Dalam
tahun 1980-an Prof. Syed Hussein al-Attas memperkenalkan ungkapan “profesor
kangkung” merujuk sekumpulan profesor yang tidak menulis dan berpada dengan
gelaran itu tanpa terlibat dalam kegiatan intelektual yang bermakna, terutama dalam
bidangnya. Tentu saja ungkapan ini menimbulkan kemarahan para pensyarah
universiti, tetapi tidak pula diketengahkan apa-apa bukti yang menolak kritikan
Prof. Syed Hussein al-Attas itu. Akhirnya ungkapan itu mati begitu saja.
Sekiranya memang wujud profesor kangkung, tentulah mereka gembira kerana
kritikan itu tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai ahli akademik.
Tidak ada profesor jenis kangkung ini
dipecat, atau diturunkan statusnya; malah ahli akademik yang terbukti plagiat
pun tidak menjejaskan peluangnya untuk mendapat kedudukan tinggi di bidang akademik itu. Kes ini mengenai seorang
pensyarah yang menggunakan hasil penyelidikan pelajarnya untuk dijadikan
makalah ilmiah tulisannya. Setahu saya dia kemudiannya dilantik menjadi
profesor setelah tuduhan plagiat itu dikatakan timbul dari salah faham sahaja!
(Maksudnya: istilah plagiat digunakan secara tidak betul, satu perkara yang
pelik, yang tidak sepatutnya berlaku di kalangan ahli akademik, yang tidak
dapat menggunakan istilah dengan tepat! Mungkin inilah antara bukti paling
jelas tentang wujudnya “sarjana ciritan” ini).
Kini
timbul ungkapan baru, “sarjana ciritan”. Adakah mereka wujud? Siapakah mereka?
Bukti yang dikemukakan diambil daripada tulisan para sarjana ketika
membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini. Ciri utama yang digunakan
untuk menilai tulisan ini ialah apa yang disebut sebagai “retorik peragaan”.
Ungkapan ini merujuk kegemaran ahli akademik memberi pujian tinggi dan melampau
dengan menggunakan kata-kata pujian yang tidak diiringi bukti konkrit disertai
dengan analisis yang mendalam, menghuraikan dengan tepat dan objektif deretan
pujian yang diperagakan itu. Beberapa nama telah disebut dalam tulisan saya
yang lepas, yang dimuat dalam blog ini. Paling
menarik di antara contoh ini ialah tulisan Prof. Madya Arbak Othman tentang
Muhammad Haji Salleh. Tajuknya penuh sensasi dan bombastik: “Penstrukturan
Intelektual dalam Puisi Muhammad Haji Salleh: Suatu Penelitian Semiotik”
(dibentang dalam Seminar Pemikiran SN Muhammad Hj. Salleh, DBP 9-10 November
2010). Saya telah membahaskan kertas kerja ini dalam pos bertarikh 13 Ogos,
2014, dengan judul, “Kritikan Sastera yang Naif, Keliru dan Anti-ilmu”; sila
rujuk di sana untuk penjelasan lanjut.
Selain dari itu, kesan kewujudan sarjana ciritan ini ialah merebaknya
apa yang dinamakan oleh Muhammad Haji Salleh “Mutual Admiration Club” (dia
bangkitkan perkara ini sejak 1973 lagi!). Contoh paling jelas wujudnya kelab
ini ialah Kelab Sasterawan Negara, di bawah naungan Panel Anugerah Sastera
Negara. Paling ironik ialah Muhammad Haji Salleh sendiri menjadi penyokong dan
pembela utama Kelab Sasterawan Negara ini. Saya rujuk tulisan beliau dalam Dewan Sastera (September 2013), berjudul
“Puisi dan Pemikiran dalam Gaya Bahasa Baha Zain”. Baca baik-baik tulisan ini
dan komentar kritis saya terhadapnya. Inilah contoh kritikan yang naif, yang
saya maksudkan itu. Kita lihat sejauh mana saya silap, supaya anda dapat
melihat pula sejauh mana saya betul. Tulisan Muhammad Haji Salleh ini penting
dalam konteks “Mutual Admiration Club” yang beliau kritik dalam tahun 1973 itu.
