(Catatan: Tulisan ini adalah Bahagian II rencana berjudul, “Kalau Kail Panjang Sejengkal ...”, disiarkan pada 21/2/2011).
Pada umumnya ramai sarjana sastera, dan boleh dikatakan majoriti para sasterawan, tidak menerima gagasan Persuratan Baru sebagai satu kaedah yang boleh dipakai dalam menilai karya kreatif atau menjadi panduan dalam menulis karya baru. Mereka menegaskan dengan bersungguh-sungguh bahawa gagasan Persuratan Baru tidak sesuai dan tidak boleh dipakai untuk menilai karya tertentu, atau karya orang tertentu, misalnya karya para sasterawan istimewa, yakni para Brahmin Sastera yang telah muncul sejak pertengahan tahun 1970-an lagi, dengan itu istilah ini telah saya gunakan sejak 1970-an, ketika SN belum diwujudkan. Tokoh-tokoh ini kemudiannya memenangi Anugerah Sastera dan secara rasmi betul-betul diangkat ke taraf Brahmin Sastera yang mesti berada di luar gagasan Persuratan Baru kerana karya para sasterawan istimewa itu tidak boleh digolongkan sebagai karya bercorak Islam, sedangkan menurut pandangan mereka gagasan Persuratan Baru hanya sesuai dipakai untuk menilai karya-karya baru yang boleh digolongkan sebagai karya bercorak Islam. Tidak jelas bagaimana dengan tiba-tiba hujah begini muncul dalam sastera Melayu, padahal sudah acap-kali disebut-sebut supaya para sasterawan dan sarjana sastera melakukan “anjakan paradigma” untuk memulakan dinamika baru dalam kesusasteraan Melayu, dengan itu pada waktu yang sama dibawa masuk sebanyak-banyaknya segala macam pendekatan dan teori sastera dari Barat untuk dipakai di Malaysia. Anda boleh melihat keseronokan baru ini dalam buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, berjudul Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera (2006), diselenggarakan oleh Mohamad Daud Mohamad dan Huszaidi Hussin. Apakah yang menyebabkan mereka mengecualikan gagasan Persuratan Baru daripada masuk ke dalam senarai keseronokan mereka?
Pada andaian saya, jawapannya diberikan oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya yang berpendapat begini (merujuk kepada (1) karya persuratan, (2) karya sastera, (3) karya picisan/erotik/lucah): “The most appropriate and challenging but rewarding application of the PB approach will have to be on karya persuratan because it will address issues that are central to PB. The second category will be challenging only if there is enough content and form that it shares with the first category to warrant a rigorous analysis and argument leading to the final judgement. The third category is a non-starter since it is impossible to analyse issues of interest to PB when they are not there in the first place. Obviously most of the works in the second category and all the works in the third category need alternative approaches that can equitably evaluate them within their own writing genre.” (Dr. Zawiah Yahya, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making, hal. 61).
Sekiranya kesimpulan Dr. Zawiah Yahya betul dan diterima, bagaimanakah kita dapat menentukan sesuatu karya itu karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan? Tiga kategori itu ditentukan oleh gagasan Persuratan Baru, dengan itu ketiga-tiganya perlu dianalisis dengan menggunakan gagasan Persuratan Baru. Supaya perkara ini dapat dilihat dengan lebih jelas dan lebih mudah difahami, kita ambil contoh novel Salina oleh A. Samad Said. Mengikut penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, novel ini bermutu tinggi kerana meniru novel Barat dan memakai idea dari Barat sepenuhnya, dan lain-lain ukuran yang disebut oleh Panel dalam laporan mereka. Kesimpulan ini diterima tanpa sebarang sanggahan, sehinggalah munculnya gagasan Persuratan Baru yang meletakkan novel ini dalam kategori ketiga, sebuah novel picisan. Beberapa huraian dan analisis oleh Prof Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani tentang Salina (antaranya yang termuat dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan) cenderung untuk membuat kesimpulan bahawa Salina adalah sebuah novel picisan. Keputusan ini tidak mungkin tercapai tanpa analisis yang mendalam dengan menggunakan gagasan Persuratan Baru. Dengan itu kesimpulan Dr. Zawiah Yahya tertolak hampir secara mutlak; apatah lagi jika analisis Prof. Madya Dr. Zariat tentang novel Abdul Kadir Adabi dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan diambil-kira. Di situ Dr. Mohd. Zariat menunjukkan dengan jelas dan meyakinkan bahawa bacaan sebelum ini oleh beberapa orang sarjana sastera tidak tepat kerana menggunakan pendekatan Barat yang menolak peranan ilmu dalam karya kreatif. Sebuah kes lain, iaitu analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir terhadap novel Dr. Fatimah Busu, Salam Maria, menunjukkan dengan pasti dan amat meyakinkan bahawa karya Dr. Fatimah Busu itu adalah sebuah karya sastera yang biasa, tidak dapat dikategorikan sebagai karya persuratan yang mengutamakan ilmu yang benar. Tidak terdapat wacana bersifat ilmu dalam novel itu, kecuali penggembelingan cerita semata-mata, hatta ketika mengutip ayat-ayat Quran dan hadis pun novel ini hanya melakukannya dalam maksud untuk memperjangkan cerita, bukan untuk menyerlahkan ilmu. Tidak terdapat analisis yang berbentuk wacana, melainkan pembebelan cerita yang sengaja dipanjangkan untuk berpretensi mengemukakan wacana Islam berasaskan analisis keilmuan. Contoh-contoh yang disebutkan di sini memperlihatkan kekeliruan kesimpulan Dr. Zawiah Yahya dalam kesimpulannya. Antara tujuan dan matlamat penting gagasan Persuratan Baru ialah untuk menentukan dalam kategori mana sesebuah karya berada; dan ini tidak dapat ditentukan dengan memuaskan dan meyakinkan tanpa analisis dan penghujahan yang teliti. Paling mudah dilihat di sini ialah kasus novel Salina, yang pada mulanya dikategorikan sebagai karya besar oleh Panel Anugerah