Kategori
sarjana ciritan yang saya selokakan dalam Balai
Maqamat sudah lama wujud dalam sastera Melayu, oleh itu bukanlah satu
tuduhan atau satu anggapan tidak berasas. Kehadiran sarjana ciritan ini sangat
ketara dalam kertas kerja untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara, tetapi ini
tidak bermakna tidak ada kertas yang relatif baik walaupun memang tidak ada
kertas kerja yang tinggi kualiti akademik dan analisisnya. Kemunculan sarjana
ciritan tidak dapat dielakkan, kerana inilah hasil penerokaan cetek para
sarjana ini ketika memasuki rimba teori sastera Barat. Bagi para sarjana ciritan, tidak ada sastera
Melayu moden tanpa pengaruh dari sastera Barat. Tidak ada kritikan sastera
Melayu tanpa teori sastera Barat. Panel Anugerah Sastera Negara selalu
menekankan aspek pembaharuan dan eksperimen dalam penulisan kreatif; berasaskan
ini, mereka menegaskan bahawa semua sasterawan negara terlibat dalam
pembaharuan dan sebagainya itu. Bagaimana mereka memberi takrif kepada
pembaharuan dan eksperimen jika andaian tadi, perihal tiada sastera Melayu
tanpa pengaruh sastera Barat, dan tiada kritikan sastera Melayu tanpa teori
sastera Barat, jika itulah hakikat sastera Melayu moden? Lebih tepat jika
sastera Melayu moden itu dianggap sebagai appendiks kepada sastera Barat,
sesuai dengan andaian tadi. Demikian juga kritikan sastera Melayu, yang tidak
lebih daripada penerokaan bersifat tiruan semata-mata. Bukti terbaik ialah syarahan perdana Prof.
Dr. Muhammad Haji Salleh. Menurut Prof. Siti Hawa Salleh (dalam Budi Kencana), apa yang dibuat oleh profesor itu hanya “mengujarkan”
saja perkara yang sudah sedia diketahui, tanpa sesuatu yang baru (hal. 255).
Analisisnya cetek dan kesimpulannya tidak mencerminkan perkembangan sebenar
dalam sejarah kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam dan konsep ilmu. Sifat ciritan ini dibuktikannya lagi dalam
kertas kerja beliau yang diterbitkan oleh ITBM dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa yang memuat kertas kerja Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Kertas
kerja itu mengenai pertapaan beliau di atas bumbung kilang besi berkarat, yang
mendorong beliau mengajak para penulis Malaysia mencontohi Salman Rushdie yang
mengutuk Nabi Muhammad SAW dalam novelnya The
Satanic Verses. Buku Sastera Teras
Negara Bangsa itu sendiri adalah contoh dan bukti betapa meluasnya kegiatan
sarjana ciritan yang menolak konsep ilmu dalam sastera Melayu kerana mereka
berpendapat bertentangan dengan teori sastera Barat yang menjadi ikutan mereka.
Tidak ada perbincangan tentang peranan ilmu yang benar dalam seni mengarang
dibincangkan dalam Sidang Kemuncak itu dan dalam kertas kerja yang diterbitkan.
Apa lagi bukti yang kita mahu? Mungkin satu lagi bukti, yang boleh dijadikan
contoh, yang boleh meyakinkan kita bahawa kehadiran sarjana ciritan ini sangat
menonjol dan terlalu angkuh menyerlahkan sifat ciritan mereka. Sebuah buku yang
berasal daripada tesis Ph.D. telah diterbitkan oleh USM, berjudul Puitika Sastera Wanita Indonesia dan
Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (2012), yang telah diberi Hadiah Sastera
Perdana Malaysia dalam kategori buku kajian ilmiah terbaik. Buku kajian ini memperkenalkan
pendekatan feminisme dalam kritikan sastera Melayu, yang menolak secara total
nilai-nilai ilmu dalam Islam dan nilai-nilai murni dalam kebudayaan Melayu.
Buku ini menerima karya picisan dan lucah sebagai gambaran sebenar citra wanita
Melayu/Islam. Akhirnya saya ingin kemukakan satu contoh lagi untuk
memperlihatkan betapa kukuhnya hegemoni para sarjana ciritan ini dalam kritikan
sastera Melayu. Contoh paling menarik
ialah panel penilai yang dilantik oleh DBP untuk menilai buku kritikan 1992/1993.
Panel berkata, buku Pendidikan Estetika
daripada Pendekatan Tauhid tidak layak dipertimbangkan kerana tidak ada
diplomasi. Supaya anda dapat melihat bagaimana para sarjana ciritan membuat
penilaian mereka, kita baca komen mereka terhadap buku itu: “Karya Mohd.
