Judul ini tidak bermaksud mencari sensasi, walaupun kadang-kadang sensasi itu berguna untuk mencapai maksud tertentu. Sensasi boleh berwajah seolah-olah tidak sensasi, tetapi pada hakikatnya satu sensasi. Itu hanya dapat diketahui jika dilihat sejauh mana tidak sensasinya sensasi itu. Mengapa ia berwajah tidak sensasi, padahal lebih baik jika terus saja berwajah sensasi. Itulah permulaan satu sensasi. Dan setiap sensasi tetap menarik perhatian ...
Apakah makna sensasi? Kamus Dewan: sesuatu (kejadian, keadaan, dll) yang menggemparkan atau yang membangkitkan perasaan (menarik perhatian ramai, menimbulkan rasa ingin tahu yang kuat, dsb.). Kamus Besar Bahasa Indonesia: yang membuat perasaan terharu (rusuh, gempar, dsb); rangsangan. (2) yang merusuhkan (menggemparkan); kegemparan; keonaran. (3) perasaan atau emosi. Kamus Moderen Bahasa Indonesia: (Belanda sensatie) keheranan kekagetan atau besar. Collins Cobuild English Dictionary: If you sensitize people to a particular problem or situation, you make them aware if it; a formal use.
Sekarang kita lihat kutipan ini: “Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walaupun berlainan, masih diperlukan di negara demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian. Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.”
Kutipan di atas merupakan bahagian akhir atau kesimpulan daripada kenyataan rasmi (bertarikh 8 Mac 2011) empat orang sasterawan negara (Muhammad Haji Salleh, Shahnon Ahmad, Anwar Ridhwan, Noordin Hassan) tentang isu Interlok, novel Abdullah Hussein, juga seorang sasterawan negara, yang ditolak oleh orang India (Hindu atau Muslim atau penganut lain-lain agama) kerana di dalamnya terdapat perkataan “paria” yang dikatakan menghina orang India kerana tidak ada paria dalam masyarakat India, hanya beberapa kasta yang telah diterima umum yang tidak termasuk paria sebagai kasta kecuali hanya satu istilah untuk menghina mereka secara keseluruhan. Istilah kasta tidak ada dalam RigVeda, kata mereka, oleh itu tidak terdapat dalam agama Hindu, lagi pula agama Hindu sendiri tidak ada, hanya yang ada ialah kepercayaan Hindu. Setiap agama mempunyai kitab suci masing-masing, yang turun dari langit dibawa oleh nabi-nabi, sedangkan kepercayaan Hindu berpunca daripada mitos yang dituturkan turun temurun, bukan berasal daripada ajaran suci yang turun dari langit. Pada hakikatnya, kata para ahli, tidak ada kasta dalam kepercayaan Hindu, kecuali kasta Brahmin yang menjadi para pemimpin masyarakat Hindu dan menyatu-padukan mereka. Itulah hakikat yang ada di Malaysia, oleh itu mereka tidak boleh terima apabila mereka dikatakan berasal daripada kasta pariah, yang memang tidak ada. Pada mulanya orang India yang tidak paria mendesak supaya perkataan itu dibuang daripada novel itu; tetapi kemudiannya mereka menolak novel itu secara tuntas, tidak boleh masuk kelas di sekolah-sekolah untuk dijadikan teks sastera dalam KOMSAS. Semua orang Melayu yang berpegang kepada peri pentingnya sastera dalam kehidupan mereka, terutama sekali para sasterawan, menentang keras sebarang perubahan yang didesak supaya dilakukan; apatah lagi untuk menutup pintu bilik darjah daripada dimasuki oleh novel itu, yang menurut mereka amat tinggi mutunya dan sangat cantik gaya penulisannya. Berdasarkan latar belakang ini, maka tampillah empat orang sasterawan negara membantah kelakuan orang India itu. Kenyataan rasmi ini diajukan selepas beberapa bulan (lebih dari tiga bulan) kekecohan ini timbul.
