Post ini akan menyiarkan semula nota-nota pendek yang sudah disiarkan beberapa hari lepas. Tujuannya untuk memikirkan semula dengan serius perkara-perkara yang ditimbulkan dalam nota-nota tersebut. Misalnya, sejauh mana perbandingan dengan ketinggian kemahiran ahli sihir Firaun itu cocok dengan kemahiran para sarjana, pengkritik dan kaum sasterawan? Konteksnya ialah kemahiran yang tinggi berupaya mendorong seseorang sarjana dll untuk melihat kebenaran dan tunduk kepada kebenaran itu, seperti yang dilakukan oleh para ahli sihir Firaun. Maksudnya: apabila seseorang sudah betul-betul menguasai sesuatu “ilmu” atau kemahiran, dia tidak mempunyai pilihan kecuali untuk tunduk kepada kebenaran yang tersirat dalam konsep ilmu yang benar. Jika dia masih menentang, maka dia belumlah lagi mencapai taraf ahli sihir Firaun. Oleh itu, dia berada di tempat yang rendah, tidak setaraf dengan ahli sihir Firaun. Jika persoalan ini difikirkan masak-masak, anda akan bertemu dengan diri sebenar anda, sama ada sebagai diri yang berputar-purat ... atau sudah setaraf dengan ahli sihir Firaun yang diceritakan oleh al-Quran.
SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA MUHAMMAD HJ. SALLEH
Menurut iklan yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, satu seminar besar-besaran bertajuk “Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Hj. Salleh” akan diadakan di Dewan Seminar, DBP, pada 16-17 November 2010. Seminar ini penting kerana kedudukan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sebagai sarjana dan pensajak yang paling unggul di Malaysia sekarang akan dibuktikan melalui kertas kerja yang akademik yang ditulis oleh tokoh-tokoh akademik kelas satu yang ramai terdapat di Malaysia sekarang. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah diberi anugerah dan gelaran sebagai Sasterawan Negara dan Tokoh Akademik Negara, dua pencapaian paling tinggi yang pernah dicapai oleh seorang sarjana dan sasterawan.
Satu analisis yang mendalam dan cukup kritis harus dibuat untuk membincangkan erti dan makna istilah “pemikiran” yang kerap digunakan oleh DBP tetapi belum pernah ditakrifkan dengan jelas, supaya boleh digunakan untuk menilai dengan objektif sama ada pencapaian tertinggi Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu cocok dengan sumbangan kreatif dan sumbangan akademik tokoh besar ini. Lebih baik lagi jika sumbangan beliau dianalisis dalam satu kajian perbandingan, misalnya antara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dengan pemikiran Mohd. Affandi Hassan dan lain-lain tokoh yang sesuai. Jika perbandingan dengan Mohd. Affandi Hassan tidak boleh dilakukan, kerana tarafnya terlalu rendah jika dibandingkan dengan taraf Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, sehingga perbandingan itu akan menjadi amat offensive kepada beliau dan rakan-rakan atau penyokong beliau, maka perbandingan itu tidak perlu dibuat, supaya ketinggian taraf Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak terjejas. Tetapi pendapat Mohd. Affandi Hassan dalam beberapa persoalan yang beliau bangkitkan perlu juga disebut sepintas lalu, untuk menunjukkan betapa seorang tokoh yang tidak setaraf, atau yang bertaraf rendah seperti beliau, masih mampu juga membicarakan perkara-perkara rumit yang dilontar oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Untuk maksud ini, makalah saya dalam buku selanggaraan Prof. Ungku Maimunah, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, boleh dirujuk dan hujah-hujah yang saya kemukakan wajar dibahas dengan kritis supaya integriti akademik dan kreatif Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak tergugat dan tidak terjejas dengan kritikan saya dalam makalah itu.
