Monday, February 21, 2011

ANTARA PARIAH, BRAHMIN, DAN JIWA DRAVIDIAN DALAM BUDAYA MELAYU (Tulisan ini perlu dibaca dengan cerdik untuk mendapat manfaat)

Sebuah novel dan gambar penulisnya telah dibakar oleh sekumpulan kira-kira 100 orang penganut Hindu keturunan India kerana di dalam novel itu terdapat perkataan “paria” dan orang India  yang dibawa masuk oleh Inggeris untuk menjadi kuli di ladang-ladang dan di Kereta api Tanah Melayu dikatakan  berasal daripada kasta “pariah”.  Menurut mereka, tak seorang  pun orang India  berketuruan Hindu itu dari kasta paria, kerana memang tidak ada kasta dalam ajaran Hindu. Tidak terdapat kasta dalam RigVeda, malah para ahli sejarah berkata perkataan kasta (caste) itu sendiri berasal daripada bahasa Pertugis, bukan perkataan Sanskrit dan tidak pula satu konsep Hindu. (Sila baca buku Cultural Background of the Peoples of Malaya, diterbitkan oleh Perak Publishing House, Ipoh, 1960.  Ditulis oleh Neoh Thean Chye).  Tetapi terdapat golongan Brahmin, daripada kasta Brahman, yakni kasta tinggi yang menjadi pendeta dalam agama Hindu. Inilah kasta yang dimasukkan oleh Inggeris ke Tanah Melayu untuk menjadi kuli  di ladang-ladang getah, di stesen kereta api dan lain-lain. Sebagai golongan Brahmin, mereka giat membina kuil untuk kegunaan golongan Brahmin ini. Mereka membina kuil itu di mana-mana saja mereka berada, di dalam kawasan mana sekali pun, tanpa mengambil-kira aspek undang-undang dan hak milik tanah yang mereka jadikan tapak kuil itu.  Ini terjadi kerana dewa-dewa mereka berada di mana-mana dan berhak disembah di mana-mana saja tanpa batasan hak milik. Golongan Brahmin inilah yang menyatu-padukan penganut  kepercayaan Hindu. Pada umumnya ahli-ahli sejarah berpendapat tidak ada “agama” Hindu; malah bagi mereka lebih tepat dikatakan “kepercayaan” Hindu berasaskan dongeng dewa-dewa yang dipercayai oleh penganut Hindu.  Mereka tidak mempunyai kitab suci, tetapi mempunyai sekumpulan cerita yang dituturkan zaman berzaman. Itulah asas kepercayaan mereka.

Jika kita memahami pendirian mereka tentang perkara ini, maka kita tidak berasa terkejut apabila mereka sangat marah  dikatakan keturunan paria yang hidup susah di India zaman kolonial  dahulu dan bersedia dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk dijadikan kuli. Mereka dapati orang Inggeris memberikan kebebasan penuh untuk mereka membina kuil di mana saja yang mereka mahu. Inilah tabiat yang masih mereka lakukan hingga ke hari ini, dan ini menimbulkan konflik kerana masyarakat Malaysia moden diajar mematuhi undang-undang dan mengiktiraf hak milik tanah, oleh itu tidak dibenarkan lagi kesewenangan membina kuil di mana-mana saja yang mereka mahu. Tamadun yang dibawa oleh para Brahmin ini tidak mengiktiraf hak tersebut, oleh itu seorang  sasterawan Melayu yang menulis novel yang mereka tidak suka boleh dikutuk, dibakar bukunya dan gambar pengarang buku itu. Orang Melayu menjadi marah kerana mereka mepunyai nilai-nilai tamadun yang berbeza daripada nilai-nilai Hindu yang tidak menghormati kumpulan yang dianggap berbeza daripada mereka.  Bagi orang Hindu daripada kasta Brahmin, mereka adalah kumpulan manusia yang paling mulia, oleh itu berhak menghina golongan bukan Brahmin, yakni yang tidak beragama Hindu. Untuk memahami aspek ini, sila rujuk rencana menarik oleh  Prof. P. T. Raju, “The Concept of Man in Indian Thought” (dalam buku suntingan S. Radhakrishnan dan P.T. Raju, The Concept of Man, George Allen @ Unwin Ltd., 1960).

Dilihat daripada perspektif ini, Tanah Melayu sangat beruntung menerima golongan kasta Brahmin yang dibawa masuk oleh Inggeris untuk menjadi kuli itu. Di Tanah Melayu, kumpulan ini mendapat tempat yang sangat baik, dengan itu mereka mendapat peluang untuk menjadi golongan terpelajar dengan mudah melalui penggunaan bahasa Inggeris. Mereka menjadi ahli-ahli profesional yang banyak membantu memajukan Tanah Melayu sebelum dan selepas merdeka. Mereka menjadi peguam, doktor, profesor dan guru-guru sekolah menengah, guru-guru besar, ahli-ahli politik yang berpengaruh dan banyak berjasa kepada rakyat mereka sendiri. Semua ini membuktikan mereka bukanlah golongan kasta pariah, tetapi semuanya dari kasta Brahmin yang sangat tinggi daya inteleknya dan cukup fasih berbahasa Inggris sehingga membolehkan mereka menjadi golongan terpelajar yang berpengaruh di Tanah Melayu. Mereka tidak menggemari bahasa Melayu, yang mereka anggap sebagai bahasa paria yang diucapkan oleh orang Melayu yang tidak berpendidikan dan rendah daya inteleknya.  Amat jarang kita bertemu seorang Hindu Brahmin yang berpengaruh di Tanah Melayu boleh berbahasa Melayu dengan baik, apatah lagi fasih.  Bagaimana bahasa Melayu boleh dianggap sebagai bahasa paria oleh golongan Brahmin yang tinggi statusnya itu perlu dikaji oleh para ahli bahasa. Di Melaka, golongan chettiar yang dahulunya menggunakan bahasa Melayu sebelum merdeka, kini menggunakan bahasa Tamil selepas merdeka, setelah timbul kesedaran peri rendahnya kedudukan bahasa Melayu di kalangan orang Melayu sendiri, terutama di kalangan ahli-ahli politik dari UMNO. Di sini nampaknya terjadi satu kontradiksi: walaupun tidak ada golongan paria di kalangan penganut Hindu, namun di kalangan masyarakat tempatan terdapat golongan paria itu pada pandangan kumpulan Hindu Brahmin ini, yang digambarkan dengan jelas dalam pemakaian bahasa Melayu yang mereka cemuh itu,  sebagai bahasa bertaraf rendah untuk golongan hamba sahaja.  Sebenarnya orang Melayu sangat bangga menjadi golongan hamba, oleh itu dalam bahasa mereka terdapat bahasa halus untuk  golongan atasan, dan bahasa kasar tidak bertamadun untuk golongan hamba ini.  Kemuncak daripada perkembangan ini ialah penyingkiran bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dilakukan oleh Dr. Mahathir Mohamed, yang ketika berkuasa sebagai Perdana Menteri (selama 22 tahun) telah berjaya meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam pendidikan sains dan teknologi, dikenal dengan projek PPSMI (tidak perlu dijelaskan).  Dalam pandangan pemimpin UMNO yang terkenal ini, orang Melayu adalah bangsa haprak, dan bahasa Melayu adalah termasuk bahasa haprak yang tidak layak diangkat tarafnya  menjadi bahasa ilmu.  Projek ini mendapat sokongan dan tentangan, daripada orang Melayu dan bukan Melayu, tetapi akhirnya disesuaikan dengan nama baru khusus untuk “memperkasa” bahasa Inggeris sambil “memertabat” bahasa Melayu. Silap besar jika ada orang menganggap PPSMI dihapuskan, hanya ditukar nama, tetapi semangatnya masih kekal. (Sebagai perbandingan: Hosni Mubarak telah lepaskan jawatan atas desakan berjuta rakyat Mesir yang menunjuk perasaan selama 18 hari; tetapi Mesir masih diperintah oleh kerajaan yang dilantiknya!). 

