Monday, February 21, 2011

ANTARA PARIAH, BRAHMIN, DAN JIWA DRAVIDIAN DALAM BUDAYA MELAYU (Tulisan ini perlu dibaca dengan cerdik untuk mendapat manfaat)

Sebuah novel dan gambar penulisnya telah dibakar oleh sekumpulan kira-kira 100 orang penganut Hindu keturunan India kerana di dalam novel itu terdapat perkataan “paria” dan orang India  yang dibawa masuk oleh Inggeris untuk menjadi kuli di ladang-ladang dan di Kereta api Tanah Melayu dikatakan  berasal daripada kasta “pariah”.  Menurut mereka, tak seorang  pun orang India  berketuruan Hindu itu dari kasta paria, kerana memang tidak ada kasta dalam ajaran Hindu. Tidak terdapat kasta dalam RigVeda, malah para ahli sejarah berkata perkataan kasta (caste) itu sendiri berasal daripada bahasa Pertugis, bukan perkataan Sanskrit dan tidak pula satu konsep Hindu. (Sila baca buku Cultural Background of the Peoples of Malaya, diterbitkan oleh Perak Publishing House, Ipoh, 1960.  Ditulis oleh Neoh Thean Chye).  Tetapi terdapat golongan Brahmin, daripada kasta Brahman, yakni kasta tinggi yang menjadi pendeta dalam agama Hindu. Inilah kasta yang dimasukkan oleh Inggeris ke Tanah Melayu untuk menjadi kuli  di ladang-ladang getah, di stesen kereta api dan lain-lain. Sebagai golongan Brahmin, mereka giat membina kuil untuk kegunaan golongan Brahmin ini. Mereka membina kuil itu di mana-mana saja mereka berada, di dalam kawasan mana sekali pun, tanpa mengambil-kira aspek undang-undang dan hak milik tanah yang mereka jadikan tapak kuil itu.  Ini terjadi kerana dewa-dewa mereka berada di mana-mana dan berhak disembah di mana-mana saja tanpa batasan hak milik. Golongan Brahmin inilah yang menyatu-padukan penganut  kepercayaan Hindu. Pada umumnya ahli-ahli sejarah berpendapat tidak ada “agama” Hindu; malah bagi mereka lebih tepat dikatakan “kepercayaan” Hindu berasaskan dongeng dewa-dewa yang dipercayai oleh penganut Hindu.  Mereka tidak mempunyai kitab suci, tetapi mempunyai sekumpulan cerita yang dituturkan zaman berzaman. Itulah asas kepercayaan mereka.

Jika kita memahami pendirian mereka tentang perkara ini, maka kita tidak berasa terkejut apabila mereka sangat marah  dikatakan keturunan paria yang hidup susah di India zaman kolonial  dahulu dan bersedia dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk dijadikan kuli. Mereka dapati orang Inggeris memberikan kebebasan penuh untuk mereka membina kuil di mana saja yang mereka mahu. Inilah tabiat yang masih mereka lakukan hingga ke hari ini, dan ini menimbulkan konflik kerana masyarakat Malaysia moden diajar mematuhi undang-undang dan mengiktiraf hak milik tanah, oleh itu tidak dibenarkan lagi kesewenangan membina kuil di mana-mana saja yang mereka mahu. Tamadun yang dibawa oleh para Brahmin ini tidak mengiktiraf hak tersebut, oleh itu seorang  sasterawan Melayu yang menulis novel yang mereka tidak suka boleh dikutuk, dibakar bukunya dan gambar pengarang buku itu. Orang Melayu menjadi marah kerana mereka mepunyai nilai-nilai tamadun yang berbeza daripada nilai-nilai Hindu yang tidak menghormati kumpulan yang dianggap berbeza daripada mereka.  Bagi orang Hindu daripada kasta Brahmin, mereka adalah kumpulan manusia yang paling mulia, oleh itu berhak menghina golongan bukan Brahmin, yakni yang tidak beragama Hindu. Untuk memahami aspek ini, sila rujuk rencana menarik oleh  Prof. P. T. Raju, “The Concept of Man in Indian Thought” (dalam buku suntingan S. Radhakrishnan dan P.T. Raju, The Concept of Man, George Allen @ Unwin Ltd., 1960).

Dilihat daripada perspektif ini, Tanah Melayu sangat beruntung menerima golongan kasta Brahmin yang dibawa masuk oleh Inggeris untuk menjadi kuli itu. Di Tanah Melayu, kumpulan ini mendapat tempat yang sangat baik, dengan itu mereka mendapat peluang untuk menjadi golongan terpelajar dengan mudah melalui penggunaan bahasa Inggeris. Mereka menjadi ahli-ahli profesional yang banyak membantu memajukan Tanah Melayu sebelum dan selepas merdeka. Mereka menjadi peguam, doktor, profesor dan guru-guru sekolah menengah, guru-guru besar, ahli-ahli politik yang berpengaruh dan banyak berjasa kepada rakyat mereka sendiri. Semua ini membuktikan mereka bukanlah golongan kasta pariah, tetapi semuanya dari kasta Brahmin yang sangat tinggi daya inteleknya dan cukup fasih berbahasa Inggris sehingga membolehkan mereka menjadi golongan terpelajar yang berpengaruh di Tanah Melayu. Mereka tidak menggemari bahasa Melayu, yang mereka anggap sebagai bahasa paria yang diucapkan oleh orang Melayu yang tidak berpendidikan dan rendah daya inteleknya.  Amat jarang kita bertemu seorang Hindu Brahmin yang berpengaruh di Tanah Melayu boleh berbahasa Melayu dengan baik, apatah lagi fasih.  Bagaimana bahasa Melayu boleh dianggap sebagai bahasa paria oleh golongan Brahmin yang tinggi statusnya itu perlu dikaji oleh para ahli bahasa. Di Melaka, golongan chettiar yang dahulunya menggunakan bahasa Melayu sebelum merdeka, kini menggunakan bahasa Tamil selepas merdeka, setelah timbul kesedaran peri rendahnya kedudukan bahasa Melayu di kalangan orang Melayu sendiri, terutama di kalangan ahli-ahli politik dari UMNO. Di sini nampaknya terjadi satu kontradiksi: walaupun tidak ada golongan paria di kalangan penganut Hindu, namun di kalangan masyarakat tempatan terdapat golongan paria itu pada pandangan kumpulan Hindu Brahmin ini, yang digambarkan dengan jelas dalam pemakaian bahasa Melayu yang mereka cemuh itu,  sebagai bahasa bertaraf rendah untuk golongan hamba sahaja.  Sebenarnya orang Melayu sangat bangga menjadi golongan hamba, oleh itu dalam bahasa mereka terdapat bahasa halus untuk  golongan atasan, dan bahasa kasar tidak bertamadun untuk golongan hamba ini.  Kemuncak daripada perkembangan ini ialah penyingkiran bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dilakukan oleh Dr. Mahathir Mohamed, yang ketika berkuasa sebagai Perdana Menteri (selama 22 tahun) telah berjaya meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam pendidikan sains dan teknologi, dikenal dengan projek PPSMI (tidak perlu dijelaskan).  Dalam pandangan pemimpin UMNO yang terkenal ini, orang Melayu adalah bangsa haprak, dan bahasa Melayu adalah termasuk bahasa haprak yang tidak layak diangkat tarafnya  menjadi bahasa ilmu.  Projek ini mendapat sokongan dan tentangan, daripada orang Melayu dan bukan Melayu, tetapi akhirnya disesuaikan dengan nama baru khusus untuk “memperkasa” bahasa Inggeris sambil “memertabat” bahasa Melayu. Silap besar jika ada orang menganggap PPSMI dihapuskan, hanya ditukar nama, tetapi semangatnya masih kekal. (Sebagai perbandingan: Hosni Mubarak telah lepaskan jawatan atas desakan berjuta rakyat Mesir yang menunjuk perasaan selama 18 hari; tetapi Mesir masih diperintah oleh kerajaan yang dilantiknya!). 