Sastera Negara, tetapi ternyata palsu apabila dianalisis dan dihujahkan dari perspektif gagasan Persuratan Baru. Dilihat dalam konteks ini, jelas sekali gagasan Persuratan Baru berguna besar untuk menentukan kedudukan sesebuah karya, sama ada sebuah karya persuratan, karya sastera, atau karya picisan. Pembahagian ini penting untuk menentukan kualiti sesebuah karya secara tepat dan objektif, seperti yang dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah terhadap novel Salam Maria. Sekiranya kesimpulan Dr. Zawiah Yahya bahawa ketegori kedua dan ketiga memerlukan pendekatan alternatif yang sesuai dengan genre masing-masing, maka kita akan terus berada di tahap lama, tidak dapat membezakan antara karya bermutu yang berteraskan ilmu yang benar dan mengutamakan wacana dengan karya sastera biasa dan karya picisan yang kini dipandang tinggi oleh Panel Anugerah Sastera Negara, seperti yang tertulis dalam laporan mereka. Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk kuliah MASTERA Prof. Ungku Maimunah, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Pendekatan berasaskan pemikiran Barat yang bersifat liberal dan relatif yang diajukan dan dianjurkan oleh Dr. Zawiah Yahya nampaknya bertentangan dengan prinsip beliau sendiri, yang ingin melemparkan pendekatan demikian seluruhnya untuk digantikan dengan “the centrality of our own country and our own region as a base on which we stand in relation to the rest of the world.” Apakah sebenarnya maksud beliau dan pada kedudukan mana beliau berada? Pada faham saya, beliau sebenarnya, secara halus dan tersembunyi, menolak pendirian Islam yang diutarakan dalam gagasan Persuratan Baru. Saya tidak boleh berkata apa-apa jika itulah pilihan beliau; tetapi beliau tidak wajar lagi mempunyai pendirian setegas yang beliau nyatakan, jika ketegasan itu hanya berada dalam konteks kekeliruan secara berterusan tentang perkara-perkara yang ingin dinyahkannya itu.
Saya telah menulis agak mencukupi untuk dijadikan sandaran dalam menilai pemikiran saya; oleh itu soal-soal peribadi yang banyak disebut oleh para pengkritik yang membaca atau yang tidak membaca tulisan saya dengan cermat dan kritis, memang telah lama dijadikan alasan untuk tidak memahami secara objektif pemikiran saya, oleh itu lebih baik dibiarkan saja isu-isu buatan mereka tentang soal-soal peribadi itu berterusan. Soal sama ada saya mempunyai pengikut, atau apa-apa juga pengaruh dan sebagainya, ramai atau sedikit, dijadikan isu untuk kononnya membuktikan gagasan Persuratan Baru tidak diterima, walaupun mereka tahu isu buatan ini tidak menjejaskan pemikiran saya. (Nabi Nuh ‘a.s. berdakwah 950 tahun, isteri dan anak baginda tidak ikut; yang ikut 8 atau 18 orang). Jika golongan ini takutkan pengaruh saya, maka saya ingin memberi jaminan, anda tidak usah bimbang, saya tak ada pengaruh (pengikut pun, kalau ada, paling ramai kurang dari 10 orang). Semua ini sebenarnya bukan masalah saya, tetapi masalah pembaca dan penilai saya. Dalam tahun 1994, ketika membaca (bukan menilai) buku saya Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, sekumpulan penilai yang diketuai oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, menggunakan ukuran “diplomasi” untuk membuat kesimpulan buku itu tidak bernilai. Bagaimana soal diplomasi ini boleh masuk dalam penilaian mereka hanya boleh difahami jika sikap negatif mereka terhadap ilmu dan kejujuran mereka sebagai penilai dijadikan pertimbangan. (Lihat Dewan Sastera, September 1994). Mereka mengharapkan orang lain supaya berlaku jujur, tetapi kejujuran itu tidak perlu untuk diri mereka sendiri. Oleh itu kita perlu tahu siapa mereka, supaya kita tidak begitu mudah terpedaya dengan sikap negatif mereka terhadap ilmu, dengan menyalah-gunakan kedudukan mereka sebagai penilai yang diberi amanah untuk menggalakkan perkembangan ilmu, tetapi bertindak sebaliknya, hanya kerana mereka mempunyai prasangka buruk terhadap seseorang. Mereka yang saya maksudkan ialah anggota panel yang dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, terdiri daripada Haji Aziz Deraman (Ketua Pengarah DBP, sebagai pengerusi); dengan anggota terdiri daripada Dr. Mohd. Yusof Hasan, Dr. Solehah Ishak, Dr. Shafie Abu Bakar, Dr. Othman Puteh, Dr. Sahlan Mohd. Saman, Rahman Shaari, Kamaruzzaman Abdul Kadir, Dr. Mohd. Khalid Taib, Dr. Abdul Rahman Napiah, Abdullah Tahir. Mereka mengaku isi kandungan Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid itu baik, tetapi ditulis tanpa diplomasi dalam tujuh baris pertama pendahuluan buku itu. Untuk memahami perkara yang saya bangkitkan di sini, kita bandingkan dengan satu peristiwa lama dahulu, ketika Prof. A. Teeuw mengangkat Salina sebagai sebuah novel bertaraf antarabangsa. Hampir seluruh sasterawan dan ahli akademik menunjukkan kegembiraan mereka kerana kini sudah ada seorang sasterawan yang layak diangkat ke taraf antarabangsa. Ini kemudiannya diiktiraf oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang tidak saja bersetuju dengan A. Teeuw, tetapi pergi lebih jauh dengan meletakkan Salina sebagai “mahakarya” yang telah menjadikan kesusasteraan Melayu moden terhormat dan dihormati. Bandingkan pula keadaan yang berlaku terhadap buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, yang oleh sebuah universiti Islam di London dianggap sebagai salah sebuah buku penting dalam Abad 20/21 dalam perkembangan pemikiran dalam tamadun Islam (rujuk hal. 150, Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan). Bagaimanakah reaksi para sasterawan dan ahli akademik kita? Walau apa pun reaksi mereka, adalah jelas keputusan panel DBP 1994 itu tidak tepat, dengan itu kualiti sebenar penilaian mereka dan tahap pemikiran mereka telah gagal meletakkan buku itu pada tempatnya yang layak. Apakah yang dapat kita simpulkan tentang kejujuran ilmiah mereka?