Kehebatan Hindu Brahmin ini diabadikan dalam kebudayaan Melayu melalui pengaruh  budaya Dravidian yang dibawa oleh Hindu Brahmin dari India ke Tanah Melayu untuk menjadi kuli Inggeris. Nilai Dravidian yang paling utama yang dipegang oleh orang Melayu ialah kegemaran kepada pesta, hiburan, dan segala jenis maksiat yang diperindah dengan nama-nama baru yang menarik keinginan hawa nafsu. Sebagai contoh, RTM memperkenalkan banyak jenis hiburan, pesta dan maksiat yang dijadikan program kegemaran penonton TV. Kementerian yang menguasai RTM memperkenalkan pesta hari raya, hari deepavali, perayaan tahun baru Cina, hari Krismas dan lain-lain, yang telah disetarafkan dan disama-ratakan. Dengan itu orang Islam tidak lagi berasa tersinggung untuk ikut serta dalam perayaan keagamaan kumpulan yang dari segi Islam jelas berasaskan ajaran syirik. Walaupun syirik itu masih diketahui oleh Melayu Islam sebagai dosa besar, tetapi membesarkan hari-hari perayaan golongan syirik itu tidak dianggap syirik. Demikian tumpulnya konsep syirik itu setelah Melayu terpengaruh dengan nilai-nilai Dravidian yang gemarkan hiburan dan pesta itu. Pengaruh Dravidian yang gemarkan hiburan itu dijadikan budaya oleh kerajaan Malaysia melalui TV, oleh itu kita dapati kira-kira 80% program TV bersifat hiburan yang tidak mempunyai isi yang bersifat ilmu,  program hiburan yang mengangkat kebiadaban ke taraf paling tinggi, misalnya dengan menayangkan drama-drama bercorak hantu, drama-drama yang seluruhnya hedonistik (anda mesti faham istilah ini untuk melihat betapa jahatnya program yang ditayangkan di TV kita). Jika terdapat sedikit kebaikan, maka hal itu disodorkan kepada penonton dalam bentuk propaganda yang  cukup rendah kualitinya, misalnya slogan-slogan yang diulang setiap minit untuk mengkhayalkan penonton (boleh cari sendiri contoh-contohnya, mudah dikesan kerana terlalu banyak).  Kerana telah dibudayakan begitu rupa, unsur Dravidian dalam kehidupan dan kebudayaan Melayu telah diterima dan dipertahankan. Oleh itu, ada orang yang akan berasa aneh apabila diberitahu mereka bahawa para sasterawan, sarjana sastera dan pengkritik sastera adalah di antara kumpulan manusia yang memperjuangkan unsur Dravidian ini dalam kesusasteraan Melayu moden, misalnya dengan melantik sekumpulan Brahmin sastera yang mereka gelar Sasterawan Negara. Golongan Brahmin sastera ini tidak boleh dikritik, kerana menurut mereka telah dilantik oleh Yang di Pertuan Agong sendiri, dengan itu kata mereka sesiapa juga yang mengkritik dan tidak bersetuju dengan pilihan itu adalah menghina Agong, menderhaka, dan bertindak biadab. Karya para Brahmin sastera yang digelar Sasterawan Negara ini semuanya bernilai tinggi, menjadi kanun dalam sistem sastera Melayu moden. Selama lebih dari 30 tahun Anggota Panel Anugerah Sastera Negara menggunakan faham Dravidian ini untuk mengukuhkan kehadiran para Brahmin Sastera ini. Apakah ajaran para Brahmin Sastera ini? Menurut analisis  Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, para Brahmin Sastera ini pada umumnya membina budaya hedonistik berasaskan ajaran Dravidian yang mementingkan hiburan, keseronokan, khayalan dan yang sejenis dengan nilai-nilai itu. Untuk membuktikan betapa pentingnya ajaran Dravidian ini, kita lihat dalam buku Dr. Zawiah Yahya, Reading Approaches in Malay Literature (2010), ada disebut usaha seorang sarjana dari Universiti Sains Malaysia untuk memperkenalkan kononnya sebuah “teori” baru yang dipanggil “rasa-phenomenologi”,  yang akhirnya melihat karya sastera untuk mencapai “sensual joy or pleasure” (hal. 27). Pembikin “teori” ini mengaku bahawa beliau menggunakan ajaran Dravidian (walaupun tidak disebut secara khusus) dan nilai-nilai Barat. Pelik, tetapi benar! (Inilah kesan pengaruh Dravidian yang tidak disedari kerana mentaliti Dravidian tidak kritis dan tidak tahu memlilih yang terbaik,  seperti yang diajarkan dalam konsep taklif yang di dalamnya terdapat tiga rahsia: ilmu pengetahuah, keadilan, usaha ikhtiar.)  Karya-karya A. Samad Said telah dihuraikan dengan berjaya (??) menggunakan pendekatan Dravidian ciptaan sarjana ini. Apakah maksud “berjaya” dalam konteks ini?  Maksudnya, karya A. Samad Said seperti Salina telah berjaya memikat sensual pleasure (keseronokan hawa nafsu) yang “tinggi mutunya” dan telah diakui demikian oleh para sarjana antarabangsa, antaranya Prof. Teuuw dari Belanda. Jika kesimpulan ini betul, maka kita bolehlah berkata dengan agak yakin bahawa sastera Melayu moden adalah gambaran pengaruh Dravidian dalam budaya Melayu, dan pengaruh Dravidian ini telah diterima sebagai nilai-nilai unggul dalam sastera Melayu moden, telah dijadikan aliran arus perdana dan mesti diterima oleh semua manusia kerana telah dititahkan  begitu oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Inilah pendirian badan penulis seperti PENA.

Kehebatan pengaruh Dravidian ini disimpulkan begini oleh Neoh Thean Chye dalam bukunya:  “We cannot do better than conclude this chapter with the words of Profsessor Majumdar. ‘For nearly fifteen hundred years, and down to a period when the Hindus had lost their independence in their own home, Hindu Kings were ruling over Indo-China and the numerous islands  of the Indian Archipelago, from Sumatra  to New Guinea. Indian religion, Indian culture, Indian laws and Indian government moulded the lives of the primitive races all over this wide region, and they imbibed a more elevated moral spirit and a higher intellectual taste through the religion, art and literature of India. In short, the people were lifted to a higher plane of civilisation. A greater India was established by a gentle fusion of races, which richly endowed the original inhabitants with the spiritual heritage of India.’

What better proof do we need than to know that the early Indian immigrants enriched the existing language of people by adding a wealth of Sanskrit words to them. In Malaya, to name a few: religion (agama); a plough (tenggala); time (kali, masa). And from Tamil we have kapal (ship), kedai (shop); gedung (warehouse); perahu (boat); peti (box). Many other words used in Malayan trade show the influence of Tamil merchants and sailors in this country in ancient times. And yet in our time the Tamils have been associated in the Malayan mind  chiefly with immigrants of the labouring class, but let us remember that the ties between the Malay race and the Tamil race go back fifteen hundred years or more, when the Tamils were the most powerful and most highly civilised element of Dravidian India.

The Indians settled down in the country in the sense of pioneers. They were never colonial groups of foreigners with their loyalty  to and deriving their authority from their country of origin. Wherever they went, apart from their religion and custom, their songs and dances go with them. Hence the dances and songs which Indonesians perform and sing to celebrate  festivals, etc. have a Hindu background and often illustrate the Hindu epics -  the Ramayana and the Mahabharata.  Similarly of the customs associated with marriage and death have their origin in Hindu society. The wedding clothes of an Indonesian Muslim bride are similar to those of a Hindu girl. When an Indonesian Muslim dies, a pot of incense is kept  burning near the bed on which the deceased lies, just as in the case of a Hindu. And at a Perak coronation, ‘it is the hereditary court functionary, the Sri Naradiraja, claiming descent from the vomit of Siva’s bull, Nandi, who proclaims the royal title. He whispers to the new ruler the Hindu name of the founder of his dynasty, just as a Brahmin whispers into the ear of his pupil the name of the god who is to be the child’s special proctector through life.’  The explanation is that when Islam asserted itself in the fifteenth  and sixteenth centuries it was superimposed on existing Hindu beliefs and social customs. All in all, Indian cultural and colonial expansion in South-East Asia is a brilliant episode in the history of civilisation.” (Cultural Background of the Peoples of Malaya,  hal. 88-90). 

