Gagasan PB haruslah dilihat sebagai satu sistem yang menyediakan kaedah terbaik untuk membaca, menganalisis dan menilai karya kreatif; di samping menyarankan beberapa tindakan kreatif yang perlu dilakukan dalam penulisan kreatif, dengan saranan utama yang dipanggil “stylization of ideas” atau kaedah siratan makna yang diasaskan kepada konsep ihsan dalam estetika. Penjelasan tentang perkara ini telah dibuat dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, dan juga dalam Kuliah MASTERA Prof Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang diterbitkan dengan judul, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Dari segi bacaan, Prof. Ungku Maimunah memperkenalkan konsep “mod bacaan intelektual” yang disediakan oleh gagasan PB. Berasaskan mod bacaan intelektual ini, Prof. Ungku Maimunah telah dapat menyerlahkan kualiti sebenar novel Salam Maria; manakala Prof. Madya Dr. Zariat pula telah membuktikan mutu sebenar karya Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Baharu, yang sekian lama disalah tafsir oleh beberapa orang sarjana sastera. Oleh sebab Dr. Fatimah Busu, penulis Salam Maria, tidak memahami gagasan PB dan tidak melihatnya sebagai satu sistem, maka reaksi beliau terhadap analisis Prof. Ungku Maimunah sangat violent (sengaja digunakan perkataan Inggeris untuk menekankan makna perilaku Dr. Fatimah Busu terhadap Prof. Ungku Maimunah). Para penyokong Dr. Fatimah sendiri, yang tidak melihat (malah yang tidak tahu menahu) gagasan PB sebagai satu sistem, menyebelahi penulis novel itu, tidak silu-silu lagi memperagakan “kejahilan” mereka untuk mempertahankan novel yang menurut Dr. Fatimah Busu tidak boleh sekali-kali dinilai berasaskan gagasan PB. Dr. Fatimah Busu ingin melihat novelnya dinilai dari sistem pemikiran Barat, dengan menggunakan kaedah dan “teori” Barat. Beliau mengaku novelnya sebuah novel Islam; tetapi hanya sesuai dinilai dari perspektif Barat! (Hal ini tidak pelik, kerana itulah sikap sasterawan Melayu pada umumnya; yang dibantu/disokong pula oleh para sarjana yang memang tegar pengamal “teori” Barat.)
Contoh sikap violent Dr. Fatimah Busu ini sangat penting dalam konteks penerimaan gagasan PB di kalangan para sarjana, ahli akademik, dan para sasterawan. Kes Dr. Fatimah Busu menyerlahkan standard sebenar mereka yang menentang gagasan PB, dari segi kewibawaan ilmiah, dan dari segi kejujuran ilmiah. Sekiranya mereka mempunyai kewibawaan ilmiah yang mantap, dengan kejujuran ilmiah yang tidak boleh disyaki sedikit pun, maka tindakan mereka akan lebih siuman dan lebih waspada untuk tidak merendahkan darjat ilmu dan peribadi mereka. Sekurang-kurangnya mereka akan cuba memahami gagasan PB sebagai satu sistem pemikiran, untuk menyerlahkan kewibawaan ilmiah mereka sendiri. Seorang ahli ilmu yang disegani pernah memberi petua: Jika anda tidak mempunyai kualiti dan standard yang wajar dari segi ilmiah, maka anda tidak patut marah-marah jika kualiti anda tidak seperti yang anda sangka, setelah diuji dengan ketat menggunakan standard yang tinggi. Saya fikir petua itu sangat adil dan wajar. Hanya penyokong pandirisme saja yang menentang nasihat itu.
Mohd. Affandi Hassan, 29/9/2010.
No comments:
Post a Comment