Wednesday, June 16, 2010
Ketika
menulis latihan ilmiahnya yang bertajuk “Pengarang-pengarang Melayu di
Saingapura Selepas Perang Dunia II (1946-1958)” (Bahasa, no. 7, akhir
1965; hal. 3-55), Ismail Hussein (kini Tan Sri Prof. Emeritus) menunjukkan
istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” tidak terkenal/popular sehingga
pertengahan (?) tahun 1950-an. Beliau menggunakan istilah “pengarang” untuk
judul latihan ilmiahnya dan dalam analisisnya. Apa yang disebut golongan tua
yang menulis novel, cerita pendek dan lain-lain, tidak memanggil diri mereka
“sasterawan”, tetapi pengarang. Hanya penulis-penulis muda seperti Keris Mas,
A. Samad Ismail, Usman Awang, Hamzah, MAS (Mohammed Ariff Singapura), dan
lain-lain yang mendapat dan menerima pengaruh dari Indonesia, yang menganggap
diri mereka maju atau progresif, dengan bangga menggelar diri mereka sebagai
“sasterawan”, sebagai tanda terputusnya mereka dengan “golongan tua” yang
mereka anggap sudah ketinggalan zaman, bukan golongan progresif. Maksud
progresif itu ialah kecenderungan kepada faham sosialis, atau golongan kiri,
dalam politik dan kebudayaan, sedangkan golongan tua lebih dekat kepada Islam.
Maka apabila mereka menubuhkan Angkatan Sasterawan 50 (seterusnya Asas 50),
mereka dengan lantang meneriakkan slogan “sastera untuk masyarakat”. Selepas
Tanah Melayu merdeka 1957, apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (yang ditubuhkan
1956 di Johor Bahru) dipindahkan ke Kuala Lumpur, para sasterawan Asas 50
memainkan peranan penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu baru. Mereka
juga rapat dengan ahli-ahli politik UMNO, dan berjaya mempengaruhi ahli politik
itu untuk memberi hadiah “Pejuang Sastera” kepada sasterawan golongan kiri dari
kumpulan Asas 50. Dalam tahun 1981, Keris Mas, tokoh Asas 50 yang terkenal
sebagai penulis cerita pendek dan penulis esei sastera, dinobatkan oleh
Kerajaan Barisan Nasional sebagai Sasterawan Negara pertama. Selepas itu
berturut-turut sasterawan Asas 50 atau yang bersimpati dengan mereka diberi
anugerah yang sama; terakhir ialah Anwar Ridhwan yang banyak membantu dan
membela golongan ini dalam tulisan-tulisannya dan dalam kuliah sasteranya di
Jepun. Dengan terlantiknya Anwar Ridhwan sebagai Sasterawan Negara ke-10, maka
berakhirlah pengaruh Asas 50. Bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa dengan
kehadiran 10 orang Sasterawan Negara ini istilah “kesusasteraan” dan
“sasterawan” yang dipopularkan oleh Asas 50 dan diterima untuk dirasmikan oleh
Kerajaan Barisan Nasional akan kekal dan tidak boleh dicabar lagi? Perkara ini
akan dibincangkan kemudian.
Kemunculan istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” menandakan berakhirnya tradisi persuratan yang kaya dalam tamadun Melayu. Malah istilah “persuratan” itu sendiri tidak disukai dan dimomokkan sebagai mencerminkan kemunduran, sedangkan “kesusasteraan” itu mencerminkan kemajuan, sifat progresif para “sasterawan”. Bagi Asas 50, usaha mereka yang pertama ialah menghapuskan tulisan Jawi, meskipun terdapat di antara mereka yang menjadi editor akhbar dan majalah yang bertulisan Jawi. Akhbar Warta (Bil. 58, bertarikh 6 April 1954) menggunakan tajuk berita yang besar dan panjang untuk menarik perhatian orang Melayu tentang matlamat sebenar Asas 50 dalam perjuangannya. Inilah tajuk berita itu: “Memorandum Asas 50: Sebabnya Pertubuhan Mereka Menyokong KGMS (Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura) Mencadangkan Rumi Menjadi Tulisan Rasmi Melayu. Tulisan Jawi tidak ada hubungannya sama sekali dengan Agama Islam. Bahasa Melayu Tidak Perlukan Tulisan Jawi. Orang Turki Telah Menyingkirkan Tulisan Arab.” Menurut pandangan Asas 50, hanya dengan tulisan Rumi saja “kesusasteraan” Melayu baru dapat dimajukan. Pada ketika itu, pendirian Asas 50 amat mengejutkan orang Melayu, dengan itu akhbar Warta menyiarkan sepenuhnya Memorandum Asas 50 untuk diteliti oleh orang Melayu. Walaupun pendirian Asas 50 tentang bahasa Melayu dan tulisan Jawi itu karut, bertentangan dengan fakta sejarah perkembangan bahasa Melayu sendiri, namun dengan pendirian itu mereka telah membuktikan kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya di Universiti Kebangsaan Malaysia 1972 yang mengatakan, “Golongan pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri dari orang-orang yang tiada benar-benar mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaan Barat dan sifat-sifat asasi kebudayaannya sendiri; orang-orang yang dari segi kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran atau marginal society, yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada jelas, tiada mendalam. Penganut-penganut golongan ini pun mereka yang terkeliru, yang kebanyakannya terdiri dari masyarakat bandar, yang sungguh pun terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar-benar menyerapi kebudayaan Barat itu, mahupun kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai-nilai kebudayaan yang terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai-nilai yang dinilai oleh mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu”.
Kita lihat nanti bagaimana para pengasas Asas 50 membuktikan sekali lagi kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu, dalam tahun 1981, apabila mereka mewujudkan Sekretariat Anugerah Sastera Negara, dengan Keris Mas muncul sebagai penerima gelaran “sasterawan negara” yang pertama. Dengan tertubuhnya sekretariat itu dan terpilihnya sasterawan negara dari kalangan mereka, maka kesusasteraan dan sasterawan diberi kedudukan istimewa, dengan itu tidak saja meminggirkan tulisan Jawi, tetapi juga meminggir dan mengetepikan persuratan Melayu yang telah berjasa besar dalam membina dan mengembangkan bahasa Melayu itu. Yang muncul dengan megah dan bergaya sekarang ialah para sasterawan dan karya mereka yang diberi sanjungan tinggi, walaupun pada hakikatnya mereka adalah dari kumpulan orang yang “keliru” seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya. Adakah perubahan dari persuratan kepada kesusasteraan memberi keuntungan kepada orang Melayu?
Dalam makalahnya, Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman menjelaskan bagaimana konsep al-adab dalam persuratan Arab berubah makna, sehingga disempitkan menjadi “kesusasteraan” dalam zaman moden. Persis inilah yang terjadi dalam persuratan Melayu sendiri. Sekitar tahun 1920-an hingga 1940-an, majalah yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, terutama di Kelantan, menggunakan istilah “al-adib” untuk memperkenalkan seseorang penulis, atau istilah pengarang yang sama maksudnya. Penggunaan istilah “al-adib” memperlihatkan kepekaan para editor majalah dan akhbar ketika itu kepada tradisi penulisan dalam Islam yang berasaskan al-adab itu. Sebaliknya, ketika Asas 50 ditubuhkan, para pendukung pertubuhan itu tidak lagi mengenal istilah itu, oleh itu dalam tulisan-tulisan mereka tidak wujud sama sekali kesedaran kepada wujudnya tradisi penulisan dalam Islam. Asas 50 mengambil contoh dan teladan dari Barat sepenuhnya, dengan itu memutuskan sama sekali apa juga ikatan dengan warisan persuratan Melayu yang berasaskan ilmu dan nilai-nilai Islam. Apabila mereka memperkenalkan sajak dan cerita pendek dalam karya-karya mereka, mereka membebaskan diri mereka daripada apa juga pengaruh Islam. Demikianlah akhirnya sebuah novel Salina yang pada mulanya ditolak oleh juri peraduan kerana dianggap bertentangan dengan nilai-nilai Islam, menjadi karya besar setelah diiktiraf oleh seorang sarjana Belanda sebagai sebuah karya bertaraf antarabangsa. Maksudnya, sebagai sebuah karya yang tidak lagi bercorak Islam yang dianggap mundur dan menghalang kemajuan itu. Kini nilai-nilai Islam yang menjadi panduan dalam penilaian para juri itu disisihkan sepenuhnya, dengan itu Salina muncul sebagai karya besar sastera Melayu moden dan diletakkan sebagai sebuah karya unggul sehingga memungkinkan penulisnya dilantik menjadi sasterawan negara. Demikian cepatnya perubahan nilai berlaku dalam masyarakat Melayu: sesuatu yang mereka tolak pada mulanya, mereka terima dengan bangga setelah diiktiraf oleh sarjana Barat, dan mereka dengan itu tidak lagi berasa janggal memisahkan diri mereka dengan tradisi persuratan Melayu yang berasaskan nilai-nilai Islam itu. Dalam penilaian mereka terhadap karya itu, mereka memakai nilai-nilai sastera Barat sepenuhnya, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 1985.
