Monday, February 6, 2017

ASPEK SENSASI SEBAGAI TEKNIK BERCERITA DALAM DUKA TUAN BERTAKHTA OLEH ISA KAMARI.

Dalam tesis sarjananya, Siti Aisyah binti Mohamed Salim memberi ruang agak besar kepada aspek sansasi dalam penulisan novel.  Dalam kajiannya, Siti Aisyah memberi penegasan yang agak serius tentang penggunaan aspek sensasi ini, yang menurutnya telah mencacatkan novel Isa Kamari yang  ditulis untuk membuat tafsiran baru (altenatif) terhadap sejarah Singapura, yang bertentangan dengan sejarah rasmi Singapura.  Bolehkah kita pisahkan sensasi dari pada cerita? Salah satu sifat cerita ialah sensasi, oleh itu sensasi dan cerita berjalan seiring, tidak mungkin dipisahkan. Hakikat ini dibuktikan dengan jelas dalam analisis Siti Aisyah, malah beliau juga membuktikan sensasi seringkali bertukar menjadi lucah (vulgar) dengan memberikan beberapa contoh, yang menurut beliau tidak diperlukan, malah mengganggu pembacaan. Dalam sastera moden Malaysia, sifat vulgar ini sifat utama karya sasterawan negara Shahnon Ahmad, yang sudah diterima oleh Panel Anugerah Sastera Negara sebagai “gaya Shahnon” yang hidup dan realistik. Inilah salah satu ciri yang membuat karya Shahnon Ahmad menyerlahkan realiti kehidupan kampung dengan manusianya yang suka mencarut, menyumpah, menyeranah, memaki hamun, dan bercakap kasar serta biadab. Dalam konteks mereka, semua itu terdapat “seni kehidupan” mereka yang menentukan mereka mempunyai budaya tersendiri. “Orang Kedah memang begitu!”, tegas mereka dengan bangga. Adakah orang Saingapura juga begitu? Kalau kita melihat kutipan yang diambil oleh Siti Aisyah, nampaknya gaya ini memang milik manusia yang berbangsa Melayu, sama ada jenis Jawa, Kedah, Bugis, Minang dan seterusnya. Kalau begitu, apabila gaya vulgar ini dipakai dengan selesa oleh Isa Kamari, maka dia hanya meneruskan saja tradisi hidup kampungan yang agak biadab dan kasar. Cuma dalam konteks Isa Kamari, yang berazam hendak menulis sejarah alternatif bangsa Melayu Singapura, gaya yang dipilihnya hanya membuktikan sikap memandang rendah orang Inggeris, Cina dan India terhadap orang Melayu Singapura adalah cocok dengan tabiat Melayu sendiri.  Persoalan yang timbul ialah: Adakah Isa Kamari sedar akan hal ini? Nampaknya beliau tidak sedar, kerana mungkin itulah juga gaya hidupnya sendiri. Semua kelemahan ini, menurut Siti Aisyah, hanya dapat dikesan jika digunakan pendekatan Gagasan Persuratan Baru yang memakai konsep dan teknik tertentu dalam penulisan karya persuratan, karya yang nampaknya dicuba menulisnya oleh Isa Kamari. Dari segi ini, permintaan Isa Kamari supaya ada yang menganalisis karyanya daripada perpektif PB, menunjukkan dia ingin menguji sejauh mana dia berjaya melakukan perubahan dalam penulisan novelnya. Malangnya, Siti Aisyah telah menafikan hasrat Isa Kamari itu dalam tesisnya. (Rujuk penjelasan Siti Aisyah di halaman 189, dan seluruh Bab 5, khususnya bahagian 5.5. mulai halaman 179-191). 

Sekarang timbul persoalan lain yang lebih serius. Sekiranya analisis Siti Aisyah yang berasaskan PB itu betul, maka dia seolah-olah telah menolak sebuah novel penting dengan menggunakan PB, yang tidak sesuai dengan novel itu. Inilah persoalan yang paling serius dalam kritikan sastera Melayu. Selama ini kita lihat tiada seorang pun di antara para sasterawan mempersoalkan kesesuaian teori dan pendekatan Barat dalam menilai novel Melayu. Yang membuat kacau ialah PB, yang pandai-pandai meletakkan ukuran  yang berbeza dan berlainan sama sekali dengan yang pernah dinikmati dengan aman oleh para sasterawan, yakni pendekatan dan teori sastera Barat. Mari kita bertanya satu soalan yang nakal, tetapi penting ditanyakan kerana kesannya amat besar dalam cara berfikir kita.  Antara dua kedudukan ini, teori kritikan Barat dan PB, mana satu yang benar-benar mencerminkan keupayaan intelektual dan keupayaan kreatif seorang sasterawan? Siti Aisyah dengan tegas mengatakan PB itulah yang seharusnya digunakan untuk menilai karya kreatif seperti novel dan sebagainya, kerana PB dapat menghuraikan dengan jelas satu persatu keunggulan sesebuah karya hanya kerana satu faktor saja, iaitu kerana penilaian PB diasaskan kepada konsep ilmu yang benar.  Saya fikir Isa Kamari juga sedar akan hal ini, maka itulah dengan ikhlas beliau “mendambakan” karya beliau dinilai daripada perspektif PB. Itulah kelebihan beliau yang tidak ada pada para sasterawan Malaysia.  Tentu saja para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera Malaysia akan tertawa girang sambil bersorak dengan gembira, “Kesimpulan ini gila dan tak masuk akal. Apa halnya para sasterawan, sarjana dan pengkritik Barat yang terus menggunakan teori mereka sendiri, adakah mereka juga melakukan kesilapan?”  Saya tidak perlu menjawab soalan ini. Cukup dengan berkata bahawa hanya PB sahaja yang dapat menghadapi teori sastera Barat sambil memberitahu mereka, anda tidak mempunyai matlamat kecuali untuk mencipta dan berdebat tidak ada hujungnya; sedangkan kami yang mewakili PB tahu matlamat kami dan kami juga komited kepada matlamat itu kerana kami menerima satu hakikat yang kamu tidak terima, yakni kami dijadikan untuk melaksanakan taklif dalam kehidupan ini. Seperti yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah, taklif itu mempunyai tiga rahsia: ilmu perngetahuan; keadilan; dan usaha ikhtiar yang terbaik. Apa salahnya dengan konsep itu? Maksud saya, apa kurangnya konsep taklif itu dalam epistemologi mana-mana mazhab ilmu sekali pun?  Masalah sarjana Melayu, para sasterawan dan penghkritik sastera, ialah mereka tidak mendalami aspek ini, malah mereka bersikap angkuh tidak bertempat dengan menolak bulat-bulat konsep ilmu yang benar sebagai tidak relevan dalam penulisan kreatif.  Walaupun mereka tidak mempunyai hujah dan tidak pula cuba mengemukakan hujah dalam membuat keputusan cetek meraba-raba yang mereka sanjung itu,  mereka tidak pula bersedia untuk melihat persoalan ini secara serius seperti misalnya dengan mendekati PB, dan jika mereka benar-benar golonghan intelektual seperti yang mereka dakwa, mereka sepatutnya sudah lama menangkis PB secara ilmiah. Mereka anggap usaha itu sia-sia, malah merugikan mereka kerana kini mereka harus mempertahankan kedudukan mereka sendiri dan kedudukan teori Barat dalam sastera Melayu. Semua ini membuktikan mereka sebenarnya menjadikan sensasi murahan (vulgarity),  sebagai  ciri utama penulisan kreatif, seperti yang dibuktikan oleh Shahnon Ahmad dalam karyanya (semua karyanya, termasuk yang dipanggilnya sastera Islam), dan oleh Isa Kumari yang juga terjebak dalam dunia sensasi sehingga menggagalkan usahanya untuk menulis sebuah sejarah alternatif dalam bentuk cereka, kerana tenggelam dalam dunia sensasi itu.  Jika kita melihat persoalan ini dalam konteks PB, kita akan dapat gambaran yang jelas tentang kelebihan PB yang boleh mengenal pasti aspek sensasi dan picisan dalam penulisan sastera Melayu.

Dalam konteks sastera Melayu, yang diperkukuh oleh Panel Anugerah Sastera Negara, penggunaan unsur sensasi tidak saja wajar, malah diperlukan untuk melahirkan kesan dramatik dalam penulisan novel atau penulisan cereka secara umum.  Oleh itu, kegagalan Isa Kamari menampilkan sejarah alternatif melalui karya kreatif tidaklah merupakan kegagalan besar, malah hal ini boleh saja diberi penghargaan sewajarnya bahawa selagi dan selama para sasterawan masih menulis dalam bayangan teori sastera Barat, dia tidak akan dapat melonjakkan dirinya untuk keluar dari dunia sensasi itu. Bagi sasterawan Malaysia, hal ini adalah satu kelebihan. Bagi Isa Kamari, yang nampaknya sedar akan kekurangan dan kelemahan teknik ajaran teori Barat ini, masih tidak berupaya mengatasinya kerana kefahamannya tentang masalah ilmu dalam penulisan masih berada di peringkat primer.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 6 Februari 2017.



