Tuesday, August 3, 2010

Seminar Pemikiran Akan Menguji Kejujuran dan Kehandalan Akademik Penulis Kertas Kerja

Seminar pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang akan diadakan 9-10 November (bukan 16-17 November seperti pertama kali diumum) akan menguji kejujuran dan kehandalan ahli akademik yang akan membentangkan kertas kerja masing-masing. Kejujuran mereka akan diperhatikan dengan teliti oleh ilmuan yang serius, yang tertakluk kepada konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam; sementara kehandalan mereka pula sebagai ahli akademik yang objektif dan analitikal, akan dinilai satu persatu dengan berhati-hati untuk melihat ketangkasan mereka bermain dengan idea dan kecekapan mereka berhujah.

Adakah mereka akan setaraf dengan ahli sihir Firaun? Anda tentu tahu, jika anda biasa dengan kisah-kisah benar dalam al-Quran, betapa ahli sihir Firaun yang cekatan itu dengan cepat, tanp ragu-ragu melihat kebenaran apabila ular palsu mereka ditelan oleh ular sebenar yang menjelma daripada tongkat Nabi Musa ‘a.s. Mengapa mereka begitu cepat melihat kebenaran? Kerana mereka sesungguhnya sangat tinggi keterampilan ilmu sihirnya, dengan itu secepat mungkin mereka dapat melihat kebenaran kerana mereka tahu kepalsuan sihir mereka.

Ahli akademik kita yang akan membicarakan pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh haruslah dari segi keunggulan ilmunya mencapai taraf ahli sihir Firaun, supaya mereka dengan tidak ragu-ragu lagi dapat melihat kebenaran dan terus menerimanya. Mereka tidak harus berputar-purat dalam kepalsuan hujah untuk menegakkan pandangan atau “pemikiran” yang tidak wujud, kecuali sebagai sejenis sihir akademik. Mereka harus memikirkan aspek ini dengan mendalam supaya kertas kerja yang mereka hasilkan boleh berdiri tegak untuk menerima segala sanggahan nanti. Biarlah untuk pertama kalinya kita betul-betul berbicara dalam konteks ilmu, bukan atas nama kepalsuan akademik seperti yang selalu kita tontonkan. Belajarlah daripada ahli sihir Firaun jika anda jujur dan betul-betul handal dalam bidang anda. Ahli sihir Firaun sanggup dibunuh (dengan itu mati syahid) dengan ilmu sihirnya dimusnah, setelah melihat kebenaran. Jika ahli akademik kita tidak sampai ke taraf itu, di taraf mana mereka berada?

Mohd. Affandi Hassan, 3/8/2010.

1 comment:

  1. Pengkritik di Malaysia hanya suka memuji?

    ReplyDelete