Jika kita melihat persoalan ini dalam konteks islah dan fasad yang disebut oleh al-Quran, kita mungkin dapat memahami hakikat sebenar yang menjadi matlamat dan tujuan utama para sasterawan dan sarjana sastera: mereka adalah pendukung kebudayaan hedonisme Barat yang meletakkan kemahuan hawa nafsu manusia sebagai asas tindakan manusia, sebagai asas tindakan mereka sendiri. Bukti yang paling nyata untuk menjadi sandaran kepada kesimpulan ini ialah laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang terang-terangan menganjurkan dan meneruskan falsafah kritikan Barat, dengan sikap memandang remeh apa-apa juga pandangan berteraskan Islam dalam kritikan dan penilaian karya. Inilah makna islah, pembaharuan, yang dibanggakan oleh para sasterawan dan sarjana, yang dalam konteks al-Quran tidak lain daripada dolak-dalik kumpulan yang menolak nilai-nilai al-Quran, dengan berkata mereka berbuat kebaikan, padahal mereka sebenarnya berbuat fasad. Hakikat islah yang sebenarnya terkandung dalam konsep taklif, dengan tiga rahsia taklif yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah. Dalam konteks inilah saya mengkritik Muhammad Hj. Salleh, Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan lain-lain tokoh yang telah ditakdiskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Apakah yang telah diislahkan oleh Muhammad Hj. Salleh yang menjadikan Si Tanggang wiranya; atau yang mengagumi Mephistopheles, Raja Iblis itu? Apakah jenis islah yang telah dilakukan oleh Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan, atau A. Samad Said dalam Salina? Supaya anda berasa selesa dan nyaman: Apakah yang mungkar dalam Pujangga Melayu? Apakah yang tidak islah dalam novel itu?
Sebagai peringatan untuk diri saya dan kepada sesiapa saja yang berminat, saya turunkan nasihat Imam Ghazali kepada seorang muridnya: “Sebahagian tanda keikhlasan anda ialah anda tidak merasa gembira berikutan dengan pujian orang kepada anda; sebaliknya anda tidak berduka sebab cacian mereka. Malah dua keadaan yang bertentangan itu sama saja pada pandangan dan perasaan anda.” (Intisari Karya-karya Tasauf, terjemahan Ustaz Mohd Salleh Hj. Arshad dan Ustaz Abdullah al-Qari bin Hj. Salleh, hal. 45-46). Abdul Rauf Singkel pula membawa sebuah hadis sahih (jarang/tak disebut di Malaysia) untuk menjadi peringatan kita: “Bila engkau melihat orang yang selalu memuji-muji, taburkanlah debu (tanah) di mukanya.” (Tanbih Al-Masyi, terjemahan Oman Fathurahman, hal. 139).
Gagasan Persuratan Baru mengejutkan ramai sarjana dan sasterawan kerana mereka telah terputus dari tradisi persuratan dalam bahasa Melayu, suatu tradisi yang kaya dan telah melahirkan ulama dalam semua bidang ilmu agama, pendeta, pemikir, penulis dan penyair (yang sebenarnya) dan ahli-ahli ilmu dalam bidang-bidang lain (terutama sejarah dan ilmu nahu). Apa yang kemudiannya disebut sebagai “kesusasteraan” hanyalah satu bidang kecil, yang sampingan dan pinggiran, yang tidak melahirkan ahli ilmu seperti yang telah dilahirkan dalam tradisi persuratan Melayu. Inilah yang diberi keutamaan pada waktu ini, yang akhirnya melahirkan Brahmin Sastera yang membawa gelaran “sasterawan negara” yang dari segi ilmu tidak memberikan apa-apa yang boleh membuat kita bangga; malah jika kita menerima penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, mereka hanyalah peniru tradisi Barat yang paling rendah, bukan yang bersifat ilmu dan falsafah. Ini terbayang dalam karya-karya mereka, yang memang diakui oleh Panel Anugerah Sastera Negara hanyut dalam kekaburan dan kekeliruan nilai yang mereka terima dari Barat. Kritikan ini diasaskan daripada analisis laporan Panel Anugerah Sastera Negara dan dari bacaan kritis karya-karya para Brahmin Sastera sendiri. Apa yang dilahirkan oleh “kesusasteraan” hanyalah sejenis pandirisme yang lebih banyak memperagakan kecetekan ilmu daripada pemikiran yang sebenarnya. Dalam konteks inilah timbul soal keterampilan ahli sihir Firaun, yang menguasai teknik sihir mereka dengan begitu tinggi, sehingga memungkinkan mereka mengenal kebenaran sebaik saja mereka melihat tongkat Nabi Musa ‘a.s. menelan ular-ular palsu mereka. Sampaikah para sasterawan dan sarjana kita ke tahap ahli sihir itu? Jika perbandingan ini dilihat dalam konteks yang dimaksudkan, tidak akan timbul kekeliruan tafsiran dan salah faham. Hal ini perlu difikirkan dengan mendalam untuk memahaminya, sama seperti peristiwa Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. dan peristiwa perempuan Mesir yang menghiris tangan mereka. Sekiranya hal ini benar-benar difahami, anda akan dapat melihat gagasan Persuratan Baru dalam konteksnya. Anda akan mengerti mengapa kita harus kembali kepada tradisi persuratan.
