Thursday, May 3, 2012

NILAI MURNI YANG KOTOR


Catatan: Bahagian ini sambungan kepada posting bertarikh 21 April 2012, dengan sedikit penjelasan tentang konsep plot.

Kementerian Pelajaran telah menolak permintaan GAPENA supaya sastera Melayu dijadikan mata pelajaran wajib di semua peringkat sekolah, bermula dengan peringkat tadika lagi.  Keputusan Kementerian Pelajaran menolak permohonan itu dikesali oleh para sasterawan, penggiat sastera dan wartawan sastera. Kata mereka, hilanglah peluang para pelajar untuk  diasuh oleh karya sastera supaya mencintai dan mengamalkan nilai-nilai murni yang terdapat di dalam karya sastera. Benarkah karya sastera mencerminkan nilai-nilai murni dalam kehidupan manusia? Mungkin ada, tetapi perkara ini tidak diberi perhatian langsung oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Jika maksud nilai-nilai murni itu ialah persoalan moral dan etika dalam kehidupan, maka Panel Anugerah Sastera Negara menolaknya bulat-bulat, menegaskan dalam kata-kata yang berikut: “Salina membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan yang jitu. ... A. Samad Said sebagai novelis tidak ingin terlalu menonjolkan tema dan perutusannya. Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan, kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme (dan realisme baru kemudiannya seperti dalam Langit Petang atau Daerah Zeni), dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist  yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka” (Laporan 1985, hal. 13). Inilah kekuatan A. Samad Said yang melayakkannya diangkat sebagai seorang sasterawan negara. Di manakah “nilai-nilai murni” itu? Panel Anugerah Sastera Negara tidak menerima “nilai-nilai murni” sebagai satu faktor penting dalam penilaian mereka; dan A. Samad Said sendiri pun mengaku beliau menulis Salina kerana ingin menulis kisah hidup seorang “pelacur yang baik hati”.  Tentu saja beliau tidak bermaksud hendak menegaskan bahawa seorang pelacur bukanlah seorang yang mengamalkan nilai-nilai murni, kecuali dalam konteks kepelacurannya. Namun begitu, Salina masih boleh dipakai sebagai teks wajib, seperti yang diminta, dengan syarat kaedah penelitian terhadap novel ini menggunakan asas penilaiannya berdasarkan konsep ilmu yang benar, seperti yang dituntut dalam gagasan Persuratan Baru. Apakah kesannya terhadap nilai novel ini telah  dihuraikan  dengan mendalam oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat dalam bukunya, Seksualiti Dalam Novel Melayu (Penerbit UKM, 2011).

Kembali kepada penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, kita dapati kesimpulan mereka sangat aneh, tidak masuk akal, bertentangan dengan tabiat semula jadi semua manusia. Jika anda masih ingat, waktu anda budak-budak lagi, ibu bapa anda telah bertanya anda akan jadi apa bila dewasa nanti; di sekolah pula guru anda akan bertanya tentang cita-cita anda; di pejabat, jika anda bekerja makan gaji, anda diberi tugas tertentu yang mesti dilaksanakan; jika anda bekerja sendiri, anda akan lebih tertumpu pada kejayaan yang akan anda capai, oleh itu anda mungkin bekerja lebih keras. Jika anda memandu, anda tahu ke mana anda hendak tuju. Anda mempunyai matlamat tertentu. Mungkin anda hendak ke suatu tempat untuk membeli pisang goreng kegemaran anda; mungkin anda hendak ke seminar peringkat kebangsaan tentang pendidikan sastera di sekolah-sekolah. Pendeknya, anda mempunyai matlamat. Katalah apa saja yang anda buat, pasti ada matlamat yang ingin dicapai. Tiba-tiba anda diberitahu oleh Panel Anugerah Sastera Negara matlamat itu tidak penting, tak perlu; tema pun tidak penting, tidak diperlukan; tidak ada tujuan apa-apa selain bercerita. Tidakkah bercerita itu sendiri pun satu matlamat juga? A. Samad Said sedar apa yang dibuatnya, maka itulah dia menegaskan dia ingin bercerita tentang seorang pelacur cantik yang laris di pasaran. Sekarang timbul persoalan: Mengapa Panel Anugerah Sastera Negara menafikan matlamat itu, yang menjadi tema Salina? Berapa ribu kali pun anda menggeleng kepala kehairanan, anda tidak akan mengerti mengapa Panel Anugerah Sastera Negara bertindak seperti itu. Di situlah kehebatan mereka, yang diterima bulat-bulat oleh para sarjana dan para sasterawan. Dan inilah warisan kritikan yang kita terima dan dipertahankan dengan gigih oleh kumpulan (atau gerombulan) tertentu di Malaysia.  Inilah kemuncak pandirisme!  Kerana begitu terikat kepada pandirisme, anda tidak peduli lagi kepada tujuan dan matlamat hidup anda untuk mencapai al-falah, yang anda dengar dilaungkan setiap waktu sembahyang. Tidakkah amat terkutuk apabila sasterawan tidak mempunyai matlamat dalam penulisan mereka? Jika ini bukan satu realiti, mereka sepatutnya sudah lama menolak laporan Panel Anugerah Sastera Negara kerana telah membuat kesimpulan yang salah dan tidak benar. Di manakah duduknya “nilai-nilai murni” yang digembar-gemburkan itu?

