Thursday, September 30, 2010

KEWAJARAN GAGASAN PERSURATAN BARU (Bahagian IV/Akhir)


Saya telah menulis tiga nota pendek tentang kewajaran gagasan PB khusus untuk menjawab pertanyaan seorang pembaca Anonymous dalam komennya bertarikh 24/9/2010, yang ingin tahu sama ada gagasan PB sesuai digunakan untuk semua janru (istilah Jepun untuk genre) kreatif. Saya harap beliau telah membaca ketiga-tiga nota itu dan mendapat sedikit manfaat daripadanya. Sekiranya beliau ingin membaca pandangan saya dalam bentuk manuskrip, silalah ke DBP (Perpustakaan) untuk melihat makalah saya yang belum diterbitkan, yang antara lain membicarakan sajak-sajak moden menurut gagasan PB. [ Rujuk manuskrip berjudul, “Gagasan Persuratan Baru: Satu Pengenalan” yang berjilid tebal.] Dalam teater, Dr. Faisal Tehrani memberitahu saya beliau telah menulis dan mementaskan sebuah teater berjudul “Kopitiam Ghadir”, yang menurut beliau sebuah “teater PB”. Saya tidak ada kesempatan menonton teater itu, oleh itu saya tidak tahu sejauh mana teater itu boleh dipanggil “teater PB”.  Anonymous bolehlah bertanya Dr. Faisal jika beliau mahu tahu lebih lanjut.

Bagaimana dengan karya Barat dan lain-lain karya asing? Prof. Ungku Maimunah telah menulis sebuah makalah membicarakan karya Naguib Mahfudz, dimuat dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan. Nampaknya boleh dipakai dengan berkesan.  Jika anda memahami dengan mendalam konsep taklif, anda akan dapat membaca semua karya dunia berasaskan gagasan PB dengan melihatnya daripada perspektif taklif. Menurut Shah Wali Allah, taklif mengandungi tiga rahsia: ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar. Jika anda mempunyai pengetahuan (lebih tepat, ilmu yang benar), maka anda dapat menganalisis semua karya dunia daripada perspektif taklif. Semua manusia, percaya atau tidak kepada Allah, mempunyai tiga rahsia taklif itu. Oleh itu jika anda membaca Shakespeare, dan menemui kata hikmat beliau seperti “To be or not to be”, anda akan dapati daripada perspektif taklif, ungkapan yang dibanggakan oleh orang Barat itu tidak bermakna apa-apa. Cara membuat pilihan terbaik, berasaskan ilmu yang benar dan keadilan, telah diajar oleh Allah Ta’ala melalui konsep taklif tadi. Dengan itu bacaan anda akan lebih tepat dan objektif. Dan ucapan yang dikatakan berhikmat itu hanyalah satu ilusi yang palsu, sama seperti Ratu Balqis melihat air di lantai istana Nabi Sulaiman ‘a.s. 

Jika anda faham maksud saya, anda tidak akan terpesona dengan perkara-perkara seperti ini; dengan itu anda boleh membaca karya apa saja, kerana anda berupaya menilainya dengan saksama berasaskan taklif dan meletakkannya pada tempatnya yang sesuai.  Anda boleh menerima kehebatan karya itu, tetapi dalam kesedaran taklif seperti Ratu Balqis yang kini melihat lantai berkilat itu sebagai lantai, bukan sebagai kolam air. Saya harap anda faham maksud saya. Kerana jika anda tidak faham, anda akan terus terpesona dalam kekeliruan anda dan terus menganggap ilusi sebagai realiti. Ahli-ahli sihir Firaun yang handalan itu dapat melihat realiti dari kepalsuan sihirnya dengan serta-merta setelah ular-ular palsu buatan mereka itu ditelan oleh tongkat Nabi Musa ‘a.s. yang menjadi ular yang sebenar dengan kuasa Allah. Jika anda renung peristiwa ini dengan mendalam, dengan bantuan kefahaman yang mendalam pula tentang peristiwa Ratu Balqis, maka anda akan dapat membezakan antara realiti semu (yang palsu) dengan realiti hakiki. Saya fikir para sasterawan kita, sarjana dan ahli akademik kita masih berada pada tealiti semu, dan masih jauh lagi daripada realiti hakiki. Selagi mereka menolak taklif sebagai prinsip yang boleh membawa mereka kepada ilmu yang benar, maka selama itulah mereka akan terus keliru dan terpesona dengan kepalsuan yang diperaga dalam karya-karya yang tidak berasaskan taklif. Mereka akan terus berada dalam dunia ilusi dan khayal.  Oleh sebab Islam telah mengajar kita mengenal realiti hakiki, maka kita harus menolak realiti semu yang palsu ini. Itulah cabaran yang diberikan oleh gagasan Persuratan Baru. Jika cabaran itu disambut, saya yakin anda akan menjadi lebih cerdik, dan dengan senang dapat melihat dan membezakan antara realiti semu (yang antara lain melahirkan pandirisme dalam kegiatan kesusasteraan Melayu) dan realiti hakiki. Anda juga akan faham mengapa perlu dibezakan antara persuratan dan kesusasteraan: yang satu berasaskan ilmu yang benar; manakala yang satu lagi berasaskan khayalan dan emosi berasaskan hawa nafsu. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,  30/9/2010.