Sarjana yang akan menulis kertas penting ini akan menghadapi masalah metodologi yang agak rumit. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah memberi amaran dan peringatan penting dalam salah satu ucap utamanya yang banyak itu. Kata beliau (antara lain): “Sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri”. (Rujuk Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14). Adakah ini bermakna Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak mahu dinilai dengan menggunakan mana-mana teori Barat sekali pun? Ini menjadi semakin rumit kerana beliau berkata seterusnya: “Teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam”. Dengan penegasan ini, beliau tidak mahu juga dinilai oleh mana-mana “teori” sastera kita yang tidak menyeluruh dan tidak mendalam itu; dan ini bererti kita tidak boleh menggunakan “teori” beliau sendiri yang juga tidak menyeluruh dan tidak mendalam. Jadi teori mana yang boleh dipakai? Sungguh rumit cabaran akademik yang akan dihadapi oleh sarjana yang akan menulis dan menilai sumbangan kreatif dan akademik tokoh besar ini. Sebagai jalan keluar yang penuh berliku dan sukar dilalui, saya dengan rendah hati ingin mencadangkan supaya gagasan Persuratan Baru dicuba untuk digunakan dalam analisis itu. Sekiranya tidak cocok, kerana gagasan Persuratan Baru terlalu ketat meletakkan ukuran yang perlu digunakan, maka tidak ada masalah jika Persuratan Baru ditolak demi menjaga integriti Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Nampaknya penulis makalah penting tentang pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ini tidak ada pilihan lain selain mengemukakan teori beliau sendiri yang cocok dengan kehendak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.
Jika itulah saja pilihan yang ada, maka bagaimana pula kedudukan sumber yang akan digunakan untuk menilai pemikiran tokoh besar ini? Pertanyaan ini penting kerana saya adalah antara penulis yang mempersoalkan integriti ilmiah dan kreatif beliau dalam tulisan-tulisan saya, terutama sekali dalam risalah kecil bertajuk, Medan-Medan Dalam Sistem Persuratan Melayu (1994), berupa sanggahan saya terhadap Poetika Sastera Melayu. Sudah lama sekali sanggahan itu tidak terjawab, sehingga dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa pandangan saya itu memang tepat dan amat sukar disanggah. Dalam tulisan terbaru yang saya sebut di awal makalah ini, saya telah memperinci hujah-hujah saya, dengan harapan akan tampil sarjana kelas satu yang akan membahaskan hujah-hujah saya dengan sehabis kritis dan menolaknya sebagai satu pembohongan ilmiah yang memalukan. Pendirian saya tentang perkara ini adalah kesimpulan saya dalam makalah itu: “Sesiapa juga yang memberi pendapatnya harus bersedia untuk dicabar. Itulah hukum alam dan jalan yang mesti dilalui oleh orang-orang berilmu”.
Maksud kesimpulan itu amat mudah: Sesiapa juga yang telah ditokohkan, dan telah pula diterima sebagai tokoh besar yang istimewa, harus bersedia untuk dicabar pendapatnya dan dinilai dengan menggunakan mana-mana teori atau kaedah sekali pun, baik dari Barat mahu pun dari negara sendiri. Jika digunakan teori dan kaedah Barat, dan didapati sesuai, maka itu membuktikan tokoh tadi memang dibina dan dijana dan dibentuk dalam nilai-nilai Barat. Walaupun beliau mungkin tidak suka diperlakukan demikian, kerana adanya kesedaran terhadap kepalsuan nilai-nilai Barat tadi, namun beliau harus menerima hakikat bahawa beliau memang dibentuk dalam acuan Barat, oleh itu beliau tidak perlu berasa malu atau tersinggung kerana itulah arus perdana yang terdapat di Malaysia. Tidakkah itu satu penghormatan yang besar?
MENGAPA SEMINAR PEMIKIRAN MUHAMMAD HJ SALLEH SANGAT PENTING?
