Tuesday, September 28, 2010

KEWAJARAN GAGASAN PERSURATAN BARU (Bahagian II)


Kemunculan gagasan PB menawarkan banyak kemungkinan yang selama ini seolah-olah tertutup. Meskipun banyak sekali “teori” sastera dan “teori” kritikan yang diminati oleh sarjana, sasterawan dan ahli akademik, namun semua “teori” itu tidak terbuka untuk menerima hakikat epistemologi Islam yang berasaskan tauhid, yang kemudiannya diturunkan dalam persuratan Melayu melalui konsep taklif. Pemahaman yang mendalam tentang konsep taklif ini akan memberi kemungkinan yang tidak terbatas kepada para penulis, sarjana, dan ahli akademik untuk melihat dunia ilmu dan dunia kreatif yang bebas dari segala kejahatan dan nilai-nilai mungkar yang kini menjadi pegangan para sasterawan, penilai mereka, dan penilaian songsang yang mereka tawarkan kepada masyarakat. Aspek ini telah dianalisis dengan agak mendalam dalam tulisan saya berjudul, “Mengembalikan Peranan Ilmu Yang Benar Dalam Persuratan Melayu”, yang dimuat dalam buku  Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori & Praktik (2010), selenggaraan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. Saya ingin salinkan penutup tulisan itu untuk makluman pembaca:  

“Analisis tentang sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara yang diberikan dalam makalah ini dan dalam tulisan-tulisan Prof. Ungku Maimunah, pada hemat saya, memperlihatkan tiga kesimpulan penting: (1) betapa kukuhnya pengaruh dan nilai-nilai Barat menjadi pegangan dan panduan para penilai sastera dan sasterawan; (2) gagalnya penilaian dan kritikan sastera memberi arah yang betul dalam perkembangan sastera Melayu moden; (3) perlunya kaedah baru untuk menyelamatkan sastera Melayu dari kekeliruan dan kesesatan yang berterusan. Kemunculan Panel Anugerah Sastera Negara selama tiga puluh (30) tahun menjadi bukti yang jelas betapa sistem pemikiran sastera Melayu moden itu dimodelkan sepenuhnya daripada sistem sastera Barat, meskipun kadang-kadang timbul rungutan betapa perlunya sastera Melayu moden itu mempunyai coraknya sendiri. Pada dasarnya orang-orang yang merungut itulah juga yang mempertahankan dengan gigih pengaruh Barat, seperti yang mereka buktikan dalam cara menilai yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. ...” (hal. 369-370).

Kemunculan gagasan PB menimbulkan reaksi panik yang memperjuangkan habis-habisan untuk mengekalkan sistem sastera Barat dan cara penilaiannya, walaupun bertentangan dengan tradisi persuratan Melayu yang berteraskan Islam.  Kata golongan ini, sastera adalah sastera, tidak boleh digugat oleh apa juga faham yang menentang sastera seperti yang diwarisi dari Barat itu. Jika ini berlaku, tamadun Melayu akan  menjadi jumud, tidak akan muncul lagi karya besar dalam sastera Melayu, tidak akan muncul lagi tokoh besar bertaraf antarbangsa seperti A. Samad Said, Muhammad Hj. Salleh, Usman Awang, dan semua sasterawan negara yang sepuluh orang itu. Kata mereka, sastera akan  dipinggirkan, akhirnya hapus, dan orang Melayu akan membawa kembali zaman tanpa tamadun. (Tidak jelas, bilakah zaman itu.) Kini sarjana, ahli akademik dan pengkritik sastera serta sasterawan yang satu ketika dulu menjeritkan supaya dilakukan perubahan paradigma, berjuang habis-habisan untuk meletakkan sistem dan nilai Barat di tempat tertinggi, terus menjadi arus perdana dalam kesusasteraan Melayu moden.  Tindakan reaksioner dan histirikal ini tidak dapat dielakkan, kerana kumpulan ini memang terpisah dan memisahkan diri daripada tamadun persuratan Melayu dan tamadun Islam umumnya, walaupun pengetahuan mereka  tentang tamadun Barat pada umumnya cetek (seperti pernah ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas). Mereka tidak saja menjadi penghalang kepada perubahan yang sedang diusahakan melalui gagasan PB, tetapi juga meneruskan budaya pandirisme dalam kesusasteraan Melayu moden. Mereka adalah golongan bijak pandir yang anti-ilmu, seperti yang ditegaskan di atas.

Mengapa golongan bijak pandir ini akhirnya menentang kemajuan, menentang ilmu yang menjadi teras gagasan PB?  Sehingga ini belum ada jawapan berani yang konkrit daripada mereka, suatu bukti mereka sebenarnya secara ilmiah tidak mempunyai hujah. Ada tidaknya alasan (bukan hujah) yang mereka lontarkan ialah kesimpulan mereka terhadap Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992) yang menurut mereka sebuah buku ilmiah yang tidak ada diplomasi. Jadi mereka gunakan istilah diplomasi untuk menolak buku itu. Mungkin inilah juga pandangan mereka terhadap gagasan PB. Dengan menggunakan diplomasi untuk mengukur bermutu tidaknya sesebuah buku, maka mereka dengan angkuh membina kumpulan bijak pandir dalam sastera Melayu, untuk memastikan pandirisme terus menjadi aliran arus perdana. Dengan itu kumpulan bijak pandir ini menjadi kumpulan yang  terus memperjuangkan nilai-nilai Barat dan kaedah Barat dalam sastera Melayu moden. Oleh itu apa juga saranan mereka betapa perlunya dimulai anjakan paradigma dalam sastera Melayu moden hanyalah omong kosong yang bertujuan untuk mengabui masyarakat, pada hal matlamat mereka ialah untuk meneruskan pandirisme dalam sastera Melayu moden. Mereka tidak mahu menerima persuratan Melayu yang berteraskan Islam, kerana mereka tidak boleh menonjol dalam pembinaan tamadun yang berasaskan ilmu yang benar. Itulah situasi yang ada pada waktu ini, yang harus dihadapi oleh gagasan Persuratan Baru.

Mohd. Affandi Hassan, 28/9/2010.




No comments:

Post a Comment