Thursday, March 19, 2015

CABARAN PANDIRISME DALAM KEGIATAN INTELEKTUAL



Dengan munculnya Kuliah Perdana PB membicarakan peranan pandirisme dalam perkembangan budaya ilmu di Malaysia, maka kritikan sastera kini menghadapi masalah kredibiliti yang serius. Selepas ini, semua kritikan dan kerja akademik dalam kesusaseraan akan dinilai sama ada hasilnya hanya mencerminkan pandirisme atau mengemukakan analisis, hujah dan penilaian yang berasaskan konsep ilmu yang benar.  Kini para pelajar universiti yang memahami kedudukan pandirisme dalam perkembangan intelektual di Malaysia mempunyai ukuran yang pasti yang boleh diuji kebenarannya dan kredibilitinya apabila mereka membaca sebarang tulisan kritikan, tulisan akademik atau hasil kreatif para sasterawan.  Mereka boleh bertanya: Adakah ini hanya gambaran pandirisme, atau benar-benar hasil akademik yang bermutu berasaskan analisis dan penghujahan yang objektif?  Adakah karya ini menggambarkan keupayaan kreatif yang tinggi berasaskan ilmu atau hanya mencerminkan pandirisme?  Pertanyaan seperti ini disedari pentingnya kerana sudah sekian lama kita dilamun ombak pandirisme tanpa kita sedar.  Sekarang kita boleh mambaca dengan kreatif dan kritis untuk menilai kualati intelektualnya, supaya tidak membuang masa membaca sesuatu yang picisan dan dangkal tetapi diberi pujian tinggi oleh mereka yang mengamalkan pandirisme dengan berselindung di ketiak teori Barat.

Kesimpulan di atas telah ditunjukkan oleh Nur Fatiha Fadila Abu Bakar dalam tesis sarjana beliau. Tesis itu berjaya memperlihatkan dengan jelas bagaimana membaca dengan kreatif dan kritis berasaskan konsep ilmu yang benar memberi kesempatan untuknya menilai karya-karya Anwar Ridhwan dengan objektif, yang boleh dihujahkan dengan jelas kerana adanya konsep-konsep yang boleh mambantu seseorang membuat penilaian itu dengan menggunakan pendekatan yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru.  Kesilapan para sarjana dalam penilaian mereka terjadi kerana mereka bertindak persis seperti yang dilakukan oleh Pak Pandir, iaitu terpesona melihat padi hampa yang bertimbun. Demikianlah para sarjana ini sering kali menggunakan teori Barat yang tidak pun dikuasai dengan baik untuk dijadikan asas penilaian mereka, dengan itu gagal membaca dan menilai karya secara kreatif dan kritis. Kegagalan ini dicatat dengan teperinci oleh Nur Fatiha Fadila dalam tesis sarjananya, diikuti dengan sanggahan yang lunak tetapi tepat memperlihatkan kesilapan penilaian yang tidak berasaskan konsep ilmu yang benar. Semua sarjana yang membicarakan karya Anwar Ridhwan menilainya daripada perspektif “intelektual,” tetapi gagal membuktikan unsur intelektual dan unsur Islam yang diklaim oleh Anwar Ridhwan sendiri wujud dalam novel-novel yang dinilai mereka. Penjelasan saya dalam “Keunggulan yang Cacat” mungkin boleh dirujuk sebagai perbandingan.  Seterusnya, tulisan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang dijadikan Pendahuluan dalam buku Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua, memberikan hujah yang mantap mengapa kita perlukan pendekatan yang berbeza dari yang biasa kita gunakan selama ini. Perhatikan pendapat ini, yang cukup relevan dengan persoalan yang dibangkitkan di sini.

“Theorizing can lead us into lines of inquiry that challenge received notions of entrenched understanding that may no longer be productive; it can create new vocabularies for talking about a subject and thus new ways of perceiving it”. (Gary Olson, dikutip oleh Thomas Kent dalam eseinya, “The Consequences of Theory for  the Practice of Writing”, dalam Publishing in Rhetoric and Composition, ed. by Gary A. Olson, Tod W. Taylor; State University of New York, 1997, hal. 157).

Kemunculan gagasan Persuratan Baru persis untuk memenuhi pemerhatian Gary Olson yang dikutip di atas, yang dibuktikan kebenarannya dalam tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu Bakar yang disebut di atas.  Dengan adanya beberapa konsep baru dan penekanan kepada wacana dan cerita dalam konteks ilmu yang benar, maka penilaian terhadap novel-novel Melayu boleh dibuat dengan lebih mudah dan lebih tepat.  Ini mengejutkan sasterawan sendiri, yang tidak dapat menerima pendapat baru yang lebih tepat kerana bagi mereka kualiti novel-novel mereka, yang sebenarnya tidak berkualiti,  akan menurun dengan mendadak sehingga mereka tidak dapat menerimanya. Inilah pengalaman Fatimah Busu yang menulis sebuah penafian (Nyanyi Sunyi  Salam Maria Vs. Sarjana Nasi Dingin, 2007) yang pada hakikatnya membuktikan kebenaran penilaian yang dibuat oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir apabila beliau menilai dengan kritis novel Fatimah Busu yang amat disayangi oleh penulisnya, Salam Maria.  Sebagai sebuah novel yang diklaim oleh penulisnya membawa mesej Islam, Salam Maria telah mensensasikan Islam dengan pelbagai cerita sensasi untuk menarik minat pembaca, tetapi jelas telah gagal kerana pembaca juga tahu cerita-cerita sensasi itu tidak menggambarkan Islam dengan positif.  Misalnya, keberatan mereka yang paling utama ialah mengapa Islam harus dibawa ke dalam hutan. Sekiranya ini satu kaedah dakwah baru untuk mengajak rusa, kijang, harimau, gajah, biawak dan sebagainya masuk Islam, mereka sudah pun Islam sebagai makhluk yang tidak menanggung  tanggungjawab taklif. Ini hanya satu contoh, banyak lagi yang lain yang anda boleh kesan dengan mudah.  Kritikan Fatimah Busu terhadap Persuratan Baru ini dijadikan bacaan dan kajian di Universiti Malaya; tetapi pelajar tidak didedahkan kepada PB secara formal dengan membaca dan mengkaji Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua. Saya yakin jika buku tentang PB itu dikaji dan dibahaskan dengan mendalam, para pelajar akan lebih tertarik kepada Gagasan Persuratan Baru dan ini akan membolehkan mereka membaca buku Fatimah Busu itu dengan lebih kreatif dan kritis.  Pelajar universiti harus diberi peluang ini; mereka wajar diberi maklumat baru dalam perkembangan kritikan sastera, apatah lagi perkembangan terbaru itu dicetuskan di negara ini sendiri. Dengan membiarkan para pelajar ini ketinggalan zaman, para pensyarah yang terlibat dalam pengajaran sastera boleh dituduh tidak menjalankan tugas mereka dengan jujur dan dengan penuh semangat cintakan ilmu. Ertinya, mereka tidak profesional.  Pelajar sendiri pula mestilah bersikap pro-aktif, mencari sendiri jika pensyarah mereka tidak mahu mendedahkan mereka dengan maklumat terbaru.  Walaupun terdapat profesor yang mendakwa beliau mempunyai 4000-5000 pelajar, tetapi jika pelajar itu didedahkan kepada recipe knowledge  saja, mereka tidak akan dapat memberi sumbangan yang bererti dalam perkembangan sastera, terutama dalam bidang akademik dan kritikan.  Tidak saja diperlukan kejujuran intelektual, tetapi diperlukan juga integriti akademik yang tinggi.  Nampaknya kedua-duanya tidak dipraktikkan, walaupun kita sering mendengar mereka selalu berkata betapa perlunya adab dan etika  dalam penulisan. Untuk orang lain, bukan untuk mereka.  Barangkali inilah bentuk ajaran sesat dalam bidang akademik.

II
Hanyut Dalam Arus Pandirisme

 Pandirisme kini diberi kedudulkan yang tinggi dengan prestij akademik yang dibanggakan dalam pengajaran sastera di Malaysia. Para pelajar yang tidak diberi kefahaman yang betul dalam teori sastera Barat, tidak bebas untuk mengemukakan pendapat kritis mereka dengan misalnya menggunakan pendekatan Persuratan Baru, yang dianggap oleh ahli akademik sebagai terkeluar dari arus perdana, oleh itu tidak wajar diperkenalkan kepada para pelajar untuk mengelak daripada terjadinya kekeliruan dalam memahami konsep sastera seperti yang diajarkan dalam buku-buku kritikan Barat.  Ahli-ahli akademik kita tidak berasa pelik untuk melarang para pelajar menggunakan pendekatan Persuratan Baru, sedangkan para pelajar ini diperkenalkan dengan bermacam-macam teori sastera Barat.  Sikap ini positif dari segi membantu pelajar supaya tidak keliru, tetapi dari segi perkembangan ilmu para pelajar ini akan rugi kerana mereka tidak didedahkan kepada pendekatan yang berbeza.   Sebenarnya para pensyarah bebas untuk memperkenalkan apa juga pendekatan yang mereka senangi, dan menolak sebarang percubaan tempatan sebagai tidak akademik dan tidak berada dalam arus perdana.  Dalam konteks ini, pelajar sendiri harus  bersikap terbuka untuk meneroka pandangan yang berbeza daripada yang mereka biasa temui diperkenalkan oleh para pensyarah mereka.  Gagasan Persuratan Baru akan memberikan mereka cara membaca dan menganalisis yang jauh berbeza daripada yang mereka dibiasakan oleh para pensyarah mereka. Inilah cabaran ilmiah yang wajar ditangani dengan objektif.

Saya ingin mencadangkan supaya para pelajar sastera digalakkan membaca dengan kritis laporan  Paneh Anugerah Sastera Negara untuk melihat bagaimana teori sastera Barat digunakan dalam membuat penilaian karya-karya para sasterawan negara.  Pengalaman intelektual begini berguna untuk mendidik para pelajar sastera melihat bagaimana sekumpulan pakar sastera menilai karya para sasterawan negara ini secara kreatif dan kritis.  Mereka harus didedahkan kepada ciri-ciri utama yang dipakai oleh Panel untuk membuat penilaian mereka.  Antaranya, adakah ukuran yang  mereka gunakan itu tepat dengan kualiti karya yang mereka nilai, sehingga pandangan mereka boleh dikira objektif dan tepat dengan ukuran yang mereka gunakan.  Misalnya, jika Panel berkara seorang sasterawan negara mempunyai kualiti intelektual yang jelas dalam karya mereka, adakah penilaian ini cocok dengan karya yang dipuji itu dan dengan kegiatan keseluruhan seseorang sasterawan negara. Apakah yang dimaksudkan dengan kualiti intelektual itu? Dengan cara ini, para pelajar sastera didedahkan kepada ukuran yang digunakan dan bagaimana ukuran itu memang diserlahkan dalam karya yang dinilai.  Terdapat kecenderungan di kalangan pembaca yang kritis untuk tidak menerima segala pujian dan  sanjungan para Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka sebagai tidak tepat dan boleh dipersoalkan keutuhan akademiknya. Saya telah menurunkan beberapa contoh, terutama sekali yang mereka lemparkan dalam Laporan 2012 (lihat misalnya halaman 18, perenggan 2; hal. 20, perenggan 2; hal. 21 perenggan 3.)  Pembaca laporan ini akan lemas dalam pujian yang tidak setimpal dengan kualiti karya yang dipuji. Sekali lagi saya persilakan anda membaca dengan kreatif dan kritis “Keunggulan yang Cacat” dalam blog ini. Di situ anda diberi peluang seluas-luasnya untuk menolak hujah dan pembuktian yang diberikan untuk anda menyokong laporan Panel Anugerah Sastera Negara dan pendapat para sarjana yang naif dan tidak tepat ketika menilai karya para sasterawan negara ini.

III
Kembali Kepada Konsep Ilmu Yang Benar

Pendekatan dan teori bukan untuk memuji karya kreatif, sebaliknya digunakan untuk membaca karya itu dan memberi interpretasi yang munasabah berasaskan teori atau pendekatan yang digunakan. Tetapi di Malaysia, para sarjana menggunakan pendekatan dan teori sastera untuk memuji karya para sasterawan negara, seperti yang mereka tunjukkan dalam kertas kerja mereka ketika membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini.  Perbuatan ini naif dan salah.  Ini bukan kerja ahli akademik atau pengkritik sastera; ini kerja penjual ubat (sales man).  Majoriti sarjana dan pengkritik sastera adalah para penjual ubat yang rajin, kerana kerja seperti itu mudah dan tidak perlukan maklumat yang terkini. Tidak perlukan analisis dan penghujahan yang mantap, cukup recipe knowledge saja.  Apabila recipe knowledge diberi kedudukan akademik, maka hasilnya sangat menghampakan, apatah lagi jika ini berlaku dalam penulisan tesis, hingga sampai ke peringkat Ph.D. sekali pun.  Kerana terlalu besar keinginan penulis tesis untuk mengangkat dan memuji sasterawan yang menjadi pilihannya,  maka lahirlah tesis yang berserabut dengan istilah yang digunakan tanpa sebarang pertimbangan ilmiah yang teliti. Untuk sekadar penjelasan, rujuk “Keunggulan yang Cacat” dalam blog ini.

Apakah yang menghalang para sarjana dan sasterawan untuk kembali kepada konsep ilmu yang benar? Alasan yang pernah saya dengar ialah: Kerana semua ini dimulai oleh Mohd. Affandi Hassan. Kami tidak suka cara beliau yang kasar dan biadab, tuduh semua orang bodoh dan tidak akademik.  Kami sarjana yang terlatih dan ada Ph.D! Dia ada apa? Yang saya tahu, setelah membaca komennya tentang syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah, ialah pendapat Prof. Rahman Shaari yang berkata PB itu mudah saja, kalau saya mahu saya boleh tulis karya gaya PB bila-bila masa saja, beratkan ilmu kurangkan cerita, jadilah karya PB.  Cara Prof. Rahman Shaari memperkecilkan PB bagi saya sangat unik. Beliau sebenarnya tidak membaca dengan mendalam, oleh itu “beliau sebenarnya tidak tahu apa benda pun tentang PB” (Ini gaya kampungan, gaya retorik teh tarik!).  Untuk membuat kesimpulan begitu mudah, tanpa sebarang maklumat yang asas sekali pun tentang PB, diucapkan oleh seorang profesor, membolehkan saya berasa amat ragu tentang “ilmu” yang dipunyai oleh profesor seperti beliau. Kalau begitu, apa yang mereka ajarkan kepada para pelajar mereka? Mereka tidak mendidik pelajar mereka mencintai ilmu,  sebaliknya membenci ilmu dan orang yang cuba membawa konsep ilmu yang benar dalam persuratan Melayu moden. Bagi mereka perbuatan ini tinggi adabnya dan bijaksana dari segi akademik. Kalau itulah pandangan anda, teruskanlah. Biarkan pelajar anda dinafikan dari mendapat ilmu supaya anda semua boleh terus memperbodohkan mereka. Tentang perkara ini, lama dahulu,  dua dekad atau lebih, saya pernah menegaskan inilah caranya mengajar menjadi bodoh. Masih diteruskan? Nampaknya tidak ada perubahan, walaupun Panel Anugerah Sastera Negara dan para sasterawan selalu berkata betapa perlunya perubahan. Inilah hegemoni dalam pengajaran sastera, yang dibincang dengan geger dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.

Satu-satunya cara memajukan pemikiran dan penulisan kreatif dalam persuratan Melayu moden ialah dengan mengembalikan peranan ilmu yang benar dalam pembinaan tamadun bangsa. Menjadikan sastera sebagai asas tamadun bangsa, seperti yang ditegaskan oleh Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, adalah satu kesilapan besar yang perlu diperbetulkan serta-merta. Tidak ada kompromi untuk meneruskan hegemoni pandirisme dalam pengajaran sastera di Malaysia, kalau kita mahu melihat persuratan Melayu moden melonjak maju dari segi kreatif dan kritikan.  Baca kembali kutipan daripada Gary Olson di atas. Anda tidak boleh mencapainya dengan memanjat bumbung kilang berkarat untuk bermimpi tentang kemajuan pemikiran. Bagaimana anda boleh berharap saya memuji anda jika perbuatan anda memang bodoh?  Untuk memahami kesimpulan ini, baca kembali “Keunggulan yang Cacat”.

Kesimpulan

Saya telah memberi perhatian kepada para pelajar sastera di sekolah menengah dan universiti kerana mereka telah dinafikan daripada mendapat pilihan terbaik dalam pendidikan sastera dengan tidak mendedahkan mereka kepada peranan ilmu dan konsep ilmu yang benar.  Dalam hal ini, mereka telah dikhianati oleh ahli akademik yang bersikap anti-ilmu tetapi taasub kepada teori sastera Barat. Inilah sikap yang melahirkan pandirisme dalam kritikan sastera dan dalam pengajaran sastera. Dengan membiarkan para pelajar menjadi pengikut pandirisme, ketika mereka telah diberi peluang untuk mempelajari sastera dan kritikan sastera berasaskan konsep ilmu yang benar yang ditekankan oleh gagasan Persuratan Baru,  maka para pelajar ini terus dibiarkan berada di pinggiran dalam budaya ilmu dan budaya intelektual kita, dengan hanya dibekalkan dengan recipe knowledge yang cetek meraba-raba, seperti yang dijelaskan dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972).  Inilah sebuah buku ilmiah yang perlu dijadikan bacaan wajib kepada para pelajar universiti, bukan buku kritikan yang picisan yang ditulis oleh Dr. Fatimah Busu. Para pelajar sendiri harus bersikap terbuka untuk meneliti dengan kreatif dan kritis Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua, supaya mereka tidak terus berada dalam budaya pendirisme yang sudah dijadikan arus perdana oleh para sarjana dan pengkritik sastera yang bersikap anti-ilmu itu.  Pesan saya kepada mereka, jangan biarkan diri anda diajar menjadi bodoh ketika anda sudah ada pilihan terbaik untuk menjadi cerdik.  Kini anda berada dalam era naratif kritikan yang dinamik, berasaskan konsep ilmu yang benar. Anda tidak perlu lagi berada dalam kolam pandirisme yang sudah berlumut airnya.  Sebagai pelajar, anda boleh mulai untuk berubah menjadi cerdik dengan membaca “Rumah Impian Polan Cupan” secara kreatif dan kritis.  Kualiti pemikiran dan tahap kognitif anda boleh diukur dengan mudah dengan melihat cara anda membicarakan karya ini.  

