Saturday, October 30, 2010

Siapakah Makhluk Yang Anti-Khutbah Itu?


Makhluk yang anti-khutbah itu sudah pasti orang yang tidak sembahyang Jumaat. Khutbah itu wajib, tidak sah Jumaat tanpa khutbah. Jika anda sembahyang Jumaat, dan anti-khutbah, sudah sah anda ada masalah kongnitif yang teruk. Belum gila, barangkali, belum hilang akal, tetapi sudah sah sasau mental. Jika anda penulis, seorang sasterawan terkenal pula, seorang pensajak, dan anda sembahyang Jumaat setiap minggu, dan masih anti-khutbah, apakah yang tersembunyi dalam hati nurani anda? Jika hati nurani anda ibarat kolam yang bersih bersinar airnya, tidak mungkin anda anti-khutbah. Apatah lagi jika anda sasterawan dan bangga jadi sasterawan, atau seorang pensajak. Anda akan dapati tidak seorang pun pensajak,  baik yang menulis sajak bermutu mahu pun yang hanya mencakar sajak mengarut yang lahir dari hawa nafsu ingin menunjuk-nunjuk kepandiran diri dan tidak sedar sedang memamerkan kepandiran itu, maka anda akan dapati semua sajak adalah khutbah. Baca sajak sasterawan negara, sajak-sajak pensajak terkenal di Malaysia, atau ambil saja koleksi sajak beratus orang pensajak (contoh: Puisi Baharu Melayu 1961-1989 terbitan DBP), atau novel-novel sasterawan negara,  anda akan temui beratus ribu khutbah. Ada khutbah yang ditulis dengan cerdik dan sedap dibaca; ada yang ditulis dengan bodoh dan membuat kita meluat membacanya. 

Jika anda baca laporan Panel Anugerah Sastera Negara, anda akan dapati mereka adalah kumpulan yang paling anti-khutbah. Tidak saja anti-khutbah, tetapi mengejek dan merendahkan sesiapa juga yang berkhutbah dalam  karya mereka. Perhatikan betul-betul ... Tidakkah mereka memilih karya yang penuh tepu dengan khutbah? Mereka balut hujah mereka dengan istilah “karya intelektual”,  karya berfikiran tinggi-tinggi, dan macam-macam lagi pujian. Tidakkah itu semua terdapat dalam khutbah yang dinamakan sajak dan novel atau cerita pendek? Jika anda betul-betul yakin bahawa anda seorang yang cerdik, tajam pemerhatiannya, tunjukkan sebuah karya bermutu dalam bahasa Melayu yang tidak ada khutbah. Saya mahu lihat, kerana saya mahu tengok apa makna khutbah yang bermukim dalam kepala anda.  Jika anda jujur, anda akan dapati para sastrawan negara adalah penulis khutbah yang paling bercelaru dan keliru, sama kelirunya dengan penilai mereka. Ini cabaran saya dan saya mahu cabaran ini dijawab secara ilmiah jika anda juga termasuk golongan anti-khutbah dan tidak suka dengar khutbah oleh khatib setiap kali pergi sembahyang Jumaat.

Melalui laporan Panel Anugerah Sastera Negara, sudah jelas kumpulan penilai ini tidak sembahyang Jumaat kerana mengutuk khutbah dalam karya kreatif; atau sembahyang Jumaat tetapi tidur ketika khatib sedang berkhutbah (tanya ustaz: sembahyang Jumaat begini batal atau sah? Yang pasti, orang-orang begini menghina Jumaat dan khatib yang sedang membaca khutbah; lebih tegas, mereka menghina masjid. Fikirkan baik-baik, jika dapat dengan fikiran yang mendalam, apatah lagi jika anda gelar diri anda penulis sufi!!).  Mengapa Panel Anugerah Sastera Negara anti-khutbah? Banyak sebab. Pertama, sudah jelas mereka dari kumpulan yang sangat angkuh, yang mahu orang dengar dan terima pendapat mereka, tetapi tidak bersedia mendengar dan menerima pendapat orang lain kerana  bencikan khutbah. Padahal mereka sendiri sedang berkhutbah ketika menjeritkan pandangan anti-khutbah mereka.  Kedua, mereka tidak membaca dengan teliti karya sasterawan negara yang mereka nilai tidak sukakan khutbah itu. Tunjukkan kepada saya, jika anda mahu, siapakah di antara sasterawan negara yang tidak berkhutbah? Siapakah di antara mereka yang khutbahnya sangat buruk dan mengelirukan pembaca? Siapa pula yang bagus khutbahnya?  Jika anda tidak dapat contohnya, sudah pasti anda buta nurani, buta akal, dan sedang menghadapi masalah kognitif yang amat teruk. Inilah yang terjadi kepada Panel Anugerah Sastera Negara. Mereka anti-khutbah, padahal pada waktu yang sama mereka sedang berkhutbah supaya sasterawan jangan tulis karya yang ada khutbah. Tak baik. Tak bermutu. Siapakah yang kata begitu? Dari tamadun mana mereka ambil pendapat itu? Kata beberapa orang di antara mereka, persuratan Melayu mengutamakan nasihat dan pengajaran. Pendeknya, kuat sekali unsur didaktiknya. Kalau begitu, mengapa pula untuk sastera moden tidak boleh diteruskan saja tradisi yang baik itu? Mengapa mesti anti-khutbah? Jangan-jangan makhluk ini anti-tradisi bangsa sendiri, anggap diri mereka sajalah yang bagus dan perlu diikut. Sudah sah mereka anti-ilmu. Oleh itu, apakah jenis ilmu yang mereka bawa dan sodorkan kepada pembaca?  

Jika anda baca analisis Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang kehilangan adab  di kalangan orang Islam, yang membuat mereka biadap dan keliru kerana konsep ilmu mereka keliru, yang berakhir dengan lahirnya pemimpin palsu dalam semua bidang kehidupan, baik di kalangan sasterawan, mahu pun di kalangan sarjana dan pengkritik sastera, maka anda akan rasa meluat betul membaca  tulisan kumpulan anti-khutbah ini. Anda akan dapati, kumpulan anti-khutbah ini adalah kumpulan yang paling tidak toleran, yang sangat angkuh, yang berasa diri mereka paling pandai di dunia. Tentulah sangat menyedihkan apabila nilai sastera Melayu ditentukan oleh golongan ini. Tetapi itulah yang terjadi, jika anda tidak buta huruf dan boleh membaca dengan baik laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Jika anda berasa mereka ini tidak berapa siuman, tidak ada sebab untuk anda ikut tidak siuman seperti mereka.

Mohd. Affandi Hassan.
30 Okbober, 2010.

No comments:

Post a Comment