Hampir keseluruhan penilaian Panel menjadi keliru kerana kekeliruan mereka memahami konsep plot. Mereka pada umumnya bergantung seratus peratus kepada konsep plot untuk menilai novel dan cerita pendek yang mereka laporkan. Akibat ketergantungan mutlak kepada konsep plot yang keliru itu, maka mereka menilai karya kereatif dari satu jurus saja, iaitu dari aspek ceritanya. Inilah kelemahan mereka yang paling besar dan paling menonjol, yang membuat mereka tidak dapat membezakan sebuah karya picisan dengan karya yang bermutu. Dengan melihat sesuatu novel dan cerita pendek dari aspek cerita semata-mata, maka mereka tidak dapat menilai kekuatan pemikiran penulis novel, dengan itu mengabaikan aspek ilmu dan wacana dalam penilaian mereka.

Kita lihat bagaimana mereka menggunakan konsep plot dalam penilaian mereka terhadap novel Daerah Zeni. Dalam Laporan 1985 (hal. 17-18) mereka menulis: “Kisah dalam Daerah Zeni ini adalah kisah dalam kisah. ... Pada satu tahap cerita dalam novel ini merupakan cobekan-cobekan yang sengaja ‘dizigzagkan’. Plotnya tidak ada. Ruang masa tindih menindih dan berselang-seli. Urutan kisah secara tradisional tidak wujud. Novel ini bagaikan sekeping kertas besdar yang dikoyak-koyak menjadi kepingan-kepingan kecil dan kemudian dibuang sewaktu angin kencang sedang bertiup. Kepingan-kepingan itu terbang bertaburan. Tetapi apabila diusahakan pengumpulan kembali cobekan-cobekan itu, barulah terasa kisah kemanusiaannya. Dan kemanusiaan di sini sama sekali tidak ada peleraiannya.”

Apakah yang mahu diperkatakan oleh Panel dengan lukisan perbandingan sedemikian rupa? Mereka ingin menampilkan betapa hebatnya “plot” yang tidak berplot dalam novel itu; walaupun “plot” yang dikatakan tidak wujud itu ibarat kepingan kertas yang diterbangkan angin kencang, masih boleh dicantum dalam satu kesatuan yang memberi makna tertentu tentang kemanusiaan yang ingin dikemukakan oleh A. Samad Said.  Penggunaan perbandingan (atau kiasan) berlebihan dan tidak masuk akal seperti ini telah ditegur oleh Pendeta Za’ba sejak tahun 1934 lagi (lihat Ilmu Mengarang Melayu, versi Jawi, 1934, hal. 230). Kata Za’ba: “Jangan memakai bahasa kiasan yang terlampau jauh terpelanting perbandingannya atau maksudnya.  ... Jauhi memakai bahasa kiasan yang tiada bererti kepada pembaca atau pendengar kerana perbandingannya tiada pernah dilihat atau diketahui mereka. Begitu pula kiasan yang terpaksa dihuraikan terang-terang baharu orang mengerti.” Teguran dan kritikan ini masih berguna untuk menjadi panduan, terutama sekali hal ini berkait rapat dengan kemampuan kognitif pemakai bahasa kiasan.  Perbandingan yang digunakan oleh Panel tidak sekali-kali menjelaskan peranan plot dalam penulisan novel, selain kerana tidak logik dan tidak masuk akal, membandingkan “plot” dengan kertas besar yang dicobek-cobek kemudian diterbangkan ke angin kencang untuk dicantum kembali, hanya menyerlahkan kenaifan dan kedaifan intelektual dan lemahnya kemampuan kognitif Panel sendiri dalam memahami konsep plot dalam cereka.