Apakah takrif “pemikiran” apabila kita ingin berbicara tentang pemikiran seseorang? Jikalau kita ingin berbicara tentang pemikiran Iqbal dalam syair-syairnya, kita boleh menggunakan kesimpulan yang beliau gunakan sendiri dalam syair-syairnya, iaitu mengenai pembinaan peribadi Muslim yang bebas merdeka, yang hanya ingin menjadi hamba Allah SAW. Begitu juga, apabila kita ingin berbicara tentang pemikiran Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, kita akan berbicara tentang konsep ilmu, tentang adab dan kehilangan adab dalam masyarakat, dan tentang kemunculan pemimpin palsu dalam masyarakat. Tetapi bagaimana pula apabila kita ingin berbicara tentang “pemikiran” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh? Belum lagi ada satu rumusan yang jelas seperti dalam contoh di atas, yakni tidak ada sesuatu yang menonjol seperti contoh di atas yang datang daripada Tokoh Akademik Negara ini. Adakah ini memberi isyarat beliau bukan seorang pemikir? Pandangan dan kesimpulan beberapa orang sarjana terkenal di Malaysia nampaknya menuju kepada kesimpulan itu. Misalnya, Prof. Dr. Siti Hawa Salleh, ketika berbicara tentang syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang bertajuk Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan, membuat kesimpulan yang agak mengejutkan, dengan menganggap Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tak ubahnya seperti "seorang tunanetra yang berada di taman pada malam yang gelap gelita, tersembam di lereng dunia sastera tradisional, tidak mengenal dan tidak dapat membezakan jenis-jenis bunga yang ada di dalam taman itu." (Lihat tulisan beliau dalam Budi Kencana, hal. 255). Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Abu Hassan pula berpendapat, dari raut muka Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh terbayang keresahannya, yang tergesa-gesa dan tidak teliti dalam menghasilkan bukunya Menyeberang Sejarah (kumpulan eseinya). Prof. Dr. Mohd. Mokhtar kemudiannya menyenaraikan banyak kelemahan yang terdapat dalam tulisan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. (Rujuk makalah beliau dalam Rangkaian Pemikiran dalam Karya Sastera, DBP 2006).
Apa yang disebut oleh Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Abu Hassan tidak relevan dengan soal pemikiran. Masalah itu adalah masalah penyelidikan dan metodologi yang baik. Oleh itu harus dibezakan antara pemikir dengan penyelidik. Dalam kes Iqbal dan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, sudah jelas dan terang mereka adalah pemikir. Tetapi tidak dalam kes Prof. Dr. Muhammad Hj. Saleh. Beliau hanya seorang penyelidik, yang menjalankan usahanya untuk mengetahui seberapa banyak maklumat sama ada untuk kegunaan sendiri atau orang lain. Seorang pemikir mengenal pasti persoalan yang menjadi masalah dalam masyarakat; dan dari situ dia menghuraikan masalah itu; kemudian merumuskan jalan penyelesaian. Ini sangat jelas dapat dilihat dalam kes Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Masalahnya orang Islam dikuasai oleh sekularisme; dan ini menyebabkan mereka jadi keliru dari segi memahami konsep ilmu yang benar menurut Islam. Hasil pemikiran Prof. Syed Naquib al-Attas ialah betapa pentingnya difahami konsep ilmu yang benar menurut Islam, supaya orang Islam tidak kehilangan adab, yang akhirnya membuat mereka menerima kehadiran pemimpin palsu dalam masyarakat. Dalam kes Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, apa yang dibuatnya ialah menulis esei membicarakan perkara-perkara yang menarik perhatiannya. Dia hanya mengumpul maklumat, yang tidak semestinya tepat. Tetapi maklumat itu masih berguna, jika kita tahu menggunakannya. Umpamanya tentang didaktisisme dalam karya Melayu. Ini bermakna karya Melayu itu mempunyai ciri untuk mengajar, memperingat, mendorong membuat kebaikan, dan sebagainya. Tetapi ciri ini tidak diterima oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan teman-temannya dalam Panel Anugerah Sastera Negara, yang dengan tegas menolak karya yang didaktik, seperti dalam laporan mereka terhadap A. Samad Said. Dalam laporan terbaru tentang Anwar Ridhwan, mereka masih menolak apa juga ajaran yang bersifat didaktik, oleh itu mereka menyanjung cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” walaupun bertentangan dengan penemuan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bahawa dalam sastera Melayu, karya yang baik itu mesti mengutamakan moral, oleh itu didaktik. Kontradiksi begini tidak akan timbul jika para Anggota Panel Anugerah Sastera Negara dan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri terdiri daripada para pemikir yang berwibawa. Perbezaan yang disebutkan di sini harus diambil kira oleh sesiapa juga yang akan menulis makalah terperinci membicarakan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sama ada benar seorang pemikir, atau hanya seorang penyelidik. Ini bermaksud, beliau adalah seorang ahli akademik, yang tidak semestinya seorang pemikir. Persoalan ini mesti jelas, jika tidak kita akan bercakap tentang lembu, padahal kita maksudkan seladang. Pemikiran begini akhirnya akan berakhir dengan lahirnya “pemikiran selembu” yang akan terus mengelirukan kita.
