Wednesday, June 1, 2011

APAKAH SUMBANGAN SEBENAR LAPORAN PANEL ANUGERAH SASTERA NEGARA?

Dalam tiga siri tulisan yang lepas, saya telah menunjukkan betapa kritikan sastera Melayu moden dilanda krisis nilai dan krisis ilmu yang teruk, yang saya panggil “fitnah dalam sastera Melayu moden”. Krisis itu dimulai oleh para sasterawan yang terpengaruh dengan cara berfikir Barat melalui Indonesia, dan dilanjutkan dengan lebih bergaya oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Sama ada mereka sedar atau tidak, kekusutan dalam penilaian karya sastera telah terjadi, yang menggambarkan kematangan berfikir yang amat diragui dan kekeliruan dalam konsep ilmu akibat meluasnya keadaan yang dinamakan “pemikiran terjajah” di kalangan ahli panel. Maksud pemikiran terjajah di sini merujuk kepada keterikatan mereka kepada teori sastera Barat yang tidak digunakan dengan kritis, sekadar meniru-niru seperti halnya para sasterawan sendiri amat megah dapat meniru teknik dalam sastera Barat. Mereka tidak kritis kerana mereka menerima konsep-konsep teori Barat sebagai ukuran yang tidak perlu dipersoalkan, terus saja diterima seolah-olah itulah ukuran yang satu-satunya boleh dipakai dalam menilai karya sastera. Sebagai contoh, apabila mereka menyanjung apa yang disebut “eksperimen” dalam penulisan, yang membawa perubahan atau pembaharuan, mereka menerimanya sebagai kebaikan tanpa mengira matlamat “eksperimen” itu dalam konteks yang jelas. Oleh itu “eksperimen” yang mereka maksudkan ialah “eksperimen” dalam konteks nilai-nilai sastera Barat, dengan pembaharuan itu merujuk kepada kelainan daripada kebiasaan yang terdapat dalam sastera Melayu, tanpa mengira sama ada “kelainan” itu baik atau tidak dilihat dari perspektif ilmu yang benar.

Dalam tulisan kali ini saya akan meneliti lebih lanjut akibat kekeliruan Panel Anugerah Sastera Negara  ke atas pemahaman kita tentang sastera dan penilaiannya. Akibat yang kita terima amat merugikan, bertentangan dengan pengalaman kita membina tamadun Melayu berasaskan nilai-nilai Islam. Melalui kritikan dan penilaian sastera yang terbelenggu dalam “pemikiran terjajah” (the captive mind), maka Panel Anugerah Sastera Negara dengan leluasa menggunakan retorik lunak tetapi palsu dalam penilaian mereka sehingga pembaca yang tidak kritis terdorong untuk menerima penilaian mereka yang keliru itu, walaupun penilaian itu pada hakikatnya menutup kejahatan yang nyata sambil menyerlahkan “keunggulan” palsu tentang karya para sasterwan negara yang mereka nilai.  Analisis yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara ini tidak mencerminkan ketangkasan berfikir dan berhujah, sebaliknya hanyalah permainan gaya retorik yang memberi maksud sebaliknya apabila dianalisis dengan kritis. Oleh hal yang demikian, dari segi akademik pandangan mereka sukar dipertahankan; malah kesimpulan mereka bertentangan dengan jiwa dan semangat tamadun Melayu yang berteraskan nilai-nilai Islam itu. Mereka hanya menjadi pengikut teori sastera Barat secara tidak kritis, malah fahaman mereka tentang teori itu pun tidak mendalam, tidak sampai ke tahap yang boleh membuat mereka faham dasar-dasar falsafah teori Barat itu. Sumbangan mereka hanya “penting” dalam konteks negatifnya; oleh itu saya pernah mengemukakan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka supaya menaja seorang atau dua calon Ph.D. untuk mengkaji dasar-dasar yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara ini dalam penilaian mereka, dan sejauh mana ukuran yang mereka pakai mencerminkan kualiti sebenar karya yang mereka nilai. Dengan itu kita dapat menilai secara objektif sumbangan sebenar Panel Anugerah Sastera Negara ini dalam kritikan sastera Melayu moden.

Kecuali Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, (dalam kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu) belum ada lagi sarjana yang membahaskan sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara dalam bidang kritikan dan penilaian sastera. Prof. Hashim Awang dan tiga orang pegawai DBP (salah seorang ialah Kemala) tidak memperdulikan laporan ini dalam buku mereka tentang sejarah kritikan (Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan, DBP 2003), membuktikan laporan ini bagi mereka tidak penting dan tidak wajar diambil kira dalam bidang kritikan. Silapnya pendirian mereka ini telah dibuktikan oleh Prof. Ungku Maimunah yang membicarakan peri pentingnya sumbangan Panel Naugerah Sastera Negara dalam sejarah kritikan Malaysia, terutama sekali dari aspek perkembangan konsep realisme dalam sastera Melayu moden. Buku Prof. Hashim ini tidak saja menolak laporan Panel Anugerah Sastera Negara sebagai dokumen penting yang layak dibincangkan dalam bukunya, malah membisu (dalam erti tidak memperdulikan) tentang  pandangan penting Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). Hal ini terjadi mungkin kerana mereka tidak membacanya, atau jika membacanya mereka mempunyai sikap negatif  terhadap penulis buku ini, yang juga sekali gus membuktikan mereka tidak mempunyai apa-apa pendapat bernas untuk diketengahkan. Saya kira lebih tepat jika kita berkata mereka tidak menganggap buku ini sebagai sebuah buku kritikan sastera Melayu, kerana judulnya sahaja bagi mereka membuat mereka menolak begitu saja apa-apa saja mengenai kritikan sastera yang cukup jelas terbayang di dalam buku ini. Ini menunjukkan fahaman mereka tentang kritikan amat kabur, tidak jelas, lalu dengan itu mereka ketepikan buku penting ini  kerana fahaman sempit mereka tentang kritikan yang ditakrifkan dalam sastera Barat, yang mereka jadikan ikutan yang membelenggu mereka. Mereka juga menolak adanya pandangan kolektif yang diwakili oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang dianggotai oleh Prof. Hashim Awang sendiri.