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 17/3/2015.

Tuesday, March 10, 2015

PANDIRISME DALAM KOMUNITI DUNIA



(Kuliah Perdana Tahunan (2015), Gagasan Persuratan Baru)

[Catatan: Mulai 2015, setiap tahun akan diadakan Kuliah Perdana Gagasan Persuratan Baru, terbuka kepada sesiapa saja yang berminat untuk menyiarkannya dalam blog ini. Boleh dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Panjang lebih kurang 20 halaman. Tajuk boleh apa saja yang sesuai. Kekerapan bergantung pada sambutan.]

Epilog

Epilog ini mendahului prolog untuk  menegaskan kesimpulan saya bahawa pandirisme akan kekal dalam budaya ilmu Malaysia diteruskan oleh para sasterawan dan sarjana serta pengkritik sastera.  Kehadiran Pak Pandir dalam sastera rakyat memberi kemungkinan untuk diwacanakan dalam konsep pandirisme, yang membolehkan kita memahami perilaku para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera yang terus bercerita dalam tulisan mereka, menolak wacana berasaskan ilmu yang benar sebagai asas  analisis yang mendalam. Kemampuan akademik mereka berada pada peringkat recipe knowledge saja, maka mereka hanya dapat bercerita, bukan menganalisis dan mengemukakan pemikiran baru.  Tulisan mereka dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara dan kebanyakan tesis Ph.D. mereka adalah gambaran pandirisme ini.  Semua ini hanya dapat dikesan apabila gagasan Persuratan Baru muncul dengan kekuatan prinsipnya yang utama bersandarkan konsep ilmu yang benar.  Pandirisme menolak kenyataan ini dan meneruskan kelangsungan mereka sebagai hamba intelektual teori sastera Barat. Semua ini disokong dengan kuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan sasterawan negara yang mereka lantik.  Mereka adalah ahli kumpulan Mutual Admiration Club. Tidak mungkin terjadi perubahan selagi mereka berlegar di kincir air perhambaan intelektual Barat.


Pendahuluan

Kehadiran Pak Pandir sebagai tokoh teragung dalam cerita jenaka Melayu, memberi makna yang besar dan penting dalam memahami perilaku manusia intelektual, terutama sekali di Malaysia, tempat lahir Pak Pandir.  Sesuai dengan namanya, Pak Pandir adalah tokoh paling bodoh dalam jenaka Melayu, totok berjiwa dan berwatak Melayu, jujur dan penuh jenaka yang bersahaja. Walaupun bodoh dari segi ceritanya, tetapi sangat tajam sindirannya dan bijaksana dari segi makna.  Dari segi sindiran, perbuatan Pak Pandir memilih padi hampa tentulah amat menghairankan: apakah pertimbangan Pak Pandir ketika membuat pilihan itu?   Jika sindiran ini dilihat dari perspektif pandirisme, perbuatan itu amat tajam sindirannya. Ini akan dijelaskan nanti. Dari segi makna pula, perbuatan Pak Pandir adalah sia-sia dan membuang masa, tetapi mengapa diteruskannya? Kedua-dua keadaan ini hanya dapat difahami jika dibaca dengan kreatif dan kritis. Kalau kita membaca sejarah falsafah dunia, sebijak-bijak dan seteliti Descartes pun bagi Husserl telah membuat kesilapan ketika merumuskan dualisme dalam falsafah Barat, kerana baginya tidak realistik akibat terlampau percaya kepada pemikiran peribadinya yang subjektif.  Tetapi Descartes dikatakan telah memulai era baru dalam falsafah Barat, dan kesannya dari falsafah dualisme itu ialah wujudnya  gerakan mencipta Artificial Intelligence setelah sains kognitif Barat percaya bahawa jasmani yang berbentuk seolah-olah sebuah jentera dapat ditiru untuk mencipta Artificial Intelligence yang jika berhasil akan dapat mencipta cip komputer, seperti yang diangan-angankan oleh Dr. Polan Cupan. Adakah Pak Pandir juga berada dalam situasi itu, terlalu percayakan pilihan peribadinya bahawa itulah yang terbaik? Kita hanya dapat memahami keadaan ini jika kita melihat tingkah-laku para sarjana sastera dan para sasterawan, yang dari segi membuat pilihan persis seperti yang dilakukan oleh Pak Pandir. Seperti Pak Pandir yang tahu padi berat, tetapi memilih padi hampa, maka begitu jugalah para sarjana dan sasterawan yang tahu kelemahan teori sastera Barat, masih terus bergantung pada teori Barat dan menolak konsep ilmu yang benar walaupun mereka tahu itulah pilihan terbaik dan cocok dengan kepercayaan agama mereka. Andai mereka menafikannya, sekurang-kurangnya mereka harus menyatakan pendirian mereka berasaskan penelitian mereka yang teliti dan teratur, yang membuat mereka menolak konsep ilmu yang benar itu dan masih terus bergantung pada kepalsuan  teori Barat jika dibaca daripada perspektif konsep ilmu yang benar tadi. Dalam konteks inilah saya mengemukakan pendapat Heidegger, Max Black dan Harry Farnkfurt, yang akan dibahaskan nanti.  Saya membawa Husserl dan Descartes untuk menunjukkan walau betapa pun kuatnya pengaruh Descartes dalam falsafah Barat, masih terdapat ruang yang luas untuk Husserl mengemukakan falsafah fenomenologinya. [1] Demikianlah juga walau betapa mendalam sekali pun pengaruh teori sastera Barat, masih terdapat  kelemahan besar yang jika tidak dibahaskan dengan mendalam, akan hanya berakhir dengan pandirisme.  Walaupun para sarjana dan sasterawan Malaysia tahu kepalsuan teori sastera Barat, dan perlu digunakan dengan amat berhati-hati dengan kesedaran ilmu yang mendalam, namun mereka masih memilih dan menggunakannya dalam kerja-kerja akademik mereka. Perbuatan ini, dalam perkembangan intelektual Malaysia, dinamakan pandirisme. Seperti yang dapat kita lihat, Pak Pandir adalah seorang tokoh empiris, yang mempunyai pengalaman tersendiri dalam membuat pilihan, dan dia pun tahu membezakan padi hampa dengan padi berat, sekurang-kurangnya dia diberitahu dan mendengar peringatan pesawah, tetapi dia masih mengambil padi hampa. Apakah yang mendorongnya berbuat begitu? Dia hanya ingin menyelesaikan masalah dan amanah Mak Andeh, yang menyuruhnya membeli padi. Yang penting dia dapat padi itu, percuma pula, dan dengan itu dia dapat membawanya pulang dan menyelesaikan masalahnya. Itulah keistimewaan Pak Pandir, yang masih diteruskan oleh para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia dalam konteks moden.

Beberapa Aspek Padirisme dalam Penilaian Karya

Contoh dalam kekeliruan membuat pilihan ini sangat banyak dalam penilaian karya sastera Melayu, termasuk dalam sayembara atau penilaian tahunan untuk memilih karya untuk diberi hadiah.  Antara  kajian yang menarik dalam aspek ini ialah makalah Prof. Ungku Maimunah, membicarakan novel Azizi Haji Abdullah, Harga Sebuah Maruah, yang memenangi sayembara menulis novel Dewan Bahasa dan Pustaka.  Kalau dalam memilih padi hampa Pak Pandir melakukannya untuk memenuhi permintaan Mak Andeh, maka dalam membuat pilihan terhadap karya kreatif yang akan diberi hadiah, Panel yang ditugaskan untuk  menilai  karya yang akan diberi hadiah, Panel berkenaan melaksanakan tugas mereka persis seperti yang dilakukan oleh Pak Pandir: asal tercapai matlamat, sudah cukup, tanpa mengambil kira sama ada penilaian itu tepat atau tidak dengan syarat-syarat yang diberikan. Inilah aspek yang dibincang oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam makalahnya, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”[2].   Dalam makalah itu, Prof. Ungku Maimunah menganalisis ukuran yang dijadikan syarat sesuatu karya itu layak diberi hadiah atau tidak. Antara ukuran yang ditetapkan, “panel telah meneliti 14 buah manuskrip berdasarkan tiga kriteria iaitu adanya pemikiran, etika dan visi hidup positif dalam persoalan, penampilan perwatakan positif serta dinamik, dan kemampuan pengarang menggunakan teknik penulisan baharu yang berdaya kreatif dengan gaya dan kebahasaan yang menarik.” (hal. 9 kertas).  Dalam analisisnya, Prof. Ungku Maimunah tidak mendapati ukuran yang ditetapkan itu menjadi ciri novel, tetapi panel penilai sebaliknya  menegaskan layak mendapat hadiah kedua kerana memenuhi semua ciri yang ditetapkan. Inilah kesimpulan Prof. Ungku Maimunah:

            “Analisis di atas menunjukkan wujudnya kepincangan yang amat ketara dalam penilaian dan pengiktirafan novel Harga Sebuah Maruah. Ternyata, kepakaran mantap dan mendalam tentang sastera yang semestinya ada bagi urusan penilaian dan pengiktirafan, jelas tidak ketara. Malah kekeliruan dan kecetekan fahaman yang terserlah, yang seterusnya dijadikan panduan penilaian. Analisis kritis dengan mudah dapat mendedahkan bahawa dakwaan tentang kekuatan dan keistimewaan novel itu sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh, yang boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah. Malah dalam banyak hal, dakwaan yang dibuat terang-terangan bercanggah dengan bukti dalaman novel yang dinilai. Berdepan dengan keadaan seperti ini, adalah munasabah dan bertanggungjawab sekiranya kepakaran yang mantap dan mendalam disyaratkan sebagai asas penilaian, sementara laporan yang terhasil daripada penilaian tersebut dipastikan lebih mantap dan bertanggungjawab, bukan dakwaan atau hujah yang bersifat umum, jauh sekali retorik yang gah semata.

            Kepincangan penilaian yang diperlihatkan dalam analisis di atas menarik perhatian kepada perkara yang lebih penting lagi iaitu kriteria penilaian yang tertumpu kepada kefahaman prioriti cerita.  Adakah kriteria penilaian seperti ini yang terbaik bagi kita dan dapat menjamin akan terhasilnya karya yang bermutu tinggi untuk diwariskan sebagai khazanah bangsa yang boleh dibanggakan? Ternyata kefahaman tersebut mengetepikan ilmu iaitu teras sebuah tamadun yang berjaya.  Tentu sekali mengekalkan kefahaman yang dingin terhadap ilmu bukanlah satu pilihan yang bijak, lebih-lebih lagi apabila ada pilihan lain, yang bertunjangkan keyakinan yang murni dan kefahaman yang utuh terhadap keutamaan ilmu dan kerelevanannya dalam penulisan kreatif.

            PB menyediakan satu gagasan yang jelas tentang peri pentingnya ilmu itu diutamakan, di samping peka pula terhadap kedudukan, fungsi dan bentuk kehadiran  cerita, dan dengan itu memastikan karya kreatif dihasilkan dan dinilai dengan  penuh wibawa, bebas dari kekeliruan dan kekaburan di samping peka kepada seni. Ini adalah anjakan yang dinamik, yang menjanjikan hasil persuratan yang tinggi ilmunya dan halus pula seninya. Dalam konteks kesusasteraan Melayu, inilah sebenarnya anjakan yang diperlukan.” (hal. 30-31.)

Kesimpulan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir adalah satu peringatan yang baik untuk difikirkan oleh para sarjana dan pengkritik sastera, terutama yang selalu dijadikan anggota panel untuk memilih karya yang akan diberi hadiah, termasuk Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Yang paling menarik ialah semua sarjana dan pengkritik sastera yang menolak gagasan Persuratan Baru menegaskan dengan berani, tanpa sebarang hujah dan analisis, bahawa gagasan Persuratan Baru tidak sesuai dan tidak layak dijadikan kaedah untuk menilai karya sastera Melayu, kerana sastera Melayu tidak ditulis berpandukan gagasan Persuratan Baru, sebaliknya meniru dan berpandukan teori dan kaedah penulisan sastera Barat.  Pendapat ini menarik kerana konsep “perhambaan ilmu”, atau jika kita mahu lebih mentereng (smart, fine), boleh saja dipanggil “perhambaan intelektual,”  sudah diterima menjadi budaya dalam kesusasteraan Melayu, oleh itu dari segi status amat membanggakan.  Walau apa pun namanya, statusnya tetap hamba.  “Perhambaan intelektual” (untuk lebih mentereng) ini menjadi pegangan yang dipertahankan dengan gigih oleh kumpulan Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu. Jikalau anda membaca dengan teliti kesimpulan Prof. Ungku Maimunah di atas, anda akan dapat melihat bagaimana pengaruh kognitif Pak Pandir (yang mengambil padi hampa) menjadi ikutan anggota Mutual Admiration Club yang dari kumpulan merekalah dilantik menjadi anggota panel untuk memilih karya  untuk diberi hadiah. Sekarang anda dapat melihat dengan  lebih jelas bagaimana aspek pandirisme ini menguasai para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera. Sesiapa juga yang membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara dengan kritis dan dengan kesedaran ilmu, akan melihat unsur pandirisme ini menjadi dasar penilaian Panel. Kesimpulan ini tidak perlu dibuktikan, kerana laporan itu sendiri menjadi bukti pandirisme itu. 

Bagusnya ialah perkara ini tidak dijadikan isu ilmiah di kalangan sarjana dan pengkritik sastera, oleh itu bagi mereka tidak ada isu yang perlu diselesaikan. Kata mereka, satu-satunya isu ialah yang mereka panggil “salakan anjing” yang bising yang sedang menggigit tulang palsu dan tidak sedar tulang itu palsu.  Maksud mereka, gagasan Persuratan Baru hanya sejenis salakan anjing dalam dunia akademik Malaysia untuk mengganggu ketenteraman kesusasteraan Melayu yang sudah sekian lama berjasa dan kini telah melahirkan 12 orang sasterawan negara yang telah dikenal-pasti dan dibuktikan memang sasterawan paling unggul di Malaysia dan layak diberi gelaran sasterawan negara itu. Agak aneh, pandangan begini disuarakan oleh golongan yang amat memelihara ketertiban dan kesopanan dalam kritikan  dan dalam penulisan.  Mereka tahu, gagasan Persuratan Baru tidak boleh ditolak secara akademik, oleh itu cara terbaik untuk menolaknya ialah dengan melontarkan segala jenis kata-kata kesat sesama mereka untuk menyenangkan hati mereka, tetapi tidak sedikit pun menggugat gagasan Persuratan Baru.  Inilah yang ditegaskan oleh Dr. Fatimah Busu dalam bukunya,  Nyanyi Sunyi Salam Maria vs Sarjana Nasi Dingin:  “Benar seperti kata Sasterawan Negara Profesor Muhammad Haji Salleh, situasi seumpama ini samalah seperti kita dikerkah oleh seekor anjing kurap (huruf condong ditambah). Justeru kita tidak mungkin dapat menendang anjing itu kerana kulitnya yang berkurap” (hal. 162). Bagi seorang yang sangat bersopan dan beradab, seperti Prof. Emeritus  Dr. Muhammad Haji Salleh, kata-kata seperti ini memang wajar dijadikan bukti kesopanan dan ketertiban beliau. Tidak sia-sia ahli falsafah Amerika, Max Black, menulis tentang golongan humbug dalam masyarakat intelektual. Saya sendiri amat kritis ketika membicarakan tokoh besar Malaysia ini, kerana beliau adalah seorang tokoh terpenting dalam budaya pandirisme yang menjadi, atau dijadikan, arus perdana dalam perkembangan intelektual kita. Itu saja yang mendorong saya mengkritik tokoh besar ini, tidak ada motif yang lain seperti yang sering dituduhkan oleh para penyokong beliau. Kedudukan beliau yang begitu penting dalam kesusasteraan Melayu moden mengundang pandangan kritis supaya murid beliau yang begitu ramai, 4000-5000 (mengikut anggaran beliau sendiri), akan tampil untuk menolak semua kritikan ke atas mahaguru mereka. Tidak mungkikn daripada jumlah yang begitu ramai tidak ada seorang pun yang lebih ulung daripada mahaguru mereka.