Dalam bahagian “The Last Word” bukunya, Dr. Zawiah Yahya menulis (sebagai kesimpulan, hal. 64-65): “Affandi has produced a complete package for his approach. His philosophical framework is well researched although he has a tendency to pick and choose only references that bolster his arguments in rather unproblematic way. The PB principles of criticism are laid out quite clearly and there is even a step-by-step model of classroom teaching as well as a model of practical analysis to demonstrate application of the critical approach which, in this case, is done on his creative work that adopts a writing approach based on the same principles. The latter model seems a little contrived and closed bacause it would seem that how one reads is exactly how one writes, and vice versa.
There is also a sense of absolutism about PB that does not allow it to problematise itself. Such total conviction of its rightness also seems to rule out the validity of other alternative ways of reading. In the reality of literary practise in which the practitioner or user chooses his or her own tools, it is doubtful if it will ever come to pass that only one methodology rules the realm.”
Sebagai seorang yang rendah bahasa Inggerisnya, yang tidak dapat melihat kehalusan sindiran dan ejekan dalam bahasa Inggeris tinggi yang dipakai oleh Dr. Zawiah Yahya, maka saya terpaksa merujuk kamus Collins Cobuild English Dictionary: Helping Learners With Real English untuk memahami maksud “contrived” yang dipakai oleh Dr. Zawiah ketika “memuji” pendekatan Gagasan Persuratan Baru dalam kutipan di atas. Kata kamus tersebut: “1. If you say something someone does is contrived, you think it is false and deliberate , rather than spontaneous and natural; used showing disapproval. There was nothing contrived or calculated about what he said... It mustn’t sound like a contrived compliment.
2. If you say that the plot of a play, film, or novel is contrived, you mean that it is unlikely and unconvincing; used showing disapproval. The plot seems cumbersomely contrived.” (Huruf tebal dan condong dalam teks asal).
Bolehkah kita berkata “pujian” Dr. Zawiah Yahya “a contrived compliment”? Sebagai seorang Professor of Critical Theory and Postcolonial Studies, yang terkenal cermat dan objektif dalam tulisan beliau, saya fikir beliau telah menyatakan pendapat beliau dengan tepat dan objektif pada pertimbangan beliau. Tetapi pendapat dan analisis beliau masih lagi berada dalam kerangka yang beliau sendiri minta kita tolak, jika kita boleh percaya saranan beliau betapa perlunya kita menghumbankan semangat kolonial dalam dunia kesarjanaan, seperti yang saya kutip di atas. Betapa pun aneh “pendirian” (?) beliau dalam hal ini, namun saya puji dan kagum dengan keberanian beliau membicarakan suatu tajuk yang beliau belum bersedia membicarakannya dengan saksama, tetapi ini tidak bererti kita boleh mendiamkan diri apabila beliau tersasar jauh daripada semangat gagasan Persuratan Baru dengan berkata apa yang dianjurkan oleh PB adalah sesuatu yang mutlak (absolute), dengan itu menolak pendekatan lain, dan dengan itu juga seolah-olah tidak relevan dengan perkembangan dalam dunia ilmu di Barat. Inilah sejenis contrived criticism yang tidak berasas. Saya sendiri telah menyatakan pendirian saya dengan jelas sejak permulaan saya memasuki belantara kesusasteraan ini, bahawa kita harus tahu seberapa banyak yang kita terdaya mengetahuinya, tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu. (Lihat antara lain tulisan saya dalam Mastika, Oktober 1991, bertajuk “Konsep Ilmu Dalam Kritikan Sastera”; sila rujuk juga rencana saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, selenggaraan Prof. Ungku Maimunah.)
Novel Pujangga Melayu membahaskan konsep pengarang dalam persuratan Melayu, yang boleh dianggap sebagai satu manifesto penulisan untuk mencabar konsep “sasterawan” yang dipakai sekarang. Mengapa cabaran itu perlu diketengahkan saya jelaskan sendiri dalam novel itu, yang kemudiannya dianalisis dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya mengenai gagasan Persuratan Baru. Prof. Madya Dr. Zariat kemudiannya menulis sebuah analisis yang meyakinkan ketika membicarakan novel Abdul Kadir Adabi yang diterbitkan 1938, Melati Kota Bharu. Analisis Dr. Zariat memperlihatkan kegagalan kritikan warisan Barat yang dipakai oleh sarjana kita untuk menilai novel itu secara saksama. Lain-lain contoh boleh dilihat dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan. Untuk mengatakan dengan angkuh bahawa usaha kami yang mendukung gagasan Persuratan Baru, terutama usaha saya sendiri, sebagai sesuatu yang “contrived”, yakni yang palsu, pura-pura, dibuat-buat, mengada-ada, yang tidak natural, yang “perasan dan seronok sendiri” (semua ini termasuk dalam makna “contrived” itu), adalah sesuatu yang amat luar biasa, dan pastilah sangat biadap bagi orang yang pernah berkata “[we have] to unseat England, Europe, and the United States of America as the centre of our universe ...”.