Kehebatan Hindu Brahmin ini diabadikan dalam kebudayaan Melayu melalui pengaruh  budaya Dravidian yang dibawa oleh Hindu Brahmin dari India ke Tanah Melayu untuk menjadi kuli Inggeris. Nilai Dravidian yang paling utama yang dipegang oleh orang Melayu ialah kegemaran kepada pesta, hiburan, dan segala jenis maksiat yang diperindah dengan nama-nama baru yang menarik keinginan hawa nafsu. Sebagai contoh, RTM memperkenalkan banyak jenis hiburan, pesta dan maksiat yang dijadikan program kegemaran penonton TV. Kementerian yang menguasai RTM memperkenalkan pesta hari raya, hari deepavali, perayaan tahun baru Cina, hari Krismas dan lain-lain, yang telah disetarafkan dan disama-ratakan. Dengan itu orang Islam tidak lagi berasa tersinggung untuk ikut serta dalam perayaan keagamaan kumpulan yang dari segi Islam jelas berasaskan ajaran syirik. Walaupun syirik itu masih diketahui oleh Melayu Islam sebagai dosa besar, tetapi membesarkan hari-hari perayaan golongan syirik itu tidak dianggap syirik. Demikian tumpulnya konsep syirik itu setelah Melayu terpengaruh dengan nilai-nilai Dravidian yang gemarkan hiburan dan pesta itu. Pengaruh Dravidian yang gemarkan hiburan itu dijadikan budaya oleh kerajaan Malaysia melalui TV, oleh itu kita dapati kira-kira 80% program TV bersifat hiburan yang tidak mempunyai isi yang bersifat ilmu,  program hiburan yang mengangkat kebiadaban ke taraf paling tinggi, misalnya dengan menayangkan drama-drama bercorak hantu, drama-drama yang seluruhnya hedonistik (anda mesti faham istilah ini untuk melihat betapa jahatnya program yang ditayangkan di TV kita). Jika terdapat sedikit kebaikan, maka hal itu disodorkan kepada penonton dalam bentuk propaganda yang  cukup rendah kualitinya, misalnya slogan-slogan yang diulang setiap minit untuk mengkhayalkan penonton (boleh cari sendiri contoh-contohnya, mudah dikesan kerana terlalu banyak).  Kerana telah dibudayakan begitu rupa, unsur Dravidian dalam kehidupan dan kebudayaan Melayu telah diterima dan dipertahankan. Oleh itu, ada orang yang akan berasa aneh apabila diberitahu mereka bahawa para sasterawan, sarjana sastera dan pengkritik sastera adalah di antara kumpulan manusia yang memperjuangkan unsur Dravidian ini dalam kesusasteraan Melayu moden, misalnya dengan melantik sekumpulan Brahmin sastera yang mereka gelar Sasterawan Negara. Golongan Brahmin sastera ini tidak boleh dikritik, kerana menurut mereka telah dilantik oleh Yang di Pertuan Agong sendiri, dengan itu kata mereka sesiapa juga yang mengkritik dan tidak bersetuju dengan pilihan itu adalah menghina Agong, menderhaka, dan bertindak biadab. Karya para Brahmin sastera yang digelar Sasterawan Negara ini semuanya bernilai tinggi, menjadi kanun dalam sistem sastera Melayu moden. Selama lebih dari 30 tahun Anggota Panel Anugerah Sastera Negara menggunakan faham Dravidian ini untuk mengukuhkan kehadiran para Brahmin Sastera ini. Apakah ajaran para Brahmin Sastera ini? Menurut analisis  Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, para Brahmin Sastera ini pada umumnya membina budaya hedonistik berasaskan ajaran Dravidian yang mementingkan hiburan, keseronokan, khayalan dan yang sejenis dengan nilai-nilai itu. Untuk membuktikan betapa pentingnya ajaran Dravidian ini, kita lihat dalam buku Dr. Zawiah Yahya, Reading Approaches in Malay Literature (2010), ada disebut usaha seorang sarjana dari Universiti Sains Malaysia untuk memperkenalkan kononnya sebuah “teori” baru yang dipanggil “rasa-phenomenologi”,  yang akhirnya melihat karya sastera untuk mencapai “sensual joy or pleasure” (hal. 27). Pembikin “teori” ini mengaku bahawa beliau menggunakan ajaran Dravidian (walaupun tidak disebut secara khusus) dan nilai-nilai Barat. Pelik, tetapi benar! (Inilah kesan pengaruh Dravidian yang tidak disedari kerana mentaliti Dravidian tidak kritis dan tidak tahu memlilih yang terbaik,  seperti yang diajarkan dalam konsep taklif yang di dalamnya terdapat tiga rahsia: ilmu pengetahuah, keadilan, usaha ikhtiar.)  Karya-karya A. Samad Said telah dihuraikan dengan berjaya (??) menggunakan pendekatan Dravidian ciptaan sarjana ini. Apakah maksud “berjaya” dalam konteks ini?  Maksudnya, karya A. Samad Said seperti Salina telah berjaya memikat sensual pleasure (keseronokan hawa nafsu) yang “tinggi mutunya” dan telah diakui demikian oleh para sarjana antarabangsa, antaranya Prof. Teuuw dari Belanda. Jika kesimpulan ini betul, maka kita bolehlah berkata dengan agak yakin bahawa sastera Melayu moden adalah gambaran pengaruh Dravidian dalam budaya Melayu, dan pengaruh Dravidian ini telah diterima sebagai nilai-nilai unggul dalam sastera Melayu moden, telah dijadikan aliran arus perdana dan mesti diterima oleh semua manusia kerana telah dititahkan  begitu oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Inilah pendirian badan penulis seperti PENA.