Mereka perlu dimaafkan kerana kehadiran mereka tidak dapat diremehkan. Mereka perlu terus dikritik dan kepalsuan mereka akan mereka dedahkan sendiri. Sebenarnya inilah isu yang ingin mereka tutup dengan menggunakan retorik Mephistopheles yang menjadi ikutan.  Sebagai penutup dan kesimpulan bahagian ini, saya ingin mengutip pandangan Dr. Muhammad Haji Salleh yang dirakamkannya dalam kertas kerja Seminar Kritik Sastera Malaysia, Johor Baru 1973. Inilah pandangan bernas beliau yang saya fikir perlu mendapat perhatian kita semua:[3]

“Sebagai seorang pengadil, seorang kritikus itu bukan manusia yang mudah bertolak ansur di dalam hal nilai-nilai sastera – yang mungkin dilonggarkan untuk kawan-kawannya dan diperketatkan untuk musuhnya.  Tulisan begini sebenarnya bukanlah kritikan tapi propaganda:  dan ini leluasa sekali pada hari ini. Ada kumpulan-kumpulan penulis yang saling memuji antara satu sama lain sebagai ahli-ahli suatu mutual admiration club.  Di dalam kumpulan-kumpulan begini penulis-penulis yang terlalu sederhana kebolehannya dan daya kreatifnya ataupun fikirannya dipuji tinggi-tinggi dan dibandingkan dengan pujangga yang besar di Barat. Ataupun dicarinya saja sifat-sifat yang baik dan dibesar-besarkannya, dan dibutakannya mata penilainya kepada keburukannya.  Kepentingan kritikan adalah kepentingan sastera dan bukan untuk kritikus itu sendiri atau teman-temannya. Kita dan generasi yang akan datanglah akan rugi jikalau kepentingan perseorangan atau kumpulan-kumpulan kecil  ditempatkan di atas kepentingan sastera dan kebudayaan.  Dan ini tidak lebih dari rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang rakus dan mencuri wang rakyat.  Kita tau apa yang akan jadi kepada negeri yang ditulari oleh rasuah, dan kita pun tahu apa yang akan terjadi  kepada sastera yang korupsi, kerana kita sendiri sedang mengalami akibat-akibatnya.  Pengarang-pengarang begini bukan saja tidak tenang dan adil di dalam tulisannya, tetapi sudah melanggar tatatertib dan nilai-nilai sastera. Seorang kritikus itu harus mempunyai harga diri yang dia tidak akan jualkan untuk sesiapa saja atau tujuan apa-apa pun.”

Kutipan ini menarik kerana inilah gambaran paling tepat dalam projek sasterawan negara. Siapakah yang mendapat dan diberikan gelaran itu kalau bukan dari kumpulan Mutual Admiration Club? Dalam tahun 1985, A. Samad Said pernah memberitahu saya dia menerima anugerah itu setelah tawaran terdahulu ditolaknya. Kata beliau, dia menerimanya kali ini atas desakan kawan-kawan. Satu pengakuan yang jujur. Tetapi satu peristiwa yang cukup dramatik ialah pemilihan Baha Zain, yang dikritik hebat oleh Shahnon Ahmad kerana tidak layak dari segi hasil karya. Beliau ada hujah, kerana semua sasterawan bersetuju bahawa Baha Zain diberikan gelaran itu sekurang-kurangnya kerana beliau antara yang terawal menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara dan diulang beberapa kali pula. Bagaimana dengan pemilihan Shahnon Ahmad sendiri, sebagai calon kedua sebelum Usman Awang?  Tentulah cerita sebenarnya paling dramatik.  Mengapa laporan tentangnya paling pendek dan seolah-olah ditulis tergesa-gesa, tidak lengkap, meraba-raba mencari alasan untuk membenarkan pemilihannya. Kita tidak akan tahu cerita sebenarnya, kerana kejujuran bukanlah nilai utama di kalangan para sasterawan, walaupun mereka selalu menuduh orang lain yang mereka tidak suka sebagai tidak jujur.  Dalam hal ini A. Samad Said berbeza dari yang lain-lain itu. Tahniah kepada beliau.  Dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menghina para pengkritik sastera supaya  meniru dan belajar daripada Baha Zain. Satu-satunya pelajaran yang boleh didapati daripada Baha Zain ialah pujian tinggi beliau terhadap sang profesor; seperti sang profesor sendiri telah ditegur oleh Dr. Ramli Isin terlalu memuji Baha Zain tidak pada tempatnya.[4]. Penghinaan paling besar oleh sang pensajak ini ialah saranannya supaya sasterawan Malaysia meniru dan belajar daripada Salman Rushdie, yang menulis The Satanic Verses yang menghina Nabi SAW dan keluarga baginda, supaya karya mereka bergemerlapan seperti novel itu. Mengingat profesor ini sendiri terpesona dengan Mephistopheles ketika melawat Muzium Goethe, maka saranan ini tidaklah aneh.[5].  Tetapi adakah ini pilihan terbaik? Pertanyaan ini hanya boleh dijawab jika anda mempunyai ilmu yang benar dan pengalaman intelektual yang luas dalam tamadun Islam dan juga tamadun Barat.  Anda juga perlu mengenal dengan mendalam tradisi budaya Melayu sendiri, terutama dari segi prinsip dan teras tamadun itu. Anda juga perlu mengenal tokoh-tokoh persuratan Melayu dan tahu jasa-jasa mereka, dan anda juga membuat perbandingan adakah jasa para sasterawan negara lebih besar dan lebih cemerlang daripada jasa-jasa tokoh besar persuratan Melayu. Siapakah tokoh-tokoh itu? Yang boleh menjawab soalan ini ialah para sarjana, para penyelidik dan pengkaji persuratan Melayu. Adakah mereka wujud di negara kita? Soalan ini mungkin boleh dijawab oleh para sarjana kita sendiri, yang memang mengetahui banyak maklumat tentang sastera Barat, terutama tentang  teori sastera Barat. Mereka harus tampil ke depan untuk menjelaskan keraguan ini, supaya apa yang dicadangkan oleh sasterawan negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh itu boleh dipertahankan dan dijadikan pilihan terbaik untuk menjadi asas pembinaan tamadun bangsa Melayu, bangsa Malaysia. Tidakkah persoalan ini dibincang dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia?

Menentukan bidang apa yang perlu dijadikan tajuk perbincangan mungkin tidak sesulit yang ditunjukkan oleh para peserta Sidang Kemuncak itu, andainya mereka menerima kedudukan ilmu dalam pembinaan tamadun. Adakah mereka telah menolak peranan ilmu, lalu menggantikannya dengan konsep sastera yang menurut mereka seharusnya menjadi teras negara bangsa? Apakah fahaman sastera mereka? Adakah fahaman itu betul dan boleh dipertahankan secara intelektual dan secara akademik? Tidak satu pun soalan ini boleh dijawab oleh mereka sendiri, sebaliknya jikalau kita membaca buku yang mereka terbitkan, yang mengandungi kertas kerja mereka, kita akan dapati mereka hanyut dalam idle talk sebagai satu kumpulan yang dihuraikan oleh Prof. Max Black sebagai kumpulan humbug. [6].  Siapakah mereka ini? Dalam definisinya, Prof. Max Black berpendapat begini:

“It would be satisfying to be able to end with some concise and accurate definition. The best I can now provide is the following formula:

            HAMBUG:  deceptive misrepresentation, short of lying, especially by   pretentious word or deed, of somebody’s own thoughts, feelings, or      attitudes.

This definition covers only first-degree humbug. For second-degree  humbug, produced by a self-deluded speaker or thinker, the unsatisfactory reference to thoughts and so on would need to be replaced by something like “thoughts … that might be revealed by candid and rational self-examination.”  I must leave the problems concealed in this all too brief formulation for another occasion.”    

Yang menarik dalam definisi ini ialah perkataan “pretentious,” yang saya pakai bentuk Melayunya pretensi untuk dijadikan istilah “pretensi intelektual” ketika menghuraikan tabiat berfikir yang sama. Ketika istilah itu saya kemukakan, saya belum lagi membaca tulisan Prof. Max Black. Saya jelaskan lagi bagaimana pretensi intelektual ini dikemukakan untuk jualan murah dengan menggunakan ungkapan “fatamorgana bahasa”. Dalam konteks ini, istilah “humbug” yang dihuraikan oleh Prof. Max Black merangkum kedua-dua aspek yang saya bincangkan. Lihat entri bertarikh 10 Oktober 2014.  Esei Max Black saya akses pada 21 Januari 2015.   Bolehkah kita membuat kesimpulan masalah ini adalah universal? Oleh itu, sasterawan dan sarjana Malaysia tidak perlu berasa gusar. Mereka mempunyai ramai teman satu kelab di seluruh dunia. Bezanya ialah, kerana taraf intelektual dan pendidikan yang masih rendah di Malaysia, kumpulan “humbug” ini boleh berlagak dengan senang tanpa dikesan!  Saya harap sekarang tidak lagi. Saya harap sekarang kita sudah boleh dan bersedia untuk menentukan mana yang “humbug” mana yang “genuine” di antara sarjana dan para sasterawan ini.  Para sasterawan negara tidak termasuk, kerana mereka semua adalah “genuine” dalam konteks masing-masing.  Sebagai kumpulan yang ditonjolkan berada dalam lingkungan pretensi intelektual, yang segar gemerlapan dalam fatamorgana bahasa, mereka adalah yang paling “genuine” dalam kumpulan yang sejenis dan setaraf dengan mereka. Dalam menghuraikan contoh ini, saya menggunakan langgam yang dipakai dalam teknik stylization of ideas untuk menyampaikan makna tersirat yang paling tepat dan objektif,  sesuai dengan kedudukan sebenar objek yang dibincang.  Saya tidak perlu memanjat bumbung kilang berkarat untuk bermimpi sambil menyampaikan maksud saya.

Tidak sia-sia Rumi berkata:   If your thought is a rose/ you are a rose garden;/ if it is  a thorn/ you are fuel for the bath stove.

Pandirisme Dalam Komuniti Dunia

Persoalan yang saya kemukakan di sini tidak pernah dibincang dalam kesusasteraan Melayu, kerana kita tidak mempunyai pemikir yang handal, apatah lagi seorang ahli falsafah. Tetapi di Barat perkara ini menjadi penelitian mereka, seperti yang dapat kita lihat dalam makalah Max Black. Martin Heidegger, ahli falsafah yang dikatakan failasuf terbesar Abad 20, memberikan perhatian khusus dan serius terhadap masalah yang dipanggilnya “idle talk”. [7].   Konsep ini merujuk kepada kefahaman yang keliru dan “cetek meraba-raba” di kalangan para intelektual terutamanya, yang mereka utarakan atau perkenalkan kepada masyarakat sebagai sesuatu yang sudah difikirkan dengan mendalam dan merupakan kefahaman mereka yang asli, bukan bertenggek di atas pendapat orang lain yang tidak pun difahami dengan mendalam dan kritis. Contoh paling baik telah diberikan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh ketika beliau mempersoalkan kesahihan teori sastera Barat untuk menilai karya sastera Melayu [8], dan yang terbaru apabila beliau mengajak dan mendesak para sasterawan Malaysia meniru Salman Rushdie [9].  Selepas membuat kejutan tentang teori sastera Barat, beliau mendiamkan diri, buntu akal tidak dapat menjelaskan secara  akademik mengapa beliau membuat pengakuan seperti itu. Kalau Martin Heidegger masih hidup, saya tentu akan menulis kepada beliau memberi contoh klasik ini, tentang “idle talk” itu, supaya dapat dijadikan contoh di dalam buku beliau, dengan itu kita dapat membantu membawa sasterawan negara kita ke peringkat antarabangsa. Tetapi contoh ini mungkin akan muncul dalam tulisan dalam bahasa Jerman, jika maklumat yang saya dapat yang mengatakan blog ini diikuti juga oleh pembaca Jerman. Jadi saya telah dapat menumpang kemasyhuran seorang sasterawan negara untuk bertenggek di bahunya dan menjadikan diri saya seorang pengkritik sastera yang sudah mencapai taraf internasional!  Tetapi tentulah saya tidak termasuk ke dalam kumpulan yang keliru dan “yang cetek meraba-raba” itu.

Selain idle talk, terdapat satu lagi adik-beradiknya yang mendiami Amerika Syarikat, tetapi berkeluarga dengan idle talk.  Saya merujuk kepada konsep bullshit  yang dipopularkan oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit. [10].  Di Malaysia pula, bullshit akrab dengan pandirisme, yang diilhamkan oleh Pak Pandir, ahli falsafah Melayu yang pertama yang cucunya Dr. Polan Cupan adalah seorang genius dalam bidang nanotechnology, yang belajar di Jerman.  Baru-baru ini cerita tentang Polan Cupan ini telah menarik perhatian anggota panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan telah diberi hadiah sastera.[11].
Pentingnya falsafah pandirisme ini akan dapat difahami jika dilihat dalam konteks konsep bullshit. Inilah pendapat Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya:

“One of the most salient features of our culture is that there is so much bullshit. Everyone knows this. Each of us contribute his share. But we tend to take the situation for granted. Most people are rather confident of their ability to recognize bullshit and to avoid being taken in by it. So the phenomenon has not aroused much deliberate concern, nor attracted much sustained inquiry.” (Pendahuluan, perenggan pertama bukunya, hal. 1).

Sangat menarik, kerana inilah persis yang berlaku di Malaysia di kalangan para sasterawan dan sarjana sastera. Contohnya mudah didapati dalam tulisan dan dalam buku-buku mereka. Ini termasuk buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, yang mengandungi kertas kerja para sarjana dan sasterawan yang mereka bincang dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Inilah kali pertama para sasterawan dan sarjana mengadakan “sidang kemuncak” membincangkan persoalan sastera dan kedudukan mereka sebagai sasterawan. Biasanya paling mewah pun mereka namakan “seminar kebangsaan” saja, tidak sampai ke tahap “sidang kemuncak”. Apakah yang mendorong mereka untuk naik ke puncak persidangan itu? Hal ini dibayangkan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, seorang sasterawan negara, yang menulis kertas kerja “kontot” (untuk menggunakan istilah Shahnon Ahmad ketika mengkritik Baha Zain yang menulis sajak-sajak kontot, oleh itu tidak layak diberi gelaran sasterawan negara.) Kertas kerja Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menggunakan tajuk yang membayangkan semangat “sidang kemuncak” itu: “Mimpi Sastera di Atas Bumbung Kilang yang Berkarat”.  Sayangnya sidang kemuncak itu diadakan di Kedah, tidak di Johor, di pinggir Gunung Ledang. Tentulah tajuk ini akan menjadi, “Mimpi Sastera di Atas Gunung Ledang yang Bersejarah”, kerana di situlah Raja Melaka diminta oleh Puteri Gunung Ledang supaya menyediakan satu jambatan emas dan satu perak dari Melaka ke Gunung Ledang; hati nyamuk tujuh dulang; hati kuman tujuh dulang; air mata satu tempayan; air pinang muda satu tempayan; darah Raja Ahmad satu mangkuk.  Boleh buat dan boleh diadakan, kata baginda, cuma tak sampai hati beta nak perah darah anakanda beta sendiri. Saya tidak pasti adakah tidak peristiwa ini dijadikan sajak oleh para sasterawan negara. Cerita lucu ini sangat penting, jika kita ingat kembali amaran Rumi dalam mathnawinya tentang “joking is teaching” yang terkenal itu. Jenaka Puteri Gunung Ledang hingga kini masih tidak disedari oleh para sasterawan Malaysia, hatta di kalangan para sasterawan negara sekali pun. Padahal inilah jenaka yang paling tajam dan paling lucu jika anda lihat dalam konteks pandirisme yang menjadi teras kebudayaan para sasterawan ini. Rupanya pandirisme ini sudah ada sejak zaman Melaka lagi.  Bukan baru, oleh itu cocok sekali diwarisi oleh para sasterawan, termasuk sasterawan negara.  Sayang mereka tidak naik ke Gunung Ledang untuk bermimpi di atas kemuncaknya dan turun lagi ke bawah untuk berada dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.  Apakah nanti yang akan terjadi? Mungkin ketika turun dari gunung itu mereka membaca seratus sajak Puteri Gunung Ledang memujanya sebagai the first feminist in Malaysian history?  Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh akan minta kerajaan Malaysia mewujudkan Kerusi Puteri Gunung Ledang di Universiti Penglipur Lara di Johor Bahru yang akan dibina sebagai menghormati tokoh feminist pertama Malaysia itu. Tentu semua wanita Malaysia sangat gembira apabila feminisme diberi taraf di raja.

Perhatikan beberapa kutipan daripada On Bullshit.

“Is the bullshitter by his very nature a mindless slob? Is his product necessarily messy or unrefined? The word shit does, to be sure, suggest this. Excrement is not designed or crafted at all; it is merely emitted, or dumped. It may have a more or less coherent shape, or it may not, but it is in any case certainly not wrought.” (italics in original, hal. 21-22).

Sebelum itu Prof. Frankfurt menjelaskan:  “It does seem fitting to construe carelessly made, shoddy goods as in some way analogues of bullshit.  But in what way? Is the resemblance that bullshit itself is invariably produced in a careless or self-indulgent manner, that it is never finely crafted, that in the making of it there is never the meticulously attentive concern with detail …?”

Anda akan faham maksud Prof. Frankfurt jika anda membaca dengan teliti kertas kerja yang diterbitkan dalam Sastera Teras Negara Bangsa itu. Komen daripada beliau timbul sebagai reaksi kepada satu keratan sajak Longfellow yang dikatakan oleh Wittgenstein akan dijadikannya sebagai motto kerjanya. [12].  Apakah yang membuat seorang ahli falsafah seperti Wittgenstein tertarik kepada sajak Longfellow?  Sajak itu menyatakan ketelitian seniman, atau sesiapa juga yang menggunakan akal atau kemampuan inteleknya untuk berfikir dan menulis, akan memastikan hasilnya tidak saja kemas dan cantik, tetapi juga menepati tujuannya. Inilah dua baris daripada Longfellow: Builders wrought with greatest care/ Each minute and unseen part.  Inilah penjelasan Prof.  Frankfurt:

“The point of these lines is clear.  In the old days, craftsmen did not cut corners. They worked carefully, and they took care with every aspect of their work. Every part of the product was considered, and each was designed and made to be exactly as it should be. These craftsmen did not relax their thoughtful self-discipline even with respect to features of their work that would ordinarily not be visible. Although no one would notice if those features were not quite right, the craftsmen would be bothered by their consciences. So nothing was swept under the rug. Or, one might perhaps also say, there was no bullshit.” (hal. 20-21).