Kemunculan istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” menandakan berakhirnya tradisi persuratan yang kaya dalam tamadun Melayu. Malah istilah “persuratan” itu sendiri tidak disukai dan dimomokkan sebagai mencerminkan kemunduran, sedangkan “kesusasteraan” itu mencerminkan kemajuan, sifat progresif para “sasterawan”. Bagi Asas 50, usaha mereka yang pertama ialah menghapuskan tulisan Jawi, meskipun terdapat di antara mereka yang menjadi editor akhbar dan majalah yang bertulisan Jawi. Akhbar Warta (Bil. 58, bertarikh 6 April 1954) menggunakan tajuk berita yang besar dan panjang untuk menarik perhatian orang Melayu tentang matlamat sebenar Asas 50 dalam perjuangannya. Inilah tajuk berita itu: “Memorandum Asas 50: Sebabnya Pertubuhan Mereka Menyokong KGMS (Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura) Mencadangkan Rumi Menjadi Tulisan Rasmi Melayu. Tulisan Jawi tidak ada hubungannya sama sekali dengan Agama Islam. Bahasa Melayu Tidak Perlukan Tulisan Jawi. Orang Turki Telah Menyingkirkan Tulisan Arab.” Menurut pandangan Asas 50, hanya dengan tulisan Rumi saja “kesusasteraan” Melayu baru dapat dimajukan. Pada ketika itu, pendirian Asas 50 amat mengejutkan orang Melayu, dengan itu akhbar Warta menyiarkan sepenuhnya Memorandum Asas 50 untuk diteliti oleh orang Melayu. Walaupun pendirian Asas 50 tentang bahasa Melayu dan tulisan Jawi itu karut, bertentangan dengan fakta sejarah perkembangan bahasa Melayu sendiri, namun dengan pendirian itu mereka telah membuktikan kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya di Universiti Kebangsaan Malaysia 1972 yang mengatakan, “Golongan pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri dari orang-orang yang tiada benar-benar mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaan Barat dan sifat-sifat asasi kebudayaannya sendiri; orang-orang yang dari segi kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran atau marginal society, yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada jelas, tiada mendalam. Penganut-penganut golongan ini pun mereka yang terkeliru, yang kebanyakannya terdiri dari masyarakat bandar, yang sungguh pun terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar-benar menyerapi kebudayaan Barat itu, mahupun kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai-nilai kebudayaan yang terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai-nilai yang dinilai oleh mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu”.
Kita lihat nanti bagaimana para pengasas Asas 50 membuktikan sekali lagi kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu, dalam tahun 1981, apabila mereka mewujudkan Sekretariat Anugerah Sastera Negara, dengan Keris Mas muncul sebagai penerima gelaran “sasterawan negara” yang pertama. Dengan tertubuhnya sekretariat itu dan terpilihnya sasterawan negara dari kalangan mereka, maka kesusasteraan dan sasterawan diberi kedudukan istimewa, dengan itu tidak saja meminggirkan tulisan Jawi, tetapi juga meminggir dan mengetepikan persuratan Melayu yang telah berjasa besar dalam membina dan mengembangkan bahasa Melayu itu. Yang muncul dengan megah dan bergaya sekarang ialah para sasterawan dan karya mereka yang diberi sanjungan tinggi, walaupun pada hakikatnya mereka adalah dari kumpulan orang yang “keliru” seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya. Adakah perubahan dari persuratan kepada kesusasteraan memberi keuntungan kepada orang Melayu?
Dalam makalahnya, Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman menjelaskan bagaimana konsep al-adab dalam persuratan Arab berubah makna, sehingga disempitkan menjadi “kesusasteraan” dalam zaman moden. Persis inilah yang terjadi dalam persuratan Melayu sendiri. Sekitar tahun 1920-an hingga 1940-an, majalah yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, terutama di Kelantan, menggunakan istilah “al-adib” untuk memperkenalkan seseorang penulis, atau istilah pengarang yang sama maksudnya. Penggunaan istilah “al-adib” memperlihatkan kepekaan para editor majalah dan akhbar ketika itu kepada tradisi penulisan dalam Islam yang berasaskan al-adab itu. Sebaliknya, ketika Asas 50 ditubuhkan, para pendukung pertubuhan itu tidak lagi mengenal istilah itu, oleh itu dalam tulisan-tulisan mereka tidak wujud sama sekali kesedaran kepada wujudnya tradisi penulisan dalam Islam. Asas 50 mengambil contoh dan teladan dari Barat sepenuhnya, dengan itu memutuskan sama sekali apa juga ikatan dengan warisan persuratan Melayu yang berasaskan ilmu dan nilai-nilai Islam. Apabila mereka memperkenalkan sajak dan cerita pendek dalam karya-karya mereka, mereka membebaskan diri mereka daripada apa juga pengaruh Islam. Demikianlah akhirnya sebuah novel Salina yang pada mulanya ditolak oleh juri peraduan kerana dianggap bertentangan dengan nilai-nilai Islam, menjadi karya besar setelah diiktiraf oleh seorang sarjana Belanda sebagai sebuah karya bertaraf antarabangsa. Maksudnya, sebagai sebuah karya yang tidak lagi bercorak Islam yang dianggap mundur dan menghalang kemajuan itu. Kini nilai-nilai Islam yang menjadi panduan dalam penilaian para juri itu disisihkan sepenuhnya, dengan itu Salina muncul sebagai karya besar sastera Melayu moden dan diletakkan sebagai sebuah karya unggul sehingga memungkinkan penulisnya dilantik menjadi sasterawan negara. Demikian cepatnya perubahan nilai berlaku dalam masyarakat Melayu: sesuatu yang mereka tolak pada mulanya, mereka terima dengan bangga setelah diiktiraf oleh sarjana Barat, dan mereka dengan itu tidak lagi berasa janggal memisahkan diri mereka dengan tradisi persuratan Melayu yang berasaskan nilai-nilai Islam itu. Dalam penilaian mereka terhadap karya itu, mereka memakai nilai-nilai sastera Barat sepenuhnya, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 1985.
Posted by
Mohd Affandi Hassan at 2:28 AM
Wednesday, November 9, 2011
Beban Intelektual, Beban Akademik, dan Beban Moral Dalam Kesusasteraan Melayu Moden
Masalah
tiga beban besar dalam kesusasteraan Melayu moden tidak pernah
dibincangkan, kerana selama ini masalah ini tidak disedari, sehinggalah
ditimbulkan oleh gagasan Persuratan Baru dalam analisis dan penilaian
tentang karya kreatif para sasterawan dan sasterawan negara. Ketiga-tiga beban ini saya rangkum dalam ungkapan “keaiban intelektual” yang menjadi masalah besar dalam kesusasteraan Melayu moden. (Rujuk Peradaban Melayu Timur Laut,
DBP Wilayah Timur 2005, hal. 209-226). Secara tidak langsung persoalan
ini telah ditimbulkan oleh dua orang sarjana yang kedua-duanya menjadi
anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh
pernah membangkitkan perkara ini dalam kata-kata beliau seperti berikut: “...
sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk
menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa
Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan
kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya
sendiri.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau,
DBP 2005, hal. 14). Puluhan tahun itu berapa tahun? Tiga puluh tahun?
Paling kurang dua puluh tahun, tidak mungkin dalam masa sepuluh tahun
ini. Saya lebih cenderung untuk memulai tarikhnya tahun 1981, apabila
Panel Anugerah Sastera Negara ditubuhkan. Sejak itulah secara rasmi
teori Barat digunakan sepenuhnya untuk menilai karya kreatif para
sasterawan Melayu yang dilantik menjadi “sasterawan negara”. Sejak
itulah bermulanya, secara rasmi dan dengan pilihan sendiri, penggunaan
teori Barat dalam kritikan dan penilaian karya sastera. Sebelum itu
tidak rasmi, kerana belum dikanunkan. Mulai tahun 1981, Panel Anugerah
Sastera Negara mengkanunkan teori kritikan sastera Barat sebagai
satu-satunya teori yang sah digunakan dan perlu digunakan untuk menilai
karya para sasterawan negara. Inilah yang mereka namakan aliran perdana
dalam sastera Melayu moden. Turut mengkanunkannya ialah Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh sendiri, yang hingga sekarang masih menjadi anggota
Panel Anugerah Sastera Negara. Perkembangan yang menarik ini telah
dianalisis dan dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah
Mohd. Tahir dalam Kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009). Seorang anggota Panel yang lain, Prof. Dr. Zawiah Yahya, secara radikal (mungkin lebih tepat secara sinikal) berkata, “we have to unseat England, Europe, and the United States of America as the centre of our universe and replace them with the centrality of our own country and our own region ...”, maka dengan itu, “we will approach a text with our own cultural schema to interpret.” Bagaimana
hendak dilakukan? Masih kabur, malah masih sangat gelap, tiada
penjelasan sedikit pun yang boleh membantu kita untuk melaksanakan
gesaan yang radikal (atau sinikal) ini. Supaya
perkara ini boleh dilihat dengan lebih terperinci, sila rujuk posting
bertarikh 25 Mei 2011, bertajuk “Fitnah dalam politik dan fitnah dalam
sastera”. Dua orang anggota Panel Anugerah Sastera Negara
ini dengan jelas menggambarkan betapa beratnya beban intelektual, beban
akademik, dan beban moral dalam kritikan sastera Melayu. Orang
yang kita harapkan akan menjelaskan yang kacau, membetulkan yang salah
(mereka sedar akan kesalahan itu, tetapi tidak tahu apakah kesalahan
itu), sebaliknya menambahkan lagi beban itu dengan ucapan yang langsung
tidak bermakna kerana tidak dapat dijelaskan secara akademik. Inilah
jenis “pemikiran” yang dijadikan aliran perdana dalam kritikan sastera
Melayu. (Catatan: maksud ‘fitnah’ di sini ialah ‘musibah’.)
