Saturday, June 13, 2015

KEKELIRUAN YANG MEMBAWA KEPADA SIKAP BIADAB TERHADAP ILMU DAN KEBUDAYAAN MELAYU



Buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa (2014) yang menghimpunkan makalah yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia adalah sebuah buku yang amat aneh, yang dari satu segi menggambarkan dengan tepat sekali kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas 1972 (Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, syarahan pengukuhan UKM) bahawa para sasterawan dan sarjana sastera adalah golongan pinggiran yang “cetek meraba-raba”;  dari segi lain pula buku ini tidak langsung mempunyai kredibiliti akademik dan tidak juga mempunyai tanggungjawab moral yang membolehkan “sastera” itu dijadikan teras negara bangsa. Pertama sekali, konsep dan praktik sastera dalam kebudayaan Melayu tidak dijelaskan dengan tepat; oleh itu percubaan Ketua 1 PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam pendahuluannya tidak dapat diterima, dan harus ditolak kerana beliau hanya berbicara tentang “sastera” dalam konteks Barat yang bertentangan dengan praktik persuratan yang menjadi warisan dalam kebudayaan Melayu. Dengan itu beliau menolak konsep ilmu yang benar, yang menjadi tunjang persuratan Melayu, yang sebenarnya telah juga  ditolak oleh para sasterawan, termasuk para sasterawan negara. Saya telah menghuraikan aspek ini dalam beberapa tulisan sama ada yang dimuat dalam blog ini atau yang diterbitkan dalam belbagai penerbitan (buku, makalah dan ceramah).  Kalau mereka, para sarjana dan sasterawan, benar-benar yakin sastera itu sesuai dijadikan teras negara bangsa, mereka harus membuktikan terlebih dahulu  dengan mengemukakan hujah dan bukti berasaskan penelitian yang mendalam sumbangan para sasterawan ini. Pada ketika ini kita hanya mempunyai satu pandangan sahaja, yang diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang telah saya buktikan amat cetek dan bertentangan dengan kualiti sebenar karya para sasterawan negara. Dalam entri bertarikh 8/6/2015 saya telah memberi pukulan maut dari segi hujah dan analisis berasaskan tulisan para sasterawan dan tafsiran para sarjana bahawa “sastera” tidak sekali-kali dapat dijadikan asas atau teras negara bangsa kerana mereka (sarjana dan sasterawan) membawa perubahan yang negatif dan amat mengelirukan dalam karya sastera dan juga dalam tafsiran para sarjana terhadapnya. Sila baca juga “Keunggulan yang Cacat” bertarikh 28/10/2014. Seterusnya entri bertarikh 1/12/2014.  Hujah-hujah yang dikemukakan dalam tulisan itu membuktikan tanpa sebarang keraguan akan kepalsuan hasrat para sarjana dan sasterawan untuk menjadikan “sastera” teras negara bangsa. Jika anda serius dalam persoalan  ini, anda harus membuktikan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tidak tepat dan huraian saya sendiri juga tidak menggambarkan hakikat sebenar kepalsuan sastera yang didewakan sekarang. Seterusnya, saya telah membicarakan aspek ini dalam episod “Wajah Warna” dalam Balai Maqamat, yang mengemukakan “konsep kejahatan” yang menjadi falsafah para sasterawan dan sarjana sastera, dan konsep “kedurjanaan” dalam kebudayaan Melayu moden. Lihat terutama sekali dialog hal. 310, yang dengan tepat menggambarkan novel Naratif Ogonshoto yang mulia dan terunggul itu dalam sastera Melayu moden. Dialog itu ditulis 2004,  sebelum novel itu diterbitkan; dengan itu pemerhatian saya adalah tepat sekali dan ini saya hujahkan lagi dalam “Keunggulan yang Cacat”. Kemuncak kritikan saya tentang kepalsuan ini ialah siri tulisan saya yang menolak teksdealisme Mana Sikana sebagai penyelewengan ilmu dalam sastera Melayu. Anda mempunyai cukup bukti untuk menolak kesimpulan saya dan Prof. Syed Muhammad  Naquib al-Attas dengan membaca sehabis kritis dan analitis tulisan saya dan Prof. al-Attas.  Ini satu permintaan yang adil untuk membuktikan kepalsuan ungkapan “sastera teras negara bangsa” itu bertentangan dengan konsep ilmu yang benar yang menjadi warisan persuratan Melayu.

Pemilihan sasterawan negara adalah bertentangan dengan polisi bahasa Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan dijadikan tugas utama Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang bermaruah. Untuk memajukan sastera tidak bererti mengkhianati tugas yang telah dijadikan fasal penting dalam Perlembagaan Malaysia. Karya para sasterawan negara tidak sedikit pun mencerminkan keunggulan pemikiran yang mengarah kepada perkembangan ilmu yang benar; sebaliknya lebih memberi perhatian kepada “kebebasan” palsu dalam khalayan dan kelangsungan falsafah hidup hedonistik yang dilaksanakan di Barat, yang telah pun mendapat kritikan tajam sejak tahun 1930-an lagi. Untuk memahami aspek ini, sila rujuk buku Pitirim A. Sorokin, The Crisis of Our Age: The Social and Cultural Outlook (diterbitkan 1941). Lihat juga buku David Ehrenfeld, The Arrogance of Humanism (OUP, 1978) yang membicarakan tentang kehilangan agama di Barat. Buku John M. Ellis, Against Deconstruction, (Princeton University Press, 1989) menghuraikan dengan mendalam dan kritis tentang kepalsuan teori deconstruction anjuran Jacques Derrida yang satu ketika dulu menjadikan para sarjana sastera Amerika Syarikat mabuk teori, yang juga menjangkiti sarjana Malaysia (rujuk Muhammad Haji Salleh, Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan, syarahan perdana UKM 1989 yang menggesa sarjana Malaysia menerima deconstruction sebagai model; dan sanggahan saya dalam Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu, 1994; tulisan asal dalam Dewan Sastera, Mac-Julai  1991). Para sarjana dan sasterawan sepatutnya sudah sedar, jika mereka mengikuti perkembangan ilmu, bahawa sasterawan negara adalah tokoh penglipur lara moden yang terpisah dari warisan persuratan Melayu, dengan itu kehadiran mereka tidak diperlukan. Penjelasannya saya berikan dalam tulisan yang dimuat di sini. Untuk kembali kepada kehendak Perlembagaan Malaysia, dan memberi makna serta maruah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, saya mencadangkan supaya diwujudkan “Hadiah Persuratan PETRONAS” yang dikemukakan dalam seminar DBP 2006 mengenai peranan sayembara sastera. (Seminar: Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan, 25 Mei 2006. Tajuk kertas: “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis”,  91 halaman.)  Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 anjuran ITBM sepatutnya membincangkan dengan mendalam aspek perkembangan ilmu melalui persuratan ini, tetapi tidak disentuh langsung.  Sudah tiba waktunya persoalan ini dibincang dengan mendalam oleh mana-mana pihak  yang berasa bertanggungjawab untuk memperkembangkan ilmu melalui persuratan Melayu. Jika kekeliruan ini dibiarkan, dengan misalnya terus menerima kehadiran penglipur lara moden dalam Anugerah Sastera Negara, maka kita secara langsung telah mengkhianati polisi bahasa yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia. Sekurang-kurangnnya langkah pertama perlu dilaksanakan, iaitu dengan meneliti secara kritis sumbangan para sasterawan negara daripada perspektif ilmu dan perkembangan bahasa Melayu yang mencerminkan peradaban Melayu yang diwarisi melalui persuratan Melayu. Kritikan sastera Melayu seharusnya ditingkatkan dengan diberi darjat yang sepatutnya berasaskan konsep ilmu yang benar.  Sasterawan negara tidak akan gila jika sumbangan mereka dianalisis berasaskan konsep ilmu yang benar, malah mereka akan dapat diserlahkan sebagai golongan yang benar-benar memberi sumbangan ilmu dalam peradaban Melayu. Kini mereka belum lagi dibuktikan telah mencapai taraf itu; walaupun mereka dianggap lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang telah membina tamadun Melayu berasaskan ilmu yang benar melalui persuratan Melayu. Takrif sastera dan kritikan sastera yang kita pakai sekarang perlu diperjelaskan dengan tepat sama ada mendorong kepada perkembangan ilmu yang benar dalam pembinaan tamadun atau hanya berlegar dalam pretensi intelektual yang sebenanya bertentangan dengan konsep ilmu yang benar yang kita warisi dalam persuratan Melayu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 13 Jun 2015.

