Dalam post bertarikh 3 Ogos 2010 terdapat ungkapan (baca: simpulan bahasa) “berputar-purat”. Maksudnya cakap (juga tulis) berbelit-belit kononnya pura-pura tahu padahal omong kosong atau menurut Martin Heidegger “idle talk” saja. Dalam istilah yang dipakai oleh Prof. Frankfurt, inilah contoh bullshit yang beliau maksudkan. Berputar-purat terdiri daripada dua perkataan, “berputar” dan akronim “pura-pura tahu” (yakni purat; bandingkan penulis sajak jadi “pensajak”, bukan penyair, kerana kayanya “purat” dalam sajak-sajak itu). Pekerja kamus di DBP sila ambil perhatian tentang perkara ini. Purat adalah dari jenis bahasa “aligupit” yang menjadi judul novel Mohd. Affandi Hassan. (Digalakkan membaca novel ini untuk mengetahui apakah “bahasa aligupit” itu).
Penciptaan simpulan bahasa baru ini tidak dapat dielakkan kerana dalam tulisan akademik dan kritikan sastera banyak sekali kita temui tulisan jenis “berputar-purat” ini. Sesiapa yang berminat bolehlah membaca buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (kini sudah berumur masuk 55 tahun, sudah boleh pencen supaya DBP boleh dijadikan Muzium Tamadun Melayu) seperti Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera (2006); Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (2005); sepuluh (10) buah laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang diterbitkan DBP; sekumpulan prosiding seminar tentang “pemikiran sasterawan negara” yang diterbitkan oleh DBP berupa kertas-kertas seminar; Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, yang mutunya dianggap oleh Prof. Dr. Siti Hawa Salleh seperti karya “seorang tunanetra yang sampai di taman waktu malam yang gelap gelita”, tak kenal jenis bunga dalam taman itu, oleh itu beliau bercakap sendirian, hanya sekadar mengujar saja kata Prof. Siti Hawa (baca tulisan beliau dalam Budi Kencana). Bila anda sudah faham maksud berputar-purat, anda boleh kemukakan contoh-contoh anda sendiri. Sebagai satu permainan idea untuk mencari dan mengenal contoh tulisan berputar-purat ini, usaha anda mencari contoh tulisan berputar-purat itu menyeronokkan kerana boleh mempertajam fikiran anda dan membuat anda cepat mengenal tulisan atau ucapan berputar-purat ini. Usaha itu tidak sia-sia. Anda mungkin akan terkejut mendapati betapa banyaknya contoh berputar-purat ini!
Berapa banyak pula anda temui contoh berputar-purat yang dihasilkan oleh Mohd. Affandi Hassan dalam blog beliau?
Mohd. Affandi Hassan, 5/8/2010
No comments:
Post a Comment