KEWAJARAN GAGASAN PERSURATAN BARU (Bahagian III)


Gagasan PB haruslah dilihat sebagai satu sistem yang menyediakan kaedah terbaik untuk membaca, menganalisis dan menilai karya kreatif; di samping menyarankan beberapa tindakan kreatif yang perlu dilakukan dalam penulisan kreatif, dengan saranan utama yang dipanggil “stylization of ideas” atau kaedah siratan makna yang diasaskan kepada konsep ihsan dalam estetika. Penjelasan tentang perkara ini telah dibuat dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, dan juga dalam Kuliah MASTERA Prof Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang diterbitkan dengan judul, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Dari segi bacaan, Prof. Ungku Maimunah memperkenalkan konsep “mod bacaan intelektual” yang disediakan oleh gagasan PB. Berasaskan mod bacaan intelektual ini, Prof. Ungku Maimunah telah dapat menyerlahkan kualiti sebenar novel Salam Maria; manakala Prof. Madya Dr. Zariat pula telah membuktikan mutu sebenar karya Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Baharu, yang sekian lama disalah tafsir oleh beberapa orang sarjana sastera. Oleh sebab Dr. Fatimah Busu, penulis Salam Maria, tidak memahami gagasan PB dan tidak melihatnya sebagai satu sistem, maka reaksi beliau terhadap analisis Prof. Ungku Maimunah sangat violent (sengaja digunakan perkataan Inggeris untuk menekankan makna perilaku Dr. Fatimah Busu terhadap Prof. Ungku Maimunah).  Para penyokong Dr. Fatimah sendiri, yang tidak melihat (malah yang tidak tahu menahu) gagasan PB sebagai satu sistem, menyebelahi penulis novel itu, tidak silu-silu lagi memperagakan “kejahilan” mereka untuk mempertahankan novel yang menurut Dr. Fatimah Busu tidak boleh sekali-kali dinilai berasaskan gagasan PB.  Dr. Fatimah Busu ingin melihat novelnya dinilai dari sistem pemikiran Barat, dengan menggunakan kaedah dan “teori” Barat. Beliau mengaku novelnya sebuah novel Islam; tetapi hanya sesuai dinilai dari perspektif Barat! (Hal ini tidak pelik, kerana itulah sikap sasterawan Melayu pada umumnya; yang dibantu/disokong pula oleh para sarjana yang memang tegar pengamal “teori” Barat.)

Contoh sikap violent Dr. Fatimah Busu ini sangat penting dalam konteks penerimaan gagasan PB di kalangan para sarjana, ahli akademik, dan para sasterawan. Kes Dr. Fatimah Busu menyerlahkan standard sebenar mereka yang menentang gagasan PB, dari segi kewibawaan ilmiah, dan dari segi kejujuran ilmiah.  Sekiranya mereka mempunyai kewibawaan ilmiah yang mantap, dengan kejujuran ilmiah yang tidak boleh disyaki sedikit pun, maka tindakan mereka akan lebih siuman dan lebih waspada untuk tidak merendahkan darjat ilmu dan peribadi mereka. Sekurang-kurangnya mereka akan cuba memahami gagasan PB sebagai satu sistem pemikiran, untuk menyerlahkan kewibawaan ilmiah mereka sendiri.  Seorang ahli ilmu yang disegani pernah memberi petua: Jika anda tidak mempunyai kualiti dan standard yang wajar dari segi ilmiah, maka anda tidak patut marah-marah jika kualiti anda tidak seperti yang anda sangka, setelah diuji dengan ketat menggunakan standard yang tinggi. Saya fikir petua itu sangat adil dan wajar. Hanya penyokong pandirisme saja yang menentang nasihat itu.