Kata
Muhammad Haji Salleh dalam pendahuluan tulisannya: “Baha Zain sudah diiktiraf
sebagai seorang penyair dan penulis esei tersohor di Malaysia. Untuk sekian
lamanya, beliau sudah pun mencapai suatu tahap gaya dan suara yang unik, dan
watak kepengarangan yang sangat berbeza”. (hal. 29) Seterusnya beliau menegaskan,
Baha Zain mempunyai gaya intelektual, lantas memberikan penegasan beliau,
“Sajak intelektual ialah sajak yang berteraskan fikiran, atau menjadikan buah
fikiran sebagai titik terasnya. … Gaya ialah tenunan watak, dan watak ialah
peribadi dan pengenal. Gayanya agak susah untuk ditakrifkan, tetapi bukan
logika seluruhnya yang dituju. … Oleh itu, idea juga disampaikan dengan jalinan dan rujukan pada
perasaan. … Lihat logika yang rimbun
oleh tanah subur perasaan dan bawah sedar.” Maka diberinya contoh (saya terpaksa turunkan walaupun membuang
ruang makalah ini):
Kata-kata adalah daun
lebat merimbun.
Datang musim,
Berdebu dan kering
Bertiup angin
Merembas segala
Yang ringan tak termakan.
Yang tak terungkapkan
Tinggal diam
Alam kata
Terpendam segala.
Kata
Muhammad Haji Salleh, dalam retorik peragaannya: “Lihat logika yang rimbun oleh
tanah subur perasaan dan bawah sedar.” Sajak Baha Zain dan kesimpulan Muhammad
Haji Salleh, kedua-duanya, adalah permainan kata yang tidak bermakna. Sajak
berkenaan lebih mirip kepada sajak budak-budak sekolah yang baru belajar
menulis sajak, bukan karya seorang pensajak yang telah matang. Perhatikan
betapa ceteknya dua baris pertama dan seterusnya: Kata-kata adalah daun/lebat merimbun. Ini hanya permainan kata yang kosong makna.
Bandingkan penggunaan daun dan rimbun dalam tradisi Melayu: pokok yang terlalu
banyak daunnya digelar “mabuk daun”, kalau terkena kepada pokok bunga maka
bunganya tidak keluar. Jika terkena kepada pokok buahan, yang juga mabuk daun,
tidak berbunga. Daun berguna untuk memproses makanan pokok; bunganya yang
menentukan faedah pokok itu; dan hasilnya ialah buah yang lebat dan manis.
Lihat, betapa cerdiknya orang tua-tua kita menggunakan rangkaian perkataan
“mabuk daun”. Sajak Baha Zain ini pun jenis sajak “mabuk kata-kata” yang hanya
sejenis retorik kosong. Inilah pujian Muhammad Haji Salleh dalam konteks mabuk daun tadi: “Bahasa Baha Zain
kelihatan bersahaja, namun ikhlas, menyentuh pinggir dan pusar perasaan, dan
lunak berseni. Bahasa Baha (panggilan
manja?) memperlihatkan unsur gaya intelektual yang cukup jelas, malah
terdapat unsur akademik yang mementingkan taakulan. Logiknya lembut dan mudah
lentur. Taakulannya tidak keras dan tanpa pertimbangan unsur-unsur lain yang
juga menyumbang kepada ekspresi yang lebih menyeluruh. Puisinya membawa gaya
perbincangan, terdapat suatu ajakan untuk terlibat dengan sesuatu idea dan
mempertimbangkan hujah penyairnya.” (hal. 31). Kesimpulan ini tidak terdapat
dalam sajak yang dijadikan contoh itu. Perihal daun ini dijadikan haiku yang
amat indah oleh Soseki, yang saya salin dalam Pujangga Melayu (hal. 583): The
winds that blow – ask them/which leaf of the tree/will be next to go.