Affandi Hassan didapati baik daripada segi idea utama dan pendekatannya yang
berdasarkan ajaran tauhid daripada Islam. Walau bagaimanapun, panel menemukan
kecenderungan pengarang untuk mempersalahkan golongan tertentu dengan menggunakan
ruang-ruang tersirat dengan cara yang kurang diplomatik. Pada bahagian awal
lagi, iaitu di halaman 3 buku ini, pengarang telah mengatakan tiada usaha
daripada orang lain untuk membezakan antara unsur-unsur Islam dalam karya dengan
sastera Islam sebagai satu disiplin dalam penulisan karya kreatif. Usaha penulis terdahulu danggapnya
menimbulkan keriuhan sahaja. Perbandingan yang dianggap tidak diplomatik ialah
bahawa usaha yang terdahulu menyamai seorang lelaki yang memaki pakaian Barat
yang lengkap dan kemas, tetapi menaruh ketayap dan serban besar di kepalanya.
Panel berpendapat, kata-kata demikian tidaklah menjadi masalah dalam penulisan
esei biasa demi mencapai gaya dan membina identiti, tetapi tidak sesuai
diaplikasikan dalam sebuah buku kritikan yang serius dan memuatkan ilmu.” (Dewan Sastera, Disember 1994, hal. 88).
Tentu saja pandangan begini kurang ajar dan biadab, kerana diasaskan hanya pada
satu halaman, itu pun separuh saja, yang tertulis dalam pendahuluan buku ini
yang menyatakan mengapa buku itu penting diberi perhatian serius. Tidak sepatah
pun disentuh isi kandungan buku itu, seolah-olah bagi mereka tidak wujud dan
tidak penting sama sekali, kerana yang lebih penting ialah “pakaian Barat yang
lengkap dengan ketayap dan serban besar”. Inilah kesan ajaran “kurang ajar”
yang dilahirkan dalam sajak “Pulang Si Tenggang” itu, yang akhirnya melahirkan
sarjana ciritan dalam kritikan sastera Melayu. Hingga kini belum ada lagi
sanggahan terhadap buku itu, untuk membuktikan unsur diplomasi (satu ukuran
yang pelik dan tidak siuman) yang digembar-gemburkan oleh panel ini telah
menjadikan semua huraian dalam buku ini tidak relevan. Panel sangat tertarik
dengan sebuah buku lain kerana “memperlihatkan kesungguhan menerapkan
teori-teori Barat secara kritis dalam kesusasteraan Melayu Tradisional.”
Anggota panel terdiri daripada Aziz Deraman, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka
sebagai pengerusi, dibantu oleh Dr. Mohd. Yusof Hassan, Dr. Solehah Ishak, Dr.
Shafie Abu Bakar, Dr. Othman Puteh, Dr. Sahlan Mohd. Saman, Rahman Shaari,
Kamaruzzaman Abdul Kadir, Dr. Mohd. Khalid Taib, Dr. Abdul Rahman Napiah (aka
Mana Sikana), Abdullah Tahir.
Sebagai
perbandingan, baik juga disebut di sini laporan Shamsuddin Jaafar tentang
Nadwah Kesusasteraan Islam dengan tema “Ketakwaan dalam Kreativiti” (Dewan Sastera, Januari 1994, hal. 18)
yang kemudiannya diterbitkan sebagai sebuah buku oleh DBP. Kesimpulan ini
berbeza dengan pandangan panel: “... buku Mohd. Affandi Hassan, Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid
banyak disebut dalam nadwah itu sebagai model ...” (hal. 19). Mungkin dalam
nadwah itu sarjana ciritan berdiam diri!
Dalam nadwah itu, Mana Sikana membentangkan teksdealisme sebagai
satu-satunya teori sastera Malaysia yang menjadikan unsur Islam sebagai asas,
tetapi nampaknya tidak mendapat sambutan. Memang tidak patut! Mungkin inilah yang kemudiannya mendorong
beliau membuang unsur Islam itu dalam teksdealisme, dengan menggantikannya
dengan segala macam unsur pascamodenisme dan seterusnya. Beliau kemudian menjadikan
teksdealisme sebagai sejenis “ukuran” (??) untuk meletakkan sasterawan negara
di atas takhta keunggulan, tanpa memperdulikan lagi unsur Islamnya, untuk lebih
selamat dan cocok dengan karya para sasterawan negara. Ini suatu contoh yang baik bagaimana “satu teori sastera dipinda” untuk
disesuaikan dengan karya sasterawan negara. Adakah ini satu contoh
bagaimana sarjana ciritan menjual “ilmu” dengan harga murah?
