Monday, September 16, 2019

PENGKHIANAT DAN ORANG BAIK-BAIK BERSAUDARA



Kecelakaan paling besar yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang ialah mereka tidak dapat membezakan orang baik-baik dengan pengkhianat bangsa. Apakah sifat-sifat pengkhianat itu?  Pertama sekali, pembohongannya dipercayai, atau tidak dikutuk. Malah pembohongan sudah dijadikan ciri penting dalam kebudayaan baru.  Dalam keadaan ini, seseorang yang bercakap benar akan dikutuk kerana kata mereka yang bercakap benar itu tiada penyokong, kerana itu dia pastilah orang jahat.  Dalam teori politik Barat, dalam teori demokrasi, pembohongan ini diberi nama yang hebat (impressive) sebagai mobilization of bias.  Adakah mobilization of bias ini berlaku juga dalam sastera Melayu? Jawapan yang menyeluruh terhadap pertanyaan ini diberikan dalam buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.  Para sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera, tidak membaca buku ini kerana menurut mereka buku itu sendiri pun diilhamkan oleh konsep mobilization of bias dalam kritikan sastera!

Kemunculan para sasterawan negara dalam sastera Melayu moden adalah satu musibah besar dalam kebudayaan Melayu.  Saya sudah menjelaskan ini dengan terperinci dalam buku mengenai Anugerah Sastera Negara itu. Lihat saja di sana dan kritiklah sehabis keras dan kritis, atau sehabis bengis yang anda mahu. Anda akan terjelepok keletihan kerana tidak mungkin anda menolak penghujahan yang dikemukakan dalam buku itu. Ambil saja dua contoh. Pertama tentang perubahan nilai. Kedua tentang kegilaan dalam mengabdikan diri kepada teori Barat yang tidak difahami dengan betul. Dua contoh ini sudah pun dijelaskan dengan terperinci dalam buku itu, oleh itu lihat saja di sana dan kritiklah jika anda mampu menolak penghujahan itu.  Anda tidak akan berani melakukannya kerana anda tidak mahu pembohongan dan kecetekan kefahaman anda akan terbongkar, seolah-olah melondehkan pakaian sendiri dalam pertengkaran cara kampungan  wanita Melayu ketika merebut jantan!  (Sorry buka rahsia!).  Saya sebut contoh ini kerana saya ingin menyebut secara kasar dan kesat peranan sebenar para sasterawan negara ini dalam perkembangan intelektual Malaysia. Mereka melondehkan pakaian mereka untuk ditonton para peminat mereka yang terkejut melihat kebodohan penghujahan cetek mereka ketika mempertahankan kedudukan mereka yang memalukan anak-anak muda yang cerdik yang dapat membaca dengan mudah kepalsuan karya mereka jika dilihat dari perspektif ilmu dan wacana kreatif mereka. Sekali lagi, semua ini sudah didedahkan dalam buku tentang  kepalsuan para sasterawan negara.

Saya ingin menyalin pendapat seorang pelakon yang saya kira cukup cerdik dan seharusnya menjadi pegangan para pelakon kita. Kata beliau: ““Sebab itu saya sanggup menunggu lama untuk dapatkan skrip yang baik, saya dapat rasakan drama atau filem yang saya lakonkan selepas ini memang apa yang saya hendak.”

Pembohongan dan sikap biadab stesen TV di Malaysia yang banyak menyiarkan drama picisan yang menghina kecerdikan bangsa Melayu, ditulis oleh penulis picisan, boleh kita lihat setiap hari. Mengapa kebodohan begini dibiarkan dan diteruskan? Kita mempunyai ramai sasterawan negara, mengapa mereka tidak menulis skrip yang bermutu dan yang meraikan kecerdikan?  Lama dulu saya pernah mencadangkan kepada persatuan penulis membantu TV untuk mendapatkan skrip yang baik dan mana-mana drama yang disogokkan kepada mereka diberi piawaian yang jelas tentang kualiti yang diharapkan. Adakah TV kita berasa bangga  menonjolkan kebodohan orang Melayu dalam drama yang mereka siarkan? Pandangan dan kritikan pelakon Nur Fazura di atas perlu diberi perhatian secara tulus supaya kita dapat membina tradisi penulisan skrip dan lakonan yang bermutu.  Jangan jadikan stesen TV kita tempat buangan sampah budaya.  Sekali lagi saya harap persatuan penulis boleh membantu.