Sunday, February 5, 2017

GAGASAN PERSURATAN BARU: SATU CATATAN UNTUK MAKLUMAN

Pendahuluan
Gagasan Persuratan Baru yang lahir sebagai buku dengan judul Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992; ulang cetak 2005; kini tiada stok lagi) agak cepat berkembang dengan usaha dua orang sarjana yang dikenali ramai, Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir (dari Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani (dari Universiti Putera Malaysia). Kedua-dua mereka mengusahakan penerbitan Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (UKM 2008) dan Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasterana: Teori & Praktis (UKM 2010). Kedua-dua buah buku ini diulang cetak dengan disusun semula dalam edisi baru, masing-masing berjudul  Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua (UKM 2014); manakala Kedudukan Ilmu ...  dijadikan dua jilid: Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM 2016) dan Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan (UKM 2016).  Untuk Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua,  Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir menulis satu Pendahuluan yang amat penting diberi perhatian kerana dalam Pendahuluan itu beliau menghuraikan dan menjelaskan mengapa PB diperlukan dan apa yang boleh dilakukan oleh PB dalam perkembangan persuratan Melayu.

Dalam catatan ringkas ini saya hanya akan menulis tentang beberapa aspek PB untuk memudahkan para sarjana dan lain-lain memahami kaedah ini dan mengapa PB diperlukan.

Kelebihan PB

Ada dua kelebihan PB yang perlu disedari dan diketahui oleh sasterawan, sarjana sastera dan pengkritik sastera. Pertama, PB menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas pendekatannya. Pilihan ini memberi implikasi besar dalam pemikiran para penulis. Kini mereka harus memahami konsep ilmu seperti yang difahami dalam Islam, kemudian menggunakan kefahaman itu dalam penulisan kreatif mereka. Konsep ilmu tidak saja tidak difahami di kalangan para penulis, malah ditentang tanpa sebarang hujah kononnya ilmu tidak diperlukan dalam penulisan kreatif. PB memberi penjelasan yang agak lengkap tentang perkara ini.

Kedua, PB mencabar semua teori sastera Barat dari segi kesahihannya sebagai asas penilaian seperti yang cuba digunakan secara meluas dan sewenang-wenang oleh sarjana sastera Malaysia. Contoh sewenang-wenang itu boleh kita lihat dalam kegemaran mereka menggunakan istilah pascamodenisme, intertektualiti dan lain-lain yang boleh dikatakan serumpun, misalnya dekontruksi.  Dalam kritikan Barat sendiri amat jelas terdapat perbezaan yang amat ketara antara satu pendekatan dengan yang lain. Saya telah bincang persoalan ini dalam banyak tulisan, terutama yang dimuat di dalam blog saya. Tidak perlu diulang di sini. Yang berminat boleh membuat rujukan, atau terus mendiamkan diri.  Untuk melihat bagaimana kelamkabutnya pendekatan Barat, sila rujuk, dan baca dengan teliti dan kritis buku Frank Lentricchia, After the New Criticism (1980). Anda akan melihat tidak ada satu pendekatan atau teori yang lengkap, semua diasaskan kepada aspek tertentu: penulis (romantisisme); karya (New Criticisn), dan pembaca (hermeneutik).  Kekuatan PB ialah pendekatan ini melihat secara keseluruhan sesebuah karya. Ini penting kerana ilmu tidak boleh dipecah-pecah walaupun boleh muncul dalam mazhab yang berbeza, seperti yang kita lihat dalam tamadun Islam.  Dari aspek inilah PB mencabar semua teori sastera Barat. Tentu saja sarjana Barat tidak boleh terima dan akan tertawa melihat cabaran itu. Ini sudah terjadi kepada Rasulullah SAW ketika baginda diejek dan dicabar oleh kaum munafik, musyrik, jahiliah dan lain-lain.  Sekiranya anda mengetahui dengan agak mendalam teori sastera Barat, dan memahami pula PB, anda akan melihat bagaimana PB memberi  jalan keluar kepada kontradiksi yang cukup jelas dalam teori sastera Barat. Jika anda tidak dapat mengesan dan melihat kontradiksi ini, yang cukup jelas, bererti anda sebenarnya tidak mempunyai kefahaman yang mendalam tentangnya. PB boleh membantu anda memahami teori Barat dengan mudah.

Masa Depan Yang Cemerlang

Satu kelebihan yang tidak ada dalam pendekatan Barat yang sering digunakan untuk membuat penyelidikan ilmiah atau kritikan dan penilaian karya kreatif, ialah PB memberikan penilaian yang lebih tepat kepada karya kreatif apabila digunakan PB sebagai rujukan. Ini telah ditunjukkan dengan tepat sekali dalam beberapa kajian di peringkat sarjana dan kedoktoran yang dilakukan oleh para sarjana. Antara contoh awal yang penting ialah tesis sarjana oleh seorang pengkaji bukan Islam, R. Sharatha a/p  Ramasamy (Universiti Malaya, 2007), bertajuk “Pujangga Melayu: Dari Sudut Pendekatan Persuratan Baru”, di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Hashim Ismail.  Tesis ini penting kerana ia membuktikan PB boleh difahami dengan baik oleh seorang pengkaji bukan Islam sekalipun, dengan itu menolak andaian bahawa PB hanya untuk orang Islam. Sungguh baik sekali jika tesis ini diterbitkan.  Seterusnya,  kita lihat sesuatu yang cukup menarik dalam tesis sarjana oleh Siti Aisyah binti Mohamed Salim yang menulis dengan tajuk,  “Sejarah Alternatif dalam Novel Duka Tuan Bertakhta: Satu Analisis Menurut Gagasan Persuratan Baru”, (UKM 2014), di bawah seliaan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir.  Saya maksudkan yang menarik itu ialah pengakuan pengarang novel itu sendiri, Isa Kumari, supaya novelnya dianalisis daripada perspektif PB. Siti Aisyah menyalin nota dalam FB Isa Kumari: “Secara peribadi saya dambakan seseorang menganalisis Duka Tuan Bertakhta menurut Gagasan Persuratan Baru ... (Facebook 29 Jun 2011).  Kita tidak tahu apakah yang mendorong Isa Kumari demikian; bagi saya yang penting ialah sikapnya yang positif terhadap PB, sesuatu yang tidak pernah terlintas di kepala para sasterawan Malaysia yang memang seberapa boleh menghindarkan diri daripada mendekati PB, dan tidak mahu sekali-kali karya mereka dinilai daripada perspektif PB.  Mereka lebih percayakan teori sastera Barat, suatu pilihan yang bijak kerana teori sastera Barat yang digunakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara memang memihak kepada para sasterawan dan semua teori sastera Barat, seperti yang ditunjukkan oleh para sarjana yang menulis tentang “pemikiran” para sasterawan negara, memang memuji dan mengangkat karya para sasterawan negara ini. Malah saya pernah diberitahu, terdapat seorang anggota Panel Anugerah Sastera Negara yang pernah menegaskan, jika PB digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara, semua karya mereka hanya layak masuk tong sampah. Yang berkata demikian, menurut maklumat itu, ialah Prof. Datuk Md. Salleh Yaapar. Saya berharap beliau mengesahkan maklumat ini, betul atau tidak, untuk kebaikan kita bersama supaya kita dapat mengelakkan terjadinya fitnah jahat terhadap beliau. Bagi para sasterawan Malaysia, PB adalah kaedah analisis yang tidak bertanggungjawab, yang hanya berminat untuk merendahkan kedudukan para sasterawan. Tersirat di sini ialah kepercayaan yang amat hebat bahawa teori sastera Barat sahaja yang boleh menjamin pencapaian  istimewa para sasterawan ini.   Dalam konteks ini tesis sarjana Nur Fatiha Fadila binti Abu Bakar, berjudul “Intelektualisme Dalam Lima Novel Anwar Ridhwan dari Sudut Persuratan Baru” (UPM 2014), memberikan gambaran yang amat berbeza daripada yang disangkakan oleh para sarjana, pengkritik sastera dan para sasterawan yang memberi sanjungan yang amat tinggi terhadap karya-kaya Anwar Ridhwan.  Antara kesimpulan beliau yang menarik ialah seperti berikut:

“Merujuk kepada perakuan para pengkaji di atas, adalah jelas bahawa apa yang diungkapkan sebagai ‘wacana’ dan ‘intelektual’ itu pada hakikatnya merujuk kepada cerita yang dipaparkan dalam Naratif Ogonshoto.  Ini umpamanya jelas apabila hujah-hujah Awang Azman, Mawar dan Saleeh tentang adanya wacana dan sifat intelektual Naratif Ogonshoto  rata-rat bersandarkan kepada cerita-cerita tentang kezaliman watak-watak pemimpin politik yang menjadi ruang naratif novel. ... adalah jelas bahawa apa yang dirujuk oleh para pengkaji di atas sebagai ‘wacana’ dan sifat ‘intelektual’ itu, pada hakikatnya hanya alat-alat penceritaan seperti watak dan plot, dan bukannya wacana dalam idea-idea ilmiah yang dibangunkan secara sistematik enerusi aspek penghujahan, analisis dan pengukuhan. Dengan kata lain, yang diperagakan novel ialah cerita, dan bukannya wacana.” (hal.  175-176 tesis.)