Bolehkan kita ambil pemerhatian “profesor of bullshit” ini sebagai panduan untuk menilai kertas kerja yang termuat dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa? Tidak ada salahnya jika kita cuba membuat perhitungan agaknya berapa banyak bullshit di dalam buku itu. Yang paling jelas ialah kertas kerja kontot Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh tidak menepati ukuran yang dicadangkan oleh Longfellow dalam sajaknya. Bagaimana dengan kertas kerja seorang sasterawan negara lain yang menulis tentang “Pengarang Dengan Dunia Sekitarnya”? Awal-awal lagi dia telah menimbulkan masalah apabila  menggunakan istilah “magnum opus” untuk mencirikan Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.  Kedua-dua hikayat ini memberi fokus yang berbeza: Hikayat Hang Tuah tentang pahlawan Melayu, sebuah hikayat feudal yang menceritakan perihal rakyat Melayu yang menjadi hamba raja. Sejarah Melayu  pula menceritakan jalur keturunan raja-raja Melayu yang berasal dari Benua Keling yang membawa segala macam peralatan untuk pertabalan raja-raja Melayu.  Cerita asal usul raja-raja Melayu dalam Sejarah Melayu dimulai dengan satu kisah yang aneh dan amat menghairankan: perihal anak raja (?)  keturunan India berwaad setia dengan pembesar Melayu. Selepas itu raja yang baru dilantik merogol “kurang esa empat puluh” puteri Melayu kononnya melalui perkahwinan, semuanya tidak layak menjadi isterinya, semuanya kedal lepas ditiduri satu malam. Sesenang itukah golongan yang mengaku raja ini melakukan kejahatan atas nama daulat? Begitu hebat daulat raja India Selatan ini, membuat Demang Lebar Daun, Penghulu orang Melayu Palembang, menjadi takut, lalu menyerahkan anak perempuannya yang cantik untuk menjadi isteri raja yang baru dilantik itu. Dalam perjanjian (waad) antara raja dan Demang Lebar Daun, Raja memerintahkan keturunan mereka tidak boleh diderhakai; manakala Demang Lebar Daun memohon rakyat tidak boleh dimalukan, kalau bersalah terus bunuh saja. Sejak terbinanya kerajaan Melaka, entah berapa ribu rakyat telah dibunuh hasil perjanjian ini, tetapi pemberontakan hanya berlaku sekali, ketika Hang Jebat membela Hang Tuah. Dalam politik Melayu, hanya rakyat yang perlu taat setia kepada raja; manakala raja tidak perlu taat setia kepada rakyat kerana konsep itu tidak ada dalam sistem politik perajaan. Oleh itu ketika British membentuk Malayan Union, raja-raja Melayu semuanya menurunkan tanda tangan mereka, bersetuju dengan projek British itu. Adakah ini cara menunjukkan kesetiaan kepada rakyat? Mereka tidak tahu pun raja-raja ini telah setuju, tanpa memberitahu mereka (yakni rakyat). Inilah Sejarah Melayu. Adakah hikayat ini layak diangkat menjadi magnum opus bangsa Melayu?  Di zaman Melaka, raja sangat setia kepada perjanjian yang dicapai, oleh itu tidak seorang pun rakyat yang tidak disukai raja dibiarkan menanggung malu, melainkan dibunuh terus. Walaupun Melaka dikatakan negara Islam dan menjalankan undang-undang Islam, tetapi dalam hukuman yang dilaksanakan raja, dipakai undang-undang Hindu. Sejarah Melayu tidak menyebut ini sebagai satu perkara pelik, apatah lagi dianggap zalim. Dalam aspek ini, Sejarah Melayu telah bercerita benar; tetapi dari segi makna dan keadilan, semua ini adalah bullshit saja. Oleh itu gelaran magnum opus untuk hikayat ini tidak mencerminkan kebijaksanaan sarjana moden, malah sebaliknya. Paling baik, dan amat sesuai, hikayat ini bolehlah kita gelar karya warisan feudal saja, kerana di dalam hikayat itu itulah saja ceritanya. Orang Melayu yang diajar menjadi hamba sejak sekian lama, menerima saja perhambaan itu walaupun bertentangan dengan hukum Islam. Ketakutan Melayu terhadap raja-raja mengatasi ketakutan mereka kepada Allah SWT. Inilah kemuncak pandirisme dalam kebudayaan Melayu.

Dalam kes yang menarik ini, kita rujuk pandangan penyusun buku Dictionary of Literary Terms and Literary Theory (1051 halaman), J. A. Cuddon.

            Magnum opus: A major literary work, perhaps a writer’s masterpiece.           These days the term is often used ironically.

Menurut  Collins Cobuild Learner’s Dictionary:  “When you make an ironic remark, you say something that you do not mean, as a joke.”

Para sarjana dan sasterawan Malaysia sangat suka menggunakan perkataan Latin ini, kerana ada prestij, konon. Oleh itu semua sasterawan negara mempunyai magnum opus mereka masing-masing. Contoh: Shahnon Ahmad saja ada dua tiga buah, terutama sekali Ranjau Sepanjang Jalan. Demikian juga A. Samad Said, bermula dengan Salina sebagai novel Melayu pertama yang dinaikkan taraf ke peringkat antarabangsa oleh sarjana Belanda, diikuti Langit Petang dan Hujan Pagi, termasuk juga sajaknya Al-Amin.  Semua ini menjadi keliru dan masuk ke dalam kumpulan bullshit apabila Ranjau Sepanjang Jalan dan Salina dianggap sebagai magnum opus sastera Melayu moden, padahal kedua-dua novel ini hanya novel picisan saja. Sekiranya anda mahu memasukkan novel-novel ini sebagai magnum opus masing-masing penulisnya, itu pilihan anda berasaskan cita rasa anda sendiri; tetapi anda tidak boleh dengan sewenang-wenang mengangkat novel-novel ini sebagai magnum opus sastera Melayu moden.  Anda harus membacanya dengan kritis dari mod bacaan intelektual, bukan hanya mod bacaan cerita semata-mata. Kalau ini pun anda tidak tahu membezakannya, bagaimana pula anda boleh menentukan kedua-dua novel ini magnum opus sastera Melayu moden? Apa ukuran anda? Kedua-dua buah novel ini kebetulan mendapat pujian daripada dua sarjana Barat. Adakah itu ukuran anda? Kalau anda tanyakan pada Prof. G. Frankfurt, dia akan menempelak anda dengan sepatah perkataan saja, Bullshit! Sekarang anda tahu apa maksudnya menjadi hamba intelektual Barat. Perhambaan intelektual kepada Barat, dan perhambaan kesetiaan kepada raja-raja Melayu, adalah dua prinsip penting dalam ukuran yang dipakai oleh para sarjana dan sasterawan Melayu. Itulah sifat-sifat bullshitter!

Contoh Waad Sejarah Melayu penting kerana inilah dasar politik Melayu yang telah dilembagakan.  Selepas  Malayan Union, muncul  Waad Malayan Union dengan tambahan pelakon baru, penjajah British. Raja-raja dan Demang Lebar Daun moden yang mewakili orang Melayu UMNO bersetuju dengan Malayan Union yang diberi nama baru Perjanjian Persekutuan dengan sedikit pindaan yang pada umumnya merugikan rakyat, iaitu persetujuan raja-raja dan wakil Demang Lebar Daun untuk menerima secara terus semua penduduk Malaysia menjadi rakyat. Ini dinamakan persetujuan bersama,  satu social contract dengan pelakon baru yang bukan berasal dari Tanah Melayu tetapi dibawa masuk oleh British untuk mengerjakan kebun getah dan bijih timah mereka.  Tidak saja Melayu kehilangan hasil bumi, tetapi juga kehilangan kuasa politik untuk kemudiannya  mendapat kuasa politik yang telah disesuaikan dengan keperluan British yang dijamin kukuh dalam semua sistem, termasuk pentadbiran agama Islam. Cukup lama golongan Waad Malayan Union ini berkuasa Malaysia/Malaya, sehingga dengan cara mengejutkan, muncul Anwar Ibrahim sebagai pencabar.  Tetapi Anwar Ibrahim dipenjarakan  9 tahun kerana rasuah dan salah laku seks dengan pemandunya.  Pada 10 Februari sekali lagi dia dihantar ke penjara 5 tahun kerana melakukan seks di luar tabii. Dalam politik Malaysia, Anwar Ibrahim muncul sebagai pencabar terkuat dan paling berpengaruh ke atas Waad Malayan Union.  Usahanya supaya dibicarakan di Mahkamah Syariah, ditolak kerana tidak ada hukum hudud di Malaysia kerana hukum hudud  bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia yang satu-satunya sumber hukum yang menyeluruh, oleh itu sebarang undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia tidak sah. Waktu Anwar Ibrahim dihantar ke penjara, pada hari dia dijatuhkan hukuman, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan Indeks Maqasid Syariah dalam lapan perkara, termasuk indeks untuk melindungi nasab dan keturunan dan kemuliaan maruah manusia.  Dengan membuat pengumuman pada hari itu,  Perdana Menteri telah membuktikan sikap prihatinnya terhadap pelaksanaan undang-undang Islam dan telah berjaya menghantar pengkhianat perjuangan Islam ke penjara. Anwar Ibrahim tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana tidak ada saksi, kecuali yang menuduh.  Dalam setiap kes mengenai Anwar Ibrahim, motifnya ditetapkan terlebih dahulu oleh para perancang, selepas itu disiapkan skrip dan jenis-jenis undang-undang  atau peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk  memastikan Anwar Ibrahim dipenjarakan dan dihancurkan kewibawaannya sebagai seorang pejuang Islam. Begitu kuat pengaruh skrip politik (ada orang panggil konspirasi) ke atas kawan-kawan Anwar Ibrahim sendiri sehingga ramai yang bertukar menjadi musuhnya. Kita lihat bagaimana perbicaraannya disensasikan, hatta pada satu ketika dibawa tilam yang melekat air maninya, padahal ketika itu tempat berlakunya kejadian itu belum lagi terbina. Tidak mengapa, kata hakim, kerana yang penting buktinya ada. Jadi Anwar Ibrahim boleh dijadikan contoh bagaimana Indeks Maqasid Syariah ditafsirkan oleh para ulama dan ahli akademik yang bekerja untuk UMNO, bukan untuk Islam. Kita lihat bagaimana undang-undang dan Perlembagaan hasil Waad Malayan Union telah menyelamatkan UMNO, bikinan British sendiri. Ahli sejarah J. de V. Allen dalam bukunya, The Malayan Union (Yale University Press, 1967), memberitahu: “UMNO was not only allowed to meet and organize itself openly during 1946 but was apparently encouraged to do so by the permission granted to Malay civil servants to join it”. (hal. 25)

Seterusnya Prof. G. Frankfurt menegaskan lagi: 

“Why is there so much bullshit? Of course it is impossible to be sure that there is relatively more of it nowadays than at other time. There is more communication of all kinds in our time than ever before, but the proportion that is bullshit may not have increased. Without assuming that the incidence of bullshit is actually greater now, I will mention a few considerations that help to account for the fact that it is currently so great.

 Bullshit is unavoidable whenever circumstances require someone to talk without knowing what he is talking about. Thus the production of bullshit is stimulated whenever a person’s obligations or opportunities to speak about some topic exceeds his knowledge of the facts that are relevant to that topic.  This discrepancy is common in public life, where people are frequently impelled – whether by their own propensities or by the demand of others – to speak extensively about matters of which they are to some degree ignorant. Closely related instances arise from widespread conviction that it is the responsibility of a citizen to have opinions about everything, or at least everything that pertains to the conduct of his country’s affairs. The lack of any significant connection between a person’s opinions and his apprehension of reality will be even more severe, needless to say, for someone who believes it his responsibility, as a conscientious moral agent, to evaluate events and conditions in all parts of the world.

The contemporary proliferation of bullshit also has deeper sources, in various forms of skepticism which deny that we can have any reliable access to an objective reality,  and which therefore  reject the possibility of knowing how things truly are. These “antirealist” doctrine undermine confidence in the value of disinterested efforts to determine what is true and what is false, and even in the intelligibility of the notion of objective inquiry.  One response to this loss of confidence has been a retreat from the discipline required by dedication to the ideal of correctness  to a quite different sort of discipline, which is imposed by pursuit of an alternative ideal of sincerity.  Rather than seeing primarily to arrive at  accurate representations of a common world, the individual turns toward trying to provide honest representations of himself. Convinced that reality has no inherent nature, which he might hope to identify as the truth about things, he devotes himself to being true to his own nature.  It is as though he decides that since it makes no sense to try to be true to the facts, he must therefore try instead to be true to himself.

But it is preposterous to imagine that ourselves are determinate, and hence susceptible both to correct  and to incorrect descriptions, while supposing that the ascription of determinacy  to anything else has been exposed as a mistake. As conscious beings, we exist only in response to other things, and we cannot know ourselves at all without knowing them.  Moreover, there is nothing in theory, and certainly nothing in experience, to support the extraordinary judgment that it is the truth  about himself that is the easiest for a person to know. Facts about ourselves are not peculiarly solid and resistant to skeptical dissolution. Our natures  are, indeed, elusively insubstantial – notoriously  less able and less inherent than the nature of other things. And insofar as this is the case, sincerity itself is bullshit.” (hal.  62-67; italics in original.)

Satu kutipan yang panjang, tetapi perlu, supaya anda faham apa maksud bullshit dan mengapa saya anggap kutipan panjang ini penting dalam konteks untuk memahami falsafah pandirisme. Kata-kata terakhir Prof. Frankfurt, “And insofar as this is the case, sincerity itself is bullshit.”  Sincerity dalam konteks beliau tidak sama dengan ikhlas dalam Islam. Di situ maksud beliau ialah true to his nature, seperti yang ditunjukkan oleh Pak Pandir yang memilih padi hampa walaupun telah diberitahu bukan padi berat. Cara berfikir dan bertindak yang dicontohkan oleh Pak Pandir adalah teras semua perilaku yang bercorak bullshit. Dalam konteks inilah saya membuat kesimpulan, buku Sastera Teras Negara Bangsa adalah contoh terbaik apa yang dimaksudkan dengan bullshit dalam kebudayaan dan kesusasteraan Melayu moden. Sekarang saya akan jelaskan kesimpulan saya.

Sesuai dengan sifat dan sikap anggota Mutual Admiration Club, Anwar Ridhwan, seorang sasterawan negara, memetik pendapat seorang sasterawan negara lain, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh tentang makna genius kononnya sang profesor telah memberi definisinya.  Apa yang dibuat oleh sang profesor bukanlah definisi, tetapi sekadar melaporkan hasil bacaannya yang tidak mendalam  tentang makna dan maksud genius: “seorang genius itu harus memperlihatkan keaslian, keupayaan berfikir secara kreatif, meneroka idea dan teknik baru, yang belum diterokai sebelumnya, dan dengan cara yang demikian menyumbang ilmu baru kepada masyarakat manusia.” Sekali imbas kelihatan sangat bagus, tetapi bila anda lihat satu persatu ciri-cirinya anda akan dapati inilah contoh idle talk, yang dihuraikan dengan mendalam oleh Max Black sebagai humbug, yang di dalam analisis Prof. Frankfurt, adalah bullshit. Anda harus membaca semula berkali-kali kutipan yang saya berikan untuk melihat   mengapa saya mengatakan “definisi” yang dirumuskan oleh sang profesor itu hanya idle talk dan seterusnya. Kita lihat ini dalam konteks magnum opus yang digunakan untuk mencirikan dua buah hikayat Melayu yang terkenal itu.  Apakah yang asli dalam hikayat itu atau dalam cara pengarangnya mempersembahkan hikayatnya?  Hikayat itu sendiri penuh dengan ambilan dari luar, terutama dalam Sejarah Melayu. Semua orang yang pernah membaca kritikan tentang karya ini tahu inilah ciri utama hikayat Melayu ini.  Dengan itu yang asli itu apanya? Semua hikayat Melayu mengandungi unsur “pencurian teks”, yang kini disebut “pengaruh luar”, atau lebih seronok lagi didengar sebagai “kesan intertekstual”. Sekarang yang dikatakan asli itu ialah kepandaian mencedok pemikiran orang lain, yang sangat jelas diperlihatkan dalam karya para sasterawan negara kita sendiri. Ambil saja karya Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, apakah yang asli? Panel Anugerah Sastera Negara  sendiri menyatakan, melalui pengakuan Muhammad Haji Salleh sendiri, bahawa beliau mengambil idea  beberapa penulis Barat, yang menulis sajak atau yang menulis kritikan sastera. Contoh: dengan menggunakan idea Roland Barthes, apakah idea baru yang bernas yang ditemui oleh Prof. Muhammad Haji Salleh ketika membicarakan sastera Melayu tradisional? Lihat sanggahan saya tentang hal ini [13 ].  Adakah dengan menterbalikkan makna legenda Si Tanggang,  pensajak Muhammad Haji Salleh telah menunjukkan keaslian tafsiran atau sebaliknya, hanya kesongsangan bacaan yang jelas sekali bertentangan dengan makna dan maksudnya dalam kebudayaan Melayu? Perkara ini dibangkitkan di sini untuk menunjukkan bahawa konsep “asli atau keaslian” itu perlukan penjelasan, jika mahu dipakai untuk mencirikan sesuatu. Adakah setiap perkara perlukan ciri “asli” itu? Pasti tidak. Contoh yang “asli” itu ialah dalam konsep pandirisme, yang mencirikan kesusasteraan Melayu moden sekarang. Dengan menggunakan konsep ini, anda boleh membantu pembaca dan penyelidik memahami mengapa kita menghadapi masalah yang disebut idle talk, bullshit dan humbug itu. Tetapi pandirisme bukanlah suatu yang boleh dikatakan asli, kerana puncanya hanya tafsiran tentang empirisisme Pak Pandir  yang  dijadikan cabaran intelektual supaya sasterawan dan sarjana Melayu dapat melihat di mana mereka sedang berada sekarang dan sedang bersedia hendak ke mana mereka sebenarnya. Dalam cerita Si Tanggang (Malaysia), Nakhoda Manis (Brunei) dan Malin Kundang (Sumatra), kita dapati polanya sama saja, tentang jahatnya sifat menderhaka kepada ibu dan betapa manusia tenggelam punca setelah menjadi kaya raya dan terhormat. Itu yang menjadi asas dongeng ini, dan ajaran itu serasi dengan ajaran Islam. Mengapa mesti diubah dengan nilai palsu dan yang menyesatkan dengan melontarkan idea “aku sudah belajar/ jadi kurang ajar” ketika bercerita tentang Tanggang moden? Kalau itulah maksud asli, maka “keaslian” demikian sangat cetek dan mengelirukan, hasil dari kegagalan memahami kebudayaan sendiri, keliru dan cetek meraba-raba dari segi ilmu. Sekarang konsep asli ini sudah tidak dipakai lagi di Barat dalam kritikan sastera mereka diganti dengan konsep baru “intertekstualiti” dan ini digunakan oleh Dr. Mawar Shafie untuk menghuraikan “keaslian” Anwar Ridhwan dalam novel-novelnya. Kalau anda baca semua ini sebagai seorang pembaca yang matang dan luas sedikit ujana ilmunya, anda akan berasa kasihan kepada “budak- budak akademik” ini yang terlalu seronok menggunakan istilah dan kaedah yang tidak memberi apa-apa makna dalam kehidupan manusia yang ingin mencari ilmu yang benar. Itulah kuncinya. Dengan menggunakan konsep dan kaedah intertekstualiti, anda boleh mencuri apa saja dan akan diberi pujian pula. Baca buku Dr. Mawar Shafie, Intertekstualiti dalam Novel Melayu. Buku ini berasal daripada tesis Ph.D. beliau, khusus untuk membicarakan Anwar Ridhwan dan seorang penulis Indonesia.