Jika anda membaca sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh, anda akan terkesan melihat kegemaranya yang luar biasa untuk menulis sajak-sajak catatan mengenai lawatannya ke luar negeri. Oleh Ahli Panel Anugerah Sastera Negara (APASN), kelakuan ini dianggapnya baik, kerana menurut mereka sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh berbicara tentang berbagai-bagai pengalaman pensajak ketika berada di luar negeri. Sekarang perhatikan pula kelakuan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam membuat penyelidikan, sama saja caranya dengan kelakuannya menulis sajak-sajaknya. Jika dalam sajaknya dia menulis tentang perkara tertentu hasil pengalamannya di luar negeri, maka dalam penyelidikan pula beliau memilih tajuk-tajuk yang menarik minatnya. Oleh kerana beliau bukan seorang pemikir, maka jika ada pendapatnya yang mungkin menarik perhatian, tidak dipakainya kerana bukan berada dalam sistem pemikirannya. Sebagai contoh, ambil saja gesaannya supaya setiap tulisan yang berupa kritikan dan penilaian dimulai dengan “langkah kaedah” (istilah beliau sendiri) yang ditulis dengan jelas sebagai pendahuluan yang akan menjadi panduan dalam huraian seterusnya. Saranan ini tidak dibuatnya dalam laporan Anugerah Sastera Negara yang beliau jadi ahli panel. Mengapa ini terjadi? Kerana beliau mencadangkan “langkah kaedah” bukan sebagai ahli fikir, tetapi hanya sebagai penyelidik. Kalau mahu boleh pakai, tak mahu tak apa. Tetapi jika itu prinsip seorang ahli fikir, maka prinsip itu berada dalam sistem pemikirannya, oleh itu tidak boleh diketepikan begitu saja. Hal ini mesti difahami dengan teliti oleh sesiapa saja yang ingin menulis tentang pemikiran seseorang.
Dengan menggunakan saranan yang dicadangkan di sini, kita akan dapat menghuraikan dengan lebih objektif dan jitu peranan pemikiran ini, mengenal pasti ciri-cirinya, meletakkan ukuran yang objektif yang boleh dipakai apabila kita ingin berbicara tentang pemikiran. Pendeknya, kita meletakkan satu standard yang boleh dijadikan ukuran. Dengan itu usaha DBP tidaklah sia-sia, tidak menambah kekeliruan yang kini berkeliaran apabila kita berbicara tentang pemikiran sasterawan negara misalnya. Ahli akademik tidak patut ambil mudah tentang persoalan yang peting ini. Mereka harus menjelaskan, bukan terus mengelirukan, atau menambah kekaburan kepada perkara yang sudah jelas.
Semoga penjelasan yang ringkas ini boleh membantu penulis makalah yang akan berbicara tentang “pemikiran” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam seminar khusus untuknya.