Dari segi apa laporan Panel Anugerah Sastera Negara itu penting? Pertama sekali, laporan itu memberikan penilaian yang kabur berasaskan “common sense”, bukan berteraskan mana-mana teori sastera tertentu. Penilaian secara umum itu dilakukan untuk mencapai maksud kedua, iaitu untuk meneruskan pengaruh Barat dalam penilaian sastera Melayu, khususnya dalam konteks realisme Abad 19 di Barat. Dengan itu maka tercapailah matlamat ketiga, iaitu untuk membina mitos di sekitar para sasterawan negara yang terpilih, dengan meletakkan mereka sebagai pewaris kesusasteraan Barat dalam teknik penulisan dan dalam gaya yang ditiru dari Barat. Kesemua laporan menekankan  dua aspek ini, ia itu sebagai pewaris kesusasteraan Barat dan gaya yang ditiru dari Barat.  Walaupun mereka bercakap tentang tema, struktur, gaya, watak dan lain-lain tajuk yang biasa kita temui dalam perbincangan tentang novel dan sebagainya, sebenarnya mereka menggunakan istilah-istilah itu dalam konteks “common sense”, bukan sebagai istilah khusus yang mengarah kepada penilaian yang objektif dan jitu tentang karya yang mereka bicarakan. Ambil saja, sebagai contoh, tentang konsep struktur yang mereka pakai dalam pengertian “common sense” itu. Bagi mereka, struktur merujuk kepada cara sesuatu karya dibina atau dibangunkan; mereka tidak merujuk kepada makna yang ingin dicapai. Kerana itu bagi mereka antara ciri struktur yang baik ialah tidak perlunya tema dan perutusan yang jelas, tidak perlunya unsur moral yang membezakan yang baik dan buruk dalam konteks maknanya. Jika soal-soal struktur dari perspektif makna diberi perhatian dan diambil kira, tidak akan timbul kesimpulan “common sense” bahawa karya bernilai tidak perlu tema, tidak perlu perutusan dan sebagainya seperti yang mereka tujukan kepada karya-karya A. Samad Said. Dengan menggunakan “common sense”, maka mereka akan bebas berkata apa saja dengan hanya memberi sedikit hujah yang cetek dan palsu.

Contoh hujah palsu yang mereka pakai ketika membicarakan karya A. Samad Said ialah, antara lain, dengan mengatakan  sasterawan ini memperincikan setiap perkara dan peristiwa, rimbun dengan kata-kata tetapi kering dari segi makna. Ini bertentangan dengan apa yang disebut ciri persis dalam gaya, seperti yang dipakai oleh J. M. Coetzee misalnya. (Catatan: Orang ini pemenang Hadiah Nobel 2003, yang menulis Elizabeth Costillo, yang diulas oleh Prof. Ungku Maimunah dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, hal. 244). Hanya dari segi “common sense” saja sesuatu yang terperinci itu kelihatan baik, pada hal pada hakikatnya membosankan kerana terlalu mementingkan perkara-perkara yang remeh-temeh dengan tujuan untuk memanjangkan cerita, bukan untuk mempertajamkan makna. Kerana terlalu terikat kepada aspek “common sense” ini, maka para anggota Panel Anugerah Sastera Negara ini mensensasikan konsep plot dalam novel A. Samad Said, Langit Petang, sebuah kisah perzinaan seorang perempuan Melayu dengan 18 orang lelaki untuk membalas dendam (seperti yang ditegaskan oleh A. Samad Said sendiri). Menurut panel, “Yang benar-benar berjaya dalam Langit Petang ialah tekniknya. Di sinilah terletaknya keistimewaan A. Samad Said sebagai penulis sehingga rangkaian tiga buah cerpen diadun menjadi sebuah novel yang berkesan.  ...  Tidak dapat disangkal bahawa novel Langit Petang tidak membawa satu tema yang pokok, malahan tidak juga mengemukakan satu perutusan yang sengaja. Tetapi selain tekniknya yang merupakan hallmark karangan-karangan A. Samad Said yang mementingkan pengamatan yang terperinci, novel itu mendedahkan kepelbagaian ragam serta tindakan manusia” (hal. 16).  Apakah kejayaan teknik itu? Ialah merangkai tiga buah cerita pendek untuk dijadikan sebuah novel. Teknik itu berjaya kerana novel itu tidak membawa tema yang pokok, malah tidak ada perutusan yang sengaja. Yang menjadi hallmark dalam teknik itu ialah pengamatan yang terperinci, mendedahkan kepelbagaian ragam tindakan manusia. Yang penting dalam kepelbagaian ragam manusia di sini ialah perzinaan seorang perempuan Melayu dalam Langit Petang. Demikianlah konsep plot itu disensasikan begitu rupa untuk menutup aspek kejahatan manusia dengan menggunakan rangkai-kata “kepelbagaian ragam tindakan manusia”, lantas perzinaan seorang perempuan Malayu yang beragama Islam ditenggelamkan dan diterima dengan simpati. Tidakkah ini suatu manifestasi krisis nilai yang sangat hebat, satu fitnah sastera yang disengajakan, yang tidak dapat dinafikan lagi dengan sengaja memperlihatkan sikap biadab terhadap nilai-nilai murni tamadun Melayu yang berteraskan Islam? Hanya penilaian berasaskan “common sense” yang diasaskan kepada nilai-nilai sastera Barat saja yang memungkinkan kesimpulan yang begitu biadab. Jikalau kita ingin menyatakan sikap panel ini dengan lebih keras, kita boleh berkata bahawa kehilangan adab ini  diangkat menjadi sejenis kejayaan besar, satu kemajuan yang amat dibanggakan, satu hallmark, dalam sastera Melayu moden yang mementingkan (kononnya) teknik dan struktur penulisan novel.