Ada beberapsa kelemaan konsep plot yang perlu diberi perhatian. Pertama, plot bergantung pada cerita, tetapi tidak sebaliknya. Cerita dalam konteks plot ini dinilai daripada rentetan peristiwa, dengan itu idea dipinggirkan, dan ini memberi kesan kepada kontangnya “pemikiran” dalam novel yang bergantung pada plot semata-mata. Sebaliknya, jika cerita diletakkan dalam ruang naratif, dan penggunaan ruang itu ditentukan oleh wacana, maka cerita tidak lagi perlukan plot seperti dalam pengertian yang dipakai oleh Panel dan pengkritik sastera. Sebaliknya cerita akan ditentukan oleh kewarasan (rasionaliti) wacana yang berfungsi untuk mengolah pemikiran pengarang yang ditentukan oleh konsep ilmu yang benar; dengan itu realisme tidak lagi realisme semu, tetapi sebaliknya dilihat dalam konteks realisme hakiki berasaskan konsep ilmu yang benar tadi. Penjelasan kecil untuk memudahkan kefahaman perbincangan ini: Jika anda membaca novel seperti Kuala Lumpur Kita Punya atau TIVI, anda hanya melihat realiti semu tentang kejadian tertentu dalam masyarakat; tetapi anda tidak dapat melihat realiti hakiki kerana anda tidak melihat realisme itu dalam konteks taklif, padahal anda berbicara tentang manusia dan pengalamannya. Bagaimana anda boleh memisahkan realiti hakiki kehidupan manusia yang semuanya terikat kepada konsep taklif, dengan hanya membicarakan aspek luaran yang disebut realiti semu itu. Maksud realiti semu ialah realiti yang dipisahkan dari hakikat kejadian insan, dan hakikat kejadian insan itu  hanya boleh difahami dalam konteks hakikat ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam. Jika plot dilihat daripada perspektif ini, maka novel seperti Salina atau TIVI masih boleh ditulis, tetapi bentuknya akan berbeza sama sekali daripada bentuk yang ada sekarang, yang pada hakikatnya hanyut dalam cerita hanya untuk bercerita, bukan untuk menyerlahkan hakikat kejadian insan yang hanya dapat dihuraikan dengan menggunakan konsep ilmu yang benar.

 Panel silap besar apabila mereka berkata Daerah Zeni tidak berplot, kerana ini akan memberi makna bahawa novel itu tidak mempunyai cerita; padahal Panel sendiri mengaku novel itu meniru struktur cerita berbingkai. Di sinilah kekeliruan mereka, akibat ketergantungan kepada konsep plot yang tidak begitu difahami. Kelemahan ini hanya dapat dilihat jika digunakan konsep “ruang naratif” yang diperkenalkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam beberapa buah tulisan beliau. Sebuah cerita berada dalam satu ruang naratif yang ditentukan oleh pengarang bagaimana ruang itu akan dipergunakan: akan disumbat dengan segala macam peristiwa, atau diolah begitu rupa untuk mengejapkan tema yang dipilih dengan memberi isian yang diwacanakan dalam bentuk cerita yang diberi wajah intelektual melalui stylization of ideas.  Tidak tahu bagaimana mengurus ruang naratif  akan menghasilkan jenis novel yang ditulis oleh Azizi Abdullah, Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan lain-lain penulis popular Malaysia. Prof. Ungku Maimunah, dalam pembicaraannya tentang novel Azizi Abdullah, Harga Sebuah Maruah, yang memenangi sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, menunjukkan bagaimana pengertian konsep plot yang keliru oleh sasterawan diterima oleh penilai sayembara, walaupun bertentangan dengan syarat yang diberikan oleh penganjur peraduan. (Lihat analisis Prof. Ungku Maimunah dalam kertas kerjanya, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Hj. Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”.  Dibentang dalam Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia XII (SKIM XII). UKM, Bangi 29-30 November 2011). Inilah kesimpulan beliau yang wajar diberi perhatian serius oleh penganjur sayembara, sarjana, dan pengkritik sastera: “Analisis di atas menunjukkan wujudnya kepincangan yang amat ketara dalam penilaian dan pengiktirafan novel Harga Sebuah Maruah. Ternyata, kepakaran mantap dan mendalam tentang sastera yang semestinya ada bagi urusan penilaian dan pengiktirafan, jelas tidak ketara. Malah kekeliruan dan kecetekan fahaman yang terserlah, yang seterusnya dijadikan panduan penilaian. Analisis kritis dengan mudah dapat mendedahkan bahawa dakwaan tentang kekuatan dan keistimewaan  novel itu sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh, yang boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah. Malah dalam banyak hal, dakwaan yang dibuat terang-terangan bercanggah dengan bukti dalaman novel yang dinilai. Berdepan dengan keadaan seperti ini, adalah munasabah dan bertanggungjawab sekiranya kepakaran yang mantap dan mendalam disyaratkan sebagai asas penilian, sementara laporan yang terhasil daripada penilaian tersebut dipastikan lebih mantap dan bertanggungjawab, bukan dakwaan atau hujah yang bersifat umum, jauh sekali retorik yang gah semata.”