Ketika buku ini ditulis dan diterbitkan, mata pelajaran sejarah dalam sistem pendidikan Malaya selepas merdeka terdiri daripada empat bahagian: (A)  History of Malaya from 1400 to 1945; (B) History of the British Commonwealth 1740-1945; (C) The Cultural Background of the peoples of Malaya (Indian, Islamic, European, Chinese) down to 1900;  (D)  The Development of Liberty and Responsibility. Silibus ini dipakai untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5 mulai 1959.  Buku karangan Neoh Thean Chye ini digunakan sebagai rujukan dan teks dalam mata pelajaran sejarah itu. Buku ini dipersetujui oleh Duli Yang Mahamulia Yang di Pertuan Agong, dengan diberi kata pengantar oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Antara lain kata beliau:  “ A work such as this which aims to broaden general outlook and interests among   children  and elders alike in the cultural background of the various races of the united Federation of Malaya may well play a part in the future of this country.” (JPM,  Kuala Lumpur, 22nd April, 1960.)

Jika anda membaca Sejarah Melayu, anda akan bertemu dengan satu sistem pemerintahan kerajaan Melayu yang seluruhnya diasaskan kepada budaya rasuah yang cukup rapi dilaksanakan. Inilah warisan yang diterima oleh ketuanan Melayu yang ada sekarang, yang dikendalikan dengan sangat licin dan cermat oleh para pemimpin UMNO dan kawan-kawan politiknya daripada MIC, MCA dan lain-lain. Sesiapa yang tidak membaca Sejarah Melayu tidak akan mengerti mengapa rasuah sudah dibudayakan dalam sistem politik dan pentadbiran Malaysia moden.

Kutipan panjang itu penting kerana kesimpulan di bahagian akhir kutipan itu, tentang kekeramatan kerajaan negeri Perak, pernah diakui, seperti tertulis, oleh Almarhum Sultan Idris Shah yang menegaskan bahawa Peraklah satu-satunya negeri Melayu yang mewarisi  kesultanan Melaka yang berasal dari Bukit Seguntang itu, yang seperti dinyatakan diasaskan pada sistem Hindu. Semua peralatan kerajaan mempunyai nama dan masih dipakai nama yang berunsur Hindu. Wallahu a’lam. Tentulah semua ini diketahui oleh Mufti Perak yang ada sekarang dan yang sebelumnya.  Sekiranya 100 orang Hindu India yang membakar novel Sasterawan Negara bersekali dengan gambarnya itu tahu sejarah, mereka akan berasa bangga dan megah. Mereka akan berasa senang sekali bila mengetahui bahawa munculnya gelaran Sasterawan Negara telah mewujudkan pula Brahmin Sastera yang seharusnya menjadi  kebanggaan mereka dan wajar dihormati dan diikuti mereka. Apa lagi yang mereka mahu?  Para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera, juga para penggerak badan-badan sastera, semuanya tahu hakikat sejarah ini dan mereka berasa bangga mewarisi kebudayaan Dravidian itu. Tidakkah mereka sangat marah apabila warisan itu digugat dengan munculnya gagasan Persuratan Baru?

Mohd. Affandi Hassan, 12/2/2011.

Monday, January 17, 2011

Jawapan Kepada Penanya Untuk Posting 5/1/2011


Terima kasih Saudara Shahrizal kerana memberikan rujukan kepada penanya. Tapi kerana perkara ini agak penting, biarlah saya tambah sedikit untuk difikirkan bersama.

[Politik] MIC baru saja mendapat Presiden baru, dan Tim. Menteri yang buat komen itu pun baru masuk MIC; oleh itu biasalah dalam politik orang “baru” mahu tonjolkan kewujudan mereka dalam parti. Dalam hal ini, pada umumnya UMNO bersetuju dengan MIC. UMNO mahu undi India di Tenang dan dalam PRU 13, jadi kontroversi ini diharap boleh mengubah sokongan India kepada BN/MIC; tetapi UMNO juga berhati-hati supaya Melayu tidak marah, oleh itu dicadangkan rundingan untuk mencari jalan “keluar” (kononnya). Novel ini akan tetap digunakan, tetapi dengan sedikit perubahan. Kalau penulisnya dan orang Melayu cerdik, mereka akan terima prubahan itu dengan hati terbuka. Yang penting, teks asal tidak berubah. Yang berubah teks sekolah. Ini terjadi di mana-mana, tak ada masalah. Sesiapa pun tidak dikorbankan. Kalau pengulas/guru cerdik, mereka akan sebut kontroversi itu dalam buku panduan untuk diketahui murid-murid, kerana mereka harus tahu apa yang berlaku. Jadi soal politik selesai.
[Sejarah]  Orang kata, novel ini mengenai sejarah. Sebenarnya tidak. Novel ini hanya bercerita untuk propaganda yang bersesuaian dengan tujuan Peraduan Menulis Novel 10 Tahun Merdeka. Sejarah lain sama sekali. Kita kena ingat, imigran dibawa British untuk tujuan ekonomi dan politik pecah-perintah mereka. Melayu bagusnya tidak mahu jadi kuli British, tapi mahu jadi jongos British dalam pejabat dan kerja-kerja yang lebih glamor daripada jadi kuli. Bila jadi perang dunia, India  dan China Malaysia sokong British, termasuk Komunis pada mulanya. Cheng Ping dapat bintang kerana itu. Bila Inggeris masuk ke Tanah Melayu semula, mereka marahkan Melayu kerana menyokong Jepun.  Sebenarnya British mahu berikan “kemerdekaan” kepada India dan China yang menyokong mereka. Pejuang kemerdekaan, yang mengambil alih daripada pelopornya para ulama, tapi masih terdapat pengaruh ulama (paling jelas Dr. Burhanuddin) sokong Jepun dengan harapan akan diberi kemerdekaan (mana ada kolonialis beri begitu saja). Pejuang ini golongan kiri, terpengaruh dengan nasionalisme Indonesia yang kiri. Amerika dan sekutunya yang menang perang sudah bangkrap, jadi Amerika tekan British supaya merdekakan jajahan mereka. Apa nak buat? Melayu tidak boleh diberi muka, mesti diajar. Raja2 Melayu ditekan supaya bersetuju dengan projek Malayan Union. Raja2 tak beritahu pun pembesar mereka sendiri, apatah lagi rakyat, terus tandatangan.  Adakah ini satu pengkhianatan kepada rakyat?  Tiada ahli sejarah yang berani berkata begitu.  Pembesar Melayu  kehilangan pengaruh dan kuasa. Merekalah yang “berontak” setelah raja2 diugut akan hilang kuasa terus. British pada dasarnya gembira dengan perkembangan ini, lalu menyokong “pemberontakan” pembesar Melayu. Mengapa? Yang sokong Malayan Union ialah pejuang kiri, yang ingin mereka (British) tolak dan hapuskan. Oleh itu bila UMNO diwujudkan, British sokong tunjuk perasaan menentang Malayan Union (boleh lihat dalam buku2 sejarah buktinya). Bila diadakan rundingan, India dan China dengan sokongan dan gesaan British mendesak banyak perkara untuk diserahkan oleh Melayu. Paling besar kerakyataan. Bila “merdeka”, semua imigran secara automatik jadi rakyat. Bagus bukan? Sebab itu hingga  sekarang China dan India tak boleh cakap Melayu dengan fasih, malah ada MP sekarang yang tak tahu bahasa Melayu! Tapi tak jadi masalah, kerana Melayu sendiri tak boleh berbicara dalam bahasa Melayu yang fasih.  Orang selalu sebut ada kontrak sosial. Tidak ada kontrak sosial, jadi amat hairan bila UMNO dan Melayu terikut2 terima istilah yang tak betul ini. Apa yang terjadi, kita ada pejuang kemerdekaan yang dihapuskan oleh British dengan bantuan UMNO. Pejuang kemerdekaan ini  pada umumnya telah bersatu dengan bukan Melayu, jadi pelopor perpaduan adalah para pejuang ini, bukan UMNO.  Sila semak sejarah apa sebenarnya yang berlaku kepada MCA dan MIC dalam sejarah Malaysia moden.  Kita ada perunding kemerdekaan yang diwakili UMNO dan lain2 pertubuhan bukan Melayu. Pada umumnya tidak ada perpaduan, yang ada ialah sejenis kesepakatan longgar yang pragmatis. Ini bukan kontrak sosial, sekadar persetujuan yang mesti dilahirkan untuk “mencapai” kemerdekaan dan memenuhi kehendak British dan bukan Melayu yang disokong British. Perpaduan mesti berasaskan satu bahasa, bahasa Melayu. Ini ditegaskan oleh para pejuang kemerdekaan sebenar dalam Perlembagaan mereka untuk Tanah Melayu merdeka. Ketika Perlembagaan digubal, UMNO membisu tentang Islam. Mujurlah dengan nasihat dan gesaan Hakim Abdul Hamid dari Pakistan Islam disebut sebagai agama Persekutuan. Harap baca dengan teliti kandungan Persetujuan Persekutuan yang terhasil daripada Malayan Union. Banyak yang sama, dan ini Melayu sendiri tak perasan. Jadi tidak betul jika dikatakan UMNO berjaya menghapuskan Malayan Union. Baca sejarah dengan kritis, baru kita tahu UMNO dan BN adalah ahli waris Malayan Union.
[Sastera]  Dari segi sastera, jika kita boleh percaya keputusan juri/panel penilai peraduan Novel 10 Tahun Merdeka,  ini bukanlah sebuah novel bermutu, sebab itu tidak diberi hadiah pertama atau kedua; hadiah ketiga diberikan kepada Arena Wati.   Kualiti sebenar novel ini hanya boleh dilihat dengan jelas dan objektif jika dinilai dari perspektif gagasan Persuratan Baru. Sebagai sebuah novel warisan Malayan Union, sasterawan dan pengkritik sendiri tidak mahu dinilai daripada perspektif PB. Jadi warisan penjajah terus dikekalkan dalam pendidikan kita. Orang yang menentang teguran MIC, yakni badan2 penulis dan para sasterawan/sarjana, pada umumnya adalah pewaris Malayan Union, yang sangat kuat pengaruh kolonialnya.  Anda lihat mereka bersemangat, tapi dari segi kesedaran , politik dan agama, mereka lembik dan pemikiran mereka tumpul. Mereka pewaris kolonialisme British. Kalau anda tidak boleh faham, kena baca banyak buku lagi: sejarah, tamadun Melayu, peranan Islam, dan perjuangan politik pejuang Melayu. Sebenarnya kita sudah lama keliru dan tertipu, oleh itu supaya timbul sedikit kesedaran dalam masalah ini, sila baca tulisan Prof. Ungku Maimunah dalam buku-buku yang beliau tulis dan selenggarakan dalam konteks gagasan Persuratan Baru. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan, 17/1/2011