Dalam Daerah Zeni, panel mensensasikan plot novel itu dengan mengemukakan satu analogi yang sama sekali tidak masuk akal, yang sengaja dicari-cari untuk menunjukkan kehebatan A. Samad Said dalam pembinaan plot, padahal yang dilakukan biasa saja, seperti budak-budak bermain coh (sejenis permainan tradisi bercorak strategi berdasarkan penggunaan matematik) berlari sambil melompat ke sana ke mari sama ada untuk melepaskan diri atau untuk mempertahankan kubu mereka daripada dimasuki pihak lawan. Perhatikan kesimpulan laporan panel: “Novel ini bagaikan sekeping kertas besar yang dikoyak-koyak menjadi kepingan-kepingan kecil dan kemudian dibuang sewaktu angin kencang sedang bertiup. Kepingan-kepingan itu terbang bertaburan. Tetapi apabila diusahakan pengumpulan kembali cobekan-cobekan itu, barulah terasa kisah kemanusiaannya. Dan kemanusiaan di sini sama sekali tidak ada peleraiannya” (hal. 18).  Perbandingan ini sama sekali tidak masuk akal, sengaja dicari-cari untuk mensensasikan plot novel ini dengan tujuan hendak memperlihatkan kelebihannya. Lebih masuk akal jika perbandingan itu tidak disensasikan, dengan misalnya membandingkannya dengan sebuah pasu hiasan yang dibuat daripada tembikar, diukir dengan cantik, berwarna warni, seperti pasu Jepun atau China yang selalu kita lihat di rumah-rumah orang berada sebagai perhiasan yang juga menyemakkan ruang dan pemandangan. Sewaktu pasu itu digilap, tiba-tiba terjatuh di atas permaidani indah ketika sedang diangkat untuk diletakkan di tempatnya. Pecah tetapi tidak berderai, masih boleh dikutip dan dicantum kembali oleh seorang pembuat pasu yang cekatan. Tetapi bukan asli lagi, walaupun kelihatan seolah-olah seperti asli. Hanya mata seorang ahli saja yang dapat mengesan keasliannya. Itulah yang terjadi kepada novel Daerah Zeni ini, jika kita mahu menggunakan perbandingan. Tekniknya bukan sesuatu yang asli, kerana Hikayat Seribu Satu Malam sudah menggunakannya lebih dari seribu tahun dahulu, digunakan oleh Shahrazad untuk mengajar suaminya, seorang maharaja, supaya berlaku sopan terhadap seorang perempuan yang dijadikan permaisurinya; dengan menggunakan cerita untuk mencapai dua tujuan: menimbulkan rasa ingin tahu Sang Maharaja, dengan itu menegahnya daripada membunuh isterinya keesokan harinya; dan yang lebih utama, untuk meransang hawa nafsu Sang Maharaja selepas mendengar kisah-kisah erotik yang diceritakan oleh permaisurinya sendiri. Jika kita pakai perbandingan panel, yang menegaskan Daerah Zeni tidak mempunyai plot, maka kita akan dapati konsep plot panel dan A. Samad Said sendiri telah disensasikan begitu rupa untuk hanya membina sebuah cerita yang biasa, bukan untuk membina makna yang mendalam dalam kehidupan manusia. Ceritanya biasa saja, seperti penjelasan panel sendiri (hal. 17-18). Bolehkah kita berkata, dengan menggunakan andaian panel sebagai asas, bahawa “permainan” plot dalam novel tidak berplot ini (penegasan panel sendiri) tidak sama dengan “permainan” idea yang benar-benar akan mencetuskan makna yang mendalam dalam kehidupan manusia, seperti yang dialami oleh watak utama atau watak-watak lain. Seperti yang diakui sendiri oleh panel, novel ini bukanlah sebuah novel idea, tidak berupaya mengangkat idea yang hebat-hebat, walaupun panel memuji A. Samad Said suka “menjelajah dengan idea-idea tentang erti hidup – satu hal yang sering mengacau fikiran dan selalu pula diperkatakan dalam tulisan-tulisannya” (hal. 18). Jika anda perhatikan analogi panel, bahawa Daerah Zeni  tidak mempunyai plot, tetapi dalam perbandingan itu disebut novel ini ibarat sebuah kertas besar yang disiat-siat halus diterbangkan angin kuat untuk kemudiannya dicantum kembali, anda akan lihat yang akan dihasilkan ialah sebuah kertas besar bekas dikoyak-koyak; jadi di sini memang ada matlamat atau tujuan kertas itu dikoyak-koyak dan diterbangkan, sebagai sejenis permainan yang sia-sia untuk mendapat kembali kertas itu. Jadi ada plot, jika tidak tidak mungkin “kertas” dicantum kambali; jadi ada “tema”, dan ada “matlamat”. Demikianlah, analogi yang kabur dan bercelaru hanya akan membuahkan kesimpulan yang keliru tentang maksud dan makna plot dalam penulisan novel. Saya telah sebut perkara ini dalam tulisan yang lepas dan dalam makalah saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan.

Prof. Ungku Maimunah, ketika membicarakan novel Langit Petang dari perspektif feminisme, menolak adanya pemikiran dalam novel itu: “By and large, gender relations in Langit Petang is characterised by a disregard for, rather than, a compliance with, social norms and religious precepts.  Concomitant with this, its gender discourse is a site of contestation and negotiation, and dominant notions of hegemonic masculinity are challenged.  Whilst literal interpretations seem to privilege this voices of dissent, the narrative, however, is structured to destabilise this very opposition. Such gender relations as depicted in Langit Petang and the discourse they make possible make little substantive contribution to an understanding of Islam’s stand-point vis-a-vis man-woman relationships. In this context, critical reception that touts Langit Petang as a novel of ideas is faulty at best and harmful at worst. It also points to the need for a fuller understanding of the importance of privileging knowledge and ideas in creative works, and how this may be realised.” (Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, 2008, hal. 286-287).

Semua ini terjadi kerana panel menggunakan “common sense” untuk menganalisis dan menilai sesebuah karya kreatif. Di sinilah kesilapan Panel Anugerah Sastera Negara yang paling besar, yang akhirnya mewujudkan krisis nilai atau fitnah dalam sastera Melayu moden.

Kita ambil contoh yang lain untuk menjelaskan lagi persoalan ini. Dalam Laporan 2009, istilah yang dipakai menunjukkan terdapat sedikit perubahan, dengan misalnya diperkenalkan istilah intertektualiti ketika membicarakan karya-karya Anwar Ridhwan, dengan penekanan kepada pentingnya eksperimen dalam karya berkenaan dan menonjolnya faham falsafah eksistentialisme untuk memerihalkan kehidupan manusia dalam karya-karya berkenaan. Tetapi dasarnya tidak berubah, yakni panel membuktikan dalam huraian dan analisis mereka bahawa nilai dan teknik Barat masih diteruskan, dengan sedikit bumbu daripada unsur-unsur tradisional yang tidak bersifat Islam. Manusia yang dijadikan bahan dalam karya-karya Anwar Ridhwan adalah manusia yang dilihat daripada perspektif faham falsafah Barat, tidak berasaskan konsep taklif, malah konsep ini belum lagi muncul dalam karya para sasterawan kerana mereka berasa selesa dan yakin menggunakan istilah dan falsafah Barat, walaupun ketika mereka berbicara tentang watak-watak beragama Islam dalam karya mereka.