Itulah bahasa penyair; tidak saja indah bergaya, tetapi juga kaya dengan makna.
Dan ini pula contoh daripada Rumi: If your thought is a rose/you are a rose garden/ if it is a thorn/ you are fuel
for the bath stove. Tajam
sungguh sindiran Rumi terhadap kepalsuan intelektual yang disebut oleh Prof.
Frankfurt (dalam bukunya On Bullshit)
sebagai hanya bullshit. Anda boleh
perhatikan berapa banyaknya bullshit
ini dalam sastera Melayu, yang saya panggil pandirisme. Sebahagian besar
kritikan sastera Melayu masuk dalam kategori yang disebut oleh Prof. Frankfurt
itu.
Bagaimana
hal ini boleh terjadi? Inilah masalah ilmu, khususnya keliru dalam konsep ilmu.
Kerana konsep ilmu yang difahamkan dalam Islam ditolak, golongan ini berlagak
angkuh memberikan pandangan peribadi mereka tanpa sebarang asas ilmu yang
difahami dalam Islam. Akibatnya mereka berasa bangga berada dalam kekeliruan
dan kecelaruan dalam memahami konsep-konsep penting dalam falsafah ilmu yang
diajarkan dalam Islam. Maka lahirlah sajak-sajak budak sekolah yang baru
belajar menulis sajak. Inilah antara contoh yang dibanggakan oleh Muhammad Haji
Salleh dalam tulisannya. Beliau menurunkan sajak “Nama” oleh Baha Zain:
Tanpa nama bagaimana hendak membezakan
Pasir, batu, tanah atau kayu.
Pasir tidak memerlukan nama
Batu tidak meminta nama
Tanah tidak mendaftarkan nama
Kayu tidak sedar apa namanya
Ini semua masalah manusia
Yang selalu gilakan nama.
Inilah ulasan Muhammad Haji Salleh: “Bersahaja,
ringan, dengan tambahan sepalit humor ironi –kita diserahkan setimbun hujah.
Hujahnya pula disokong hujah yang lain, sekali lagi dideretkan untuk penegasan:
Apa bezanya kalau kita menukar-nukar nama
Kayu jadi batu, batu jadi pasir dan pasir jadi tanah?
Melalui sajak tersebut, beliau
seakan-akan memalingkan kepada kita untuk bertanya pendapat dan tidak berminat
untuk memutuskannya bagi pihaknya atau untuk kita. Sentuhan ini gaya terkini
untuk Malaysia dan bahasa Melayu yang sudah memasuki dunia demokratik dan
intelektual.”
Apakah jenis bacaan yang dipakai
oleh Muhammad Haji Salleh? Inilah mod bacaan cerita, yang secara total gagal
memberi makna, jika ada, dalam ucapan a
la budak sekolah itu. Inilah jawapan yang diberikan oleh Rumi tentang mod
bacaan cerita ini:
You have neglected to give thanks for the Religion
because you got it for nothing from your father.
How should a man who inherits know the value of wealth?
Perhatikan, bagaimana kekeliruan
dan kecelaruan dalam memahami konsep ilmu, membuat manusia mengelak daripada
menjadikan nilai-nilai taklif sebagai asas dalam membuat penilaian. Dia tidak
tahu wujudnya dialog di dalam al-Quran yang membicarakan peri pentingnya nama
yang betul dalam kehidupan manusia bertamadun, yakni yang beragama:
“Allah berfirman, Hai Adam,
beritahukanlah kepada mereka nama-nama
benda ini. Maka setelah diberitahukannya
nama-nama benda itu, Allah berfirman,
Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui
rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu
sembunyikan.” (2: 33).