Beban
intelektual ini terlihat jelas dalam cara Panel Anugerah Sastera Negara
menulis laporan mereka. Jika anda baca laporan itu secara kritis, anda
akan berasa hairan bagaimana sekumpulan sarjana yang dikatakan pakar
dalam kesusasteraan, tidak menampakkan keaslian mereka dalam membuat
analisis dan penilaian. Seluruh konsep dan istilah yang
mereka gunakan diambil bulat-bulat dari buku-buku teori kritikan Barat.
Mereka memuji para sasterawan yang pandai meniru, seperti A. Samad Said
yang meniru teknik Barat, kerana mereka sendiri adalah peniru yang
paling unggul. Apakah yang mereka tiru dan pakai tanpa kefahaman yang
wajar tentang teori sastera Barat? Paling jelas ialah kekeliruan mereka
dalam memahami konsep realisme, yang mereka puji dijadikan asas
penulisan oleh para sasterawan. Mereka tidak jelaskan mengapa realisme
itu bagus dan dari segi apa realisme itu perlu dijadikan ukuran dalam
kemajuan penulisan novel, cerita pendek dan lain-lain.
Apakah
kesan beban intelektual ini? Pertama sekali, kesan paling buruk ialah
pemikiran tentang sastera menjadi mandul, ketinggalan zaman, dan diikuti
dengan sikap negatif kepada perubahan, yakni orang-orang ini menjadi
golongan yang anti-perubahan. Kemandulan intelektual ini tidak dapat
dielakkan, kerana mereka tidak berupaya menghadapi pengaruh Barat itu
secara akademik, kecuali hanya untuk menjadi peniru. Sebagai peniru,
mereka ketinggalan zaman. Sebagai contoh, mereka ini masih menggunakan
kaedah Kritikan Baru (New Criticism) dalam analisis mereka, walaupun
kaedah itu telah diambil-alih oleh dekonstruksi sejak pertengahan
1960-an di Amerika Syarikat. Mengapa mereka masih menggunakan kaedah
lama? Kerana hanya itulah saja yang memikat minat mereka kerana lebih
senang difahami (adakah mereka benar-benar faham?) dan lebih senang
digunakan dalam analisis. Mereka sebut dekonstruksi, tetapi tidak
berminat kerana mereka dapati agak sukar difahami. Ada usaha daripada
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mendorong pengkritik sastera menggunakan
dekonstruksi, tetapi dia sendiri terkejut apabila karyanya dianalisis
daripada perspektif itu, yang hasilnya tidak menyenangkan beliau. Contoh
ini perlu diberi perhatian, kerana dari contoh ini kita dapat lihat
bagaimana para sarjana kita menggunakan pendekatan tertentu untuk
memuji, bukan untuk mengkaji dengan kritis sesebuah karya atau sumbangan
sebenar seorang sasterawan. Kita boleh lihat kebenaran
kesimpulan ini dalam kertas kerja yang membincangkan “pemikiran” para
sasterawan negara dalam seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka. Khusus mengenai Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, anda boleh lihat
bagaimana kesemua kertas kerja ditulis untuk memuji beliau. Tidak
terdapat kertas yang agak kritis. Sebabnya ialah kerana Dewan Bahasa dan
Pustaka sendiri telah meletakkan syarat, setiap kertas kerja mestilah
ditulis untuk hanya memuji, bukan mengkritik. Menurut DBP, tidak ada
gunanya dilantik sasterawan negara, jika mereka kemudiannya dikritik dan
dinilai semula. Inilah kemuncak kemandulan intelektual yang saya
maksudkan, yang menjadi beban kepada kesusasteraan Melayu moden. Kemandulan
intelektual ini mengakibatkan lahirnya sikap negatif kepada apa juga
perubahan untuk memajukan pemikiran dalam persuratan Melayu moden.
Keyakinan golongan ini kepada teori Barat menjadikan mereka tidak boleh
menerima sebarang cabaran terhadap teori yang mereka pegang. Dalam
program Akademi Sastera yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama
Universiti Malaya dan lain-lain, ditekankan bahawa hanya pendekatan
Barat saja boleh digunakan dalam menganalisis karya yang ditandingi. Di
ASWARA, yang dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan etc., pengelola
bahagian sastera menekankan hanya pendekatan Barat saja yang boleh
digunakan; semua teori tempatan diharamkan dengan alasan belum diuji
kesesuaiannya. Strategi ini bagus kerana ada alasan untuk menyekat
gagasan Persuratan Baru masuk ke ASWARA!. Sikap anti-ilmu begini adalah kesan langsung daripada pengaruh Barat dalam sastera Melayu. Kesan
langsung ini akhirnya menyemarakkan perasaan hasad dengki yang
berlebihan di kalangan segolongan sarjana dan sasterawan, untuk
mempertahankan kedudukan mereka daripada dicabar oleh pendekatan yang
berbeza daripada yang mereka pegang.
Beban
akademik pula menimbulkan kegersangan pemikiran dalam penyelidikan
sastera di universiti dan dalam penerbitan. Ini terdapat dalam kegiatan
akademik “pakar” sekali pun. Saya ingin sebut dua contoh kerana
kedudukan mereka agak “istimewa” dalam kesusasteraan Melayu moden.
Contoh pertama saya ambil dari Prof. Rahman Shaari. Saya akan bincangkan
syarahan perdana beliau (2004): Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu Tinjauan. Saya juga akan bincang syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (1989): Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan. Kedua-dua
contoh ini penting kerana mereka telah diterima oleh teman-teman mereka
dan diakui sebagai pakar sastera Melayu moden yang unggul dan cukup
berwibawa oleh murid-murid mereka.
Syarahan
perdana Prof. Rahman Shaari dan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bagi saya
mengecewakan, terlalu jauh terkebawah daripada standard yang saya
jadikan ukuran, yakni syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas (1972). Saya telah memberi pandangan kritis terhadap syarahan
perdana Prof. Dr. Muhammad dalam sebuah risalah panjang, Medan-medan
Dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahana Terhadap Syarahan Perdana
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (Sarjana dan Sasterawan Negara) (1994). (Disiarkan pertama kali dalam Dewan Sastera, Mac-Julai 1991). Walaupun
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mempunyuai pelajar 4000-5000 yang
pengetahuan sasteranya jauh lebih mendalam daripada pengetahuan Mohd.
Affandi Hassan sendiri, namun hingga kini beliau dan para
pelajarnya itu tidak pernah menyanggah kembali pandangan dan kritikan
Mohd. Affandi Hassan. Saya diberitahu, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh
berkata, Mohd. Affandi Hassan tidak layak mengkritik
syarahan perdana beliau, kerana tidak mempunyai kedudukan akademik yang
setaraf dengan beliau, bukan seorang profesor dan tidak pula seorang
sarjana sastera yang diakui. Agak menarik apabila Prof. Rahman Shaari
juga mempunyai sikap dan pandangan yang hampir serupa, malah bagi saya
terasa sangat aneh mengapa beliau memilih untuk menunjukkan sikap tidak
sopan apabila beliau menujukan komennya untuk merendahkan
kedudukan akademik saya dan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, tanpa
memberikan sebarang hujah dan analisis secara akademik, ketika beliau mengulas syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah. (Lihat komen beliau dalam Mingguan Malaysia, 16/12/2007). Inilah kesimpulan beliau: “Kandungan buku ini [Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu] merupakan salinan (carbon copy)
pandangan pengkritik itu [Mohd. Affandi Hassan]. Sukar sekali untuk
kita menemukan pandangan Ungku Maimunah sendiri, malah kelihatannya
Ungku Maimunah memang berhasrat membiarkan ketiadaan pandangannya.
Mungkin beliau berpendapat, eloklah beliau menyampaikan pandangan Mohd.
Affandi Hassan melalui satu syarahan perdana, kerana Mohd. Affandi tidak mempunyai kedudukan untuk berbuat demikian.” (Huruf condong ditambah).
Jelas
sekali beliau tidak mempunyai pengetahuan dan maklumat yang paling asas
sekalipun tentang Gagasan Persuratan Baru untuk membolehkan beliau
memberikan komen yang objektif, oleh itu beliau tidak dapat mengesan
pembaikan dan tambahan (tentang gagasan PB) yang dilakukan oleh Prof.