Wednesday, January 5, 2011

“KALAU KAIL PANJANG SEJENGKAL ...”

Usaha Dr. Zawiah Yahya menulis dan menerbitkan buku terbaru beliau, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making (Penerbit UKM, 2010) adalah suatu usaha yang terpuji dan wajar dialu-alukan. Usaha ini penting kerana dengan terbitnya buku ini, percubaan beberapa orang sarjana Melayu menjana “teori” sastera diperkenalkan kepada dunia antarabangsa. Kedua, buku ini juga boleh dianggap sebagai pengiktirafan kepada usaha para sarjana itu, untuk dinilai dengan kritis oleh sarjana dan ahli akademik yang mungkin akan menggunakan “teori” (atau lebih tepat, pendekatan) yang diperkenalkan dalam buku ini dalam kerja-kerja akademik mereka. Meskipun demikian, ada dua persoalan penting yang perlu dibahaskan, jika dapat dibincang secara akademik untuk menjelaskan beberapa perkara yang nampaknya masih mengelirukan, yang memerlukan penjelasan atau analisis selanjutnya supaya kekeliruan itu tidak berlanjutan dan para mahasiswa atau pengguna buku ini mendapat yang terbaik daripadanya. Dua persoalan itu ialah takrif “teori”, dan sehubungan dengan itu, persoalan kedua ialah kedudukan “teori sastera” itu.

Apakah yang ingin dicapai dan ditunjukkan oleh sebuah “teori”? Untuk menjawab soalan ini, kita memerlukan penjelasan tentang takrif teori, ciri-ciri sebuah teori, dan apa yang boleh dilakukan oleh sebuah teori. Adakah teori sama dengan pendekatan? Jika tidak sama, manakah yang lebih sesuai untuk digunakan apabila kita membicarakankan sesebuah karya kreatif? Pada waktu mana kita perlu menggunakan teori, dan ketika mana pula kita perlu menggunakan pendekatan?

Teori pada asasnya tidak sama dengan pendekatan. Sebuah teori harus berupaya menjawab beberapa persoalan yang menjadi masalah dalam sesuatu tindakan. Misalnya, apabila Panel Anugerah Sastera Negara menilai karya para sasterawan negara, adakah mereka menggunakan teori sastera atau hanya pendekatan tertentu yang mungkin mereka pilih dengan sedar, atau digunakan secara campur-aduk (eclectic) mengikut pilihan mereka sesuai dengan karya yang mereka nilai. Sebenarnya, perbezaan ini tidak jelas dalam sepuluh laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, malah lebih selamat untuk kita membuat kesimpulan bahawa “pendekatan” mereka diasaskan sepenuhnya pada cita rasa kumpulan anggota panel yang mendapat pengetahuan tentang sastera seratus peratus daripada sumber Barat. Mereka bergantung pada konsep realisme yang difaham dan dipakai di Barat untuk menentukan “bernilai” tidaknya karya yang mereka nilai. Kaedah ini digunakan dalam semua sepuluh laporan yang mereka hasilkan selama 30 tahun labih ini. Untuk mendapat gambaran terperinci mengenai perkara ini, sila rujuk analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam bukunya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009). Lihat juga tulisan saya sendiri dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (ATMA, UKM 2008) dan bab 4 dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (ATMA, UKM 2010).  Panel Anugerah Sastera Negara melihat, menilai, dan menganalisis karya para sasterawan negara berasaskan sepenuhnya pada cara, nilai, dan ukuran yang dipakai dalam teori dan pendekatan  Barat. Hal ini terjadi kerana mereka menerima hakikat bahawa karya Melayu dimodelkan sepenuhnya daripada acuan yang digunakan dalam kesusasteraan Barat. Malah tanpa Barat, mereka berpendapat tidak mungkin wujud sastera Melayu moden. Para sasterawan negara ini dipilih dan diiktiraf sebagai peniru karya Barat dan pengamal gigih segala teknik penulisan yang dipakai dalam sastera Barat. Tidak ada yang asli dalam karya para sasterawan negara ini. Itulah pandangan dan pendirian Panel Anugerah Sastera Negara yang kini telah dijadikan aliran perdana, yakni aliran yang mesti dikuti sekiranya karya seseorang penulis ingin diiktiraf.

Pandangan, sikap dan kecenderungan Panel Anugerah Sastera Negara ini terbayang  jelas dalam buku Dr. Zawiah Yahya ini, yang memang beberapa kali (terakhir 2009) menjadi ahli panel.  Oleh hal yang demikian, beliau tidak berasa perlu memberi penjelasan tentang maksud, makna dan tujuan “teori” sastera, ciri-cirinya dan prinsip-prisip yang digunakan dalam teori itu. Malah bagi beliau tidak akan muncul “teori” atau pendekatan yang berasal daripada pemikiran sarjana tempatan tanpa peniruan dari Barat, hatta untuk membicarakan masalah “sastera Islam” pun perlu disandarkan kepada pemikiran Barat, dengan itu hasilnya mesti relevan dalam konteks pemikiran Barat tadi. Jika terlalu asing, maka timbul masalah kejanggalan “teori” tadi kerana bertentangan dengan nilai-nilai Barat yang menjadi sumbernya. Oleh itu, cara yang baik dan sesuai ialah dengan menggunakan “teori” dan pendekatan Barat untuk membicarakan sastera Melayu, moden atau tradisional. Sebenarnya inilah juga pandangan panel yang ditubuhkan oleh DBP untuk menilai buku-buku kritikan sastera Melayu. Misalnya, sebuah panel yang dipilih oleh DBP untuk memilih karya kritikan sangat tertarik dengan sebuah buku yang “memperlihatkan kesungguhan menerapkan teori-teori Barat secara kritis dalam kesusasteraan Melayu Tradisional” (Dewan Sastera, Disember 1994, hal. 88). Berasaskan hujah itu, buku tersebut dipilih untuk memenangi Hadiah Sastera Kebangsaan dalam bahagian kritikan.  Ketika membicarakan “teori” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Dr. Zawiah Yahya juga menegaskan bahawa pendekatan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh membawa beberapa “teori” Barat ke dalam “teorinya” untuk menilai kembali beberapa aspek sastera Melayu tradisional adalah baik, dengan itu secara tegas mengaitkan kesusasteraan Melayu dengan pemikiran Barat moden.