Sanjungan Panel Anugerah Sastera Negara kepada percubaan yang bersifat eksperimen dalam karya-karya Anwar Ridhwan dilihat seluruhnya dalam konteks nilai-nilai Barat dan faham falsafah Barat. Oleh itu cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” menjadi ukuran utama dalam menilai karya-karya sasterawan ini, sebuah karya yang mencerminkan kehidupan manusia dalam konteks eksistentialisme yang disebut oleh panel. Masih juga terdapat usaha mensensasikan teknik, atau plot dalam karya Anwar Ridhwan, dengan misalnya melontarkan kesimpulan yang cukup berani bahawa cerita pendek yang menjadi “kebanggaan” peribadi Anwar Ridhwan itu adalah sebuah karya yang bercorak filosofikal, yang melihat dunia hanya sebuah apartmen  tempat manusia hidup bebas melakukan apa saja. Di sini pun, seperti dalam laporan terahulu, Laporan 2009 ini menerima perzinaan (oleh watak Melayu yang Islam) sebagai suatu tema yang tidak dapat dielakkan dalam konteks moden. Nampaknya soal perzinaan dalam karya-karya para sasterawan Melayu Islam ini sudah menjadi suatu kebiasaan yang tidak boleh tidak perlu ditonjolkan dan diterima dengan baik, malah dengan pujian, oleh para penilai yang menganggotai Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam konteks inilah falsafah hidup manusia ditonjolkan, sama seperti yang dilakukan oleh para penulis Barat dalam karya mereka. Jadi apakah beza sasterawan Melayu yang pergi ke masjid dengan sasterawan Barat (sama ada yang pergi ke gereja atau yang tidak pernah)? Dari segi prinsip bersastera mereka adalah sama, dan ini diakui oleh Laporan 2009 yang menegaskan Anwar Ridhwan tidak keberatan menggunakan “alusi” dalam konteks intertekstualiti yang terdapat dalam karyanya berasaskan segala mitos dan legenda dari Barat mahupun dari Timur (misalnya dongeng Jawa).  Jika kita ditanya, Apa salahnya menggunakan semua ini dalam karya sastera moden? Maka jawapannya cukup mudah: Adakah semua ini mengarah manusia kembali kepada taklif?  Tentu saja tidak, dan dalam konteks inilah kita mempersoalkan kebijaksanaan para sasterawan kita terus bergelumang dalam nilai-nilai sastera Barat, padahal kita mempunyai pilihan yang terbaik dalam perkembangan intelektual dan keilmuan Islam yang boleh digali dan dihidupkan dengan kreatif dalam karya kreatif.  Bolehkah kita “bereksperimen” dalam konteks taklif? Tentu saja soalan begini tidak pernah diajukan oleh panel dalam laporan mereka, kerana para sasterawan sendiri tidak menyentuhnya dalam karya mereka. Jika itulah kenyataannya, maka bolehkah kita terus berkata, seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, (satu contoh antara beberapa contoh yang lain), “Naskhah drama ini (Yang Menjelma dan Meghilang) digarap dalam bentuk dan wajah eksperimental yang amat baharu, dengan menjalinkan beberapa dimensi latar masa dan tempat sehingga mencapai kesan hibriditi. Kesan hibriditi dilihat sebagai mendasari identiti manusia yang kian berubah dan kompleks” (hal. 21).  Dalam konteks taklif, apakah maksud “kesan hibriditi”? Apa pula maksud “kesan hibriditi” dalam konteks kehidupan manusia moden? Panel memberi jawapannya: “Kesan hibriditi dilihat sebagai mendasari identiti manusia yang kian berubah dan kompleks”.  Jika inilah maksud perubahan yang sering dipuji oleh panel yang menurut mereka terdapat dalam karya sasterawan negara, maka maksud perubahan itu tertumpu ke arah kehidupan hedonistik, hidup berasaskan hawa hafsu rendah manusia. Adakah manusia jenis “hibrid” ini manusia yang unggul, yang ideal? Sensasi begini cukup kaya dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang jika dilihat dalam konteks ilmu yang benar, maka sensasi seumpama ini tidak lebih daripada omong kosong, yakni hanyalah ocehan, idle talk menurut Heidegger. Dan ocehan begini sangat banyak terdapat dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Persoalan begini memang menjadi kegemaran dalam realisme, apatah lagi dalam realisme magis yang sangat diminati itu; dan inilah “persoalan” yang digemari oleh para penulis Barat dan sasterawan Malaysia (yang Melayu).  Oleh itu, jika sasterawan Malysia melakukan “perubahan” dalam konteks yang dilakukan oleh para penulis Barat, maka dia hanyalah menjadi pengikut dan tumpang bermegah kerana sudah termasuk ke dalam kumpulan yang dinaungi sastera dan sasterawan Barat. Bagi kita ini bukan perubaha, tetapi hanya sejenis peniruan yang sebenarnya tidak berasaskan jatidiri yang kuat, tidak juga berasaskan kekuatan kreatif dan keunggulan ilmu. Wajarkah kita berkata, manusia hibrid yang dimaksudkan oleh panel itu ialah mereka sendiri?

Begitulah, membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara selama lebih tiga puluh tahun ini cukup membosankan. Jalur analisis dan cara penilaian mereka tidak berubah, sudah menjadi klise dalam kritikan sastera Melayu moden. Meskipun mereka nampaknya cukup senang menerima “perubahan” yang kononnya dilakukan oleh para sasterawan negara, namun kaedah panel menganalisis karya yang kononnya “berubah” atau “menunjukkan adanya perubahan” dalam sastera dan karya sastera tidak dapat membaca “perubahan” itu dengan tepat dan objektif, kerana mereka masih menggunakan alat-alat analisis yang sudah tumpul, tidak berupaya menggigit kecenderungan kepada “perubahan” yang kononnya ditunjukkan oleh para sasterawan negara itu. Paling baik yang dapat mereka lakukan ialah terjun ke alam fantasi mereka sendiri berasaskan “common sense” mereka yang tidak terarah kepada penjelasan tentang ilmu dan keupayaan kreatif yang tinggi berteraskan konsep ilmu yang benar yang sewajarnya telah ditunjukkan oleh para sasterawan negara setelah kita bergelumang dalam karya mereka selama lebih tiga puluh tahun ini. Tidak adakah suatu perubahan yang sebenarnya perubahan yang diingini oleh kita semua (walaupun ramai yang sukakan sifat sastera Melayu yang hedonistik), yang meletakkan ilmu yang benar di atas, bukannya terus mengelirukan konsep ilmu dan berterusan berada di dalam kekeliruan yang cetek meraba-raba, tidak dapat membezakan mana yang benar mana yang tidak benar? Apa juga perubahan yang tidak mengarah kepada kefahaman yang betul tentang konsep ilmu dalam persuratan, bukanlah perubahan, tetapi hanya penerusan kekeliruan yang akan lebih mengelirukan. Jika ada di antara anggota panel sedar bahawa mereka telah melakukan kesalahan dalam penilaian mereka (contoh: Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh), atau yang mengajak kita membuang pengaruh Barat (contoh: Prof. Dr. Zawiah Yahya), maka mengapa kita harus meneruskan usaha yang sia-sia untuk hanya menjadi appendix kepada kebudayaan Barat moden yang hedonistik dan anti-agama itu dalam penilaian kita dan dalam penulisan karya kreatif? Mahu tidak mahu laporan Panel Anugerah Sastera Negara ini perlu dikaji dengan lebih mendalam, secara akademik, oleh seorang atau dua orang calon Ph.D. yang berkualiti, supaya semua pertanyaan yang diajukan di sini diberi jawapan dan penjelasan yang benar-benar berasaskan analisis dan penghujahan yang tinggi standard akademiknya, seperti yang dicontohkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya. Itulah standard  yang sepatutnya menjadi ukuran para ahli akademik Malaysia. Sayangnya ini tidak terdapat dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara.