Ungku Maimunah dalam syarahan perdananya. Apa yang dibuat
oleh Prof. Ungku Maimunah ialah menganalisis dan menilai pandangan saya
tentang gagasan Persuratan Baru, sambil menambah pendapat beliau sendiri
yang membolehkan sarjana seperti Prof. Rahman Shaari lebih senang
memahami PB. Misalnya, beliau mengemukakan konsep ruang naratif, konsep
mod bacaan intelektual dan mod bacaan cerita, isian ilmu dan isian
cerita, untuk menyebut beberapa sumbangan beliau yang cukup berguna
untuk membantu sesiapa juga yang ingin memahami gagasan Persuratan Baru. Tetapi
kelemahan Prof. Rahman Shaari paling menonjol ialah beliau tidak pun
membaca syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah. Jika kita andaikan beliau
membacanya, maka jelaslah beliau tidak faham, oleh itu kesimpulan
beliau tadi tidak berasas sama sekali, kecuali untuk merendah dan
mempersendakan saja. Dari halaman pertama hingga halaman 58, Prof. Ungku
Maimunah memberikan maklumat dan analisis yang mendalam tentang faham
sastera yang dipegang para sasterawan dan faham kritikan yang menjadi
ikutan para sarjana dan pengkritik sastera, termasuk Prof. Rahman Shaari
sendiri. Kedua-duanya menjadikan aspek cerita sebagai tunjang
penghujahan mereka, dengan meminggirkan ilmu atau apa-apa aspek yang
bersifat ilmu. Huraian Prof. Ungku Maimunah memberi
kita gambaran yang sangat berguna untuk kita memahami mengapa kita
menghasilkan karya sastera seperti yang kita terima dan cara kritikan
yang juga meletakkan cerita sebagai aspek utama dalam kesusasteraan
(karya kreatif). Hanya mulai bahagian akhir halaman 58 hingga
seterusnya beliau berbicara tentang gagasan Persuratan Baru sebagai
alternatif. Di sini pun beliau tidak menyalin tulisan Mohd. Affandi
Hassan seperti yang dituduh oleh Prof. Rahman Shaari. Sebaliknya, Prof.
Ungku Maimunah menjelaskan dalam analisis beliau mengapa gagasan
Persuratan Baru itu dapat diterima sebagai alternatif yang lebih baik
daripada fahaman sastera yang dipegang sekarang, kerana PB mengutamakan
ilmu yang benar, dengan itu meneruskan warisan persuratan Melayu yang
sudah beratus tahun dikembangkan oleh para pujangga Melayu dan Islam,
yang hasilnya belum lagi dapat ditandingi oleh mana-mana sasterawan
negara sekali pun. Jadi jelas tidak timbul langsung perkara carbon copy yang ditohmah oleh Prof. Rahman Shaari. Prof Ungku Maimunah memberikan kesempatan yang begitu luas kepada pembacanya, termasuk Prof. Rahman Shaari, untuk mempertikai secara ilmiah analisis beliau. Mengapa
ini tidak dilakukan oleh Prof. Rahman Shaari? Jawapannya cukup jelas:
beliau tidak membaca buku Prof. Ungku Maimunah; dan andainya beliau
membacanya, beliau tidak faham. Terdapat dua kelemahan beliau di sini:
pertama, kemampuan kognitifnya menjadi halangan untuk beliau memahami
analisis Prof. Ungku Maimunah. Kedua, dari segi adab akademik dan etika
penulisan, beliau tidak berasa penting memberi perhatian kepada dua
perkara itu, oleh itu beliau memilih untuk berbicara sebagai pembicara
yang tidak membaca dan tidak memahami persoalan yang begitu penting yang
diketengahkan oleh Prof. Ungku Maimunah. Hal ini dapat
dilihat dengan jelas dalam dua aspek: pertama dalam kesimpulan beliau
tentang PB; kedua dalam syarahan perdana beliau yang secara persis
membuktikan dengan meyakinkan betapa kecenderungan kepada cerita itu
tidak saja menjadi amalan para sasterawan, tetapi juga menjadi tabiat
para ahli akademik seperti Prof. Rahman Shaari yang seluruh syarahan
perdananya itu adalah pembebelan sebuah cerita biasa tentang sajak
Melayu, tanpa sebarang analisis dan tiada pula penghujahan yang
membolehkan kita memahami perkembangan sajak-sajak Melayu sejauh ini.
Mengenai
kesimpulan beliau tentang PB, inilah kata-kata beliau: “Gagasan ini
mudah, iaitu ringankan cerita dan beratkan ilmu. Pelaksanaannya juga
tidak sukar, kerana sebarang karya yang dipenuhi hujahan yang mantap
adalah karya yang dikehendaki. ... saya masih yakin saya
dapat menghasilkan karya yang berpadanan dengan kehendak Affandi, Ungku
Maimunah dan Zariat itu, jika nanti saya terdorong.” Kesimpulan ini
tidak saja mengarut, tetapi jelas timbul dari seorang
profesor yang tidak membaca buku yang dinilainya, atau jika sekiranya
beliau baca, tidak memahaminya. Jika beliau seorang ahli akademik yang
menulis dalam konteks adab akademik dan etika perbahasan yang menjadi
amalan dalam dunia akademik, beliau akan terlebih dahulu membahaskan
beberapa perkara utama dalam syarahan Prof. Ungku Maimunah (beliau harus
tahu apakah isu-isu utama itu jikalau beliau tidak menghadapi masalah
kognitif), kemudian memberikan pendapat kritis beliau. Contoh paling
jelas: adakah beliau faham konsep stylization of ideas dan bagaimana konsep itu dapat dikaitkan dengan matlamat karya persuratan untuk sampai ke tahap “indah dan bermakna”? Tidakkah
ini satu cabaran akademik dan kreatif sekali gus? Ketika itu barulah
beliau boleh berkata, “gagasan ini mudah, iaitu ringankan cerita dan
beratkan ilmu”. Sebagai seorang profesor yang sudah memberikan syarahan
perdananya, beliau tidak boleh lagi berkata sesuka hati sebagai seorang
pelajar tahun pertama yang baru ingin mengenal sastera!
Dari perspektif inilah saya akan bicarakan syarahan perdana Prof. Rahman Shaari. Jika
kita gunakan istilah “syarahan perdana” dalam konteks kematangan
penyelidikan dan penguasaan “ilmu” seseorang profesor dalam bidangnya,
maka “syarahan perdana” yang diberikan oleh Prof. Rahman Shaari tidak
boleh digolongkan dalam kategori itu. Ini hanya syarahan biasa, mungkin
satu kuliah biasa saja tentang “cerita” sajak-sajak Melayu moden. Di
dalam syarahan ini tidak ada analisis dan penghujahan yang mantap,
sesuatu yang tidak mungkin terjadi kerana tajuknya begitu umum, tidak
dikonsepsikan dalam konteks satu syarahan ilmiah yang bertujuan meneroka
dengan mendalam bidang yang dipilih. Hasilnya ialah sejenis resensi
biasa tentang apa yang berlaku dalam sajak-sajak Melayu dari zaman
permulaan hingga yang terkini. Hanya sebuah cerita, yang tidak memberi
apa-apa “insight” tentang sajak Melayu. Apa yang dilakukan oleh
Prof. Rahman Shaari tidak lebih dari menderetkan beberapa kategori sajak
menurut penjenisan subjektif yang dibuatnya: ada jenis sajak patriotik,
ada sajak imaginatif (?), ada sajak sukar, dan lain-lain kategori.
Apakah yang hendak ditunjukkan oleh profesor ini? Beliau sendiri tidak
jelas, oleh itu setiap kategori yang dikemukakannya tidak dapat membantu
kita memahami mengapa sajak-sajak Melayu ditulis dalam bentuknya yang
kita terima sekarang, mengapa tiadanya pemikiran yang mendalam dalam
sajak-sajak itu, mengapa sajak-sajak itu lebih merupakan sajak-sajak
peristiwa yang berbentuk topikal, dan “mengapa” yang macam-macam lagi. Sekiranya
beliau seorang yang tajam pemerhatiannya dan mempunyai kebolehan
menganalisis yang tangkas bermain dengan idea, dia mungkin dapat melihat
beberapa pola dalam penulisan sajak-sajak Melayu. Misalnya, benarkah
terdapat sajak-sajak intelektual, dan siapakah pensajaknya? Apakah
persoalan yang mereka kemukakan dalam sajak-sajak intelektual itu?
Mengapa begitu banyak sajak-sajak protes ditulis, apakah persoalannya
dan mengapa persoalan itu menjadi pilihan pensajak? Adakah semua
pensajak Melayu bersifat suka mamprotes melalui sajak-sajak mereka? Kita
selalu dengar wujudnya sajak-sajak romantis. Apakah ciri sajak
romantis? Mengapa ditulis dan oleh siapa? Tetapi yang lebih penting,
yang akan benar-benar membuat kita tidak berasa malu menggunakan istilah
“penyair” dan puisi, ialah penemuan kita nanti siapakah tokoh yang
dapat digelar penyair itu? Apakah sumbangannya dari segi pemikiran dan
pemuisian? Kita sepatutnya sudah boleh menulis dalam konteks yang
dibayangkan di sini, mengingat kita mempunyai beribu-ribu pensajak dan
semua mereka menggelarkan diri mereka “penyair”. Dalam konteks ini,
adakah istilah “penyair” itu tepat dan saksama untuk digunakan? Berkaitan
dengan persoalan ini juga ialah persoalan mengapa tidak terdapat sajak
falsafah, sajak keagamaan yang membicarakan falsafah Islam dan ajaran
Islam, atau sajak-sajak jihad. Di dalam cerita tentang sajak yang
dipaparkan oleh Prof. Rahman Shaari ini, tidak ada langsung dikemukakan
sajak-sajak keagamaan. Adakah ini membuktikan kesusasteraan Melayu
moden, dan sajak-sajak moden, meminggirkan persoalan ilmu dan persoalan
agama ini? Padahal para pensajak ini semuanya beragama Islam. Apa sudah
jadi terhadap mereka? Kita mahu tahu kerana ini akan membuktikan kepada
kita sifat dan hakikat sastera Melayu moden itu sendiri, sejauh mana
dekatnya dengan Islam dan sedekat mana pula jauhya dengan Islam? Semua
ini perlu dibahaskan, kerana dari perbahasan bercorak begini saja baru
kita dapat berkata: sajak-sajak Melayu moden telah memberi sumbangan
yang besar dalam pembinaan tamadun bangsa Melayu moden. Kerana ini tidak
dianalisis dan dinilai dengan teliti dan objektif, kita tidak
sekali-kali boleh berkata sajak-sajak dan para pensajak telah memberi
saham yang besar dalam pembinaan tamadun kita, kerana kita tidak
mempunyai bukti yang dihujahkan dengan mendalam. Oleh itu, apa yang
disebut syarahan perdana tentang sajak-sajak moden yang mantap itu
sebenarnya hanyalah sebuah esei biasa yang layak ditulis oleh seorang
pelajar tahun pertama yang baru belajar tentang sastera, atau paling
baik ditulis oleh pelajar tahun empat Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Tetapi tidak sekali-kali boleh diterima sebagai sebuah syarahan perdana seorang profesor.