Sebelum itu, dalam ayat 2: 31
ditegaskan Allah Maha Pencipta mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda)
seluruhnya. Saya salin di sini tafsir yang diberikan oleh M. Quraish Shihab
dalam tafsir beliau, Tafsir al-Misbah,
Jilid 1, hal. 176-177:
“Ayat ini menginformasikan bahawa
manusia dianugerahi Allah potensi untuk mengetahui nama atau fungsi dan
karakteristik benda-benda, misalnya fungsi api, fungsi angin, dan sebagainya.
Dia juga dianugerahi potensi untuk berbahasa. Sistem pengajaran bahasa kepada
manusia (anak kecil) bukan dimulai dengan mengajarkan kata kerja, tetapi
mengajarnya terlebih dahulu nama-nama. … Itulah sebahagian makna yang difahami
oleh para ulama dari firman-Nya: Dia
mengajar Adam nama-nama (benda) seluruhnya.”
Nabi Adam diperkenalkan kepada
para malaikat (mungkin lebih tepat para malaikat diperkenalkan Nabi Adam) dalam
konteks yang digambarkan dalam ayat-ayat Al-Quran di atas, sebagai makhluk yang
sudah disediakan dengan ilmu pengetahuan yang tidak diberikan kepada malaikat,
sesuai dengan taraf baginda sebagai khalifah di bumi. Itulah maksud amanah,
bukan menulis sajak kana-kanak seperti yang
dibuat oleh Baha Zain yang mempersoalkan perihal nama-nama, yang kemudiannya
dipuji oleh Muhammad Haji Salleh. Jangan jadikan gelaran sasterawan negara itu
sama tarafnya dengan Raja Lawak yang disukai orang Melayu itu.
Sejak awal 1960-an Prof. Diraja
Ungku Aziz menekankan pentingnya menggunakan konsep yang betul dan tepat,
dengan mengemukakan pendapat Confucius. Tulisan itu tersiar dalam Dewan Masyarakat 1961 (dari ingatan,
mungkin tak tepat). Seperti biasa para sarjana ciritan tidak membacanya. Aspek
ini memang diabaikan oleh golongan ini, hatta oleh seorang sarjana yang paling
senior sekali pun. Lihat konsep gaya yang difahami (?) oleh Prof. Emeritus Dr.
Muhammad Haji Salleh dalam tulisannya: “Gaya ialah tenunan watak, dan watak
ialah peribadi dan pengenal. Gayanya agak susah untuk ditakrifkan, tetapi bukan
logika seluruhnya yang dituju.” Ini bukan gaya yang difahamkan dalam
perbincangan akademik. Ini gaya seorang model yang memperagakan dirinya dengan
memakai pakaian peragaan. Dalam dunia akademik, gaya mempunyai ciri kognitif,
menyerlahkan kemampuan berfikir dan keupayaan memahami konsep seseorang
penulis/sasterawan atau ahli akademik. Ungkapan terkenal dalam kritikan sastera
ialah gaya sebagai “epistemic choice”, yang memberi gambaran tentang penguasaan
ilmu seseorang penulis. Gaya adalah sebahagian daripada keupayaan merumus
secara sistematik sesuatu pemikiran yang diketengahkan dalam tulisan. Ini tidak
kelihatan dalam karya Baha Zain, seperti yang dicontohkan oleh Muhammad Haji
Salleh. Muhammad Haji Salleh sendiri pun tidak memperlihatkan kemampuan itu,
maka itulah sebabnya semua ideanya tidak boleh dikembangkan. Dia pernah kritik
tentang penggunaan teori Barat, tetapi hanya kritikan yang tergantung, tidak menjejak
di bumi akademik, tidak dapat dikembangkan kerana beliau sendiri tidak tahu apa
yang beliau boleh buat. Cakap tinggal cakap yang mati beragan begitu saja,
