Tuesday, February 5, 2019

KATAK BAWAH TEMPURUNG TAK LEPAS LOMPAT BUSUT

Nota: Saya bertemu tulisan ini ketika membelek-belek fail lama. Nampaknya bagus dan ada kaitannya dengan beberapa persoalan yang saya timbulkan dalam blog ini. Sila baca, jangan lari!!

            Sekitar tahun 1970-an, para sasterawan dan pengkritik sastera geger menjerit-jerit marah kononnya saya membunuh bakat-bakat baru melalui tulisan saya. Kini timbul pula jeritan baru yang menuduh gagasan Persuratan Baru yang saya kemukakan bertujuan menjatuhkan sasterawan besar negara. Persuratan Baru bertujuan memartabatkan karya kreatif dengan menjadikan taklif sebagai asas penulisan kreatif, menggunakan stylization of ideas sebagai teknik utama. Tidak ada langsung matlamat untuk menjatuhkan sesiapa pun. Jika ada yang merasa dirinya terketepi, maka hal itu terjadi kerana kelemahan mutu karya mereka, bukan kerana Persuratan Baru.
Tuduhan-tuduhan begini tidak saja tidak berasas, malah mencerminkan kerendahan pemikiran para sasterawan sendiri yang takut dinilai dengan kritis, kononnya akan terpelanting jatuh dari gunung ketinggian yang mereka duduki sekarang. Berapa ratus bakat baru yang saya bunuh tidak pernah dinyatakan, demikian juga berapa puluh orang tokoh besar yang saya jatuhkan tidak pernah ditunjukkan. Inilah cara berfikir picisan yang masih menjadi pegangan para sasterawan, penilai dan pengkaji sastera Melayu. Bahawa hal ini timbul pada waktu ini bagi saya sangat menarik, membuktikan sekali lagi sifat sebenar pemikiran picisan dan penilaian picisan yang menjadi kemegahan para sasterawan dan penilai sastera Melayu. Dalam bulan Mei 2002 saya menulis beberapa buah rencana untuk membahaskan beberapa perkara yang saya anggap penting, tetapi tidak sebuah pun tulisan itu tersiar. Yang tersiar (Mingguan Malaysia, 25/5/2002), menurut maklumat yang disampaikan kepada saya dari Utusan Melayu dan universiti, ialah tulisan yang sudah lebih enam bulan, malah mungkin sudah setahun disimpan oleh akhbar itu. Tulisan itu kini disiarkan untuk menunjukkan bahawa tulisan-tulisan saya yang tidak tersiar itu bertujuan "menjatuhkan tokoh-tokoh besar".
            Antara tulisan yang tidak mahu disiarkan itu membicarakan tokoh agung abad 20, tentang Utusan Melayu telah tertipu kerana memberikan Hadiah Sako II kepada sebuah karya picisan, tentang penilai dan penilaian picisan dalam sastera Melayu, dan lain-lain. Saya tidak bermaksud mengulas tulisan-tulisan tersebut, tetapi saya ingin menyebut di sini bahawa terdapat kecenderungan untuk "membisukan" saya dengan tidak menyiarkan tulisan-tulisan tadi, supaya tokoh-tokoh tertentu yang jelas bukanlah tokoh yang besar dan utuh sebenarnya, tidak terjejas kedudukannya. Jika ini benar, masyarakat sudah kehilangan peluang besar untuk menimbang pendapat-pendapat kritis saya yang boleh membuat mereka lebih teliti dan bertanggungjawab dalam membuat penilaian. Jika andaian ini benar, tentulah masyarakat akan jadi marah apabila dalam abad moden pun masih terdapat mentaliti "carik baju raja dilompati todak sebab akal budak", yang berdegar-degar menyesali pembunuhan budak cerdik, tetapi awak sendiri mengamalkan diskriminasi dalam memberi pendapat. Apa-apa juga yang awak tidak mahu dengar, awak ketepikan. Apa bezanya awak dengan raja yang membunuh budak cerdik itu?
            Sejak gagasan Persuratan Baru diketengahkan, jarang benar kita dengar orang bercakap tentang anjakan paradigma (paradigm shift), mungkin kerana mereka ketakutan akan berpindah dari sastera kepada Persuratan Baru. Mereka tidak perlu takut, kerana perpindahan itu akan membuat mereka lebih cerdik, dan karya mereka akan lebih bermutu. Sebenarnya para pengkritik saya sehingga sekarang belum lagi membahaskan dengan mendalam apa-apa juga pandangan saya yang mereka anggap "membunuh" dan "menjatuhkan" itu. Mereka tidak berupaya berbuat demikian, selain kerana ilmu yang cetek, mereka sebenarnya takut terkena ke batang hidung sendiri jika analisis saya dibahaskan dengan mendalam. Jalan paling mudah ialah membuat tuduhan, kemudian mendiamkan diri. Merekalah yang sebenarnya berbuat keburukan yang jelik sekali, iaitu membuat tuduhan palsu yang tidak pernah dibuktikan. Siapa yang jahat sebenarnya? 
            Jadi kita lihat perbincangan tentang sastera di Malaysia masih berlegar di sekitar soal remeh-temeh, masih berada pada peringkat gosip, peringkat ocehan di kedai kopi. Ini terjadi kerana para sasterawan dan pembicara sastera kita masih kampungan, masih berada di bawah tempurung kecil kampungan, takut melihat matahari yang akan menyerlahkan kurap intelek mereka, dan jika sekali sekala keluar melompat, mereka hanya bermain di lopak-lopak kecil atau berkeliling di busut-busut kecil. Melompat busut kecil pun tak lepas, apatah lagi hendak mendaki gunung ilmu yang tinggi-tinggi. Saya telah membicarakan panjang-lebar tentang perkara ini dalam tulisan berjudul "Dari paradigm shift ke paradigm shit: Sastera Melayu dalam Siratan Makna dan Ciritan Kata", dan sebuah lagi tulisan yang menghuraikan corak pemikiran dan penilaian picisan berjudul "Era Picisan Dalam Sastera Melayu". Kedua-dua tulisan ini membicarakan pemikiran kampungan dan picisan yang sangat bangga dimegahkan oleh para sasterawan dan sarjana sastera, terutama sekali jenis "sarjana guru sekolah" yang banyak merosakkan sastera Melayu moden. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan saya akan diberi peluang seluas-luasnya membahaskan hujah dan bukti yang saya kemukakan.
            Baru-baru ini timbul sedikit keriuhan tentang Hadiah Nobel. Saya telah memberikan pandangan saya, tetapi tidak disiarkan. Di sini saya ingin mengulang pandangan saya bahawa keriuhan di sekitar perkara ini sekali lagi membuktikan kebenaran tesis saya betapa kampungan dan picisannya pemikiran sasterawan kita. Benarlah kesimpulan Muhammad Iqbal yang menyatakan bahawa orang yang suka meminta-minta itu berjiwa hamba dan berhati kambing, tidak layak dihormati, tidak mempunyai peribadi tinggi yang boleh dicontohi. Adalah aneh bagi seorang yang telah menulis sajak panjang tentang Al-Amin masih mendambakan pemberian Alfred Nobel yang mencipta bahan letupan (dynamite) yang boleh membunuh dan menghancurkan apa saja, padahal seorang tokoh sufi tak terkenal yang digelar Wak Ali dari Wakaf Baru, Kelantan, ketika diminta menjelaskan bagaimana seharusnya seseorang beramal, dengan rendah diri berkata, "Beramallah seolah-olah kamu sedang meriba Nabi Muhammad." Perhatikan istilah "riba", lambang kasih sayang dan sifat prihatin terhadap orang yang kita kasihi. Seratus pemenang Hadiah Nobel pun tidak dapat menandingi kata-kata indah yang ringkas, tetapi amat berharga bagi yang tidak picisan pemikirannya itu. Kata-kata itu lahir daripada seorang yang menghayati ajaran Nabi s.a.w. Wak Ali jauh lebih besar daripada Alfred Nobel dan sebarang pemenang Hadiah Nobel Sastera, dalam sistem nilai yang kita orang Islam pakai. Renungkanlah dengan akal, bukan dengan nafsu serakah. Orang yang telah sampai ke peringat itu, kata Iqbal, "sanggup menggegar langit angkasa". Menurut al-Quran, orang yang diberi hikmah (yakni yang faham Quran dan Sunnah), telah diberikan kebaikan yang banyak (rujuk al-Quran, 2: 269). Perlukah Hadiah Nobel lagi? Hanya yang berjiwa picisan saja yang mendambakan Hadiah Nobel atau apa-apa juga hadiah. Wallahu a'lam.