Kehebatan pengaruh Dravidian ini disimpulkan begini oleh Neoh Thean Chye dalam bukunya:  “We cannot do better than conclude this chapter with the words of Profsessor Majumdar. ‘For nearly fifteen hundred years, and down to a period when the Hindus had lost their independence in their own home, Hindu Kings were ruling over Indo-China and the numerous islands  of the Indian Archipelago, from Sumatra  to New Guinea. Indian religion, Indian culture, Indian laws and Indian government moulded the lives of the primitive races all over this wide region, and they imbibed a more elevated moral spirit and a higher intellectual taste through the religion, art and literature of India. In short, the people were lifted to a higher plane of civilisation. A greater India was established by a gentle fusion of races, which richly endowed the original inhabitants with the spiritual heritage of India.’

What better proof do we need than to know that the early Indian immigrants enriched the existing language of people by adding a wealth of Sanskrit words to them. In Malaya, to name a few: religion (agama); a plough (tenggala); time (kali, masa). And from Tamil we have kapal (ship), kedai (shop); gedung (warehouse); perahu (boat); peti (box). Many other words used in Malayan trade show the influence of Tamil merchants and sailors in this country in ancient times. And yet in our time the Tamils have been associated in the Malayan mind  chiefly with immigrants of the labouring class, but let us remember that the ties between the Malay race and the Tamil race go back fifteen hundred years or more, when the Tamils were the most powerful and most highly civilised element of Dravidian India.

The Indians settled down in the country in the sense of pioneers. They were never colonial groups of foreigners with their loyalty  to and deriving their authority from their country of origin. Wherever they went, apart from their religion and custom, their songs and dances go with them. Hence the dances and songs which Indonesians perform and sing to celebrate  festivals, etc. have a Hindu background and often illustrate the Hindu epics -  the Ramayana and the Mahabharata.  Similarly of the customs associated with marriage and death have their origin in Hindu society. The wedding clothes of an Indonesian Muslim bride are similar to those of a Hindu girl. When an Indonesian Muslim dies, a pot of incense is kept  burning near the bed on which the deceased lies, just as in the case of a Hindu. And at a Perak coronation, ‘it is the hereditary court functionary, the Sri Naradiraja, claiming descent from the vomit of Siva’s bull, Nandi, who proclaims the royal title. He whispers to the new ruler the Hindu name of the founder of his dynasty, just as a Brahmin whispers into the ear of his pupil the name of the god who is to be the child’s special proctector through life.’  The explanation is that when Islam asserted itself in the fifteenth  and sixteenth centuries it was superimposed on existing Hindu beliefs and social customs. All in all, Indian cultural and colonial expansion in South-East Asia is a brilliant episode in the history of civilisation.” (Cultural Background of the Peoples of Malaya,  hal. 88-90). 

Ketika buku ini ditulis dan diterbitkan, mata pelajaran sejarah dalam sistem pendidikan Malaya selepas merdeka terdiri daripada empat bahagian: (A)  History of Malaya from 1400 to 1945; (B) History of the British Commonwealth 1740-1945; (C) The Cultural Background of the peoples of Malaya (Indian, Islamic, European, Chinese) down to 1900;  (D)  The Development of Liberty and Responsibility. Silibus ini dipakai untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5 mulai 1959.  Buku karangan Neoh Thean Chye ini digunakan sebagai rujukan dan teks dalam mata pelajaran sejarah itu. Buku ini dipersetujui oleh Duli Yang Mahamulia Yang di Pertuan Agong, dengan diberi kata pengantar oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Antara lain kata beliau:  “ A work such as this which aims to broaden general outlook and interests among   children  and elders alike in the cultural background of the various races of the united Federation of Malaya may well play a part in the future of this country.” (JPM,  Kuala Lumpur, 22nd April, 1960.)

Jika anda membaca Sejarah Melayu, anda akan bertemu dengan satu sistem pemerintahan kerajaan Melayu yang seluruhnya diasaskan kepada budaya rasuah yang cukup rapi dilaksanakan. Inilah warisan yang diterima oleh ketuanan Melayu yang ada sekarang, yang dikendalikan dengan sangat licin dan cermat oleh para pemimpin UMNO dan kawan-kawan politiknya daripada MIC, MCA dan lain-lain. Sesiapa yang tidak membaca Sejarah Melayu tidak akan mengerti mengapa rasuah sudah dibudayakan dalam sistem politik dan pentadbiran Malaysia moden.

Kutipan panjang itu penting kerana kesimpulan di bahagian akhir kutipan itu, tentang kekeramatan kerajaan negeri Perak, pernah diakui, seperti tertulis, oleh Almarhum Sultan Idris Shah yang menegaskan bahawa Peraklah satu-satunya negeri Melayu yang mewarisi  kesultanan Melaka yang berasal dari Bukit Seguntang itu, yang seperti dinyatakan diasaskan pada sistem Hindu. Semua peralatan kerajaan mempunyai nama dan masih dipakai nama yang berunsur Hindu. Wallahu a’lam. Tentulah semua ini diketahui oleh Mufti Perak yang ada sekarang dan yang sebelumnya.  Sekiranya 100 orang Hindu India yang membakar novel Sasterawan Negara bersekali dengan gambarnya itu tahu sejarah, mereka akan berasa bangga dan megah. Mereka akan berasa senang sekali bila mengetahui bahawa munculnya gelaran Sasterawan Negara telah mewujudkan pula Brahmin Sastera yang seharusnya menjadi  kebanggaan mereka dan wajar dihormati dan diikuti mereka. Apa lagi yang mereka mahu?  Para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera, juga para penggerak badan-badan sastera, semuanya tahu hakikat sejarah ini dan mereka berasa bangga mewarisi kebudayaan Dravidian itu. Tidakkah mereka sangat marah apabila warisan itu digugat dengan munculnya gagasan Persuratan Baru?

Mohd. Affandi Hassan, 12/2/2011.

20 comments:

  1. Terbaik!!! Sangat relevan..

    ReplyDelete
  2. Komentar tambahan.

    Peristiwa Interlok membuktikan betapa masih suburnya pengaruh Drividian dalam budaya Malaysia, termasuk dalam budaya Melayu. Dengan menjadikan SN sebagai Brahmin Sastera yang suci dan perlu disanjung, maka tertutuplah sikap kritis di kalangan sarjana dan sasterawan. Tumpuan berlebihan kepada Brahmin Sastera ini menutup perbincangan ilmiah yang benar2 berkualiti; sebaliknya digalakkan hujah2 palsu tidak berasas fakta untuk membangkitkan kemarahan yang dari segi kualiti kemarahan terlalu rendah, mengada2 dan pura2. Sangat malang bila hal ini menjadi budaya di kalangan sarjana sendiri, lebih2 lagi bila mereka diamanahkan untuk memimpin persatuan penulis. Mereka bercakap tentang mencerdikkan bangsa; tetapi tindakan mereka tidak membayangkan mereka sendiri cerdik. Adakah ini tragedi atau hanya lawak jenaka saja?