ADAKAH BULLSHIT SAMA DENGAN “PEMIKIRAN” DI MALAYSIA?
Kali ini saya tidak mahu bercakap banyak. Saya mahu mengemukakan beberapa kutipan daripada buku Prof. Harry G. Frankfurt, ahli falsafah dan penulis buku On Bullshit. Beliau memulai bukunya seperti ini:
One of the most salient features of our culture is that there is so much bullshit. Everyone knows this. Each of us contributes his share. But we tend to take the situation for granted. Most people are rather confident of their ability to recognize bullshit and to avoid being taken in by it. So the phenomenon has not aroused much deliberate concern, nor attracted much sustained inquiry.
Itu yang berlaku di Amerika Syarikat. Di Malaysia bagaimana? Di Malaysia tidak ada bullshit, walaupun “ramai” lembu berkeliaran di lebuh raya. Jadi di Malaysia kita ada banyak lembu yang tidak ada bullshit.
Seterusnya dalam perenggan kedua Prof. Frankfurt menyambung perbincangannya seperti berikut (atau seperti yang berikut menurut grammar DBP):
In consequence, we have no clear understanding of what bullshit is, why there is so much of it, or what functions it serves. And we lack a conscientiously developed appreciation of what it means to us. In other words, we have no theory. I propose to begin the development of a theoretical understanding of bullshit, mainly by providing some tentative and exploratory philosophical analysis. I shall not consider the rhetorical uses and misuses of bullshit. My aim is simply to give a rough account of what bullshit is and how it differs from what it is not----or (putting it somewhat differently) to articulate, more or sketchilly, the structure of its concept.
Jadi di Amerika Syarikat bullshit mempunyai struktur tertentu, yang membolehkan seorang ahli falsafah seperti Prof. Frankfurt membina sebuah teori tentang bullshit. Di Malaysia bagaimana? Kita jauh lebih maju kerana kita tidak berbicara tentang bullshit, walaupun yang kita bicarakan itu sering kali bersifat bullshit, misalnya apabila kita berbicara tentang “pemikiran” seseorang. Ini terjadi kerana kita belum ada “teori” tentang pemikiran, oleh itu apa saja yang ditulis dan dicetak, adalah pemikiran atau hasil pemikiran. Adakah keadaan ini memuaskan kita? Jawapannya mungkin akan kita dapat apabila para sarjana kelas pertama Malaysia berbincang tentang “pemikiran” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bulan November 2010 nanti.
SEMINAR PEMIKIRAN AKAN MENGUJI KEJUJURAN DAN KEHANDALAN AKADEMIK PENULIS KERTAS KERJA
Seminar pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang akan diadakan 9-10 November (bukan 16-17 November seperti pertama kali diumum) akan menguji kejujuran dan kehandalan ahli akademik yang akan membentangkan kertas kerja masing-masing. Kejujuran mereka akan diperhatikan dengan teliti oleh ilmuan yang serius, yang tertakluk kepada konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam; sementara kehandalan mereka pula sebagai ahli akademik yang objektif dan analitikal, akan dinilai satu persatu dengan berhati-hati untuk melihat ketangkasan mereka bermain dengan idea dan kecekapan mereka berhujah.
Adakah mereka akan setaraf dengan ahli sihir Firaun? Anda tentu tahu, jika anda biasa dengan kisah-kisah benar dalam al-Quran, betapa ahli sihir Firaun yang cekatan itu dengan cepat, tanpa ragu-ragu melihat kebenaran apabila ular palsu mereka ditelan oleh ular sebenar yang menjelma daripada tongkat Nabi Musa ‘a.s. Mengapa mereka begitu cepat melihat kebenaran? Kerana mereka sesungguhnya sangat tinggi keterampilan ilmu sihirnya, dengan itu secepat mungkin mereka dapat melihat kebenaran kerana mereka tahu kepalsuan sihir mereka.