Kita
agak keras dalam membuat penilaian ini, tetapi ini tidak dapat
dielakkan, kerana kita kini berdepan dengan perkembangan ilmu di
universiti. Adakah “ilmu” itu hanya sejenis cerita biasa tentang sesuatu
tajuk yang kita pilih, atau terdapat ciri-ciri lain yang menjadikan
tajuk itu satu tajuk yang penting dalam perkembangan ilmu, yang mesti
dihuraikan dengan mendalam dalam satu analisis yang cermat dan
benar-benar untuk menyumbang dalam bidang ilmu. Dari
perspektif ini, istilah “syarahan perdana” yang kita pakai seharusnya
mencerminkan kecanggihan berfikir dan menganalisis sesuatu persoalan
besar dalam bidang ilmu yang kita pilih, bukan hanya sejenis ocehan
biasa seperti yang dikritik oleh Martin Heidegger. Dalam
pengertian yang sepatutnya kita gunakan untuk istilah “syarahan perdana”
itu, kita dapat menerima “syarahan perdana” yang diberikan oleh Prof.
Ungku Maimunah sebagai “syarahan perdana” kerana ciri-ciri ilmiahnya
sangat ketara, dan syarahan itu benar-benar memberi sumbangan yang besar
dalam usaha memahami apa yang sebenarnya berlaku dalam sastera Melayu
moden. Tetapi ciri-ciri ini tidak ada dalam “syarahan perdana” Prof.
Rahman Shaari. Oleh itu, tidak perlulah beliau “berasa terkilan” kerana
Mohd. Affandi Hassan tidak berpeluang mengucapkan “syarahan perdana”
beliau, jika yang akan beliau lakukan hanya meluahkan sejenis ocehan
dengan pretensi akademik yang sebenarnya tidak akademik. Kita tidak
perlukan “syarahan perdana” selak kain seperti yang dilakukan oleh Ratu
Balqis, yang tidak dapat membezakan antara realiti semu, atau ilusi,
dengan realiti hakiki bahawa air yang dilihat Balqis bukanlah air,
tetapi hanya lantai berkilat untuk dipijak, bukan kolam untuk direnangi.
Barangsiapa yang tidak faham ibarat ini, maka orang itu tidak layak
memberikan syarahan perdananya walaupun dia sudah jadi profesor seratus
tahun!
Kelemahan
paling besar dan paling menonjol dalam syarahan perdana Prof. Rahman
Shaari ialah aspek teori dan kaedah yang digunakan. Pertama sekali,
seperti yang telah saya sebut, tajuknya terlalu umum dan tidak mengarah
kepada “tujuan terakhir semua kajian”, seperti yang ditegaskan oleh
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, “ialah menemukan suatu teori untuk
bidangnya, yang dalam liputan dan perbincangannya dapat menerangkan,
sekurang-kurangnya dengan wawasan terbaru, makna bidang itu sendiri.”
Petua Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh adalah tepat dan perlu dijadikan
panduan, walaupun beliau sendiri gagal melakukannya dalam syarahan
perdana beliau sendiri. Kita sebenarnya tidak mendapat
apa-apa yang berguna atau yang luar biasa setelah membaca syarahan
perdana Prof. Rahman Shaari, kecuali menemui beberapa buah sajak yang
menurutnya “mantap”, yang telah kita temui lebih awal daripada beliau.
Definisi “mantap” itu sendiri pun tidak jelas, hanya mengutip pendapat
atau pandangan beberapa orang sarjana, penulis sajak, dan kupasan
ringkas (terlalu ringkas) beliau sendiri yang tidak jelas. Daripada H.
Coombes diambil idea “poetic thought” (diterjemahkan sebagai “pemikiran
puitis”): “Puisi yang memuatkan pemikiran tinggi yang dibaluti teknik
dan stail yang indah” (hal. 9). Sekejap kemudian Prof. Rahman Shaari
memberikan sanggahan kecil: “Kemantapan puisi tidak ditentukan oleh ciri
yang di atas saja.” Lalu beliau mengutip pendapat Subagio Sastrowardoyo
(ejaan Ensiklopedi Sastera Indonesia, hal. 760) yang menurutnya
kekuatan puisi moden amat bergantung pada keaslian pengucapan penyair
(hal. 10). Penyair tidak mengulang ucapan yang sedia ada. “Isi tidak
akan dapat menghasilkan kemantapan karya jika tidak dibantu keaslian
yang memikat”. Dan inilah kesimpulan beliau: “Kemantapan akhirnya
terlihat bergantung pada keupayaan penyair mengeksploitasikan bahasa
hingga menghasilkan puisi yang tebal dengan unsur estetika”. Entah
bagaimana kita membaca kesimpulan yang aneh ini: “Penyair mungkin
mengaplikasikan pengetahuan psikologi (terutama psikoanalisis) dan
falsafah ...” untuk menulis sajak yang mantap, lalu disebut nama Baha
Zain dan Subagio Sastrowardoyo sebagai contoh penulis yang
menggunakan psikologi. (Sekadar catatan kecil: Baha Zain sebenarnya
terpengaruh oleh Subagio, atau sekurang-kurangnya mendapat ilham
daripada penulis Indonesia itu. Prof. Rahman Shaari menegaskan, dua
orang penulis ini terpengaruh oleh psikoanalisis!). Dengan
berkata, isi tidak menentukan kemantapan sesebuah sajak, tanpa keaslian
bahasa yang memikat, maka beliau telah menafikan sajak-sajak Muhammad
Hj. Salleh yang menurut beliau, “Penekanan terhadap pemikiran dalam
sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh tidak terlalu mencabar fikiran pembaca,
kerana pengutamaannya bukanlah aspek itu, sebaliknya dia bersajak dengan
perasaan yang ditipiskan. Baginya, sajak-sajak tidak boleh terlalu
emosional, kerana ketebalan emosi akan dengan sendirinya menipiskan
pemikiran” (hal. 35). Apakah maksud Prof. Rahman Shaari dengan kesimpulan ini? Dia mengatakan sajak “Pulang Si Tenggang” menggoncangkan fikiran (hal.
31). Sajak itu tidak mempunyai pemikiran apa-apa, hanya sebuah naratif
peribadi penulisnya yang berasa bangga menjadi kurang ajar (bukan
terpelajar) setelah lama belajar di Amerika Syarikat; bahasanya juga
biasa saja, malah ada yang berkata agak “prosaik”, bukan bahasa “puisi”.
Jadi di mana kamantapan sajak ini? Sajak ini menjadi terkenal kerana
pensajak menggunakan Si Tenggang sebagai model manusia Melayu baru
sepertinya; dan model ini ditentang kerana tidak mencerminkan
nilai-nilai tamadun Melayu yang baku, yang menentang penderhakaan dan
perangai yang biadab, terutama sekali terhadap ibu bapa. Inilah contoh beban intelektual dan beban moral yang paling baik yang diberikan kepada kita oleh seorang pensajak Melayu. Sajak
ini tidak boleh dianggap sajak intelektual kerana nialai-nilai
intelektualnya tidak ada, tetapi kaya dengan faham individualisme Barat yang
meletakkan diri individu, terutama seorang pengarang, sebagai ukuran
baru (?) dalam menilai kemajuan diri peribadi dan masyarakat. Faham ini
telah ditolak oleh tamadun Melayu yang berteraskan Islam. Jadi di mana
istimewanya sajak ini? Jika kita memakai ukuran yang dicadangkan oleh
Prof. Rahman Shaari sendiri sekali pun, sajak ini bukanlah sebuah sajak
yang mantap, tetapi boleh diterima sebagai sebuah sajak naratif yang
menarik yang menceritakan kehilangan peribadi seorang penulis Melayu
yang tidak kenal budayanya sendiri, dan dalam pencarian itu dia menemui
Si Tenggang yang dikutuk oleh masyarakatnya. Adalah malang
bagi Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri apabila percubaannya untuk
menonjolkan dirinya sebagai Si Tenggang moden tidak diterima oleh
masyarakat, kecuali oleh segelintir kecil peminat sajak yang cita
rasanya dalam seni berada di tahap rendah (crude). Untuk melihat
kejituan kesimpulan yang objektif ini, anda dipersilakan untuk
menggunakan gagasan Persuratan Baru untuk menganalisis dan menilai sajak
ini dengan kritis. Pilihan ini tepat, kerana anda tidak
boleh “menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita
yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya
yang khusus pula” (Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, dalam Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14).