    ReplyDelete
  3. As-salam Tn Hj Affandi, apabila membaca entri terbaharu tn saya menjadi takut. Terlalu banyak kemungkaran dalam sistem masyarakat di Malaysia. Menakutkan!!!

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum,

    Bagi saya, sudah tiba masanya untuk kita dan semua anggota masyarakat menyedari hakikat "kemungkaran" dalam dunia kesusasteraan Melayu ini. Tn. Hj. Affandi telah membongkar cerita sebenar di sebalik tabir dunia kesusasteraan Melayu. Justeru, apakah langkah kita selanjutnya? Bagi para penulis karya sastera Melayu, berfikirlah dalam-dalam sebelum menulis sesuatu, kerana anda bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa sahaja yang anda tulis. Sudah cukuplah sastera itu dimanfaatkan untuk menjulang cerita, dongeng, khayalan & kepalsuan, serta merendah dan mengabaikan ilmu. Bagi penganalisis sastera Melayu, cukup-cukuplah melakukan kerja-kerja merungkai teks sastera dengan menggunakan teori-teori Barat yang falsafahnya didasari oleh perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam sama sekali. Usah disogok para penulis muda dengan teori-teori ini ketika merungkai & menganalisis teks sastera. Bagi para pembaca pula, anda perlu memiliki sifat "memilih" sebelum membaca sesebuah karya sastera. Tidak semua karya yang pada judulnya terselit istilah-istilah Islamik itu, benar-benar Islamik dari segi kandungannya. Wa Allahu A'lam.

    ReplyDelete
  5. As-salam, bersetuju dengan saudara Mohd Shahrizal.

    ReplyDelete
  6. (Bahagian 1)

    Assalamualaikum Tuan Hj Affandi Hassan.

    Saya sudah lama mengikuti perkembangan dunia sastera Melayu, dan begitu juga telah mengikuti perkembangan karya kreatif/ilmiah tuan haji. Darilah 'medan-medan...' ke 'pendidikan estetika berdasarkan tauhid' ke 'gagasan persuratan baru' dan nah, kini, blog tuan haji. Justeru itu, saya kagum dengan sikap 'insistence' and 'persistence' tuan haji dalam terus menerus memantapkan gagasan pemikiran tuan haji.

    Cuma, maafkan saya, jika saya mengatakan sesuatu yang mungkin tidak selesa untuk didengar oleh tuan haji dan juga penyokong-penyokong setia 'pemikiran' tuan haji.
    Saya rasa tuan haji semakin hari semakin melencong hala tujuan nya. Dulu tuan haji benar-benar mempertahankan nilai-nilai Islam sebagai pegangan asas dalam semua aktiviti, termasuk sastera; lalu terbitlah teori tuan haji dengan tahap kesarjanaan, intelektual yang tinggi. Tetapi ternyata seperti yang terdapat dalam makalah-makalah tuan di dalam buku 'gagasan persuratan baru' dan 'kedudukan ilmu dalam sastera' bersifat sangat personal dan 'insulting'. Tuan seperti telah tersadai dalam satu vortex 'repressed feelings of hatred' lantas terus menerus sahaja membangkitkan hal-hal berkaitan sasterawan negara seperti Muhammad Haji Salleh, Shahnon Ahmad, A. Samad Said. Ya, mungkin mereka telah membuat kesilapan - atau mereka juga sudah tahu kesilapan mereka - tetapi mengapa terus mengejek, mengutuk, dan membangkitkan hal-hal yang mengaibkan orang lain. Mengapa tuan haji menggunakan perkataan seperti 'dangkal ilmu' 'seperti ahli silap mata Raja Firaun' 'cetek pemikiran' dan kini, tuan pula -menggunakan konotasi 'brahmin sastera' untuk membuat satu analogi terhadap sasterawan negara? - kemudian tuan pula menulis ala-ala disclaimer 'tulisan ini perlu dibaca dengan cerdik untuk mendapat manfaatnya'. Saya tidak faham dengan bagaimana terjadi perubahan arah yang dulunya mantap dan murni, bertunjangkan islam, kini sudah bersifat lebih sekular dari biasa? Yang paling hairan ialah tuan sungguh cenderung untuk memberi komentar 'sinis' tentang pemikiran-pemikiran ilmuwan yang lain, ada sahaja di mata tuan yang tidak kena.

    ReplyDelete
  7. Bahagian 2

    Kenapa perlu tuan meletakkan title blog entry 'kalau kail panjang sejengkal?' dan mengaitkannya dengan isi karya Prof Zawiah Yahya. Saya rasa usaha beliau murni kerana beliau sanggup melihat dan menganalisa teori-teori tempatan dan keluar dari kepompong pemikirannya sendiri. Tuan pula cepat melatah, lepas itu dengan sinis sekali mengatakan teori takmilah itu 'perfect' walhal dari pelbagai sudut takmilah ity sama sahaja dengan persuratan baru kerana asasnya adalah asas murni: ISLAM. Tapi tuan tidak mahu melihat itu, tidak mahu melihat bahawa tuan sepatutnya berjuang bersama-sama ahli akademik tempatan yang lain dan menyokong gagasan pemikiran mereka selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi seperti yang dijangka, tuan cuma mahu mengangkat beberapa nama yang telah 'berkorban' demi persuratan baru; seperti mohammad zariat dan ungku maimunah (dan ini sahajalah nama yang acapkali saya baca untuk menjadi seakan-akan 'testimonials' tuan).
    Nah, apa yang kelihatan kini ialah perjuangan tuan bukan untuk Islam dan memartabatkan pemikiran Islam, tuan hanya mahu memberitahu bahawa 'persuratan baru' lah jawapan segala problema sastera. Kini nilai islam itu tertampung didalam 'persuratan baru' bukan Islam sebagai 'umbrella term' dimana 'persuratan baru' itu hanya menumpang dibawahnya. Inilah agenda tuan, jika tuan sebagai pembikin teori tidak dapa melihat realitinya, kerana tuan hanay berada di dalam lingkungan pemikiran sendiri, 'in your introvert sort of way', tidak mahu belajar dan mendengar pendapat orang lain. Apakah hasilnya? Idea tuan tidak akan diarusperdanakan, dan saya pasti tuan tidak mahu itu, bukan, kerana tuan masih mahu jadi the 'sharp splinter' dalam dunia sastera, yang membikin 'gempar'.