Mohd. Affandi Hassan, 30/5/2011.



18 comments:

  1. As-salam Tn Hj Affandi. Saya sangat berharap tulisan-tulisan entri Tn Hj dalam blog ini dibukukan.

    ReplyDelete
  2. Salam.

    Insha Allah akan menyusul. Sedang diusahakan. Terima kasih atas perhatian tuan.

    ReplyDelete
  3. As-salam Tn. Haji.

    Saya merujuk kepada tulisan "Fitnah Dalam Politik dan Fitnah Dalam Sastera" oleh Tn. Hj.

    Saya mengikuti perkembangan politik fitnah ini dengan dekat. Apabila membaca pelbagai tulisan yang memperkatakan hal ini, saya melihat pelbagai perspektif. Salah satu perspektif yang popular, ialah DS Anwar Ibrahim difitnah.

    Persoalannya di sini, bagaimana sesetengah pihak boleh menuduh Anwar difitnah? Apakah keyakinan yang menyebabkan seseorang individu begitu yakin akan beliau difitnah? Bukankah, dalam hal ini, terdapat kemungkinan yang sama besar juga bahawa, tuduhan menyatakan Anwar difitnah, juga adalah fitnah? Saya harap Tn. Hj dapat mengulas hal ini.

    Selain itu, saya tidak bersetuju dengan menyatakan politik fitnah ini hanya dimasyarakatkan oleh BN dan Mahathir sahaja. Tetapi saya melihat, politik fitnah telah berlaku, khususnya dirakyatkan oleh parti oposisi sendiri, di pentas-pentas ceramah, misalnya oleh penceramah PAS. Pelbagai tuduhan dilakukan oleh mereka dan setiap tuduhan itu tidak pun didatangkan dengan bukti-bukti yang pasti. Jadi, dalam hal ini, semua pihak, bertanggungjawab merakyatkan politik fitnah ini.

    Apakah Tn. Hj boleh terlupa bahawa dalam beberapa kes politik seks belakangan ini, termasuk kes video seks Chua Soi Lek. Jika benar para politikus, khususnya oposisi, termasuk DSAI menolak politik kotor, maka, dia sepatutnya berdiam diri sahaja dan tidak memainkan isu ini. Tetapi lihat, bukankah beliau turut terlibatkan dan menggunakan isu itu untuk memburukkan Chua Sua Lek dan juga imej politik MCA, dan seterusnya dikaitkan dengan BN? Jadi, saya melihat, politik diMalaysia sebenarnya yang tidak bermoral. Para politikus, tanpa mengira di sebelah mana mereka berdiri, hanya menanti peluang sahaja. Termasuklah Tn Guru Nik Aziz, dalam konteks Chua Soi Lek ini. Malah, Tn Guru Nik Aziz terus-terus membuat pandangan-pandangan yang tidak perlu, dan menimbulkan kontroversi. Misalnya, menganggap Tuhan itu Maha Samseng.

    Isu yang seterusnya yang hendak dibangkitkan oleh saya ialah tentang 'video seks DSAI'. Kebanyakan 'ulama' menyatakan tidak timbul keperluan agar ANwar bersumpah. Tetapi, akibat Anwar tidak bersumpah, spekulasi liar berterusan di luar. Dalam konteks yang lain, jika beliau bersumpah sekalipun, itu tidak akan mengikis imejnya sebagai seorang Muslim yang soleh. Malah, ketika ditanya tentang jam omega, beliau ada kalanya mengelak, dan menimbulkan keperluan untuk memperlihatkan jam tersebut. Bagi saya, sudah timbul keperluan untuk menunjukkan jam itu kerana, dengan adanya jam itu, masyarakat tidak menimbulkannya lagi, dan fitnah juga tidak bersemarak dalam kalangan rakyat. Apakah dengan menunjukkan jam itu berdosa, dan mesti dielakkan? Pada hal, dengan menunjukkan jamnya, banyak imnplikasi negatif dapat dielak.

    Saya juga mahu bertanya Tn Hj tentang ucapan Anwar di Forum Ekonomi London. Dalam ucapannya itu, beliau seolah-olah menyatakan tanggapannya bahawa agama itu sama. Jadi, apakah implikasinya, atau bagaimana menurut pandangan tn Hj.

    Saya berharap Tn Hj mengulas isu ini dengan kritis.

    Simuragh.

    ReplyDelete
  4. Saya jawab kes ucapan Anwar terlebih dulu. Saya rujuk kitab-kitab karangan Tok Guru Hj.Nor, Mufti Kelantan (bekas) yang diminta oleh Perdana Menteri/Timbalan PM menulis tentang hadis dan tafsir Quran. Dalam kitab hadis susunan beliau (diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri), dijelaskan dengan terang dan nyata contoh-contoh orang Islam jadi murtad jika berkata, berbuat, kritik dan sebagainya yang menyalahi hukum Islam. Adakah Anwar Ibrahim sudah sampai ke peringkat itu dalam ucapannya? Jika tidak, dia hanya memberikan pandangannya, yang sudah tentu tidak sama dengan pandangan anda (mungkin juga saya).

    Tentang fitnah, semuanya bermula apabila Dr. Mahathir hendak singkirkan Anwar dari UMNO kerana mencabar beliau. Sebelum itu tidak ada. Selepas Anwar keluar jil, pengaruhnya masih kuat, beliau difitnahkan lagi. Segala peralatan kerajaan dikerah untuk memastikan beliau dimusnahkan dengan menggunakan seks sebagai strategi. Itulah fitnah, kerana motifnya jelas dan tindakan dibuat untuk menyampaikan motif itu. Ulama yang jadi menteri agama pun terlibat, kerana dia menentang pelaksanaan hukum Islam bila Anwar mahu dibicarakan cara Islam. Kalau dia setuju, kerajaan akan malu kerana tidak ada saksi, oleh itu mereka takut dikalahkan. Yang penting: kalah atau menang, bukan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam. Tentang parti bukan UMNO/BN mengutuk pemimpin kerajaan, itu bukan fitnah jika dibandingkan dengan apa yang kerajaan buat terhadap musuh ketatnya, Anwar Ibrahim. Itu namannya kritikan, walaupun kadang-kadang sangat keras. Mereka mahu tahu, kerana tidak mahu beritahu. Jadi mereka kritik. Misal: mengapa Altantuya dibunuh? Mengapa dia datang ke Malaysia? Nak jumpa siapa? Tak ada orang yang mahu mengaku. Jadi beliau datang sebagai pelancong. Mengapa seorang pelancong yang amat ditunggu oleh Malaysia tiba-tiba dibunuh, kemudian diletupkan berkecai? Pelik dan amat jahat, dan itu ada kaitannya dengan kakitangan kerajaan, guna peletup khas kepunyaan kerajaan. Bukan fitnah jika rakyat mahu tahu cerita sebenar. Mengapa tidak mahu beritahu? Tidak mahu beritahu itulah fitnah, bukan orang yang minta mahu tahu yang buat fitnah. (Bersambung)