Novel Pujangga Melayu ditulis kerana saya harus memberi sekadar contoh bagaimana gagasan Persuratan Baru boleh dijadikan asas penulisan kreatif. Lagi pula para sasterawan dan sarjana yang tidak berminat kepada ilmu, sering berkata gagasan Persuratan Baru terlalu ideal, tidak mungkin dilaksanakan dengan berjaya. Novel itu sendiri bercerita panjang tentang gagasan Persuratan Baru yang ditulis untuk menyerlahkan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan wacana, cerita, dan konsep ilmu yang benar. Jika semua ini tidak lebih daripada sejenis kepura-puraan belaka, sesuatu yang “contrived” dan tertutup kepada kemungkinan atau alternatif lain, maka bagaimana pula para sarjana yang biasa dengan kesusasteraan Barat/Inggeris boleh menerima genre tragedi, komedi dan sebagainya, yang dari segi struktur memang tertutup, sebagai sesuatu yang tidak “contrived” dan tertutup? Pujangga Melayu adalah sebuah novel dalam genre karya persuratan yang diakui sendiri oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya sebagai suatu kategori tersendiri, yang berbeza daripada karya sastera dan karya picisan etc. Saya tidak tahu dalam konteks yang bagaimana Prof. of Critical Theory and Postcolonial Studies ini melihat dan menilai pemikiran saya dalam kritikan dan dalam karya kreatif. Ataukah yang “contrived” bukan karya saya dalam dua bidang itu, tetapi penilaian dan kritikan Prof. of Critical Theory and Postcolonial Studies itu sendiri?
Untuk memahami “pendirian” sebenar Prof. Dr. Zawiah Yahya, perhatikan kesimpulan beliau terhadap Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (hal. 43): “Muhammad has his fair share of bouquets and brickbats for his attempts at theory-buiding. His admirers pronounce him as ‘a pioneer’ who, “like Atistotle, was searching for the poetics of his own literary tradition” (Mana Sikana in Zawiah Yahya ed. 2003, 156-7) and actually uses “60 fiction and 100 non-fiction texts as a basis of a theory (Anwar Ridhwan in Zawiah Yahya ed. 2003, 173-174), as opposed to building a theory on the basis of a certain idealism or ideology. His detractors, on the other hand, think his coverage on Malay literature is incomplete because he has not factored in the Islamic influence that has shaped the identity of the Malays and their literary heritage. There have also been questions raised on whether Muhammad’s Malay Literary Poetics is a theory of production or a theory of criticism. Certainly there seems to be a gap between theory and practice, but even if it is only a theory of production, it is a feat in itself and has every potential of providing a most useful framework for the construction of a critical theory.” Cemuhan Anwar Ridhwan bahawa “teori” sastera Islam diasaskan di awangan, tanpa teks yang boleh dirujuk, ternyata tidak saja menghina usaha demikian, tetapi juga bertentangan dengan kaedah berfikir yang dilakukan oleh manusia yang berfikir. Maksud saya, orang Islam tidak perlu menunggu wujudnya teks yang dimaksudkan tidak ada oleh Anwar Ridhwan, kerana teks yang bertentangan dengan Islam terlalu banyak dalam sastera Melayu moden. Itu pun sudah cukup untuk dijadikan asas untuk menulis sebuah teori, supaya teks demikian dapat dikenal pasti dan kualitinya ditentukan berasaskan ukuran Islam. Tetapi palsunya tuduhan itu terbukti apabila Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat membicarakan novel Abdul Kadir Adabi (terbit 1938), Melati Kota Bharu. Dalam dunia penulisan Islam pula, terdapat beribu teks yang ditulis oleh para penyair Islam untuk dijadikan sandaran untuk menulis gagasan Persuratan Baru, misalnya.
Sekali lagi kita kembali kepada Collins Cobuild English Dictionary untuk mendapat makna tersirat yang terselit dalam bahasa Inggeris tinggi Prof of Critical Theory and Postcolonial Studies, Dr. Zawiah Yahya, seorang sarjana yang terkenal cermat penggunaan bahasanya dan sangat objektif penilaiannya. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah dihadiahkan “bouquets” oleh peminat dan pengagumnya; berbanding dengan pengkritiknya yang hanya “melemparkan” “brickbats”. Inilah pandangan Collins Cobuild English Dictionary: “1. A bouquet is bunch of flowers which is attractively arranged. ... 2. The bouquet of something, especially wine, is the pleasant smell that it has. ...” Ini pula tentang “brickbats”: “Brickbats are very critical or insulting remarks which are made in public about someone or something.” (Huruf tebal dalam teks asal). Benarkah “pujian” melampau, tidak berasas yang dibuat oleh Mana Sikana dan Dr. Anwar Ridhwan berupa sejenis “bouquet” akademik yang “atractively arranged”? Sesiapa juga yang telah membaca tulisan mereka akan berasa sangat aneh, dan malu sendiri, melihat bagaimana rendahnya kualiti akademik mereka dan keterlaluan mereka membuat perbandingan. Jika anda membaca tulisan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, dan membandingkannya dengan falsafah Aristotle, anda akan lihat betapa rendahnya martabat ilmu para pemuji profesor ini. Dari segi ilmiah, mereka tidak bertanggungjawab. Dan jika benarlah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh betul-betul membaca sejumlah teks (160 semuanya), maka bagaimana beliau boleh terlepas pandang tentang peranan Islam dalam tamadun Melayu? Adakah disengajakan, atau beliau tidak tahu membaca teks tentang Islam? Pujian murahan begini benar-benar menjengkelkan pembaca yang serius, yang ingin mendapat sesuatu yang benar-benar berkualiti dan bertanggungjawab daripada seorang ahli akademik. Dengan menilai kritikan serius terhadap kekeliruan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sebagai sejenis “brickbats” yang tidak bertanggungjawab, maka Prof. Dr. Zawiah Yahya menganggap semua kritikan saya terhadap Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu dan makalah saya yang dimuat dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan sebagai tulisan tidak bertanggungjawab dan hanya sejenis “insulting remarks” yang tidak mempunyai kualiti akademik sama sekali. Di sini kita harus berhati-hati membaca tulisan profesor yang terkenal cermat dan objektif pandangannya ini, supaya kita dapat menilainya secara saksama dan adil, tidak mengulangi kesilapan besar beliau yang merendahkan sejauh itu sumbangan orang lain yang tidak disukainya, yang dalam hal ini besar kemungkinan yang tidak betul-betul difahaminya. Prof. Dr. Zawiah tidak memberikan cukup analisis yang boleh dijadikan sandaran untuk kita menilai kesimpulan beliau (tentang Puitika Sastera Melayu yang dianggapnya sebuah teori) yang berbunyi, “There have also been questions raised on whether Muhammad’s Malay Literary Poetics is a theory of production or a theory of criticism. Certainly there seems to be a gap between theory and practice, but even if it is only a theory of production, it is a feat in itself and has every potential of providing a most useful framework for the construction of a critical theory.” (Penegasan ditambah). Kata Collins Cobuild English Dictionary: “If you refer to an action, or the result of an action, as a feat, you admire it becase it is an impressive and difficult achievement.” Tentu saja sesiapa pun boleh “admire” sesiapa saja yang dia suka; tetapi seorang ahli akademik adalah seorang yang istimewa dan harus menjaga keistimewaan itu sebagai seorang ahli akademik yang tetap objektif, jika tidak dia tidak mempunyai maruah akademik, oleh itu pendapatnya tidak boleh dipercayai dan tidak boleh dipakai.