Lain –lain ciri yang disebut untuk mencirikan sang genius, “berfikir secara kreatif”, yakni boleh meneroka idea dan teknik baru,  menyumbang ilmu baru kepada masyarakat manusia, maka semua ciri ini perlukan penjelasan dan penjelasan itu terkandung dalam konsep ilmu yang benar bagi seorang sarjana Islam. Ambil saja teknik baru, misalnya “stream of consciousness” yang digemari itu, maka anda dengan mudah akan tergelincir ke gaung erotik yang berlebihan, menjadi penulis yang membenarkan yang biadab dan kurang ajar dilihat sebagai teknik baru. Kalau kita faham apa maksud pembinaan tamadun dan peradaban, yang sering disebut dalam Sastera Teras Negara Bangsa, maka menjadi biadab dan kurang ajar bukanlah cara membina tamadun dan peradaban, oleh itu jika anda mahu menggunakan apa juga teknik, maka teknik dan apa-apa pun yang anda panggil harus akhirnya kembali kepada hakikat insan dalam Islam. Jika anda keliru dan sesat dalam persoalan ini, maka anda bukan seorang genius, tetapi seorang  Salman Rushdie yang amat disanjung oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh itu. Adakah Mephistopheles seorang genius? Penulis Faust, kata Annemarie Schimmel, hanya seorang pemain guli jika dibandingkan dengan Rumi. Jadi genius ada taraf tertentu. Mana satu pilihan anda? Untuk menjawabnya, anda mestilah  tidak keliru dalam memahami konsep ilmu. Kalau tidak, maka jadilah anda menggunakan sincerity dalam konteks bullshit, seperti yang disebut oleh Prof. Frankfurt. Saya telah menurunkan satu kutipan daripada buku Fazlur Rahman, Major Themes of the Quran, dalam tulisan saya yang lalu, dan diulang-ulang supaya ahli akademik Melayu lebih berhati-hati. Inilah kutipan itu untuk peringatan: “Given the depth of human self-deception, how important it is that man be “awakened” to his real nature, to be responsible before God, to think thoughts and do deeds that would be consequential,  for upon this depends the whole destiny of man and of God’s purposes for man.” (hal. 33).

Jika anda membaca dengan berhati-hati kutipan panjang daripada Prof. Frankfurt di atas, anda akan dapati “the depth of human self-deception” itulah yang melahirkan segala macam bullshit yang dihuraikan oleh beliau. Bermegah dengan idle talk sebagai seorang humbug saja.  Oleh itu apabila Dr. Anwar Ridhwan mengutip pendapat Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam tulisannya (hal. 214) tentang konsep khalifah, maka kutipan itu tergantung tidak bertali, seperti belon sedang terbang, kerana tidak dikaitkan  oleh beliau dengan aspek lain daripada konsep khalifah itu, yakni  manusia sebagai hamba Allah SWT. Itu yang mesti didahulukan, bukan kedudukannya sebagai khalifah tanpa menerima kedudukan pertama itu.  Kekeliruan ini boleh dielak dengan mudah jika beliau menerima dan menggunakan konsep taklif. Kita tidak faham mengapa beliau menolak taklif, padahal dalam taklif itu terangkum konsep manusia sebagai hamba Allah dan khalifah Nya di dunia.  Dan yang lebih penting lagi, konsep taklif itu begitu lengkap dengan tiga rahsia taklif: ilmu pengetahuan, keadilan, usaha ikhtiar. Hanya pendekatan bullshit saja yang boleh membawa seseorang sarjana Muslim kepada kekeliruan yang tidak perlu ini. Dan kekeliruan ini terlihat dengan jelas ketika beliau memuji projek International Baccalaureate (BI) yang menjadi kegilaan baru di Malaysia sekarang, seolah-olah inilah program yang boleh mencerdikkan sasterawan dan pelajar Melayu. [14]. Bagaimana dengan para sarjana? Mereka harus dicerdikkan terlebih dulu kerana merekalah yang akan mengajar pelajar mereka menjadi cerdik.  Keterpegunan sasterawan negara  ini tidak bertempat, mengelirukan dan menampakkan sikap tidak peduli beliau kepada pemikiran Prof. Syed Muhammad Naquib a-Attas yang telah menulis begitu banyak risalah dan buku membicarakan masalah pendidikan ini menurut pandangan Islam. [15].  Definisi pendidikan dalam Islam diberikan oleh beliau dalam Islam and Secularism yang dirujuk oleh Anwar Ridhwan.  Sekiranya beliau baca buku yang beliau rujuk, dan tidak terkesan sedikit pun tentang aspek pendidikan ini, maka jelaslah beliau meletakkan rujukan itu hanya sebagai sejenis pretensi intelektual yang tidak bermakna apa-apa.   Beliau begitu terpesona dengan International Baccalaureate (IB) ini. Katanya: “Program ini memberatkan pembelajaran teori ilmu pengetahuan, atau Theory of Knowledge (TOK) kepada semua pelajar diplomanya. Tujuannya adalah agar pelajar memperoleh pemahaman serta interaksi yang lebih luas tentang subjek-subjek yang dipelajari, di samping melakar keterbukaan minda pelajar seluas-luasnya, dengan cara menawarkan subjek-subjek yang lain yang sesuai.” Bagi yang tidak tahu implikasinya, nampak seolah-olah ucapan ini cerdik, padahal hanya sejenis bullshit. Apakah jenis ilmu yang diajar? Bolehkah diyakini akan membuat pelajar lebih terbuka pemikirannya?  Sikap terbuka penting, tetapi lebih penting memahami konsep ilmu yang betul, yang memang tidak diberikan oleh IB dalam kurikulumnya. Ini tidak penting bagi mereka, tetapi sangat penting bagi pelajar Islam. Dilihat dari kurikulum yang disediakan, pelajar Islam akan jadi lebih keliru dan mungkin akan mudah dipengaruhi oleh cara membicarakan TOK itu, yang menolak sama sekali sumber dari wahyu. Malah ketika membicarakan soal wahyu dalam salah satu dokumennya, dipetik pendapat Paderi Montgomery Watt yang terkenal di kalangan sarjana Malaysia:  Watt notes, "To say that Muhammad was sincere does not imply that he was correct in his beliefs. A man maybe sincere but mistaken. The modern Westerner has no difficulty in showing how Muhammad may have been mistaken. What seems to a man to come from 'outside himself' may actually come from his unconscious."  Perhatikan ayat paderi ini: “A man maybe sincere but mistaken.”  Bagi kita yang tahu Islam, inilah bullshit tertinggi, diucapkan dengan penuh perasaan benci dan sedikit pun tidak mempunyai nilai akademiknya. Inilah hakikat munafik di kalangan “sarjana” Barat, yang tidak dapat dikesan jika anda menggunakan metode Pak Pandir, walaupun anda mungkin boleh mengaku bersikap empiris. Kita yang tahu cerita Pak Pandir akan terasa sangat marah apabila paderi ini meletakkan “sincere” seolah-olah dalam konteks Pak Pandir. Memang itu maksudnya. Inilah salah satu cara yang digunakan  oleh IB untuk menolak Islam,  to discredit Islam, di samping menghina Nabi SAW. Cara lain ialah dengan mendedahkan pelajar kepada “kehebatan” Yahudi dan “kezaliman” Hitler melalui karya budak Yahudi yang sangat terkenal, Anne Frank yang menulis The Diary of Anne Frank.  (Dokumen yang saya baca menyebut digunakan di sekolah di Florida; tetapi ini tidak penting, yang penting pengaruh Yahudi dan propaganda mereka menjadi sebahagian daripada projek IB ini.)  Bagi saya, IB yang sangat dibanggakan oleh Kerajaan Malaysia sekarang, adalah satu bentuk perhambaan ilmu hasil dari kolonisasi ilmu yang giat disebarkan oleh Barat. Pelajar kita akan selesa dalam kandang baru kelak, dan berasa diri mereka sangat terbuka kepada persoalan dunia moden, padahal mereka kehilangan diri rohani mereka yang diasak dengan skeptisisme Barat melalui TOK!!  Apakah yang membuat para sarjana kita bersikap anti-ilmu dan menyokong pemerintah supaya jangan membenarkan ilmu yang benar masuk di sekolah-sekolah untuk memastikan para pelajar kita terus menjadi hamba intelektual seperti para sarjana dan sasterawan negara. Ini bukan lagi pandirisme, tetapi satu pengkhianatan terhadap ilmu yang benar, yang sekian lama menjadi asas pembinaan tamadun Islam.  Seluruh buku Sastera Teras Negara Bangsa membisu tentang soal ini, membuktikan sama ada sarjana kita terlalu pakar dalam teori Barat sehingga tidak tahu sekadarnya tentang peranan ilmu dalam pembinaan tamadun Islam. Atau mereka sebenarnya bersikap anti-ilmu?

Harapan Anwar Ridhwan hendak melihat pelajar pewaris dalam bidang kreatif untuk menulis karya bermutu melalui program IB ini adalah naif dan sia-sia. Hanya satu cara saja untuk membuat pelajar Melayu menjadi cerdik, bijaksana, terbuka kepada ilmu, dan mencintai ilmu, iaitu dengan mendedahkan mereka kepada konsep ilmu yang benar. Cara yang berkesan dan cukup akademik ini ditentang habis-habisan oleh para sasterawan dan sarjana sastera dan oleh peserta Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 sendiri, tidak sedikit pun terimbas dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa.  Inilah hakikat feudalisme sastera yang melahirkan perhambaan intelektual yang seratus peratus condong ke Barat dan cukup selesa berada dalam kandang intelektual yang disediakan Barat. Yang paling memalukan kita ialah gerakan anti-ilmu ini dipelopori dan disokong kuat oleh sasterawan negara  sendiri, sedangkan mereka sendiri anti-perubahan. Oleh itu, jika ITBM masih mahu mengadakan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia masa hadapan, tiga perkara harus dijadikan terms of reference  Sidang Kemuncak itu. Pertama, bagaimana peranan ilmu yang benar boleh dijadikan asas pembinaan tamadun dan pembinaan persuratan Melayu. Kedua, saya bersetuju dengan Anwar Ridhwan yang mencadangkan supaya dilakukan rombakan besar-besaran terhadap pelbagai aspek pengajaran  dan pembelajaran sastera di sekolah. Perubahan itu mestilah berasaskan konsep ilmu yang benar, kalau tidak maka tidak mungkin ada perubahan jika masih keliru dalam konsep ilmu. Ketiga, kita harus bincang dengan mendalam peranan teori sastera Barat dalam kritikan sastera. Di sini saya bersetuju seratus peratus dengan gesaan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh supaya kita mula membina teori sastera kita sendiri yang lengkap, kerana gagasan Persuratan Baru tidak boleh dipakai kerana  Persuratan Baru bertentangan dengan keaslian pemikiran Melayu yang asal sebelum  kedatangan Islam.  Kembali kepada “asal” ini ditegaskan dengan gigih oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tulisannya dan ucapannya. Kita mahu lihat bagaimana teori sastera Melayu yang asli  dan yang lengkap itu boleh dibina dengan kembali ke asal usul nilai-nilai Melayu yang terdapat dalam pantun (tidak termasuk seloka kerana pengaruh Hindu, tidak juga syair kerana pengaruh Arab) dan gurindam (boleh dibuat kira bicara kerana Raja Ali Haji telah melahirkan Gurindam 12 yang terkenal).  Satu lagi, sebagai tambahan  penting,  kita perlu membina kumpulan editor yang benar-benar profesional untuk memajukan budaya ilmu kita.  Dengan  panduan yang jelas ini, kita boleh mula membina persuratan Melayu dalam bidang kreatif dan akademik.  Dengan ini, persediaan untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia dalam masa 10 tahun lagi bolehlah mula dirancang.  Saya kira dalam masa 10 tahun itu bolehlah dicari penulis yang benar-benar berkualiti dan buku yang akan terbit nanti benar-benar menggambarkan kemajuan berfikir para sarjana kita. Ketika itu, para penyumbang muda-muda akan lebih dewasa, yang tua-tua direhatkan sepenuhnya. Ketika itu kerja persediaan akan lebih mudah kerana gagasan Persuratan Baru sudah habis tempoh, diganti dengan teori sastera Melayu tulen seperti yang dibayangkan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Kita ucapkan selamat datang kepada teori baru yang lengkap ini, hasil usaha Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dan pengikut serta pelajarnya yang ramai itu.

Bagi seseorang yang menggemari ilmu dan hormatkan ilmu, gagasan Persuratan Baru boleh dikatakan agak lengkap untuk menjadi semacam panduan dalam kritikan sastera, penulisan kreatif, penilaiannya, dan dalam analisis tentang mutu sesebuah karya kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar. Tetapi bagi para sarjana yang otaknya pekat dengan bullshit, dalam konteks yang dibicarakan oleh Prof. G. Frankfurt dalam kutipan panjang di atas, gagasan Persuratan Baru hanya sejenis salakan anjing dalam budaya ilmu dan dalam kesusasteraan Melayu moden. Dengan anggapan yang penuh dengan adab dan kesopanan Melayu ini, mereka membenarkan betapa  mendalamnya pandirisme dan bullshit dalam kegiatan kreatif dan akademik mereka sendiri.