Catatan:  Makna maqamat ada dijelaskan dalam buku Dr. Hadi Mutamam, M. Ag.: Maqam-maqam Sufi dalam al-Quran: Studi Terhadap Tafsir Mafatih al-Ghaib; lihat nota kaki hal. 97.  Tafsir Mafatih al-Ghaib adalah judul tafsir Fakhr al-Raziy. Boleh didapati daripada Sdr. Wan Mohd. Said Wan Seman, H/P 017-3126 211. Ketika kulit Balai Maqamat sedang disediakan, saya diminta memberi cadangan. Saya cadangkan supaya diambil wakaf (Kelantan) sebagai lambang. Cadangan itu tepat, kerana menurut Dr. Hadi, "maqam dapat juga dimaknai sebagai tempat perhentian", seperti wakaf di Kelantan.  Dalam setiap "Balai" (wakaf) terdapat episod utama; contoh dalam Balai Kedua, "Rumah Impian Polan Cupan". Seterusnya anda boleh fikirkan sendiri jika anda membaca Balai Maqamat dengan kreatif dan kritis. Jika anda seorang pembaca yang mempunyai unsur humor yang sihat, anda boleh saja bandingkan Balai Maqamat dengan karya para sasterawan negara. Ketika itu anda boleh "mengajar" saya secukupnya kerana mengkritik karya para sasterawan negara dan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara. Anda akan faham mengapa saya anjurkan anda tidak membaca karya sasterawan negara (entri 31/12/2014).

Monday, June 8, 2015

ANTARA CABARAN INTELEKTUAL DENGAN OCEHAN RETORIK TEH TARIK ...



Kategori sarjana ciritan yang saya selokakan dalam Balai Maqamat sudah lama wujud dalam sastera Melayu, oleh itu bukanlah satu tuduhan atau satu anggapan tidak berasas. Kehadiran sarjana ciritan ini sangat ketara dalam kertas kerja untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara, tetapi ini tidak bermakna tidak ada kertas yang relatif baik walaupun memang tidak ada kertas kerja yang tinggi kualiti akademik dan analisisnya. Kemunculan sarjana ciritan tidak dapat dielakkan, kerana inilah hasil penerokaan cetek para sarjana ini ketika memasuki rimba teori sastera Barat.  Bagi para sarjana ciritan, tidak ada sastera Melayu moden tanpa pengaruh dari sastera Barat. Tidak ada kritikan sastera Melayu tanpa teori sastera Barat.  Panel Anugerah Sastera Negara selalu menekankan aspek pembaharuan dan eksperimen dalam penulisan kreatif; berasaskan ini, mereka menegaskan bahawa semua sasterawan negara terlibat dalam pembaharuan dan sebagainya itu. Bagaimana mereka memberi takrif kepada pembaharuan dan eksperimen jika andaian tadi, perihal tiada sastera Melayu tanpa pengaruh sastera Barat, dan tiada kritikan sastera Melayu tanpa teori sastera Barat, jika itulah hakikat sastera Melayu moden? Lebih tepat jika sastera Melayu moden itu dianggap sebagai appendiks kepada sastera Barat, sesuai dengan andaian tadi. Demikian juga kritikan sastera Melayu, yang tidak lebih daripada penerokaan bersifat tiruan semata-mata.  Bukti terbaik ialah syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Menurut Prof. Siti Hawa Salleh (dalam Budi Kencana), apa yang  dibuat oleh profesor itu hanya “mengujarkan” saja perkara yang sudah sedia diketahui, tanpa sesuatu yang baru (hal. 255). Analisisnya cetek dan kesimpulannya tidak mencerminkan perkembangan sebenar dalam sejarah kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam dan konsep ilmu.  Sifat ciritan ini dibuktikannya lagi dalam kertas kerja beliau yang diterbitkan oleh ITBM dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa yang memuat kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.  Kertas kerja itu mengenai pertapaan beliau di atas bumbung kilang besi berkarat, yang mendorong beliau mengajak para penulis Malaysia mencontohi Salman Rushdie yang mengutuk Nabi Muhammad SAW dalam novelnya The Satanic Verses. Buku Sastera Teras Negara Bangsa itu sendiri adalah contoh dan bukti betapa meluasnya kegiatan sarjana ciritan yang menolak konsep ilmu dalam sastera Melayu kerana mereka berpendapat bertentangan dengan teori sastera Barat yang menjadi ikutan mereka. Tidak ada perbincangan tentang peranan ilmu yang benar dalam seni mengarang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak itu dan dalam kertas kerja yang diterbitkan. Apa lagi bukti yang kita mahu? Mungkin satu lagi bukti, yang boleh dijadikan contoh, yang boleh meyakinkan kita bahawa kehadiran sarjana ciritan ini sangat menonjol dan terlalu angkuh menyerlahkan sifat ciritan mereka. Sebuah buku yang berasal daripada tesis Ph.D. telah diterbitkan oleh USM, berjudul Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (2012), yang telah diberi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dalam kategori buku kajian ilmiah terbaik. Buku kajian ini memperkenalkan pendekatan feminisme dalam kritikan sastera Melayu, yang menolak secara total nilai-nilai ilmu dalam Islam dan nilai-nilai murni dalam kebudayaan Melayu. Buku ini menerima karya picisan dan lucah sebagai gambaran sebenar citra wanita Melayu/Islam. Akhirnya saya ingin kemukakan satu contoh lagi untuk memperlihatkan betapa kukuhnya hegemoni para sarjana ciritan ini dalam kritikan sastera Melayu.  Contoh paling menarik ialah panel penilai yang dilantik oleh DBP untuk menilai buku kritikan 1992/1993. Panel berkata, buku Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid tidak layak dipertimbangkan kerana tidak ada diplomasi. Supaya anda dapat melihat bagaimana para sarjana ciritan membuat penilaian mereka, kita baca komen mereka terhadap buku itu: “Karya Mohd. Affandi Hassan didapati baik daripada segi idea utama dan pendekatannya yang berdasarkan ajaran tauhid daripada Islam. Walau bagaimanapun, panel menemukan kecenderungan pengarang untuk mempersalahkan golongan tertentu dengan menggunakan ruang-ruang tersirat dengan cara yang kurang diplomatik. Pada bahagian awal lagi, iaitu di halaman 3 buku ini, pengarang telah mengatakan tiada usaha daripada orang lain untuk membezakan antara unsur-unsur Islam dalam karya dengan sastera Islam sebagai satu disiplin dalam penulisan karya kreatif.  Usaha penulis terdahulu danggapnya menimbulkan keriuhan sahaja. Perbandingan yang dianggap tidak diplomatik ialah bahawa usaha yang terdahulu menyamai seorang lelaki yang memaki pakaian Barat yang lengkap dan kemas, tetapi menaruh ketayap dan serban besar di kepalanya. Panel berpendapat, kata-kata demikian tidaklah menjadi masalah dalam penulisan esei biasa demi mencapai gaya dan membina identiti, tetapi tidak sesuai diaplikasikan dalam sebuah buku kritikan yang serius dan memuatkan ilmu.” (Dewan Sastera, Disember 1994, hal. 88). Tentu saja pandangan begini kurang ajar dan biadab, kerana diasaskan hanya pada satu halaman, itu pun separuh saja, yang tertulis dalam pendahuluan buku ini yang menyatakan mengapa buku itu penting diberi perhatian serius. Tidak sepatah pun disentuh isi kandungan buku itu, seolah-olah bagi mereka tidak wujud dan tidak penting sama sekali, kerana yang lebih penting ialah “pakaian Barat yang lengkap dengan ketayap dan serban besar”. Inilah kesan ajaran “kurang ajar” yang dilahirkan dalam sajak “Pulang Si Tenggang” itu, yang akhirnya melahirkan sarjana ciritan dalam kritikan sastera Melayu. Hingga kini belum ada lagi sanggahan terhadap buku itu, untuk membuktikan unsur diplomasi (satu ukuran yang pelik dan tidak siuman) yang digembar-gemburkan oleh panel ini telah menjadikan semua huraian dalam buku ini tidak relevan. Panel sangat tertarik dengan sebuah buku lain kerana “memperlihatkan kesungguhan menerapkan teori-teori Barat secara kritis dalam kesusasteraan Melayu Tradisional.” Anggota panel terdiri daripada Aziz Deraman, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pengerusi, dibantu oleh Dr. Mohd. Yusof Hassan, Dr. Solehah Ishak, Dr. Shafie Abu Bakar, Dr. Othman Puteh, Dr. Sahlan Mohd. Saman, Rahman Shaari, Kamaruzzaman Abdul Kadir, Dr. Mohd. Khalid Taib, Dr. Abdul Rahman Napiah (aka Mana Sikana), Abdullah Tahir.