Mohd. Affandi Hassan, 29/9/2010.

Tuesday, September 28, 2010

KEWAJARAN GAGASAN PERSURATAN BARU (Bahagian II)


Kemunculan gagasan PB menawarkan banyak kemungkinan yang selama ini seolah-olah tertutup. Meskipun banyak sekali “teori” sastera dan “teori” kritikan yang diminati oleh sarjana, sasterawan dan ahli akademik, namun semua “teori” itu tidak terbuka untuk menerima hakikat epistemologi Islam yang berasaskan tauhid, yang kemudiannya diturunkan dalam persuratan Melayu melalui konsep taklif. Pemahaman yang mendalam tentang konsep taklif ini akan memberi kemungkinan yang tidak terbatas kepada para penulis, sarjana, dan ahli akademik untuk melihat dunia ilmu dan dunia kreatif yang bebas dari segala kejahatan dan nilai-nilai mungkar yang kini menjadi pegangan para sasterawan, penilai mereka, dan penilaian songsang yang mereka tawarkan kepada masyarakat. Aspek ini telah dianalisis dengan agak mendalam dalam tulisan saya berjudul, “Mengembalikan Peranan Ilmu Yang Benar Dalam Persuratan Melayu”, yang dimuat dalam buku  Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori & Praktik (2010), selenggaraan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. Saya ingin salinkan penutup tulisan itu untuk makluman pembaca:  

“Analisis tentang sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara yang diberikan dalam makalah ini dan dalam tulisan-tulisan Prof. Ungku Maimunah, pada hemat saya, memperlihatkan tiga kesimpulan penting: (1) betapa kukuhnya pengaruh dan nilai-nilai Barat menjadi pegangan dan panduan para penilai sastera dan sasterawan; (2) gagalnya penilaian dan kritikan sastera memberi arah yang betul dalam perkembangan sastera Melayu moden; (3) perlunya kaedah baru untuk menyelamatkan sastera Melayu dari kekeliruan dan kesesatan yang berterusan. Kemunculan Panel Anugerah Sastera Negara selama tiga puluh (30) tahun menjadi bukti yang jelas betapa sistem pemikiran sastera Melayu moden itu dimodelkan sepenuhnya daripada sistem sastera Barat, meskipun kadang-kadang timbul rungutan betapa perlunya sastera Melayu moden itu mempunyai coraknya sendiri. Pada dasarnya orang-orang yang merungut itulah juga yang mempertahankan dengan gigih pengaruh Barat, seperti yang mereka buktikan dalam cara menilai yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. ...” (hal. 369-370).

Kemunculan gagasan PB menimbulkan reaksi panik yang memperjuangkan habis-habisan untuk mengekalkan sistem sastera Barat dan cara penilaiannya, walaupun bertentangan dengan tradisi persuratan Melayu yang berteraskan Islam.  Kata golongan ini, sastera adalah sastera, tidak boleh digugat oleh apa juga faham yang menentang sastera seperti yang diwarisi dari Barat itu. Jika ini berlaku, tamadun Melayu akan  menjadi jumud, tidak akan muncul lagi karya besar dalam sastera Melayu, tidak akan muncul lagi tokoh besar bertaraf antarbangsa seperti A. Samad Said, Muhammad Hj. Salleh, Usman Awang, dan semua sasterawan negara yang sepuluh orang itu. Kata mereka, sastera akan  dipinggirkan, akhirnya hapus, dan orang Melayu akan membawa kembali zaman tanpa tamadun. (Tidak jelas, bilakah zaman itu.) Kini sarjana, ahli akademik dan pengkritik sastera serta sasterawan yang satu ketika dulu menjeritkan supaya dilakukan perubahan paradigma, berjuang habis-habisan untuk meletakkan sistem dan nilai Barat di tempat tertinggi, terus menjadi arus perdana dalam kesusasteraan Melayu moden.  Tindakan reaksioner dan histirikal ini tidak dapat dielakkan, kerana kumpulan ini memang terpisah dan memisahkan diri daripada tamadun persuratan Melayu dan tamadun Islam umumnya, walaupun pengetahuan mereka  tentang tamadun Barat pada umumnya cetek (seperti pernah ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas). Mereka tidak saja menjadi penghalang kepada perubahan yang sedang diusahakan melalui gagasan PB, tetapi juga meneruskan budaya pandirisme dalam kesusasteraan Melayu moden. Mereka adalah golongan bijak pandir yang anti-ilmu, seperti yang ditegaskan di atas.