Prof.
Rahman Shaari telah mensia-siakan peluang yang baik melalui syarahan
perdananya untuk mengenal pasti siapakah tokoh sebenar persajakan Melayu
yang layak digelar “penyair”. Kita mempunyai ramai pensajak (yakni penulis sajak), tetapi belum ada seorang penyair yang boleh dibanggakan. Dalam
konteks ini, adalah lebih bermanfaat dan lebih munasabah untuk membuat
kajian mendalam bidang persajakan ini dengan matlamat untuk mencari,
jika ada, pensajak yang layak digelar “penyair”. Prof.
Rahman Shaari terlepas peluang ini kerana beliau tidak membuat kajian
menyeluruh, oleh itu beliau tidak merujuk dua buah buku penting oleh
Prof. Dr. Ali Ahmad, Perintis Sajak-Sajak Melayu (Penerbit Fajar Bakti, 1971), dan Tema Sajak-Sajak Melayu 1933-1969 (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974). Dalam
buku pertama, Prof. Ali menyenaraikan sejumlah nama pensajak yang
dikenal pasti olehnya layak dipanggil “pelopor sajak-sajak Melayu”.
Berapa orang di antara mereka yang masih hidup dalam dunia persajakan?
Apakah sumbangan mereka? Siapa di antara mereka yang menonjol dan layak
digelar “penyair”? Dengan meneliti, mengkaji, menganalisis
dan menilai pensajak terkemuka di antara mereka, kita mungkin akan
bertemu dengan seorang (atau lebih) tokoh yang benar-benar layak digelar
“penyair”. Pada waktu ini, istilah “penyair” sama tarafnya dengan air
suling, atau tinggi sedikit tarafnya air mineral semula jadi. Berapa
ribu “penyair” yang ada di Malaysia? Di antara beribu jumlahnya itu,
tidakkah terserlah seorang dua yang benar-benar layak digelar “penyair”?
Jika jalur penyelidikan ini yang diambil oleh Prof. Rahman Shaari, yang
ternyata lebih sukar tetapi berguna untuk kepuasan akademik, maka kita
mungkin akan bersua dengan seorang atau dua pensajak yang boleh
dipertahankan sebagai “penyair”. Panel Anugerah Sastera Negara telah memilih beberapa orang, tetapi adakah mereka benar-benar layak digelar “penyair”? Nampaknya
sukar, kerana setiap sasterawan negara telah diseminarkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka dari perspektif “pemikirannya”, tetapi tiada seorang
pun yang muncul sebagai “pemikir”. Malah Prof. Rahman Shaari sendiri,
bila ditanya oleh Mohd. Affandi Hassan, adakah A. Samad Said seorang
pemikir, menjawab secara negatif. Tetapi beliau, menurut Prof. Rahman
Shaari dalam syarahannya, adalah di antara pensajak mantap yang berjaya
menghasilkan beberapa buah sajak “mantap”. Jadi apanya yang mantap jika
beliau tidak boleh dianggap seorang “pemikir”? Atau memang
sifat “penyair” tidak perlu berfikir dan tidak wajar dinilai dari segi
pemikirannya? Semua persoalan ini perlu dijawab secara akademik. Tidak
cukup dengan hanya menggunakan retorik peragaan seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam syarahan perdananya. Sebenarnya
huraian Prof. Ali Ahmad dalam dua buah bukunya itu jauh lebih
sistematik dan lebih akademik dan lebih bermanfaat daripada syarahan
perdana Prof. Rahman Shaari yang salah fokus itu.
Matlamat yang ditetapkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bahawa “tujuan semua (huruf tebal
ditambah) kajian ialah menemukan suatu teori untuk bidangnya” saya kira
tepat dan wajar dijadikan panduan. Saya pasti Prof. Rahman Shaari
membaca syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan bertemu
dengan petua itu, dan saya kira beliau tidak menolaknya. Beliau
mempunyai peluang lagi untuk mengemukakan syarahan perdana beliau lagi.
Saya dimaklumkan, di Papua New Guinea, seorang profesor boleh
mengemukakan tiga syarahan perdana, di universiti yang berlainan,
sekiranya beliau dijemput untuk mengemukakan penemuan terbaru dalam
bidang penyelidikannya. Saya fikir universiti di Malaysia patut
mencontohi Papua New Guinea. Saya sendiri pernah bertemu dengan seorang
tokoh dari Papua New Guinea di Washington 1994 ketika menghadiri seminar
berkenaan peranan etika dalam pentadbiran awam. Beliau mengepalai satu
organisasi penting, “The Ombudsman Institute/ Organization” (nama yang
tepat sudah lupa). Sebarang jawatan politik di negara itu
perlu mendapat pengesahan dari jabatan ini bahawa tokoh politik itu
tidak rasuah; hanya setelah disahkan barulah beliau boleh dilantik
sebagai seorang Perdana Menteri. Tidakkah ini baik? Malaysia pun
sepatutnya mencontohi Papua New Guinea dalam aspek rasuah ini; dan tentu
saja dalam dunia akademik pula untuk memberi peluang kepada sesiapa
juga profesor yang gagal dalam syarahan perdana pertamanya boleh
mengemukakannya sekali atau dua kali lagi di universiti yang berlainan
dalam bidang yang sama dengan tajuk yang berbeza. Jika pelajar
dibenarkan mengulang sekiranya gagal dalam peperiksaan akhir, tidaklah
mengaibkan sekiranya seorang profesor pun dibenarkan untuk mengulang
memberikan syarahan perdananya sekali lagi untuk memastikan kualiti
penyelidikannya tidak memalukan universiti. Orang seperti
saya, yang tidak berpeluang memberikan syarahan perdana, tidak perlu
mengulang, hanya perlu menulis dan menerbitkan tulisan yang tidak
memalukan dunia akademik dan layak diterima sebagai sumbangan kecil
dalam dunia ilmu yang luas ini. Nampknya saya agak berjaya, walaupun dari segi akademik tak ada glamor langsung!
Jika
kita terima petua Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, dan tak ada sebab kita
tidak boleh menerimanya, maka apakah “teori” yang ditemui oleh Prof.
Ungku Maimunah dalam syarahan perdananya? “Teori” itu,
jika kita mahu menamakannya sebuah teori, mempunyai manfaat besar kepada
para sasterawan dan pengkritik sastera, termasuk sarjana sastera. Prof.
Ungku Maimunah telah menunjukkan tanpa ragu-ragu, dan begitu
meyakinkan, bahawa cerita memainkan peranan utama dalam sastera dan
kritikan sastera di Malaysia. Buktinya ialah dua syarahan perdana yang
dibicarakan di sini, yang totok berkisar soal cerita dan bagaimana
cerita itu disampaikan. Teknik yang dipakai oleh Prof. Dr. Muhammad Hj.
Salleh dan Prof. Rahman Shaari ialah teknik retorik peragaan. Dalam
tangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh retorik peragaan itu dilakukan
dengan memberi senarai teori Barat dan nama-nama teoris (istilah Prof.
Siti Hawa Salleh); dalam tangan Prof. Rahman Shaari pula retorik
peragaan itu disampaikan dalam bentuk senarai jenis-jenis sajak
“mantap”, tanpa analisis yang meyakinkan. Dalam tangan Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh, senarai “konsep keindahan” terlalu lewat sampai
diujung syarahan, sehingga tinggal bisu tidak sempat berbicara dengan
fasih dan lancar mengenai aspek keindahan dalam sastera tradisional
Melayu. Dengan itu “teori” Puitika Sastera Melayu tinggal
tergantung, hingga kini belum tahu bila akan diturunkan dari tali
gantung supaya dapat digunakan. Mujurlah dalam syarahan perdananya Prof. Ungku Maimunah berjaya merumuskan apa yang saya namakan, buat sementara waktu, sebagai Teori Beban Akademik (atau mungkin juga boleh dipanggil Teori Keaiban Intelektual)
dalam kesusasteraan Melayu moden. Nama ini tidak diberikan oleh Prof.
Ungku Maimunah, tetapi diberikan oleh saya untuk dipakai oleh para
sasterawan dan pengkritik serta sarjana sastera dalam pembicaraan mereka
tentang sastera Melayu moden. Dengan adanya Teori Beban
Akademik ini, saya kira para sasterawan dan sarjana sastera akan lebih
mudah memahami mengapa terdapat perbezaan besar antara konsep persuratan
yang melahirkan karya persuratan dan konsep kesusasteraan yang
melahirkan karya sastera, yang termasuk di dalamnya karya lucah, picisan
dan erotik seperti novel TIVI oleh Shahnon Ahmad, seorang sasterawan negara.
Jika
kita meneliti syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, kita
pasti akan bersetuju dengan kesimpulan Prof. Siti Hawa Salleh ini:
“Muhammad, yang pada satu ketika dituduh ‘tersungkur di kaki Sejarah Melayu’
ini, seperti seorang tunanetra yang berada di taman pada malam yang
gelap gelita, tersembam pula di lereng dunia sastera tradisional. Tidak
berdaya lagi beliau membezakan melur biasa dengan melur susun, mawar
kecil dengan mawar besar, mawar merah dengan mawar putih, dan kenanga
dengan cempaka. Kita dibawa sekejap ke Barat, sekejap ke timur, dilayur
dengan berbagai-bagai nama teori dan teoris sambil diberitahu, betapa
amat rumit masalah sastera Melayu tradisional itu. Dan apa yang
dilakukannya tidaklah lebih daripada mengujar sahaja.” (Budi Kencana, hal. 255).