    Jika tuan benar-benar mahu melihat perubahan dalam sastera tempatan, pendekatan tuan perlu ada satu perubahan ke arah yang lebih baik. Bukan asyik menuding jari melihat kesalahan orang lain. Pasti tuan ingat akan ayat Al Quran Surah Al-Hujarat Ayat 11. Tuan perlu memasukkan satu lagi konsep dalam persuratan baru tuan iaitu mengislah diri. Inilah konsep yang tidak terdapat dalam mana-mana teori tempatan, kerana nampaknya, semua theorists cuma mahu menjual teori sahaja. Lantas ternampak kini Islam sudah seakan-akan tergadai. Sudah terbitlah konsep machiavelli dalam 'the prince' yakni 'the end justifies the means' dalam kesibukan ahli pemikir sastera menghasilkan sebuah teori 'islam'.

    Bacaan cursory reading saya terhadap novel tuan 'pujangga melayu' sudah cukup membuktikan ianya tidak lain menjadi satu lagi wadah untuk menyampaikan 'ketidakpuasan hati' tuan sebagai penulis yang tidak menerima 'recognition'. Begitu juga dengan hujah-hujah berbentuk 'ilmiah' (gaya yang diinginkan pleh PB, tidak kiralah apa isinya) yang menyingkap 'masalah-masalah' sastera melayu; pasal si sasterawan negara, pasal hasil karya tidak diterima, etc (dalam erti kata lain 'the rehashed story').

    Sedarkah tuan bahawa protagonis si Awang ity sebenarnya mempunyai masalah 'superiority complex' kerana susur galur keluarganya yang 'perfect' itu telah memaksa Awang untuk menjadi 'a perfect creature' 'better than the rest'? Maka kelihatanlah sikap angkuh dalam ruang 'superiority complex' nya itu tatkala dia menghadiri seminar dan mendapati 'pemikiran' ahli panel yang lain itu 'membosankan' 'tidak intelektual' dan sebagainya.

    Wahai pembaca, saya mengingatkan diri saya terutamanya dan anda sekalian, jangan mudah tertipu dengan intelek diri sendiri. ketahuilah akal itu pemberian Allah. Dan Allah menguji kita dengan kelebihan akal itu untuk melihat sejauh manakah kita benar-benar menggunakan akal untuk ke jalan yang di redhai Allah.

    Sekian.
    Wassalam

    ReplyDelete
  8. Assalamu ‘alaykum.
    Terima kasih saudara Tak Bernama/Sorok nama (anonymous) di atas teguran dan peringatan ikhlas. Setiap teguran dan peringatan, dalam bentuk apa sekali pun, tetap bermanfaat; seperti yang diperingatkan oleh al-Quran supaya setiap orang Islam selalu berwasiat sesama mereka dengan kebenaran (haq) dan dengan kesabaran. Saya harap pembaca saya lebih berhati-hati, lebih cermat dan lebih kritis membaca tulisan saya supaya mendapat sedikit faedah daripadanya, terutama sekali mengenai gagasan Persuratan Baru. Mahu tidak mahu, gagasan Persuratan Baru kini menjadi kayu ukur dalam penilaian kreatif dan dalam analisis akademik. Alhamdulillah, terima kasih kepada teman-teman yang membantu memperkenalkan gagasan ini dan yang mengkritiknya.

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum

    Saya melihat, komen yang diberikan di atas, sebagai satu nilai tambah bagi mereka yang nampak dengan mata hati, apa yang diperjuangkan oleh Gagasan Persuratan Baru (PB).

    Bagi saya, pandangan pemberi komen di atas adalah baik, namun harapannya ia didasari oleh niat yang ikhlas. Apabila niatnya ikhlas, inshAllah natijahnya juga baik. Maksudnya, sebarang kritikan itu haruslah membawa ke arah kebaikan, bukan mematikan usaha mengajak manusia ke arah kebaikan. Kritikan sebagai penambah-baikan kepada PB, bukan untuk melenyapkan PB. Jika begitu, wajar diambil perhatian positif terhadap komen atau pandangan tersebut.

    Seharusnya, kita menyedari bahawa masalah dalam kesusasteraan Melayu ini adalah satu masalah yang meruncing, bukan di tahap permulaan. Penulis lebih utamakan cerita dari ilmu. Ya, memang ada mesej/idea tetapi mesej itu dibenamkan oleh cerita, cerita yang nampak lebih gah. Inilah yang dihidang oleh penulis hari ini. Akhirnya, pembaca hanya dapat "feeling" sahaja selepas membaca karya sebegini.

    Sekarang banyak novel berkaitan cinta. Yang lagi parah cinta itu disulam dengan agama. Tajuk-tajuknya dimasukkan istilah-istilah seperti: "syahadah", "tasawuf", "jihad", "syurga", "bidadari", "tasbih", "cinta zulaikha" dan lain-lain, dengan tujuan memikat hati pembaca. Walhal isinya bertentangan dengan Islam. Sebagai contoh, istilah “bidadari syurga” yang dijadikan tajuk novel, iaitu bagi member gambaran mulia watak yang terdapat di dalamnya. Bolehkah kita memperincikan makhluk Allah ini? Atau menyamakannya dengan sesuatu yang bercanggah dengan hakikatnya? Ini bukan soal mainan.

    Hatta novel-novel Islam seperti yang banyak dihasilkan dewasa ini, rata-rata menceritakan kisah sejarah dan tokoh-tokoh Islam. Dari satu sudut, faktanya ditambah dengan kisah-kisah israiliyyat (tokok tambah). Malah banyak yang meletakkan ayat-ayat al-Qur'an (terjemahan), namun hakikatnya ayat-ayat tersebut diletakkan pada konteks cerita yang salah, iaitu menyalahi sebab turunnya ayat-ayat itu (sabab al-nuzul). Inilah yang berlaku. Ini masalah besar!

    ReplyDelete
  10. SAMBUNGAN...


    Oleh itu, pada hemat saya, ini yang Hj. Affandi nampak. Masalah ini dah kritikal! Sebab itu Hj Affandi bersikap "keras". Malah, dalam rungkaian teks sastera, rata-rata masih bangga menggunakan teori-teori Barat yang falsafahnya menolak ketuhanan, apatah lagi Islam. Hari ini, jika menganalisis teks karya, tanpa menggunakan teori-teori Barat, maka esei atau tulisan itu nampak hambar, dan penulisnya dilihat sebagai tidak bagus.

    Satu lagi, jika benar SN buat kesilapan, malah menurut pemberi komen itu, mungkin mereka akui kelemahan tersebut, mengapa mereka tidak boleh dikritik? Mengapa mereka masih disanjung? Jika disanjung secara keterlaluan, maka kesalahan itu akan nampak tak berapa salah. Sedangkan karya-karya tersebut menjadi tatapan masyarakat hingga ke hari ini terutamanya oleh generasi muda. Malah teks-teks sastera yang diajar di sekolah juga menggunakan teks-teks SN yang ada salahnya itu. Jadi sampai bila kesalahan akan terus berleluasa?