Prof. Ungku Maimunah dalam makalahnya tidak berbicara tentang laporan Panel Anugerah Sastera Negara, tetapi tentang panel yang ditugaskan untuk memilih karya dalam sayembara anjuran DBP 2007. Tetapi alangkah tepatnya kesimpulan itu jika dikenakan kepada hasil laporan dan analisis Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Hal ini tidak menghairankan, kerana sebuah panel lain yang ditubuhkan oleh DBP yang menilai karya kritikan melakukan kerja selekeh yang sama, apabila buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid dinilai dari segi ukuran yang tidak kena-mengena dengan kandungan buku itu, tetapi dilihat dari perspektif yang tidak kena-mengena sama sekali dengan kandungan buku tersebut. Buku itu ditolak kerana pengarangnya tidak “diplomatik” dalam mengkritik sekumpulan sarjana yang berpura-pura tentang sastera Islam... (Sila rujuk dan baca Dewan Sastera, Disember 1994). Saya sendiri pernah menolak hadiah cerita pendek anjuran GAPENA apabila panel yang menilai karya tersebut terlalu naif dalam penilaian mereka. Akhirnya mereka memberikan hadiah yang saya tolak itu kepada Azizi Hj. Abdullah! Bagaimana anda mahu tafsirkan beberapa fakta menarik ini terserah kepada anda; tetapi dalam pemerhatian saya semuanya membuktikan betapa tepatnya bacaan saya tentang pandirisme dalam kesusasteraan Melayu moden.  (Sekadar perbandingan, sila rujuk laporan Shamsuddin Jaafar tentang nadwah sastera Islam, Dewan Sastera (Januari 1994),  untuk mendapat gambaran yang lebih positif dan objektif tentang buku itu. Shamsuddin Jaafar dalam laporannya membuat kesimpulan berikut: “... buku Mohd. Affandi Hassan, Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid banyak disebut di dalam nadwah itu sebagai model ...”  Berbeza dengan panel penilai yang dilantik oleh DBP untuk menilai buku tersebut, nampaknya peserta nadwah benar-benar mengamalkan “nilai-nilai murni” dalam perbincangan mereka!).