    ReplyDelete
  5. (Sambungan):

    Satu lagi fitnah besar dilakukan oleh “ulama” kerajaan dan bukan kerajaan, serta penceramah motivasi, guru dan ahli politik (terutama jenis UMNO) iaitu mengenai tafsiran ayat: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (Tafsir al-Rahman, 13:11, hal. 468 versi Jawi, 1983). Kata orang yang saya sebut itu, rakyat mesti ubah diri mereka, dari miskin jadi kaya, dari mundur jadi maju, dari sokong PAS jadi sokong UMNO (dan sebaliknya), dan lain-lain, baru maju. Itulah fitnah yang amat jahat, kerana maksud ayat itu bukan begitu. Inilah peringatan yang diberikan oleh Tok Guru Hj. Nor, dalam nota 444, hal. 468: “Yakni mana-mana kaum yang hidup senang linang dan aman damai, disebabkan oleh iman dan taat kepada Allah ‘Azza wa Jalla, juga oleh akhlak yang mulia dan terpuji, maka Allah Ta’ala tidak akan mengubah keadaan mereka yang baik itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dari iman dan taat, kepada kufur dan ma’siat, dan akhlak yang mulia kepada akhlak yang keji, kerana segala sifat-sifat dan perbuatan yang jahat dan keji itulah sebab yang membawa kehancuran. Demikian sunah Allah atau undang-undang peraturan Allah yang tetap berlaku kepada sekalian makhluknya.” Bila Altantuya dibunuh dengan kejam dan jahat, UMNO menghadapi masalah kerana kerajaan terlibat (polis itu pegawai kerajaan, bom yang digunakan kepunyaan Kementerian Pertahanan, kerajaan juga). Anwar difitnah pun oleh kerajaan, dengan bantuan kerajaan, bukan saja-saja masuk mahkamah. Tapi yang paling celaka ialah apabila para hakim didapati menipu, dengan bantuan Perdana Menteri, seperti yang disahkan oleh Suruhanjaya Lingam Tapes. Kalau sudah begitu, siapakah yang menegakkan keadilan? Itulah fitnah terbesar. Hakim Beruk dalam cerita dongeng Melayu betul-betul muncul dalam zaman moden, akibat melalui teori evolusi Darwin. Teori Darwin pun satu fitnah ilmu, tiba-tiba menjelma dalam sistem penghakiman kita melalui keturunan Hakim Beruk yang jadi bacaan budak-budak sekolah sebelum perang.

    Apakah fitnah dalam sastera Melayu? Itu saya sudah jelaskan, boleh baca lagi jika mahu.

    ReplyDelete
  6. Bertemu lagi,
    "Berlaku adillah kamu,kerana adil itu lebih hampir kepada taqwa".
    Fitnah merupakan antara dosa besar walau siapa yang melakukannya.
    Dalam kes Chua Soi Lek jelas beliau sendiri mengakui dirinya "orang yang dalam rakaman video itu".
    Tanda moralnya,keberanian dan akhirnya terbukti dia diterima kembali dalam arena politik tanahair dan disanjung oleh para penyokongnya.
    Merujuk kepada kes zina DSAI seperti disebar dalam vcd,fokus kita mudah sebagai seorang Muslim jika benar dia sabit terbabit secara undang-undang yang sah,maka dia wajib bertanggungjawab atas dirinya dan berhak dihukum sebagai pesalah.
    Cuma apa yang dipertikaikan adalah cara atau teknik tuduhan itu dibuat tidak diterima oleh Islam dan tertolak.
    Sudah jelas al Quran menuntut empat orang saksi yang beragama Islam dan adil untuk mensabitkan tuduhan tersebut.
    Oleh sebab hal ini tidak wujud,ertinya dia belum bersalah disegi hukum syarak.
    Malah penuduhnya telah melakukan qazaf_menuduh berzina.
    Orang yang berhak untuk bersumpah ialah orang yang dituduh jika dia mahu bukannya orang yang menuduh.
    Orang yang menuduh mesti mengemukakan bukti/keterangan dan saksi-saksinya.
    Menurut orang yang arif telah mengkaji ucapan DSAI di Forum tersebut dengan saksama tidak ada atau bermaksud seperti menyamakan akidah Islam dengan ajaran bukan Islam,ini hanyalah dakyah terhadap beliau semata-mata.
    Demikian sedikit maklum balas.Wallahu 'alam.
    Kebaikan daripada Allah,salah dan silap adalah kelemahan diri saya.
    Sekian,terimakasih dan salam.

    ReplyDelete
  7. Takkanlah Anwar nak buat kerja2 macam tu kan? Anwar Ibrahim tu kan ke Mat Sum? bersih dari segala dosa....

    pelik kan? dalam banyak pemimpin Melayu Anwar sorang je asyik kena tuduhan sex.

    Kesian Anwar....asyik kena je.

    Jahat betul UMNO ni ye.

    ReplyDelete
  8. Salam Tn Hj Affandi. Sayang blog Tn Hj yang serius ini diceroboh dengan komen-komen tak elok. Saya cadangkan ditapis dulu sebelum disiarkan komen-komen itu supaya blog ini tidak tercemar. Terima kasih. Harap maaf.

    ReplyDelete
  9. Salam Tuan Anonymous yang mulia hatinya.

    Saya OK. Tak perlu tapisan. Kerajaan UMNO/BN sudah buat macam-macam tapisan, tak perlu tambah lagi. Yang masuk blog ini semuanya sasterawan, sarjana, pengkritik, mungkin guru sastera, peminat sastera dll. Mereka orang baik-baik. Cakap baik-baik, beradab sopan, terbuka dan matang. Jika ada yang agak nakal, taklah sampai biadab. Sudah jadi budaya Melayu suka mengejek, menyindir, berseloroh, menempelak, mengata orang, mengumpat , menuduh yang bukan-bukan untuk berseronok dan macam-macam yang serupa itu. Bukan selalu, sekali sekala apa salahnya untuk memuaskan hati masing-masing yang mungkin kusut kerana belum betul-betul bersih. Walau apa pun motif mereka, nampaknya mereka baca fasal gagasan Persuratan Baru. Itu sudah cukup baik, meskipun untuk menyindir mengejek atau apa saja yang mereka suka. Komen akhir: semua mencari kebaikan. Kita doakan kebaikan untuk mereka. Amin.

    ReplyDelete
  10. salam Tuan Affandi.