Adakah ini bermakna empat orang sasterawan ini juga ikut serta dalam kekecohan, dalam sensasi yang dimulai oleh orang India itu? Perhatikan kesimpulan mereka: “Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu.” Apakah maksud mereka? Apakah yang tidak manis itu? Kesimpulan ini merupakan pembelaan kepada karya Abdullah Hussein, seperti yang pernah dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka yang membela novel picisan dan erotik Abdullah Hussein berjudul Kuala Lumpur Kita Punya (Laporan 1996, halaman 17. Panel tahun itu dipengerusikan oleh YB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Menteri Pelajaran). Orang Melayu yang berfikiran siuman berasa aneh dengan pembelaan ke atas karya itu; mereka tidak gembira membacanya kerana hujah-hujah yang diberikan adalah palsu dan terlalu dicari-cari. Mereka menolak hujah dan keputusan Panel Anugerah Sastera Negara kerana bertentangan dengan “kenyataan” yang mereka fahami dalam konteks Islam. Tetapi hujah itu mencerminkan satu falsafah sastera yang sangat berpengaruh di Barat dan juga di Malaysia, yang dipanggil realisme. Atas nama realisme, para sasterawan diberi kebebasan untuk menulis apa saja yang mereka panggil kebobrokan masyarakat; dengan itu Kuala Lumpur Kita Punya adalah satu hasil sastera yang wajar dan sesuai dengan keadaan ketika itu (inilah hujah Panel yang paling asasi); dan berasaskan faham realisme itulah juga Shahnon Ahmad menulis masterpiecenya berjudul Shit (1999), yang kini menunggu giliran untuk dijadikan teks sastera kerana novel itu mencerminkan satu era yang paling buruk dalam sejarah politik Malaysia moden.
Apakah yang dimaksudkan dengan “kenyataan Malaysia”? Dalam konteks yang dimaksudkan oleh para sasterawan negara tersebut, kenyataan Malaysia bermaksud Abdullah Hussein telah menyatakan sesuatu yang benar apabila beliau memasukkan perkataan pariah dalam novelnya, oleh itu tidak wajar dibantah oleh sesiapa pun. Itu maksud khusus. Maksud umumnya ialah penerbitan novel Shit oleh Shahnon Ahmad, yang telah mentakrifkan dengan jelas maksud “kenyataan Malaysia” yang tidak manis itu termasuk juga tahi, kencing dan lendir serta segala kekotoran yang ada di dalam perut ahli politik (tidak termasuk dalam perut para sasterawan yang tidak mempunyai kekotoran itu). Inilah realisme yang menjadi pegangan para sasterawan Malaysia, yang mereka pertahankan dengan amat gigih sehingga ada di antara mereka berkata mereka sanggup mati (syahid??) mempertahankannya. Itu maruah bangsa, tidak boleh bertolak angsur. Dalam hal ini semua sasterawan Melayu adalah Hang Jebat yang sanggup melakukan apa saja untuk mempertahankan “sastera”nya, sama seperti Hang Jebat sanggup menderhaka (tidak sama dengan membela kebenaran) untuk mempertahankan sahabatnya!!