Sebagai perbandingan, baik juga disebut di sini laporan Shamsuddin Jaafar tentang Nadwah Kesusasteraan Islam dengan tema “Ketakwaan dalam Kreativiti” (Dewan Sastera, Januari 1994, hal. 18) yang kemudiannya diterbitkan sebagai sebuah buku oleh DBP. Kesimpulan ini berbeza dengan pandangan panel: “... buku Mohd. Affandi Hassan, Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid banyak disebut dalam nadwah itu sebagai model ...” (hal. 19). Mungkin dalam nadwah itu sarjana ciritan berdiam diri!  Dalam nadwah itu, Mana Sikana membentangkan teksdealisme sebagai satu-satunya teori sastera Malaysia yang menjadikan unsur Islam sebagai asas, tetapi nampaknya tidak mendapat sambutan. Memang tidak patut!  Mungkin inilah yang kemudiannya mendorong beliau membuang unsur Islam itu dalam teksdealisme, dengan menggantikannya dengan segala macam unsur pascamodenisme dan seterusnya. Beliau kemudian menjadikan teksdealisme sebagai sejenis “ukuran” (??) untuk meletakkan sasterawan negara di atas takhta keunggulan, tanpa memperdulikan lagi unsur Islamnya, untuk lebih selamat dan cocok dengan karya para sasterawan negara. Ini suatu contoh yang baik bagaimana “satu teori sastera dipinda” untuk disesuaikan dengan karya sasterawan negara. Adakah ini satu contoh bagaimana sarjana ciritan menjual “ilmu” dengan harga murah?

Kerosakan paling besar, dan paling serius, yang dilakukan oleh para sarjana ciritan ini ialah apabila mereka, tanpa rasa tanggungjawab moral dan akademik, cuba mengubah sistem nilai masyarakat Melayu dengan memperkenalkan sikap baru berasaskan konsep kurang ajar. Dalam tangan mereka sikap kurang ajar ini diberi kedudukan tinggi dan diberi pandangan positif sebagai semangat baru untuk mencari kemajuan dan perubahan. Inilah yang terjadi dengan terciptanya sajak “Pulang Si Tenggang” oleh sasterawan negara Muhammad Haji Salleh. Sikap kurang ajar yang menjadi ajaran penting dalam sajak ini kini diberi tafsiran baru oleh Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Hassan, yang menulis dalam satu seminar, yang tulisannya disiarkan dalam Sastera Teras Negara Bangsa, bahawa Si Tenggang mempunyai sikap positif untuk berjaya dalam hidupnya yang patut dicontohi oleh para pelajar universiti. Menurut profesor ini, “Di balik unsur moral dan pengajaran yang ditekankan, kisah Si Tenggang juga memperlihatkan nilai positif. Kerana kemiskinan, Si Tenggang bercita-cita untuk menjadi kaya dan terkenal. Di sini memperlihatkan bahawa Si Tenggang ada matlamat, iaitu ingin menjadi kaya dan terkenal.” (hal. 194).  Profesor ini tidak menjelaskan, bahawa apa yang dianggapnya kejayaan itu, telah ditolak oleh kebudayaan Melayu yang lebih mementingkan pengajaran moral yang unggul. Kejayaan itu akhirnya menjadi batu, dan kutukan sepanjang zaman. Adakah ini bentuk kejayaan yang ingin dicapai dan diajarkan kepada para mahasiswa universiti? Demikianlah, pendapat sarjana ciritan ini hanya berjaya mengaburkan sistem nilai yang sudah diterima untuk digantikan dengan kejayaan yang sia-sia kerana kejayaan itu sendiri menghancurkan sistem nilai yang unggul tadi. Jelaskan ini kepada para pelajar jika anda bukan sarjana ciritan. Kerana kabur dalam soal nilai ini, maka seorang sasterawan negara menulis novel yang paling unggul menurut para sarjana ciritan ini, Naratif Ogonshoto, yang menjadikan kejahatan sebagai lambang kejayaan dan “keunggulan” seorang ahli politik. Betapa kaburnya dan silapnya pendekatan begini diserlahkan dengan jelas apabila sasterawan ini mengkhianati kisah al-Quran tentang Nabi Nuh ‘a.s. yang disamakan dengan cerita karut dan khayal tentang terjadinya tsunami yang tidak menghapuskan kejahatan seperti dalam kisah Nabi Nuh ‘a.s., tetapi sebaliknya meneruskan kejahatan itu dengan menyelamatkan tokoh-tokoh jahat dan tidak bermoral. Sikap biadab ini dipuji oleh seorang sarjana yang menulis tentang  intertekstualiti dalam novel Melayu yang memberi pujian tinggi kepada novel picisan ini. (Rujuk Dr. Mawar Shafie, Novel Intertekstual Melayu, 2010). Demikianlah usaha para sarjana ciritan ini diperjuangkan oleh mereka dan  dipertahankan dengan gigih sebagai satu pencapaian yang tinggi, dan unggul, dalam kesusasteraan Melayu moden. Semua ini adalah gambaran bullshit dalam sastera Melayu moden. Inilah yang disebut sebagai “takhta keunggulan” oleh Mana Sikana dalam bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan. Inilah corak pengajaran sastera yang dilaksanakan di Malaysia pada waktu ini, yang tidak saja merosakkan minat sastera di kalangan  pelajar, tetapi juga telah mengaburkan makna kebaikan dan nilai-nilai murni yang kononnya menjadi teras pengajaran sastera di Malaysia. Kekaburan  dan kekeliruan inilah yang menjadi tajuk buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa. Bagaimanakah sastera yang corak nilainya seperti ini, dengan pendekatan pengajaran sastera yang menyanjung kejahatan, boleh menjadi teras negara bangsa?  Tidak mungkin para sarjana dan sasterawan Malaysia sudah sesat sejauh ini!

Peringatan saya yang saya tulis dalam sebuah makalah yang disiarkan dalam Mastika, Oktober 1991, hal. 24, masih tetap relevan: “Kita harus tahu seberapa banyak yang kita terdaya mengetahuinya; tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu.”


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  6/6/2015.






Monday, June 1, 2015

TEKSDEALISME LAMBANG PANDIRISME DALAM KRITIKAN SASTERA

Para sasterawan, pengkritik dan sarjana sastera, dan para pelajar sastera, telah diperbodohkan begitu lama oleh Mana Sikana melalui teksdealisme yang pada hakikatnya hanya sejenis bullshit semata-mata, yang tidak mempunyai kualiti akademik, apatah lagi unsur ilmu di dalamnya. Mengapa mereka ini membiarkan diri mereka diperbodohkan sekian lama? Inilah masalah kritikan sastera kita yang nampaknya tidak disedari oleh para sarjana dan pengkritik sastera sendiri.  Mengapa mereka tidak menyedarinya? Jawapannya telah diberikan dengan jelas dan tegas oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972 tentang Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu.  Dalam syarahan yang sudah menjadi kayu ukur syarahan perdana selepasnya itu, Prof. al-Attas menegaskan bahawa para pujangga/sasterawan Melayu adalah golongan pinggiran yang cetek meraba-raba, tidak memahami kebudayaan sendiri dan tidak pula kebudayaan Barat yang mereka jadikan panduan mereka.  Mana Sikana juga termasuk dalam golongan pinggiran yang cetek meraba-raba ini. Mereka ini tidak tahu apakah asas tamadun Melayu dan apakah nilai utama yang menjadi terasnya.  Mereka juga tidak faham apakah teras kritikan sastera Barat dan apakah matlamat teori kritikan itu. Apabila Mana Sikana mengemukakan teksdealisme sebagai teks yang ideal, teks yang unggul, tidak seorang pun antara sasterawan dan sarjana serta pengkritik sastera meminta Mana Sikana memberi penjelasan terperinci apakah yang dimaksudkan dengan teks yang unggul itu. Apakah ukuran keunggulan, adakah terhadap penulis atau karyanya?  Apakah yang hendak dinilai dalam konteks keunggulan sesebuah teks? Apakah ciri-ciri keunggulan yang digunakan? Mengapa ciri itu menjadi pilihan, bukan yang lain?  Adakah ciri itu menjadi ciri kejayaan sesebuah karya? Bagaimana ciri itu diberi penekanan dalam penilaian karya yang unggul? Pertanyaan akhir ini bermaksud, ciri manakah yang menjadi penentu yang juga menjadi ciri utama; dengan disokong oleh beberapa ciri tambahan yang benar-benar meyerlahkan keunggulan sesebuah karya. Semua ini tidak ada dan tidak diberi penjelasan oleh teksdealisme. Ini tidak dapat dilakukan oleh Mana Sikana kerana beliau tidak mempunyai persediaan intelektual untuk membicarakan sesuatu isu berasaskan pemikiran sendiri. Mana Sikana adalah peniru paling unggul dan paling ulung dalam kritikan sastrera Melayu, dan semua ini dibuktikan dengan begitu jelas dalam buku-buku beliau yang penuh dengan ambilan dari Barat tanpa difahami dengan mendalam. Mana Sikana adalah kakak tua kritikan sastera Melayu.