Petaling Jaya,
1 Jun 2002.

Monday, February 4, 2019

KALAU SASTERAWAN NEGARA MAIN GULI, SARJANA PULA MAIN APA?

Kesimpulan Annemarie Schimmel tentang kedudukan Goethe dan Shakespeare sebagai pemain guli jika dibandingkan dengan kedudukan Jalaluddin Rumi, perlu disangkal, secara akademik dengan mengemukakan hujah yang mantap, bahawa pendapat sarjana terkenal itu tidak betul, tidak adil, dan sebagainya. Jika mereka, yakni para sarjana sastera dan sasterawan, gagal melakukan sanggahan itu secara akademik, maka benarlah kesimpulan saya sejak 1981 bahawa kita tidak perlukan sasterawan negara, dan pelantikan sasterawan negara adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.  Bagaimana Malaysia meletakkan para pemain guli sebagai tokoh besar negara? Tidakkah ini tidak siuman? Sudah jelas para sarjana dan sasterawan negara sendiri tidak berani angkat muka kerana malu dan takut. Baik diam saja, dengan harapan masyarakat boleh melupakannya dan terus menganggap mereka tokoh besar.

Bagaimana dengan kedudukan Menteri Pendidikan yang memberi arahan supaya para sasterawan negara dikunjungi budak-budak sekolah? Tentu saja cadangan ini tidak masuk akal, cetek dan tidak cerdik, tanpa memberi sebarang hujah yang mantap mengapa mesti dilakukan. Kalau menteri sudah begitu sikapnya, bagaimana pula dengan guru-guru dan murid-murid mereka?  Ini persoalan besar, dan penting dibahaskan.  Sebarang usaha untuk mendewakan para sasterawan negara adalah perbuatan yang boleh membawa kepada syirik, menurut pandangan Islam. Sepatutnya perkara ini diketahui oleh semua orang Islam Malaysia, oleh itu kemungkinan terjerumus ke dalam lorong belukar syirik itu nampaknya dipandang kecil dibandingkan dengan pemujaan mereka terhadap para sasterawan negara seperti yang ditunjukkan oleh Menteri Pendidikan dalam gesaan beliau supaya setiap sasterawan negara dilawati oleh semua murid sekolah.  Perbuatan begini tidak perlu, membazir masa dan wang, dan merendahkan maruah para guru yang kononnya di bawah menteri baru tidak lagi akan dibebankan dengan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan pendidikan. Jika menteri pendidikan berasa besar sangat kedudukan para sasterawan negara ini, maka dia perlu menggalakkan perbincangan kritis untuk  menilai karya para sasterawan negara, dilakukan oleh para guru dengan penglibatan para pelajar sendiri. Didik mereka menjadi kritis, tidak hanya menjadi Pak Turut yang bodoh.  Matlamat ini boleh dicapai jika pelajar didedahkan kepada pendekatan yang betul, yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Tetapi matlamat ini tidak dapat dan tidak mungkin dicapai, kerana Menteri Pendidikan sendiri menolak bulat-bulat pendekatan yang dianjurkan oleh PB.  Kita boleh terima pendekatan beliau sendiri, tetapi penerimaan ini bersyarat. Pandangan menteri tidak wajar diikuti membabi buta, sebelum dibahaskan dengan objektif. Itu yang patut kita ajarkan kepada para pelajar.  Perbuatan Menteri Pendidikan melontarkan slogan untuk diikuti sekali lagi perbuatan gopoh yang memperbodohkan para pelajar. Kita perlu melihat persoalan ini dalam konteks pendidikan adab, yang hanya boleh dilakukan berasaskan konsep ilmu yang benar.  Menteri Pendidikan tidak wajar bermain guli ketika beliau diharapkan akan memberi panduan berasaskan konsep ilmu yang benar dalam pembangunan peribadi para pelajar.