Pandirisme dalam Kritikan Sastera

Perbincangan tentang kritikan sastera di Malaysia terlalu berat sebelah, terlalu ketara kumpulan Mutual Admiration Club memusuhi sepenuhnya sesiapa juga yang tidak menyokong mereka. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh muncul sebagai pembuli pengkritik nombor wahid, seperti yang tertulis dalam kertas kerja kontotnya dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa. Bagaimana pun, beliau sendiri tidak dapat mengembangkan beberapa cadangan yang pernah dilontarkannya, yang jatuh ke dalam lubuk sejarah tanpa sebarang kesan, malah tidak pun sempat mencelikkan mata pencetusnya sendiri, sudah ditutup terus dari arena akademik kerana tidak dapat diperkembangkan. Tetapi kita mesti akui terdapat beberapa cadangannya yang baik-baik, seperti yang telah saya sebut beberapa kali. Kemarahan kepada pengkritik ini dilanjutkan oleh Anwar Ridhwan yang melontarkan kata-kata yang juga memeranjatkan pengkritik sastera. Kata beliau: “Kita memerlukan kritikan sastera yang sihat serta membina, sebagaimana gelanggang politik juga memerlukan kritikan yang konstruktif demi kemaslahatan penduduk negara ini.”(hal. 222). Ini sangat aneh, apabila kata-kata tidak bertanggungjawab begini lahir daripada seorang sasterawan negara yang paling “sober” (lihat Collins Cobuild Dictionary) di Malaysia. Benarkah kritikan sastera kita tidak sihat dan tidak membina? Betulkah kritikan sastera kita tidak konstruktif? Kalau ini benar, memang betul-betul menjadi kenyataan dalam kritikan sastera kita, adakah ini merangkum semua pengkritik sastera, atau secara khusus ditujukan kepada seseorang atau bebarapa orang yang tidak mahu disebut namanya? Tuduhan umum seperti ini amat tidak wajar, dan tidak bertanggungjawab, seolah-olah tidak ada langsung pengkritik yang tidak termasuk dalam tuduhan umum itu. Pada hemat saya, yang patut ditegur bukanlah pengkritik sastera, tetapi sejumlah sarjana yang telah gagal menjalankan tugas kritikan mereka, dengan tidak melupakan memang terdapat sarjana yang tinggi kualiti akademiknya dan memang telah menunjukkan keunggulan mereka dalam bidang kritikan ini. Dengan melontarkan tuduhan yang begitu umum, nampaknya tidak seorang pun di antara para sarjana kita pernah menunjukkan kualiti seorang pengkritik yang menelurkan kritikan yang sihat, membina, dan konstruktif. [16]. Sesuatu yang aneh telah terjadi dalam pengajian Melayu di universiti kita. Apakah yang terjadi dalam kurikulum pengajian Melayu? Nampaknya sasterawan negara ini terlalu emotional dan terlalu terpengaruh dengan pandangan sarjana ciritan yang memang ramai di kalangan kita, tetapi tidaklah sejahat yang digambarkan oleh Anwar Ridhwan dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.  Sekiranya dalam hal ini kata-kata yang tidak wajar ini ditujukan kepada saya, tentu tidak tepat, tuduhan tidak berasas, didorong oleh perasaan hasad dan niat yang tidak jujur. Saya boleh bertanya: apakah yang tidak sihat dalam buku saya Gagasan Persuratan Baru dan Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid? Apakah yang tidak membina dalam dua buah buku itu? Apakah yang tidak konstruktif yang saya sebut dalam buku-buku itu dan dalam tulisan-tulisan saya? Saya sengaja mengemukakan perkara ini kerana saya fikir sasterawan negara, dan sarjana kita, perlu berani tampil sebagai seorang ahli akademik yang bertanggungjawab dengan ilmu mereka, tidak hanya pandai melemparkan tuduhan yang tidak berasas. Satu-satunya yang saya nampak cocok dengan tuduhan Anwar Ridhwan ini ialah Panel Anugerah Sastera Negara, yang memang tidak bertanggungjawab dari segi akademik dan moral untuk mencadangkan sasterawan tidak perlukan ajaran moral, karya tidak perlu mempunyai matlamat, sasterawan mesti bereksperimen dan seumpama itu, yang penuh diselerakkan dalam laporan mereka. Saya sendiri telah membicarakan perkara ini, tetapi tidaklah sampai menuduh mereka yang bukan-bukan. Saya beri reaksi saya dengan hujah dan pembuktian, bukan hanya menuduh tanpa alasan. Lagi pula, dan ini sangat penting, tidak wajar dan sama sekali tidak akademik jika pengkritik dipersalahkan, sesiapa pun mereka, padahal kita dapati cukup ramai sasterawan yang tulisannya amat lemah, tiada pemikiran, tidak ada sesuatu yang boleh dianggap bijaksana, sebaliknya kaya dengan unsur yang erotik dan picisan. Semua ini terkena juga kepada para sasterawan negara  sendiri. Adakah kita akan membiarkan mereka tidak bertanggungjawab, membiarkan  mereka mengelirukan pelajar dan pembaca dengan karya yang tidak bermutu? Sekali lagi, saya invite anda semua membaca sekurang-kurangnya “Keunggulan yang Cacat” untuk melihat sejauh mana saya serius dalam kritikan, atau hanya main-main; dan sejauh mana pula penilaian para sarjana yang memuji para sasterawan negara ini tepat dengan nilai sebenar di dalam karya mereka. Karya para sasterawan kita tidaklah sebaik yang mereka tonjolkan, jika dinilai dengan kritis, objektif dan memakai ukuran yang berasaskan konsep ilmu yang benar, seperti yang  dibuat oleh para pengamal gagasan Persuratan Baru. Dalam dunia ilmu, seperti juga dalam bidang  lain-lain, tidak ada tempat untuk sesiapa juga lempar batu sembunyikan tangan. Sebagai sarjana, dan sasterawan negara yang diletak lebih tinggi dan mulia daripada para ulama dan cendekiawan dengan gelaran khusus untuk mereka secara eksklusif, mereka tidak seharusnya menunjukkan kesombongan dan keangkuhan mereka dengan membuat tuduhan secara umum hanya untuk memburukkan para pengkritik yang tidak pun dikenali siapa mereka. Tidak ada halangan untuk mereka mengkritik para pengkritik ini, atau menulis buku-buku kritikan yang lebih baik daripada karya para pengkritik ini. Berdebat secara ilmiah adalah satu amalan yang digalakkan dalam dunia akademik. Saya akan pertahankan pendirian saya dengan mudah bila saya berkata para sasterawan negara tidak layak diberi gelaran sehebat itu, melebihi para ulama dan cendekiawan Melayu. Panggillah para simpatisan anda untuk menolak kesimpulan itu, kita nanti akan lihat siapa yang humbug, yang menjadi juara bullshit, dan megah menghamburkan idle talk saja tanpa menghasilkan karya yang bermutu yang mereka tuntut daripada orang yang mereka lemparkan tuduhan tidak berasas. Ini bukan cabaran, tidak perlu apa-apa cabaran kerana gagasan Persuratan Baru adalah satu-satunya usaha dalam kritikan sastera di Malaysia yang menampakkan hasil dan yang mengasaskan prinsipnya kepada ilmu yang benar. Namakan mereka yang  tidak sihat, tidak membina, tidak konstruktif itu supaya masyarakat tahu siapakah orang jahat dalam kritikan sastera Melayu. Kalau orangnya tidak ada, maka tidak ada sebab sama sekali untuk melemparkan tuduhan tanpa sebarang bukti berupa contoh-contoh konkrit.  Tidak ada alasan dan tidak ada sebab untuk tidak berlaku jujur ketika anda perlu menunjukkan kejujuran dan taraf ilmu anda. 

Dalam kehidupan akademiknya, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji  Salleh, seperti yang dihuraikan oleh Prof. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit itu, kita dapat ini dalam syarahan perdana beliau, Puitika  Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan (1989), dalam kutipan berikut (dari ilham Terry Eagleton, seorang sarjana Marxist dari Britain yang terkenal, melalui bukunya yang juga sangat berpengaruh, Literary Theory: An Introduction, 1983):

“Tetapi, seperti yang cuba diperlihatkan oleh Eagleton (1983) semua teori sastera itu adalah hasil langsung dari zaman, golongan dan keadaan ekonomi, politik dan sosial kritikawan dan sasteranya. Oleh itu betapa pun pada suatu waktu pendekatan strukturalisme  itu terasa jitu dan sesuai untuk sesuatu kajian, perubahan zaman dan cara berfikir telah mengalihkan pandangan ghairah dan rasa benar itu kepada teori-teori lainnya. Ternyata teori-teori strukturalisme yang berakar kepada bahasa sebagai asas struktur fikiran dan budaya dan membina suatu kesatuan telah digeserkan oleh ahli-ahli strukturalisme, seperti Barthes sendiri, dalam karya-karya terakhirnya. Suatu sistem yang begitu mandiri, mampu-diri dan tidak merujuk kepada konteks masyarakat dan zamannya tidak mungkin dapat menyerlahkan makna penuh sesuatu sastera yang diciptakan masyarakat. (hal. 11).  Pandangan Eagleton adalah pandangan seorang Marxist yang berpendapat “ilmu” (knowledge) adalah bikinan manusia yang tidak ada hubungannya dengan hakikat kejadian insan yang difahami dalam Islam, oleh itu apa saja yang dianggap sebagai “ilmu” sentiasa didebatkan (forever contested), tanpa sebarang kepastian untuk mencapai tingkat “keyakinan” yang menjadi matlamat terakhir pencarian ilmu dalam Islam, seperti yang dihuraikan dengan mendalam oleh Imam Ghazali. Seterusnya profesor ini menjelaskan lagi, “Konsep-konsep sastera terjalin ke dalam ayat, larik, mukadimah, cerita atau pun sorot-terang berbagai-bagai jenis puisi dan kisah. Semua pencipta karya sastera yang baik adalah manusia perasa yang bukan sedikit melibatkan pemikirannya dalam proses mengarang itu. Baris, imej, struktur, muzik, bahasa dan maksud yang ingin disampaikan adalah hasil langsung dari fikiran sedar atau tidak sedarnya, teknik penulisan dan penyusunannya. Dan jikalau kita tekun kita dapat mengumpul  serta mencantumkannya supaya terbina konsep-konsep sastera Melayu yang cukup penuh dan cukup menerangi jalan gelap yang kita lalui dewasa ini.” (hal. 12).  Perhatikan ayat ini: “Semua pencipta karya sastera yang baik adalah manusia perasa yang bukan sedikit melibatkan pemikirannya dalam proses mengarang itu.  Ayat ini palsu, tidak sedikit pun mempunyai makna dalam seni mengarang.  Oleh itu, Balai Maqamat membuka perbincangan penting tentang apakah sebenarnya seni kreatif dalam konteks ilmu yang benar, dengan itu memberi penjelasan yang mencukupi  tentang perbezaan antara “pandai tulis” untuk bercerita dengan “pandai mengarang” untuk menyampaikan hakikat ilmu melalui wacana.  Perbezaan ini penting kerana kualiti karya yang dihasilkan bergantung pada kefahaman yang mendalam kepada perlunya perbezaan ini dijadikan pedoman dalam penulisan kreatif yang nantinya akan melahirkan karya persuratan atau hanya karya sastera.  Saya tidak fikir Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menerima kesimpulan ini, walaupun beliau menegaskan, “maksud yang ingin disampaikan adalah hasil langsung dari fikiran sedar atau tidak sedarnya, teknik penulisan dan penyusunannya.”  Dalam dunia bullshit dan idle talk, semuanya boleh diutarakan, walaupun dari segi isi adalah kosong, tidak bermakna apa-apa kecuali hanya sejenis fatamorgana bahasa dalam retorik teh tarik saja.  Perhatikan pula pendapat  beliau yang ada kaitannya dengan “zaman gelap” yang beliau sebutkan itu: “Dalam sastera Melayu, kita mengesani  bahawa huruf bertulis itu (sekurang-kurangnya di awal zaman chireographik) lebih mulia, lebih tinggi tarafnya dan lebih berhikmat. Untuk zaman selepas kedatangan Islam tradisi menyalin dan menulis itu amat rapat kaitannya dengan dunia Islam. Dengan sendiri hakikat ini membawa gema dan konotasi pengaruh agama kepada sastera dan mendendangkan kebenaran agama. Namun begitu dalam penyalinan sering ada perubahan, pembetulan dan penyesuaian kerana kebenaran itu harus diselaraskan dengan bahasa terbaru, keadaan dan kuasa pihak yang memerintah supaya ‘kebenaran baru’ harus diberi tempat.” (hal. 21).  Apakah “kebenaran baru”? Adakah wujud kebenaran baru? Penggunaan ungkapan ini amat mengelirukan, kerana “kebenaran” dalam Islam dikaitkan dengan tauhid, yang kekal abadi. Tauhid itu kebenaran hakiki, tidak ada kebenaran lain. Mungkin profesor ini maksudkan “kefahaman baru”, tetapi ini pun menjadi masalah. Beliau sendiri tahu makna kebenaran tauhid sebagai seorang Islam, tetapi beliau tidak dapat menerima “kefahaman baru” yang lebih mendalam yang cuba dihuraikan oleh gagasan Persuratan Baru dalam konteks teori sastera. Dengan menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asasnya, Persuratan Baru kembali kepada kebenaran hakiki dalam Islam, oleh itu tidak timbul sama sekali apa yag disebut “kebenaran baru” itu. Keraguan pendapat beliau jelas dalam kutipan seterusnya, “Teks yang sedang kita cari ini tertanam jauh ke dalam tradisi lisan, ke dalam teks-teks lainnya, pengalaman peribadi dan ajaran guru-guru penglipur lara ini, serta penemuan dan sumbangan terhadap seni sastera itu sendiri.” (hal. 17).  Barangkali asas pemikiran beliau yang sebenarnya, ialah “kembali kepada yang asal”, yakni ke zaman animisme, seperti yang tertulis dalam kutipan di atas. Ini dikuatkan lagi dengan kutipan ini berikutnya:  “Kita melihat bahawa ke empat-empat  ungkapan ini merujuk kepada pengarang asal (rujuk kutipan pada halaman 20), ‘yang empunya cerita’, bukan saja sebagai santun menulis tetapi juga sebagai gambaran jalinan dan siratan hubungan pengarang dan leluhur pada zamannya.” (hal. 20).   Cuba anda baca ini dalam konteks “kembali kepada yang asal.” Adakah kembali kepada yang asal itu kebenaran baru? Cara berfikir begini amat mengusutkan, oleh itu beliau sendiri tidak boleh memahaminya. Inilah cara berbicara dalam gaya idle talk yang kusut dan mengusutkan. 

Ungkapan “santun menulis” yang mendapat pujian beliau, yang menjadi tradisi penulisan Melayu, nampaknya tidak dilakukan sendiri oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh ketika berbicara tentang syair, dengan tidak menyebut sumbangan definitif Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku-bukunya yang membicarakan tentang syair Melayu yang berasal daripada karya Hamzah Fansuri. Tidakkah ini sangat penting? Knowing that Hamzah Fansuri adalah sorang ahli sufi, tentu kita dapat membuat kesimpulan yang tepat bahawa syair telah digunakan untuk menyerlahkan falsafah ajaran Islam melalui puisi, seperti yang telah dilakukan oleh gergasi “sastera” dunia yang sebenar (bukan pemain guli) dalam diri Rumi dan lain-lain. Dengan mengetepikan sumbangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, maka Prof. Muhammad Haji Salleh menolak tradisi penulisan Melayu itu.  Dalam konteks tradisinya, “santun menulis” hanya wujud di kalangan orang berilmu dan tidak angkuh untuk menerima kelebihan orang lain. Dalam teks lama hal ini sangat jelas, seperti yang kita dapat lihat dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuan. Apakah santun menulis yang diamalkan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh?

Untuk kembali ke zaman asal dan semua yang dibeberkan oleh profesor ini adalah kerja sia-sia, bukan kerja seorang ahli akademik yang canggih. Itulah sebabnya sukar bagi orang seperti ini hendak mendapat maklumat lengkap seperti dalam mimpinya, dengan itu dia dengan mudah akan berkata, “teori belum siap, belum cukup maklumat”. Jelas beliau masih perlu belajar lagi bagaimana menggunakan maklumat dengan efektif, seperti yang diajarkan oleh ulama Islam tentang tingkat-tingkat amal  dan ilmu dan halal-haram dalam kehidupan seorang Muslim. Berapa lama lagi kita perlu menunggu lahirnya “teori sastera yang lengkap dan menyeluruh” itu? Mencadangkan sesuatu yang tidak terdaya dibuat, dalam ilmu pengurusan, adalah suatu “idiotic suggestion” yang boleh difahami dengan mudah jika kita belajar dari pengalaman Pak Pandir, seorang empiris pertama dalam tradisi pemikiran Melayu. Kini telah ada ilmu-ilmu baru yang kita pelajari dan kenal dari Barat, yang boleh membantu kita untuk tidak terjebak dalam empirisisme Pak Pandir.  Ketika saya merumuskan gagasan Persuratan Baru, ada satu persoalan besar tentang sastera yang menjadi milik yang amat disayangi oleh sasterawan Malaysia, iaitu konsep realiti. Apa itu realiti? Saya sudah membaca banyak buku tentang falsafah seni, estetika, falsafah pemikiran  Barat tentang alam, dan mereka selalu menyebut tentang konsep “ilusi”. Begitu lama saya mencari rumus yang tepat, hinggalah akal sihat saya diberi petunjuk oleh wahyu dalam al-Quran tentang cerita Ratu Balqis yang tertipu oleh ilusi dan tanpa segan lagi menyelak kainnya sehingga ditegur Nabi Sulaiman ‘a.s. Bukan saja Balqis sedar akan kesilapannya; saya pun kini dapat melihat makna realiti itu.  Jadi ada gunanya pengalaman ilmiah yang kita dapat dari tokoh-tokoh Barat, tetapi kita perlu cerdik, tidak boleh ikut empirisisme Pak Pandir. Berasaskan pengalaman yang amat bermakna ini, maka lahirlah gagasan Persuratan Baru. Memikirkannya sangat sukar kerana keterbatasan ilmu; menghuraikannya menjadi mudah kerana sudah ada persediaan untuk itu. Alhamdulillah.  Mahu teori yang lengkap dan sempurna yang bagaimana lagi?  Kini di tangan anda sudah ada gagasan Persuratan Baru; paling sedikit yang anda boleh lakukan ialah menolaknya bulat-bulat, dengan hujah yang konkrit, yang hanya anda akan dapat jika anda terlebih dahulu mempunyai persediaan ilmiah untuk mengemukakan alternatif anda sendiri, atau sekurang-kurangnya membuat pembetulan yang wajar.  Inilah tuntutan akademik yang cukup jelas, dan perlu diterima tanpa berdolak-dalik lagi: tampil sebagai seorang ahli ilmu, atau hanya sebagai seorang pelajar yang berguru kepalang ajar, seperti bunga kembang tak jadi! Sesuatu keputusan akan menjadi masalah apabila dinilai dari kejahilan dan kecetekan ilmu, sehingga lampu yang memberi cahaya dikatakan tidak sebaik jamung yang dipakai oleh orang dulu-dulu. Teruskanlah pakai jamung, jika anda fikir itulah yang terbaik; tetapi saya memilih lampu kerana lebih mudah digunakan. 