Sekarang sikap kurang ajar dan biadab dilihat dari perspektif kebebasan bersuara dan berkelakuan. Ini disuarakan oleh golongan peguam yang kononnya menjaga aspek kebebasan bersuara dan berkelakuan ini. Kumpulan ini nampaknya tidak sedar bahawa sikap mereka sendiri adalah biadab dan kurang ajar, kerana dari komen-komen mereka jelas mereka ini meletakkan kebebasan itu sebagai nilai sosial tertinggi. Tidak wajar para peguam ini bersikap kurang ajar, tidak dapat membezakan kebaikan untuk semua dan kejahatan persendirian yang diberi pembelaan sebagai kebebasan individu.  Pembohongan intelektual seperti ini tidak pantas disuarakan oleh para pengamal perundangan, kerana ini boleh memesongkan kefahaman rakyat untuk memfitnah dan berbohong dengan sikap kurang ajar seperti yang dicontohkan oleh para peguam ketika membela hak kebebasan rakyat untuk bertindak biadab.

Tidakkah anda berasa aneh, dengan wujudnya sasterawan negara, maka kita menghadapi kebiadaban baru yang membela kebebasan palsu untuk melakukan kejahatan moral dan nilai.  Betapa rendahnya peribadi para sasterawan negara ini boleh kita saksikan apabila mereka berasa amat bangga menerima dedak dari DAP (orang Melayu memanggilnya DAPig!) berupa elaun bulanan sebanyak lima ribu sebulan, yang mereka minta ditambah menjadi sepuluh ribu sebulan kerana para sasterawan negara ini sangat besar jasanya mengembangkan pemikiran picisan dalam kebudayaan Melayu yang sedia kala berasaskan konsep ilmu yang benar yang ditolak para sasterawan negara yang tidak pun kelihatan dalam karya mereka. Mereka tidak dapat membaca bagaimana DAP, yang dahulunya melontarkan idea Malaysian Malaysia kini diberi nama baru Malaysia Baru, kini menggunakan para sasterawan negara ini untuk mendapat pujian daripada para sasterawan bahawa merekalah yang menjadi pembela para sasterawan, padahal pada waktu yang sama mereka menentang sekuat-kuatnya penggunaan Jawi di sekolah seolah-olah Jawi itu najis yang mengaibkan.  Sebodoh itukah para sasterawan ini sehingga begitu mudah terhutang budi kepada Bangsa DAP yang memberi mereka imbuhan dan kini diminta tambah lagi. Peribadi picisan ini tidak layak dijadikan contoh apatah lagi dihormati oleh generasi muda yang kini mewarisi Gagasan Persuratan Baru yang memberi kedudukan wajar dan tinggi kepada ilmu yang benar sebagai asas penulisan kreatif. Sesungguhnya amat tidak siuman apabila para sasterawan negara menolak konsep ilmu yang benar dalam penulisan kreatif, sedangkan pada waktu yang sama menerima dengan gembira dan meminta ditambah nilai dedak yang mereka dapat yang diberikan kepada mereka, oleh Bangsa DAP yang kini menguasai pemerintahan negara.

Sekarang sasterawan dan para penulis yang menjadi anggota padan-badan penulis sudah menerima konsep Malaysian Malaysia ciptaan Bangsa DAP ini untuk kononnya mengelak daripada dipanggil golongan perkauman dan taksub agama. Saya harap ada di antara mereka yang menafikan kedudukan baru ini supaya jelas kepada para sasterawan.  Melayu diharamkan dari mengangkat martabat bangsa Melayu setelah diwujudkan Bangsa DAP sebagai perkembangan terbaru dalam politik Malaysia.  Melayu tidak mempunyai teras sebagai bangsa kerana mereka, kata Bangsa DAP, adalah kebanyakannya berasal dari luar Malaysia, iaitu dari Jawa, Sumatra, Kalimantan dan lain-lain. Orang Melayu menerima realiti baru ini sebagai satu perubahan yang baik bagi mereka kerana menurut mereka pembangunan negara akan lebih pesat setelah Bangsa DAP menguasai tanah-tanah di negeri Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan lain-lain negeri dengan adanya kemajuan dalam industri pengangkutan. Satu perubahan besar-besaran akan berlaku dalam masa 20 tahun ini setelah beberapa projek besar mula dapat digunakan. Penjajahan Bangsa DAP ke atas tanah-tanah kepunyaan Melayu di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor akan menjadi kenyataan apabila projek-projek gergasi yang sedang diusahakan oleh Pakatan Harapan menjadi kenyataan, sekiranya PH boleh memenangi pilihan raya yang akan datang. Satu berita baik untuk para sasterawan seluruh negara ialah kini sudah ada seorang sasterawan negara menjadi anggota yang sah Bangsa DAP. 