tidak ada manfaat dari segi perkembangan intelektual. Saya dapati Baha Zain pun
begitu juga. Saya baca ucap utama beliau untuk para penulis muda: “Memartabatkan
Persuratan Melayu” (Perhimpunan Penulis Muda Nasional, 3-6 Jun 2005, Pontian,
Johor). Tajuknya bagus, tetapi isinya klise saja, tiada yang baru atau
sekurang-kurangnya sedikit analisis yang membolehkan orang faham apa yang telah
terjadi dalam masa kira-kira 80 tahun kesusasteraan Melayu mulai dikenal
sebagai seni sastera. Tetapi yang paling mengecewakan ialah penutupnya,
langsung tidak berani menyatakan pendirian dengan tegas dan tuntas. Begitu
takut, dan ragu-ragu untuk menunjukkan komitmen intelektual seorang yang
terkenal sebagai pemikir intelektual yang tersohor di Malaysia!. Saya salin
kesimpulan yang mengecewakan itu:
“Meskipun penulis berada di luar
lingkaran kekuasaan politik yang menentukan arah dan perkembangan kebudayaan
negara, sumbangan penulis sangatlah penting untuk menghidupkan dinamika persuratan
itu sendiri. Justeru itu, dia harus faham dan hormat akan tugas serta
tanggungjawabnya sebagai penulis kreatif; mempunyai idea yang baik serta
imaginatif bagi memperluas pengalaman dan fikiran pembaca. Tulisannya memperkaya
budaya estetik dan intelektual, dan membijaksanakan masyarakat. Dia bukan
pemikir konvensional; dia mampu memberikan idea alternatif di samping memiliki
keberanian untuk menyatakan apa yang diyakininya. Jadi, penulis percaya pada
kepentingan peranannya dan berusaha menyumbangkan karya serta fikirannya dalam
pelbagai keadaan. Dia bukan apologis, pembela yang pragmatik dan licik; bukan
juga untuk mendewakan tokoh tertentu; penulis itu kritis-kreatif yang faham
akan risiko panggilan hidupnya. Menulis bukanlah kerja main-main dan untuk
bermegah-megah, tetapi adalah satu amanah. Hanya dengan pegangan yang
sedemikian baharulah masyarakat hormat akan penulis, dan penulis dapat
meningkatkan martabat persuratannya.”
Sekali imbas kelihatannya sangat
bagus, tetapi apabila diteliti, tidak ada satu pun perkara yang baharu yang
disebut oleh Baha Zain. Perkara yang disebutnya itu sudah menjadi klise, sudah
diketahui sejak sekian lama kerana kerap diulang-ulang, dalam bentuk yang
hampir sama. Adakah ini tidak lebih daripada sejenis kepura-puraan belaka, yang
tidak disandarkan kepada paksi ilmu yang benar? Ada disebut perkataan amanah,
tetapi hanya sebutan, tanpa sebarang komitmen kerana amanah itu tidak boleh
berdiri sendiri, tetapi memerlukan sandaran yang melahirkan semua nilai seorang
penganut agama Islam. Mengapa Baha Zain takut untuk menyebut peranan taklif
dalam seni mengarang? Mungkin beliau tidak tahu, tetapi ini tentulah amat
menghinakan dirinya, kerana konsep taklif itu telah menjadi sebahagian daripada
pemikiran dalam kegiatan kreatif dan akademik dan kritikan sastera. Kalau
beliau tidak tahu, maka sudah jelas beliau hanya bermain-main dengan retorik
yang mengabui mata pembaca yang tidak luas pengetahuannya dan tidak pula
mempunyai daya kritis yang diperlukan untuk memasuki bidang penulisan ini.