Penerimaan sarjana dan sasterawan, termasuk pengkritik sastera terhadap teksdealisme adalah bukti bahawa standard yang menjadi pegangan mereka adalah terlalu rendah, akibat keupayaan  intelektual yang terbatas, oleh itu tidak dapat melihat betapa naifnya teksdealisme yang mereka terima sebagai “teori” sastera, walaupun tidak menampilkan dan tidak mempunyai ciri-ciri teori sastera hatta seperti yang difahami di Barat sekali pun.  Tradisi intelektual Islam memberikan perhatian dan penekanan yang penting kepada konsep ilmu yang benar sebagai asas segala jenis ilmu dalam pelbagai bidang. Kesedaran ini tidak ada pada para sarjana, pengkritik dan sasterawan dalam sastera Melayu, kerana mereka tidak mendapat pendedahan dalam sejarah pemikiran Islam.  Sekiranya mereka mendapat pendedahan paling minimum sekali pun, mereka tidak meletakkan ilmu sebagai asas dalam perkembangan tamadun manusia, walaupun di Barat sendiri konsep ilmu seperti yang mereka konsepsikan tetap menjadi asas tamadun mereka. Apabila terdapat para sarjana dan pengkritik sastera menegaskan bahawa di dalam konsep sastera itu sendiri terungkap dengan tegas konsep ilmu, dengan itu menurut mereka sastera adalah pancaran ilmu, maka mereka sebenarnya tidak mempunyai hujah, hanya anggapan kosong dan palsu yang tidak pernah mereka buktikan. Sebaliknya, semua karya  kreatif para sasterawan, termasuk sasterawan negara, tidak memberi penekanan kepada konsep ilmu hatta daripada perspektif Barat sekali pun. Ambil saja mana-mana karya para sasterawan negara, nescaya anda akan dapati karya mereka tidak disandarkan kepada konsep ilmu, tetapi disandarkan sepenuhnya kepada emosi dan imaginasi. Saya telah menjelaskan perkara ini dalam entri yang lepas ketika membicarakan karya Muhammad Haji Salleh dan A. Samad Said. Sekarang anda mempunyai peluang untuk menyanggah kesimpulan saya dengan memberikan hujah dan pembuktian anda pula.  Saya menunggu hujah dan pembuktian anda. Sekurang-kurangnya saya telah membuktikan betapa naif dan palsunya apa yang disebut sebagai teksdealisme yang dengan tidak bertanggujngjawab meletakkan para sasterawan negara ini di takhta keunggulan, tanpa menghuraikan dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan keunggulan dan memberikan penjelasannya pula  apakah ciri-cirinya; juga tanpa sebarang usaha untuk membuktikan karya para sasterawan negara itu mempunyai isi yang bersifat intelektual. Karya mereka bersifat cerita yang tekniknya ditiru dari tradisi penulisan Barat, oleh itu tidak asli walaupun mereka mencampuradukkan dengan hikayat dan penglipur lara Melayu. Persoalan ini telah saya bincang dalam beberapa tulisan di dalam blog ini.

Sasterawan negara hanyalah tukang cerita yang dangkal dan tidak mempunyai visi dan misi yang berguna dalam pembinaan budaya ilmu di Malaysia. Karya mereka yang khayalan tidak mungkin dapat diterima sebagai karya serius yang bermutu, apatah lagi untuk dijadikan atau diterima sebagai karya yang unggul. Dengan contoh-contoh yang telah dipaparkan dalam siri tulisan mengenai teksdealisme yang naif dan bercorak bullshit ini, maka cabaran terbesar dalam penilaian terhadap karya para sasterawan negara ini ialah membuktikan sebaliknya daripada kesimpulan yang ditegaskan dalam siri tulisan ini. Pembuktian ini sukar dilakukan kerana laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri gagal, secara total, untuk membuktikan karya para sasterawan negara ini benar-benar mempunyai nilai intelektual dilihat dari perspektif konsep ilmu yang benar. Cabaran ini perlu disambut oleh mereka dengan tuntas untuk membersihkan nama para sasterawan negara sebagai tokoh sastera yang benar-benar layak berada di tempat mereka, yang amat jelas telah diberi penghormatan yang lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu, walaupun mereka adalah golongan pinggiran yang taraf ilmunya cetek meraba-raba. Kesimpulan ilmiah Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas ini belum lagi disanggah, oleh itu kedudukan mereka sebagai sasterawan negara akan tetap menjadi persoalan dan peranan mereka dalam pembinaan budaya ilmu tetap meragukan.  Teksdealisme telah gagal secara total untuk membela mereka dengan hujah yang mantap dan huraian yang kritis.  Meskipun para sasterawan negara ini telah dinilai dari segi “pemikiran” mereka (dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara), namun hasil yang ditunjukkan oleh para penulis kertas kerja seminar itu tidak satu pun membicarakan aspek “pemikiran” sebenar berasasksn konsep ilmu yang benar. Malah terdapat kesengajaan untuk tidak membicarakan aspek ini kerana terdapat andaian bahawa para sasterawan negara ini akan kelihatan sangat naif jika karya mereka dibicarakan dalam analisis yang kritis dan diberi penilaian berasaskan konsep ilmu yang benar itu. Tidak ada gunanya kita meletakkan para sasterawan negara di tempat yang tinggi jika kita takut untuk menilai mereka dengan objektif dan tepat, melihat kualiti sebenar karya mereka. Saya telah memulai aspek ini dalam entri bertajuk “Keunggulan yang Cacat”, membicarakan sumbangan para sasterawan negara ini daripada perspektif Persuratan Baru. Sekarang menjadi tugas anda, sebagai pengkritik sastera dan para sarjana handalan, untuk memberikan pendapat kritis anda terhadap penilian itu, supaya kedudukan para sasterawan negara ini benar-benar berasaskan ukuran yang tepat, berasaskan konsep ilmu yang benar (atau apa juga konsep yang anda fikir dapat menyerlahkan mereka daripada perspektif ilmu).  Para sarjana dan pengkritik sastera Malaysia kini sudah mempunyai tidak kurang dari  tiga puluh teori atau pendekatan kritikan yang memang mereka gunakan, tetapi nampaknya para sasterawan negara ini belum lagi dinilai dengan kritis dalam analisis yang menjurus kepada penerokaan sumbangan intelektual para sasterawan negara ini. Percubaan beberapa orang sarjana membicarakan mereka dari perspektif semiotik (oleh Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali) dan teori intertekstual (oleh Dr. Mawar Shafie) tidak menyentuh kualiti pemikiran Anwar Ridhwan yang mereka jadikan bahan tesis Ph.D. mereka, oleh itu yang mereka lakukan hanya “bercerita” tentang penulisan novel Anwar Ridhwan, bukan membicarakan kecanggihan pemikiran Anwar Ridhwan dalam novel-novelnya. Sudah jelas percubaan mereka telah gagal menyerlahkan Anwar Ridhwan sebagai sasterawan negara yang “berfikir”, sebaliknya hanya berjaya (itu pun dari aspek yang naif) memperlihatkan Anwar Ridhwan sebagai penglipur lara moden. Jika sasterawan negara hanya diserlahkan sebagai penglipur lara moden, maka tidak ada apa-apa yang menarik yang membolehkan mereka diberi kedudukan istimewa sebagai sasterawan negara.  Aspek ini perlu diberi perhatian supaya penilaian yang benar-benar mantap dan tepat akan dapat dijadikan hujah dan bukti untuk meletakkan mereka di tempat istimewa sebagai sasterawan negara yang lebih mulia dan lebih unggul daripada para ulama dan cendekiawan Melayu. Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh para sarjana dan pengkritik sastera.  Anda perlu tampil memberi pembelaan akademik kepada para sasterawan negara ini, bukan sekadar pujian kosong menggunakan fatamorgana bahasa  yang melemaskan mereka sendiri.   Apa juga bentuk pujian berasaskan pretensi intelektual tidak boleh diterima, oleh itu mesti ditolak.

Memperaku para sasterawan negara sabagai sasterawan istimewa membuktikan hanya satu perkara, iaitu perihal betapa ceteknya keupayaan akademik penilai, sarjana dan pengkritik sastera. Penerimaan terhadap mereka adalah bukti yang jelas dan tepat akan kegagalan pengajaran sastera di Malaysia yang tidak dapat menilai dengan objektif dan jitu sumbangan para sasterawan negara ini dari segi sumbangan ilmu dalam membina tamadun ilmu Malaysia.  Dilihat daripada perspektif ini, percubaan teksdealisme untuk meletakkan para sasterawan negara ini di takhta keunggulan adalah satu lawak intelektual yang jauh lebih rendah tarafnya daripada Raja Lawak ASTRO.