Ketika Menteri Kewangan dari Bangsa DAP menyampaikan imbuhan bulanan (dalam istilah moden dipanggil dedak) kepada para sasterawan negara, saya terlihat gambar Lim Guan Eng, S/U Agung DAP, mendakap sasterawan negara Datuk Seri Dr. A. Samad Said sambil berlaga pipi. Sungguh cute!  Kemesraan Menteri Kewangan dengan para sasterawan negara (ingat: hanya sasterawan negara saja) adalah satu perubahan atau lebih tepat perkembangan baru yang dicetuskan oleh Bangsa DAP yang menguasai Kerajaan PH sekarang. Kita tidak pernah terbayang satu masa nanti para sasterawan negara menerima dedak daripada Kerajaan PH yang dikuasai DAP. Semua sasterawan dan badan penulis seluruh Malaysia amat bangga dengan perubahan, atau kemajuan terbaru ini. Dirgahayu Bangsa DAP!

Di tengah-tengah kemesraan penetrasi Bangsa DAP terhadap para sasterawan negara,  kita lihat perkembangan terbaru apa bila para sasterawan negara dijadikan Resident Writer di universiti; tapi malangnya belum ada lagi jumlah pembayaran imbuhan bulanan yang sesuai dengan kedudukan mereka sebagai sasterawan picisan.  Semua yang terjadi ini adalah perkembangan baru hasil usaha Bangsa DAP untuk memikat para sasterawan yang memang sudah lama menunggu dedak daripada kerajaan.  Bangsa DAP memerlukan sokongan daripada para sasterawan picisan untuk memikat orang Melayu bahawa mereka adalah sahabat orang Melayu, walaupun mereka menentang kuat tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil. Tulisan Jawi hanya untuk orang Melayu, kerana mereka perlukan “bahasa Jawi” untuk membaca Quran.  Sampai begitu terbukanya Melayu kepada kerenah Bangsa DAP; sementara Bangsa DAP tetap menentang “bahasa Jawi” diperkenalkan kepada budak-budak Cina dan Tamil supaya mereka tidak tertarik kepada Islam yang mereka haramkan daripada dianuti oleh Bangsa DAP dan Bangsa Tamil.  Inilah makna perpaduan Malaysia dalam konteks mereka, yang orang Melayu mesti terima.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Maklumat Penting:




Sekitar tahun 1920-an hingga 1940-an, majalah yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, terutama di Kelantan, menggunakan istilah “al-adib” untuk memperkenalkan seseorang penulis, atau istilah pengarang yang sama maksudnya. Penggunaan istilah “al-adib” memperlihatkan kepekaan para editor majalah dan akhbar ketika itu kepada tradisi penulisan dalam Islam yang berasaskan al-adab itu. Sebaliknya, ketika Asas 50 ditubuhkan, para pendukung pertubuhan itu tidak lagi mengenal istilah itu, oleh itu dalam tulisan-tulisan mereka tidak wujud sama sekali kesedaran kepada wujudnya tradisi penulisan dalam Islam. Asas 50 mengambil contoh dan teladan dari Barat sepenuhnya, dengan itu memutuskan sama sekali apa juga ikatan dengan warisan persuratan Melayu yang berasaskan ilmu dan nilai-nilai Islam. Apabila mereka memperkenalkan sajak dan cerita pendek dalam karya-karya mereka, mereka membebaskan diri mereka daripada apa juga pengaruh Islam. Demikianlah akhirnya sebuah novel Salina yang pada mulanya ditolak oleh juri peraduan kerana dianggap bertentangan dengan nilai-nilai Islam, menjadi karya besar setelah diiktiraf oleh seorang sarjana Belanda sebagai sebuah karya bertaraf antarabangsa. Maksudnya, sebagai sebuah karya yang tidak lagi bercorak Islam yang dianggap mundur dan menghalang kemajuan itu. Kini nilai-nilai Islam yang menjadi panduan dalam penilaian para juri itu disisihkan sepenuhnya, dengan itu Salina muncul sebagai karya besar sastera Melayu moden dan diletakkan sebagai sebuah karya unggul sehingga memungkinkan penulisnya dilantik menjadi sasterawan negara. Demikian cepatnya perubahan nilai berlaku dalam masyarakat Melayu: sesuatu yang mereka tolak pada mulanya, mereka terima dengan bangga setelah diiktiraf oleh sarjana Barat, dan mereka dengan itu tidak lagi berasa janggal memisahkan diri mereka dengan tradisi persuratan Melayu yang berasaskan nilai-nilai Islam itu. Dalam penilaian mereka terhadap karya itu, mereka memakai nilai-nilai sastera Barat sepenuhnya, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 1985.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16 September 2019.

Saturday, September 14, 2019

TIADA BEBAN DICARI BEBAN, PERGI KE PULAU BATU DIGALAS, PULANG MEMIKUL BIAWAK HIDUP



Tajuk kali ini agak romantik. Kalau anda tidak jelas maksud saya, sila rujuk kamus bahasa Inggeris untuk mendapat sedikit penjelasan untuk menghindarkan dari kekeliruan yang tidak perlu.  Sastera Melayu moden sebenarnya masih berada di alam romantik ini, belum lagi keluar dari mimpi yang penuh igauan yang ditinggalkan oleh Asas 50. Kemunculan sasterawan negara adalah usaha berani dan nekad Keris Mas dan kawan-kawannya untuk menobatkan Asas 50 sebagai asas perkembangan sastera Melayu moden. Barang siapa yang tidak tahu sejarah perkembangan intelektual Melayu, borak sisa Asas 50 ini akan diterima sebagai penerusan dari perkembangan terdahulu. Sebenarnya tidak. Asas 50 adalah pendukung faham Marxisme  dalam sastera Melayu, sedangkan sejak awal lagi persuratan Melayu dibina dan dibangunkan oleh para ulama dan cendekiawan Melayu berteraskan nilai-nilai Islam.  Untuk mendapat penjelasan lanjut, anda perlu membaca buku saya, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019).  Dalam buku itu dijelaskan bagaimana perubahan nilai berlaku dalam sastera Melayu hasil dari faham Marxisme yang dibawa oleh Asas 50 dengan slogan mereka “seni untuk masyarakat”.  Inilah juga slogan projek sasterawan negara yang diucapkan sebagal “sastera untuk pembangunan”.  Sila baca ucapan penerimaan Keris Mas yang disiarkan semula dalam buku yang diterbitkan oleh DBP yang mengandungi ucapan para sasterawan negara.

Ada tiga perkara atau faktor yang membuat sasterawan negara itu penulis picisan. Saya jelaskan begini.  Apakah motif saya menggunakan konsep picisan ini dalam penilaian saya terhadap para sasterawan negara dan anggota panel yang memilih mereka? Tujuannya untuk memberi penegasan penting tentang konsep ilmu yang benar dan peranan ilmu dalam penulisan dan penilaian karya kreatif. Kedua, untuk memberi anda kesedaran penting bahawa kini sudah berlaku perubahan penting dalam cara menganalisis dan menilai karya kreatif dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru. Ketiga, yang juga amat penting, untuk menyedarkan anda bahawa kegilaan anda kepada teori sastera Barat adalah tidak siuman, dan akan membuat anda mabuk teori tanpa memahaminya mengapa sesuatu teori dibangunkan dalam bentuk yang dipilih oleh pembina teori itu.  Saya yakin bahawa anda tidak faham membaca faktor ketiga ini, seperti yang dibuktikan daripada tulisan anda ketika menggunakan teori Barat dalam analisis anda. Semua kekeliruan ini anda boleh baca dalam kertas kerja para penulis kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara. Saya telah mengkritik agak keras penipuan intelektual ini ketika membicarakan kertas kerja ini. Jika anda meneliti dengan kritis kesimpulan ini, anda akan faham mengapa saya menggunakan konsep “picisan” ketika menulis tentang sasterawan negara dan penilaian para sarjana terhadap karya mereka.