Beliau  berpendapat, gagasan Persuratan Baru “menyisihkan” budaya Melayu dengan memberi penekanan berlebihan kepada  Islam, seolah-olah Melayu itu tidak pernah kenal budayanya yang memang diwarisinya. Kritikan begini timbul kerana beliau tidak mengaitkan gagasan Persuratan Baru dengan epistemologi Islam, yang tidak langsung disebutnya, padahal itulah yang menjadi asas gagasan Persuratan Baru. Ini terjadi, saya agak, kerana beliau ingin menekankan peri pentingnya pengaruh Barat dalam kehidupan moden, di kalangan orang Melayu yang beragama Islam sekalipun. Tersirat di sini ialah keengganan beliau menerima epistemologi Islam sebagai asas dalam pemikiran sastera dan dalam pembentukan teori  persuratan Melayu. Jika itulah pilihan beliau, dan saya kira memang itulah pilihan beliau, maka adalah wajar jika beliau beranggapan gagasan Persuratan Baru agak janggal dalam konteks moden, kerana tidak menonjolkan aspirasi moden, tetapi terlalu menekankan aspek Islamnya. Walaupun bagi orang seperti  saya pendirian begini sangat aneh dan tidak akademik, jika kita maksudkan akademik itu melihat keseluruhan tamadun Melayu dan Barat dalam konteks Islam, kerana Barat yang moden sendiri muncul setelah menerima ilmu-ilmu yang dikembangkan oleh para ulama, sarjana, dan lain-lain tokoh ilmu dalam Islam, seperti yang sudah diketahui umum bagi yang membaca sejarah tamadun dunia dan peranan Islam dalam pembinaan tamadun Eropah/Barat.  Apa yang dibuat oleh  gagasan Persuratan Baru hanya meneruskan saja tradisi keilman itu, setelah begitu lama terputus dalam kesedaran ilmu para sarjana Islam sendiri.  Oleh itu kembali kepada Islam, kembali kepada taklif, salah satu prinsip pokok dalam gagasan Persuratan Baru, bukanlah mengasingkan diri dalam dunia moden, tetapi  menyedarkan kembali sikap kritis dan pemilih ahli-ahli ilmu Islam. Dalam hal ini, tidak ada penyesuaian, (seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang disenangi oleh Dr. Zawiah Yahya), tetapi penapisan kritis terhadap pemikiran Barat, seperti yang pernah dilakukan oleh para ilmuan Islam yang secara gigih membahaskan dan menghidupkan pemikiran ahli falsafah Yunani dalam konteks Islam dan berasaskan epistemologi Islam. Inilah yang perlu kita lakukan dalam Zaman Jahiliah Moden ini.  Kita harus mengheret keluar para sarjana Islam yang terjerumus ke dalam gaung Jahiliah Moden itu dengan memberikan kepada mereka alternatif berasaskan epistemologi Islam. Jika mereka masih menolak, maka itu bukan masalah gagasan Persuratan Baru, tetapi masalah mereka sendiri, yang secara teperinci  dihuraikan  dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Islam and Secularism (1978). Golongan yang kehilangan adab ini tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka berada dalam kekeliruan besar akibat keliru dalam konsep ilmu.  Mereka menjadikan kekeliruan itu sebagai asas untuk menilai pemikiran sarjana yang mereka tentang.  Kumpulan anti-ilmu ini mengaku mereka adalah anti-kolonial, tetapi pada waktu yang sama mereka mempertahankan segala pengaruh kolonial itu dengan alasan itulah asas kemodenan orang Melayu yang mesti dikekalkan.  Kontradiksi begini tidak timbul jika mereka tidak keliru dalam konsep ilmu.

Hanya Esei Biasa, Bukan Pendekatan Apatah Lagi “Teori”

Berasaskan kekeliruan inilah maka mereka menerima esei-esei biasa, hasil penyelidikan yang tidak begitu mendalam, yang ditulis oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Hashim Awang dan lain-lain sebagai pendekatan kritikan yang akan menjadi asas “teori” sastera Melayu. Esei-esei yang ditulis oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Hashim Awang, Dr. Shafie Abu Bakar dan Dr. Rahman Hanafiah tidak dapat dikategorikan sebagai pendekatan kritikan, apatah lagi sebuah “teori”. Esei-esei itu hanya sekadar menyenaraikan beberapa petua yang terdapat dalam sastera tradisional, atau beberapa pandangan umum tentang apa yang disebut sebagai sastera Islam, atau tentang “teks yang unggul” yang tidak pun memberikan ukuran/kriteria yang boleh digunakan untuk membezakan sebuah karya yang bermutu dengan yang tidak bermutu. Tidak satu pun di antara esei itu menyediakan sedikit gambaran, mungkin berupa ramalan, bahawa sekiranya petua mereka diikuti, maka persuratan Melayu akan maju  dan tidak lagi menjadi pengekor nilai-nilai Barat. Hanya gagasan Persuratan Baru yang boleh diterima sebagai satu pendekatan, yang akhirnya mungkin akan menjadi sebuah “teori”, kerana adanya ukuran yang jelas yang boleh menentukan nilai  persuratan yang akan lahir dalam Abad 21. Untuk melahirkan karya bercorak Islam yang bermutu, Takmilah akan menjadi beban yang tidak perlu kerana tidak mungkin terdapat sebuah pun karya sesempurna yang dimimpikan oleh Takmilah.  Sebuah karya tetap tidak sempurna, oleh itu adalah sia-sia untuk mencapai kesempurnaan yang tidak mungkin dicapai itu. Tetapi sebuah karya bercorak Islam, yang ditulis berasaskan prinsip-prinsip yang dikemukakan dalam gagasan Persuratan Baru, mempunyai kemungkinan besar untuk menjadi sebuah karya bermutu (bukan yang sempurna, seperti yang diminta oleh Takmilah), kerana diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Lagi pula yang dipentingkan  “bukan kesempurnaan” yang tidak boleh dicapai, tetapi karya yang benar-benar mendekati prinsip-prinsip yang ditetapkan dalam worldview Islam. Persoalan ini telah dibincangkan degan mendalam dan jelas dalam tiga buah makalah yang diterbitkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam bulu selenggaraan beliau, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis. Makalah oleh Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman, Ustaz Zulkarnain Mohamed, dan Mohd. Shahrizal Nasir, telah menghuraikan dengan jelas dan terperinci prinsip-prinsip “sastera Islam” yang boleh dipakai untuk menghasilkan karya yang bermutu, bukan yang “sempurna”, tetapi tepat dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Islam.  Makalah Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani pula telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa karya yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru telah pun ditulis dan diterbitkan dalam tahun 1939 lagi, iaitu novel Melati Kota Bharu oleh Abdul Kadir Adabi.  Hal ini terjadi kerana Abdul Kadir Adabi menulis dalam tradisi persuratan Melayu yang berteraskan Islam.  Ini membuktikan bahawa kesedaran kepada hakikat ini telah lama wujud, dan bukan satu impian khayal seperti yang dianggap oleh sarjana Islam yang terputus dari tradisi persuratan Melayu yang berteraskan Islam itu.