Sekarang kita baca dengan kritis pandangan empat orang sasterawan negara dan pendirian para sasterawan ini. Pertama sekali, mereka tidak mempunyai fahaman yang mendalam dan betul tentang aspek “kenyataan” atau “realiti” dalam kehidupan manusia. Hal ini terjadi kerana keterbatasan pengetahuan mereka dalam perkembangan tamadun manusia, terutama sekali dalam tamadun Islam. Mereka tidak dapat membezakan antara realiti semu (yang palsu), dengan realiti hakiki (yang benar), seperti yang ditunjukkan dalam al-Quran dalam kisah Balqis dan Nabi Sulaiman ‘a.s., dalam kisah Nabi Musa ‘a.s. dan para ahli sihir Mesir, dalam peristiwa menghiris jari perempuan Mesir sewaktu melihat ketampanan Nabi Yusuf ‘a.s. Walaupun Anwar Ridhwan berkata Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah membaca 160 buah teks sastera lama, termasuk teks yang bercorak Islam, namun beliau tidak dapat mengenal mana satu realiti semu, mana pula realiti hakiki. Kedua-dua sasterawan negara ini tidak mempunyai pengalaman ilmiah yang membolehkan mereka melihat realiti semu dan membezakannya dengan realiti hakiki. Oleh itu apabila mereka bercakap tentang “kenyataan Malaysia” dan memohon supaya para sasterawan diberi kebebasan untuk menyatakan “kenyataan Malaysia” itu walau pun tidak manis, maka mereka tercakap tentang “realiti semu”, yakni realiti palsu. Bagi Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang menulis kenyataan rasmi itu, realiti semu dan realiti hakiki sama saja, kerana semuanya adalah “realiti” yang tidak perlu dipisahkan. Kesimpulan ini tentu saja bertentangan dengan pengalaman intelektual dan pengalaman beragama dalam Islam. Misalnya, dalam peristiwa Balqis, terang dan jelas al-Quran menyebut Balqis telah keliru melihat lantai berkilat istana Nabi Sulaiman ‘a.s. yang disangkanya air, lalu dia menyingkap pakaiannya supaya tidak basah. Dalam peristiwa Nabi Musa ‘a.s. dengan ahli sihir Firaun yang handalan, ahli sihir itu dengan mudah melihat realiti hakiki dan menerimanya lalu menerima agama tauhid dan mati syahid kerana itu. Dalam peristiwa perempuan Mesir memotong jari mereka kerana terlalu ghairah dan berkobar nafsu syahwatnya tatkala melihat Nabi Yusuf ‘a.s. lalu di depan mereka, maka mereka tidak sedar tangan mereka terhiris kerana terlalu berkobar nafsu syahwat mereka melihat Nabi Yusuf ‘a.s. yang begitu tampan. Dalam kes ini, di manakah duduknya realiti hakiki dan di mana pula realiti semu? Perempuan Mesir telah tertipu oleh hawa nafsu mereka, sehingga mereka sanggup menghiris jari mereka sendiri. Jika peristiwa ini dikaitkan dengan fahaman tentang realiti yang dipegang oleh para sasterawan kita, bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa mereka, para sasterawan ini, tidak sedar bahawa mereka setiap masa menghiris jari sastera mereka kerana tidak mahu menerima realiti hakiki yang mereka tolak berasaskan kemahuan hawa nafsu sastera mereka. Syahwat sastera para sasterawan ini terlalu besar untuk menerima hakikat ini, oleh itu mereka tidak berasa apa-apa kerana mereka tidak tahu hakikat realiti, dan lemas dalam realiti semu. Wallahu a’lam.