Ahli akademik kita yang akan membicarakan pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh haruslah dari segi keunggulan ilmunya mencapai taraf ahli sihir Firaun, supaya mereka dengan tidak ragu-ragu lagi dapat melihat kebenaran dan terus menerimanya. Mereka tidak harus berputar-purat dalam kepalsuan hujah untuk menegakkan pandangan atau “pemikiran” yang tidak wujud, kecuali sebagai sejenis sihir akademik. Mereka harus memikirkan aspek ini dengan mendalam supaya kertas kerja yang mereka hasilkan boleh berdiri tegak untuk menerima segala sanggahan nanti. Biarlah untuk pertama kalinya kita betul-betul berbicara dalam konteks ilmu, bukan atas nama kepalsuan akademik seperti yang selalu kita tontonkan. Belajarlah daripada ahli sihir Firaun jika anda jujur dan betul-betul handal dalam bidang anda. Ahli sihir Firaun sanggup dibunuh (dengan itu mati syahid) dengan ilmu sihirnya dimusnah, setelah melihat kebenaran. Jika ahli akademik kita tidak sampai ke taraf itu, di taraf mana mereka berada?
APA MAKSUD/MAKNA “BERPUTAR-PURAT”?
Dalam post bertarikh 3 Ogos 2010 terdapat ungkapan (baca: simpulan bahasa) “berputar-purat”. Maksudnya cakap (juga tulis) berbelit-belit kononnya pura-pura tahu padahal omong kosong atau menurut Martin Heidegger “idle talk” saja. Dalam istilah yang dipakai oleh Prof. Frankfurt, inilah contoh bullshit yang beliau maksudkan. Berputar-purat terdiri daripada dua perkataan, “berputar” dan akronim “pura-pura tahu” (yakni purat; bandingkan penulis sajak jadi “pensajak”, bukan penyair, kerana kayanya “purat” dalam sajak-sajak itu). Pekerja kamus di DBP sila ambil perhatian tentang perkara ini. Purat adalah dari jenis bahasa “aligupit” yang menjadi judul novel Mohd. Affandi Hassan. (Digalakkan membaca novel ini untuk mengetahui apakah “bahasa aligupit” itu).
Penciptaan simpulan bahasa baru ini tidak dapat dielakkan kerana dalam tulisan akademik dan kritikan sastera banyak sekali kita temui tulisan jenis “berputar-purat” ini. Sesiapa yang berminat bolehlah membaca buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (kini sudah berumur masuk 55 tahun, sudah boleh pencen supaya DBP boleh dijadikan Muzium Tamadun Melayu) seperti Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera (2006); Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (2005); sepuluh (10) buah laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang diterbitkan DBP; sekumpulan prosiding seminar tentang “pemikiran sasterawan negara” yang diterbitkan oleh DBP berupa kertas-kertas seminar; Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, yang mutunya dianggap oleh Prof. Dr. Siti Hawa Salleh seperti karya “seorang tunanetra yang sampai di taman waktu malam yang gelap gelita”, tak kenal jenis bunga dalam taman itu, oleh itu beliau bercakap sendirian, hanya sekadar mengujar saja kata Prof. Siti Hawa (baca tulisan beliau dalam Budi Kencana). Bila anda sudah faham maksud berputar-purat, anda boleh kemukakan contoh-contoh anda sendiri. Sebagai satu permainan idea untuk mencari dan mengenal contoh tulisan berputar-purat ini, usaha anda mencari contoh tulisan berputar-purat itu menyeronokkan kerana boleh mempertajam fikiran anda dan membuat anda cepat mengenal tulisan atau ucapan berputar-purat ini. Usaha itu tidak sia-sia. Anda mungkin akan terkejut mendapati betapa banyaknya contoh berputar-purat ini!
Berapa banyak pula anda temui contoh berputar-purat yang dihasilkan oleh Mohd. Affandi Hassan dalam blog beliau?
Tahniah Encik Affandi. Teruskan usaha anda dalam menaikkan martabat Persuratan Melayu.
ReplyDelete