Konsep plot yang sudah lapok dan sudah menjadi klise dalam sastera Melayu, yang dipakai dan dijadikan ukuran utama sebuah cereka oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, sudah tumpul dan sudah habis gigi analisis yang seharusnya sentiasa tajam menggigit kepalsuan penilaian untuk memastikan hasil penilaian itu betul-betul mantap dan boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah.  Inilah kelemahan konsep plot yang kedua, yang wajar diberi perhatian terutama sekali oleh penulis. Dengan menggunakan konsep plot yang begitu lemah, kabur dan keliru, maka Panel tidak dapat membezakan sebuah karya picisan dan yang bukan picisan, dengan contoh terbaik ditunjukkan dalam penilaian mereka terhadap karya A. Samad Said.  Malah konsep picisan itu tidak ada dalam kamus mereka, kerana bagi mereka yang picisan dan bukan picisan adalah sama. Yang diperlukan, dan yang penting bagi mereka, hanya cerita, tidak kira bagaimana cerita itu dibina dan untuk tujuan apa. Kerana itulah mereka berkata cerita tidak mempunyai tujuan, kecuali untuk bercerita, dan itu bukan tujuannya (aneh bukan pendapat yang saling bertentangan begini, tetapi tidak dalam konteks Panel Anugerah Sastera Negara.) Inilah yang mereka tunjukkan dalam analisis dan penilaian mereka terhadap karya Samad Said, dan cerita pendek Anwar Ridhwan, “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”. Mereka memuji karya itu dengan memberi pencirian yang begitu tinggi, dengan menganggapnya bersifat “filosofikal”. Mereka tidak dapat menjelaskan maksud mereka kerana yang mereka anggap sebagai “filosofikal” itu sama saja kedudukannya dan tarafnya dengan yang picisan. Jika anda membaca cerita pendek itu dengan kritis, anda akan dapati cerita pendek itu biasa saja, sebuah cerita pendek picisan yang tidak langsung mempunyai bibit-bibit pemikiran yang boleh dibahaskan. (Sila lihat penghujahan saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan). Dalam konteks inilah kaedah bacaan yang diajukan oleh Prof. Ungku Maimunah boleh membantu. Sebuah karya yang benar-benar mantap dan bermutu tinggi, mesti diuji dengan kayu ukur yang keras mengetuk kepalsuan yang terdapat di dalam karya itu; maka itulah Prof. Ungku Maimunah mengemukakan kaedah bacaan yang dinamakannya “mod bacaan intelektual”, berbanding dengan kaedah Panel yang dipanggil “mod bacaan cerita”. Hanya dengan menggunakan “mod bacaan intelektual” sahaja sesebuah karya itu dapat diukur dengan tepat, objektif dan benar-benar mantap. Bagaimana ini dilakukan dijelaskan oleh beliau dalam banyak tulisan beliau, antaranya yang termuat dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan. Lihat di sana untuk mendapat penjelasan lanjut tentang cara bacaan yang dianjurkan oleh beliau, dengan contoh-contohnya sekali. Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat, dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, menghuraikan dengan meyakinkan bagaimana novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu, gagal diberi tafsiran yang sewajarnya, malah disalah tafsir, jika dipakai mod bacaan cerita seperti yang dilakukan oleh beberapa sarjana yang disebut oleh beliau dalam makalahnya. Kenyataan ini penting kerana sesiapa juga yang meragui kewajaran mod bacaan intelektual ini dalam penilaian sesebuah karya kreatif boleh mengemukakan hujah beliau untuk menolak mod bacaan intelektual itu tidak diperlukan dalam kritikan sastera di Malaysia. Jika inilah pendapat mereka (sebenarnya inilah pendapat mereka yang tidak dinyatakan dengan jelas kerana sebab-sebab yang mereka sendiri saja yang tahu), maka bagaimanakah mereka boleh membicarakan dengan meyakinkan kehadiran “ilmu dan pemikiran” dalam sesebuah karya kreatif? Jika mereka mempunyai tanggungjawab ilmiah, dan tanggungjawab akademik yang tidak boleh diragui, mereka harus menjelaskan perkara ini.  Sebaliknya, jika mereka menggunakan mod bacaan intelektual, mereka akan dapat melihat dengan jelas mana yang picisan dan mana pula yang betul-betul bermutu.  Inilah kelemahan paling menonjol dalam Laporan 2009 (dan yang lain-lain) yang meletakkan cerita pendek termaklum sebagai karya “filosofikal”, tetapi tidak berdaya menjelaskannya. Dengan menggunakan konsep ruang naratif, bukan plot dalam pengertian yang kabur dan keliru yang mereka tunjukkan, maka mereka dengan mudah dapat membezakan yang picisan dengan yang bermutu. Mereka harus memahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan konsep picisan itu, yang boleh mereka dapat penjelasannya dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan.

