Saturday, May 14, 2011

Benarkah Sastera Melayu Moden Dipinggirkan?


Kita sering mendengar rintihah (keluhan kecewa?) setengah sasterawan dan orang-orang yang berminat dengan sastera (guru sastera, pensyarah/profesor, pengkritik) yang mengatakan sastera Melayu moden dipinggirkan. Paling galak bercakap tentang “peminggiran” sastera ini ialah sasterawan negara, yang menerima pelbagai kemudahan dan ganjaran dari kerajaan, termasuk gelaran yang mengikuti nama mereka setiap kali disebut nama mereka. Adakah inilah yang dinamakan peminggiran? Ada di antara mereka yang bersungut, kurang sangat dibuat terjemahan terhadap karya mereka, padahal mereka adalah golongan istimewa dan telah dibuktikan dengan tidak dapat dinafikan lagi keistimewaan itu dengan pemilihan mereka sebagai sasterawan negara.

Dua perkara yang perlu diperhatikan. Pertama, mereka tidak berasa puas walaupun telah diberi keistimewaan yang berlebihan, mahu disembur hingga basah kuyup dengan pujian dan sanjungan dan lain-lain keistimewaan, tidak cukup dengan siraman kemudahan biasa walaupun sudah lebih dari memadai. Mereka tidak berasa terkilan sedikit pun apabila karya mereka yang tidak bermutu sebelum mereka dilantik sebagai sasterawan negara, tiba-tiba menjadi bermutu setelah diberi sanjungan dan pujian oleh penilai rasmi (Panel Anugerah Sastera Negara) dan tidak rasmi (terdiri daripada pengkritik, pensyarah, lain-lain sasterawan yang memuja mereka). Tidakkah ini merupakan pengiktirafan yang berlebihan? Ini membuktikan karya mereka diiktiraf dan diberi pujian walaupun tidak bermutu, oleh itu tidak ada peminggiran sama sekali. Belum pernah mana-mana Panel Anugerah Sastera Negara meminggirkan mana-mana karya sasterawan negara walaupun dari segi mutu boleh diragui, dan memang dianggap tidak bermutu sebelum mereka dilantik sebagai sasterawan negara. Penyelidik dan sarjana sastera tentulah tahu tentang perkara ini, sekiranya mereka membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Isunya di sini ialah bagaimanakah mereka dinilai, bukan peminggiran yang mereka khayalkan. Jika anda membaca tulisan tentang mereka yang ditulis selepas mereka dijadikan sasterawan negara,  anda akan melihat bagaimana mereka diberi sanjungan yang sebelumnya tidak diberikan. Buktinya dapat dilihat dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, dan segala tesis tentang mereka. Yang terserlah di sini ialah rasa kagum yang dibuat-buat, yang tidak diasaskan kepada penelitian yang kritis dan analisis yang mendalam. Inilah isu yang paling penting, bukan soal peminggiran. Tidak betul sama sekali untuk sesiapa juga melemparkan tuduhan bahawa sastera dan karya sastera telah dipinggirkan, kerana tidak pernah terjadi sastera ditinggalkan dalam pembelajaran pelajar di Malaysia. Malah kita sering mendengar dan membaca komentar yang mengatakan banyak di antara karya yang dipilih tidak bermutu dan tidak sesuai diangkat sebagai bahan kajian dan bacaan pelajar sekolah. Jelas sekali tidak timbul langsung soal peminggiran ini, malah yang terjadi ialah keghairahan pemilih untuk memilih karya-karya tidak bermutu untuk dijadikan teks. Inilah contoh pembaziran ilmiah yang berterusan. Sepatutnya inilah isu yang harus dibahaskan. 

Perkara kedua,  yang perlu diberi perhatian yang serius, ialah sejauh mana karya-karya para sasterawan ini boleh dipertahankan dari segi ketinggian mutunya apabila dianalisis dengan mendalam? Kekacauan dalam isu ini sangat jelas, jika anda membaca kertas kerja tentang “pemikiran” para sasterawan negara ini. Jika anda membaca kertas-kertas kerja ini sebagai seorang pembaca yang kritis dan yang berfikir, anda akan berasa sangat kecewa. Bukan “pemikiran” para sasterawan itu yang ditonjolkan dengan jelas dan cukup pembuktiannya dalam analisis yang kritis; yang terserlah ialah kekaburan dan kekeliruan para penulis kertas kerja sendiri yang hanyut dalam andaian yang tidak diiringi bukti dan penghujahan yang mantap. Isu ini telah dibincang beberapa kali dalam blog ini, oleh itu tidak perlu diulangi.  Yang membuat kita berasa tertipu ialah kita kerap kali diberitahu bahawa setiap penilaian haruslah berasaskan “teori” kita sendiri, bukan berasaskan teori Barat.  Tulisan para pemakalah dalam seminar “pemikiran” ini membuktikan mereka, para penulis ini (yang terdiri daripada para sarjana sastera dan ahli akademik), tidak boleh hidup dan akan menjadi bisu tanpa teori Barat itu. Jika itulah hakikatnya, mengapa mereka harus “memusuhi” teori Barat?  Sebaliknya, mereka harus menegaskan, tanpa ragu-ragu, bahawa tanpa teori Barat tidak ada  karya sastera Melayu, oleh itu teori Barat wajib digunakan untuk menganalisis dan menilai karya-karya itu.  Inilah isu yang paling penting, bukan soal peminggiran yang tidak pernah wujud itu. Malah keengganan menggunakan “teori” tempatan itulah yang sebenarnya berupa “peminggiran” yang paling ketara, dan tidak bertanggungjawab dari segi ilmiah dan etika orang berilmu.  Dewan Bahasa dan Pustaka yang menganjurkan seminar “pemikiran” ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam kecacatan ilmiah yang amat mengaibkan ini.

Mohd. Affandi Hassan, 12/5/2011.

2 comments:

  1. Terbaik!!! Tahniah Tn Hj Affandi kerana mencarigali kelopak pemikiran Sastera Melayu.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Tuan Hj. Affandi,
    saya hanyalah seorang peminat sastera Melayu dan baharu sahaja selesai membaca karya tuan, Gagasan Persuratan Melayu terbitan Penerbit UKM. Saya bersetuju dengan jalan fikir tuan bahawa banyak kelompongan dalam dunia sastera kita, apatah lagi jika dinilai dengan cara pandang Islam.

    Dalam siri akhir Sofa Putih ITNM di pesta buku lalu diadakan dialog dengan 2 orang sasterawan negara, dan jelas kedua-dua sasterawan negara menegaskan bahawa perlunya 'international recognition' (baca: karya yang diiktiraf dan mematuhi cara fikir Barat) agar sastera tempatan mendapat pengiktirafan antarabangsa. Hal ini ditentang oleh Puan Ainon Mohd yang menegaskan dalam blognya bahawa sastera kita sepatutnya punya kayu ukur sendiri.

    Sebagai peminat kerdil dunia persuratan yang luas ini, apakah bahan yang tuan dapat sarankan sebagai bahan bacaan lanjut saya. Apakah pendapat tuan mengenai Teknik Surah Yusuf yang diperkenalkan oleh Puan Ainon Mohd.?

    Sekian, wasalam.

    ReplyDelete