Apakah yang ingin dicapai oleh sebuah “teori” persuratan?  Pertama sekali, “teori” (lebih tepat pendekatan) tadi perlulah mengenal pasti masalah yang ingin diselesaikannya. Kedua, “teori” tadi cuba memberi jalan keluar untuk menyelesaikan masalah itu. Ketiga, “teori” itu berupaya membuat ramalan apakah yang akan terjadi nanti jika “teori” itu dijadikan panduan. Keempat, analisis dan hujah yang digunakan berasaskan “teori” itu boleh diuji kebenarannya secara tepat, jitu dan objektif.  Keempat-empat syarat ini tidak wujud dalam esei Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Dr. Hashim Awang, Dr. Shafie Abu Bakar dan Dr. Rahman Hanafiah. Sebaliknya keempat-empat syarat itu menjadi prinsip gagasan Persuratan Baru. Satu huraian yang mendalam telah  diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kuliah MASTERA beliau, berjudul Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009). Huraian dan analisis Prof. Ungku Maimunah telah menyerlahkan betapa kuatnya pengaruh Barat dalam sastera Melayu moden, dipelopori oleh sasterawan Asas 50 dan diteruskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Dengan munculnya  gagasan Persuratan Baru,  kedudukan itu dicabar dan Panel Anugerah Sastera Negara dikritik kerana gagal memberi arah yang betul dalam perkembangan kritikan sastera di Malaysia. Dengan memperkukuh pengaruh Barat dalam kritikan sastera, Panel Anugerah Sastera Negara telah menjadi satu badan yang amat negatif dan dilihat menentang sebarang usaha untuk mengembalikan peranan persuratan Melayu dalam pembinaan tamadun bangsa. Sikap negatif ini menyerlahkan kedudukan dan fungsi Panel Anugerah Sastera Negara sebagai satu badan yang anti-ilmu dan terlalu pro-Barat.  (Insha Allah ada sambungannya.)

Mohd. Affandi Hassan,  4 Januari 2011.

Friday, December 24, 2010

MENGHIDUPKAN KEMBALI PERSURATAN MELAYU DALAM ABAD 21 MELALUI GAGASAN PERSURATAN BARU


Pendahuluan kritis:  Walaupun terdapat kejayaan yang sederhana dalam era kesusasteraan Melayu moden, namun kejayaan yang terbatas dan mengelirukan itu tidak wajar diteruskan. Kehilangan semangat tauhid dalam era kesusasteraan, dengan terhapusnya wadah ilmu dan wadah agama melalui tulisan Jawi, hasil usaha para sasterawan yang dipelopori oleh Asas 50,  maka karya-karya kreatif dalam bahasa Melayu kontang dari segi pemikiran dan hanyut dalam keghairahan menonjolkan kebebasan individu para sasterawan. Salah satu kesesatan yang disanjung oleh para sarjana dan pengkritik sastera Melayu moden ialah penemuan kembali jatidiri para sasterawan dengan penonjolan watak Si Tenggang, Hang Jebat dan lain-lain tokoh yang menghayutkan orang Melayu ke samudera kekeliruan budaya dan penyelewengan nilai-nilai bercorak Islam yang selama beratus tahun menjadi amalan di kalangan para pengarang Melayu. Apa yang disebut sebagai penemuan identiti itu sebenarnya ialah kesesatan budaya akibat kekeliruan tentang konsep ilmu dan asas tamadun Melayu.  Yang ditemui bukan identiti yang berasaskan ajaran tauhid yang selama ini menjadi pegangan para pengarang Melayu. Yang ditemui itu ialah diri peribadi yang selama ini sesat dan sasau, terumbang ambing dalam keseronokan budaya Barat yang ditelan bulat-bulat tanpa tapisan teliti berasaskan ajaran tauhid yang dipancarkan melalui konsep taklif. Kesesatan itu dilanjutkan dengan megah di kalangan para sasterawan apabila kerajaan, berasaskan nasihat yang salah, telah mewujudkan Panel Anugerah Sastera Negara untuk memilih “sasterawan negara”.  Panel Anugerah Sastera Negara dalam usahanya memilih “sasterawan negara” itu melaksanakan sepenuhnya semangat dan jiwa Barat dalam sastera Melayu moden, dengan menolak bulat-bulat nilai-nilai bercorak agama dalam tamadun Melayu yang selama ini menjadi asas penulisan para pengarang, ulama, dan cendekiawan Melayu.  Akhirnya yang terpilih bukanlah para pemikir  dan tokoh cendekiawan yang boleh dicontohi, yang melanjutkan tradisi dan tamadun Melayu berasaskan ajaran tauhid yang jelas dan kuat nilai-nilai Islamnya. Yang terpilih dan disanjung itu ialah tokoh-tokoh yang bukan tokoh sebenarnya, yang hanyut dan keliru dalam pencarian identiti berasaskan faham individualisme Barat, yang kononnya menjadi asas kemodenan (sebenarnya lebih tepat pembaratan, westernization).  Apabila timbulnya kesedaran perlunya dikembalikan semangat Islam dan jiwa tauhid dalam “kesusasteraan”, maka yang terjadi ialah penerusan pembaratan nilai dalam sekularisasi agama yang kononnya menjadi kesedaran baru di kalangan para sasterawan yang sudah mula sedar akan kesilapan mereka. Tetapi “kesedaran” itu melahirkan kekeliruan yang lebih besar apabila istilah kesusasteraan masih diteruskan, padahal kesusasteraan itulah yang menjadi punca kekeliruan para sasterawan selama ini. Masalah ini telah dibincangkan dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992).

Kembali kepada taklif.  Hasil-hasil kesusastertaan yang digunakan dalam pendidikan negara telah menjadikan para pelajar semakin bodoh, semakin jauh dari tradisi mereka, semakin kacau dalam sistem nilai mereka. Ini terjadi kerana karya-karya yang diberikan kepada mereka untuk dikunyah tidak mempunyai pegangan yang jelas, di dalamnya tidak terdapat kebijaksanaan yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan remaja. Malah penggunaan apa yang dinamakan “bahasa sastera” telah melemahkan penguasaan bahasa Melayu mereka, oleh sebab bahasa itu kering dari nilai-nilai ilmu dan nilai-nilai moral yang baik. Karya sastera yang dimegahkan itu bersifat terbuka, tidak mementingkan pengajaran moral, seperti yang ditegaskan dan dihujahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Moral dan pngajaran tidak diperlukan dalam karya sastera yang bermutu tinggi, kata para penilai ini. Karya yang baik ialah yang tidak mempunyai apa-apa matlamat, yang hanyut dalam khayalan sasterawan, yang bebas tanpa batas, yang terbuka luas untuk  ditafsir sesuka hati.  Kaedah pengajaran sastera yang diasaskan daripada “teori” Barat menghendaki begitu, membiarkan manusia atau pembaca mencari sendiri nilai-nilai yang baik yang tidak semestinya terdapat, kerana kehidupan manusia yang sebenar, kata mereka, tidak terikat kepada nilai-nilai moral yang mengikat kebebasan mereka, walaupun mereka misalnya beragama Islam. Inilah jenis pengajaran yang ditonjolkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang termaktub dalam laporan mereka, sudah diarusperdanakan dalam penilaian sastera dan sudah pula diterima sebagai baku dalam kritikan sastera yang diajar di sekolah dan universiti.  Kepalsuan ini hanya berjaya diserlahkan dengan munculnya gagasan Persuratan Baru yang meneliti semua karya kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar, yang melihat penggunaan wacana dan cerita berteraskan konsep taklif. Selama ini karya kreatif dibaca dan dinilai serta ditafsirkan dengan menggunakan “teori” Barat yang menyisihkan sama sekali keterikatan manusia kepada konsep taklif itu, dengan itu manusia tidak lagi bertanggungjawab kepada sesiapa, melainkan kepada tuntutan hawa nafsunya. Jika anda baca dengan teliti dan kritis semua laporan yang ditulis oleh Panel Anugerah Sastera Negara, anda akan melihat hakikat ini dengan jelas, sekiranya anda tidak menggunakan apa-apa juga “teori” Barat, tetapi melihatnya daripada perspektif taklif.