Dalam dunia pandirisme yang dijadikan arus perdana dalam kesusasteraan Melayu, para sarjana dan sasterawan harus berusaha keras untuk mencerdikkan masyarakat kita dan melepaskan mereka dari belenggu perhambaan intelektual yang terkurung dalam teori sastera Barat. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Dr. Anwar Ridhwan mampu menulis magnum opus masing-masing dalam kritikan sastera Malaysia kerana mereka mempunyai keupayaan akademik dan ramai pengikut. Dr. Anwar Ridhwan sendiri pernah menegaskan dengan bangga bahawa kaedah ilmu yang dipakai oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh adalah kaedah yang digunakan oleh Aristotle, oleh itu tidak menjadi masalah sama sekali untuk memahami gagasan Persuratan Baru yang menggunakan kaedah ilmu dalam Islam. Kalau anda pakar penglipur lara dan percaya dengan berkhayal dalam dunia penglipur lara anda boleh mencerdikkan bangsa Melayu, anda mesti teruskan. Mudah saja bagi anda melakukannya kerana kedudukan anda yang begitu terhormat, melebihi para ulama dan cendekiawan Melayu. Peluang begitu terbuka luas, mengapa tidak disambut? Tetapi kalau dengan bermimpi di atas bumbung kilang yang berkarat anda dapat mencerdikkan bangsa Melayu, teruskan dan adakanlah majlis tahlil di atas bumbung  yang orang boleh duduk bersila, tidak berkarat pun tidak mengapa,  supaya mereka tidak terjatuh bersama anda. Jaga keselamatan mereka, di samping keupayaan kreatif dan keunggulan intelektual anda.

Saya anggap satu kemajuan yang bermakna apabila terdapat seorang sasterawan negara sanggup bertapa di atas bumbung kilang berkarat untuk mendapat ilham daripada tokoh-tokoh penglipur lara dunia, termasuk Pawang Ana yang terkenal itu. Jika satu masa nanti seorang sasterawan negara tiba-tiba menjadi seorang pawang seperti Pawang Ana, maka itu satu lagi kemajuan kerana kini kita sudah mula melihat warisan Pawang Ana dan dunia penglipur lara Pak Mahmud Wahid mendapat perhatian para sarjana kita yang bijaksana. Ketika itu sudah wajar diwujudkan Kerusi Pawang Ana di UKM untuk memperingati kejempolan Pawang Ana sebagai penglipur lara terbesar dalam sastera lisan.  Siapakah yang akan menjadi pelopor Profesor Sastera Lisan menduduki Kerusi Pawang Ana di UKM?

Kesimpulan Kritis

Benarkah kesusasteraan Melayu moden menghadapi krisis nilai? Membaca dengan kritis kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia yang diterbitkan oleh ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, cukup jelas krisis nilai itu amat parah. Pemilihan judul itu sendiri menggambarkan kekeliruan fahaman tentang sastera dan peranan sastera dalam pembangunan tamadun bangsa, yang masih jadi mimpi di atas bumbung kilang berkarat, jauh lagi untuk menjadi kenyataan. Oleh itu, untuk menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa adalah satu kesilapan besar. Para sasterawan negara 12 orang itu tidak mungkin sanggup memikul beban itu kerana mereka sendiri sama juga dengan sasterawan lain dan para sarjana, sedang menghadapi krisis nilai yang teruk. Keengganan mereka untuk menerima konsep ilmu yang benar, dan keghairahan mereka untuk menjadikan Salman Rushdie sebagai tokoh ikutan para sasterawan, cukup untuk dijadikan bukti betapa parahnya kumpulan ini menghadapi krisis nilai dan krisis identiti. Mereka tidak berjejak di bumi sendiri, tidak juga di dunia Barat yang mereka peluk dengan kasih sayang sehingga sanggup menjadi hamba intelektual kebudayaan Barat dan teori sastera Barat. Dalam ungkapan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), mereka adalah “kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba.”  Hingga kini mereka masih berada dalam keadaan itu, belum berubah. Lihat saja tulisan mereka dalam buku ini, yang begitu cetek dan tidak kelihatan sama sekali keunggulan mereka sebagai penulis yang layak diberi gelaran sasterawan negara. Apakah yang mendorong mereka untuk melahirkan tulisan bercorak bullshit? Hal ini terjadi kerana mereka tidak menghormati pembaca mereka, yang mereka anggap sangat bodoh dan tidak boleh  berfikir. Oleh itu apa saja yang mereka tulis, dengan kedudukan mereka, akan diterima tanpa kritikan untuk menjaga maruah intelektual dan maruah akademik yang sebenarnya tidak ada.  Dengan tidak bertanggungjawab dan tiada bukti ilmiah, mereka menegaskan sastera adalah satu ilmu, dengan alasan sastera mempunyai kaedah, prinsip, teori, epistemologi yang harus dipelajari secara sistematik.  Semua ini adalah retorik teh tarik yang diucapkan sambil menikmati teh tarik di kedai mamak. Apakah jenis ilmu yang ditawarkan oleh sastera dan karya sastera? Idea bahawa sastera adalah sejenis ilmu adalah tinggalan masyarakat animisme yang percayakan tahyul dan menjadikan cerita dongeng penglipur sebagai rujukan. Supaya lebih mudah difahami, apakah jenis ilmu dan pemikiran yang terkandung dalam karya para sasterawan negara sendiri? Adakah sama “ilmu” itu dengan ilmu yang benar yang diajarkan oleh para ulama dalam persuratan Melayu? Jika tidak sama, di manakah diletakkan “ilmu” sastera itu dalam kerangka persuratan Melayu? Ini persoalan besar, tidak boleh disebut begitu saja dengan penuh pretensi intelektual, dalam retorik teh tarik dengan lagak seorang Sarjana Ciritan. Dilihat daripada perspektif ini maka Sidang Kemuncak Penulis Malaysia dan buku Sastera Teras Negara Bangsa telah gagal memberikan arah yang betul dalam perkembangan kesusasteraan Melayu. Mereka ini masih berada dalam kekeliruan tentang konsep ilmu, tenggelam dalam dunia pinggiran yang ilmunya cetek meraba-raba. Merekalah pembawa obor pandirisme dalam kebudayaan Melayu yang berteraskan ajaran Islam yang ditolak oleh gerakan Asas 50, yang kini menjadi warisan kumpulan Mutual Admiration Club yang berkumpul di bawah payung Panel Anugerah Sastera Negara, dilingkungi para sasterawan negara.  Dalam Abad 21 ini, kita tidak perlukan lagi kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba ini.  Kita perlu membina kembali budaya ilmu dan Persuratan Melayu berasaskan konsep ilmu yang benar, setelah dirosakkan sepenuhnya oleh kumpulan Mutual Admiration Club ini.

Satu kesilapan besar telah kita lakukan dengan melantik sekumpulan sasterawan untuk diberi gelaran sasterawan negara, padahal dari segi penghasilan karya yang bermutu dan dari segi pemikiran, mereka telah gagal memberikan sumbangan yang bermakna, malah sebaliknya kegiatan mereka bersifat anti-ilmu dan anti-intelektual yang sangat ketara, yang tidak patut dibiarkan berleluasa dengan sokongan yang tidak wajar diterima dan diberikan kepada golongan yang tidak membantu untuk melahirkan keunggulan ilmu dan karya yang benar-benar bermutu dilihat dari perspektif ilmu yang benar. Para sasterawan negara ini hanya berjaya menegakkan budaya mediocrity, budaya pandirisme, oleh itu mereka cukup takut untuk dinilai berasaskan konsep ilmu yang benar itu.  Kesimpulan ini perlu didebatkan dan diuji benar tidaknya, oleh itu cara yang paling mudah ialah dengan membicarakan karya saya sendiri sama ada memenuhi maksud kritikan saya tentang peranan ilmu yang benar itu. Dari segi apa karya saya sendiri tidak kurang sifat mediocrity dan pandirisme itu; dan dari aspek mana pula karya para sasterawan negara memperlihatkan pemikiran filsafat yang mendalam tentang masalah manusia dan ilmu? Untuk memberi contoh yang mudah, Prof. Rahman Shaari menegaskan dalam syarahan perdana beliau (29 Disember 2004) bahawa, “Penekanan terhadap pemikiran dalam sajak-sajak Muhammad Haji Salleh tidak terlalu mencabar fikiran pembaca, kerana pengutamaannya bukanlah aspek itu, sebaliknya dia bersajak dengan perasaan yang dinipiskan. Baginya, sajak-sajak tidak boleh terlalu emosional, kerana ketebalan emosi akan dengan sendirinya menipiskan pemikiran. Menurut Umar Junus, Muhammad membawa pembaca ke suasana yang tidak emosional untuk mengarah kepada pemikiran yang rasional.” (hal 35).  Inilah contoh idle talk, kerana sajak “Pulang si Tanggang” amat kaya dengan emosi dan sentimentaliti, sedangkan sajak inilah yang paling “intelektual” di antara sajak-sajak pensajak ini. Sajak ini, kata Prof. Rahman Shaari, telah “menggoncang fikiran” pembaca. Oleh kerana dia tidak menjelaskan maksudnya, maka perlulah sajak yang menggoncang fikiran ini dibaca bersama sajak “Al-Andalus” (dalam Pujangga Melayu, hal. 106-108) untuk melihat “pemikiran” dalam dua buah sajak ini. Adakah tidak apa-apa perasaan yang tersimpan dalam sajak “Al-Andalus” sehingga pemikirannya, jika ada, tidak rasional?  Apa pun juga penilaian yang dibuat, wajar dijelaskan dan ditentukan ukurannya, supaya penilaian itu tidak jatuh ke lembah bullshit saja.

Melalui budaya khayalan yang cetek dan mengelirukan yang mereka promosikan ini, maka mereka mencadangkan supaya para penulis menjadikan  faham mulhid Barat (dengan nama mentereng postmodernism) sebagai salah satu cara untuk mencapai keunggulan dalam penulisan, dengan mencadangkan misalnya untuk mencontohi Salman Rushdie. Dengan khayalan ini, mereka menjadikan kejahatan sebagai kenyataan yang diagungkan dalam penulisan kreatif, seperti yang mereka tunjukkan dalam sajak dan novel-novel mereka. [17]. Bagi mereka tidak lucu untuk duduk bertinggung di bumbung kilang berkarat untuk mencari ilham. Kata mereka, inilah bahasa puisi yang penuh dengan keindahan metaforanya, tanpa mempedulikan itulah contoh pandirisme yang terlalu ketara untuk tidak dijadikan peringatan dan dijadikan bukti tentang kesia-siaan cara hidup khayal dan hedonistik ini.  Kini diperkenalkan pula hedonisme intelek (intellectual hedonism) dalam pemakaian ungkapan “minda tertawan”, yang dikatakan satu sikap tidak terbuka kepada perubahan dan masih menjadi pengikut Barat. Penggunaan perkataan “minda” itu sendiri tidak saja tidak tepat, tetapi dengan tidak disedari telah membawa falsafah dualisme ajaran Descartes, satu usaha aneh untuk “menawan” lagi akal sarjana yang telah dijadikan hamba oleh teori sastera Barat. Usaha ini akan mengusutkan lagi kefahaman sarjana tentang konsep ilmu, kerana dalam konsep “minda” itu tidak diterima sumber ilmu dari wahyu, dengan itu jika sikap ini diteruskan, sastera Melayu akan dikikis dari sebarang pengaruh agama Islam. Kalau ini bukan maksudnya, maka tidak ada alasan sama sekali untuk membawa masuk konsep “minda” dalam cara berfikir orang Islam di kalangan para sarjana dan sasterawan. Menolak konsep ilmu yang benar dalam sebuah negara yang telah melahirkan budaya persuratan sejak beratus tahun untuk diganti dengan budaya hedonistik dan sia-sia berasaskan khayalan seperti yang diberikan oleh para sasterawan negara, atau dalam bentuk hedonisme intelek untuk mengaburkan makna kebenaran yang diajar oleh Islam, adalah suatu pengkhianatan terhadap tamadun Melayu yang berteraskan ajaran Islam. Semua tulisan yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia tidak sedikit pun menyebut perkara ini, seolah-olah mereka telah disihir oleh tamadun Barat sehingga tidak dapat melihat kenyataan tentang krisis nilai yang sedang kita hadapi dalam budaya ilmu kita.

Sidang Kemuncak ini juga tidak menjurus ke arah pembinaan bahasa Melayu yang bertaraf tinggi dan ilmiah, dengan melupakan  sumbangan para cendekiawan dan sarjana kita dalam banyak bidang kehidupan manusia yang telah menulis dalam bahasa Melayu, yang layak diberi penghargaan oleh negara. Maka itulah dalam satu kertas yang dibentangkan di Dewan Bahasa dan Pustaka 2006 saya mencadangkan supaya kita wujudkan Hadiah Persuratan Petronas untuk golongan cendekiawan dan para ahli sains tabii dan sains sosial di negara kita, di samping memberi penghargaan kepada para penulis yang benar-benar layak mendapat penghargaan itu. Tujuan utama hadiah ini ialah untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang bermutu tinggi dalam perkembangan kebudayaan dan dalam budaya ilmu kita.  Hasilnya nanti akan berupa koleksi buku-buku ilmiah dan kreatif yang bermutu, dicetak khusus untuk hadiah ini, untuk dijadikan rujukan dan panduan para sarjana dan bakal sarjana. Mengapa perkara yang kita perlukan pada waktu ini tidak dibincangkan dan dilaksanakan?[18].

Melalui Kuliah ini, anda melihat bagaimana Pak Pandir yang anda anggap bodoh dan tidak berfikiran itu,  adalah jauh lebih cerdik dan lebih tinggi statusnya sebagai pemikir daripada para sarjana dan sasterawan negara. Beliau telah mencirikan satu perkembangan penting dalam pemikiran Melayu dalam konsep pandirisme  itu yang kemudiannya berupaya memberi makna yang tepat kepada karya kreatif dan akademik para sasterawan dan sarjana dengan meletakkan konsep ilmu yang benar sebagai dasar dalam membuat penilaian itu. Pak Pandir telah melahirkan seorang tokoh genius dalam sastera Melayu moden, Dr. Polan Cupan, seorang tokoh yang paling cerdik di antara watak-watak yang pernah dikemukakan oleh mana-mana sasterawan negara sekalipun. Dengan kehadiran Dr. Polan Cupan dalam persuratan Melayu, anda kini mempunyai rujukan yang jelas tentang makna uswatun hasanah yang menjadi salah satu matlamat penulisan kreatif dalam Persuratan Baru. Kini anda boleh menilai kembali dengan lebih selesa semua karya para sasterawan negara, dengan merujuk kepada konsep pandirisme dan kedudukan Dr. Polan Cupan dalam perwatakan karya kreatif sebagai seorang tokoh yang menepati matlamat uswatun hasanah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.  Karya ini ditulis dalam teknik stylization of ideas, yang melihat keindahan bahasa sebagai wacana (bukan permainan bahasa oleh para sasterawan) untuk mencapai matlamat kreatif yang indah dan bermakna, dengan perhatian yang teliti dalam penggunaan paksi naratif dan bagaimana ruang naratif digunakan dalam wacana itu, sehingga perutusan berbentuk ilmu dapat dicapai melalui cerita yang kemas terjalin dalam siratan makna yang mendalam mengenai keunggulan seorang manusia yang berusaha memberi keadilan kepada masyarakatnya. Saya tidak ragu-ragu untuk mengemukan karya ini sebagai cerita pendek terbaik yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu, dengan visi yang jelas untuk mencerdikkan bangsa Melayu. Para sarjana dan pengkritik sastera bolehlah tertawa mengejek membaca penegasan ini, tetapi anda sebenarnya sedang dicabar untuk mengemukakan hujah anda mempertahankan karya para sasterawan negara. Namun untuk menolak penegasan ini adalah tidak mungkin, kecuali jika anda ingin menayangkan komitmen anda kepada budaya pandirisme.

Sekadar Cabaran

Pandirisme kini sudah bertapak dengan kukuh  sebagai satu konsep yang mencerminkan keadaan sebenar dalam sastera Melayu, yang tidak mungkin ditolak tanpa terlebih dulu memahami konsep ini dan bagaimana konsep ini diasaskan kepada penelitian yang cermat terhadap penulisan kreatif dan kaedah  analisis dalam penilaian karya kreatif.  Pandirisme adalah hasil penelitian yang objektif terhadap karya dan cara karya kreatif dianalisis dan dinilai oleh para sarjana sastera.

Adakah pandirisme akan kekal sebagai sumbangan intelektual yang bermakna dalam kritikan sastera Melayu, malah dalam kesusasteraan secara umum? Pandirisme adalah kemuncak kegagalan intelektual dalam kritikan sastera dan penilaiannya. Pentingnya pandirisme kerana ia membuktikan projek sasterawan negara tidak memberi apa-apa sumbangan positif dalam budaya ilmu Malaysia. Malah aspek negatifnya yang cuba dilindungi dalam Mutual Admiration Club semakin terserlah apabila karya para sasterawan negara ini dinilai dengan kritis berasaskan prinsip-prinsip Persuratan Baru, seperti yang dibuktikan dengan jelas dalam tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu Bakar.

