Thursday, March 24, 2011

SASTERAWAN NEGARA TERNYATA TIDAK RELEVAN DALAM PERKEMBANGAN BUDAYA ILMU DI MALAYSIA

Sekiranya anda membaca dengan teliti dan analitis kenyataan rasmi empat orang sasterawan negara (Muhammad Hj. Salleh, Shahnon Ahmad, Anwar Ridhwan, Noordin Hassan)  bertarikh 8 Mac 2011, yang merayu kepada kaum Hindu India supaya menerima novel Interlok berasaskan konsep “the autonomy of literature”,  anda akan segera merasakan betapa tidak relevannya kumpulan Brahmin Sastera ini. Rayuan itu sebenarnya tidak perlu, malah tidak wajar dikemukakan. Kumpulan kaum Hindu India mempunyai hak dan kebebasan mereka sendiri untuk menerima atau menolak sesuatu karya yang di dalamnya terdapat perkara tentang faham dan kepercayaan mereka yang mereka tidak mahu dinyatakan. Jika prinsip kebebasan ini diterima, seperti yang dinyatakan oleh kenyataan rasmi empat orang sasterawan negara (“Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu”), maka kumpulan Hindu India ini tidak perlu dirayu supaya memberikan kebebasan itu. Dengan itu mereka sendiri tidak perlukan kebebasan memilih untuk menerima atau menolak sesuatu, “walau betapa pun tidak manis kenyataan itu”.  Mengapa hanya kumpulan sasterawan negara yang perlu diberi kebebasan “menyatakan sesuatu yang tidak manis sekali pun”, manakala kaum Hindu India tidak diberikan pilihan untuk menolak atau menerima “sesuatu yang mereka rasa tidak manis walaupun itulah kenyataannya”.  Yang menjadi isu di sini  ialah hujah songsang yang dikemukakan oleh para sasterawan negara ini untuk mempertahankan kebebasan mereka sebagai sasterawan yang tidak harus dipersoalkan oleh sesiapa sekali pun.  Mengapa mereka harus diberikan keistimewaan itu? Di sinilah terserlah anggapan tersirat mereka bahawa mereka adalah kumpulan Brahmin Sastera yang tidak boleh dipersoalkan, yang mesti diterima kedudukan istimewa itu dalam masyarakat.

Ketika saya memulai penulisan di blog ini, saya menampalkan moto yang tertulis: “Sesiapa juga yang memberi pendapatnya harus bersedia untuk dicabar. Itulah hukum alam dan jalan yang mesti dilalui oleh orang-orang berilmu.” Inilah makna kebebasan yang sebenarnya, yakni kebebasan untuk berdialog walau betapa pun kita tidak suka dengan kandungan dialog itu. Inilah sifat terbuka yang mesti dipunyai oleh orang yang berilmu, atau sekurang-kurangnya yang menghormati ilmu. Jika dia tidak mempunyai kedua-duanya (tidak berilmu, dan tidak menghormati ilmu), maka bagaimana mereka boleh menuntut orang lain supaya hanya bersetuju dengan mereka? Tidakkah ini sangat pelik dan songsang?