Kecelakaan besar yang dibawa oleh para sasterawan negara ini ialah perubahan nilai seperti yang saya jelaskan dalam buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.  Perubahan paling besar ialah apabila golongan yang keliru dan cetek meraba-raba ini tidak tahu makna ilmu yang benar yang telah dijadikan asas penulisan oleh para ulama dan cendekiawan Melayu sejak beratus tahun, dan masih diteruskan oleh mereka hingga sekarang. Kemunculan para sasterawan adalah kemunculan golongan penulis kreatif yang terpisah jauh dari tradisi intelektual Melayu yang mengutamakan ilmu dan kesopanan dalam penulisan. Dua perkara ini ditendang keluar oleh para sasterawan dengan alasan kedua-duanya mengikat kebebasan mereka berkarya. Maka lahirlah novel-novel picisan yang kemudiannya diangkat menjadi novel penting dalam sastera Melayu setelah penulisnya diangkat menjadi sasterawan negara. Inilah pengkhianatan yang paling besar dalam kebudayaan Melayu, yang kemudiannya diajarkan di sekolah dan universiti sebagai hasil sastera yang bermutu. Contoh terbaik dalam kegilaan kepada kebiadaban ini diberi pembelaan oleh Shahnon Ahmad dalam Dewan Sastera 1997 yang mempertahankan kelucahan sebagai teknik sastera yang sah. Antara lain kata beliau, “Kelucahan, erotika dan pornografi itu adalah real; malah sudah pun melampaui batasnya di luar duga.” (DS, Oktober 1997, hal. 43.)  Dengan alasan ini, maka ditulisnya novel TIVI yang kaya dengan unsur-unsur kelucahan melampau yang menurutnya itulah reality masyarakat Melayu.  Inilah antara hasil “sastera untuk masyarakat” yang paling unggul.  Tetapi bagi saya keunggulan yang sebenarnya ialah sikap para sarjana dan pengkritik sastera yang menerima kebiadaban ini sebagai hasil sastera yang bermutu dari seorang sasterawan negara.  Demikianlah karya picisan diangkat sebagai karya bermutu kerana ditulis oleh seorang sasterawan negara.


BAHAGIAN II


Tindakan meletakkan para sasterawan lebih tinggi daripada pemikir dan ilmuan adalah satu tindakan yang tidak rasional, satu tindakan yang tidak boleh diterima oleh akal sihat. Kenyataan ini diakui sendiri oleh ahli akademik  dan para sarjana yang membuat kesimpulan, dalam seminar tentang pemikiran para sasterawan negara, bahawa para sasterawan negara bukanlah pemikir, oleh itu tidak termasuk dalam golongan yang digelar ahli ilmu. Allah Ta’ala sangat memuji ahli ilmu, al-ulama, sebagai golongan yang takutkan Allah (al-Quran, 35: 28). Sasterawan tidak termasuk dalam golongan ini, malah segala tindakan mereka sebagai manusia dan dalam karya mereka sebagai sasterawan, lebih kerap dan lebih ketara sikap mereka yang menentang kebenaran dan tidak menerima hakikat taklif yang menjadi pegangan manusia yang berpandukan ilmu yang benar. Dari perspektif ini para sasterawan ini menolak kebenaran  dalam konteks taklif, dan sikap ini membuat mereka tidak rasional. Mereka tidak menerima hakikat insan menurut taklif sebagai prinsip penting dalam kehidupan manusia; dengan itu mereka hanyut dalam budaya hedonisme yang menjadi prinsip penting dalam kesusasteraan, yang membenarkan  mereka menulis perkara-perkara yang memuaskan kehendak hawa nafsu manusia, termasuk diri mereka sendiri. Kesimpulan ini boleh dilihat dengan jelas dalam semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Malah Panel Anugerah Sastera Negara sendiri pun tidak rasional dalam penilaian mereka. Contoh-contohnya telah saya berikan dalam beberapa post yang disiarkan dalam blog ini. Supaya kesimpulan ini tidak disalahtafsir dan diselewengkan maksudnya, anda harus membaca dengan teliti, menggunakan  akal sihat, Laporan 1985, Laporan 1991, Laporan 2009, dan Laporan 2012.  Sebagai contoh, dalam Laporan 2012, anda dapat kata-kata berikut:  “Beliau menghadiahkan kepada perbendaharaan kesusasteraan Melayu puisi yang indah, mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam [hal. 20]. ...  [Beliau] ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa ini. Puisinya semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani” [hal. 21].