Mengapa golongan bijak pandir ini akhirnya menentang kemajuan, menentang ilmu yang menjadi teras gagasan PB?  Sehingga ini belum ada jawapan berani yang konkrit daripada mereka, suatu bukti mereka sebenarnya secara ilmiah tidak mempunyai hujah. Ada tidaknya alasan (bukan hujah) yang mereka lontarkan ialah kesimpulan mereka terhadap Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992) yang menurut mereka sebuah buku ilmiah yang tidak ada diplomasi. Jadi mereka gunakan istilah diplomasi untuk menolak buku itu. Mungkin inilah juga pandangan mereka terhadap gagasan PB. Dengan menggunakan diplomasi untuk mengukur bermutu tidaknya sesebuah buku, maka mereka dengan angkuh membina kumpulan bijak pandir dalam sastera Melayu, untuk memastikan pandirisme terus menjadi aliran arus perdana. Dengan itu kumpulan bijak pandir ini menjadi kumpulan yang  terus memperjuangkan nilai-nilai Barat dan kaedah Barat dalam sastera Melayu moden. Oleh itu apa juga saranan mereka betapa perlunya dimulai anjakan paradigma dalam sastera Melayu moden hanyalah omong kosong yang bertujuan untuk mengabui masyarakat, pada hal matlamat mereka ialah untuk meneruskan pandirisme dalam sastera Melayu moden. Mereka tidak mahu menerima persuratan Melayu yang berteraskan Islam, kerana mereka tidak boleh menonjol dalam pembinaan tamadun yang berasaskan ilmu yang benar. Itulah situasi yang ada pada waktu ini, yang harus dihadapi oleh gagasan Persuratan Baru.

Mohd. Affandi Hassan, 28/9/2010.




Monday, September 27, 2010

KEWAJARAN GAGASAN PERSURATAN BARU

Walaupun sering terdengar khabar yang mengatakan gagasan PB tidak disukai para sasterawan, sarjana, pengkritik sastera dan sebagainya, pada umumnya tidak ada tulisan yang betul-betul mengkritik gagasan PB secara ilmiah, mengemukakan hujah-hujah konkrit yang boleh diuji ketepatannya. Memang terdapat tulisan-tulisan picisan yang mengkritik  tanpa mengemukakan hujah dan analisis, tetapi tulisan-tulisan itu tidak lahir daripada pemikiran mendalam selepas membaca dengan teliti gagasan PB. Dengan itu kewajaran gagasan PB tidak pernah dipersoalkan secara ilmiah, hanya disindir di sana sini sekadar untuk melepaskan geram semata-mata.  

Tetapi terdapat satu sikap yang amat negatif di kalangan setengah sarjana dan ahli akademik yang jadi pensyarah dan profesor sastera di universiti. Oleh sebab mereka tidak membaca dan tidak mengetahui secara mendalam gagasan PB, mereka menghalang  pelajar daripada menggunakan pendekatan berasaskan gagasan PB dalam penyelidikan mereka. Malah ada yang menghalang mahasiswa pascaijazah daripada menggunakan gagasan PB untuk menulis tesis sarjana dan kedoktoran mereka. Ada juga yang dengan agak angkuh memberitahu pensyarah muda supaya tidak mendekati gagasan PB dalam kerjaya akademik mereka, kerana perbuatan itu akan merugikan mereka, yakni mereka tidak akan dinaikkan pangkat! Kedengarannya sangat gila dan bodoh, biadap dan gila, tetapi memang ada ahli akademik kita yang begitu. Malah terdapat juga profesor yang sanggup mengetepikan maruah akademik mereka dengan memperbodohkan diri tidak mahu ambil tahu tentang gagasan PB. Mereka adalah golongan yang berpenyakit hati, yang dibalut dengan perasaan hasad, dengki, dan rendah harga dirinya, yang bersikap anti-ilmu. Kumpulan anti-ilmu ini mungkin tidak sedar bahawa mereka dengan sukarela membentuk kumpulan jenayah intelektual yang bangga memperbodohkan diri mereka dengan bersikap anti-ilmu, walaupun mereka menggelar diri mereka ahli akademik yang objektif dan bersifat terbuka.