Adalah aneh bagi seorang intelektual yang teliti, pemikir yang handal,
tiba-tiba tidak tahu langsung perkembangan terbaru dalam persuratan dan sastera
Melayu, dengan lahirnya gagasan Persuratan Baru. Tidakkah Persuratan Baru
mencabar seluruh kegiatan dan pemikiran tentang kesusasteraan yang dilindungi
dan dipromosikan dengan gigih sehingga lahirnya kumpulan sasterawan negara
dalam bentuk “Mutual Admiration Club”? Anda akan faham kritikan saya ini jika
anda membaca satu ucapan Baha Zain yang sangat terkenal, yang dikutip oleh
seorang pembaca yang menulis dalam ruangan Surat Kepada Editor, berjudul “Puisi
Kontot Mencerna Minda” (Dewan Sastera,
September 2013). Beliau mengutip
kata-kata Baha Zain yang sangat terkenal: “dari
telaga yang keruh, tak akan mengalir air yang jernih/ dari hati yang durjana,
tak akan terungkap kata-kata yang mulia.” Kita tak perlu sibuk membicarakan
tentang telaga yang keruh itu, kerana pada hakikatnya tidak ada telaga yang
keruh, kerana secara tabii air telaga adalah jernih, sebab itu orang bersusah
payah menggali telaga. Lagi pula, Singapura telah menapis air kotor, termasuk air
kencing, untuk dijadikan air bersih yang boleh diminum dan boleh digunakan untuk
lain-lain keperluan. Bolehkah air yang bersih, yang berasal daripada najis atau
campuran najis, digunakan untuk mengambil wuduk? Tentu anda masih ingat pesanan
guru agama kita, bahawa hanya air yang suci saja yang boleh digunakan untuk mengambil
wuduk. Tetapi ini tidak bererti air itu putih jilah. Jika anda di dalam hutan, susah
mendapat air, tiba-tiba bertemu satu kolam, yang di sebelahnya tempat babi berkubang.
Bolehkah anda gunakan air itu untuk berwuduk? Carilah sendiri jawapannya, juga mengapa
contoh ini dibawa di sini. Kita hanya berminat untuk melihat makna ungkapan
“dari hati yang durjana”, (yang kotor?) yang kononnya tidak memungkinkan
terungkap kata-kata yang mulia. Apakah maksud “hati yang durjana”? Milik siapa
hati yang demikian sifatnya? Untuk memahaminya mudah sahaja, telah diberikan
jawapan dan jalan keluar oleh Imam Ghazali dalam kata-kata beliau yang
terkenal: “Sebahagian tanda keikhlasan
anda ialah anda tidak merasa gembira berikutan dengan pujian orang kepada anda,
sebaliknya anda tidak berduka sebab cacian mereka, malah dua keadaan yang
bertentangan itu sama saja pada pandangan dan perasaan anda”. (Daripada
buku Intisari Karya Tasauf (tulisan Jawi), terjemahan Ustaz
Muhammad Salleh bin Haji Arshad; Ustaz Abdullah al-Qari bin Haji Salleh (Kota Bharu:
Pustaka Aman Press Sdn. Bhd., 1980; hal.