Pelajar universiti nampaknya telah sedar akan hal ini, dengan itu mereka mengirim satu poster kepada saya sekitar bulan April 2014, untuk menegaskan bahawa mereka perlu didedahkan kepada pendekatan baru, dengan tidak mengabaikan pendekatan Barat. Ini satu sikap positif yang sepatutnya disokong oleh pensyarah sastera di universiti. Malangnya, mereka tidak mahu para pelajar mengenal PB lebih dekat, dengan memberi alasan bahawa Malaysia tidak memerlukan teori sastera berasaskan konsep ilmu dalam Islam. Kata para pensyarah ini, sastera tidak kena mengenai dengan agama, mana-mana agama sekali pun, oleh itu tidak wajar pelajar yang tidak beragama Islam yang mengambil pengajian sastera dipaksa mempelajari teori yang berasaskan konsep ilmu dari perspektif Islam. Mereka menegaskan, teori Barat tidak diasaskan kepada mana-mana agama, oleh itu selamat dipelajari.

Kesimpulan Annemarie Schimmel tentang kedudukan Goethe dan Shakespeare sebagai pemain guli jika dibandingkan dengan kedudukan Jalaluddin Rumi, perlu disangkal, secara akademik dengan mengemukakan hujah yang mantap, bahawa pendapat sarjana terkenal itu tidak betul, tidak adil, dan sebagainya. Jika mereka, yakni para sarjana sastera dan sasterawan, gagal melakukan sanggahan itu secara akademik, maka benarlah kesimpulan saya sejak 1981 bahawa kita tidak perlukan sasterawan negara, dan pelantikan sasterawan negara adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.  Bagaimana Malaysia meletakkan para pemain guli sebagai tokoh besar negara? Tidakkah ini tidak siuman? Sudah jelas para sarjana dan sasterawan negara sendiri tidak berani angkat muka kerana malu dan takut. Baik diam saja, dengan harapan masyarakat boleh melupakannya dan terus menganggap mereka tokoh besar.

Bagaimana dengan kedudukan Menteri Pendidikan yang memberi arahan supaya para sasterawan negara dikunjungi budak-budak sekolah? Tentu saja cadangan ini tidak masuk akal, cetek dan tidak cerdik, tanpa memberi sebarang hujah yang mantap mengapa mesti dilakukan. Kalau menteri sudah begitu sikapnya, bagaimana pula dengan guru-guru dan murid-murid mereka?  Ini persoalan besar, dan penting dibahaskan.  Sebarang usaha untuk mendewakan para sasterawan negara adalah perbuatan yang boleh membawa kepada syirik, menurut pandangan Islam. Sepatutnya perkara ini diketahui oleh semua orang Islam Malaysia, oleh itu kemungkinan terjerumus ke dalam lorong belukar syirik itu nampaknya dipandang kecil dibandingkan dengan pemujaan mereka terhadap para sasterawan negara seperti yang ditunjukkan oleh Menteri Pendidikan dalam gesaan beliau supaya setiap sasterawan negara dilawati oleh semua murid sekolah.  Perbuatan begini tidak perlu, membazir masa dan wang, dan merendahkan maruah para guru yang kononnya di bawah menteri baru tidak lagi akan dibebankan dengan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan pendidikan. Jika menteri pendidikan berasa besar sangat kedudukan para sasterawan negara ini, maka dia perlu menggalakkan perbincangan kritis untuk  menilai karya para sasterawan negara, dilakukan oleh para guru dengan penglibatan para pelajar sendiri. Didik mereka menjadi kritis, tidak hanya menjadi Pak Turut yang bodoh.  Matlamat ini boleh dicapai jika pelajar didedahkan kepada pendekatan yang betul, yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Tetapi matlamat ini tidak dapat dan tidak mungkin dicapai, kerana Menteri Pendidikan sendiri menolak bulat-bulat pendekatan yang dianjurkan oleh PB.  Kita boleh terima pendekatan beliau sendiri, tetapi penerimaan ini bersyarat. Pandangan menteri tidak wajar diikuti membabi buta, sebelum dibahaskan dengan objektif. Itu yang patut kita ajarkan kepada para pelajar.  Perbuatan Menteri Pendidikan melontarkan slogan untuk diikuti sekali lagi perbuatan gopoh yang memperbodohkan para pelajar. Kita perlu melihat persoalan ini dalam konteks pendidikan adab, yang hanya boleh dilakukan berasaskan konsep ilmu yang benar.  Menteri Pendidikan tidak wajar bermain guli ketika beliau diharapkan akan memberi panduan berasaskan konsep ilmu yang benar dalam pembangunan peribadi para pelajar.

Pelajar universiti nampaknya telah sedar akan hal ini, dengan itu mereka mengirim satu poster kepada saya sekitar bulan April 2014, untuk menegaskan bahawa mereka perlu didedahkan kepada pendekatan baru, dengan tidak mengabaikan pendekatan Barat. Ini satu sikap positif yang sepatutnya disokong oleh pensyarah sastera di universiti. Malangnya, mereka tidak mahu para pelajar mengenal PB lebih dekat, dengan memberi alasan bahawa Malaysia tidak memerlukan teori sastera berasaskan konsep ilmu dalam Islam. Kata para pensyarah ini, sastera tidak kena mengenai dengan agama, mana-mana agama sekali pun, oleh itu tidak wajar pelajar yang tidak beragama Islam yang mengambil pengajian sastera dipaksa mempelajari teori yang berasaskan konsep ilmu dari perspektif Islam. Mereka menegaskan, teori Barat tidak diasaskan kepada mana-mana agama, oleh itu selamat dipelajari. 



Sila lihat poster mengenai PB yang dihantar oleh para pelajar sastera. Saya tidak pasti sama ada para pensyarah sastera tahu atau tidak poster ini wujud.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 4/2/2019.

Sunday, February 3, 2019

WOW, SHAKESPEARE JADI SASTERAWAN NEGARA?