    Rasanya tak perlu berpatah arang berkerat rotan dengan sasterawan negara,mereka jua penyokong Anwar yang tegar

    A Samad Said penyokong PKR
    Muhammad Hj Salleh penyokong PKR
    Azizi Hj Abdullah penyokong PKR
    Anwar Ridzuan penyokong PKR
    Shahnon Ahmad pun sama

    jadi kita sama.....

    Musuh kita adalah UMNO,bukan sasterawan negara

    ReplyDelete
  11. Salam Encik Anonymous (banyak sangat anonymous menjelma sekarang selepas UMNO/BN isytihar mereka telus dan semua rakyat 1Malaysia telus!!).

    Siapa kata saya memusuhi sasterawan negara? Mereka yang memusuhi saya kerana tidak puji mereka. Saya hanya kritik mereka, bukan memusuhi mereka. Cuba saya puji-puji mereka sekarang, tak ada permusuhan lagi. Sasterawan negara ini macam raja2 Melayu, mesti dipuji. Feudalisme sastera lebih dahsyat daripada feudalisme politik. Itu tandanya sasterawan belum dewasa, lebih angkuh daripada raja2 ...

    ReplyDelete
  12. Assalamualaikum Tuan Affandi,
    setelah membaca Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, dapatlah saya simpulkan bahawa apa yang tuan dan rakan-rakan sedang perjuangkan ialah menentang sekularisasi sastera Melayu.

    Kesannya, bahasa Melayu dan sastera Melayu setelah 50 tahun kita merdeka semakin jauh dari bangsa Melayu sendiri dan bangsa Malaysia. Padahal melalui bahasa dan sasteralah kita berupaya mengungkap pemikiran dan idea agung sesuatu bangsa.

    Wallahu'alam.

    ReplyDelete
  13. Assalamualaykum, Tn Hj.

    Saya mahu respon sedikit lagi tentang tulisan dan jawapan Tn Hj berkaitan fitnah politik itu.

    1. Tentang politik fitnah, saya tekankan sekali lagi, semua parti mempunyai sahamnya masing-masing. Budaya memfitnah bukan budaya Umno sahaja, tetapi juga budaya pembangkang, Pas misalnya, dan hal ini dibuktikan dengan mudah sekali jika kita mengikuti ceramah-ceramah politik mereka, khususnya pada era 90-an hingga tahun 2000. Islam melarang kita menyebarkan khabar angin atau sesuatu khabar yang tidak ada buktinya. Tetapi politik kita ini, tanpa pengecualian mana-mana parti, suka sekali menyebarkan khabar dan tuduhan, dan tidak disertakan dengan bukti. Contoh yang paling akhir, kita lihat, lidah parti Keadilan, surat khabar mereka, suka sekali menayangkan pelbagai berita politik sensasi, dan juga turut dikesani turut memanipulasi ucapan pemimpin pembangkang sendiri. Jadi, jika benar memang wujud keikhlasan dan mahu mengubah lanskap politik kita ke arah yang lebih baik, jadi, mengapa tidak timbulkan pandangan tentang Islam pula dalam menghadapi hal ini.

    Berdasarkan pelbagai peristiwa tersebut, dan sikap pilih bulu politikus kepartian, saya menyimpulkan, memang sudah tidak ada lagi politik yang bersih. Semua terlibat dalam politik yang kotor, dan hanya menggunakan Islam, apabila dilihat akan keuntungannya.

    (akan bersambung)

    Simuragh

    ReplyDelete
  14. 2. Mungkin saya perlu timbulkan beberapa isu yang lain, dan kebetulan, saya rasa Tn Hj sendiri sangat arif tentang hasil penulisan Syed Muhammad Naguib al-Attas. Dalam konteks ini, ada beberapa isu yang penting, misalnya isu kalimah Allah, yang digunakan dengan hebat sekali oleh DAP untuk meraih pengaruh di Sabah dan di Sawarak, isu pemurtadan, dan beberapa ulasan Tn Guru Nik Aziz sendiri, yang tidak pula selari dengan AWSJ, dan juga tentang beberapa isu dan ucapan DSAI. Saya kira, dalam banyak buku Syed Muhammad Naquib, khususnya 2 yang terpenting dan dianggap hasil agung beliau, ialah Islam and Secularism dan Prolegomena. Dalam kedua-dua buah buku itu, beliau telahpun menghuraikan masalah ketuhanan dalam tamadun Barat yang menyebabkan mereka menjadi keliru dan seterusnya terjebak dalam pelbagai persoalan hidup. Salah satunya, beliau menekankan akan tamadun Barat itu, tidak pernah mempunyai nama Tuhannya sendiri secara tetap, merangkumi dari zaman Pra Socrates, Zaman Klasik, Zaman Pertengahan, dan selepas itu. Nama -nama tuhan mereka, sentiasa berubah, melihat kepada siapa yang mnguasai ruang wacana zaman itu.

    Apa yang saya hendak ditekankan oleh beliau ialah peri pentingnya pengenalan kepada nama Tuhan itu sendiri, dan dalam Islam, nama Allah itu tidak diberikan oleh budaya dll, tetapi diberikan oleh Allah. Jadi, saya menyimpulkan nama Allah itu penting, dan mempunyai medan semantiknya yang tersendiri, dan saya yakin Tn Hj sendiri telah pun membaca karya-karya Izutsu yang menjelaskan tentang hal ini. Jadi, dalam soal ini, mengapa orang Islam, dan dalam konteks ini, orang seperti Tn Guru Nik Aziz boleh mempunyai pendirian yang memecah belahkan dan berbahaya. Saya masih ingat, dan tidak dapat memadamkan ingatan apabila saya meihat satu rakaman dalam u-Tube tentang betapa angkjuhnya tn guru yangs eorang ini menempelak Tn Guru Harun Din tentang isu Kalimah Allah, dengan riak muka dan gerak tubuh yang angkuh.