Adakah ini kesimpulan yang rasional? Jawapannya diberikan oleh Prof. Rahman Shaari dalam syarahan perdana beliau, “Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu Tanggapan” (Universiti Malaya, 2004). Kata ini profesor: “Tidak ternafikan bahawa sajak tersebut merupakan salah sebuah sajak tentang kemerdekaan yang cukup bertenaga dan puitis” (hal. 65). Beliau merujuk sajak berjudul, “Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos” oleh Kemala. Itulah satu-satunya sajak sasterawan ini yang menarik perhatian Prof. Rahman Shaari. Beliau tidak langsung bercakap tentang pensajak ini yang “mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam” seperti yang ditegaskan dalam Laporan 2012.  Sekarang timbul persoalan akademik yang serius: adakah Panel Anugerah Sastera Negara telah tersalah penilaian sehingga sanggup memberi pujian yang begitu tinggi? Atau: Prof. Rahman Shaari itulah yang tidak nampak kehebatan pensajak ini? Jelas penciuman beliau telah gagal mencium “puisi yang semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.” Untuk menidakkan kemampuan intelektual dan kemampuan akademik Prof. Rahman Shaari yang sepanjang hidupnya sebagai ahli akademik meneliti dengan cermat perkembangan sajak-sajak Melayu, tetapi masih gagal mencium keharuman puisi kerohanian pensajak ini, tentulah tidak rasional, tidak masuk akal. Adakah ini bermakna kemampuan akademik beliau disangsikan? Jika benar, maka bagaimana pula beliau layak diberi kedudukan tinggi dalam bidang akademik sebagai seorang profesor sajak? Jika andaian ini benar, ternyatalah Panel Anugerah Sastera Negara telah membuat penilaian yang salah, mendakwa tentang kehebatan pensajak yang dinilainya tanpa mengemukakan sebarang bukti berupa contoh sajak yang membuktikan  penilaian mereka betul. Adalah lebih selamat untuk kita memihak kepada Prof. Rahman Shaari sebagai seorang pakar sajak yang tidak dapat disangsikan, dan kerana kepakarannya itulah maka beliau tidak mendapati sajak-sajak sasterawan negara itu benar-benar mantap, kecuali sebuah sajak tentang kemerdekaan yang mengikut penilaian saya tidaklah begitu istimewa, hanya sebuah sajak biasa saja yang banyak ditulis oleh pensajak yang bukan sasterawan negara.

Kerana adanya kontradiksi ini, kita perlu membersihkan nama sasterawan negara ini dengan Panel Anugerah Sastera Negara memberikan penilaian mereka dengan lebih teliti, analisis yang benar-benar kritis, supaya benar-benar mencerminkan kualiti sajak-sajak yang dinilai dalam Laporan 2012 itu.  Sehingga lahirnya penjelasan itu, maka kita masih berhak untuk menidakkan penilaian mereka yang ada sekarang,  tetapi sebaliknya menerima laporan itu sebagai penilaian yang tidak rasional dan sewenang-wenang.  Bagi sasterawan negara berkenaan, kedudukan ini tentulah mengaibkan beliau. Panel Anugerah Sastera Negara boleh menyanjung dan mengangkat beliau setinggi mana sekali pun, tetapi tentulah bukan untuk mengaibkan beliau dan mengelirukan pembaca.  Meletakkan sasterawan negara ini sebagai pensajak sufi tidak sesuai dengan maklumat yang ada pada kita yang kita ketahui, seperti yang dibayangkan dalam post yang lepas; selain dari itu, karya-karya sasterawan negara ini belum lagi diuji dengan tepat menggunakan ukuran yang sesuai dengan persajakan sufi yang diketahui umum. Penilaian yang salah akan merendahkan darjat sajak-sajak berunsur nilai-nilai kesufian sebenar. Aspek ini pun perlu dibahaskan dengan tuntas, tidak boleh dilempar begitu saja kepada khalayak.  Ini merupakan tanggungjawab akademik yang tidak boleh diremehkan begitu saja oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Kelemahan paling besar Laporan 2012 ialah penilaian terhadap sajak-sajak yang kononnya sajak-sajak sufi itu dibuat berasaskan nilai-nilai sastera Barat, terutama sekali  dengan menggunakan pendekatan “hermeneutik kerohanian” yang disesuaikan daripada teori sastera Barat.  Mengapa tidak sahaja digunakan ukuran Islam sepenuhnya?  Apakah yang menghalang Panel untuk berbuat demikian?  Dua soalan yang mudah, yang tidak mungkin dijawab oleh Panel Anugerah Sastera Negara untuk mengelak daripada membuka aib mereka sendiri.