Cadangan ini bagus, suatu cadangan yang bagi saya paling siuman.  Dua perkara akan berlaku: pertama, sama ada para sasterawan negara setaraf dengan Shakespeare; atau Shakespeare juga seorang sasterawan picisan sama saja dengan para sasterawan negara.  Mana satu anda pilih? Dalam penelitian saya, salah satu sebab mengapa penulis Melayu menjadi bodoh ialah kerana mereka diberitahu Shakespeare itu penulis agung, penulis besar yang tidak akan dapat dicapai keagungannya oleh para sasterawan negara. Betulkah andaian ini? Jika betul, nampaknya kita masih lagi dibelenggu kebodohan dalam memahami konsep ilmu yang benar yang sepatutnya difahami dan diamalkan oleh para sasterawan yang mengucap dua kalimah syahadah dan tahu makna azan yang didengarnya lima kali sehari. Atau para sasterawan negara dan sarjana sastera tidak tahu semua ini? Saya telah menyebut, lama dulu, bagaimana Annemarie Schimmel pernah menegaskan, dalam tahun 1991 di ISTAC lama, bahawa Goethe dan Shakespeare hanya budak-budak pemain guli jika dibandingkan dengan Jalaluddin Rumi. Malangnya sasterawan Malaysia dan sarjana sasteranya tidak tahu dan tidak kenal siapa Jalaluddin Rumi. Dalam tulisan mereka, tidak pernah (jarang-jarang pun tidak) kita lihat nama ini mereka sebut, seperti mesranya mereka memuji Rushdi, Pamuk dan lain-lain yang serumpun dengan mereka.  Sasterawan Malaysia disuruh mencontohi mereka.  Apakah kehebatan mereka yang digesa supaya dicontohi itu? Mereka adalah penentang kebenaran, yang menolak al-Quran.  Mereka adalah penentang ilmu, sebaliknya menyanjung kesesatan atas nama pascamodernisme. Kaedah inilah yang dipakai untuk menilai Naratif Ogonshoto, menggunakan “teori” kerancuan sastera yang dibawa oleh seorang sarjana besar sastera Melayu.  Kesediaan sarjana dan sasterawan menerima konsep “kerancuan” sebagai asas penilaian karya kreatif  adalah satu bentuk “kerancuan akademik” yang akhirnya dijadikan asas untuk memilih para sasterawan negara. Kalau begitu, Kamus Dewan mesti disunting baru untuk  memuat konsep “kerancuan” bukan lagi dalam makna sekarang, tetapi dalam konteks pascamodernisme yang berasaskan nihilisme itu.  Kalau ini bukan kemajuan dalam bidang akademik, maka yang lebih pasti, inilah kegilaan akademik yang terpakai dan dipakai ketika melantik para sasterawan negara ini.  Wow, hebat!!

Tidak ada sesiapa pun yang boleh dan mahu menyanggah kesimpulan di atas.  Oleh itu, kedudukan para sasterawan negara ini seperti berada di hujung tanduk, bila-bila pun  boleh terhumban dalam longkang berlumpur. Bagaimana ini dapat dielakkan? Tidak ada pilihan, kecuali menilai semula kedudukan para sasterawan negara ini dari perspektif PB.  Itulah pembelaan terbaik untuk para sasterawan negara. Itulah prinsip kritikan sastera yang digunakan di Barat sekali pun. Anda boleh baca kritikan T. S. Eliot terhadap drama “Hamlet”, pandangan Leo Tolstoy yang menolak Shakespeare, dan perbincangan yang amat detail dalam buku Morris Weitz, Hamlet and the Philosophy of Literary Criticism (London: Faber and Faber, 1972).

Sasterawan dan sarjana sastera di Malaysia terlalu cetek (meraba-raba) pengetahuannya tentang teori sastera dan kaedah dalam kritikan sastera, yang membuat mereka tidak bersedia, dan takut, untuk tampil berhujah. Lagi pula, menurut mereka, masalah sasterawan negara ini sudah selesai, tidak perlu dipersoalkan lagi. Pendapat picisan ini tidak boleh dijadikan sandaran untuk menyekat perbincangan terbuka, kerana itulah prinsip utama dalam kritikan sastera.  Dalam kritikan sastera, tidak ada persoalan yang sudah selesai, tidak perlu dibahaskan lagi. Jika itulah sikap pengkritik sastera, maka bidang kritikan akan jadi lesu, tidak bermaya, dan akhirnya ketinggalan jauh dari segi pemikiran.  Inilah yang terjadi di Malaysia. Walaupun kita dapati “banyak” sekali “teori” baru diperkenalkan, tetapi semuanya hanya dalam sebutan, bukan dikemukakan secara kritis. Para sarjana kita terlalu cetek kefahamannya dalam bidang ini, oleh itu mereka jadi penakut untuk meneliti sesuatu persoalan secara terperinci. Contoh terbaik, yang sepatutnya diketahui oleh semua sarjana sastera, ialah konsep dan praktik dalam kritikan hanya berkisar dalam tiga bidang. Ketiga-tiganya telah saya bincang dalam beberapa entri di blog ini.  Saya dapati tidak terdapat sarjana sastera Malaysia sedar dan betul-betul tahu mengapa tiga bidang ini muncul, dan bagaimana perkembangan selanjutnya terjadi dalam kritikan Barat. Itu sebabnya saya minta mereka baca dengan mendalam buku Frank Lentricchia, After the New Criticism.  Jangan-jangan mereka tidak pernah tahu buku penting ini sudah terbit sejak tahun 1980 lagi!