Kesimpulan ini mengemukan satu aspek akademik yang amat penting yang perlu dihujahkan atau paling sedikit dihuraikan. Persoalan akademik itu ialah sama ada konsep-konsep Barat yang dipakai oleh para sarjana, pengkritik, dan sasterawan, mampu memberikan analisis dan penilaian yang tepat yang sesuai dengan nilai sebenar karya itu, atau hanya berada dalam kata-kata pujian semata-mata. Apabila persoalan ini dilihat daripada perspektif PB, adakah konsep dan istilah yang dipakai PB gagal memberi gambaran sebenar kualiti novel yang dinilai, atau sebaliknya. Yakni, berasaskan analisis dan penilaian daripada perspektif PB, kita melihat kesimpulan yang berbeza sama sekali, seperti yang ditunjukkan oleh Nur Fatiha Fadila dalam tesisnya. Persoalan akademik ini penting diselesaikan oleh para sarjana supaya mereka tidak terus berada dalam kesilapan epistemologi kerana terlalu terpengaruh dan terikat kepada teori Barat yang tidak diuji dari perspektif  ilmu seperti yang ditekankan dalam PB. Inilah cabaran akademik yang mesti dijawab oleh para sarjana.  Sebahagian daripadanya telah diselesaikan oleh Nur Fatiha Fadila dan Siti Aisyah dalam tesis mereka.

Sebuah lagi tesis sarjana ditulis oleh Nahari Mastono Arukin (UPM 2008) berjudul, “Analisis Pemikiran Dalam Espen-espen Mohd. Affandi Hassan” (UPM 2008).  Beliau memilih 20 buah “espen” untuk dianalisis dari segi konsep “pemikiran”. Menurut beliau, “Kajian ini bertolak daripada pengamatan awal yang mendapati bahawa wujudnya dua kutub pandangan yang berbeza tentang aspek “pemikiran” dalam kesusasteraan Melayu masa kini. Di satu pihak, karya-karya sastera Melayu masa kini dianggap menawarkan pemikiran tertentu yang jelas dan serius. Di pihak yang lain, kehadiran pemikiran dalam karya-karya sastera Melayu masa kini diragui dan dipertikaikan. Kehadiran dua kutub pandangan yang saling bertentangan mengundang kajian ini untuk meneliti secara lebih lanjut tentang aspek “pemikiran” dalam kesusasteraan Melayu.”  Seterusnya inilah kesimpulan beliau: “Dalam konteks kehadiran dan kedudukan antara “idea”/”pemikiran” dan “cerita” dalam espen-espen yang dikaji, kajian ini dengan jelas dapat mengenal pasti dominasi “idea”/”pemikiran”, berbanding “cerita” yang diletakkan pada keduduannya yang subordinat kepada “idea”/”pemikiran” tersebut. Ini dengan sendirinya menjelaskan keutamaan (prioritik) esp4en-espen yang dikaji terhadap “idea”/”pemikiran” berbanding “cerita”.  Penemuan ini mendorong kesimpulan penting kajian ini bahawa espen-espen Mohd. Affandi Hassan yang dikaji adalah menepati tuntutan PB yang menjadikan karya kreatif sebagai wadah yang sah dalam menyampaikan ilmu. Ini sekali gus menjawab persoalan yang dibangkitkan pada awal kajian ini, iaitu keupayaan Mohd. Affandi dalam mereaqlisasikan seruan beliau sendiri. Adalah jelas di sini bahawa sebagai seorang penulis kreatif, Mohd. Affandi memanfaatkan karya-karya kreatif untuk menyampaikan idea dan pemikiran yang serius dan bernas. Lanjutan daripada penemuan dan kesimpulan di atas, adalah menjadi harapan agar usaha kecil ini dapat mencetuskan kemungkinan-kemungkinan terhadap kajian-kajian ilmiah yang seterusnya, selain menambahkan korpus penyelidikan tentang pemikiran dalam kesusasteraan Melayu.” (hal. 232 tesis.) Harapan beliau nampaknya telah disempurnakan oleh kajian Nur Fatiha Fadila dan Siti Aisyah Mohamed Salim dalam kajian mereka.

Satu-satunya tesis Ph.D. yang menjadikan PB sebagai pendekatan, yang saya tahu, ialah tesis Ph.D. Mohd. Zariat Abdul Rani, “Seksualiti Dalam Novel Melayu” (UKM 2004); yang kemudiannya diterbitkan dengan judul yang sama dalam tahun 2011 oleh Penerbit UKM (516 halaman).  Mohd. Zariat (kini Prof. Madya di UPM) memilih 20 buah novel untuk dikaji, termasuk karya para sasterawan negara. Lihat catatan ringkas dalam blog bertarikh 15 Januari 2012.  Kulit belakang buku ini mengandungi catatan ini:

“Buku ini bertitik tolak daripada pengamatan yang mengenal pasti kecenderungan sastera Melayu masa kini terhadap seks dan seksualiti. Lebih signifikan lagi, kecenderungan ini timbul dalam kalangan sasterawan yang karya-karya mereka diiktiraf sebagai warisan bangsa yang bermutu tinggi. Mengiringi pengiktirafan ini ialah perakuan, pujian dan gelaran muluk-muluk, yang kesemuanya mengejapkan persepsi bahawa karya-karya mereka itu menawarkan ilmu dan pemikiran yang mendalam dan kritis. 

Ini menimbulkan beberapa persoalan penting yang wajar ditangani secara serius. Pertama, apakah benar karya-karya ini menawarkan ilmu dan pemikiran yang mendalam dan kritis, sebagaimana yang diperagakan? Sekiranya benar, mengapakah pula seks dan seksualiti yang menjadi pilihan para sasterawan? Berkaitan dengan itu, apakah sebenarnya fungsi seks dan seksualiti dalam karya-karya mereka? Dan apakah pula kerangka penilaian yang mendasari pengiktirafan terhadap karya-karya itu? Seterusnya, dan dalam konteks yang lebih luas, apakah kecenderungan dan kerangka penilaian ini didasarkan kepada satu tradisi kesusasteraan yang berakar teguh, paling bermakna serta dapat berlaku adil terhadap sejarah, kebudayaan dan tamdun Melayu? Buku ini berusaha merungkaikan persoalan-persoalan tersebut dengan memberikan perhatian besar terhadap peranan dan kedudukan epistemologi dalam kesusasteraan.” 

Penelitian Prof. Madya Mohd. Zariat Abdul Rani dalam bukunya ini cuba menjawab persoalan mengapa tema seks dan sekualiti menjadi tema yang dominan dalam sastera Melayu. Dalam satu tulisan, saya pernah mencadangkan supaya ahli-ahli psikologi membuat penelitian mengapa persoalan seks ini begitu diminati oleh para sasterawan Melayu. Sehingga karya mithali dalam sastera Islam versi Shahnon Ahmad, novel TIVI, diberi definisi berasaskan perilaku seks! Beliau telah menulis satu analisis yang mendalam tentang persoalan ini. Rujuk tulisan beliau tentang Terdedah oleh Shahnon Ahmad dalam Wacana, Vol. 11 No. 1 (April 2009): 159—172:  “Between eroticism and social criticism:
The literariness of Shahnon Ahmad’s Terdedah (1965)”.


Sumbangan Kepada Dunia Ilmu

Terdapat sarjana Melayu yang menyoal kesesuaian teori Barat dalam menilai karya sasterawan Malaysia, tetapi tidak ada hujah dikemukakan untuk membenarkan andaian ini. Misalnya, ambil saja mana-mana karya sastera Melayu yang dikira bermutu tinggi, lalu dinilai dengan menggunakan teori Barat, seperti yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Di mana silapnya penilaian itu? Kita tidak boleh mengetahuinya jika tidak ada alternatif lain yang akan membolehkan kita membuat perbandngan. Di sinilah PB diperlukan, supaya persoalan tadi dapat diletakkan dalam konteks yang tepat dan dari situ dapat dirumus beberapa kesimpulan berasaskan perbandingan tadi. Hanya dengan itu saja kita dapat melihat kekuatan teori sastera Barat, atau kelemahannya; dan pada waktu yang sama, jika PB dijadikan perbandingan, kita pasti akan dapat melihat kekuatan PB dalam menganalisis dan menilai karya kreatif. Ini sudah dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam banyak tulisannya; begitu juga oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani yang telah menunjukkan dengan jelas bagaimana novel al-Adib Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu, telah disalah tafsir dan diberi penilaian yang tidak tepat oleh para sarjana sastera.  Dalam tesis sarjana oleh Nur Fatiha Fadila binti Abu Bakar, penilaian terhadap karya Anwar Ridhwan dibuat berasaskan PB, yang membuktikan melalui analisis yang cermat bahawa sangkaan sarjana selama ini bahawa karya Anwar Ridhwan adalah karya intelektual adalah tidak tepat, malah bertentangan dengan apa yang terdapat di dalam novel-novel yang dikaji.  Dalam hal ini, saya pernah mencadangkan supaya novel-novel saya, terutama Pujangga Melayu dan Hikayat Buyung Lurus, dibaca bersama novel-novel Anwar Ridhwan yang telah dikunci dengan sanjunghan yang hebat sebagai karya terbesar Malaysia (untuk Naratif Ogonshoto) atau novel intelektual (untuk Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman). Saya juga pernah mencadangkan sajak “Pulang Si Tenggang” dibaca bersama sajak “Al-Andalus” untuk melihat kekuatan sajak Si Tenggang itu dibanding dengan sajak “Al-Andalus”.  Tiada tokoh sarjana yang menyahut cabaran itu, dengan alasan penulisnya para sasterawan negara, oleh itu tidak layak dibandingkan dengan karya seorang penulis yang tidak pernah diberi apa-apa anugerah! Kerana itu, karya “agung” para sasterawan negara ini belum lagi diuji dari segi pemikiran dan stylization of ideas.   Jika karya itu boleh saja dinilai dari perspektif teori Barat, mengapa pula dilarang daripada dinilai daripada perspektif PB? Inilah cara berfikir “sarjana ciritan” yang tidak bersedia berdialog secara ilmiah walaupun para sarjana ciritan sering menyebut nama Bakhtin.