Kunci untuk membuka perwatakan manusia  dan memahami tingkah laku mereka ialah konsep taklif itu, oleh itu dalam penulisan karya kreatif, yang watak-wataknya ialah manusia atau binatang yang dimanusiakan, atau manusia yang dibinatangkan, maka hakikat taklif itu perlu dijadikan panduan dalam membina perwatakan dan menyusun cerita dan peristiwa dalam karya. Pemahaman yang mendalam tentang konsep taklif akan memudahkan kita memahami sesebuah karya yang ditulis oleh sesiapa saja, dari tamadun mana sekali pun.  Dari perspektif taklif, tidak ada soalan seperti “To be or not to be”, kerana semua pilihan dan keputusan akan berasaskan konsep ilmu, keadilan, dan ikhtiar terbaik untuk menyelesaikan masalah. Seperti yang dijelaskan oleh Shah Wali Allah, taklif mempunyai tiga rahsia, iaitu ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar. Jadi apabila watak bertanya seperti soalan di atas, daripada perspektif taklif soalan itu hanya wujud dalam konteks mencari keredaan Allah ta’ala, bukan untuk membalas dendam. Kalau orang berkata, mengapa pula dimasukkan peranan Allah ta’ala dalam drama Shakespeare, tidakkah itu haru-biru dan bertentangan dengan semangat tragedi dalam drama itu? Oleh sebab dalam Islam tidak ada apa yang disebut  tragedi itu, maka pembaca Islam harus memahami soalan itu dalam konteks Islam yang menolak tragedi, bukan terikut-ikut melihat persoalan dalam konteks tragedi seperti yang difahami di Barat. Dengan itu, sebagai pembaca atau penonton Islam, kita dapat “menikmati” drama itu dalam konteks yang betul, yakni dalam konteks taklif tadi.  Jika hal ini difahami, maka kita dapat membaca dengan selesa dan menilai dengan saksama apa juga karya yang ingin dan perlu kita baca. Tidak semua karya perlu kita baca, jika hanya untuk membuang masa. Kita harus memilih yang benar-benar terbaik, untuk dijadikan bahan pemikiran yang boleh membuat kita insaf akan makna kehidupan manusia daripada perspektif taklif tadi.  Bagi seorang penulis yang menulis novel atau cerita pendek, pengetahuan yang mendalam tentang konsep taklif akan membantunya untuk menulis tentang manusia dan cerita mereka dengan lebih berkesan, lebih indah dan bermakna. Dari situlah dia akan membina keindahan bahasanya berasaskan konsep ihsan. (Tentang aspek ini, sila lihat Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan).

Bagaimanakah bentuk karya yang indah dan bermakna?:  Para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera selalu berkara, sesebuah karya seperti  novel atau cerita  pendek dikira baik dan menarik jika perenggan pertamanya memikat pembaca untuk membaca seterusnya. Tiga ukuran digunakan: baik, menarik, memikat untuk menentukan kesan awal yang diberikan oleh sebuah karya.  Dari segi apa kebaikan sesebuah karya diukur?  Unsur apakah yang terdapat dalam karya yang menarik minat pembaca?  Apakah ciri-ciri yang membuat sesebuah karya itu memikat?  Semua unsur yang dikatakan itu tidak boleh dipakai kerana satu perenggan atau perenggan pertama bukanlah sebuah karya. Sebuah karya adalah jauh lebih kompleks dari itu, yang memerlukan analisis untuk menentukan kualitinya. Tetapi ukuran berasaskan kesan awal itu boleh dipakai sebagai panduan umum apabila seseorang sedang memilih buku di kedai-kedai buku; malah bagi seorang penilai yang cekap dan berpengalaman kesan awal itu kadang-kadang digunakan untuk menentukan boleh tidaknya karya itu dimasukkan ke dalam kumpulan yang akan digunakan untuk mencari yang terbaik. Jika cara ini digunakan, dan memang banyak digunakan, maka pilihan yang dibuat pasti akan menimbulkan kritikan keras, malah perbalahan ilmiah yang berpanjangan, sekiranya karya yang dipilih didapati tidak layak apabila dinilai dengan lebih teliti. Hal ini terjadi juga dalam pemilihan untuk diberi Hadiah Nobel Sastera, apalagi jika penulis yang dipilih itu didapati, kemudiannya, melakukan plagiat. Semua ini menunjukkan kepada kita betapa subjektifnya penentuan nilai baik tidak baik sesebuah karya. Kesan awal tadi berkait dengan taste  (atau cita rasa) seseorang penilai, tidak diasaskan kepada penelitian objektif kerana tidak mungkin dilakukan dengan hanya menggunakan satu perenggan sebagai asas.  Tetapi dalam analisis yang didakwa objektif pun masih boleh dikuasai taste yang amat subjektif ketika membuat keputusan akhir. Contoh paling ketara di Malaysia ialah penilaian terhadap buku  Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, yang ditentukan oleh unsur (?) diplomatik yang menurut penilai tidak ada dalam karya itu. (Lihat Dewan Sastera, Januari 1994, hal. 17-19.  Lihat ulasan saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, bab 4, diselenggarakan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, 2010).  Semua kelemahan dan kekurangan ini boleh diatasi, sebahagian besarnya, dengan menggunakan ukuran yang lebih tepat, jitu dan objektif yang  menjadi prinsip gagasan Persuratan Baru.

Dalam gagasan Persuratan Baru, konsep wacana dan cerita dipisahkan dalam konteks analisis, dengan memberi keutamaan kepada wacana.  Hal ini terjadi kerana gagasan Persuratan Baru menjadikan konsep ilmu yang benar dalam Islam sebagai asas analisis, baik yang bersifat ilmiah/kritikan mahu pun yang bersifat kreatif (merujuk kepada penulisan cerita dalam novel, cerita pendek mahu pun sajak; kerana sajak adalah juga sejenis cerita dalam bentuk karangan berangkap).  Dengan memberi keutamaan kepada wacana, kedudukan cerita dipertajam dengan meletakkan cerita dalam ruang naratif yang fungsinya diarahkan untuk menyerlahkan kehadiran wacana dalam karya. Wacana dan cerita dikemaskan dalam satu kesatuan teknik yang dipanggil stylization of ideas, atau siratan makna. Dengan menggunakan konsep stylization of ideas, karya dapat dihindar daripada menjadi propaganda cetek untuk suatu maksud tertentu, sebaliknya penyatuan antara wacana dan cerita melalui stylization of ideas akan menjadikan karya itu indah dan bermakna. Keindahan tadi dilahirkan/dihasilkan melalui penggunaan teknik stylization of ideas.  Penggunaan teknik ini penting kerana wacana yang tidak disebatikan dengan cerita, atau cerita yang tidak dikuasai wacana, akan melahirkan karya yang tidak matang kerana wacana dan cerita dibiarkan bersendirian, terasing atau terpisah satu sama lain, oleh itu cenderung untuk menjadi propaganda yang kontang dari makna yang mendalam, yang menyentuh kalbu. Contohnya banyak, di sini disebut dua buah contoh yang terkenal, iaitu novel Salina dan Ranjau Sepanjang Jalan. Dua buah karya ini mendapat perhatian dan penilaian tinggi berasaskan cerita semata-mata, bukan pengolahan dan analisis persoalan yang dikemukakan. Kedua-duanya adalah karya melodrama yang meletakkan watak utamanya dalam keadaan terkongkong, terikat oleh kemahuan pengarang untuk bercerita, bukan untuk mengolah dan meghujah persoalan yang dikemukakan dalam karya.  Oleh itu kedua-dua karya ini mengambil watak yang bodoh, tidak berfikir dan tidak berusaha untuk mengubah nasib mereka, walaupun mereka berada dalam kesusahan yang teruk. Yang dijadikan watak bukanlah manusia yang berfikir, tetapi boneka yang dibiarkan hanyut tanpa tujuan. Inilah kelemahan paling ketara apabila konsep taklif tidak dijadikan asas untuk membina perwatakan, seperti yang digunakan oleh Abdul Kadir Adabi dalam novelnya Melati Kota Bharu (lihat analisis Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani tentang novel ini dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, bab 5.)  Ketiga-tiga karya ini banyak sekali menggunakan bentuk khutbah dan komentar langsung daripada pengarang, dengan perbezaan yang ketara dalam novel Abdul Kadir Adabi. Dalam novel Melati Kota Bharu khutbah digunakan dalam bentuk wacana, tetapi tidak dalam novel A. Samad Said dan Shahnon Ahmad.  Huraian mendalam Dr. Zariat haruslah dibaca bersama ulasan Panel Anugerah Sastera Negara terhadap novel A. Samad Said dan Shahnon Ahmad yang dicontohkan di sini.