Kehadiran kumpulan sasterawan negara ini sebenarnya menimbulkan banyak perkara yang tidak wajar kerana tidak berasaskan ilmu dan keterbukaan kepada kebenaran.  Mereka meletakkan kumpulan mereka di tempat yang terlalu istimewa dan tinggi, padahal mereka tidak layak diberi kedudukan istimewa itu walaupun mereka sudah diberi gelaran “sasterawan negara”.  Gelaran itu adalah gelaran “politik sastera” yang penerimaannya tidak berasaskan kualiti sebenar karya mereka dan sumbangan mereka dalam pemikiran, yang memang tidak terdapat dalam karya mereka.  Semua ini sudah terpahat dengan jelas dalam semua sepuluh laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Ambil saja contoh yang paling jelas dan mudah difahami, iaitu Laporan 1985 tentang A. Samad Said.  Antara lain, kata Laporan 1985: (tentang Salina): “... A. Samad Said ingin mengatakan kepada pembaca betapa tidak berperikemanusiaannya peperangan. Jadi ada falsafah atau perutusan, hanya A. Samad Said  sebagai novelis tidak ingin terlalu menonjolkan tema dan perutusannya. Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan, kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme (dan realisme baru kemudiannya dalam Langit Petang atau Daerah Zeni), dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka” (hal. 13); “Tidak dapat disangkal bahawa novel Langit Petang tidak membawa satu tema yang pokok, malahan tidak juga mengemukakan satu perutusan yang sengaja.” (hal. 16); “Yang benar-benar berjaya dalam Langit Petang ialah tekniknya. ... Tetapi selain tekniknya yang merupakah hallmark karangan-karangan A. Samad Said yang mementingkan pengamatan yang terperinci, novel itu mendedahkan kepelbagaian tindakan manusia.” (hal. 16).  “Di sinilah letaknya keistimewaan A. Samad Said – kebolehan menulis secara ‘detached’ – tetapi bukan tidak simpatis -  memasukkan teknik-teknik bercerita daripada penulis-penulis Barat dengan berkesan, menggunakan dialog-dialog yang lincah dan natural dan lebih-lebih lagi keupayaan deskriptif yang terperinci, sarat dan tidak apologis”. (hal. 20).  Inilah gambaran faham realisme Barat yang bermula dalam Abad 19, kemudiannya dibawa ke Malaysia dan dijadikan faham sastera yang dominan hingga kini. Realiti itu berada dalam faham realisme ini, iaitu dalam kebobrokan masyarakat yang menjadi tema utama para sasterawan Malaysia. Faham ini telah dikanunkan dalam kesusasteraan Melayu moden, dijadikan ukuran yang mutlak dalam menilai kejayaan sesuatu karya kreatif. Melalui faham realisme ini, kejahatan dijadikan tema utama dan satu-satunya yang perlu diberi perhatian oleh para sasterawan (sila baca semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara untuk melihat kebenaran kesimpulan ini; sila rujuk juga tulisan saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, Bab 4). Inilah faham yang menjadi pegangan para sasterawan negara, yang menjadikan karya sastera itu autonomous, dan harus dinilai dalam konteks “the anutonomy of literature” seperti yang dianjurkan oleh Kritikan Baru (New Criticism) yang berkembang di Amerika Syarikat satu ketika dahulu, kemudian ditinggalkan sekitar 1980-an (rujuk Frank Lentricchia, After the New Criticism, 1980.  Analisis yang lebih mendalam dan lebih jelas dapat dibaca dalam buku Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu.)  Betapa pentingnya kejahatan sebagai tema dominan dalam kesusasteraan Melayu moden, diserlahkan dalam karya-karya A. Samad Said yang memberi tumpuan khusus dan istimewa kepada aspek perzinaan dalam masyarakat, sebagai sejenis realiti yang mesti diketengahkan dengan istimewa dalam novel-novel beliau. Novel Langit Petang yang dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Negara membicarakan kisah seorang perempuan Melayu yang meniduri 18 orang lelaki untuk “membalas dendam”.  Semua ini tidak kena mengena dengan morality, menurut mereka, kerana demikianlah realiti kehidupan. Tidakkah pandangan begini sebenarnya tidak bermoral?