Karya Persuratan dan Masa Depan Persuratan Melayu Abad 21

PB memperkenalkan kategori baru sebagai “karya persuratan” yang berteraskan ilmu yang benar dan menggunakan kaedah stylization of ideas untuk menyerlahkan wacana yang bersifat intelektual dalam sesebuah karya kreatif berbentuk cereka, tidak hanya menghidangkan cerita yang sering kali bersifat sensasi, seperti yang ditunjukkan oleh para sasterawan negara dalam novel mereka. Saya jemput anda membaca satu entri yang agak panjang yang membicarakan aspek ini, bertarikh 28 Oktober 2014,  dengan judul “Keunggulan Yang Cacat: Satu Pandangan Kritis Terhadap Sumbangan Sasterawan Negara dari Segi Pemikiran dan Keupayaan Kreatif.” Entri itu penting kerana disitulah saya membahasksan kedudukan karya sasterawan negara dari perspektif ilmu yang benar dan juga dari segi teknik penulisan kreatif yang kaya dengan unsur sensasi, tetapi miskin dengan pemikiran yang bernas. Entri ini sangat penting, perlu dibaca dengan kritis oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera.  Entri ini hendaklah dibaca bersama entri bertarikh 13 Disember 2014.

Untuk melahirkan karya persuratan, seseorang pengarang harus menguasai dua bidang: dia perlu menguasai dan memahami dengan mendalam konsep ilmu; di samping itu dia perlu menunjukkan keupayaan kreatif yang tinggi untuk berfikir secara kreatif. Pada waktu ini, di kalangan para sasterawan, kedua-dua syarat ini tidak ada. Oleh itu, sesiapa juga boleh menulis novel, cerita pendek dan sajak asal dia tahu mengeja bahasa Melayu. Hasilnya karya-karya picisan yang diangkat menjadi karya popular, atau sajak-sajak celoteh (entri bertarikh 31 Julai 2016) yang diangkat menjadi “puisi”.  Dunia sastera adalah dunia sensasi, seperti yang dibuktikan dalam karya para sasterawan negara.  Kesimpulan ini tidak perlu dibahaskan kerana memang tidak ada perkara penting yang patut dibahaskan. Semua ini saya bincang dalam “Keunggulan yang Cacat”. 

Penutup

Sastera Melayu moden mempunyai banyak “teori” sastera yang hanya diberi nama “teori”, padahal bukan teori kerana syarat-syarat untuk dijadikan teori tidak ada.  Semuanya hanya nama-nama yang diperagakan sebagai “teori”, tetapi  tidak mempunyai sebarang landasan ilmiah/akademik yang sepatutnya yang  menyerlahkan persoalan tertentu yang mesti dicari jawapan atau penyelesaiannya. Kerana itu apa yang disebut sebagai “teori” sastera itu mati beragan, kecuali jika yang menelurkannya seorang pensyarah yang boleh memaksa pelajarnya menggunakan “teori” yang bukan teori itu.  Dengan itu banyak juga latihan ilmiah (yang tidak ilmiah), tesis sarjana, malah tesis kedoktoran ditulis dengan kononnya menggunakan “teori” yang bukan teori itu. Sarjana yang menelurkan “teori” yang bukan teori itu berasa amat bangga memberitahu kita bahawa sudah ada di antara pelajarnya yang mendapat ijazah kedoktoran dengan menggunakan “teori”nya sudah bergelar profesor! Siapa mereka kita tidak pasti, seolah-olah mereka malu-malu kucing untuk menonjolkan diri. Apakah yang sudah mereka selesaikan melalui “teori” yang mereka pakai? Tidak ada. Sastera Melayu moden masih terus lesu dan bertambah lesu, walaupun sudah dikelilingi “teori” yang begitu banyak dan ghairah menagih perhatian.  Apakah kesan teori palsu yang sebenarnya bukan “teori” itu terhadap perkembangan sastera?.

Apakah yang dimaksud dengan teori? Apakah syarat-syarat yang perlu ada? Saya beri beberapa contoph mudah yang terkenal. Apabila Newton melihat sebiji epal jatuh, dia bertanya mengapa buah itu jatuh? Dia memberi jawapannya dalam “the theory of gravity”. Apabila K.R. Popper melihat taksubnya ahli akademik Barat terhadap ajaran Marx, Plato, dan Freud, beliau mengemukakan teorinya yang agak aneh: sesuatu pendapat hanya bersifat sains jika dapat dipalsukan (the theory of falsification). Ketiga-tiga tokoh itu, kata beliau, hanya pemimpi yang menjadi ikutan padahal tiada apa pun yang konkrit dalam “pemikiran” mereka. Tidak boleh diuji secara saintifik. Dalam sastera Barat, teori sastera yang paling terkenal ialah Kritikan Baru (New Criticism). Mengapa teori ini diperlukan? Terdapat keyakinan di kalangan beberapa profesor sastera bahawa hasil sastera mestilah dianggap antunomous, oleh itu diperlukan sebuah teori untuk membuktikannya. Kini “teori” itu sudah mati, walaupun idea tentang karya yang bersifat autonomi itu masih terpakai untuk kononnya memberi kedudukan istimewa kepada karya sastera. Kemudian muncul dekonstruksi, yang menegaskan sebuah karya sastera tidak mempunyai makna yang tetap, kerana tabiat bahasa selalu berubah dan oleh itu setiap interpretasi akan berubah, dengan itu lebih tepat jika dirumuskan setiap interpretasi bukanlah interpretasi, hanya sejenis bacaan yang boleh berubah. Mana satu di antara deretan senarai “teori” sastera Melayu itu yang boleh dipanggil “teori”? Tidak ada. Semuanya hanya nama-nama yang tidak bermakna apa-apa kerana yang dianggap “teori” itu  tidak dapat digunakan untuk menganalisis dan menilai sesebuah karya, hanya dipakai untuk menjadi panduan yang kabur bagaimana sesebuah karya boleh dibaca. Contoh paling baik ialah kertas kerja Dr. Kamariah Kamaruddin yang dibentang dalam Seminar 6 Sasterawan Negara tentang sebuah novel Shahnon Ahmad.  Tidak ada analisis dan penilaian, yang dibuatnya hanya memetik bahagian tertentu novel dan memadankannya dengan “takmilah” yang sebenarnya bukan teori sastera, tetapi sekadar panduan umum yang boleh saja diterapkan kepada novel erotik atau novel picisan, tidak semestinya novel yang bermutu.

Gagasan Persuratan Baru berada dalam kedudukan yang berbeza. PB adalah satu sistem penelitian sastera yang agak lengkap kerana mempunyai serangkaian konsep yang boleh digunakan dengan tepat untuk membaca, menganalisis dan menilai sesebuah karya. Kelebihan PB telah dinyatakan di atas apabila PB digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara. Dengan adanya kelebihan ini, PB sudah dapat dianggap sebuah teori sastera yang lengkap yang boleh digunakan tidak saja untuk menilai karya sastera, tetapi juga untuk menilai teori sastera Barat.  Kelemahan terbesar teori sastera Barat, dari perspektif kita, ialah tidak satu pun teori itu memberi penekanan kepada konsep ilmu. Inilah sifat yang ditiru oleh sarjana sastera Malaysia, yang bermati-matian menolak kehadiran ilmu dalam karya kreatif kerana menurut mereka karya itu akan jadi propaganda, didaktik, penuh dengan khutbah dan sebagainya yang hanya mencacatkan nilai estetik karya itu. Kerana ini semua tidak perlu, maka bagi mereka sifat sensasi dan mitos adalah perlu untuk menjadi hiasan sesebuah karya yang berjaya dan bernilai. Dengan sikap ini, para sasterawan merayakan kejahatan sebagai tema utama kerana kata mereka itulah realiti kehidupan manusia. Inilah tema para sasterawan negara pada umumnya.  Semua andaian ini ditolak oleh PB kerana karya yang penuh sensasi dan menjadikan emosi sebagai penentu dalam penilaian adalah bertentangan dengan kejadian manusia sendiri, terutama dalam Islam, seperti yang dihuraikan dengan agak terperinci dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. 