Apakah yang mengaibkan tentang Panel Anugerh Sastera Negara ini?  Ramai yang tidak tahu kerana laporan yang mereka keluarkan tidak dijual untuk bacaan ramai. Laporan itu hanya diketahui oleh penyelidik dan sarjana sastera saja, yang berminat dalam bidang kritikan. Malah di antara mereka sendiri pun sedikit sekali yang tahu kandungan laporan itu, apatah lagi pembaca bermentaliti “gosip”, mungkin langsung tidak tahu bahawa laporan itu wujud.  Apakah yang mengaibkan tentang laporan itu? Pertama sekali, laporan itu menolak bulat-bulat apa juga penilaian yang bercorak Islam.  Mengapa? Jika karya para sasterawan negara itu dinilai daripada perspektif Islam, tidak seorang pun layak diberi gelaran sasterawan negara. Tidakkah ini amat mengaibkan? Sikap ini mengaibkan kerana semua sasterawan negara beragama Islam; penilai pula majoritinya Islam. Mengapa ketepikan pandangan Islam? Inilah yang amat mengaibkan. Inilah yang paling tidak rasional. Inilah yang menjadi sebab utama mengapa anugerah sastera mesti diganti dengan Hadiah Persuratan PETRONAS, untuk mengembalikan sifat siuman yang sudah hilang atau  paling tidak diketepikan sudah sekian lama. Jika anda teliti, anda akan lihat bagaimana seorang “pensajak sufi” (kononnya!) dinilai berasaskan teori Barat yang disesuaikan. Tidakkah ini amat mengaibkan? Mengapa sasterawan seorang ini pun tidak layak diberi penilaian berasaskan pendekatan Islam? Dia sendiri mahu dinilai daripada perspektif Islam supaya sifat kesufiannya terserlah; apa alasan Panel untuk menolak permintaannya?  Kita perlukan penjelasan, sekurang-kurangnya dalam satu makalah panjang; tetapi lebih baik dan lebih bermaruah jika ditulis sebuah buku supaya semua kemusykilan yang dibangkitkan dapat ditolak dengan memberikan hujah dan pembuktian yang rasional, bukan yang bercorak “cetek meraba-raba”.