 Sesuai dengan tulisan ini sebagai penutup kepada kritikan saya terhadap teksdealisme yang memberi kepada kita contoh yang baik bagaimana bullshit  diangkat  menjadi sebuah “teori” dalam budaya pandirisme dalam kritikan sastera Melayu, maka saya fikir amat wajar jika beberapa pandangan John M. Ellis dalam bukunya Against Deconstruction disalin di sini untuk difikirkan oleh para sarjana, pengkritik, dan sasterawan, supaya mereka tidak terlalu berlagak  untuk mengetengahkan pendapat dangkal dan cetek mereka untuk dijadikan sebuah “teori” sastera, seperti yang dilakukan oleh Mana Sikana melalui teksdealisme.  Ikuti pendapat kritis Prof. John M. Ellis ini:

“... the problem that annoys everyone is the flood of critical writing, the general level of which is widely acknowledged to be much less than inspiring.  This is, surely, the likely consequence of a situation where there is more emphasis on the sanctity of the individual critic’s right to see things as he sees them, than on the need to insist on the strength of an argument as the major standard by which to judge the value of criticism. If no one cares to talk about standards for intelligent criticism, then the content and value of published criticism will vary enormously – and it does; and well-nigh everyone, including the most ardent advocates of theoretically unrestrained pluralism, is unhappy with at least some aspects of this situation. (hal. 156). [Huruf condong ditambah].

Perhatikan kutipan seterusnya:

“Theory exerts its pressure on the status quo by continual examination of the basis and rationale for the accepted activities of a field of study. ... The consequence of this kind of activity will generally be a pressure to rearrange priorities; by its very nature, then, theory is indeed disturbing. But theoretical argument must for that very reason proceed with great care. It must be above all a careful, patient, analytical process: its strengths must lie in precision of formulation, in well-drawn distinctions, in carefully delineated concepts.  In theoreticl discourse, argument is met by argument; one careful attempt to analyze and elucidate the basis of a critical concept or position is met by an equally exacting and penetrating  scrutiny of its own inner logic. That makes theoretical argument very much a communal process: there is no room in it for individual license, for claims of exemption from logical scrutiny, for appeals to an undefined unique logical status, for appeals to allow obscurity to stand unanalyzed, or for freedom to do as one wishes.” (hal. 158-159). [Huruf condong ditambah.]

Kalau andainya anda tidak bersetuju sekali pun dengan pandangan kritis ini, anda sekurang-kurangnya bermurah hati untuk menelitinya dan jika perlu memberikan hujah anda yang lebih brilliant untuk menolaknya. Tidak cukup untuk hanya mengomel dan merungut sambil meludah-ludah benci, jika itulah tabiat anda. Yang jelas, teksdealisme tertolak tanpa sebarang syak lagi kerana tidak sedikit pun memenuhi ukuran yang dicadangkan oleh profesor ini.

Rumusan Penting

“Kita harus tahu seberapa banyak yang kita terdaya mengetahuinya; tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu.” (Mastika, Oktober 1991, hal. 24)

Itulah pandangan saya ketika membahaskan persoalan “ilmu” dalam kritikan sastera, mengulas pandangan Umar Junus (Dewan Sastera, Julai 1991), yang menulis tentang “gejala pertengkaran tentang teori yang sah” untuk menganalisis karya sastera Melayu.  Walaupun istilah “pertengkaran” itu terlalu bodoh untuk digunakan dalam sebarang kegiatan akademik dan ilmiah, namun penggunaan istilah ini oleh seorang sarjana terkenal mencerminkan sikap positif mereka yang amat negatif dalam menghadapi cabaran intelektual, yang tidak dapat menerima sebarang perbahasan kritis kerana mereka anggap sikap kritis itu sebagai biadab, padahal sikap mereka sendirilah yang biadab kerana tidak bersedia untuk disanggah pendapat mereka walaupun palsu dan cetek. Dengan sikap ini, maka Umar Junus dengan beraninya membuat kesimpulan seperti ini: “Tidak ada yang mutlak benar dalam dunia ilmu. Sesuatu dianggap benar hanya sampai ia dapat dibuktikan salah”.  Pendapat ini tidak saja tidak berasas, tetapi juga memperlihatkan keangkuhan seorang sarjana yang  “ilmunya” cetek meraba-raba. Saya tidak fikir beliau mempunyai pengetahuan yang agak mencukupi dalam falsafah, untuk membuat kesimpulan sehebat itu, yang sebenarnya amat naif. Saya juga tidak fikir beliau faham – betul-betul faham – tentang pandangan Islam terhadap ilmu, malah saya meragui sama ada beliau pernah membaca Imam Ghazali, Syed Muhammad Naquib al-Attas, Fazlur Rahman, Syed Hussein Nasr, dan lain-lain sarjana Islam dan para ulamanya yang banyak membicarakan masalah ilmu ini. Saya yakin, jikalau beliau mengenal tokoh-tokoh itu dan membaca tulisan-tulisan mereka, beliau akan memberi pandangan yang berlainan sama sekali, yang masuk akal dan berasaskan pemikiran tentang konsep ilmu. (Mastika, Oktober 1991, hal. 22).  Kedangkalan tentang persoalan ilmu inilah yang menjadi inti kritikan saya terhadap syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh (1989) dan teksdealisme Mana Sikana yang tidak berasaskan penelitian yang bersifat ilmu. Tepat sekali gambaran sebuah pantun Melayu:

Berburu ke padang datar * Dapat rusa belang kaki * Berlimau purutlah dulu;
Berguru kepalang ajar * Ibarat bunga kembang tak jadi * Berunsur surutlah dulu.

Dalam budaya ilmu Melayu, seorang pendekar yang “kepalang ajar” yang tidak “berlimau purut” terlebih dulu dalam beberapa gelanggang dibimbing oleh Maha Guru, tidak dibenarkan masuk gelanggang, dan dengan baik dinasihatkan supaya “berundur surutlah dahulu.” Dalam dunia kritikan sastera Melayu, yang berguru kepalang ajar itulah yang berlagak dengan “manggak” di tengah gelanggang yang bukan tempatnya. Kalau anda sendiri tidak terlalu “manggak”, lihatlah maknanya dalam Kamus Dewan.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1 Jun 2015.

Friday, May 22, 2015

PANDANGAN KRITIS TETAPI POSITIF TERHADAP TEKSDEALISME MANA SIKANA YANG GAGAL SEBAGAI KAEDAH KRITIKAN



(Catatan: Tulisan ini berupa pendahuluan kepada kumpulan kritikan saya terhadap teksdealisme Mana Sikana yang telah menghanyutkan kritikan sastera Melayu dalam lautan pandirisme).




Dalam kumpulan tulisan yang dikumpulkan di sini, terdapat dua tajuk besar yang perlu diberi perhatian kerana kedua-duannya amat penting difahami dengan mendalam dalam konteks hakikat ilmu yang menjadi teras gagasan Persuratan Baru, dan dibicarakan dengan terperinci dalam Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992, 2005). Kemudiannya diperjelaskan lagi dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua 2014 (edisi pertama 2008).  Edisi kedua memuat beberapa tambahan dan Pendahuluan yang penting oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir tentang Persuratan Baru sebagai satu alternatif dalam sastera Melayu.  Kumpulan tulisan ini saya tujukan secara khusus kepada para pelajar di Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, untuk menghormati guru saya, Pendeta Za’ba,  yang tidak pernah saya temui tetapi yang saya salin kitabnya, Ilmu Mengarang Melayu dengan tulisan saya sendiri ketika saya berumur kira-kira 12 tahun, kerana ketika itu buku itu sukar didapati dan saya pinjam daripada Guru Besar, Cikgu Umar Awang, Sekolah Melayu Pasir Mas, Kelantan. Al-fatihah untuk Za’ba dan Cikgu Umar Awang. Cikgu Umar Awang adalah salah seorang murid pertama datuk saya, Haji Zakaria Haji Taib yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Kelantan menjadi guru pertama dalam tahun 1915 seperti yang dilapor dalam majalah Pengasuh.  Sekolah Majlis itu mempunya hanya satu kelas saja. Antara murid awalnya ialah ayah Zaid Ahmad, pengarang Kelantan yang terkenal dengan cerita pendek “Mimpi Seorang Anak”. Beliau salah seorang penulis cerita pendek abad 20 pilihan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya mulai kumpulan tulisan ini dengan dua buah tulisan mengenai konsep pandirisme, yang cukup penting diketahui dan difahami oleh pelajar dan guru sastera.  Berikutnya dibincang mengenai teksdealisme yang menjadi popular di kalangan mahasiswa dan diterima dengan baik oleh para sarjana sastera tanpa pertimbangan ilmiah dan tidak juga berasaskan kefahaman yang jelas tentang makna dan peranan ilmu dalam kritikan sastera.  Teksdealisme adalah bukti betapa ceteknya pengetahuan para sarjana sastera sehingga boleh menerima omongan Mana Sikana yang tidak ada asas akademik sama sekali. Apa yang dikatakannya empat prinsip itu saling bertentangan dan tidak diperlukan; malah tidak sedikit pun boleh membantu Mana Sikana sendiri untuk menghasilkan tulisan yang benar-benar bermutu dan karya kreatif yang boleh dianggap “unggul”.  Bacalah kritikan saya dengan kreatif dan kritis, supaya anda dapat melihat betapa naifnya Mana Sikana, sehingga dia sendiri tidak dapat mengambil manfaat daripada ideanya sendiri.  Semua penilaiannya terhadap karya sasterawan negara adalah sejenis lelucon akademik yang tidak berguna, kerana terlalu jauh menyeleweng daripada kualiti sebenar karya yang dinilainya. Daya kognitif sarjana ini hanya dapat memahami dengan dangkal recipe knowledge yang dijajanya dalam makalah dan buku-buku beliau. Baca dengan kreatif dan kritis pandangan kritis saya supaya anda tidak lagi membuang masa memberi perhatian kepada sarjana yang naif ini. Untuk dapat melihat betapa naifnya sarjana ini, banyakkan membaca buku-buku kritikan penting, terus dari sumbernya, bukan melalui sarjana naif seperti tokoh ocehan ini.