Kemunculan PB tidak dapat dielakkan setelah sastera Melayu moden menjadi layu dan pada dasarnya anti-ilmu. Sastera itu memerlukan satu dinamika baru dalam perkemban seterusnya. Maka munculkah PB yang akan membawa persuratan Melayu ke suatu era yang cemerlang dalam abad 21 ini, sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita memerlukan dinamika baru itu.  Tentu saja para pendukung sastera akan berasa cemas dan tercabar, tetapi tidak dapat  menghalang kemajuan PB walaupun seluruh penggiat sastera, terutama yang berada dalam persatuan penulis, cuba mengekalkan status quo untuk faedah mereka, bukan untuk faedah ilmu dalam membina tamadun berteraskan ilmu, yang sejak sedia kala menjadi asas perkembangan ilmu dan kebudayaan di negara ini. Pilihan terbaik untuk para sarjana dan untuk para pendukung sastera ialah melakukan perubahan paradigma, yang mereka teriakkan sejak sekian lama, dengan berpindah kepada PB dan menjadi kumpulan yang berfikir, bukan lagi menjadi pengikut dan peniru Barat seperti sekarang.  Keputusan yang mereka buat sedemikian adalah untuk memenuhi impian mereka sendiri, yang sudah sekian lama mengajak dilakukan perubahan paradigma.  Inilah masanya untuk kembali menjadi manusia dengan kembali kepada taklif.

Petaling Jaya, 1 Februari 2017.



Wednesday, February 1, 2017

KELESUAN BERFIKIR DALAM SASTERA MELAYU



Catatan: Pos lama, tapi relevan dengan perbincangan sekarang. Disiarkan semula untuk difikirkan 



Pendahuluan
Pada umumnya, para sasterawan, pengkritik dan penilai karya sastera mengalu-alukan pembaharuan dalam karya kreatif, yang mereka panggil “eksperimen”. Tidak kira bagaimana bentuk dan matlamat “eksperimen” itu, setiap “eksperimen” dianggap suatu kemajuan yang perlu dihargai dan diberi pujian.  Walaupun apa yang disebut sebagai “eksperimen” itu lebih tepat dipanggil “peniruan” dalam bentuk ciplakan langsung atau tidak langsung, namun kerana setiap “eksperimen” telah diberi nilai yang tinggi, maka “peniruan” atau ciplakan yang langsung atau tidak langsung itu diterima dengan baik oleh para sasterawan, pengkritik dan sarjana sastera. Tetapi mereka tidak dapat menerima apa-apa juga “pembaharuan” dalam aspek penilaian dan analisis karya kreatif, kerana menurut mereka sastera Melayu moden telah mempunyai beberapa bakul teori kritikan dan teori sastera dari Barat yang boleh digunakan dengan berkesan untuk menilai karya-karya “eksperimen” itu. Semua teori itu mempunyai istilah dan konsep yang begitu mantap, kata mereka, sehingga tidak perlu lagi dikemukakan “teori’ baru yang berbeza daripada teori Barat yang mereka sudah biasa gunakan dan sudah pun diketahui (walaupun tidak mendalam).

Bisu Tanpa Teori Barat

Tetapi pada waktu yang sama, mereka sering bercakap tentang perlunya “anjakan paradigma” supaya sastera Melayu moden terus dinamik. Maksud mereka dengan “anjakan paradigma” itu ialah penggunaan teori-teori Barat yang baru yang belum dicuba, walaupun sudah lama muncul di Barat. Jika kita melihat buku-buku sastera yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan  Pustaka yang membicarakan tentang kritikan, kita akan bertemu dengan banyaknya teori baru dalam konteks “anjakan paradigma” itu. Namun masih kedengaran suara-suara lantang seolah-olah menolak “teori” kritikan Barat, seperti yang pernah diucapkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Dr. Zawiah Yahya, tetapi suara itu lenyap begitu saja kerana mereka sendiri masih terus menggunakan teori Barat dengan selesa dalam kerja-kerja akademik mereka. Mereka juga menentang sebarang “pembaharuan” dalam kritikan dan pendekatan yang menyimpang dari asas kebaratan yang mereka senangi itu.  Jika perilaku ini boleh dipanggil “dolak-dalik” yang bertaraf picisan, maka “dolak-dalik” itu berasaskan keperluan akademik tersendiri, iaitu untuk menguatkan lagi cengkaman pengaruh Barat dalam sastera Melayu moden. Tanpa Barat, mereka akan jadi bisu, tidak  boleh berbicara tentang sastera. Adakah ini bererti mereka adalah kumpulan yang pada dasarnya berusaha gigih untuk mempertahankan sifat sekular dan liberal sastera Melayu moden, dengan itu menentang sebarang pembaharuan yang akan membawa kesusasteraan Melayu moden kepada tradisi Islam yang menjadi asas persuratan Melayu selama berabad itu?

Pertahan Pengaruh Barat

Jawapan kepada soalan penting di atas boleh dilihat dalam perkembangan terbaru tentang perkara ini. Pada waktu ini terdapat usaha untuk mempertahankan  pengaruh Barat dan nilai-nilai Barat dalam sastera Melayu moden, dengan alasan bahawa sastera Melayu dilahirkan daripada pengaruh Barat tadi.  Kata mereka, tanpa pengaruh Barat, tidak mungkin wujud novel Melayu moden, sajak-sajak moden, drama dan kritikan sastera itu sendiri. Oleh itu, kata mereka, pengaruh Barat telah memberi warna baru kepada sastera Melayu moden, yang menjadi aras tanda dalam kemajuan mencipta karya kreatif yang berbentuk moden. Berasaskan pandangan ini, kritikan terhadap nilai-nilai Barat dan pengaruh Barat semakin jarang disuarakan, malah pengaruh itu dipertahankan supaya, kata mereka, sastera Melayu tidak akan berundur ke belakang untuk berada dalam bentuk tradisional dan jumud. Sekarang terdapat usaha untuk memperkukuh kedudukan pengaruh Barat dan memastikan sastera Melayu terus berada dalam paradigma Barat, yang dulunya cuba diubah.  Adakah ini satu kontradiksi? Cuba kita lihat persoalan ini dari sudut lain.

Kekeliruan Tentang Kebebasan Berkarya

Salah satu prinsip sastera moden, kata para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera, ialah konsep kebebasan berkarya. Kata mereka, kebebasan itu menjadi teras perkembangan sastera moden, oleh itu tanpa kebebasan, sastera akan menjadi lumpuh dan tidak mungkin menjadi maju seperti yang terjadi dalam sastera dunia. Inilah asas yang menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana (juga pengkritik) sastera di Indonesia, yang menjadi ikutan para sasterawan Melayu/Malaysia sendiri. Berasaskan prinsip ini, H.B.  Jassin mempertahankan cerita pendek yang menghina Allah yang ditulis oleh seorang sasterawan Kristian. Inilah juga prinsip yang digunakan apabila karya lucah dipilih untuk menerima hadiah utama di Indonesia, dipilih oleh tokoh penting sasterawan Indonesia sendiri yang melihat dalam karya lucah itu terdapat keberanian untuk membicarakan soal-soal yang menjadi tabu dalam masyarakat beragama di Indonesia.

Kelencongan Kreatif

Di Malaysia sendiri hal yang sama juga terjadi, dengan sedikit kelencongan kreatif dengan menyelitkan kononnya “nilai Islam” dalam novel seperti TIVI oleh sasterawan negara Shahnon Ahmad. Mempermainkan nilai Islam dalam karya para sasterawan/penulis Melayu Islam telah menjadi kebiasaan dan dipertahankan kelangsungannya berasaskan konsep kebebasan berkarya tadi. Prof. Madya Dr. Noritah Omar dan Dr. Washima Che Dan telah menulis tentang perkara ini dalam tulisan mereka yang termuat dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (ed. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, 2010).  Para penulis/sasterawan ini percaya bahawa konsep kebebasan yang dilihat dalam konteks realisme Barat menurut fahaman mereka, membenarkan mereka mempermainkan apa yang mereka sebut sebagai “nilai-nilai Islam” untuk menggambarkan “realiti” yang berlaku dalam masyarakat Malaysia sekarang. Tetapi adakah mereka tidak keliru dan silap besar dalam memahami konsep kebebasan berasaskan realisme Barat itu?

Kekeliruan Berpanjangan

Kekeliruan ini hanya dapat dilihat jika konsep kebebasan itu dihuraikan daripada perspektif Islam. Dalam Islam, seseorang hanya bebas secara mutlak untuk melakukan kebaikan, dan berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan itu. Tetapi ini pun masih terikat kepada prinsip-prinsip amal salih, yang tidak menerima perbuatan riak, atau yang melampau (misalnya: puasa setiap hari, kerana yang diajar di dalam Sunah puasa berselang hari seperti yang dilakukan Nabi Daud ‘a.s.). Tidak ada kebebasan untuk melakukan kejahatan dalam bentuk apa sekali pun. Prinsipnya ialah: menyuruh berbuat baik (makruf), mencegah daripada perbuatan mungkar. Prinsip ini sebenarnya telah diterima oleh seluruh tamadun dunia, kerana manusia secara tabii tahu dan kenal apakah yang boleh diterima oleh masyarakat mereka dan apakah pula yang wajib ditolak. Hakikat ini diketahui juga oleh manusia liar di hutan Amazon, tetapi telah ditolak dalam masyarakat moden yang menjadi teras masyarakat Barat kini. Para sasterawan menerima hakikat ini dan menulisnya dalam karya mereka, seperti dalam cerita pendek Anwar Ridhwan, “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” yang mendapat pujian Panel Anugerah Sastera Negara. Menurut para sasterawan Melayu dan pengkritik serta sarjana sastera, keseluruhan karya sastera Melayu moden adalah mencerminkan prinsip “amar makruf nahi mungkar” itu, kerana menurut mereka tidak seorang pun sasterawan Melayu menggalakkan kejahatan. Mereka hanya mengambil kejahatan sebagai tema penting dalam konteks realisme yang mereka fahami, kerana di situlah, menurut mereka, terdapat nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi dan murni! Contoh paling klasik yang mereka berikan ialah novel Salina, yang menurut mereka amat kaya dengan nilai-nilai kemanusiaan yang murni, hatta daripada seorang pelacur sekali pun. 