    Jadi bagi saya, selagi masalah ini terus berpanjangan, adalah wajar untuk Hj. Affandi terus mengkritik. Saya yakin, niat beliau ikhlas. Beliau tak minta dipuji, malah beliau juga sedia menerima kritikan daripada orang lain jika terdapat "kemaksiatan" dalam PB itu.

    Saya ingin mengajak pemberi komen menghayati erti ayat 11 surah al-Hujurat. Ya, memang benar, ayat tersebut secara jelas menyatakan bahawa tidak boleh untuk orang Islam mengutuk orang lain atau memberi nama-nama gelaran tidak elok kepada orang lain. Namun hakikatnya, ada perkara-perkara yang disebut (istisna'iyyah), yang membenarkan hal demikian. Iaitu apabila "keburukan" atau "kejahatan" itu telah dipandang satu kebaikan, lantas disanjung, malah kebaikan pula dianggap sebagai racun dan perlu dihapuskan. Jadi bagi menzahirkan betapa salahnya perkara itu, tidak salah jika kita memberi gelaran buruk, agar orang lain tahu bahawa perkara itu adalah salah/buruk. Apatah lagi jika keburukan itu berterusan dan disanjung pula.

    Tahukah kita bahawa gelaran Abu Jahal itu yang bermaksud "Bapa Kebodohan" adalah gelaran yang diberi oleh Rasulullah kepada Umar ibn Hisham. Sedangkan masyarakat Arab menggelarnya Abu Hakam iaitu “Bapa Kebijaksanaan”. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa gelaran buruk itu dibenarkan sekiranya kesalahan/kejahatan/kemungkaran itu jelas, berterusan, malah diberi sanjungan sehingga nampak ianya tidak salah, tidak jahat dan tidak mungkar.

    Inilah sedikit pandangan saya terhadap pemberi komen di atas. Saya tidak pernah bertemu Hj. Affandi, namun saya amat bersetuju dengan idea, pandangan dan pemikirannya. Saya yakin, niat beliau adalah baik, iaitu untuk melihat sastera Melayu itu sejajar dengan tuntutan Islam. Hj. Affandi memulakan pandangannya dengan falsafah (3 hakikat), kemudiaan diperjelaskan dari segi praktisnya yang menekankan betapa ilmu dan cerita itu berbeza, ilmu perlu diutamakan dan ilmu itulah yang sepatutnya memenuhi ruang naratif karya, bukan cerita yang dijulang sehingga menenggelamkan ilmu/perutusan.

    Semoga diskusi ilmiah ini terus mekar untuk memantapkan Gagasan Persuratan Baru. Setiap kita memikul tanggungjawab. Setiap apa yang kita tulis, pastinya tidak terlepas daripada neraca Allah. Kita bertanggungjawab atas apa sahaja yang kita lakukan termasuk yang kita tulis. Hanya tulisan yang sarat dengan ilmu yang benar, maka itulah yang dikira sebagai ibadah dan “saham” buat penulisnya.

    Allah al-Musta’an

    Wassalam

    ReplyDelete
  11. (Bahagian Satu)

    Assalamuailaikum.

    Syukur kepada Allah tatkala saya melayari internet, sudahpun terdapat respon terhadap komen saya. Ya, saya, anonymous a.k.a saudara Tak Bernama/Sorok nama. Saya rasa ia tidaklah sesuatu yang penting meletakkan nama saya atau yang seangkatan sepertinya kerana niat saya tidaklah untuk menjatuhkan/mengaibkan sesiapa. Tatkala menaip saya hanya berharap ia juga dapat dibaca sebagai satu kritikan membina, dalam kita menelusuri dunia sastera yang penuh ragam hari ini.Insya Allah.

    Sebenarnya, jangan tidak tahu, ramai pelajar sastera peringkat bacelor/master/phd terutamanya dalam sastera bandingan sudah pun didedahkan kepada teori-teori tempatan. Dan seperti sebuah ketentuan, Persuratan Baru lah yang menjadi seakan topik hangat sesama pelajar. Saya tidak perlu memberitahu universiti mana atau di negara mana, tapi cukup untuk saya nyatakan kini ada satu 'angkatan pelajar sastera baru' yang sudah muak dengan 'the great traditions' ataupun shakespeare, ataupun novel-novel memartabatkan watak-watak kurang bermoral (yang rata-rata mahu di interpretasi dengan nilai universal value). Pelajar sudah semakin cerdik. Mereka dahagakan kebenaran kerana sastera bagi sesetengah pelajar seperti bermain-main dengan pelbagai konsep. Maka bertanyalah mereka, 'is there any truth in literature?'
    Maka tidak hairan jika mereka begitu ghairah apabila ada satu teori dari Malaysia dengan Islamic injunctions yang sangat teguh menggariskan pelbagai perkara yang 'menepati' pencarian mereka. Sekarang mereka melihat sastera dengan kaca mata yang agak berbeza; tetapi mereka juga telah dinasihati jangan terus membuang pengetahuan yang mereka ketahui melalui sastera barat; idea-idea falsafah plato, aristotle, dante aligheri...juga jangan terus 'membakar' karya-karya shakespeare, atau milton, ataupun t.s eliot. Jangan terus tiba-tiba menyerang penulis 'the great traditions' kerana nilai ukuran 'moral' yang digunapakai itu tidak menepati nilai-nilai yang mereka pegang. Kerana mereka diajar bahawa 'everyone has their own unique ways to be given the hidayah by Allah. You have to 'travel' all the way to faraway lands that you never ever resided; only to find out they are empty promises'. Kerana pengetahuan tentang 'ketidaksejagatan' sastera barat lah maka mereka dapat 'pulang' dan dahagakan 'kebenaran' yang hanya Islam sahaja dapat memberikannya. Maka adakah mereka kurang Islamic atau lesser Muslims? Kerana selama ini mereka belajar sastera Barat, tidak pula terdetik hendak mengetahui sastera Islami? Pada pendapat saya yang daif ini, tidak. Itulah ketentuan Allah. Allah memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang Allah mahu. Jalan para pelajar ini agak sukar, tetapi Alhamdulillah, saya percaya mereka ini akan menjadi satu generasi yang tidak akan 'terpedaya' lagi dengan muluk sastera Barat, tegas pula dengan pendirian Islam nya. Untuk pengetahuan tuan ada yang telah membaca pujangga melayu, hamzah fansuri, farid ud-din attar. Mereka melihat satu bahagian sastera yang begitu unik, sarat dengan idea, dan ada 'style' tersendiri. Tidak keterlaluan saya katakan, mereka ini lebih menghargai karya-karya Islami dan sastera Melayu (walhal mereka tidak pula pernah mendalami sastera Melayu) dari sesetengah jabatan sastera melayu di universiti lain.