Jika para sarjana dan sasterawan kita jujur, mereka seharusnya berterima kasih dengan munculnya kaedah baru dalam memahami dan menilai karya sastera. Tetapi mereka memilih untuk berada dalam kandang pandirisme, pura-pura berlagak pandai, padahal bila tulisan mereka dikaji dengan kritis, yang kita temui ialah kecetekan yang tidak seharusnya berlaku di kalangan para sarjana ini.  Masalah kita ialah mereka ini tidak ada maruah intelektual yang tinggi, semuanya kerana kedudukan mereka sebagai profesor, pensyarah dan lain-lain dengan gaji yang lumayan, maka aspek intelektual itu diketepikan dengan angkuh.  Hal ini tidak terjadi di kalangan para sarjana Barat yang mereka tiru itu; hanya di kalangan sarjana Malaysia saja sikap negatif ini menjadi kemegahan mereka. Dalam keadaan beginilah maka mereka berani mengemukakan pendapat yang cetek ketika membicarakan novel picisan Naratif Ogonshoto. Pembicaraan mereka pun sama picisannya dengan novel yang mereka bicarakan.  Kalau ini bukan pengkhianatan terhadap para pelajar mereka, maka apakah nama yang lebih tepat untuk kita berikan kepada sarjana seperti ini?  Inilah jenis sarjana yang “membaiki” Balai Maqamat untuk dirosakkan, dengan setiap muka surat terdapat berpuluh kesalahan yang disengajakan (lihat perbahasan saya mengenai perkara ini dalam entri yang lalu.)  Mereka bangga melakukan kejahatan.  Sikap inilah yang mencelakakan perkembangan ilmu dalam sastera Melayu.  Timbul persoalan, mengapa hal ini terjadi di kalangan orang Islam sendiri? Saya kira jawapannya ada di dalam Surah 113 dan 114. Kalau anda kurang membaca surah ini, sekarang lihatlah di sana dan baca juga tafsirannya.  Dalam hal ini saya kira para pelajar sastera jauh lebih terbuka dan jujur daripada profesor mereka sendiri. Dalam bulan April 2014, saya terima satu poster daripada pelajar sastera empat buah universiti (UKM, UPM, USM, dan UM) yang menyatakan sokongan mereka terhadap PB: “Perintis Gagasan Persuratan Baru – Mohd. Affandi Hassan. Nyah Sistem Pandirisme. Sudah Tiba Masanya Kita Terima Sastera Intelektual!”

Bagus sekali jika karya satira “Sasterawan Negara William Shakespeare” dibaca dalam majlis sastera untuk menghidupkan pertemuan itu.  Saya yakin majlis itu akan jadi riuh dengan ketawa hadirin mendengar perbualan dua beranak yang amat menghiburkan. Tetapi yang paling penting ialah kes sasterawan negara ini telah diberi penghormatan tinggi apabila mereka kini setaraf dengan William Shakespeare. Apa lagi yang mereka mahu? Semua kritikan ke atas mereka yang dilancarkan oleh PB menjadi sia-sia, tidak langsung memberi bekas kepada mereka walaupun puak PB terus menerus mengatakan karya para sasterawan negara itu picisan. Soalnya, picisan atau tidak, tidak lagi menjadi satu isu yang memalukan para sasterawan negara ini. Kini mereka sudah setaraf dengan William Shakespeare dan sudah mendapat tempat istimewa secara global sebagai wakil penulis dari Malaysia yang kini sudah setaraf dengan Shakespeare. Tuduhan dan ejekan bahawa para sasterawan negara ini picisan dengan sendirinya tertolak apabila kini mereka sudah diberi kedudukan tinggi dalam dunia sastera, sebaris dengan William Shakespeare. Dengan itu, tidak mungkin Shakespeare penulis picisan seperti para sasterawan negara. Ini satu kemenangan besar kepada para sasterawan negara. Apa lagi yang boleh dikemukakan oleh PB untuk menuduh para sasterawan negara ini picisan, setelah mereka dibuktikan setaraf dengan Shakespeare? Tidak mungkin Shakespeare itu sasterawan picisan. Marahlah orang putih dan seluruh dunia, sehingga boleh membuat seluruh negara Eropah dan Amerika memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Penat saja saya mengkritik sasterawan negara, tak berkesan sedikit pun. Bertambah naik tagan adalah. Apa pilihan saya? Mesti terima hakikat para sasterawan negara ini setaraf dengan William Shakespeare, menurut pengarang Arslan Zamin Anbar yang menulis rencana, “Sasterawan Negara William Shakespeare.” Aduhh… Bagaimana jika anda terima kesimpulan Annemarie Schimmel bahawa Goethe dan Shakespeare hanya pemain guli jika dibandingkan dengan Jalaluddin Rumi?  Adakah anda sendiri, sahabatku sasterawan negara, adalah juga pemain guli dalam persuratan Melayu?  Malunya aku, sasterawan negara kemegahan Malaysia itu hanya pemain guli!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  3/2/2019.

Friday, February 1, 2019

SELAMAT HARI WILAYAH …

Dewan Sastera bulan November 1974 menyiarkan cerita pendek saya, “Nikmat Kemakmuran”, mengenai Hari Wilayah. Saya tulis karya ini untuk sepupu saya, Mat Nawi Abdul Rahman, kini sudah meninggal. Beliau dan ayahnya terkenal sebagai pendekar, murid pendekar silat terkenal di Kelantan, Tok Cik Leh; anak murid kesayangan moyang saya, seorang guru silat dan pendekar terkenal, dan seorang ulama besar di Kelantan, Tok Ayah Haji Taib, yang namanya diabadikan kepada masjid kampung kami, Masjid Tayyibah. Haji Taib diberi gelaran Pahlawan Kelantan oleh Sultan Ismail; sahabat baik Dato’ Perdana, Menteri Besar Kelantan. Sempena Hari Wilayah, saya siarkan cerita pendek ini yang ditulis seorang sahabat kami yang lucu, yang bagi saya seorang genius kerana menurut guru sastera bahasa Inggeris saya dahulu, hanya seorang genius yang lucu seperti penulis cerita pendek ini. Kalau anda tidak suka cerita pendek ini tidak mengapa; saya sendiri pun meluat membacanya. Tetapi saya bersetuju, dan menyokong kuat, jika Shakespeare dilantik menjadi Sasterawan Negara. Tidak adalah lagi orang akan mengkritik Sasterawan Negara kerana kini mereka sudah setaraf dengan William Shakespeare. Inilah cerita yang membosankan itu. Saya tidak kenal pengarang ini; tetapi dari namanya nampaknya dia orang Iran. Adakah sastera kita sudah dirasuk pengaruh Iran, pengaruh Syiah? Bacalah dulu sebelum anda membuat tuduhan. Sekiranya anda berasa musykil mengapa saya memperkenalkan karya saya sendiri mengiringi karya Arslan Zamin Anbar ini, (itulah ejaan yang betul), anda boleh bertanya para sarjana sastera kita yang lebih arif daripada saya. Mereka mesti boleh memberikan jawapan yang tepat dan cerdik pula. Sekadar memberi peringatan, kita sudah mempunyai “teori kerancuan sastera”, oleh itu kerancuan cerita pendek Arslan Zamin Anbar ini adalah sebahagian daripada kehebatan karya sastera yang perlu kita raikan. Silalah baca dengan kritis dan cerdik. Agaknya inilah karya pengaruh Syiah pertama dalam sastera Melayu.