Jika anda menggunakan konsep plot dalam pengertian yang kabur dan keliru seperti yang dipakai oleh Panel, anda tidak akan dapat melihat ketangkasan berfikir dan bercerita sekali gus seseorang pengarang.  Tetapi anda boleh melihatnya dengan jelas jika anda menggunakan konsep ruang naratif, kerana anda boleh melihat bagaimana seseorang pengarang menggunakan ruang naratif tadi dalam konteks stylization of ideas, bukan lagi dalam konteks susunan peristiwa seperti yang dilakukan sekarang dengan menggunakan konsep plot yang kabur dan mengelirukan itu.  Inilah aspek ketiga kelemahan konsep plot yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para sarjana, juga pengkritik sastera, dalam analisis mereka. Secara mudah, para sarjana berkata plot adalah rentetan peristiwa yang disusun dalam karya menurut urutan sebab akibat. Itu pengertian konsep plot yang paling mudah, tetapi dalam pelaksanaannya amat mengelirukan. Para pengarang berkata, mereka tidak perlu plot untuk bercerita, malah menurut mereka plot menyekat kebebasan mereka untuk bercerita secara spontan. Cerita, menurut mereka,  adalah seperti angin, tidak dapat dipaksa untuk menjadi taufan atau ribut petir. Tetapi itulah sebenarnya yang mereka lakukan setiap masa dalam tulisan mereka, kerana terdapat kesan lain yang ingin dicapai, iaitu apa yang mereka sebut sebagai unsur suspen, unsur-unsur yang mengejutkan, yang akan membuat cerita itu lebih menarik dan sedap dibaca. Semua ini dicapai, dalam praktik yang selalu mereka tonjolkan, dengan menambah bumbu yang dinamakan unsur sensasi. Unsur sensasi ini sering kali dikaitkan dengan unsur-unsur seks dan kekerasan. Unsur sensasi inilah yang menjadi trade mark karya Shahnon dan muridnya Azizi Hj. Abdullah. Unsur ini juga yang dipakai secara berlebihan oleh Fatimah Busu dalam novel-novelnya, terutamanya yang paling menonjol ialah dalam novel Salam Maria yang penuh sensasi itu. Semua aspek ini, jika anda analisis dengan cermat, membuktikan kegagalan plot untuk menyerlahkan aspek pemikiran melalui wacana yang dihujahkan dengan teliti dengan menggunakan cerita yang diberi kedudukan kedua, tetapi masih penting dalam pembinaan sesebuah karya kreatif. Kesatuan antara wacana dan cerita itu dicapai melalui stylization of ideas, bukan berasaskan suspen atau sensasi seperti yang menjadi kebiasaan para penulis Malaysia.  Jika anda masih ingat, Panel Anugerah Sastera Negara sendiri mensensasikan konsep plot ketika membicarakan novel Daerah Zeni dan Langit Petang.

Itulah tiga kelemahan konsep plot yang kini masih dipertahankan oleh para penulis Malaysia kerana mereka terlalu bergantung pada teori dan pendekatan Barat. Kelemahan ini dipertahankan dengan gigih oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam kekeliruan mereka tentang makna dan maksud plot ini, dengan menegaskan bahawa aspek pemikiran dan ilmu tidak perlu dalam karya kreatif, kerana aspek itu menyekat kebebasan pengarang yang sepatutnya tidak mengarah karya mereka kepada matlamat tertentu atau tema tertentu. Jika anda faham huraian pandangan keliru dan cetek Panel Anugerah Sastera Negara tentang konsep plot, anda akan mengerti mengapa Panel menolak apa juga unsur yang dipanggil “nilai-nilai murni” itu kerana nilai-nilai itu memang tidak diperlukan dalam konsep plot yang mereka fahami. Sebaliknya, jika mereka menerima konsep ruang naratif dan bagaimana ruang naratif itu digunakan untuk dimuat dengan isian ilmu dan isian cerita dengan menggunakan stylization of ideas, kehadiran apa yang disebut sebagai “nilai-nilai murni” itu terjamin mengikut takrif bersandarkan konsep ilmu yang benar. Sekiranya anda tidak memahami analisis yang dikemukakan di sini, anda akan terus tidak mengerti mengapa laporan Panel ditulis seperti yang mereka lakukan, kerana itulah yang seharusnya terjadi dalam konteks kefahaman mereka yang keliru dan cetek terhadap konsep plot tadi.  Jika anda memahaminya, anda akan dapat memahami mengapa penilaian Panel perlu dinilai kembali. Hanya dengan berbuat begitu saja persuratan Melayu akan mendapat tempatnya yang hak dalam tamadun Malaysia yang memang dibina di atas prinsip-prinsip Islam dan nilai-nilai Islam, bukan nilai-nilai murni seperti yang difahami sekarang, yang mencampur-adukkan unsur mungkar dalam pengertian yang diberikan kepada konsep “nilai-nilai murni” yang kotor itu.