Tepat dan jitu sekali kesimpulan Prof. Siti Hawa Salleh ini: “Apa yang dilakukannya tidaklah lebih daripada mengujar sahaja”. Inilah yang dimaksudkan dengan “idle talk”
oleh Martin Heidegger; yakni omongan dan ocehan yang tidak menyerlahkan
pemikiran dan analisis, tidak meneroka pemikiran baru yang diberi
huraian menarik untuk membuat kita lebih memahami persoalan yang
dikemukakan. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak mampu
melakukannya, oleh itu beliau mengambil jalan mudah dengan bercerita
tentang sastera tradisional, terutama sekali tentang sastera lisan,
tetapi memakai istilah moden seperti teks, khalayak, genre, dan
sebagainya, yang kesudahannya tenggelam dalam retorik peragaan yang dipanggil idle talk
oleh Heidegger, tanpa menghasilkan sebarang kesimpulan dalam bentuk
teori. Padahal itulah yang dicarinya: “Tujuan terakhir semua kajian
ialah menemukan suatu teori untuk bidangnya, yang dalam liputan dan
perbincangannya dapat menerangkan, sekurang-kurangnya dengan wawasan
terbaru, makna bidang itu sendiri” (hal. 10). Apakah yang
beliau capai? Hanya sederet senarai tentang ciri-ciri kesusasteraan
Melayu tradisional, yang disenaraikannya di bawah tajuk, “Konsep
Keindahan” (hal. 34-38), tanpa sebarang analisis. Padahal itulah yang
kita tunggu-tunggu. Syarahan perdana ini tidak lebih
daripada retorik peragaan semata-mata, seperti yang disebut oleh Prof.
Siti Hawa Salleh dalam kata-katanya: “Kita dibawa sekejap ke Barat,
sekejap ke timur, dilayur dengan berbagai-bagai nama teori dan teoris
sambil diberitahu, betapa amat rumit masalah sastera Melayu tradisional itu.” Retorik peragaan ini sudah menjadi trade mark Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Dalam tahun 1984, beliau memberi petua bagaimana menulis kritikan sastera yang bermutu dengan
memberi petua yang memang bernas, tetapi tidak diikutinya. Prinsip
penting kritikan, menurut beliau, ialah “menimbulkan apa yang sebenarnya
terdapat dalam karya yang dikajinya”. Untuk melakukannya, seorang
pengkritik (juga seorang penyelidik) mestilah menyediakan “langkah
kaedah” (istilah beliau sendiri) yang tepat dan sesuai untuk mencapai
matlamat kritikan atau penyelidikan itu. (Lihat tulisan beliau dalam Berita Minggu, 25 Disember 1983 dan 1 Januari 1984; dan ulasan saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, hal. 327-331). Dalam
syarahan perdana beliau, kita tidak melihat adanya usaha menyediakan
“langkah kaedah” yang dipetuakannya itu, kerana beliau terlalu terikat
kepada retorik peragaan yang dipaparnya dalam bentuk latar belakang yang
terlampau rimbun dengan cerita yang dimaksudkan oleh Prof. Siti Hawa
Salleh tadi, memakan halman yang begitu banyak, dari permulaan syarahan,
hal. 10 hingga hal. 34. Kita tidak boleh menerima latar belakang yang
begitu panjang sebagai sejenis “langkah kaedah” yang beliau maksudkan
dan yang kita fahami, kerana apa yang dilakukannya hanyalah satu
pemerian biasa dalam konteks retorik peragaan tadi. Kita tidak dapat
menerimanya sebagai langkah kaedah kerana pada halaman 34 dengan
tiba-tiba beliau melompat kepada tajuk “Konsep Keindahan” (dalam sastera
tradisional?) yang sekali lagi hanya berupa “kesimpulan” yang
tergantung daripada retorik peragaan yang panjang itu. Di sini tidak ada
analisis, penghujahan dan pembuktian yang kita tunggu-tunggu, untuk
melihat dengan konkrit apakah sebenarnya yang dikatakan “puitika sastera
Melayu” (tradisional?) itu. Senarai yang beliau berikan tinggal sebagai
satu senarai yang bisu, yang terasing daripada pendahuluan panjang
dalam retorik peragaan yang merayau-rayau dari Barat ke timur untuk
akhirnya tenggelam di Selat Melaka, dihanyutkan ke Laut China Selatan!
(Ulasan saya seterusnya boleh dibaca dalam buku Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu.)
Dalam
dua syarahan perdana ini kita lihat bagaimana beban intelektual, beban
akademik, dan beban moral saling membebankan satu sama lain untuk
melahirkan syarahan perdana yang kualitinya sebagai hasil penyelidikan
mendalam amat diragui. Kedua-dua profesor ini hanya
berjaya memperagakan retorik peragaan yang berlebihan, tetapi gagal
memberikan analisis yang mendalam dalam bidang atau tajuk yang mereka
pilih. Timbul persoalan: Apakah yang menghalang
tercapainya kualiti yang kita harapkan yang sepatutnya ada di dalam
syarahan perdana? Halangan pertama ialah dari segi konsep ilmu yang
keliru. Akibatnya, kedua-dua profesor ini tidak bertemu subjek yang
sepatutnya menjadi tumpuannya. Dalam kes Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh,
beliau hanyut dalam retorik peragaan kerana terlalu terpengaruh dan
bergantung sepenuhnya kepada teori sastera Barat untuk membicarakan
sastera tradisional Melayu. Beliau tidak bertemu dengan subjeknya, yang
jauh lebih cerdik daripada beliau sendiri. Sekiranya beliau mempunyai
konsep ilmu yang mantap, yang tidak keliru, beliau tidak akan hanyut
begitu jauh hingga terantuk teruk ke era animisme, kemudian terpelantun
ke era pascamodernisme tentang makna dan peranan pengarang, dan di
sinilah beliau terpinga-pinga tidak dapat memahami apakah yang ingin
dicarinya, lalu dengan tiba-tiba seolah-olah terkejut dari mimpi aneh,
beliau memberikan “kesimpulan” yang bukan kesimpulan, kerana tergantung
di pancang “langkah kaedah” yang begitu janggal dan longgar, lantas
terlucut dari tali akademik lalu lemas dalam retorik peragaan tanpa
memberikan kita makna yang jelas apakah sebenarnya “puitika sastera
Melayu” yang dicarinya itu. Kelemahan ini amat ketara
apabila apa yang dinamakan oleh beliau “teori” puitika sastera Melayu
tidak dapat digunakan untuk menganalisis karya sastera. Yang
diberikan oleh beliau bukannya “teori” sastera, tetapi hanya sebuah
penglipur lara akademik, seperti kesimpulan Prof. Siti Hawa Salleh.
Dalam
kes Prof. Rahman Shaari pula, beliau bertindak sebagai seorang pelawat
Muzium Seni atau Art Gallery, yang ingin melihat lukisan cantik, lalu
memilih beberapa buah lukisan yang disukainya, lantas memberi
pendapatnya yang amat subjektif dengan berkata, “Wah, lukisan ini
cantik. Lukisan ini mantap. Saya suka lukisan ini!” Itulah
yang dilakukannya terhadap sajak-sajak yang menjadi pilihannya, yang
dikelompokkannya dalam kategori yang tidak semestinya mencerminkan sifat
dan ciri sajak tersebut. Sebagai contoh, sajak “yang menggoncang
fikiran” (sebagai satu kategori) tidak dapat diterima dalam konteks
kategori yang dinamakannya: Sajak “Pulang Si Tenggang” tidak
menggoncangkan fikiran, sebaliknya hanya menimbulkan kontroversi yang
tidak perlu akibat menjadikan Si Tenggang sebagai seorang wira. Inilah
sikap seorang romantis dalam pengertianya yang terdapat dalam sastera
Barat, yang ingin mencari kelainan semata-mata untuk mencari kelainan,
tetapi tidak memberi makna yang sepatutnya. Apakah makna yang sepatutnya
itu? Bagi masyarakat Melayu, Si Tenggang adalah simbol perderhakaan
seorang anak terhadap ibunya, tidak boleh diterima sebagai wira dalam
betuk yang bagaimana sekali pun kerana perbuatan itu dianggap kurang
ajar, biadab dan dengan sengaja menentang nilai-nilai yang telah
diterima sebagai baku dalam kebudayaan Melayu. Tetapi persis itulah yang
ingin dilontarkan oleh Muhammad Hj. Salleh: dengan melontar nilai
tamadun yang sudah baku itu keluar dari sifat asasinya sambil
melontarkan nilai songsang masyarakat moden yang individualistik, yang
sumbernya tulen dari niai-nilai Barat yang asing itu. Pembaca
yang tidak melihat sajak ini dalam konteks yang sepatutnya seperti yang
dijelaskan di sini, akan memuji sajak ini bukan kerana keindahannya,
tetapi kerana “kelainannya” semata-mata. Kelainan itu ditafsirkan dalam
konteks “intelektualisme” palsu berasaskan kemahuan peribadi penulis,
bukan gambaran sebenar nilai-nilai yang sudah baku dalam
kebudayaan yang diwarisi oleh si pensajak. Untuk menguji kebenaran
kesimpulan ini, kita boleh mengemukakan soalan ini, dan cuba menjawabnya
dengan jujur: Adakah kita berasa bangga menerima sajak/karya seperti
ini? Jawapannya terpulang kepada kejujuran anda sendiri, dan sejauh mana
anda mengetahui nilai-nilai budaya anda sendiri, dengan itu sejauh mana
pula anda sudah terpesong atau masih menerima nilai-nilai tamadun anda
sendiri.