45-46). Saya tidak pernah
berjumpa para sasterawan, sarjana, dan lebih-lebih lagi para sasterawan negara,
yang dapat memenuhi ukuran yang diberikan oleh Imam Ghazali. Malah, kesan yang
saya dapat agak lucu, iaitu mereka sebenarnya mempersetankan saja pemikiran
Imam Ghazali sebagai kuno, taasub, dan
tidak perlu dijadikan panduan kerana terlalu menyekat kebebasan mereka untuk
bertindak mengikut hawa nafsu mereka yang bagi mereka lebih sopan, lebih
beradab, lebih bertamadun, dan lebih mendekati pemikiran moden yang saintifik. Dengan
sikap yang bagi mereka mencerminkan nilai-nilai moden dan saintifik, mereka
lebih bersedia untuk digelar “sarjana ciritan” daripada menerima pandangan Imam
Ghazali yang kuno dan taasub itu; sekurang-kurangnya mereka berada dalam
kumpulan sarjana atau sasterawan arus perdana yang bertunjangkan pemikiran
moden berasaskan teori sastera Barat yang berpengaruh itu. Inilah penegasan
Muhammad Haji Salleh dalam syarahan perdana beliau (1989):
“Saya ingin bergerak dari takrif
teks Barthes yang luas dan peka kepada bentuk karya lama. Pada beliau sebuah
teks adalah suatu medan metodologi, bukan suatu buku yang konkrit, dan teks itu
dialami hanya dalam suatu kegiatan atau suatu persembahan. Teks adalah sesuatu
yang amat simbolik” (Puitika Sastera
Melayu: Suatu Pertimbangan, hal. 18). Anda boleh merasakan pentingnya kebebasan itu dalam kutipan ini, yang
menjadi prinsip utama puitika sastera Melayu. Muhammad Haji Salleh seterusnya
menegaskan, “saya ingin menganggap teks sebagai sesuatu yang lebih besar, yang
lebih menyeluruh, yang bukan saja mencakupi permulaan, badan dan akhiran
cerita, tetapi segala-galanya yang dipersembahkan dalam ritual-ritual yang
mengiringi cerita itu…” Dalam konteks
ini, karya adalah sesuatu yang tertutup, oleh itu tidak bebas dan terikat
kepada strukturnya sendiri. Kepercayaan ini membawa Muhammad Haji Salleh
meletakkan persembahan dan penglipur lara sebagai tokoh yang sepatutnya
diikuti, kerana beliaulah yang paling asli dan bebas dalam persembahannya. Maka
dengan kepercayaan ini, beliau memulai syarahan perdananya seperti ini:
“Seperti Mahmud Wahid, penglipur
lara yang bersila di hadapan khalayak penuh dengan tertib tradisi, saya berdiri
dalam konteks sebuah universiti, di hadapan suatu khalayak ilmiah dan
dihormati, tetapi masih digemakan tradisi Mahmud, yang tercipta oleh waktu,
persekitaran dan pengalaman kesenian bangsanya.”
Dalam buku saya ketika menyanggah
syarahan perdana profesor ini, saya menyatakan betapa janggalnya suasana
“ilmiah” yang menerima penglipur lara sebagai suatu tradisi penting (yang sudah
mati), apatah lagi memanggilnya suatu “tradisi”. Tetapi dalam konteks cerita,
seperti yang ditegaskan oleh profesor ini dalam syarahan perdananya,
cerita-cerita penglipur lara, sesuai dengan namanya, adalah hiburan ringan
untuk bersantai di kampung-kampung terpencil. Apakah logik yang digunakan oleh
sarjana ini yang menerima budaya hiburan rendah ini sebagai suatu tradisi
penting dalam kebudayaan Melayu? Demikianlah kejanggalan itu tidak dilihat dalam konteksnya yang betul apabila seseorang
sudah keliru dalam konsep ilmunya. Dia tidak dapat membezakan antara hiburan,
yang paksinya emosi dan hawa nafsu yang matlamatnya mencari kepuasan, dengan
ilmu yang paksinya akal yang sihat yang matlamatnya ialah kebenaran. Dalam
konteks inilah saya berbicara tentang kewujudan “sarjana ciritan” dalam dunia
akademik, khususnya, dan dalam kebudayaan Melayu. Kita masih boleh melihat
kekeliruan tentang konsep ilmu ini dalam makalah beliau yang memuji
keistimewaan Baha Zain sebagai seorang sasterawan negara.
Kita lihat pula makna ucapan Baha
Zain tentang telaga yang keruh. Apakah yang mendorong beliau berkata begitu?