Jika kita perhatikan dengan kritis bagaimana para sasterawan ini membawa nilai-nilai palsu dalam masyarakat, dan diiktiraf oleh Panel Anugerah Sastera Negara sebagai “kelainan” melalui eksperimen dalam penulisan, maka kita akan dapat melihat persamaan yang intim antara ahli politik dan para sasterawan. Dalam dunia politik, sudah banyak sekali perubahan dilakukan, yang kesemuanya mendapat sokongan dan dukungan media, terutama akhbar. Sekarang perbuatan fitnah-memfitnah tidak lagi dipandang jijik; malah sudah disempurnakan dengan amat baik dengan menggunakan teknologi moden. Misalnya, untuk membunuh karier politik seorang musuh politik, “orang-orang terhormat” dalam politik menggunakan fitnah sebagai wahana, dilakukan melalui pornografi yang ditayang dengan leluasa, hatta melalui RTM sekali pun. Inilah realiti, kata mereka. Inilah wajah ahli politik yang menipu rakyat, yang rendah moralnya dan dengan itu tidak layak menjadi atau dijadikan pemimpin/ketua. Perhatikan bagaimana perbuatan jahat memfitnah dan menuduh tanpa bukti diterima oleh sebahagian masyarakat, diasak beribu kali sehari kepada perhatian masyarakat, lalu dijadikan hujah bahawa orang yang dituduh tidak mahu bersumpah di dalam masjid, dengan itu membuktikan dia bersalah. Perhatikan, bagaimana “sumpah” dalam konteks fitnah itu dijadikan hujah untuk membenarkan pembohongan, walaupun mereka tahu “sumpah” seperti yang mereka lakukan untuk membuktikan kebenaran fitnah mereka adalah bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang mereka gembar-gemburkan merekalah yang memperjuangkannya. Dengan itu pembohongan, fitnah, umpatan, tuduhan palsu, gosip, diangkat menjadi “nilai murni” yang amat kotor dalam perkembangan nilai-nilai baru di kalangan orang politik ini.  Akhbar memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk dan memperkenalkan nilai-nilai pembohongan ini, dengan menerbitkan setiap minggu lampiran dalam akhbar yang khusus untuk melemparkan pelbagai jenis gosip yang amat digemari pembaca. Sekarang kita mempunyai wartawan khusus untuk itu, iaitu wartawan gosip. Kerjanya ialah memburukkan orang, menulis tentang perkara-perkara yang tidak ada bukti, tetapi cukup menarik kepada pembaca yang memang meminati kejahatan yang digosipkan itu.  Jika anda perhatikan pula penampilan nilai-nilai palsu di kalangan para sasterawan, anda akan dapati satu perkembangan yang selari dengan apa yang berlaku di kalangan ahli politik itu. Melalui laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kita dapati “nilai-nilai murni” yang kotor ini dijadikan asas eskperimen dalam penulisan kreatif, diberi kedudukan terhormat dan digalakkan. (Periksa dengan teliti Laporan 1985 dan Laporan 2009). Perbahasan tentang aspek ini sudah saya lakukan dalam banyak tulisan saya, yang boleh dirujuk dengan mudah, termasuk yang terdapat dalam blog ini. Oleh itu sebelum anda terjebak sama dalam pembohongan ini, anda harus meneliti tulisan saya terlebih dahulu dan memeriksa dengan teliti segala hujah dan bukti yang saya kemukakan. Anda boleh membacanya dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis.