Jikalau kumpulan sasterawan negara ini golongan yang berfikir, sudah lama mereka akan memikirkan dengan serius tentang faham sastera yang mereka pertahankan, yang melihat  apa yang mereka sebut sebagai realisme itu hanya pada permukaannya, pada tahap realisme semu, bukan hakikat realiti yang diajarkan oleh Islam. Malah mereka tidak dapat menerima adanya hakikat realiti itu, yang menurut mereka tidak berkaitan dengan sastera, yakni berada di luar sastera yang mereka perkembangkan. Mereka tidak menerima hakikat realiti itu oleh sebab mereka berada di luar lingkungan konsep ilmu yang benar yang diajar dalam Islam, oleh itu pada pandangan mereka kesusasteraan tidak mempunyai kaitan dengan hakikat realiti dalam kehidupan manusia, baik yang beragama Islam mahu pun yang bukan Islam. Berasaskan fahaman inilah mereka menolak sebarang percubaan untuk menilai karya mereka daripada perspektif berasaskan konsep ilmu yang benar.  Sebagai pilihan, mereka menerima dengan baik dan sering kali tanpa penelitian yang cermat apa juga teori sastera dari Barat. Ini dapat kita lihat dengan jelas dalam syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan, 1989). Di situ kita lihat percubaan beliau yang bersungguh-sungguh untuk menilai kesusasteraan Melayu lama dalam konteks teori moden Barat yang dikemukakan oleh Barthes, Derrida, Jauss, Bakhtin, dan ramai lagi sarjana dan pengkritik Barat yang disenaraikan dalam syarahan perdana itu. Unsur Islam, yang menjadi dasar sastera tradisional Melayu, hilang ghaib dalam siratan jerat teori Barat yang digunakan dengan begitu saja, tanpa sebarang usaha untuk memahami dasar falsafahnya dan matlamatnya serta statusnya dari segi ilmu. Beliau mengajak para sasterawan menggunakan dekonstruksi, tanpa menyedari teori itu menolak sebarang makna yang menjadi pegangan orang beragama. Beliau tidak sedar teori itu mengajak manusia menjadi skeptik, ragu-ragu, dan tidak tentu arah dalam pencarian ilmu yang benar. Bolehkah seorang sarjana Islam yang memahami agamanya menerima pendirian ini?  Bagi kumpulan sasterawan ini, sesiapa juga yang menyoal secara serius  kedudukan teori-teori Barat dianggap  tidak faham dan tidak mengerti maksud dan tujuan sastera dicipta oleh manusia, dan bagi mereka sesiapa juga yang mempersoalkan kedudukan teori Barat adalah seorang yang fanatik dan buta sastera.  Tetapi di sinilah mereka terjebak dalam hujah berbelit-belit yang mereka cipta, apabila misalnya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berkata, sudah bertahun-tahun kita menggunakan teori Barat untuk menilai karya kita yang bukan Barat. Beliau tidak menghuraikannya dengan jelas, oleh itu semua ucapan beliau tentang perkara ini hanyalah sejenis retorik yang tidak bermakna apa-apa, yang tidak ada hujung pangkalnya. Demikianlah betapa seriusnya kumpulan ini berada dalam kekeliruan, lebih-lebih lagi apabila kita menilai karya-karya mereka secara serius dan berasaskan konsep ilmu yang benar yang diajar oleh Islam. Dilihat dari perspektif ini, dari segi apa kumpulan ini relevan dalam pembinaan budaya ilmu?

Prof. Dr. Zawiah Yahya dalam buku terbarunya, Reading Approaches In Malay Literature, menyenaraikan empat ciri teori pascamoden: semua pengalaman manusia dibentuk oleh masyarakat (di sini tidak ada Tuhan Maha Pencipta), oleh itu tiada yang stabil, selalu berubah-ubah; teori sastera dibentuk oleh faham ideologi masing-masing, jadi tidak objektif;  bahasa menentukan apa yang disebut realiti, dan makna ditentukan oleh penulis dan pembaca, seperti yang terdapat dalam teks, dan al-Quran adalah sejenis teks yang tidak stabil dari segi makna (Perhatian serta-merta: al-Quran bukan teks dalam maksud yang difahami oleh ideologi pasca moden, maknanya ditentukan oleh al-Quran sendiri (pendapat Shah Wali Allah: al-Quran mentafsir dirinya sendiri), oleh Nabi SAW dan para sahabat dengan persetujuan Nabi); akhirnya, yang keempat, tidak ada bacaan yang tetap untuk sesuatu teks, selalu berubah, boleh ditafsirkan dengan dan dalam pelbagai cara. [Saya harap ringkasan ini memenuhi makna yang dikehendaki, tidak tersasar terlalu jauh seperti yang dimaksudkan oleh Dr. Zawiah Yahya. Lebih baik baca sendiri buku itu, hal. 14]. Jangan terkejut jika kita membuat kesimpulan bahawa inilah pendirian dan pandangan para sasterawan, sebahagian besar sarjana sastera dan ahli akademik (dengan pengecualian yang kecil sekali).  Inilah pandangan Panel Anugerah Sastera Negara, yang mereka jadikan panduan dalam menilai karya sastera dari tahun 1981 hingga sekarang, tidak berubah (walaupun ada di antara ahli panel, termasuk Dr. Zawiah Yahya sendiri, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh misalnya, menegaskan makna boleh berubah dan tafsiran juga boleh berubah; oleh itu Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berani menulis tentang Si Tenggang yang “sudah berubah” dari seorang penderhaka kepada seorang sasterawan, saudagar besar, ahli korporat dan lain-lain).  Kita tidak boleh mengkritik mereka kerana jika sesiapa juga berbuat demikian, dia melakukan sesuatu yang karut, yang tidak masuk akal, yang tidak sesuai dengan tuntutan zaman, yang menentang modernisme. Menurut golongan ini: kita biarkan saja apa yang diingini  hawa nafsu manusia.  Jika kita menggunakan istilah agama Islam, inilah pandangan Jahiliah Moden, yang menolak adanya nilai-nilai yang tetap yang menjadi panduan manusia sepanjang zaman.  Inilah juga pandangan para sasterawan yang menolak apa-apa juga nilai mutlak seperti yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru.  Adakah mereka ini termasuk juga para sasterawan negara?