Bagi seorang sarjana yang begitu cermat dan objektif, penggunaan istilah “theory” yang dipakai di sini tidak tepat, kerana Puitika Sastera Melayu tidak mempunyai ciri-ciri yang harus ada pada sesuatu “theory”. Apakah masalah yang cuba diselesaikan? Adakah masalah itu penting? Bagaimana masalah itu dihuraikan? Apakah ciri penting “theory” yang dikemukakan? Bagaimana “theory” itu boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah tadi? Apakah ramalan yang boleh dibuat oleh “theory” itu untuk perkembangan masa depan? Puitika Sastera Melayu adalah sebuah esei biasa, yang mengumpulkan sejumlah maklumat yang bukan baru, bukan original, dan bukan mendesak untuk menyelesaikan sesuatu masalah penting dalam kritikan dan penilaian sastera. Tidak juga untuk dijadikan panduan bagi perkembangan masa depan yang lebih mencabar. Apa yang dilakukan oleh Puitika Sastera Melayu hanya membicarakan perkara-perkara remeh dalam sastera lama, tetapi menjadi seolah-olah penting kerana banyak sekali digunakan teori Barat, yang disenaraikan oleh Dr. Zawiah Yahya sendiri. Pada hakikatnya, seperti yang dikatakan oleh Prof. Dr. Siti Hawa Salleh (rujuk Budi Kencana, hal. 255), Puitika Sastera Melayu hanyalah sejenis “ujaran” yang berpretensi ilmiah, pada hal dalam istilah Martin Heidegger, tidak lebih daripada omongan, ocehan atau “idle talk” sahaja. Sesiapa juga yang ragu-ragu dengan kesimpulan ini, boleh rujuk kritikan saya dalam Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh; atau analisis saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan.
Menarik juga apabila Prof. Dr. Zawiah Yahya menggunakan perkataan “detractors” untuk mencirikan para pengkritik Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Dalam Collins Cobuild English Dictionary, “The detractors of a person or thing are people who criticize that person or thing; used mainly in journalism.” Dengan meletakkan pengkritik Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pada taraf jurnalisme, yang cetek, tidak menyeluruh, yang selalunya penuh sensasi, yang tidak boleh dianggap akademik sama sekali, maka Dr. Zawiah menganggap kritikan itu hanya sejenis gangguan yang tidak perlu, yang remeh temeh. Berbanding dengan ahli akademik yang memberi “buequet”, walaupun “buequet” itu terdiri daripada jambangan bunga kering yang sudah reput dan busuk! “Yet, it is still a buequet!!”
Percubaan Prof. Dr. Zawiah Yahya untuk membela karya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang pada pendapatnya, “even if it is only a theory of production, it is a feat in itself and has every potential of providing a most useful framework for the construction of a critical theory,” nampaknya tidak mencapai matlamatnya, malah kelihatan “a little contrived”. Masalahnya ialah esei itu bukan kedua-duanya, yakni bukan “a theory of production neither a theory of criticism.” Hanya sebuah esei biasa yang penuh dengan ocehan dan pretensi ilmiah dengan mengambil seberapa banyak teori Barat yang tidak relevan. Misalnya, beliau menyebut dan menganjurkan supaya dekonstruksi diambil dan dipakai di Malaysia, tetapi apabila teori itu dipakai untuk menganalisis karyanya, dia terus “naik angin” seperti yang berlaku kepada seorang Tok Minduk, sebuah “teater” tradisi yang dikaguminya. Jika anda tidak kenal budaya anda dan tidak biasa pula dengan teori Barat, anda tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya; maka inilah saya beritahu anda supaya anda tidak terpedaya. Sebenarnya jika profesor itu betul-betul ingin membina satu teori dan dia mempunyai kemampuan intelektual untuk melakukannya, dia sudah pun melakukannya, tidak usah menunggu lagi. Tidakkah itu merugikan?
Pendirian Prof. Dr. Zawiah Yahya terlihat sangat aneh apabila beliau mengkritik gagasan Persuratan Baru begini: “There is also a sense of absolutism about PB that does not allow it to problematise itself.” Kesimpulan ini sangat aneh, kerana selepas beliau berkata gagasan Persuratan Baru berasaskan al-Quran dan hadis, tiba-tiba beliau membuat kesimpulan bahawa gagasan Persuratan Baru terjerumus dalam absolutism. Jika kita membaca kesimpulan ini seperti tertulis, maka ini bermakna al-Quran dan hadis tidak mutlak, hanya gagasan Persuratan Baru yang mengambil sumber dari kedua-dua sumber itu saja yang pandai-pandai mahu menunjukkan sifat mutlaknya. Apakah maksud Prof. Dr. Zawiah Yahya dengan kesimpulan itu? Sebenarnya beliau berfikir dalam kerangka kritikan Barat, yang memang menolak apa juga yang bersifat mutlak. Tidak ada nilai-nilai mutlak, kata Barat, dan ini diikuti oleh profesor ini. Maka dengan itu beliau membuat kesimpulan mati: “In the reality of literary practice in which the practitioner or user chooses his or her own tools, it is doubtful if it will ever come to pass that only one methodology rules the realm.” Yang disebut “the reality of literary practice” itu ialah amalan pengkritik Barat yang menjadi panduannya. Mengapa kita mesti percaya kepada amalan demikian? Kemungkinan untuk gagasan Persuratan Baru menjadi pendekatan yang dominan dalam kritikan di Malaysia tetap terbuka; dan ini tidak bererti orang-orang seperti Prof. Dr. Zawiah Yahya tidak boleh terus hanyut dalam kepercayaan mutlak mereka kepada nilai dan pemikiran Barat.