Kekeliruan Ditolak Dalam Islam

Kekeliruan ini telah dihujahkan dengan jelas dan mendalam oleh Zulkarnain Muhammad yang membicarakan novel Najib Mahfuz dan Mohd Shahrizal Nasir yang membicarakan novel Najib al-Kilani dalam tulisan mereka yang dimuat dalam Kedudukan Ilmu dan Kesusasteraan. Hujah-hujah mereka menolak sama sekali kekeliruan para sasterawan Melayu dalam memahami prinsip “amar makruf nahi mungkar” yang mereka hujahkan menjadi teras dalam sastera Melayu moden, yang terdapat dalam karya picisan seperti Salina atau TIVI.  Jika apa yang para sasterawan dan sarjana sastera katakan itu betul, dan para sasterawan Melayu memang menulis dalam konteks “amar makruf nahi mungkar”, mengapa mereka terus berpegang kepada nilai-nilai sastera yang dipraktikkan dalam sastera Barat? Adakah mereka ingin berkata bahawa teori sastera Barat lebih jelas dan lebih tepat membicarakan konsep “amar makruf nahi mungkar” itu daripada yang terdapat dalam Islam sendiri? (Walau pun itulah ajaran Islam). 

Meneruskan Kekusutan Berfikir

Paling baik yang mereka dapat katakan ialah kesusasteraan melihat prinsip “amar makruf nahi mungkar” itu dalam konteks seni sastera, bukan dalam konteks  Islam, apatah lagi dalam konteks teologi Islam! Itulah cara terbaik untuk mereka mengusutkan lagi kekusutan yang mereka alami, dengan seterusnya berhujah (?) “kita tidak dapat menerima hanya sejenis karya sastera, misalnya karya persuratan yang berteraskan Islam”, kerana kehidupan manusia itu beraneka ragam. Semakin jauh mereka mengusutkan diri mereka dengan kesimpulan yang karut seumpama itu, tanpa menyedari bahawa yang mereka lakukan selama ini ialah menyodorkan hanya satu jenis konsep sastera, iaitu konsep sastera yang difahami dan dipraktikkan di Barat. Inilah jalan yang diambil, secara rasmi, oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Mereka tidak dapat melihat betapa karutnya pendirian mereka kerana pengalaman seni mereka amat terbatas, sempit, dan crude (penggunaan perkataan Inggeris disengajakan untuk menyerlahkan sifat crude itu!). 

Pengalaman Intelektual Yang Sempit dan Crude

Jika anda mahu lihat bertapa crude-nya fahaman seni mereka, anda analisis dengan kritis fahaman mereka tentang konsep keindahan dalam penulisan. Anda perlu membaca tulisan-tulisan Shahnon Ahmad, Azizi Hj. Abdullah, Usman Awang dan lain-lain sasterawan untuk melihat sendiri bagaimana mereka memahami konsep keindahan bahasa dalam seni mengarang.  Jika anda tidak dapat menganalisis dengan kritis kaedah yang mereka pakai, jangan anda tersinggung jika anda sendiri juga mempunyai sifat crude itu dalam memahami keindahan seni mengarang.  Tetapi dengan berfikir dan merenung dengan mendalam aspek ini, jika diperlukan dengan bantuan kefahaman yang mencukupi tentang gagasan Persuratan Baru, anda mungkin sedar betapa kita semua telah tertipu oleh faham sastera yang crude itu.  Berselindung di sebalik “keindahan”, padahal yang diperlihatkan hanya sejenis pandirisme yang crude sahaja!

Pengalaman intelektual yang sempit, cetek dan crude ini dapat dilihat dengan jelas dalam cara sarjana kita memahami psikologi manusia menurut Freud, Lacan dan lain-lain tokoh yang serumpun dengan Freud.  Saya telah memberi contoh dari pandangan Prof. Rahman Shaari, dan lama dulu contoh dari Prof. Hashim Awang. Kedua-duanya sangat terpesona dengan ajaran Freud. Apakah yang membuat mereka terpesona? Sebab yang paling jelas ialah kerana mereka tidak memahami ajaran Freud dengan jelas, dan kerana itulah saja sumber psikologi yang mereka ketahui. Mereka tidak membaca psikologi Ibn Sina, tidak juga psikologi manusia yang dihuraikan oleh Imam Ghazali. Mereka tidak melihat psikologi itu dalam konteks hakikat insan yang dijelaskan oleh al-Quran dan Sunah.  Ini terjadi kerana mereka tidak menerima epistemologi Islam, tetapi terpesona dengan epistemologi palsu dari Barat. Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka yang suatu ketika tidak berapa lama dahulu mengadakan sejenis program tentang kritikan yang mereka namakan Akademi Sastera, mereka menetapkan antara ajaran yang diwajibkan untuk digunakan dalam analisis ialah pandangan Jacques Lacan (kritikan berasaskan ajaran Lacan). Pilihan ini sangat aneh kerana Lacan telah diterima di Barat sebagai orang gila yang terlalu percaya kepada kebolehannya, padahal yang diluahkannya tidak lebih daripada angan-angan kosong semata.  Perhatikan satu peristiwa yang menggelikan hati ini. Dalam tahun 1975, Lacan melawat Amerika Syarikat, menyatakan hasratnya hendak melawat Metropolitan Opera House (MOH), tetapi kerana tidak dikenali, orang yang membawanya ke Amerika berbohong kepada pengarah MOH bahawa Jean-Paul Sartre akan melawat MOH; dan Lacan yang tidak dikenali itu sangat gembira menerima sambutan yang begitu baik. Tetapi yang paling menarik ialah apabila beliau melawat MIT, menjawab satu soalan daripada Noam Chomsky tentang pemikiran. Kata Lacan: “We think we think with our brains.  But personally I think with my feet. That’s the only way I really come into contact with anything solid. I do occasionally think with my forehead, when I bang into something. But I have seen enough electroencephalograms to know there’s not the slightest trace  of a thought in the brain.” Bila Chomsky mendengar jawapan itu, katanya orang itu benar-benar seorang gila. (Richard Webster dalam New Statesman, July 1997; dalam blognya www.richardwebster.net).

Bagaimanakah kita boleh menggunakan “pemikiran” gila begini?  Pertama sekali, kita harus mengetahui sumbernya. Kedua, kita harus melihatnya secara kritis berasaskan epistemologi Islam. Dari segi sumber, Freud menggunakan mitos Yunani dan Romawi untuk dijadikan asas psikologinya. Seperti yang kita tahu, dalam mitos itu para dewa dan dewi yang dijadikan sumber itu sepanjang hayatnya berbohong. Pembohongan adalah prinsip utama dalam sistem mitos dewa dewi itu, yang dijadikan model oleh Freud, dan diikuti oleh Jacques Lacan. Yang dicerakin oleh Freud dan para pengikutnya ialah hawa nafsu manusia, dengan menggunakan kelakuan dewa dewi itu. Tidak kena mengena dengan jiwa manusia, apatah lagi dengan aspek kerohanian manusia yang tidak dapat tidak mesti dikaitkan dengan Allah Ta’ala. Kerana itu manusia yang menghadapi masalah “kejiwaan” itu tidak ada jalan keluar, kerana tidak ada tempat untuk mereka bertaubat atau menyesal dan memohon ampun, kerana konsep dosa dan pahala tidak ada dalam sistem psikologi itu. Manusia yang liar sekali pun, seperti beberapa pertemuan baru di hutan Amazon, mempunyai perasaan itu. Tetapi tidak manusia dalam sistem yang diajarkan oleh Freud dan dikuti oleh Lacan. Adakah sarjana Melayu tidak tahu perkara ini? Mereka tahu. Tetapi mengapa mereka masih menerimanya untuk dijadikan asas analisis dan model penulisan kreatif seperti yang disebut oleh A. Samad Said?  Saya tidak mahu menjawabnya; biarkanlah mereka sendiri menjawabnya. Saya hanya ingin menegaskan bahawa mereka boleh menggunakannya dalam analisis mereka; tetapi dengan memberikan penjelasan yang tepat dilihat dari sudut psikologi Islam yang dihuraikan, terutamanya, oleh Imam Ghazali. Dengan begitu mereka sendiri tidak tersesat; dan para pembaca yang tidak tahu menahu tentang perkara ini tidak akan diheret sama dalam kesasatan itu.  Perbuatan para sarjana ini mengajar pelajar mereka menggunakan “pemikiran” sesat dan gila Jacques Lacan ini benar-benar menghina penggunaan akal sihat yang dianjurkan dalam Islam. Mengapa kita harus menentang penggunaan akal sihat dalam dunia akademik kita? Mungkin kerana mereka ini berfikir dengan kaki, seperti yang ditegaskan oleh Lacan.  Sekarang kita sampai kepada peranan Iblis dan syaitan dalam pemikiran manusia.