Empat orang sasterawan ini meminta rakyat Malaysia “membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.” Apakah makna “membaca sastera dari pendekatan sastera”? Inilah pendirian Kritikan Baru (New Criticism) yang kini sudah ditinggalkan, tetapi masih dipertahankan dengan gigih oleh para sasterawan di Malaysia. Inilah juga pendirian anggota Panel Anugerah Sastera Negara, yang melihat apa yang mereka namakan sebagai “karya sastera” sebagai cetusan kudus dan khusus oleh para sasterawan untuk “meluahkan” apa-apa yang ingin mereka “luahkan”. Asas fahaman ini ialah kebebasan penulis menulis tentang apa saja yang mereka mahu dalam konteks realisme yang dipraktikkan di Barat. Oleh sebab realisme itu dikaitkan dengan kejadian buruk (bobrok) dalam masyarakat, maka seorang sasterawan boleh menulis dengan bebas tentang “kenyataan dalam masyarakat walaupun tidak manis”. Dengan itu lahirlah karya-karya seperti Kuala Lumpur Kita Punya yang erotik dan picisan; Salina yang mengangkat pelacuran sebagai tema agung dalam kesusasteraan; sajak “Pulang Si Tenggang” yang menjulang penderhakaan terhadap ibu bapa dengan menukar penderhakaan itu menjadi pencarian makna diri manusia; novel Ranjau Sepajang Jalan yang menjadikan kebodohan watak sebagai unsur tragedi yang indah dan mengharukan; cerita pendek “Dunia adalah Sebuah Apartmen” yang menjadikan perzinaan sebagai pencarian identiti anak muda Melayu moden dengan bergelumang dalam maksiat. Alasan mereka ialah semua kejahatan ini sesuatu yang memang benar-benar terjadi, sesuatu yang realistik, yang berada dalam masyarakat, yang dilakukan oleh ramai manusia, oleh itu menjadi satu tuntutan kepada para sastrawan untuk mengabadikannya (??) dalam karya mereka supaya pembaca tahu itulah kejahatan mereka sendiri (bukan kejahatan para sasterawan yang hanya melukiskannya saja). Tetapi pembaca tidak harus mencari apa-apa makna, apa-apa ajaran moral atau apa juga kebaikan, kerana karya sastera tidak perlukan itu semua. Inilah penegasan anggota Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, terutama sekali ketika memuji karya A. Samad Said yang bagi mereka sangat bermutu tinggi kerana tidak terikat kepada apa-apa ajaran moral. Tetapi di sini terjadi percanggahan yang amat ketara, apa bila Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam Puitika Sastera Melayu menekankan ajaran moral, sebagai ciri utama dan penting dalam sastera Melayu lama. Adakah beliau masih berpegang dengan kesimpulan beliau itu? Nampaknya tidak, jika kita boleh percaya kenyataan rasmi yang beliau dan rakan-rakannya tulis dan sebarkan kepada masyarakat. Adakah ini merupakan sejenis kekeliruan besar dalam memahami peranan dan tugas seni dalam masyarakat beradab? Pendirian begini, yakni membebaskan sastera seperti kuda liar di padang liar telah dikritik dan dikutuk oleh Islam, dan hakikat ini diketahui oleh empat orang sasterawan ini. Jadi, mengapa masih berpegang kepada konsep sastera yang autonomous seperti fahaman Kritikan Baru yang telah ditolak di Amerika Syarikat sendiri?
Sekiranya para sasterawan ini ingin membela rakan mereka yang menulis Interlok, tindakan yang harus mereka lakukan amat mudah dan jelas. Mereka tidak perlu berpusing-pusing, berbelit-belit mengucapkan kekeliruan mereka untuk dijadikan panduan oleh masyarakat. Mereka tahu Tun Abdul Razak, atas nasihat para sasterawan sendiri yang ingin bermuka-muka dengan ahli politik, mencadangkan supaya diadakan peraduan menulis novel sempena sepuluh tahun merdeka. Interlok dapat hadiah sagu hati. Tidak ada hadiah pertama dan kedua, begitu “ketat” penilaian para juri. Lantas mereka berikan hadiah ketiga kepada Arena Wati, yang amat mengecewakan beliau dan para sasterawan juga. Kemudian sewaktu menjadi Menteri Pelajaran, anak Tun Razak menjadi pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara, lalu