Dorongan itu bermula daripada perasaan amarahnya kerana beliau telah dikritik
(di sini mungkin merujuk kepada kritikan Shahnon Ahmad yang menegaskan Baha
Zain tidak layak diangkat menjadi sasterawan negara kerana sajak-sajaknya
kontot-kontot dan tidak bermutu) sebaik saja diisytiharkan telah diberi gelaran
sasterawan negara. Kalau begitu, sumbernya ialah hati yang durjana milik Baha
Zain sendiri, yang telah membangkitkan perasaan amarahnya sehingga mengutuk
pengkritiknya sebagai manusia yang kotor hatinya! Ini adalah kesan dari
perasaan ujub dan riyak: ujub kerana
merasa dirinya terlalu mulia sehingga tidak boleh dikritik, dan jika dikritik
pun mestilah dengan lemah lembut (?) dan bersopan (?); riyak kerana dia merasa dirinya telah melakukan sesuatu yang begitu
terpuji, oleh itu tidak perlu dikritik lagi.
Kedua-dua sifat ini, menurut Imam Ghazali, adalah tanda hati seseorang
itu berpenyakit, dan dari hati yang berpenyakit itu tidak akan lahir sifat ikhlas. Inilah namanya senjata makan
tuan, yang amat tepat mengenai diri sendiri!
Daripada kesimpulan ucap utama
Baha Zain tadi, jelas beliau menghadapi dua masalah besar: (1) keliru dalam
konsep ilmu; dan (2) tidak ikhlas dalam ucapannya kerana menolak bulat-bulat
gagasan Persuratan Baru yang memang memberikan alternatif seperti yang
disebutnya dalam kesimpulannya yang bombastik itu. Jikalau kita menggunakan
ungkapan beliau sendiri yang dipetik oleh penulis surat kepada editor itu, maka
sorry to say, beliau menulis ucapan
itu untuk dirinya sendiri!
Dalam falsafah akhlak Islam,
konsep ujub (conceit, bangga diri)
menjadi penghalang kepada timbulnya kesedaran untuk menambah ilmu. Abul Quasem dalam
bukunya, The Ethics of al-Ghazali: A
Composite Ethics in Islam, menghuraikan konsep ujub itu begini: “Both (i.e. al-Muhasibi dan al-Ghazali) agree that conceit, in addition to causing
all the evils of pride, is an obstacle to knowledge and action, the two primary means to happiness; it makes them
appear sufficient to their possessor so that he neglects efforts to increase
them.” (hal. 140).
Bagaimana menghapuskan perasaan riyak dijelaskan oleh Abul Quasem
seperti berikut: “To get rid of the vice
of ostentation, strong mortification is needed for everyone. In one way, this
vice can be removed from the soul; in another, a man can repel the passing
thoughts which come to his mind when he is engaged in a devotional act. The
former consists of knowledge and action. Knowledge concerns the causes of
ostentation and how it can be removed by realizing the harm it does in the
hereafter, and in this life. The basic cause is love of influence, which is
analyzable into three elements, namely, love of praise, fear of blame and greed
for wealth.” (hal. 135-136).
Semua ini memberi kita satu
pengajaran yang sangat baik tentang perlunya dibereskan terlebih dahulu konsep
ilmu, supaya dengan itu kita dapat menerima hakikat taklif dalam seni
mengarang, dan dengan penerimaan itu, kita terdedah kepada tiga rahsia taklif
yang dibicarakan oleh Shah Wali Allah: ilmu pengetahuan; keadilan; usaha
ikhtiar. Perkara ini dibahaskan dengan agak terperinci dalam Pendidikan Estetika daripada Pendekatan
Tauhid (DBP 1992); Gagasan Persuratan
Baru: Pengenalan dan Penerapan
(Penerbit UKM, 2008). Persoalan ini seperti yang terdapat dalam sastera Melayu
telah dibicarakan dengan mendalam dan teratur oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd.
Tahir dalam syarahan perdana beliau, Kritikan
Sastera Melayu: Antara Cerita dengan Ilmu (Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia, 2007), dan Kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 2009). Jemputlah menikmati hidangan
ilmiah, hidangan akademik, yang tidak akan mengecewakan anda yang cintakan ilmu.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 30/8/2014.