Sasterawan Negara William Shakespeare 


Oleh

Arslan Zamin Ambar

            Semenjak bahasa Inggeris dihidupkan semula dengan suburnya di Malaysia, ayahku mula bekerja keras berkempen seluruh negara supaya kerajaan memberi anugerah  negara tertinggi dalam kesusasteraan kepada William Shakespeare. Kata ayah, kalau P. Ramlee layak digelar Tan Sri selepas meninggal dunia berpuluh tahun, Shakespeare juga layak diberi anugerah sebab dialah yang membawa kemajuan di Malaysia melalui drama-dramanya yang indah. Kata ayah, Shakespeare membuat orang Malaysia jadi cerdik dan fasih berbahasa Inggeris  tinggi, yang membuat mereka berjiwa maju. Selepas surat-surat khabar menyiarkan berita itu, aku menjadi bahan tertawa kawan-kawan dan guru-guru di sekolah.

            “Huu, tak malu!! Ayah kamu gila,” sorak teman-temanku.
            “Heeh, Samad, bilang sama ayah kamu suruh dia berhenti buat kerja gila itu,” kata guru-guru sambil tertawa. “Tak ada calon lainkah? Sampai Shakespeare pun nak dijadikan Sasterawan Negara?”
            Apa yang aku boleh buat? Tak mungkin aku menangis, kerana usikan dan ejekan itu pasti akan jadi berganda-ganda lagi jika aku menunjukkan kelemahanku. Tetapi jika aku terlalu kerap disakan guru-guruku, aku tidak sabar juga dibuatnya. Aku terus mengejek mereka pula.
            “Cikgu tahu siapa Shakespeare? Cikgu ingat dia driver bas sekolah?”
            Tetapi guru-guru itu semakin kuat mengusikku.
            “Kamu tahu siapa dia Shakespeare? Kamu ingat dia pemain rodatkah?”
            Aku terkebil-kebil memandang mereka. Aku tidak tahu apa dia rodat. Aku mula gelisah dan ingin cabut lari sebelum mereka tahu aku tidak tahu.
            “Heiii, jangan lari! Kamu mau ke mana? Bilang sama ayah kamu, dia tak ada kerja lainkah? Mentang-mentang kerajaan galakkan bahasa Inggeris, ayah kamu lebih-lebih pula nak jadikan Shakespeare Sasterawan Negara. Kamu ingat orang putih tak marah?”
            Anehnya ayahku hanya tertawa bila aku memberitahunya semua kejadian itu.
            “Ayah lebih teruk lagi diejek kawan-kawan ayah,” kata ayah sambil tersenyum. “Mereka tidak faham. Mereka tidak mengerti. Kalau kita ada Shakespeare dalam senarai Sasterawan Negara kita, kita akan dikenali dunia. Kita pun boleh menaikkan darjat bahasa Melayu kerana kini sasterawan dalam bahasa Melayu sama taraf dengan sasterawan besar macam Shakespeare. Kita mesti jadi global …”
            Aku terpinga-pinga, tidak mengerti langsung apa maksud ayahku. Aku mendiamkan diri sambil menunggu ayahku menyambung ucapannya. Tetapi sebaliknya ayah merenungku dengan aneh.
            “Kamu demam?”
            Terkejut mendengar pertanyaan yang pelik itu,  tiba-tiba aku tertawa kuat.
            “Haaa, mengapa pula tertawa?”
            “Pertanyaan ayah menggelikan hati,” kataku sambil terus tertawa kecil. “Takkan pula saya akan demam kerana Shakespeare nak dijadikan Sasterawan Negara.”
            Ayahku tersenyum.
            “Kamu silap,” kata ayah serius. “Ada orang bukan saja demam, tapi sudah hampir gila bila ayah kemukakan cadangan ayah supaya Shakespeare dijadikan Sasterawan Negara. Mereka kata ayah sudah gila. Mereka tidak sedar merekalah yang hampir gila, kalau pun tidak gila terus. Mereka tidak mengerti! Kita tak boleh sempitkan Sasterawan Negara kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu saja. Kita mesti global, mesti berani mengakui semua sasterawan, tak kira menulis dalam bahasa apa sekalipun.”
            Ayahku sebenarnya seorang Sasterawan Negara yang menulis pada mulanya dalam bahasa Inggeris, tetapi berpindah ke bahasa Melayu bila dia sedar tidak ramai orang yang akan membeli bukunya dalam bahasa Inggeris. Kata ayah, penyair Inggeris yang dia paling suka selepas Shakespeare ialah Philip Larkin. Ayah tersenyum-senyum bila menyebut nama Philip Larkin, kerana ayahnya sendiri berasal dari Larkin, manakala nenekku berasal dari Kuala Sedili. Kata ayah, Philip Larkin menggunakan bahasa yang mudah, bahasa kolokial, dalam sajak-sajaknya. Ayahku juga menggunakan bahasa kolokial dalam sajak-sajaknya, baik yang dalam bahasa Inggeris  maupun yang ditulisnya di dalam bahasa Melayu. Kami di sekolah pun menggunakan bukunya yang dia tulis lama dahulu, tentu saja dalam bahasa Inggeris. Dia memang dididik untuk memuja Shakespeare sejak di bangku sekolah lagi. Dia bercerita begitu kepada kami, anak-anaknya. Dia memaksa kami membaca drama-drama Shakespeare, dengan dia sendiri menjadi gurunya. Aku pernah melihat ayah menangis tersedu-sedu apabila membacakan kepada kami drama King Lear yang disiksa oleh anak-anak perempuannya.
            “Sedihkah ceritanya, ayah?,” tanya kami yang masih kecil ketika itu.
            “Memang sedih, tapi ayah menangis bukan kerana itu,” kata ayah sambil menyapu air matanya.
            “Mengapa ayah menangis?,” tanya adikku yang bingung, sambil tersebek hendak menangis sama.
            Ayah memandang kami sedih.