Sedikit catatan tentang takrif “teori” dalam kritikan sastera, sekadar panduan kasar secara umum. Boleh rujuk sendiri dalam buku-buku yang membicarakan aspek penting ini. Memahami aspek ini adalah satu kewajipan akademik yang tidak boleh dielakkan, supaya anda tidak hanyut dalam idle talk atau tenggelam dalam parit pandirisme, bergelumang dengan lumpur bullshit yang dikritik hebat oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit. Buku ini wajar dijadikan bacaan wajib di kalangan siswa sastera dan para sarjana sastera.  Penjelasannya diberikan dalam perbincangan tentang pandirisme dalam komuniti dunia.

Kesilapan besar Mana Sikana, yang tidak akan berlaku jika beliau faham apakah yang dimaksudkan dengan teori sastera dan kritikan sastera, ialah beliau tidak dapat membezakan antara proses mengarang dengan penilaian dalam kritikan sastera. Yang pertama, proses mengarang, tidak kena mengena dengan teori kritikan, walaupun biasanya pengarang mendapat manfaat daripada teori estetika. Dua perkara ini berbeza dan mesti dibezakan: teori kritikan mengenai penilaian karya; teori estetika pula mengenai konsep seni dan bagaimana seni itu dilahirkan dalam bentuk-bentuk tertentu. Teori estetika penting dalam membantu pengarang memperoses kegiatan kreatifnya, misalnya dengan memahami apakah ciri-ciri karya yang menepati prinsip yang dipakai dalam estetika untuk mendapat kesan dan makna yang mendalam yang dapat dicapai oleh sang pengarang. Teori sastera pula berbicara tentang ukuran yang boleh dipakai untuk menilai kesan dan makna yang mendalam tadi yang distrukturkan begitu rupa oleh sang pengarang seperti yang diajukan dalam teori estetika. Dia tidak perlu ikut segala-galanya, kerana sebagai seorang manusia kreatif, dia mungkin mempunyai caranya yang tersendiri untuk melahirkan karya yang diingininya.

Dalam kategori apakah teksdealisme berada? Teksdealisme bukan teori sastera; jauh sekali teori estetika. Dalam bahasa yang dipakai oleh John M. Ellis yang menulis Against Deconstruction (Princeton University Press, 1989), teksdealisme mungkin boleh termasuk dalam “helpful advice” seperti yang diutarakan oleh John M. Ellis (hal. 69-70).  Tapi ini pun saya kira tidak tepat, kerana teksdealisme pada hakikatnya hanyalah satu slogan yang “crude” untuk dipakai dalam retorik teh tarik ketika memuji pencapaian para sasterawan negara (dan lain-lain sasterawan). Lebih tepat teksdealisme ini dimasukkan ke dalam kategori “ramblings” yang sesuai dengan jenis bullshit yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit. Empat “prinsip” yang dikemukakan oleh Mana Sikana bukanlah prinsip, tetapi hanya sifat luaran yang kelihatan atau diperlihatkan oleh para sasterawan negara yang tidak membayangkan sama sekali nilai sebenar karya mereka. Menggunakan teksdealisme untuk menilai karya para sasterawan negara adalah satu kesilapan besar, apatah lagi untuk digunakan bagi mendudukkan mereka di atas takhta “keunggulan” yang bertentangan dengan nilai sebenar karya mereka.  Apakah ciri-ciri “keunggulan” sebenar, jika kita mahu menggunakan perkataan ini? Menurut Mana Sikana, mereka telah menunjukkan “kehadiran” mereka sebagai tokoh sejak awal lagi, sejak mula menulis (mungkin juga sejak lahir, seperti Awang Sulung Merah Muda dalam hikayatnya). Kehadiran itu diperjelaskan lagi dengan adanya “pelanggaran” yang mereka lakukan dalam karya mereka (seperti Awang Sulung melancar seperti lembing ketika keluar dari perut  ibunya sehingga tujuh gelegar patah!, contoh pelanggaran paling hebat dalam sastera Melayu); diikuti dengan “pengukuhan” dan akhirnya melahirkan “kepengarangan” (individualisme) mereka. Kempat-empat ciri ini, menurut Mana Sikana, menyelubungi ketokohan para sasterawan negara ini kerana keempat-empatnya dilalui mereka dengan cemerlang. Kesemua ciri ini boleh dikenakan ke atas mana-mana sasterawan yang telah melalui proses seorang penulis, yang tidak perlu “melanggar” apa-apa untuk memperkukuhkan dirinya sebagai seorang pengarang. Persoalan besar yang perlukan penjelasan yang tepat dan objektif ialah bagaimana empat faktor ini muncul dalam karya para sasterawan negara ini. Adakah empat faktor ini menentukan kualiti karya mereka? Tentu saja tidak, kerana sesebuah karya yang bermutu tidak perlu melanggar apa-apa kecuali memperlihatkan daya kreatif penulisnya dalam membina perwatakan, dalam pemikiran sang pengarang yang mengarah kepada penemuan teknik baru, atau pengolahan idea yang original dan mendalam, atau boleh juga berupa satu tafsiran baru terhadap persoalan biasa  yang menimbulkan makna baru kepada pembaca.  Ini dinamakan oleh Panel Anugerah Sastrera Negara sebagai eksperimen, yang di dalamnya terdapat pembaharuan. Tetapi pandangan Panel tidak tepat dan tidak boleh dipakai, kerana tidak semua eksperimen itu berjaya dan baik untuk manusia beretika; dan sebarang pembaharuan yang memisahkan manusia dari Tuhan bukanlah pembaharuan, tetapi penyesatan yang nyata. Tentu saja ini tidak menjadi masalah kepada manusia yang tidak beragama. Lihat contoh-contoh ini yang diambil daripada karya para sasterawan negara. 