Sebenarnya kepercayaan mutlak kepada pemikiran Barat ini diakui oleh beliau dalam kata-katanya seperti yang berikut: “... PB does not allow it to problematise itself.” Inilah pendirian Barat sebenarnya, menjadikan semua perkara dalam kehidupan manusia, dalam apa juga pemikiran mereka, sebagai masalah yang tidak habis-habis, tidak putus-putus, tanpa sebarang penyelesaian, persis seperti yang diceritakan dalam mitos Sisyphus, yang dihukum di neraka untuk menolak batu ke atas gunung, tetapi setiap kali batu itu hampir sampai, terus menggelonsor ke bawah, lalu Sisyphus harus menolaknya lagi, dan turun lagi. Begitulah selama-lamanya, tidak pernah selesai. (Rujuk, Collins Concise Encyclopedia of Greek and Roman Mythology. English edition, 1969). Jika anda membaca huraian dan penjelasan Prof. Ungku Maimunah tentang perkembagan toeri kritikan Barat (dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan), anda akan melihat sendiri bagaimana hukuman terhadap Sisyphus di neraka itu dijelmakan dalam kehidupan akademik di Barat. Itulah maksud “to problematise itself” yang diterima oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya sebagai satu ciri penting dalam sesebuah teori kritikan (atau mana-mana teori dalam apa-apa bidang sekalipun). Al-Quran menceritakan perkara ini dalam bentuk yang lebih “dramatik”. Apabila kaum Yahudi diperintahkan supaya menyembelih lembu betina untuk menghapuskan dosa-dosa mereka, kaum Yahudi enggan melakukannya terus, lalu bertanya Nabi Musa ‘a.s. warna kulit lembu itu, besar mana, tuakah muda, di mana boleh didapat dan sebagainya, sehingga hampir-hampir tidak dapat dilaksanakan perintah Ilahi itu. (Rujuk al-Quran, 2: 67-71). Bidal Melayu ada berkata, Malu bertanya sesat jalan. Tetapi bidal atau perumpamaan baru dalam zaman moden pula berkata, Terlalu banyak bertanya sesat Barat. Inilah akibat “to problemastise” semua perkara yang sudah selesai sekali pun. Dalam Islam ada jalan yang lurus, yang bagi orang Islam itulah permintaan mereka, menuju jalan yang lurus. Nabi orang Islam pun adalah nabi terakhir, tidak ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w., yang mengajar umat baginda supaya berpegang kepada al-Quran dan Sunah baginda, yang akan membawa ke jalan yang lurus tadi. Mengapa pula gagasan Persuratan Baru perlu problematise sesuatu yang sudah ditetapkan; namun ini tidak bermakna tidak boleh dibuat perbaikan, seperti yang dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah yang memperkenalkan beberapa prinsip baru yang membolehkan orang memahami gagasan Persuratan Baru dengan lebih mudah, misalnya konsep ruang naratif, yang banyak membantu menjelaskan makna dan maksud wacana dan cerita dalam gagasan Persuratan Baru. Tetapi konsep taklif, dan konsep-konsep lain yang menjadi asas gagasan Persuratan Baru tetap tidak berubah. Mutlak. Ini tidak bermakna tidak boleh dipakai oleh orang yang bukan Islam, kerana mereka boleh belajar memahami gagasan Persuratan Baru, menggunakannya dalam analisis mereka, malah jika mereka penulis novel dan lain-lain, tidak ada halangan untuk mereka menulis seperti yang disarankan dalam gagasan Persuratan Baru. Mengapa mereka tidak boleh mengajarnya di sekolah atau di universiti, jika diperlukan? Dengan ini gagasan Persuratan Baru tetap dan terus terbuka untuk difahami dan dipakai oleh sesiapa sekali pun. Ini juga tidak bermakna lain-lain kaedah tidak boleh digunakan oleh sesiapa saja. Hanya dalam konteks ini gagasan Persuratan Baru boleh saja mencabar penggunaan tadi dengan memberikan analisis yang mungkin lebih baik dan lebih tepat. Itulah yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat ketika membicarakan novel Melati Kota Bharu. Itulah sebenarnya yang akan terjadi dalam perkembangan ilmu. Jadi apa masalahnya? Gagasan Persuratan Baru bukanlah seperti Perancangan Ekonomi 5 Tahun, yang mesti berubah setiap lima tahun, atau boleh saja diteruskan segala macam projek yang telah dirumuskan sebelumnya.
