqam dapat juga dimaknai sebagai tempat perhentian", seperti wakaf di Kelantan.  Dalam setiap "Balai" (wakaf) terdapat episod utama; contoh dalam Balai Kedua, "Rumah Impian Polan Cupan". Seterusnya anda boleh fikirkan sendiri jika anda membaca Balai Maqamat dengan kreatif dan kritis. Jika anda seorang pembaca yang mempunyai unsur humor yang sihat, anda boleh saja bandingkan Balai Maqamat dengan karya para sasterawan negara. Ketika itu anda boleh "mengajar" saya secukupnya kerana mengkritik karya para sasterawan negara dan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara. Anda akan faham mengapa saya anjurkan anda tidak membaca karya sasterawan negara (entri 31/12/2014).

No comments:

Post a Comment