Di mana letaknya penggunaan teknik stylization of ideas dalam novel Abdul Kadir Adabi, dan tiadanya dalam  Shahnon  Ahmad dan A. Samad Said?  Oleh sebab aspek ini penting, saya perturunkan kutipan yang panjang daripada kesimpulan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam makalahnya yang dirujuk di atas. Kata beliau dalam kesimpulan itu:

“Bacaan ini dengan jelas berhasil mengenal pasti kekuatan novel Melati Kota Bharu. Antaranya, saratnya idea-idea intelektual A. Kadir Adabi yang mengisi sebahagian besar ruang naratif novel.  Kesaratan idea intelektual  ini dimungkinkan dengan terbinanya wacana ilmiah yang mendominasi novel. Sehubungan itu, dan yang istimewanya di sini ialah apabila A. Kadir Adabi menjadikan usaha-usaha pembinaan wacana itu sendiri sebagai mekanisme utama dalam membangunkan novel. Ini bererti, pembangunan novel Melati Kota Bharu tidak bergantung sepenuhnya kepada cerita. Alat-alat penceritaan digembeling bukan untuk membangunkan cerita, tetapi untuk menampung pemikiran wacana, dan sekali gus membangunkan ilmu. Adalah jelas bahawa Melati Kota Bharu dibangunkan daripada usaha-usaha serius pengarangnnya untuk membangunkan satu wacana intelektual yang mantap. Ini sekali gus menjawab persoalan yang dibangkitkan pada awal perbincangan, iaitu apakah novel A. Kadir Adabi ini memikul tanggungjawab yang sama dengan tuisan-tulisan ilmiahnya, iaitu menyebarluaskan idea-idea intelektual.

“Lanjutan itu, dan merujuk perkara di atas juga ialah aspek pengkosepsian dan penjanaan novel. Berdasarkan usaha dan strategi pembangunan novel di atas, adalah jelas bahawa pada A. Kadir Adabi: novel dikonsepsikan sebagai wadah ilmiah yang sah dan dapat dipertanggungjawab untuk menyampaikan idea-idea intelektual. Dan dalam pengkonsepsian ini, A. Kadir Adabi tidak menganggap cerita sebagai ilmu, sebaliknya hanyalah sebagai alat yang dapat dimanfaatkan untuk menyalurkan pemikiran dan ilmu.  Oleh kerana itulah, idea-idea intelektual dijana dalam novel secara jelas, substantif dan sistematik. Cerita dan peranan cerita pula dikawal ketat, sesuai dengan fungsinya hanya sebagai alat penyampaian ilmu. Pengawalan ketat cerita inilah yang memungkinkan Melati Kota Bharu mencapai matlamat untuk menyampaikan ilmu dengan jaya dan berkesan. Satu perkara yang mesti diakui ialah sejajarnya pengkonsepsian dan penjanaan novel, dengan al-Quran. Dengan pengkonsepsian dan penjanaan demikian, adalah jelas bahawa pada A. Kadir Adabi: penulisan novel tidak terlepas daripada tanggungjawab Qalam yang menuntut supaya ilmu menjadi teras dalam setiap bahagian penulisan. Pemahaman ini menyimpulkan dengan jelas bahawa tradisi yang mendasari kegiatan penulisan A. Kadir Adabi adalah tradisi persuratan Islam. Tradisi persuratan Islam yang dikenalinya dan dipelajarinya sejak kecil hingga dewasa inilah yang turut menghadirkan Melati Kota Bharu.  Dan tradisi inilah yang rata-rata gagal dikesan dan difahami dalam kajian-kajian terdahulu. Kegagalan inilah yang mendorong kajian-kajian itu menerapkan kaedah bacaan/kritikan moden-Barat, dengan konsep dan terma sastera  yang asing dan bertentangan dengan tradisi persuratan Islam yang mendasari Melati Kota Bharu. Ini jelas tidak dapat berlaku adil  terhadap novel A. Kadir Adabi itu. Dalam konteks ini jugalah, gagasan Persuratan Baru (PB) cetusan Mohd. Affandi Hassan memberikan sumbangannya yang sangat bermakna. Dengan prinsip-prinsip dalam tradisi persuratan Islam yang dihidupkan kembali oleh pencetusnya, PB di satu pihak tampil sebagai satu kerangka bacaan/kritikan yang dapat meletakkan Melati Kota Bharu kembali pada kedudukan dan tradisinya yang tepat. Di pihak yang lain pula, novel Melati Kota Bharu membuktikan secara konkrit bahawa tradisi persuratan Islam yang dihidupkan semula oleh Mohd. Affandi Hassan melalui PB itu, sebenarnya bukan mustahil untuk dilaksanakan dan dibudayakan kembali.”  (Huruf condong dalam teks asal).

Perlu diingat, novel Melati Kota Bharu diterbitkan pada tahun 1939 (sebelum itu diterbitkan dalam majalah al-Hikmah mulai 1934, dan pada tahun yang sama terbit Ilmu Mengarang Melayu oleh Za’ba), lama sebelum munculnya gagasan Persuratan Baru.   Ini bermakna pendapat pengkritik dan sarjana, dan tentu saja para sasterawan sendiri, yang mengatakan gagasan Persuratan Baru mungkin hanya boleh digunakan untuk menganalisis dan menilai karya-karya yang muncul kemudian, bukan yang muncul sebelumnya, terbukti dari analisis Prof. Madya Zariat tidak benar. Pendapat cetek dan tidak logik ini diutarakan untuk melindungi karya-karya para sasterawan negara supaya tidak dinilai semula dengan kritis berdasarkan gagasan Persuratan Baru, kerana terdapat ketakutan yang tidak wajar bahawa karya-karya para sasterawan negara itu akan hilang nilai sasteranya kerana memang diakui karya-karya itu tidak mempunyai tunjang ilmu. Pendapat ini sangat aneh dan tidak masuk akal, bertentangan dengan sifat ilmu dan bertentangan pula dengan dakwaan bahawa karya-karya para sasterawan negara itu boleh ditafsirkan dalam pelbagai “teori” sastera yang wujud pada waktu ini. Jika benarlah dakwaan tentang kepelbagaian makna itu, maka bagaimana pula gagasan Persuratan Baru tidak boleh dipakai untuk melahirkan makna yang pelbagai itu?  Kegersangan ilmu dalam karya para sasterawan negara ini tidak wajar dilindungi dengan tohmahan yang jahat seperti di atas, tetapi sepatutnya dihadapi dengan berani dan jujur tanpa sebarang syak wasangka dan ketakutan untuk dinilai semula dengan menggunakan kaedah yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru. Jika dengan menggunakan kaedah itu ternyata penilaian Panel Anugerah Sastera Negara tidak tepat, cetek, keliru dan palsu, maka hakikat itu mesti diterima dengan penuh tanggungjawab ilmiah. Sikap anti-ilmu dan anti-intelektual dalam bentuk apa pun harus dibuang dalam dunia akademik kita.  Kemajuan dalam kesusasteraan (baca persuratan) harus bertunjang daripada pemikiran besar para penulis, bukan berasaskan kecetekan pengetahuan yang tidak disandarkan kepada ilmu. Walau apa pun hujah dan alasan yang dikemukakan, sudah jelas bahawa kesusasteraan dan para sasterawan yang  mengembangkannya telah gagal mendidik masyarakat menjadi lebih cerdik dan mencintai ilmu. Ini bertentangan dengan tradisi persuratan berasaskan Islam yang telah berjaya, sejak beratus tahun, mengembangkan ilmu dalam berbagai-bagai bidang, dan berjaya pula melahirkan para ulama, pendeta, pemikir dan pendidik bangsa Melayu. Usaha para sasterawan melenyapkan tradisi itu dengan menggantikannya dengan tradisi Barat dan nilai-nilai Barat dalam kesusasteraan adalah suatu pengkhianatan dalam pembinaan tamadun kita, oleh itu harus ditolak supaya kita tidak lagi berada dalam alam khayal para sasterawan yang sedang bermimpi akan diberi Hadiah Nobel Sastera, tidak puas dengan gelaran “ sasterawan negara “  yang gah tetapi tidak berisi.  Tugas utama penulis baru  dalam era persuratan ialah mencerdikkan bangsanya dan membina tamadun baru berasaskan ilmu yang benar.

Mohd. Affandi Hassan, 24/12/2010.