Ketika pendekatan Islam ditolak oleh Panel Anugera Sastera Negara, pada waktu yang sama mereka mendakap erat teori dan pendekatan Barat sebagai satu-satunya ukuran yang boleh berlaku adil kepada para sasterawan negara. Maka terjadilah penilaian yang amat mengaibkan, yang terutama sekali dapat dilihat dalam empat laporan yang disenaraikan di atas, yang keseluruhannya memberi isyarat yang salah dan songsang terhadap ukuran yang dipakai untuk menentukan “kehebatan” sasterawan negara yang mewakili laporan tadi.  Saya telah menulis tentang perkara ini, oleh itu tidak mahu mengulanginya di sini.  Saya hanya ingin membicarakan beberapa kesan negatif terhadap sistem nilai yang seolah-olah tidak kelihatan, tetapi dapat dilihat kesannya. Ini terjadi apabila Panel Anugerah Sastera Negara membiarkan sastera Melayu moden tumbuh liar tanpa sebarang panduan dari segi teknik mahu pun dari segi tema, kerana mereka percaya karya yang bermutu tidak perlu mempunyai sebarang mesej, tidak didaktik, dan tidak mempunyai matlamat tertentu, juga tidak perlu menekankan soal moral (rujuk terutamanya Laporan 1985). Inilah kesan negatif faham realisme Barat yang dipraktikkan dalam sastera Melayu moden, yang diberi pengiktirafan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Faham sastera begini melahirkan kekeliruan kognitif (cognitive dissonance) di kalangan anggota Panel sendiri, yang jelas dapat dilihat dalam laporan yang disenaraikan di atas.  Antaranya yang terkenal ialah kesimpulan Panel 2009 yang menganggap sebuah cerita pendek sasterawan negara tahun itu berbentuk filosofikal, kerana kononnya membicarakan kehidupan bebas moral seperti kehidupan binatang yang bersenggama, mencari pasangan baru, dan sebagai manusia binatang yang boleh berbicara, kehidupan moden itu penuh dengan pembohongan.  Apakah yang filosofikal dalam cerita pendek ini? Panel tidak ada pilihan melainkan memuji cerita pendek ini kerana inilah antara beberapa buah cerita pendek sasterawan ini yang dianggap bermutu; akibat terlalu ingin memuji sebuah karya yang biasa saja, Panel mengangkat karya ini dengan memberinya kedudukan sebagai sebuah karya “filosofikal” tanpa apa-apa penjelasan. Cara begini digunakan pula dalam Laporan 2012, seperti yang dijelaskan di atas. Semua ini tidak lebih daripada retorik pujian yang tidak mempunyai apa-apa makna, kecuali untuk mendendangkan pujian semata-mata, walaupun tidak benar. Dilihat dari segi ini, Panel dengan sedar berusaha menyelewengkan pembaca yang tidak kritis untuk menganggap karya-karya yang dipuji mereka benar-benar bermutu, walaupun dari segi perincian teliti tidak begitu. Jelas sekali terdapat sikap anti-ilmu di kalangan anggota Panel, ketika mereka melontarkan kesimpulan mereka seperti yang disebut di atas. Inilah kesan penyelewengan nilai yang dibina dan digalakkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dan dari segi inilah kewujudan Panel Anugerah Sastera Negara menghalang kemajuan dalam kritikan dan penilaian sastera di Malaysia.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 14 September 2019.




Thursday, September 12, 2019

SIAPAKAH PEMBACA NOVEL MELAYU?



Siapakah di antara raja-raja Melayu yang baca novel, cerita pendek, dan sajak? Pertanyaan ini nakal, tetapi bagi sasterawan negara sangat penting. Mereka telah mendapat restu dan pengiktirafan daripada DYMM Agong yang menyampaikan Anugerah Sastera, jadi tentulah DBP memastikan karya sasterawan negara sampai ke istana. Kalau dibaca oleh jongos istana pun sudah cukup baik, tandanya sudah mendapat berkat di raja. Bagaimana dengan buku-buku saya sendiri? Ini yang lucu. KP Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pengerusi Lembaga Pengurusan DBP pun tidak baca, apatah lagi para kerabat.  Kalau  begitu, siapakah yang membaca buku-buku saya? Yang pasti, anak saya sendiri pun tidak pernah pegang buku-buku saya, walaupun mereka barangkali tahu saya seorang penulis. Kalau begitu, untuk siapa saya menulis? Jawapannya saya berikan di dalam Pujangga Melayu: “Karya-karya ayah untuk orang yang berfikir, bukan untuk si pandir. Profesor Awang Yusuf memperingatkan Fatimah, anaknya.” Ada satu pertanyaan yang lucu, walaupun serius: “Kalau begitu, siapa yang tidak membaca Pujangga Melayu adalah seorang yang pandir?”  Kepada siapakah pertanyaan ini patut ditujukan? Saya memperingatkan yang bertanya, pertanyaan itu sangat angkuh. Kita tidak boleh memaksa orang berak, biarlah dia berak sendiri; begitu juga dalam baca-membaca ini.

Selamatlah jiwa yang sempurna.


Petaling Jaya, 12/9/2019