Friday, October 29, 2010

Mengapa Mesti Anti-Khutbah?


Bila orang bercakap tentang gagasan Persuratan Baru, yang dia nampak “khutbah”. PB julang khutbah, tak suka cerita. Mana boleh? Soal mereka marah dan kesal. Kata saya: Mana boleh begitu? Yang jadi masalah di sini bukan “khutbah” dalam karya kreatif, tetapi bagaimana khutbah itu dihidangkan. Memang betul, jika khutbah itu ditulis oleh seorang sasterawan yang tolol dan jahil, saya pun tak mahu baca. Tapi bila ditulis oleh seorang pengarang handalan yang betul-betul berbakat besar dan berilmu pula, seperti yang ditulis oleh Iqbal dalam syair-syairnya, tentu seronok membacanya. Malah karya itu akan jadi sia-sia jika ditulis main-main macam sasterawan negara menulis novel-novel mereka atau sajak-sajak mereka. Khutbah dalam karya kreatif  yang ditulis oleh pengarang genius adalah mutiara kata-kata yang disusun indah untuk dinikmati secara intelektual dan keindahan seninya. Jika anda belajar sastera Inggeris, baca Shakespeare, anda akan temui beratus jenis khutbah diucapkan oleh watak-watak drama karya Shakespeare. Mahu saya bagi contoh? Tak perlu. Anda sendirilah ambil buku drama itu, baca sendiri; atau tonton filem-filem yang terhasil daripada drama-drama itu. Masa saya belajar dulu, saya kena hafal 10 khutbah Shakespeare, paling kurang. Bila ada orang sibuk-sibuk bercakap fasal tak perlunya khutbah, sudah jelas dia tak baca buku sastera dunia yang baik-baik. Dia baca cerita pendek picisan saja, dan berbekalkan pengetahuan picisannya, dia kritik khutbah berasaskan kejahilannya dan cita rasa sasteranya yang dangkal dan cetek serta “kosong”.  Jadi masalahnya bukan khutbah, tapi kefahaman yang cetek dan pengalaman yang sempit mengenai khutbah. Jangan samakan khutbah dengan merepek, dengan omelan kosong orang gila (kadang-kadang orang gila pun siuman dalam caranya sendiri), atau seranah panjang yang banyak terdapat dalam novel-novel Melayu. Orang yang anti-khutbah itu tidak tahu apa-apa tentang seni mengarang para genius dunia yang melahirkan karya agung masing-masing. Ada orang sebut nama Chekhov. Kalau dia betul-betul baca Chekhov, dia pasti akan temui macam-macam jenis khutbah dalam karya Chekhov. Tapi kerana Chekhov seorang genius, khutbahnya itu khutbah seorang genius, bukan macam khutbah sasterawan negara atau sasterawan Melayu. Jadi jangan takutkan khutbah, tapi belajar dari pengarang besar bagaimana hendak berkhutbah secara kreatif.  Jika anda mahu ukuran betapa hebatnya karya seseorang pengarang genius, lihat bagaimana dia menghidangkan khutbahnya. Khutbah menjadi salah satu ukuran kehebatan pengarang genius itu. Sekiranya anda tidak boleh faham kenyataan ini, masih ragu-ragu, bacalah sekurang-kurangnya 100 buah karya besar dunia yang berbentuk cerita. Kemudian tampil dengan berani menulis dengan berisi (bukan ocehan kosong) bagaimana khutbah itu memperlihatkan ketangkasan berfikir seorang pengarang besar. Silakanlah memulainya dari sekarang.

Mohd. Affandi Hassan,
29/10/2010.

No comments:

Post a Comment