Peranan Iblis dan Syaitan

Siapakah yang paling bebas di antara makhluk Allah? Syaitan. Iblis. Dan suku sakat mereka. Tentu saja para sasterawan Malaysia tidak mungkin (?) berada dalam kumpulan ini, walaupun mereka menjeritkan betapa pentingnya “kebebasan” itu diberikan kepada mereka sebagai “seniman”.  Perhatikan satu peristiwa, untuk melihat bagaimana empat orang sasterawan negara memberi makna kepada konsep “kebebasan”.  Huraian tentang peranan Iblis dan syaitan ini sangat penting difahami dalam konteks ilmu yang difahami dalam Islam, kerana jika persoalan ini tidak beres dan meragukan para penulis atau sasterawan Islam, maka mereka akan menerima dengan bangga faham yang karut, salah dan menyeleweng yang mereka dapat dari pembacaan cetek mereka tentang sastera. Contoh paling jelas ialah apabila terdapat pendapat tidak akademik, yang agak liar dari segi akademik, yang mengatakan karya sastera itu lahir dari keinginan yang meluap-luap yang timbul dalam benak seorang sasterawan yang meruntunnya untuk menulis. Pendapat ini diasaskan kepada psikologi Freud, yang dengan bangga dijadikan panduan oleh sasterawan dan sarjana yang berbicara tentang sastera. Pendapat yang karut dan menyeleweng ini harus ditentang hasbis-habisan kerana inilah salah satu contoh bagaimana pengaruh Iblis dan syaitan itu meresap dalam faham sastera yang kini menjadi ikutan para sasterawan. Kerana itu, dalam gagasan Persuratan Baru ditekankan betapa pentingnya difahami konsep insan dan peranan taklif dalam kehidupan manusia (yakni manusia keseluruhannya, secara universal), supaya pandangan yang karut dan salah ini tidak berterusan dalam faham sastera yang dianuti oleh para sasterawan Malaysia.

Konsep Kebebasan Para Sasterawan Negara

Sekarang kita lihat kutipan ini:  “Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walaupun berlainan, masih diperlukan di negara demokratis, yang memberi kebebasan kepada  sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian. Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan  kita.”  Inilah pandangan empat orang sasterawan negara: Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Emeritus Shahnon Ahmad, Dr. Anwar Ridhwan, dan Noordin Hassan. Suara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sangat jelas di sini.  Mereka berempat ini mengeluarkan kenyataan akhbar pada 8 Mac 2011 untuk membela karya Abdullah Hussein yang sedang diserang dan dikutuk oleh orang India kerana Abdullah Hussein menggunakan istilah “paria” untuk menggambarkan sistem sosial pendatang India ke Tanah Melayu untuk menjadi kuli di estet, kepunyaan orang Inggeris.  Apakah maksud “kebebasan” dan ungkapan “membaca sastera dari pendekatan sastera”?  Dalam konteks yang difahami dan dipakai oleh para sasterawan, juga yang dipegang oleh Panel Anugerah Sastera Negara, “kebebasan” bermaksud membenarkan para sasterawan menulis tentang apa juga tema yang mereka suka dalam konteks realisme yang mereka fahami.

Kejahatan Sebagai Tema Utama

Hasilnya seperti yang kita lihat dalam karya A. Samad Said, Shahnon Ahmad dan lain-lain, yang menjadikan kejahatan manusia sebagai tema utama dalam karya mereka, kerana mereka terikat kepada fahaman yang keliru tentang realisme yang menjadikan keburukan dalam masyarakat manusia sebagai kenyataan kehidupan yang perlu ditonjolkan sementah mungkin. Mentah kerana tidak terdapat analisis dan penghujahan konkrit berasaskan pemikiran yang teratur ketika menulis tentang keruntuhan moral seperti yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad dalam TIVI, atau tentang “kezaliman” perang dalam Salina oleh A. Samad Said.  Kejahatan itulah realiti, menurut Shahnon Ahmad, oleh itu menjadi kewajipan sasterawan untuk menyerlahkan realiti itu. Tetapi apakah sebenarnya yang mereka maksudkan dengan “realiti”?  Dalam keseluruhan karya para sasterawan ini, kita lihat yang mereka maksudkan dengan “realiti” itu ialah “realiti semu”, realiti palsu yang kelihatan di mata kasar, bukan realiti hakiki dari segi makna realiti yang sebenarnya. Untuk memahami dua perkara ini, anda perlu memahami kisah Ratu Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. yang disebut dalam al-Quran. Saya biarkan anda mencarinya sendiri, atau bertanya orang yang lebih tahu tentangnya. Saya sendiri menjadikan peristiwa ini sebagai asas dalam gagasan Persuratan Baru, dengan itu dijelaskan dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (2009). Lihat di sana untuk mendapat penjelasan. Anda akan mengerti mengapa saya mengkritik sajak “Pulang Si Tenggang”, yang menyerlahkan kepalsuan tafsiran pensajak tentang sebuah legenda Melayu, tanpa sentuhan pemikiran yang jelas.  Inilah yang saya meksudkan dengan “realiti semu”, yang menjadi pegangan dan kebanggaan para sasterawan.


Keliru Tentang Makna Realisme

Panel Anugerah Sastera Negara berhujah bahawa karya-karya sasterawan negara adalah karya yang menggambarkan realisme dalam kehidupan manusia, iaitu manusia yang miskin, tertindas, dizalimi, ditipu dan sebagainya. Tetapi itu hanya sebahagian kecil daripada “realisme”, oleh itu bukan realiti sebenarnya. Itu hanya realiti semu, tetapi manusia lekas tertipu dengan realiti semu ini, seperti yang ditunjukkan oleh Al-Quran dalam kisah Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. Realiti semu ini menjadi mainan ahli sihir Firaun. Tetapi apabila hakikat realiti ditunjukkan oleh Nabi Musa ‘a.s. dengan melemparkan tongkatnya setelah diwahyukan oleh Allah Ta’ala, maka ahli sihir yang handalan itu segera melihat hakikat realiti itu dan terus tunduk menyerah, lalu menerima ajaran wahyu yang dibawa oleh Nabi Musa ‘a.s. Dalam konteks kita di Malaysia, para sasterawan, sarjana dan sebagainya itu belum lagi sampai ke taraf profesional yang tinggi yang dipunyai oleh ahli sihir Firaun, oleh itu mereka terus lena dalam realiti semu, tidak mahu menerima hakikat realiti ajaran tauhid dan konsep taklif yang menjadi asas untuk mengenal ilmu yang benar. Sekiranya Panel Anugerah Sastera Negara sebagai golongan profesional sudah sampai ke peringkat profesionalisme yang tinggi yang dimiliki oleh ahli sihir Firaun, maka mereka tidak dapat tidak akan menerima hakikat realiti dan menolak realiti semu dalam konsep realisme yang mereka pegang. Dalam konteks inilah mereka memperagakan sikap anti-ilmu mereka. Sesiapa juga yang ingin menyanggah kesimpulan ini harus terlebih dahulu memahami konteksnya dan hujah yang dikemukakan.

Karya Sastera Yang Autonomous

Dalam konteks inilah kita harus memahami ungkapan “membaca sastera dari pendekatan sastera”. Anda akan melihat kelucuan ungkapan ini jika anda fahami konsep “realiti semu” yang dibicarakan tadi.  Ungkapan itu sebenarnya diambil daripada pendirian Kritikan Baru (New Criticism) yang satu ketika dulu menjadi kebanggaan para sarjana Amerika Syarikat, tetapi kini telah diketepikan kerana disedari tidak relevan lagi. Kritikan Baru menegaskan bahawa karya sastera itu mempunyai autonomy tersendiri, tidak bergantung pada apa juga pengaruh yang berada di luarnya. Kedudukan ini kemudiannya diserlahkan dengan megahnya dalam teori Derrida, teori dekonstruksi yang kalut (dan karut dilihat dari konsep ilmu yang benar) itu. Menurut Derrida, karya sastera tidak bermakna apa-apa, kecuali makna yang diberikan oleh pembaca. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang terpesona dengan dekonstruksi, menganjurkan supaya para sarjana Malaysia menggunakan teori Derrida ini, tetapi sebaik saja karya beliau sendiri dinilai dari perspektif dekonstruksi, beliau menjadi marah kerana menurutnya maksud beliau tidak seperti yang difahami oleh pembaca.