memilih Abdullah Hussein sebagai pemenang 1996. Jadi Interlok telah dirasmikan dua kali, telah diterima oleh kerajaan sendiri sebagai karya besar Malaysia yang mesti dipelajari oleh budak-budak sekolah di Malaysia supaya mereka sedar diri tentang sukarnya perundingan (bukan perjuangan) kemerdekaan, yang disertai oleh golongan Brahmin dari India yang didatangkan ke Tanah Melayu untuk dijadikan kuli oleh Inggeris di Tanah Melayu. Dalam, rundingan (bukan perjuangan) kemerdekaan itu, kaum Cina diwakili oleh golongan Mandarin dan gologan tauke mereka; manakala kaum (bukan lagi bangsa) Melayu diwakili oleh golongan pertuanan mereka. Itulah fakta sejarah, menurut sasterawan Abdullah Hussein. Dan fakta ini telah diterima dengan rasmi oleh kerajaan Malaysia. Hakikat ini menjadi hujah yang kukuh untuk kerajaan Malaysia berbuat apa saja yang mereka mahu, tetapi mereka tidak harus mengelirukan rakyat dengan berdolak-dalik kononnya perlu dicari penyelesaian yang diterima oleh orang India yang ada sekarang, keturunan daripada pendatang yang dibawa Inggeris sebelum merdeka. Mengapa orang India tidak boleh terima fakta sejarah ini? Datuk nenek mereka sudah berada di Tanah Melayu dan di Kepulauan Melayu sejak beribu tahun, dan mereka memang datang dari India, bukan anak tempatan. Hakikat sejarah ini yang harus ditekankan oleh para sasterawan negara ini. Mengapa mereka perlu bermain politik seperti ahli-ahli poliltik? Itulah kesilapan mereka, para sasterawan ini, yang akhirnya turut mengeruhkan lagi suasana yang sudah keruh kerana kegilaan manusia kepada kuasa politik dan ekonomi dan mungkin juga kepada kuasa sastera. Mereka menolak sedikit perubahan yang perlu dilakukan ke atas novel itu, sekali lagi berasaskan kebebasan penulis dan maruah penulis yang telah ditakdiskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Semua ini mengarah kepada sikap angkuh mereka sendiri, yang mahu diterima sebagai golongan Brahmin Sastera yang tidak boleh disentuh. Padahal mereka semua tahu Shakespeare sendiri telah dipermudah dan dinatharkan oleh Charles Lamb dan kakaknya Mary Ann untuk diterbitkan sebagai Tales From Shakespeare (1807), yang mendapat sambutan yang begitu baik daripada masyarakat Inggeris, sehingga memungkinkan dua orang sasterawan Inggeris itu hidup senang kerana jualan bukunya. Buku ini diterjemahkan ke bahasa Melayu dalam tahun 1920-an, atas inisiatif Pendeta Za’ba yang ketika itu Ketua Pengarang, Pejabat Karang Mengarang di Tanjung Malim. Meringkaskan karya tebal dan sukar difahami budak-budak sekolah telah dibudayakan dalam masyarakat Barat sejak lama, malah sudah dijadikan salah satu perniagaan besar dalam penerbitan dengan terbitnya Readers Digest dan novel digest oleh syarikat itu. Hanya di Malaysia saja belum dilakukan secara meluas, kerana sebab-sebab yang berkaitan dengan maruah penulis yang tidak boleh disentuh. Begitu hebat sasterawan Malaysia ini!!
Nampaknya bukan kercerdikan dan kebijaksanaan dan kesedaran kepada perkembangan sastera yang meluas yang dipamerkan oleh para sasterawan dan sarjana dalam menangani masalah remeh-temeh ini, tetapi yang dipamerkan itu sejenis keangkuhan yang tidak perlu, yang barangkali boleh dinamakan keangkuhan sastera. Kalau karya sastera itu memang bertujuan untuk mendidik masyarakat, terutama pelajar, mencintai nilai-niai kemanusiaan dan nilai murni (yang sebenarnya lebih tepat dipanggil nilai-nilai yang keliru), maka mereka tidak harus didedahkan kepada apa juga konflik perkauman yang tidak perlu yang akan mereka hadapi di dalam kelas jika mereka dibiarkan membaca Interlok dalam bentuk asal, yang memang bukan ditulis untuk mereka, tetapi ditulis untuk memuaskan nafsu politik ahli politik dan nafsu sastera para sasterawan ketika itu.
“Lu fikirlah sendiri”, kata Raja Lawak Malaysia.
Mohd. Affandi Hassan, 15/3/2011.