            “Ayah sedih kerana kita di Malaysia tidak boleh menonton drama Shakespeare lagi. Sekarang kerajaan pentaskan drama-drama sasterawan Melayu saja. Tidak bagus. Memang tidak bagus. Ayah tidak suka melihat pelakon terjerit-jerit di pentas. Ayah meluat mendengar khutbah yang disemburkan dari mulut pelakon yang tidak berbakat pula. Tidak ada kata-kata yang indah, yang puitis, dalam drama-drama itu. Tapi penonton bersorak. Ayah tidak tahu apakah yang disorakkan mereka. Kebodohan mereka? Atau saja-saja nak bersorak…”
            Di rumah kami penuh buku-buku drama karangan Shakespeare,  buku-buku yang memuji  drama-dramanya, dan gambar-gambar pelakon handalan yang terkenal kerana melakonkan drama-drama Shakespeare. Aku tidak pernah membaca karangan itu. Ayah selalu terkilan apabila tidak seorang pun di antara kami, anak-anaknya, yang sukakan Shakespeare, atau menonton filem-filem yang dibuat daripada dramanya. Tetapi setiap kali ayah menonton filem-filem itu, kami terpaksa ikut sama menonton. Ayahku diam penuh perhatian menonton drama-drama hebat daripada cerita-cerita Shakespeare itu. Jika sampai ke babak yang digemarinya, yang ditunggu-tunggunya, dia akan bangun dengan hebat, melakonkan dengan penuh perhatian babak itu, mengucapkan dengan fasih dan berirama ucapan-ucapan klasik dalam drama-drama Shakeskpeare…
            Romans, contrymen, lend me your ears …
            Life is but a walking shadow …”
            Is that a dagger?…”
            Knock  knock knock …”
            Dan seterusnya. Aku mungkin silap sebut bahagian-bahagian itu, sebab aku bukan ingat sangat.
            “Sungguh cantik  bahasa Shakespeare!” Kata ayah dengan terharu.
            Selepas itu dia akan membacakan sajak-sajak Larkin yang dihafalnya, termasuk yang digemarinya “Church-Going” yang menurutnya sangat sinis menyindir orang yang berpura-pura beragama. Dia sendiri kemudiannya menulis sajaknya sendiri, “Dalam Masjid”, walaupun dia bukan gemar ke masjid, termasuk hari Jumaat. Kami tahu sebab ayah selalu berkata masjid tempat orang mengumpat dan menghina orang yang tidak disukai. Walaupun aku tidak pernah dengar orang berbuat begitu, aku tidak membantah. Aku fikir ayah selalu mendengarnya, mungkin kerana teman-temannya suka berbuat begitu dalam masjid. Aku tidak tahu, jadi aku percayakan kata-kata ayahku membuta-tuli saja.
Kami kagum melihatnya begitu hebat menyebut syair-syair Shakespeare, dengan gaya yang hampir sama dengan para pelakon Inggeris atau Amerika. Dia menghafal bahagian-bahagian yang dikatakannya indah itu. Aku tidak pasti berapa banyak syair-syair Shakespeare yang dihafalnya. Aku fikir banyak, kerana setiap kali dia membacanya, aku dengar semuanya berlainan. Adakah ayahku menghafal semua karya Shakespeare? Kata ayah, Lord Macauly memang menghafal semua drama dan puisi Shakespeare, hingga orang Inggeris berkata jika semua karya Shakespeare musnah masa itu, mereka dapat menyalinnya semula sambil mendengar Lord Macauly membacakannya semula dari ingatannya.
“Macam orang hafal Quran, ayah?,” tanya adikku hairan.
Ayah tersenyum sambil menganguk-angguk megah.
“Lebih hebat lagi, kerana karya Shakespeare banyak, beratus-ratus, dan sukar pula dihafal. Tapi Lord Macauly boleh hafal semua. Hebat bukan?”
Kami memandang ayah terlongo hairan.
“Ayah hafal juga?,” tanya adikku lagi, lebih hairan, tetapi aku lihat dia bangga dan menunggu jawapan ayah dengan penuh harapan.
“Ayah pun hafal, tapi yang penting-penting saja, yang guru sastera ayah ajarkan masa ayah bersekolah dulu.”
“Ayah masih ingat sampai sekarang?”
“Ya, masih ingat. Masih segar dalam ingatan ayah.”
Adikku tersenyum bangga.
“Saya pun mau jadi macam ayah,” kata adikku.
Tetapi bila kami sudah besar dan lebih cerdik, aku lihat adikku usahkan hendak menghafal drama Shakespeare, menyentuh bukunya pun tidak mahu, apalagi menonton drama yang berat-berat itu bersama ayah. Ayahku sangat kecewa melihat sikapnya, tetapi adikku pura-pura tidak faham, buat-buat tidak dengar, konon-kononnya dia terlalu banyak kerja sekolah yang penting-penting yang perlu dibuat dan disudahkan.
“Kamu jangan ikut adik kamu,” kata ayah hampa. “Kamu tidak akan rugi jika kamu hafal bahagian-bahagian yang ayah berikan itu sedikit demi sedikit. Kita tidak akan jadi terpelajar jika tidak dapat menyebut bahagian-bahagian drama Shakespeare yang masyhur itu.”
Adikku tidak saja liat dan malas menghafal syair-syair Shakespeare, dia lebih liat dan malas lagi menghafal surah-surah pendek al-Quran. Ustaz yang ibuku upah mengajar Quran selalu menggelengkan kepala sedih melihat telatah adikku. Satu hari aku dengar ayah memarahi ibu kerana mengupah ustaz yang mengajar cara lama, suruh budak-budak hafal walaupun tidak faham. Ayah tidak suka adikku dirosakkan dengan paksaan seorang ustaz yang menggunakan cara lama mengajar agama. Ibu diam saja. Lepas itu ustaz Jalil tidak datang ke rumah kami lagi, diganti dengan seorang ustaz baru yang ditugaskan membaca saja, tidak perlu menghafal lagi. Adikku senang hati dan rajin membaca Quran bila ada ustaz. Tapi bila ibuku suruh sembahyang, dia kata nantilah dulu. Aku tahu helahnya. Dia tidak mahu sembahyang lagi kerana belum hafal ayat-ayat pendek, dia beritahu aku. Bila aku beritahu ibu, aku disuruh ibuku mengajar adikku menghafal ayat-ayat pendek. Mana dia mahu? Dengan ustaz pun dia tak mahu, apatah lagi dengan aku. Tetapi aku senang hati kerana ibuku selalu memujiku pandai mengaji dan hafal pula ayat-ayat pendek. Cukuplah untuk sembahyang nanti, kata ibu.