Dalam
budaya akademik di Malaysia, kita mempunyai dua istilah untuk syarahan
ilmiah seseorang profesor: Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas
menggunakan istilah “syarahan pengukuhan”, manakala selepas beliau
istilahnya “syarahan perdana”. Dari segi ilmu, istilah yang digunakan
oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itulah yang tepat, kerana dalam
syarahan itu sang profesor mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang
ahli ilmu, seorang ahli akademik, dengan mengemukakan hasil pemikiran
dan penyelidikan beliau yang terbaik dalam bidangnya, yang boleh
dijadikan ukuran dalam pencapaian ilmiahnya dan juga dalam pencapaian
ilmiah dalam bidangnya. Tetapi tidak demikian halnya dengan istilah “syarahan perdana”, yang tidak semestinya mencirikan pencapaian ilmiah yang tinggi dan
unggul seperti dalam konteks “syarahan pengukuhan”. Sering kali
syarahan perdana itu lebih tertumpu untuk bercerita, dalam bentuk
tersendiri yang dipilih oleh ahli akademik yang mengucapkannya.
Sebaliknya, dalam syarahan pengukuhan seperti yang diucapkan oleh Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas, amat jelas di situ beliau mengemukakan wacana
pemikiran beliau yang lengkap dengan penghujahan yang kuat, seperti
terbukti tiadanya sebarang cabaran ilmiah untuk menolak kesimpulan
beliau dalam syarahan pengukuhan itu. Di sini sekali lagi huraian yang
diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam syarahan perdana beliau (yang sebenarnya lebih tepat dipanggil syarahan pengukuhan)
tentang cerita dan wacana dalam pemikiran sastera Melayu dapat membantu
kita melihat sifat hakiki syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj.
Salleh dan Prof. Rahman Shaari yang hanya bercerita, dengan pretensi
cerita itu bersifat akademik; samalah seperti para sasterawan mendakwa
mereka juga menerapkan ilmu dalam karya mereka kerana kesusasteraan,
kata mereka, memang bercerita untuk menyampaikan ilmu. Tetapi anggapan
ini ditolak bulat-bulat oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang
menegaskan dalam laporan mereka bahawa karya sastera tidak perlukan
ilmu. Lebih penting lagi, Prof. Rahman Shaari sendiri menerima
kesimpulan itu sebagai sifat hakiki karya sastera. Dalam kata-kata
beliau sendiri: “Dalam karya kesusasteraan, jika ada pendidikan atau
ilmu, itu bukanlah syarat. Karya kesusasteraan yang menekankan ilmu
secara yang ketara dianggap karya didaktik.” (Lihat tulisan beliau,
“Dorongan dalaman dan karya”, Sinar Harian, 5 Jun
2011). Tidak hairan beliau menerima dengan baik, dengan pujian,
sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh seperti “Pulang Si Tenggang”
yang bertentangan dengan budaya Melayu baku yang menolak sikap angkuh
dalam sajak tersebut; malah Prof. Rahman Shaari tidak keberatan juga
menerima sajak “Baris-baris dari Muzium Goethe” yang antara lain
mengagumi kepintaran penipuan Iblis dalam karya Goethe yang terkenal, Faust.
Jika kita boleh terima kategori sajak yang mengggocangkan fikiran, maka
nyatalah sajak ini memang menggoncangkan iman penulisnya yang berkata:
“Dan memihak pada pintar Mephistopheles”! Apakah maksud Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh dalam baris sajaknya ini? Prof. Rahman Shaari
ternyata tidak membaca sajak ini, oleh itu tidak menyebutnya sebagai
sajak yang mantap. Sekiranya beliau membacanya, apakah yang membuatnya
tidak peka kepada baris yang benar-benar “menggoncangkan” ini? Beliau
tidak sedar tentang perkara ini kerana faham sastera yang dianutnya
tidak cukup sensitif untuk mengesan kesongsangan baris yang pelik ini.
Beban
intelektual, beban akademik, dan beban moral yang paling berat dan
paling besar ialah konsep kesusasteraan itu sendiri, seperti yang
ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, dan
diperkukuh oleh dua orang profesor dalam syarahan perdana mereka yang
kita bicarakan di sini. Penilaian kembali beberapa karya para sasterawan
negara membuktikan penegasan Panel Anugerah Sastera Negara adalah betul
dari segi beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang
terdapat dalam kesusasteraan Melayu. Tidak seorang pun di antara para
sasterawan negara ini muncul sebagai penulis yang tidak keliru konsep
ilmunya dan jelas pula konsep seninya. Semua mereka terbelenggu oleh
pengaruh teori dan nilai-nilai Barat dalam memahami konsep sastera yang
menjadi panduan mereka. Dari segi itu mereka masih terjajah dan agak
selesa dalam penjajahan pemikiran dari Barat itu. Dalam konteks inilah
kita boleh berkata bahawa Panel Anugerah Sastera Negara dan para
sasterawan yang mereka nilai dan pilih sebagai sasterawan negara akan
bisu tanpa teori sastera Barat; kesimpulan ini juga boleh ditujukan
kepada sebahagian besar sarjana sastera sendiri. Walaupun sering kali
disebut adanya usaha menghasilkan apa yang dinamakan “sastera Islam”
atau pendekatan kritikan berunsur Islam, namun usaha itu masih dilihat
dalam konteks teori sastera Barat. (Rujuk syarahan perdana
Prof. Ungku Maimunah yang membincangkan isu ini dalam pelbagai aspek
dan konteks.) Konsep sastera ini tidak menjurus kepada kebaikan, terlalu
pekat dengan emosi dan kemahuan untuk berlebihan dalam mengemukakan
cerita (contoh: Ranjau Sepanjang Jalan, Salina, dalam sajak “Pulang Si Tenggang” etc); tidak
mendorong penulis dan pembaca ke arah kecerdikan kerana yang diutamakan
bukan wacana, tetapi cerita sekadar untuk bercerita, apatah lagi
apabila khutbah dikutuk dan diremehkan kerana kononnya sastera harus
bebas lepas dari sebarang unsur didaktik untuk dinamakan sastera; dari
segi moral sudah jelas, apabila perbezaan antara kebenaran
dan keindahan tidak ditonjolkan; dalam persuratan Islam keindahan itu
berkait rapat dengan kebenaran, dan sesuatu yang benar itu tetap indah
kerana dapat meningkatkan kesedaran manusia mengenal dirinya, bukan
menjadikannya lebih jauh tersasar seperti yang berlaku dalam sastera yang menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana sastera di Malaysia. Contoh
betapa jauhnya satu penilaian tersasar dari hakikat sebenar karya,
terdapat dalam penilaian seorang sarjana, murid Shahnon Ahmad, yang secara mengaibkan memuji karya Shahnon yang picisan, erotik dan kaya adegan seks, TIVI, sebagai sebuah karya yang berciri “sufistik” yang indah! Karya
ini telah dianalisis dan diberi penilaian yang objektif oleh Prof.
Madya Mohd. Zariat Abdul Rani dalam sebuah makalahnya yang diterbitkan
dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (lihat hal. 354-379). Supaya kekeliruan yang telah mencapai taraf tidak
siuman ini dibendung dengan tegas, maka konsep persuratan dan
kesusasteraan harus dibezakan dan dihurai dengan mendalam. Perbezaan
antara persuratan dan kesusasteraan adalah perbezaan yang asasi, yang
perlu difahami oleh para penulis dan sarjana supaya beban intelektual,
beban akademik, dan beban moral yang mereka tanggung pada waktu ini
boleh dilepaskan dan mereka akan menjadi penulis yang bebas dari ikatan
ketiga-tiga beban yang disebutkan itu, supaya dengan itu mereka
betul-betul bersedia untuk menulis dan berhujah dalam konteks taklif,
yang di dalamnya tersembunyi tiga rahsia taklif, iaitu ilmu pengetahuan,
keadilan, dan usaha ikhtiar. Rahsia ketiga, usaha ikhtiar, merujuk
kepada kemampuan membuat pilihan terbaik dan tepat berasaskan ilmu yang
benar, dengan itu barulah para penulis dan sarjana ini dapat berlaku
adil dalam usaha mereka. Pengertian yang mendalam tentang
hakikat taklif itulah yang akan membebaskan mereka daripada beban
intelektual, beban akademik, dan beban moral yang kini membelenggu
mereka. Tepat sekali peringatan Prof. Ungku Maimunah:
“Dalam konteks ini warisan yang mengajak kita menjulang ilmu sewajarnya
dipelihara dan dibudayakan dengan penuh bangga, bukan diremehkan dengan
nada sinis atau jenaka, khususnya apabila tidak berupaya untuk
menyanggahnya.” (Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu, hal. 67).
Wallahu a’lam.
Mohd. Affandi Hassan, 1/11/2011.