Dalam bidalan Melayu terdapat peribahasa berbunyi, Malu bertanya sesat jalan, seperti yang telah saya sebutkan. Tetapi dalam kehidupan moden pertanyaan bukan lagi untuk mendapat kepastian, supaya tidak tersesat. Segala-galanya mesti problematise supaya tetap kelihatan dinamik dan maju ke depan. Oleh itu bidalan moden yang tepat untuk kehidupan moden ialah yang berbunyi, Banyak bertanya sesat Barat. Kerana itu dalam bidalan Melayu disebut, Jika kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Kerana itu orang Melayu terus menggunakan perahu kecil pergi memancing, dan memang dapat ikan, tetapi kecil-kecil juga. Tetapi itu tidaklah menghampakan mereka, kerana mereka telah diberi pesan oleh orang tua-tua mereka, jangan terjadi seperti orang yang terlalu ghairah ingin menunjuk-nunjuk, Tiada beban dicari beban, pergi ke pulau batu digalas. Akhirnya seluruh hidupnya dia Mendukung biawak hidup. Berapa ramaikah di antara kita yang bergelar sarjana, sasterawan dan segala macam, pada hakikatnya “mendukung biawak hidup” kerana terlalu gigih mempertahankan sesuatu yang kita ciplak dan tiru dari Barat untuk menjadi kepunyaan kita, padahal kita mempunyai pilihan yang lebih baik yang disediakan oleh agama kita, oleh tamadun keilmuan Islam.
Supaya para pelajar kita mengenal tamadun mereka sendiri, mereka haruslah diajar “how to handle ideas”, dengan membenarkan mereka bersuara dalam perbincangan bersifat keilmuan, terutama di universiti, dan khususnya di jabatan yang mengajar bahasa dan sastera Melayu. Kita mempunyai beribu ahli akademik yang bertauliah, yang pastinya mempunyai kewibawaan ilmiah yang tidak boleh diragukan, untuk memandu dan membantu para pelajar ini. Para pelajar sendiri tidak harus takut membuat silap dalam perbincangan demikian, kerana mereka akan dibantu oleh para pensyarah yang berwibawa. Jika ini dapat dilakukan dengan teratur, kita pasti akan dapat memajukan persuratan Melayu mencapai matlamatnya yang utama, mencerdikkan bangsa kita.
Mahu tidak mahu, gagasan Persuratan Baru kini menjadi kayu ukur dalam penilaian kreatif dan dalam analisis akademik. Alhamdulillah, terima kasih kepada teman-teman yang membantu memperkenalkan gagasan ini dan yang mengkritiknya. Setiap teguran dan peringatan, dalam bentuk apa sekali pun, tetap bermanfaat; seperti yang diperingatkan oleh Al-Quran supaya setiap orang Islam selalu berwasiat (tegur-menegur) sesama mereka dengan kebenaran (haq) dan dengan kesabaran. Saya harap pembaca saya lebih berhati-hati, lebih cermat dan lebih kritis membaca tulisan saya supaya mendapat sedikit faedah daripadanya, terutama sekali mengenai gagasan Persuratan Baru. Prof. Dr. Zawiah Yahya yang cermat dan teliti dalam kerja-kerja akademiknya saya fikir telah mendapat sedikit manfaat daripada kajiannya dan analisisnya tentang gagasan Persuratan Baru, walaupun banyak juga perkara-perkara yang mengecewakannya. Meskipun dalam tulisan ini di beberapa tempat saya agak keras mempertahankan sesuatu yang saya yakini, namun saya sangat menghargai usaha beliau memperkenalkan hasil usaha saya daripada “kail panjang sejengkal” yang saya dapat daripada lautan ilmu yang luas dan sentiasa bergelora itu. Saya anggap beliau seorang pengkritik gagasan Persuratan Baru yang paling teliti dan berwibawa membicarakan gagasan itu, dengan itu saya yakin para pembaca kini akan mendapat dua perspektif yang jelas tentang gagasan Persuratan Baru: satu yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat; satu lagi kritikan serius oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya. Terima kasih kepada mereka semua.
Jika anda membaca Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, anda akan bertemu dengan sebuah cerita pendek dalam tulisan Jawi yang ditulis oleh Mohd. Affandi Hassan ketika beliau berusia remaja, kira-kira 16 tahun, bertajuk “Kapitalis Kecil” (terbit dalam Fikiran Rakyat, Januari 1957). Tujuan dimasukkan cerita pendek “tidak bermutu” itu ialah untuk memberitahu para pembaca yang serius bahawa apa yang difikirkan oleh Mohd. Affandi Hassan pada zaman remajanya dicetuskannya zaman matangnya dalam gagasan Persuratan Baru. Tetapi beliau ketika budak-budak lagi telah diperkenalkan idea Shah Wali Allah oleh Ustaz Wan Ismail Wan Nawang, penulis Khulasah al-Quran (berasaskan ajaran Shah Wali Allah). Beliau telah diperkenalkan konsep taklif sewaktu beliau tidak tahu menahu implikasi falsafahnya, tetapi ketika dewasanya beliau secara spontan menggunakan konsep itu sebagai asas gagasan Persuratan Baru. Mengapa dinamakan gagasan Persuratan Baru? Rasanya saya tidak perlu menjelaskannya kerana Prof. Ungku Maimunah telah menghuraikannya dengan baik sekali dalam kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Anda boleh belajar banyak perkara tentang sastera Barat dan pemikirannya dengan membaca buku itu, di samping dapat memahami dengan cukup baik gagasan Persuratan Baru. Anda juga akan faham mengapa Mohd. Affandi Hassan menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris sebagai “genuine literature”. Beliau memberikan terjemahan bahasa Inggeris itu awal-awal lagi kerana beliau sedar jika dibiarkan begitu saja, orang akan menterjemahkannya secara harfiah, terjemahan yang tidak diasaskan kepada konsep dan falsafahnya, tetapi kepada kata-kata luaran. Anda perlu menjadi seorang yang berfikir untuk memahami gagasan Persuratan Baru. Wallahu a’lam.
Mohd. Affandi Hassan, 9/3/2011.
As-salam Tn Hj Affandi, teruskan mengkritik. Moga Persuratan Baru terus subur dalam mewarnai karya persuratan tanahair. Syabas!!
ReplyDeleteAs salam tuan,
ReplyDeleteKritikan tuan membuka mata hati pembaca & penulis yang sedang mencari-cari mutiara sastera yang tulen dalam "lautan ilmu yang luas dan sentiasa bergelora".