Kerosakan
paling besar, dan paling serius, yang dilakukan oleh para sarjana ciritan ini
ialah apabila mereka, tanpa rasa tanggungjawab moral dan akademik, cuba
mengubah sistem nilai masyarakat Melayu dengan memperkenalkan sikap baru
berasaskan konsep kurang ajar. Dalam tangan mereka sikap kurang ajar ini diberi
kedudukan tinggi dan diberi pandangan positif sebagai semangat baru untuk
mencari kemajuan dan perubahan. Inilah yang terjadi dengan terciptanya sajak “Pulang
Si Tenggang” oleh sasterawan negara Muhammad Haji Salleh. Sikap kurang ajar
yang menjadi ajaran penting dalam sajak ini kini diberi tafsiran baru oleh
Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Hassan, yang menulis dalam satu seminar, yang tulisannya
disiarkan dalam Sastera Teras Negara
Bangsa, bahawa Si Tenggang mempunyai sikap positif untuk berjaya dalam
hidupnya yang patut dicontohi oleh para pelajar universiti. Menurut profesor
ini, “Di balik unsur moral dan pengajaran yang ditekankan, kisah Si Tenggang
juga memperlihatkan nilai positif. Kerana kemiskinan, Si Tenggang bercita-cita
untuk menjadi kaya dan terkenal. Di sini memperlihatkan bahawa Si Tenggang ada
matlamat, iaitu ingin menjadi kaya dan terkenal.” (hal. 194). Profesor ini tidak menjelaskan, bahawa apa
yang dianggapnya kejayaan itu, telah ditolak oleh kebudayaan Melayu yang lebih
mementingkan pengajaran moral yang unggul. Kejayaan itu akhirnya menjadi batu,
dan kutukan sepanjang zaman. Adakah ini bentuk kejayaan yang ingin dicapai dan
diajarkan kepada para mahasiswa universiti? Demikianlah, pendapat sarjana
ciritan ini hanya berjaya mengaburkan sistem nilai yang sudah diterima untuk
digantikan dengan kejayaan yang sia-sia kerana kejayaan itu sendiri
menghancurkan sistem nilai yang unggul tadi. Jelaskan ini kepada para pelajar
jika anda bukan sarjana ciritan. Kerana kabur dalam soal nilai ini, maka
seorang sasterawan negara menulis novel yang paling unggul menurut para sarjana
ciritan ini, Naratif Ogonshoto, yang
menjadikan kejahatan sebagai lambang kejayaan dan “keunggulan” seorang ahli
politik. Betapa kaburnya dan silapnya pendekatan begini diserlahkan dengan
jelas apabila sasterawan ini mengkhianati kisah al-Quran tentang Nabi Nuh ‘a.s.
yang disamakan dengan cerita karut dan khayal tentang terjadinya tsunami yang
tidak menghapuskan kejahatan seperti dalam kisah Nabi Nuh ‘a.s., tetapi
sebaliknya meneruskan kejahatan itu dengan menyelamatkan tokoh-tokoh jahat dan
tidak bermoral. Sikap biadab ini dipuji oleh seorang sarjana yang menulis
tentang intertekstualiti dalam novel Melayu
yang memberi pujian tinggi kepada novel picisan ini. (Rujuk Dr. Mawar Shafie, Novel Intertekstual Melayu, 2010).
Demikianlah usaha para sarjana ciritan ini diperjuangkan oleh mereka dan dipertahankan dengan gigih sebagai satu
pencapaian yang tinggi, dan unggul, dalam kesusasteraan Melayu moden. Semua ini
adalah gambaran bullshit dalam
sastera Melayu moden. Inilah yang disebut sebagai “takhta keunggulan” oleh Mana
Sikana dalam bukunya Sasterawan Negara di
Takhta Keunggulan. Inilah corak pengajaran sastera yang dilaksanakan di Malaysia
pada waktu ini, yang tidak saja merosakkan minat sastera di kalangan pelajar, tetapi juga telah mengaburkan makna
kebaikan dan nilai-nilai murni yang kononnya menjadi teras pengajaran sastera
di Malaysia. Kekaburan dan kekeliruan
inilah yang menjadi tajuk buku ITBM, Sastera
Teras Negara Bangsa. Bagaimanakah sastera yang corak nilainya seperti ini,
dengan pendekatan pengajaran sastera yang menyanjung kejahatan, boleh menjadi
teras negara bangsa? Tidak mungkin para
sarjana dan sasterawan Malaysia sudah sesat sejauh ini!
Peringatan saya yang saya tulis dalam sebuah
makalah yang disiarkan dalam Mastika,
Oktober 1991, hal. 24, masih tetap relevan: “Kita harus tahu seberapa banyak yang kita terdaya mengetahuinya;
tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu.”
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,
6/6/2015.
No comments:
Post a Comment