    Begitu juga dengan Anwar Ibrahim dalam isu ini, Saya kira ucapannya itu tidak boleh dianggap sebagai satu 'pandangan ilmiah' dan bersifat peribadi, kerana isu itu ialah isu akidah, yang menjadi teras tasawwur. Apabila soal absolutisme Islam telah diganggu-gugat dalam pemikirannya, maka, sudah tentu pelbagai cabarang yang berkar daripada teras itu turut akan berubah. Misalnya, kita lihat satu ucapannya ketika ditanya oleh wartawan Australia dalam isu kemurtadan Lina Joy, dan dia menyokong kemurtadan itu atas isu hak asasi manusia. Jadi, berbalik kepada pandangan al-Attas, bahawa, tidak ada ruang dalam ruang epistemologi dan ilmu Islam, bahawa antara kepercayaan dan pandangan dipisah-pisahkan. Beliau menekankan akan pentingnya kedua-dua disekalikan, dalam erti kata apa yang diperkatakan dan difikirkan, juga hendaklah dilaksanakan. Jadi, bagi saya, dalam isu Anwar, kita tidak boleh menjawab dengan hujah sebegitu, kerana ini ialah isu besar. Bayangkan, bagaimana suatu masa nanti, jika beliau ditakdirkan menjadi PM, apakah pandangan alam yang berbau transedental sebegitu tidak memberikan kesan kepada Islam? Sedangkan, saya rasa, Tn Hj sendiri mengetahui bagaimana pola tingkah laku Anwar sebagai seorang pentadbir.
    bersambung;

    Simuragh

    ReplyDelete
  15. Dan kepada Wan A. Jalil

    3. Apakah pula pandangan syariat tentang isu murtad dan orang yang menyokong pemurtadan? Dan apa pula pandangan syarak dan AWSJ apabila ada orang penting pas sendiri beranggapan Allah itu duduk di atas Arasy, seperti mana 'hamba sedang duduk ni'? Dan apa pula hukumnya apabila pelbagai khabar angin yang dilemparkan di media pembangakang, di pentas pembangkang, yang tidak pun disertakan dengan bukti-bukti? Apakah Islam membenarkan hal ini?

    Simuragh

    ReplyDelete
  16. Alhamdulillah dan salam kepada pembaca semua,
    Saya dahului mengucapkan berbanyak terimakasih kepada Pak Affandi dan izinnya selaku tuan blog Gagasan Persuratan Baru (GPB) ini untuk kita sama memanfaatkan masa dan ruang ini.
    Insya_Allah, saya cuba memberikan sedikit respon ringkas terhadap isu besar yang dibangkitkan tempohari.
    Saya melihat tiga isu yang penting dikemukakan;1.Hukum Berhubung Murtad 2.Manhaj Akidah dan 3.Fitnah (Penyebar berita bohong).
    Untuk perkara pertama dan ketiga saya kembali kepada al Quran (2;217) fokus saya terhadap besarnya dosa dan keburukan fitnah dan erti kalimah ‘fitnah’ dalam gaya bahasa al Quran.Dalam ayat ini juga ada disebutkan akhir kesudahan atau akibat buruk untuk orang yang murtad.
    Secara lebih terperinci pembaca yang berminat boleh melihat takrifan istilah ini di buku “Fikih Sunnah” karangan Sayyid Sabiq jilid ke 9 dalam bab Riddah.
    Saya juga meninjau tulisan Yussamir Yusof dalam buku beliau berjudul “Akidah Kita Nyawa Kita”,cet. Karya Bestari,Tahun 2010,di bab 7 “Murtad”.
    Silalah rujuk kepada lain-lain lagi sumber yang lebih besar dan banyak.
    Mohd Affandi telah pun menyebutkan tentang bagaimana pandangan atau sikap ulama ketika berhadapan dengan kenyataan seseorang yang hendak dihukumkan sebagai terjerumus akidahnya atau menyokong murtad dan sebagainya.
    Mufti sekalipun mesti melihat dan meneliti supaya jelas kepadanya apakah yang sebenarnya berlaku.
    Suka saya menukilkan terjemahan dari buku “Fikih Sunnah” ,Sayyid Sabiq menyebutkan kata-kata Imam Malik bermaksud,”Jika keluar dari seseorang sesuatu yang mempunyai 99 alternatif kekafiran dan satu alternatif keimanan, maka ia digolongkan sebagai orang yang beriman!”
    Rujuk pula al Quran (49;6),di sini Allah mendidik umat bagaimana sikap mereka apabila mendapat sesuatu berita,sifat pembawa berita dan penelitian terhadap berita dan kerana berita itu akan mengakibatkan kemusnahan.Ini adalah iktibar,pengajaran untuk mencipta damai.harmoni dan kesejahteraan masyarakat.pedoman dari wahyu ini adalah untuk setiap umat Islam.
    Oleh itu bagi saya rangkaikata “sepertimana hamba duduk ni” perlu lagi dicermati.Orang yang mengeluarkan perkataan itu yang lebih berhak menjelaskan maksud atau tujuannya.Wallahu ‘alam.
    Begitulah juga jika kita benar-benar ikhlas ingin mencari sesuatu perkara,misalnya kalimat yang sedemikian juga pernah disandarkan oleh seseorang tokoh kepada tokoh umat pada zaman dahulu yang matlamat penulisan tersebut untuk menghina,menjatuhkan maruah dan hanya orang tersebut lebih mengetahui segala isihatinya.
    Sekian jawaban yang ringkas dan umum pula.Sekadar coretan santai.Terimakasih dan maafkan di atas apa yang tidak lancar dan teratur.
    Kepada semua salam hormat daripada saya hanya penumpang, membaca laman tuan-puan,sahabat sekalian.Jika dapat kita sama-sama berkongsi.
    W’alam.

    ReplyDelete
  17. Sokong PAS takpe, jangan sokong Anwar.

    ReplyDelete
  18. Saudara yang dihormati yang beri komen.

    Terima kasih atas perhatian tuan-tuan semua. Saya ditegur oleh kawan-kawan kerana kata mereka terlalu memberi laluan begitu bebas untuk anda semua membuat komen yang jelas tak menyentuh persoalan kritikan sastera. Saya punya pandangan berbeza: politik dan perilaku orang politik menjadi tiruan para sasterawan, malah lebih menggerunkan lagi jika anda faham maksud saya. Saya tidak perlu jelaskan. Saya yakin anda lebih tahu jika anda mengikuti gerak-geri mereka (para sasterawan dan sarjana etc). Yang penting bagi saya dua perkara yang perlu dibereskan. Pertama, jika kita mahu sastera (lebih tepat persuratan) kita betul-betul maju, kita harus bereskan konsep ilmu. Sekarang para sasterawan tidak pandang perkara ini penting. Mereka samakan ilmu dengan maklumat, kerana itu mereka terus keliru. Kedua, kita harus bereskan kedudukan pengaruh Barat dalam sastera Melayu moden. Sekarang ada orang yang kata tidak perlu pengaruh Barat, kerana kita bukan Barat. Tapi buntu bila ditanya, jadi apa yang kita perlu buat? Bisu. Mereka malu hendak mengaku bahawa tanpa pengaruh Barat mereka akan jadi bisu, tak boleh berbicara tentang sastera. Mengapa? Kerana mereka tidak jelas dan tidak faham konsep ilmu. Jadi dua perkara ini mesti dijelaskan. Insha Allah saya akan menulis lebih lanjut menjelaskannya. Oleh itu saya perlu kritikan anda semua, kritikan berasaskan ilmu, bukan berasaskan perasaan suka atau tidak suka. Mulai saat ini, kita semua perlu dewasa ...

    ReplyDelete