Mohd. Affandi Hassan, 19/3/2011

6 comments:

  1. Terbaik!!! Hidup Persuratan Baru!!!

    ReplyDelete
  2. UNTUK RENUNGAN KEPADA YANG MAHU INSAF

    Terima kasih Sdr. Anonymous. Kalau ada 40 orang meneriakkan “Hidup Persuratan Baru”, Insha Allah dimakbulkan, dengan izin Allah.

    Saya baru habis baca tulisan Dr. Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis, berjudul “Video lucah dan dosa politik.” (Malayusiakini, 25/3/2011). Jelas sekali bahawa Islam mengharamkan penyebaran kejahatan, termasuk dalam karya kreatif yang dilakukan atas nama realisme. Saya harap para sasterawan, pengkritik, sarjana dan pembaca baca tulisan ini paling kurang sepuluh kali supaya masuk ke dalam otak anda; paling baik baca seratus kali supaya menjadi tabiat baik yang dianjurkan oleh Islam. Dalam tulisan itu, beliau berharap akan “bangkit generasi baru” yang bencikan kepura2an, kejahatan. Itulah juga yang kita harapkan akan lahir “generasi persuratan” dalam Abad 21 ini. Almarhum Prof. Syed Hussein al-Attas dalam tahun 1980-an pernah berkata, antara penyakit masyarakat Malaysia yang amat bahaya ialah tiadanya rasa jijik kepada kejahatan. Orang korup dan ahli maksiat pun diterima jadi pemimpin dan pemerintah. Lihat bagaimana bayi terbuang dipamerkan dalam TV Malaysia dan lain-lain TV macam iklan Satu Malaysia! Kalau anda tidak rasa jijik perbuatan ini, anda turut sama menyebarkan kejahatan tanpa anda sedari.

    Dalam tulisan beliau 27/2/2011, “Istilah wang pembayar cukai” (Malaysiakini 27/2/2011) Dr. Asri mengulas penipuan kerajaan menggunakan wang rakyat untuk kepentingan parti dan peribadi pemimpin. Satu perbuatan fasad of the highest order. Beliau mulai tulisan: “Istilah memainkan peranan penting dalam menyedarkan penggunanya dan pendengar.” Termasuk juga penggunaan istilah kesusasteraan dan estetika kesusasteraan dan kebebasan sasterawan yang mesti dihormati. Kata 4 SN: “Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu.” Jika anda tidak berhati-hati, anda akan menyebarkan kejahatan, seperti yang dilakukan para sasterawan dan telah dibuktikan mendapat sokongan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Adakah ini “dosa sastera”? Kalau ini bukan perkara serius, buatlah apa yang anda suka!!

    ReplyDelete
  3. Salam. Saya bukan ahli sastera. Tetapi membaca sedilit-sedikit karya sastera. Saya suka apa yang saudara tulis. Teruskan. Saya mendoakan semoga satu hari kebenaran yang saudara pelopori akan terserelah jua.

    ReplyDelete
  4. Saudara AH,

    Bagaimana untuk saya menghubungi saudara? Ada beberapa perkara yang ingin dibincangkan...

    Hafiz H.

    ReplyDelete
  5. Assalamu 'alaikum,
    Saya secara pribadi ingin menyebutkan keinginan hati saya untuk bertemu muka dengan Pak Affandi,selama ini kami hanya mengenali beliau lewat karya dan tulisannya sahaja.
    Hingga kini masih menjadi harapan yang belum dimakbulkan.
    Jika ada rakan yang boleh membantu,dialu-alukan.
    Sekian untuk pertemuan kali ini.
    Terimakasih.

    ReplyDelete
  6. Terima kasih di atas penghargaan Puan Ngasobah. Ini menguatkan semangat saya untuk membina kembali persuratan Melayu yang dulunya dibina oleh para ulama, tetapi akhirnya dimusnahkan oleh para sasterawan.

    Kepada sdr. Wan Ahmadi bin Jalil, anda boleh hubungi saya di e-mail hmaffandi@hotmail.com

    ReplyDelete