Mana Sikana memuji sajak “Pulang Si Tenggang” yang menegaskan: “Aku sudah belajar/ jadi kurang ajar/ memeluk kenyataan dengan logika baru/ ...  bersopan santun, menghormati/ manusa dan kehidupan.”  Kata Mana Sikana: “Puisi itu menunjukkan sikapnya yang menolak yang lama dan mencari yang baru. Semuanya ialah hasil taakulan, timbang segala. Justeru itu, ia memelihara tatasusila. Hadirnya dengan  palanggaran yang bersistematis. ... Muhammad Haji Salleh dari awal lagi bagaikan membina sebuah mitos baharu yang unggul.” (hal. 218, Berdiri di Akar Diri). Maksud “aku sudah belajar, jadi kurang ajar” ialah “memeluk kenyataan dengan logika baru, berdebat dengan hujah-hujah pejal dan nyaring, tapi juga bersopan santun, menghormati manusia dan kehidupan.”  Betulkah apabila seseorang sudah kurang ajar, maka dia bersopan santun dan menghormati manusia? Mestikah hujah-hujah yang pejal dan nyaring itu dikemukakan dengan sikap kurang ajar?  Jawapan Mana Sikana dalam kutipan di atas tidak kurang “kurang ajarnya” bila dia memuji pensajak yang menolak yang lama dan mencari yang baru, berasaskan taakulan dan pelanggaran bersistematis, untuk membina mitos baru yang unggul.  Inilah jenis ocehan, idle talk yang bersifat bullshit, tidak ada ertinya sama sekali. Apakah yang lama yang ditolak itu? Dengan menjadikan Si Tenggang ikonnya, pensajak ini menerima yang lama, yang sebenarnya pinggiran dalam budaya Melayu, sebagai sumber ilhamnya, untuk membuatnya menjadi bersopan santun walaupun Si Tenggang terkenal dalam budaya Melayu sebagai anak derhaka. Mana Sikana memuji pensajak kerana menerima sesuatu berasaskan taakulan yang bersistematis, tetapi kesimpulan ini palsu dan bertentangan dengan pemilihan Si Tenggang sebagai ikon dan contoh. Katalah kita boleh terima pilihan itu berupa pelanggaran pensajak yang sangat berani, maka bagaimana pula dia boleh klaim dia bersopan santun dan sebagainya itu kalau yang dicontohinya seorang tokoh legenda yang kurang ajar? Kita beri lagi laluan kepada pensajak ini dengan pelanggaran baru apabila “kurang ajar” itu diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, oleh pensajak sendiri, sebagai “critical”: “I have learned to be critical”. Untuk makluman anda, “kurang ajar” tidak bermaksud “critical” dalam bahasa Melayu, tetapi apabila pensajak menterjemahkannya sebagai  “critical”, dia telah membuat editing setelah dikritik. Tetapi versi asal tetap tidak berubah. Inilah yan g dimaksudkan oleh Mana Sikana sebagai “membina mitos yang unggul” apabila seseorang yang mengaku kurang ajar adalah seorang yang bersopan santun, yang menggunakan akal, dan terus menghormati manusia dan kehidupan.  Apakah asas nilai manusia pensajak begini? Jawapannya sangat mudah: asasnya ialah kemahuan peribadinya, kemahuan hawa nafsunya yang menentukan baik buruk sesuatu, tidak sekali-sekali berasaskan ilmu yang benar sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang pensajak Islam. Kesimpulan ini diperkuat dengan gesaan Muhammad Haji Salleh kepada para sasterawan untuk meniru dan belajar daripada Salman Rushdie yang menulis novel The Satanic Verses itu. Adakah  sikap mengagumi Iblis itu memang sikap semula jadi sasterawan, seperti yang diungkapkan oleh Muhammad Haji Salleh dalam sajaknya “Baris-baris dari Muzium Goethe” bila dia berkata dia sangat kagum dengan Mephistopheles, Raja Iblis itu.  Inikah maksud pelanggaran yang menjadi obsesi Mana Sikana? 

Apakah pelanggaran yang dilakukan oleh A. Samad Said yang melayakkannya duduk di atas takhta keunggulan bikinan Mana Sikana?  Inilah hujah Mana Sikana. Menurutnya, A. Samad Said “melanggar” semua aspek penulisan novel Melayu, dari segi struktur, perwatakan, pengaruh luar yang dijadikan asas penulisannya seperti realisme magis, eksistensialisme, surealisme, teks dekonstruktif, dan banyak lagi yang disebutnya dengan begitu ghairah, hanya untuk membuat kesimpulan, A. Samad Said adalah novelis pascamodenisme yang tidak mementingkan moral, pengajaran, atau apa juga yang boleh dianggap boleh memberi manfaat. Sastera hanya wujud untuk sastera, untuk memuaskan daya kreatif sasterawan. Minat A. Samad Said yang luar biasa menulis tentang manusia separuh gila, atau benar-benar gila, yang penuh khayal dalam ilusi yang kaya dengan unsur magis, watak yang lemah dan yang hidup terumbang ambing tidak dapat menguruskan diri dan keluarga sebagai manusia beradab, semua ini bagi  Mana Sikana adalah contoh “pelanggaran” yang menjadikan karya A. Samad Said sangat istimewa. Ini satu kesimpulan yang sangat aneh, kesimpulan yang tidak masuk akal. Dalam buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, secara tegas menolak karya begini, seperti yang disanjung oleh Mana Sikana ini. Kalau sastera beginilah yang menjadi teras “negara bangsa,” maka negara bangsa berteras sastera yang ingin dibina oleh ITBM adalah sebuah negara yang dihuni manusia tidak siuman, yang terumbang ambing dalam kegilaan mereka. Kita mesti ingat, A. Samad Said dalah seorang sasterawan negara, yang diangkat oleh Mana Sikana di atas takhta keunggulan, yakni yang sangat istimewa. Di mana istimewanya karya sasterawan ini jika kita boleh terima analisis Mana Sikana yang memuji watak-watak tidak siuman dan lemah itu? Bagusnya ialah, Mana Sikana secara langsung telah membuktikan kesimpulan saya bahawa sasterawan negara yang begitu sifatnya tidak layak dijadikan sasterawan negara yang lebih mulia daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang selama ini, sejak beratus tahun, membina budaya ilmu melalui persuratan Melayu. Demikianlah bagaimana teksdealisme hanyut dalam dunia khayalnya yang tidak berpijak kepada rasionalisme, akal sihat; sebaliknya merapu tak tentu arah mencampur-adukkan segala jenis teori sastera yang gagal meletakkan karya sasterawan negara ini sebagai karya yang bermutu. Semua usaha yang dipaparkan oleh Mana Sikana sebagai pelanggaran A. Samad Said untuk mencipta karya kanun dalam sastera Melayu, sudah jelas semuanya mengarah kepada karya picisan dari segi pemikiran dan perwatakan, walaupun mungkin dari segi teknik terdapat sedikit kemajuan yang tidak seberapa sebenarnya, kerana yang disebut “kemajuan” itu tidak mengarah kepada manfaat yang seharusnya diserlahkan dalam karya para sasterawan negara ini. Teksdealisme tidak dapat menyelamatkan Mana Sikana daripada terjerumus ke dalam gaung pandirisme. Satu-satunya jasa Mana Sikana ialah beliau telah menunjukkan betapa silapnya projek sasterawan negara ini, kerana tidak ada apa-apa yang bermanfaat yang boleh mereka “lemparkan” kepada negara dalam membina budaya ilmu.

Dengan dua contoh ini, kita sudah dapat melihat betapa sia-sianya teksdealisme yang menjadi kebanggaan Mana Sikana, kerana tidak dapat meyakinkan kita bahawa para sasterawan negara ini layak berada di tempat mereka. Untuk memahami mengapa hal ini terjadi, anda perlu membaca dengan kreatif dan kritis makalah “Keunggulan yang Cacat” yang dimuat dalam kumpulan tulisan ini. Saya cadangkan makalah ini dibaca bersama dengan buku John M. Ellis, Against Deconstruction untuk melihat bagaimana Derrida “menipu” dunia intelektual Barat dengan mengemukakan “deconstruction” sebagai cabaran baru untuk  “membetulkan” kesilapan berabad yang berlaku dalam falsafah Barat. Saya tidak bercadang membicarakan buku ini, sebaliknya menggesa para mahasiswa sastera dan para sarjana sastera, guru mereka, meneliti buku penting ini untuk mengambil iktibar bagaimana seorang tokoh besar seperti Mana Sikana berkelakuan salin tak tumpah dengan yang dibuat oleh Jacques Derrida dalam falsafah Barat moden, seperti yang persis dilakukan oleh Mana Sikana dalam sastera Melayu moden. Kita telah banyak membuang masa dan wang (untuk menerbitkan karya mereka) padahal yang dihasilkan mereka hanya bullshit untuk melestarikan pandirisme dalam budaya ilmu. Prof. John Ellis memberikan analisis yang mendalam dan terperinci tentang deconstruction, yang menurutnya lahir dari kekeliruan Derrida membaca dan membuat tafsirannya yang salah tentang linguistik baru yang dikemukakan oleh Ferdinand de Saussure.  Menurut John  Ellis, deconstruction tidak boleh diiktiraf sebagai teori sastera, malah Derrida sendiri tidak mahu “teorinya” dipanggil teori, sebaliknya lebih sesuai dipanggil performance kerana yang dibuatnya ialah menggariskan beberapa cara bacaan yang berkesan. Satu prinsip deconstruction yang penting ialah “all interpretation is misinterpretation”, bermaksud tidak ada interpretasi yang tetap, dengan itu makna tidak dapat ditentukan. Apabila Prof. John Searle mengkritik deconstruction sebagai hasil “pemikiran” seorang yang  keliru dan bermuka-muka, yang eccentric, atau menurut Searle dalam perbualannya dengan Michel Foucault, “Michel Foucault once characterized Derrida’s prose style to me as obscurantisme terroriste”.  The text is written so obscurely that you can’t figure out exactly what the thesis is (hence “obscurantisme”) and then when criticizes it, the author says, “Vous m’avez mal compris; vous etes idiot” (hence “terroriste”). [Mu tak faham; mu ni bodoh.]   Dalam bukunya, Does Deconstruction Make Any Difference? Poststructuralism and the Defence of Poetry in Modern Criticism  (Indiana University Press, 1985; hal. 112), Michael Fischer membuat komen ini: “When self-described “conservative” or “traditionalist” opponents equate  deconstruction with terrorism, the decline of humanities, and the destruction of traditional values, many advocates of deconstruction emphasize its ludic, purely pleasurable fascination with the free play of language and the subtleties  of ‘slow reading’”.  Komen saya tentang deconstruction terdapat dalam sanggahan saya terhadap syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Sarjana dan Sasterawan Negara  (Kota Bharu, 1994, hal. 26-28;  tulisan asal 1989; diterbitkan dalam Dewan Sastera, Mac-Julai 1991). Dalam tulisan itu, saya anggap deconstruction adalah satu “kutukan intelektal” Barat yang sama dengan cerita mitos Sisyphus; seperti yang digambarkan dengan tepat dan indah dalam al-Quran, 24: 40; tentang jiwa yang kufur yang ditutup dengan kegelapan di atas kegelapan. Saya tidak menolak jika ada yang berkata teksdealisme pun satu “kutukan intelektual” dalam persuratan Melayu dan dalam perkembangan intelektual Melayu moden.  Kesimpulan ini saya jelaskan dalam huraian saya di atas ketika membicarakan karya Muhammad Haji Salleh dan A. Samad Said yang menurut Mana Sikana dan teksdealisme adalah karya “unggul” yang layak ditakhtakan dalam perkembangan intelektual Melayu moden, dengan kedudukan para sasterawan negara ini lebih tinggi darjatnya daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang memperkembangkan persuratan Melayu.