    ReplyDelete
  12. (Bahagian Kedua dan Komen Terakhir)

    Jadi dari perspektif ini, adakah patut saya hendak menjatuhkan Persuratan Baru yang telah sedikit sebanyak mencurahkan air ke dalam pemikiran pelajar yang dahagakan ilmu sedemikian? Tentu sekali tidak. Malah saya rasakan, PB akan menjadi satu teori yang akan diingati dan digunapakai, kerana hanya PB sahaja yang terus menerus dibangunkan oleh si pengasas teori tanpa putus asa, dengan ada pula pemantapan credentials oleh ahli-ahli akademik yang mantap ilmunya - malah Prof.Ungku Maimunah juga mendedikasi syarahan perdananya dengan memperkenalkan PB kepada dunia pemikir sastera Melayu - nah, bukan kah ini semua perkara yang baik yang perlu di lestari kan? Saya sangat yakin, dan dengan izin Allah, InsyaAllah, PB mampu menjadi tonggak penulisan kreatif dan kritikan.

    ReplyDelete
  13. (Bahagian Ketiga)

    (Maaf tertypo bahagian kedua sebagai'komen terakhir)

    Saya cuma ingin meninggalkan beberapa cadangan:

    1) Gaya kesarjanaan itu sangatlah murni. Tetapi saya rasakan jika gaya kesarjanaan itu diletak dibawah lembayung 'gaya berhikmah' tentu lebih utuh. Maksudnya penyampaian haruslah lebih bertertib, sopan, ber wasatiah sesuai dengan prinsip Islam dan juga jati diri dan hati budi Melayu. Ini bukan bermakna ianya tidak tegas. Malah saya rasa jika penyampaian isi teori dan perlaksanaannya berhikmah, ketegasan itu muncul tanpa dipaksa; dan gaya kesarjanaan itu tampak unggul, utuh, sesuai dengan tuntutan pemikiran Islam yang memang memperjuangkan kebenaran. Untuk Tuan Haji yang saya pasti sudah akrab dengan hasil karya Prof Syed Naguib Al-Attas, penyampaiannya penuh berhikmah, kerana walaupun beliau menyentuh aspek aspek yang agak sensitif untuk sesetengha pihak, terutamanya yang sudah mula 'muak' dengan teori 'the clash of civilisations', tidak siapa yang dapat menyangkal pimikirannya, kerana beliau tidak bermain-main dengan sentimen pihak lain, mengejek-ejek, malahan cara beliau untuk berbahas penuh istiqamah dan beradab. Ya, sudah tentu kita tidak mahu jadi 'clone' orang lain, tetapi memandang kan Tuan Haji banyak menggunakan Syed Naquib sebagai antara pemikir utama yang menyumbang ke arah pembentukan teori Tuan Haji, sudah tentu Tuan juga tertarik dengan penyampaiannya yang begitu berilmiah; apatah lagi ianya digunakan untuk berjihad atas kebenaran Islam. Subhanallah!

    2) Pengertian 'adab' oleh Syed Naquib Al Attas perlu terus menerus dikaji dan diterap oleh semua golongan. 'The loss of adab' bukan lah sesuatu tagline yang digunapakai hanya untuk menuding jari kesalahan orang lain, tetapi seperti yang saya cadangkan dalam komentar sebelum ini, untuk tujuan self-reflexivity. Ini akan membantu point pertama untuk menjadikan semua pihak lebih intelektual dalam konteks Iman nya yang begitu mantap; sesuai dangan anjuran PB untuk mengangkat tradisi ilmu Islam. Saya tidak rasa gaya 'insulting' 'tuding jari' 'ungkit mengungkit (hal-hal mengaibkan sesama muslim mahupun manusia secara universalnya) adalah salah satu daripada ciri-ciri tradisi ilmu Islam, bukan?

    ReplyDelete
  14. (Bahagian Empat dan Terakhir)

    3) Bekerjasama sesama theorists yang mahu mengangkat martabat Islam jauh lebih baik dari mengatakan 'i'm right you are wrong'. Semua pihak tentu sahaja ada niat mahu mengembalikan kegemilangan citra Islam yang sebenar. Perlu ada satu rundingan dan diskusi; seperti ijma' ulama bersama-sama memikirkan perkara ini. Saya tertarik dengan teori hashim awang 'pengkaedahan melayu' yang ada menekankan konsep 'firasat'. Nah, intuition itu bukankah ciri microcosmo umat Islam, yakni 'rational soul' nya (al-nafs al-natiqah). Ini adalah ciri yang boleh diketengahkan kerana firasat adalah anugerah Allah. Alangkan indahnya jika sesama pemikir Islam dapat duduk bersama dan mencari persamaan dalam perbezaan falsafah dan pendapat. Kerana akhirnya apa yang kita lakukan bukanlah untuk menjadi hakim 'teori aku yang tepat. teori mu salah'. Tentu sekali bukan?' tetapi satu usaha dan ikhtiar bersama untuk mendapat keredhaan Allah. dalam keadaan umat islam bergeseran dan bergolak di seluruh dunia, dan Malaysia dengan keamanan atas Rahmat Allah,alangkah indahnya jika kita mampu keluar dari sarang 'individual intellectual' dan mencari persefahaman dan permuafakatan, sesuai dengan tuntutan islam. Janganlah kita menyakiti dan menerapkan sifat egois atas dasar intelektual kita; ini sudah menjadi semakin hampir pula dengan sifat intelektual barat yang sangat individualistik; hanya mahukan namanya diketahui dan teori nya di sebarluaskan.

    P/S: Untuk saudara Mohd Shahrizal: saya setuju sekali dengan pendapat anda. Cuma saya ada satu kemusykilan, adakah sama jika bandingkan Sasterawan Negara dengan Abu Jahal? Saya rasa perbandingan ini kurang tepat kerana yang dibandingkan adalah seperti 'akhlak' si Abu Jahal dengan 'akhlak sasterawan negara' walhal yang diungkap dengan serius dalam perbincangan adalah 'karya si sasterawan negara' bukan sifat atau akhlak si sasterawan negara. Bukankah ini satu perbandingan yang bahaya malah menjurus kepada memfitnah?

    Itu sahajalah pandangan saya. Yang baik datang daripada Allah, yang buruk dari diri saya sendiri.

    Sekian.
    Wassalamualaikum

    ReplyDelete
  15. Assalamu 'alaykum.

    Terima kasih kerana masih memberi perhatian. Moga-moga akan muncul generasi persuratan dalam tamadun Melayu yang bebas dari cengkaman Dravidian.