Walaupun sangat tersiksa, kerana aku tidak menggemarinya, aku terpaksa juga menghafal syair-syair Shakespeare, untuk tidak menghampakan ayahku. Untungnya bila diadakan kelas bahasa Inggeris, aku selalu mendapat pujian dari guru bahasa Inggeris, kerana kefasihanku mengeluarkan semula bahagian-bahagian yang sesuai dari syair-syair Shakespeare. Hinggalah apabila ayahku mula berkempen meminta kerajaan menganugerahkan gelaran Sasterawan Negara kepada Shakespeare. Mulai saat itu, aku diejek-ejek, dikatakan sudah jadi keju dan mentega Inggeris, tak tahu belacan dan budu dan cencalok Malaysia lagi.
“Berapa buah pantun Melayu kamu hafal?,” cabar kawan-kawanku.
“Kamu hafal syair-syair Hamzah Fansuri?,” cabar yang lain.
Aku jadi bingung. Siapakah Hamzah Fansuri? Abang ayahku memang bernama Hamzah, tetapi bukan bin Fansuri. Lagi pula dia bukan pengarang syair. Dia seorang nelayan yang pandai belayar dan pandai membuat perahu.
“Kamu hafal “Syair Perahu”?,”  jerkah guru bahasa Melayu dengan muka meluat.
“Tapi bapa saudara saya tidak buat syair, cikgu. Dia hanya buat perahu,” jawabku bangga.
Mereka, guru-guru dan teman-temanku, tertawa kuat.
“Bodoh. Aku bukan bercakap pasal bapa saudara kamu. Aku bercakap pasal Hamzah Fansuri. Siapa beritahu kamu Hamzah Fansuri itu bapa saudara kamu?”
Mereka tertawa kuat.
“Bapa saudara saya memang namanya Hamzah, tapi bukan bin Fansuri,” kataku jujur.
Mereka tertawa lebih bergemuruh. Kemudian aku ditinggalkan begitu saja, seolah-olah macam sampah kotor. Aku sangat tersinggung dan sedih. Bila aku beritahu ayah, dia menepuk-nepuk bahuku dengan mesra.
“Biarlah mereka buat begitu. Mereka tidak mengerti,” kata ayahku.
“Bila pula Pak Long tulis syair, ayah?,” tanyaku hairan.
Ayah tertawa kecil.
“Bukan Pak Long kamu. Yang mereka maksudkan Hamzah Fansuri seorang ulama Sumatra yang tulis syair. Orang Belanda tolong perkenalkan dia dengan menulis tentangnya. Sebab itu kita kenal Hamzah Fansuri. Tapi apa yang dia cakap orang tidak faham, lagi pula tidak indah macam syair-syair Shakespeare.”
Aku merenung ayahku lama-lama, kerana berasa kesal tidak diberitahu perkara itu sehinggalah aku diejek-ejek teman-teman dan guru-guru.
“Mengapa ayah tidak beritahu saya?,” aku mencabar ayah.
“Bukankah ada dalam buku bahasa Melayu dan buku sastera?,” kata ayah hairan.
Tetapi aku tidak bertemu, mungkin ayah betul, cuma aku tidak bertemu. Lagi pula aku tidak ambil mata pelajaran itu. Di rumah kami pun aku tidak pernah lihat buku Hamzah Fansuri. Aku hairan, bagaimana dia jadi pengarang tanpa menulis buku? Tetapi aku tidak bertanya ayahku kerana aku tahu ayahku tidak suka sangat bercakap tentang Hamzah Fansuri, walaupun abangnya bernama Hamzah. Ayah pernah berkata, dia bukannya boleh baca tulisan Jawi cara lama yang ejaannya banyak salah, menurut sarjana Belanda yang dia baca.
“Macam mana bentuknya “Syair Perahu”, ayah? Macam perahukah?”
“Perahu itu lambang saja. Bukan betul-betul. Perahu itu hidup kita yang dilambangkan selalu dilambung ombak macam kita naik perahu. Sebab itu jika kita pandai mengemudikan hidup kita, kita akan berjaya.”
Aku merenung ayah, tidak faham apa maksud  ayah.
“Tapi Pak Long tetap susah, miskin dan susah hidupnya. Dia cekap mengemudikan perahu. Mengapa pula dia miskin dan susah?”
Giliran ayahku pula merenungku dengan hairan.
“Siapa yang ajar kamu faham sosialis ini?,”  suara ayah tegang saja.
“Sosialis? Sosialis apa, ayah?”
“Sudahlah. Guru-guru bahasa Melayu dan guru-guru sastera memang merosakkan fikiran budak-budak sekolah,” rungut ayahku. Para sasterawan ini pun ramai yang sosialis. Jadi aku tidak tahu jawapan pertanyaanku yang aku fikir mudah itu. Aku tidak faham mengapa ayahku marah bila mendengar pertanyaanku tadi.
Selepas peristiwa itu, aku lupakan saja Hamzah Fansuri, tetapi setiap kali aku ke Kuala Sedili bertemu Pak Long, bila ikut ayah pulang ke kampung, aku sering memandang Pak Longku, yang bernama Hamzah itu, dengan perasaan sedih. Mengapa agaknya orang yang pandai berperahu sepertinya hidup susah? Padahal ayah selalu berkata, barangsiapa yang tahu mengemudikan perahu hidupnya akan berjaya. Bila sudah bosan memikirkan soal-soal yang berat-berat dan membingungkan aku itu, aku merungut sendirian:
“Agaknya Pak Long pandai kemudi perahunya saja, tapi tak pandai kemudikan hidupnya.”
Aku tidak bertanya ayah lagi selepas itu. Sementara ayahku makin sibuk berkempen supaya Shakespeare dijadikan Sasterawan Negara, dan semakin besar sambutan orang ramai yang menyokongnya, kami anak beranak lupakan saja Hamzah Fansuri. Kami mahu Shakespeare jadi Sasterawan Negara, bukan Hamzah Fansuri, siapa pun dia.

                                                   ***tamat**
Tarikh: 13 Mei 2002