Terbaik!!!!
ReplyDeletePelik tetapi benar dan tahulah kita betapa benarnya pemerhatian orang tua-tua kita dalam peribahasa mereka ...
ReplyDeleteMalaysiakini dalam berita ringkas jam 11.55 pagi, 16/3/2011, memakai tajuk: “Panel Interlok cadang gugur perkataan paria.” Menurut berita, pengguguran perkataan paria bukan kerana sensitif; tetapi kerana kesalahan fakta: watak India bukan paria kerana dia punya tanah, beberapa ekor lembu, dan rumah. Kata wakil India, seorang penulis: Pada tahun 1910 (latar novel), mustahil golongan paria ada benda-benda ini.” Dua perkara: apa yang disebut oleh penulis ini bukan fakta, tetapi andaian beliau sendiri. Bung Dollah pun ada andaiannya. Andaian Bung Dolah mungkin kurang tepat, tetapi tidak salah (dua perkara yang berbeza). Kata penulis India itu: “... orang yang sebut soal sensitif itu tidak rasional, tidak berhujah secara rasoinal.” Apakah yang rasional tentang soal paria atau tidak paria? Yang tidak rasional ialah puak yang terlalu sensitif tak tentu pasal, semua yang orang tulis mahu dipinda ...
Malaysiakini dalam berita jam 6.53 petang, 16/3/2011 bertajuk: “Panel bebas Interlok tumbang, ahli India tarik diri.” Sebab tarik diri, kerana ahli panel lain tolak satu demi satu 100 pindaan yang mereka (tiga wakil India) kemukakan. Mereka dikhianati, kata jurucakap India. Sekarang cuba kita terbalikkan: Bagaimana jika kita berkata panel bebas itulah yang dikhianati pada saat akhir oleh tiga orang wakil India itu? Jelas mereka memang bukan jenis orang yang boleh dibawa berunding. Terlalu sensitif atau memang tidak sensitif perasaan orang lain? Atau yang lelbih tepat: memang tidak rasional sewaktu rasionaliti mereka diuji ... Alangkah benarnya peribahas dan simpulan bahasa yang pernah diungkapkan oleh orang tua-tua Melayu dahulu kala. Jika anda sudah lupa, lihat buku-buku peribahasa lama sebelum merdeka.
Macam sudah dikatakan: buku Interlok ini sudah dirasmikan oleh kerajaan dua kali. Tak cukup kuatkah untuk diambil keputusan tegas dan berani oleh kerajaan? Dua pilihan: biarlah DBP tubuhkan kumpulan editor yang bagus-bagus, mungkin tiga orang, untuk meneliti beberapa perkara yang boleh dibaiki dalam buku itu. Kita terbitkan apa yang boleh kita namakan, “naskhah yang disempurnakan”, seperti dulu kita sebut tentang ejaan baru, “ejaan yang disempurnakan”. Kita ada pengalaman itu, gunakan saja. Pilihan kedua: teruskan saja tanpa sebarang perubahan, kerana memang tidak berguna merundingkan apa-apa pun jenis perubahan jika semua rundingan itu diketepikan kerana tidak sensitif pada pendapat orang lain kerana terlalu sensitif terhadap kemahuan sendiri. Pilihan pertama lebih tepat dan lebih rasional!!
Setuju dengan pendapat Tn haji Affandi. Murnikan sahaja naskah itu.
ReplyDeleteTerimakasih Bapak Affandi, untuk catatan yang sentiasa menyegarkan dan membuka akal fikiran pembaca,bersifat kritikal dan mencabar pembaca supaya mengerahkan fikiran serta memanfaatkan sepenuhnya.
ReplyDeleteSaya sering berfikir kepada panel yang dilantik untuk menilai karya,novel yang bertanding dan ukuran (garis panduan)untuk meletakan sesuatu novel itu pada tempat teratas yang tidak layak,dicapai oleh hasil karya yang ada.Terbayang pada saya hasil yang bagaimana yang patut mendapat tempat pertama misalnya!,dan sehingga kini kita belum melihat contoh karya yang terbaik itu.