    ReplyDelete
  16. Assalamualaikum Sdr Anonymous

    Terima kasih di atas penjelasan. Namun, pada hemat saya terdapat salah faham yang perlu saya perjelaskan kerana ia berkaitan dengan pandangan saya. Jika dilihat pada komen saya yang menjelaskan tentang maksud ayat 11 surah al-Hujurat, sebenarnya bukan niat saya untuk membuat sebarang perbandingan antara Abu Jahal dan Sasterawan Negara (SN). Tiada sebarang perbandingan sama sekali antara keduanya. Penjelasan yang melibatkan nama Abu Jahal itu, adalah bagi menegaskan bahawa pemberian nama gelaran buruk pada sesuatu yang jelas keburukannya, tetapi keburukan itu disanjung, diiktiraf dan dibiarkan atau digalakkan untuk berterusan, adalah dibenarkan.

    Apa yang saya lakukan dalam komen 2 Mac itu ialah sebagai penjelasan kepada komen Sdr Anonymous sendiri yang menggunakan ayat 11 surah al-Hujurat dalam komen Sdr. Saya tegaskan sekali lagi, saya TIDAK sama sekali membuat perbandingan antara Abu Jahal dan SN, apatah lagi yang melibatkan “akhlak” keduanya. Komen saya itu untuk memberi penjelasan bahawa gelaran buruk itu dibenarkan dalam keadaan-keadaan tertentu.

    Sedikit lagi yang ingin saya perjelaskan di sini apabila Sdr Anonymous kerap kali menggunakan istilah ber “hikmah”. Pada hemat saya, apabila Islam menganjurkan pendekatan secara ber”hikmah”, ia bukan bermaksud semata-semata pendekatan secara “lemah lembut”, “toleransi”, “puji memuji”, “berbunga-bunga” dan ia juga bukannya merupakan perkataan berlawanan bagi pendekatan “keras”, “tajam” dan seumpamanya. “Hikmah” dalam Islam membawa konotasi makna yang amat dalam. Dalam Islam, “hikmah” bermaksud “cara terbaik” dalam melakukan sesuatu tindakan. Sebagai contoh, Rasulullah SAW membiarkan seorang Yahudi membuang air kecil di dalam masjid Nabawi dan melarang para sahabat memarahi Yahudi tersebut; maka ini adalah satu bentuk tindakan yang berhikmah. Dalam keadaan yang lain, Rasulullah SAW pernah mengarahkan kepada semua para sahabat agar memulaukan selama 50 hari 50 malam terhadap tiga orang sahabat yang tidak menyertai peperangan Tabuk. Mereka ialah Hilal bin Umayyah, Ka’ab bin Malik, Marrarah bin al-Rabi’; maka tindakan yang dilihat seperti “negatif”, “tiada belas kasihan”, “keterlaluan” ini juga adalah tindakan yang berhikmah. Maka makna perkataan “hikmah” itu membawa maksud yang tidak sempit dan fleksibel. Oleh itu, penggunaan kata-kata yang dianggap sinis, tegas, keras dan seumpamanya tidak menyalahi takrifan “hikmah”. Apakah arahan Rasulullah SAW yang mengarahkan ibu bapa merotan anaknya yang berusia 7 tahun yang tidak mahu bersolat itu, tidak berhikmah? Begitu juga, apakan gelaran Abu Jahal (Bapa Kebodohan) yang diberikan oleh Rasulullah kepada Umar ibn Hisham itu, tidak berhikmah?

    Pada pandangan saya, tindakan Hj. Affandi itu adalah berhikmah. Nah, dengan sebab metode berhikmahnya, kita dapat lihat perubahan yang semakin ketara dalam dunia persuratan Melayu. Saya fikir, perkara ini turut diakui oleh Sdr Anonymous sendiri, seperti yang tercatat dalam komen di atas.

    ReplyDelete
  17. SAMBUNGAN...


    Oleh kerana Sdr Anonymous telah menyatakan bahawa saya telah membuat perbandingan antara Abu Jahal dan SN, maka saya ingin membuat sedikit ulasan. Sekali lagi saya tegaskan bahawa pada awalnya saya tidak membuat sebarang perbandingan antara keduanya. Tetapi, di sini mungkin ada sedikit kewajaran untuk membuat perbandingan dari sudut persamaan antara keduanya, namun saya tidak mengaitkan perbandingan ini dengan akidah, ibadah mahu pun akhlak keduanya sama ada secara langsung atau pun tidak langsung.

    Jika diteliti, Abu Jahal seorang yang bijak, oleh sebab itu dia digelar Abu Hakam (Bapa Kebijaksanaan). Malah dia tahu akan kebenaran Islam, agama yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Maksudnya, dia tahu akan kesalahan dirinya yang tidak memperakui sesuatu kebenaran. Namun, atas dasar gelaran, kedudukan, dan pujian yang diterimanya, serta sifat angkuhnya yang tidak mahu menerima sesuatu pembaharuan yang bersifat benar yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka dia menolak kebenaran serta mengisytiharkan “perang” terhadap pembawa kebenaran tersebut. Pada hemat saya, mungkin situasi ini juga seakan mirip dengan apa yang berlaku hari ini, yakni “JIKA” para SN yang tahu kesalahannya itu, terus mahu dipuji, tidak boleh menerima kritikan, takut seakan kelihatan kekurangan dirinya yang boleh mempengaruhi gelaran yang telah mereka terima. Maka di sini, seperti ada persamaan antara keduanya. Saya tidak sekali-kali membuat perbandingan antara keduanya dari sudut akidah, ibadah mahu pun akhlak keduanya. Perbandingan yang telah saya buat “mungkin” menampakkan sedikit persamaan dari segi apabila keduanya sama-sama mengambil sikap “tidak mengakui hakikat sesuatu kebenaran, sedangkan kebenaran itu dalam pengetahuan mereka”.

    Pesanan buat diri saya, sepertimana yang pernah diingatkan oleh Sdr Anonymous, “… jangan mudah tertipu dengan intelek diri sendiri.”

    Saya menyeru marilah kita membaca dengan lebih hati-hati, lebih cermat dan lebih kritis agar terhindar dari salah faham atau kekeliruan, di samping mendapat pula manfaat daripada apa yang dibaca, seperti kata Tuan Haji Affandi.

    Kepada Allah jualah saya memohon petunjuk dan bimbingan.

    Allah al-Musta’an.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  18. RALAT:

    Terdapat sedikit kesilapan dalam penjelasan saya di atas. Yang betulnya ialah:

    "...Apakah arahan Rasulullah SAW yang mengarahkan ibu bapa merotan anaknya yang berusia 10 tahun yang tidak mahu bersolat itu, tidak berhikmah?..."

    ReplyDelete
  19. saya membaca kalimat "saya merasa takut",kerana membacanya!,dan pada kalimah kedua menakutkan!,kita cuma dapat membaca tulisan tapi tidaklah menyelami disebalik perasaan itu.
    wallahu 'alam.

    ReplyDelete
  20. hebat pak affandi ! tulisan yang penuh dengan sudut pandang segar serta fakta menarik ! rozan azen mat rasip

    ReplyDelete