Jika anda membaca buku John Ellis ini dengan kritis, dan meneliti hujah Prof. John Searle mengkritik deconstruction, anda akan dapati gagasan Persuratan Baru jauh lebih bermanfaat kepada anda jika anda membacanya degan kritis dan kreatif.  Tetapi jika anda melihatnya daripada perspektif teksdealisme, maka anda akan dapati teksdealisme dan deconstruction adalah bersaudara, sama-sama tidak siuman dilihat daripada perspektf ilmu yang benar. Katalah Mana Sikana  menolak konsep ilmu yang benar, seperti Jacques Derrida, maka yang tertolak ialah Mana Sikana sendiri, bukan gagasan Persuratan Baru yang tetap berdiri utuh dan unggul walaupun tidak melakukan apa-apa pelanggaran. PB tetap siuman, ketika teksdealisme dan decontrtuction terbukti tidak siuman dilihat daripada perspektif konsep ilmu yang benar.  Apakah pilihan anda? Satu pertanyaan yang akan meletakkan anda dalam salah satu antara dua kedudukan ini. Jika anda berpendapat berada dalam keluarga tidak siuman itu terbaik, maka itu pilihan anda. Tahniah kepada  anda.

Pengamal dekonstruksi yang paling unggul di Malaysia ialah Mana Sikana, yang benar-benar menjadikan prinsip doconstruction “all interpretation is misinterpretation”, yang boleh kita lihat ketika dia memuji Shahnon Ahmad mengemukakan “teori sastera Islam” versi Shahnon Ahmad (yang bukan berciri Islam) yang cocok dengan pascamodenisme: bagi Mana Sikana Islam harus mengikut arus pascamodenisme untuk revelan, dan katanya inilah versi “teori sastera Islam” Shahnon Ahmad. Kata Mana Sikana: “... aliran sastera Islam Shahnon Ahmad selari dengan dunia pascamoden terkini. Malah, jika dilihat dalam konteks masa, TIVI itu sendiri mempunyai unsur teks hipermodenisme, iaitu zaman yang sedang menanti selepas pascamodenisme, sebagai tanda menjelangnya alaf ketiga. Novel tersebut menyuguhkan gambaran begitu superrealistik atau hiperrealistik, terutamannya dalam memberi lukisan tentang bagaimana berlakunya siberseks dalam kalangan keluarga. Ertinya, novel berunsur Islam dalam tanggapan Shahnon Ahmad ditandai oleh transparensi sosial. Dengan keterangan itu, saya melihat bahawa sastera Islam Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoretisnya dan selari dengan suasana masyarakat pascamoden dan hipermoden. Maka  di situlah kekuatan dan keistimdewaan sastera Islamnya justeru selari dengan zamannya yang gemerlap dengan tanda-tanda, imej, kejutan, display, prestij, hiperealiti.” (hal. 39,  Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.)  Dalam bahasa pascamodenisme, this is sheer nonsense!


Adakah Muhammad Haji Salleh seorang genius seperti yang ditegaskan oleh Mana Sikana?  Saya tidak pasti, tetapi beliau seorang yang mempunyai sense of humour jika kita membaca tajuk eseinya tentang mimpi di atas bumbung kilang berkarat itu, dengan itu meletakkan beliau setaraf dengan genius filem komedi, Charlie Chaplin yang digelar “pelawak intelektual”, dengan itu beliau juga wajar mendapat gelaran berprestij Charlie Chaplin itu dan wajar dikagumi, seperti yang dapat kita lihat dalam tajuk makalahnya untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yang berbunyi: “Mimpi sastera di atas bumbung kilang yang berkarat”, dimuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa (ITBM 2014).  Tajuk itu seolah-olah diangkat daripada sebuah sajak tentang falsafah mimpi dalam kritikan sastera. Jika sajak itu belum ditulis, maka memang amat sesuai jika ditulis oleh seorang sasterawan negara kerana ini merupakan satu pelanggaran hebat dalam persajakan Melayu apabila sajak juga dijadikan wacana kritikan sastera, seperti yang pernah dilakukan oleh para pemikir Yunani (antaranya Lucretius, yang menulis De Rerum Natura/On the Nature of Things) beribu tahun dulu, yang menulis puisi tentang ilmu bintang dan ilmu sains.   Adakah Mana Sikana, murid Muhammad Haji Salleh yang dari segi ketokohan mengatasi gurunya, juga seorang genius? Sekiranya  pelanggaran yang dijadikan asas falsafah kritikan Mana Sikana boleh dipakai, maka beliau adalah seorang genius par excellence kerana telah melanggar banyak perkara dalam kegiatan kritikannya. Beliau juga, seperti gurunya Muhammad Haji Salleh, adalah seorang yang amat witty, seperti yang diperlihatkannya dalam semua tulisannya yang dianggap oleh beliau kritikan sastera. Tetapi “kewitian” (ini cara Mana Sikana membentuk perkataan baru, jika anda perasan dalam tulisannya) beliau tidak sepenuhnya, sekadar half-witted saja, seperti yang dikenali dalam ungkapan bahasa Inggeris yang terkenal. Itulah dia tokoh “pelanggaran” dalam kritikan sastera Melayu, Mana Sikana.  Taraf kewitian Mana Sikana sudah mencapai peringkat unggul jika dibandingkan dengan kewitian Jacques Derrida seperti yang terdapat dalam kutipan oleh John Searle ini: “Anatomists will no doubt interested to learn that “what we think of as the innermost spaces and places of the body – vagina, stomach, intestine - are in fact pockets of externality folded in”.  And logicians will no doubt be interested to learn that logocentrism is really the same as phallocentrism. According to Derrida, the term “phallogocentrism asserts this complicity: “It is one and the same system: the erection of paternal logos ... and of the phallus as ‘privileged signifier’. (Dalam tulisan Searle, “The word turned upside down”,  dalam The New York Review of Books, (October 27, 1983).  Bandingkan ini dengan pendapat Mana Sikana terhadap “Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad”:  “... aliran sastera Islam Shahnon Ahmad selari dengan dunia pascamoden terkini. ... sastera Islam Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoretisnya dan selari dengan suasana masyarakat pascamden dan hipermoden.” (Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan, hal. 39).  Apakah ciri masyarakat pascamoden dan hipermoden?  Ini anda kena cari sendiri, tetapi jangan tanya Mana Sikana kerana beliau sendiri tidak tahu.  Kalau beliau tahu tentu beliau tidak akan membuat kesimpulan bullshit ini!

Apakah sifat seorang genius yang tidak half-witted?  Perhatikan kata-kata Albert Eisntein ini: “Everybody is a genius. But if you judge a fish by its ability to climb a tree  it will live its whole life believing  that it is stupid.”    Apakah maksud “stupidity”?  Lagi Albert Einstein: “The difference between stupidity and genius is that genius has its limits.”  Adakah ini sejenis pelanggaran, dalam konteks teksdealisme, atau satu kanyataan yang boleh diterima kebenarannya?  Kalau anda membaca kutipan ini dalam konteks “menulis sambil bermimpi di bumbung kilang berkarat” dan pentingnya “perlanggaran” dalam kehidupan seorang genius, seperti sasterawan negara, anda akan dapat melihat makna yang saya cuba selit dalam dua kutipan yang lucu ini!

Akhirnya, saya salin sekali lagi peringatan Prof. Fazlur Rahman yang penting ini:  “Given the depth of human self-deception, how important it is that man be “awakened” to his real nature, to be responsible before God, to think thoughts and do deeds that would be consequential,  for upon this depends the whole destiny of man and of God’s purposes for man.” (hal. 33). [Major Themes of the Quran].


Mohd. Affandi Hassan,
13 Mei 2015.