Saya terfikir juga jika novel Salina yang dianggap baik,tetapi jika tidak silap novel Musafir juga antara yang dianggap berjaya cuma penghargaan atau tumpuan tidaklah seperti novel Salina,bukankah ada sikap pilih kasih?.
Hanya sedikit yang ingin catatkan di sini.
Sekian dan salam hormat.
Kepemimpinan DBP yang terlalu lemah mengusutkan persoalan mudah ...
ReplyDeleteSekiranya DBP dikendalikan oleh seorang Ketua Pengarah seperti Syed Nasir Ismail dan Hassan Ahmad, kes Interlok mungkin mendapat pembelaan yang sewajarnya dan kerajaan diberi nasihat dan cadangan penyelesaian yang betul. Perkaranya cukup mudah: DBP berhak menentukan tindakan yang tepat dan munasabah untuk meleraikan cabaran sekumpulan orang India golongan Brahmin yang tidak mahu menerima sistem kasta dalam kepercayaan Hindu dan marah kerana terdapat golongan paria dalam kasta Hindu seperti yang diperhatikan oleh Bung Dolah dalam novelnya. Sekiranya kepemimpinan DBP (Ketua Pengarah dan Lembaga Pengurusan DBP) tegas dan sedikit kreatif, mereka boleh membantu kerajaan dengan mencadangkan penyelesaian yang tepat. Seperti dicadangkan, lantik saja sekumpulan editor yang bagus-bagus untuk melihat kembali (sebelum diterbitkan dulu telah diedit oleh A. Samad Ismail dan rakan-rakan) beberapa aspek novel yang boleh diperhalusi/disemak dsbnya. Lalu diterbgitkan “naskhah yang disempurnakan” dengan mengambil kira teguran kawan UMNO (siapa lagi jika tidak MIC) daripada kumpulan Hindu yang menentang, setakat yang munasabah. Tentulah gila bila dicadangkan 100 perkara untuk dipinda, padahal tindakan yang lebih baik dan siuman dan rasional ialah mengeditnya, seperti dicadangkan tadi. Setelah dua kali ditakdiskan oleh kerajaan, sekali oleh Tun Razak dan sekali lagi oleh anaknya, kerajaan tidak perlu berdolak-dalik, seolah-olah menarik balik pengiktirafan yang dua kali ditegaskan mereka dengan menubuhkan panel bebas yang tidak perlu. Dalam hal ini, empat orang sasterawan negara yang ikut campur tidak mencadangkan penyelesaian, tetapi hanya membebelkan teori lama tentang “the autonomy of literature” dengan mengemukakan hujah Kritikan Baru yang tidak dipakai lagi di Amerika Syarikat sendiri. Ketinggalan zaman atau tak ada modal intelektual yang bernas? Semua tindakan yang diambil memperlihatkan kelesuan intelektual DBP, para sasterawan, dan sikap dolak-dalik kerajaan yang terlalu memberi muka kepada kumpulan yang tidak wajar diberi muka. Bilakah DBP akan mendapat Ketua Pengarah yang tegas dan berkalibar lagi?
Salam Tuan Haji Affandi,
ReplyDeleteSaya baru terjumpa dengan blog tn haji.
Dah lama saya cuba dapatkan karya Tn Haji "Pujangga Melayu", tapi memang sukar untuk ketemu.
Bagaimana ya saya boleh dapatkannnya?
yang mencari
Mohd Noorliza
AH,
ReplyDeleteSaya ingin memetik sebahagian tulisan saudara berkenaan Interlok. Bagaimana kita dapat berkomunikasi?
Kalau tak keberatan, saya boleh dihubungi melalui emel jelirda@gmail.com.
Saya menunggu maklum balas saudara.
- Hafiz Hamzah.