Sekiranya anda telah meneliti Kuliah ini dengan kritis, mungkin terlintas dalam fikiran anda: Adakah pandirisme itu sendiri hanya bullshit, idle talk, dan humbug dalam kritikan sastera Melayu? Ini memberi peluang kepada anda untuk menolak dengan mudah gagasan Persuratan Baru, yang boleh saja anda letak sebagai sejenis bullshit intelektual dalam kritikan sastera Melayu moden.  Dengan penolakan ini, jika anda berjaya melakukannya, maka anda telah melakukan salah satu daripada dua perkara, atau kedua-duanya: Anda telah membuktikan betapa kuatnya pengaruh pandirisme dalam kesusasteraan Melayu; atau anda telah membuktikan betapa kukuhnya teori sastera Barat dalam sastera Melayu dan betapa teori-teori itu diperlukan, sehingga sastera dalam makna dan praktik sekarang  wajib diteruskan dan persuratan Melayu yang menjadi agenda Persuratan Baru dikuburkan selama-lamanya kerana bertentangan dengan modenisme dan postmodenisme anutan para sarjana dan sasterawan, oleh itu yang perlu disuburkan ialah keupayaan emosi dan hawa nafsu manusia Melayu moden yang hedonistik, bukan keunggulan ilmu yang benar dalam kehidupan manusia sejagat. Saya fikir tentu ada di antara sarjana dan sasterawan yang boleh melaksanakan penolakan terhadap pandirisme yang lahir dari keengganan untuk menerima peranan ilmu yang benar dalam bidang kreatif dan  akademik. Kejayaan ini adalah kejayaan besar kerana dengan itu tertolaklah gagasan Persuratan Baru yang menjadi duri dalam daging kesusasteraan Melayu moden dan yang menyakitkan sanubari suci para sarjana dan sasterawan kerana mereka yang  terkongkong di kincir perhambaan intelektual Barat tidak mahu dibebaskan untuk mengembara di taman-taman ilmu yang indah untuk menjadi cerdik. Jika anda gagal, tetapi telah berusaha membaca sebanyak mungkin rujukan untuk dijadikan hujah, maka anda akan mendapat manfaat sekurang-kurangnya dapat mengenal apa ertinya konsep ilmu yang benar yang anda tolak sekarang. Dengan itu meneliti beberapa aspek pandirisme ini ada faedahnya kepada anda, sekurang-kurangnya anda tahu anda tidak berada dalam komuniti itu. Sekiranya anda lebih senang berada di bumbung kilang berkarat untuk bertapa atau merenung tentang khayalan sastera, teruskan saja. Pawang Ana akan menemani  anda. Mana pun pilihan anda, masih tetap beruntung.  Kejayaan tetap berada di pihak anda, walaupun anda berada dalam komuniti pandirisme.

Walaupun begitu, kita harus berhati-hati dan tegas dalam menolak nilai-nilai palsu dalam kesusasteraan dan dalam pengajaran sastera di sekolah atau di universiti. Seperti yang telah saya buktikan dalam banyak tulisan saya, karya para sasterawan negara tidak boleh dijadikan contoh dalam mengajar nilai-nilai murni dalam bilik darjah atau dalam masyarakat umum. Kita perlukan kaedah yang tepat untuk mengesan dan menilai dengan cermat dan kritis nilai-nilai palsu yang terdapat dalam karya sastera, yang dihasilkan di mana saja oleh sesiapa sekali pun. Kaedah itu sudah pun terdapat dalam negara kita, dengan munculnya gagasan Persuratan Baru yang memberi kaedah yang betul dalam membaca karya kreatif dan dalam membuat penilaiannya. Cabaran paling besar bagi kita sekarang ialah: sejauh mana kita masih mahu menolak kebenaran yang diajarkan dalam konsep ilmu yang benar dalam epistemologi Islam? Inilah kesan maksud ayat al-Quran,  4: 115 tentang manusia menyeret diri mereka sendiri ke arah mana yang mereka mahu. Hingga sanggup bermimpi di atas bumbung kilang berkarat, walaupun perbuatan itu amat bodoh dan sia-sia.

*****************************************************************

Aku pembicara lantang seratus tahun ke hadapan
Telinga sasterawan dan sarjana tiada mendengar seruanku
Mereka tenggelam dalam kolam kecil pandirisme sambil menyeru:
“Kita perlukan perubahan dan kemajuan, paradigma baru!”
Tetapi mereka sendiri tidak mahu keluar dari kolam pandirisme
Menambah daki kejahilan terus keliru dalam ilmu meraba-raba
Menjadi hamba intelektual dunia bukan milik mereka
Sambil menjerit: Ayuh, kita serbu pasar antarabangsa
Tapi terus menaiki kereta lembu yang kurus tak bermaya.

Bullshit mereka dijadikan arus perdana
Menilai mutiara persuratan dari gemerlap kaca
Hanyut di laut pandirisme sebagai nakhoda
Menjerit angkuh akulah pelaut semesta dunia.
Sambil menampar air keruh kolam pandirismenya.

Dengarlah azan dengan qalbumu
Saksi tauhid dan taklif dirimu
Di situlah rahsia ilmumu
Yang kau terima di alam alastu.


Chorus Sarjana Ciritan

Aduhai malang Pak Sarjana
Cakapnya tinggi ilmunya ciritan
ada fakta dijeling saja
analisis awak berciciran
no arguments only statements
umang-umang di kulit siput
muncullah badut memakai jubah
menjerit-jerit di pentas ilmiah
kini terjongol Sarjana Ciritan
Duduk bersimpuh mengadap Pawang Ana.


                                                                

Catatan hujung

[1]  Sedikit penjelasan tentang fenomenologi dalam Michael Hammond, Jane Howarth, & Russell Keat, Understanding Phenomenology  (Balckwell, 1995), Introduction dan bab 1.  Di Malaysia telah dicuba oleh Prof. Sohaimi Aziz yang mengemukakan “rasa fenomenologi” sebagai sebuah teori sastera. Mati beragan kerana tidak dikembangkan.  Beliau duduk sebagai pemilih buku-buku kajian dan kritikan untuk diberi hadiah; berasaskan “rasa”, buku kajian Ph.D. Mohd. Zariat Abdul Rani yang berkualiti akademik  diketepikan; tetapi buku tentang feminisme oleh Norhayati Ab. Rahman yang picisan terpilih mendapat hadiah buku kajian.  Pandirisme tetap dipertahankan dalam pemilihan seperti ini. Juga sebagai contoh bagaimana Mutual Admiration Club dipraktikkan.

[2]  “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara.” Kertas kerja yang dibentangkan di Simposium Kebudayaan Indonesia – Malaysia XII (SKIM XII) anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universitas Padjadjaran, Indonesia, di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 29-30 November, 2011.  Sedikit gambaran tentang  pandirisme dalam feminisme di Malaysia, ada tercatat dalam makalah Prof. Ungku Maimunah dalam bukunya (bersama Dr. Zulkarnain Mohamed), bab 6, dalam Islam Feminisme Barat dan Sastera Melayu (Bangi, UKM  2013).  Dalam bab ini disebut juga beberapa komen tentang novel Azizi.

[3]  Lihat Kritik Sastera di Malaysia: Kertas Kerja Seminar Kritik Sastera 1973 (Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, 1974; hal. 66.)

[4]  Teguran Ramli Isin dalam makalahnya, “Menyeberang Sejarah: Analisis Pemikiran  dan Visi Muhammad Haji Salleh”, dalam Ranakaian Pemikiran dalam Karya Sastera, DBP 2006.   Antara lain kata Ramli Isin, “Selesai meneliti kedua-dua esei kritikan tersebut, didapati tiada sesuatu pemikiran atau visi yang benar-benar istimewa dilontarkan oleh Muhammad Haji Salleh berbanding dengan penulis-penulis esei kritikan yang semasa dengannya yang juga membicarakan tokoh dan karya seseorang penyair. Pada dasarnya, Muhammad Haji Salleh membincangkan dan mentafsirkan pemikiran, isi, dan teknik olahan penyair dalam kumpulan puisi Baha Zain. ... Walau bagaimanapun, kesan bacaan daripada kedua-dua esei kritikan Muhammad Haji Salleh terhadap ketokohan Baha Zain dan karya puisinya itu, ada kalanya visi terhadap penyair tersebut terlalu sempurna dan, memberikan sanjungan tanpa melihat sebarang kecacatan.” (hal. 21-22).  Dalam buku yang sama, Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan menegur Muhammad Haji Salleh yang tidak teliti dan banyak melakukan kesalahan. Bandingkan dengan pendapat saya dalam Medan-Medan dalam Kesusaseraan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Muhammad Haji Salleh...”.    Saranan Muhammad Haji Salleh terdapat dalam nota kecil beliau, “Mimpi Sastera di Atas Bumbung Kilang yang Berkarat”,  kertas kerja beliau untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, dimuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa (Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Negara, 2014, hal. 204).

[5]  Lihat sajak Muhammad Haji Salleh dalam Sebuah Unggun di Tepi Danau (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, hal. 5). Keratan baris yang masyhur itu berbunyi:  sepertimu aku terlantar/ pada sungai takdir/ sekali murung sebagai sarjana/ tetapi sering bercermin kaca lusuh/ dan memihak pada pintar mephistopheles. Dalam drama Goethe, Faust,  Mephistopheles ialah Raja Iblis.  Soalan yang tak dapat dielakkan: Adakah pensajak ini tahu siapa Mephistopheles?  Sangkaan saya berat mengatakan dia tidak tahu. Sajak ini ditulis September 1986, diedit 1992, jadi ada peluang yang panjang untuk membuat suntingan.  Sekarang dia tahu, adakah dia terkejut? Tidak, seperti dengan innocent saja dia menyuruh sasterawan Melayu meniru Salman Rushdie!  Tak mungkin dia tak pernah dengar The Satanic Verses. Apabila membuat cadangan itu, saya fikir beliau serius, kerana kedudukannya sebagai seorang sasterawan negara tidak mungkin diremehkan oleh beliau sendiri dengan membuat gurauan seperti ini.  Mungkin juga inilah bukti beliau benar-benar “memihak pada pintar mephistopheles”!

[6]  Boleh google tajuk esei, “The Prevalence of Humbug”, untuk membacanya di Internet. Lengkap.  Kamus Dewan English –Malay memberi makna “humbug” sebagai “karut”, mengada-ada, pura-pura.

[7]  Lihat bukunya, Being and Time (terjemahan  Joan Satmbaugh:  Satate Universikty of New York Press, 1996).  Huraian oleh Hubert L. Dreyfus saya kira yang terbaik, terdapat dalam bukunya, Being-in-the World: A Commentary on Heidegger’s Being and Time, Division 1. (The MIT Press, Cambridge, Mass.,  6th Printing,  1995.)   Saya salin sedikit penjelasan oleh Dreyfus, hal. 231:

(Kata Heidegger): Because this telling has lost its primary relationship-of-being towards the entity talked about … it does not communicate in such a way as to let this entity be appropriated in a primordial manner, but communicates rather by following the rout of gossiping and passing the word along.    Idle talk is constituted by just such gossiping and passing the word along – a process by which its initial lack of grounds to stand on becomes aggravated to complete groundlessness.

The fact that something has been said groundlessly, and then gets pass along in further retelling, amounts to preventing the act of disclosing into an act of closing off. (italics in original)

Komen daripada Dreyfus:  “We  thus arrive at the kind of fallenness called uprootedness:

(Heidegger):  Idle talk, which closes things off  in the way we have designated, is the kind of being which belongs to Dasein’s understanding when that understanding has been uprooted. (italics oleh Dreyfus).

(Komen Dreyfus):  “Note that in the above quotation “idle talk” is being used in a “disparaging signification” and no longer “signifies a positive phenomenon which constitutes the kind of being of everyday Dasein’s understanding”. Idle talk closes off genuine and even average understanding.

One must then ask, what leads Dasein to make the move from the positive generality necessary for average intelligibility to the privative use of language to close off understanding? Heidegger’s name for this movement seems to be curiosity.  When he is being carefully structural, he holds that curiosity as he understands it is a tendency  not a temptation  and thus not a psychological state.”

Lihat juga Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2,  untuk penjelasan selanjutnya daripada kutipan panjang oleh Heidegger dan keterangannya oleh Stephen Mulhall, halaman 125-128.


[8]  Lihat, Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau  (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, pada halaman 14.)  Di situ beliau menegaskan teori sastera Barat itu telah digunakan sudah puluhan tahun, padahal tidak sesuai bagi menilai karya Melayu. Oleh itu, kata beliau, “kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.” Pengakuan ini penting kerana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh adalah di antara anggota Panel Penilai Anugerah Sastera Negara yang duduk sebagai anggota beberapa kali. Dengan pengakuan ini, beliau secara sedar mengaku penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara adalah salah, dan tidak tepat.

[9]  Seperti yang beliau tegaskan dalam Sastera Teras Negara Bangsa, hal.  204. Lihat catatan [5] di atas.

[10]  Diterbitkan oleh Princeton University Press,  2005 (ISBN 0-691-12294-6). Key words: truthfulness and falsehood. Semua rujukan pada edisi  ini. Beberapa ahli falsafah dan sarjana  Amerika telah sama ada menulis resensi atau pandangan kritis mereka tentang buku ini.  Buku ini menjadi bestseller, habis dijual 200,000 naskhah dalam masa 2 minggu. Ramai peminat bullshit di Amerika Syarikat rupanya.

[11]  Ishak Haji Muhammad, Pak Sako, pernah menggunakan nama samaran Pak Pandir Moden dalam beberapa tulisannya. Penulis-penulis Melayu yang lain juga kerap menggunakan nama samaran Pak Pandir Moden, menunjukkan Pak Pandir adalah seorang tokoh jenaka dan ahli falsafah Melayu yang amat popular dan berpengaruh dalam kebudayaan Melayu. Kini pandirisme yang diilhamkan oleh Pak Pandir telah diterima sebagai aliran arus perdana di kalangan sasterawan dan sarjana sastera  Malaysia. Dengan itu Pak Pandir kini duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan para sasterawan negara sendiri, sudah setaraf dengan mereka. Semua  kemajuan ini dimulai oleh Pak Sako sendiri yang sangat tajam sindirannya itu. Pak Sako telah diberi anugerah Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya 1973, tetapi tidak layak untuk dilantik sebagai sasterawan negara. Beliau hanya diberi  Anugerah Pejuang  Sastera oleh kerajaan Malaysia 1976. Lain-lain yang menerima anugerah itu ialah Keris Mas, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan A. Samad Said (Sastera Teras Negara Bangsa, hal. 3). A. Samad Ismail pun dapat juga.

[12]  Inilah keratan sajak itu: In the elder days of art/ Builders wrought  with greatest care/ Each minute and unseen part,/ For the Gods are everywhere (ibid., hal. 20).  Perhatikan betapa cermatnya seorang penyair, dan anda akan faham mengapa Rumi menulis tentang mawar dan durinya. Kalau anda tidak dapat tangkap maksud saya, baca lagi hingga anda faham. Ketika itulah anda akan tertawa gembira kerana telah dapat membaca rahsia tersembunyi dalam stylization of ideas.  Ada perkara yang saya cakap terus terang; ada pula yang saya sembunyikan dalam teka teki, tetapi dapat dicari maknanya, dan ketika itu anda akan terkejut gembira, atau sebaliknya.

[13]  Mohd. Affandi Hassan,  Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu (1994). Tulisan ini disiarkan terlebih dahulu dalam Dewan Sastera,  Mac – Julai, 1991.

[14]  Semua maklumat tentang International Baccalaureate  diambil daripada Wikipedia, dicapai pada 5 Februari 2015.

[15]  Senarai karya beliau dalam entri 31/12/2014. Pemikiran pendidikan beliau telah dianalisis dengan mendalam oleh Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud dalam buku beliau, The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib al-Attas (ISTAC, 1998). Terjemahan bahasa Indonesia,  Filsafat dan Praktik Pendidikan Islam Syed M. Naquib al-Attas  (Mizan, 2003).  Bagi Kerajaan Malaysia dan sarjana Malaysia buku ini dan pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas tidak cukup baik jika dibandingkan dengan IB yang kini menjadi kegilaan Kerajaan Malaysia.

[16]  Peribahasa Melayu: seperti ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. Perkataan menelurkan tepat sekali dengan kelakuan dan usaha mereka.  Bila diram, tidak menetas. Contoh terbaik telur tidak menetas ini ialah pandangan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh tentang teori Barat yang tidak sesuai  digunakan untuk menilai karya kreatif Melayu. Mati begitu saja,  mati beragan. Beliau buntu, kawan-kawan dan muridnya seramai  4000 – 5000 (anggaran beliau sendiri) tiada yang peduli. Bagi para sarjana, saranan itu hanya sejenis bullshit saja. Syarahan perdana beliau sendiri juga mati beragan, tidak mampu melonjakkan diri dari lembah intelektual kerana terlalu kaya dengan pretensi intelektual yang sesuai dengan konsep bullshit yang dihuraikan oleh Prof. G. Frankfurt.  Beliau menggunakan recipe knowledge yang dicedok daripada beberapa rumusan orang lain yang tidak dapat dirangkaikan secara akademik ke dalam suatu teori sastera yang bermakna. Dari segi akademik, inilah contoh idle talk seperti yang dimaksudkan oleh Martin Heidegger. Tentang recipe knowledge, lihat Peter L. Berger & Thomas Luckmann, The Social Construction of Reality (Penguin, 1966). Berger mengambilnya daripada ungkapan yang digunakan oleh Alfred Schutz, cooking knowledge. Adakah makalah dalam Sastera Teras Negara Bangsa berupa kumpulan tulisan recipe knowledge?

[17]  Ini masalah realisme dan pengertiannya di kalangan sasterawan Malaysia. Prof. Ungku Maimunah dalam Kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009), telah membincangkan persoalan ini dengan mendalam dalam buku tersebut. Lihat juga tulisannya dalam rujukan [1].

[18]  Cadangan ini dikemukakan dalam kertas kerja yang dibentang di “Seminar: Impak Anugerah dan Hadiah  Sastera   ke Atas Pembangunan Sastera Kebangsaan”, DBP 25 Mei 2006. Judul kertas kerja: “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis.” (91 halaman).



Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 14/2/2015