Ahli Sihir Firaun

Di sinilah kelucuan itu menonjolkan wajah buruknya: karya sastera itu autonomous, oleh itu harus dinilai dalam konteks karya itu sendiri. Apakah konteks itu? Konteks itu ... (Tergantung: Sasterawan sendiri tidak tahu!)  Di sinilah hebatnya ahli sihir Firaun yang benar-benar profesional dalam kemahiran sihir mereka: sebaik saja mereka melihat realiti hakiki yang ditunjukkan oleh Nabi Musa ‘a.s., mereka menerima realiti hakiki itu dan terus berpegang kepada ajaran tauhid. Tetapi apa yang terjadi kepada para sasterawan? Mereka terus degil berpegang kepada realiti semu mereka, terus percaya karya sastera itu autonomous, tetapi tidak boleh ditafsirkan kerana semua tafsiran tidak tepat dengan makna yang berada di dalam kepala para sasterawan sendiri. Kalau begitu,  karya sastera adalah kepunyaan mutlak penulisnya, tidak boleh ditafsirkan kerana semua tafsiran tetap salah!  Kata seorang sarjana yang pakar dalam sastera, bernama Prof. Rahman Shaari, karya sastera lahir kerana desakan dari dalam diri seseorang yang mempunyai bakat kreatif, desakan yang tidak boleh ditahan-tahan lagi, lalu terciptalah karya sastera! Jadi dengan itu karya itu kepunyaan peribadi penulis kreatif, oleh itu hanya dia saja yang berhak memberi tafsirannya kerana dia sajalah yang tahu maksud karya itu ditulis dan tentang apa. Oleh itu karya sastera tidak boleh dibaca dengan kritis; hanya boleh  dipuji saja. Inilah kedudukan yang menjadi pegangan para sasterawan, yang diarus-perdanakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam pembinaan mitos mereka terhadap para sasterawan negara yang mereka nilai. Adakah ini puncak kesiumanan akal manusia, atau lelucon yang paling unggul?

Gagasan Persuratan Baru Beri Jalan Keluar

Dalam konteks inilah gagasan Persuratan Baru menghulurkan tangan untuk membantu golongan yang keliru ini keluar dari kekeliruan mereka, dengan mengajak mereka melihat kembali kedudukan mereka berasaskan konsep ilmu yang benar sebagai ukuran utama. Tetapi mereka tidak mahu dibantu, walaupun mereka sedar mereka meraba-raba mencari kepastian yang tepat tentang konsep kreatif dan hasilnya; mereka juga tahu mereka berada dalam kegelapan akal dan kekeliruan tentang konsep ilmu. Kata Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (beberapa kali jadi ahli Panel): “Sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri. Teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14).  Adakah kesalahan yang dimaksudkan itu termasuk yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang beliau sendiri salah seorang anggotanya? 

Sebenarnya pengakuan profesor ini adalah kritikan tajam terhadap kegagalan Panel Anugerah Sastera Negara yang menilai karya para sasterawan negara secara total menggunakan kaedah dan teori sastera Barat. Perhatikan baik-baik, apabila profesor ini berkata, “kita dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula”, beliau harus menjelaskan, bahawa “watak yang khusus” itu merujuk kepada sifat bahasa Melayu yang sudah diterima sebagai salah satu bahasa peradaban Islam, oleh itu wajah Islam itu sangat ketara dalam perwatakan bahasa Melayu. Sehinggalah dimusnahkan oleh para sasterawan, yang mencabut watak Islam itu dengan menggantikannya dengan watak pinjaman dan ciplakan dari Barat apabila sastera Melayu moden disekularisasikan sepenuhnya oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Inilah hakikat yang cuba disembunyikan, tetapi tidak dapat disembunyikan kerana watak sekular itu terlalu ketara dalam faham sastera Melayu moden yang menjadi ikutan para sasterawan.

Kejujuran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh

Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak jujur secara akademik apabila beliau menegaskan “teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam.” Kesimpulan ini tidak termasuk kedudukan gagasan Persuratan Baru, yang tidak diketahui oleh profesor sastera ini. Sebagai seorang sarjana sastera bertaraf dunia kelas satu, amatlah aneh apabila beliau tidak tahu menahu apa yang berlaku di kalangan pemikir sastera di Malaysia, padahal ada di antara hasil pemikiran itu sudah diiktiraf di peringkat antara bangsa, sepanjang mengenai gagasan Persuratan Baru. (Rujuk Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, hal. 150). Bagi seorang sarjana yang kini sudah diberi gelaran Tokoh Akademik Negara oleh teman-temannya, sikap negatif yang bersifat “masa bodoh” tokoh ini amat memalukan, dari segi akademik. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah mengejek Mohd. Affandi Hassan belajar menulis kritikan sastera daripada Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan Ramli Isin (muridnya sendiri); tidakkah kini beliau sendiri harus belajar daripada Mohd. Affandi Hassan untuk memahami gagasan Persuratan Baru? Sebelum beliau, secara akademik, boleh membuat kesimpulan seperti di atas, beliau harus membahaskan dengan mendalam terlebih dahulu gagasan Persuratan Baru, kerana pada waktu beliau membuat kesimpulannya, gagasan Persuratan Baru sudah pun wujud dan digunakan dalam analisis dan dalam penilaian karya sastera, termasuk karya antarabangsa. Andainya, beliau ingin menonjolkan keangkuhan intelektual (keangkuhan akademik) dengan tidak mengiktiraf kewujudan gagasan Persuratan Baru, beliau tidak ada pilihan lain daripada membicarakannya kerana hanya dengan berbuat demikian saja beliau boleh mempertahankan kewibawaan akademiknya. Jika sebaliknya, beliau telah merendahkan darjat akademik beliau sendiri, apatah lagi sesudah diberi gelaran Tokoh Akademik Negara. Demikianlah, makna dan maksud kutipan di atas harus dibaca dalam konteks ini, kerana gagasan Persuratan Baru secara persis telah memberi jawapan kepada masalah yang beliau timbulkan, andainya beliau faham maksud atau implikasi ucapan beliau sendiri. 

Peranan Gagasan Persuratan Baru Dalam Abad 21

Dalam masa seratus tahun ini, gagasan Persuratan Baru akan menjadi landasan utama perkembangan persuratan Melayu, dengan memberi  dinamika baru kepada bidang kreatif dan bidang analisis dan penilaian karya kreatif. Sesebuah karya kreatif tidak lagi dibaca untuk mendapat cerita semata-mata, tetapi dibaca untuk menilai isian ilmu melalui wacana kreatif yang dipakai oleh seorang pengarang, terutama sekali  melalui caranya menjalin wacana dengan cerita dengan menggunakan kaedah stylization of ideas dalam membina karyanya. Dalam jalinan itu, penggunaan ruang naratif menjadi ukuran penting bagaimana canggihnya cara berfikir dan cara membina struktur karya seseorang pengarang. Konsep plot tidak lagi menjadi ukuran penting, kerana plot dalam pengertian yang biasa diberikan oleh pengkritik dan penilai karya kreatif sebagai cara pengarang membina struktur karyanya (inilah pengertian yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara) tidak dapat membantu penganalisis melihat kecanggihan pemikiran seseorang pengarang, seperti yang dapat dilihat dengan jelas dari  caranya menggunakan ruang naratif untuk membina wacana ilmiah dalam karyanya. Dengan memberi penekanan kepada aspek wacana dan pemikiran, seperti yang ditekankan dalam gagasan Persuratan Baru, penciptaan karya kreatif akan lebih terkawal, ekonomis, dan tepat memberikan makna yang ingin dicapai dalam karya berkenaan, di samping dapat menyerlahkan keindahannya melalui stylization of ideas dengan melandaskan  keindahan itu kepada konsep ihsan dalam penulisan (lihat penjelasan dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan). Semua ini, jika difahami secara keseluruhan sebagai satu sistem, akan memberikan kepada kita cara yang berkesan untuk menulis karya kreatif dan kaedah yang tepat untuk menilai apa juga jenis karya kreatif.  Inilah maksud “Persuratan Baru merombak kaedah lama dalam analisis dan penilaian karya kreatif” dan juga dalam penulisan karya kreatif.

Kesimpulan

Sesiapa juga yang menentang gagasan Persuatan Baru akan hanya melestarikan kelesuan berfikir dalam sastera Melayu. Medan untuk berfikir dengan canggih dan betul-betul akademik dalam sastera Melayu moden terdapat dalam gagasan Persuratan Baru. Ini bukan lagi pilihan anda, tetapi menjadi kewajipan anda untuk melaksanakannya. Hanya dalam konteks itu saja anda diberi kebebasan penuh untuk melakukan kebaikan dan menghindarkan diri anda daripada pengaruh Iblis dan syaitan, seperti yang dijelaskan dalam al-Quran. (Untuk itu sila rujuk Fathi Osman, Concepts of the Quran: A Topical Reading (ABIM, 1997; terutama halaman 162-183).  Semoga para penulis Islam memilih petunjuk al-Quran untuk mencapai kebebasan mutlak itu, bukan terpengaruh dengan hujah-hujah Iblis dan syaitan yang matlamatnya hanya untuk menghancurkan manusia. Persuratan dan seni mengrang dalam Islam tidak dicipta untuk menyesatkan manusia dengan menerima sebagai landasan berfikir dan mencipta kebebasan yang ditawarkan oleh Iblis dan syaitan untuk menghancurkan manusia sendiri. Jika ahli sihir Firaun dapat melihat hakikat ini, mengapa pula para sasterawan dan sarjana Islam tidak dapat melihatnya?

Mohd. Affandi Hassan, 2/9/2011.