Bagaimana pula penerimaan gagasan PB di kalangan “penulis muda” dan pelajar sastera di universiti? Nampaknya ada kesedaran untuk mengetahui apakah gagasan PB, mengapa perlu diwujudkan, ke manakah arah yang dituju, dan apakah yang hendak dicapai. Sikap mereka lebih terbuka, lebih jujur dan lebih curious untuk ambil tahu. Meskipun ada di antara mereka yang mendapat tentangan daripada pensyarah dan profesor mereka, jika mereka pelajar universiti, namun mereka terus membaca dengan teliti tulisan dan analisis Prof. Ungku Maimunah, Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani dan lain-lain, sehingga memungkinkan mereka mendapat gambaran yang jelas dan tepat tentang gagasan PB, yang jauh lebih baik daripada pengetahuan para pensyarah mereka sendiri yang anti-ilmu itu. Sehingga ini belum ada lagi (atau sudah ada?) sasterawan, sarjana dan ahli akademik yang jadi gila kerana marahkan gagasan PB. Kecuali barangkali Dr. Fatimah Busu, yang begitu marah kerana Prof. Ungku Maimunah  Mohd. Tahir menilai novelnya dengan menggunakan kaedah gagasan PB, yang dianggapnya satu perbuatan tidak senonoh! Kerana pendapat Dr. Fatimah Busu ini sangat serius, saya cadangkan supaya tampil sarjana sastera membuat senarai lengkap novel (atau karya lain jenis) mana yang sesuai untuk dinilai dengan “teori” mana pula. Kita akan dapati  di bawah tajuk “gagasan PB” (sekiranya tersenarai, tetapi saya agak tidak akan tersenarai!) tidak sebuah pun karya itu layak dinilai berasaskan gagasan PB, kecuali novel Abdul Kadir Adabi yang dianalisis dengan begitu baik dan mendalam oleh Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani dalam buku selenggaraan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang baru terbit, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (2010). Apa yang akan terjadi jika gagasan PB digunakan untuk menilai karya-karya para sasterawan negara Malaysia?

Sebelum munculnya gagasan PB, laporan Panel Anugerah Sastera Negara tidak dianalisis dengan mendalam kerana tidak ada alat ilmiah yang boleh digunakan untuk menilai laporan itu. Hanya setelah muncul gagasan PB dan timbul pula desakan ilmiah untuk memahami jalur pemikiran dalam kritikan sastera Malaysia, maka muncullah karya Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir berjudul, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009; tidak dijual, diberi percuma kepada yang berminat sahaja).  Buku ini berupa kuliah MASTERA beliau 2008. Buku ini penting dibaca dengan teliti dan mendalam untuk memahami gagasan PB dan jalur Barat dalam kritikan dan penilaian sastera Melayu. Tulisan saya sendiri dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori & Praktik juga perlu dibaca bersama kuliah MASTERA itu. Bagaimana analisis berasaskan gagasan PB berupaya menilai dengan saksama sebuah novel Abdul Kadir Adabi telah ditunjukkan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam kertasnya yang diterbitkan dalam buku selenggaraan Prof. Ungku Maimunah.  Dengan terbitnya kuliah MASTERA dan buku selenggaraan Prof. Ungku Maimunah ini, pembaca akan dapat melihat dengan jelas betapa kukuhnya pengaruh Barat dalam sastera Melayu moden. Tidak sia-sia pengaruh Barat itu mencengkam hidung penyet  para sarjana dan ahli akademik kita, sehingga ada di antara tokoh besar mereka diberi gelaran “a colonial boy.”

Mohd. Affandi Hassan, 27/9/2010.

Thursday, September 9, 2010


Top of Form


Kepada Pembaca Blog Ini. Para Sasterawan, Sarjana dan Pengkritik Sastera. Maaf Zahir Batin di atas semua kesilapan saya, kekasaran bahasa, keterlanjuran kata, ketajaman wacana yang semuanya mungkin menikam kalbu mencalar maruah para pembaca. Sekali lagi dipohon Maaf jua.

Ikhlas daripada:

Mohd. Affandi Hassan
Bottom of Form