Sekarang apa yang disebut “nilai murni” itu telah dilacurkan untuk kepentingan puak atau peribadi. Ambil contoh pemberian wang kepada rakyat.  Mengapa perbuatan ini dipestakan begitu rupa? Tujuannya supaya rakyat anggap kerajaan adalah pembela rakyat. Itulah tujuannya. Itu sebabnya dilakukan pada waktu ini, dengan segala riuh rendah dan pesta para pemimpin UMNO menabur wang di sana sini. Mahu menang pilihan raya, mahu berkuasa lagi hingga kiamat. Jadi perbuatan yang asalnya baik, terpuji, iaitu menderma dan memberi sedekah, menjadi satu perbuatan keji dan kotor kerana pelakunya mempunyai niat tertentu yang tidak ada sangkut paut dengan kebaikan menderma itu. Inilah antara contoh bagaimana “nilai murni” menjadi amat kotor dan menjijikkan apabila dilakukan seperti yang dilakukan oleh para pemimpin kerajaan pada waktu ini.  Kebalikan daripada perbuatan keji ini ialah sikap negatif terhadap ilmu, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka selama lebih dari 30 tahun ini.  Mereka mungkin tidak mempunyai apa-apa agenda besar seperti ahli politik, kecuali untuk membina mitos di sekitar para sasterawan negara yang mereka pilih. Secara tidak sedar, mereka telah mengetengahkan pandirisme sebagai nilai baru dalam kesusasteraan Melayu moden, yang mereka anggap sebagai “nilai murni” dalam kritikan sastera. Sikap tidak kritis  terhadap karya yang mereka nilai memberi gambaran yang keliru terhadap kedudukan karya itu, lebih-lebih lagi apabila digunakan ukuran yang saling bertentangan (rujuk Laporan 1985 yang menolak adanya tema tertentu dan matlamat dalam Salina, tetapi pada waktu yang sama mengakui memang terdapat tema tertentu, hal. 13). Kekeliruan begini tidak seharusnya ada dalam laporan sepenting itu; tetapi inilah akibat budaya pandirisme yang menjadi landasan analisis dan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam konteks ini kedudukan mereka sama saja dengan ahli politik yang menjadikan pembohongan dan penipuan sebagai strategi untuk mendapat kemenangan; manakala Panel pula menggunakan kontradiksi, pandirisme dan kekeliruan dalam falsafah nilai untuk membina mitos di sekitar para sasterawan negara. Akibatnya, penilaian mereka yang rapuh dan keliru itu dipaksakan untuk diterima, dijadikan ukuran muktamad, dengan itu dinafikan sebarang usaha untuk menilai kembali para sasterawan negara dan laporan Panel itu sendiri.  Tidakkah ini bertentangan dengan “nilai murni cintakan ilmu dan kebenaran” yang dituntut oleh tamadun manusia beriman di negara kita? Bagaimana kita boleh menerima “nilai murni yang kotor” yang diamalkan sekarang sebagai asas sebarang penilaian? Sudah nyata betapa kita harus membina kembali tamadun kita berteraskan konsep ilmu yang benar. Itulah kemuncak nilai murni yang harus kita perjuangkan dalam pembinaan tamadun negara kita.

Konsep nilai murni ini perlukan asas epistemologi yang serasi dengan nilai-nilai Islam yang dianuti oleh orang Islam. Asas itu tidak ada di kalangan para sasterawan, tidak juga nampak di kalangan anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Jika kita meneliti teori dan pendekatan Barat yang diguna dan dipromosi oleh para sarjana kita sendiri, kita pun tidak bertemu dengan persoalan nilai-nilai murni ini. Masuknya nilai-nilai murni dalam penilaian sastera hanya terjadi apabila kerajaan ingin mempropagandakan konsep pembangunan material mereka, yang tidak diimbangi dengan “pembangunan kerohanian” seperti yang difahami dalam Islam. Oleh hal yang demikian, apa yang disebut dan dianggap sebagai “nilai-nilai murni” itu lebih mengusutkan lagi persoalan kerana memang tidak terdapat dalam karya sastera. Lagi pula, Panel Anugerah Sastera Negara sendiri menolak “nilai-nilai murni” untuk dijadikan ukuran dalam menentukan bernilai tidaknya karya para sasterawan negara yang mereka pilih. Bagi mereka, yang peting ialah pembaharuan, dan ini dikaitkan dengan apa juga bentuk eksperimen dalam penulisan kreatif. Dalam konteks inilah Panel Anugerah Sastera Negara (Laporan 2009) memuji “eksperimen” Anwar Ridhwan dalam cerita pendeknya yang kemudian dijadikan tajuk kumpulan Abad 20 terbitan DBP, iaitu “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”.  Cerita pendek itu diangkat setingkat lagi dengan memberinya tafsiran “simbolisme”, dengan ulasan berikut: “Cubaan bereksperimen ini sudah mula maju ke arah yang matang. ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ mengemukakan apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia. Apartmen adalah dunia yang sempit, panas, seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya. Kehidupan yang cuba digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan nilai Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak. Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan semata-mata.  Cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ mengemukakan persoalan filosofikal. ... ”

Apakah yang ‘filosofikal’ itu?  Panel tidak menjelaskannya kerana memang tidak ada apa-apa yang dapat dikatakan bersifat ‘filosofikal’ dalam cerita pendek yang biasa saja itu; kecuali jika yang dimaksudkan dengan ‘filosofikal’ itu ialah kehidupan berzina dan minum arak. Jika itulah maksud Panel, apakah yang ‘filosofikal’ tentang zina dan tabiat mabuk itu? Sebenarnya inilah ciri penting dalam laporan yang disediakan oleh Panel (baca semula laporan tentang A. Samad Said).  Panel tidak berminat, atau tidak berusaha untuk memberikan penjelasan di mana diperlukan penjelasan. Ini  terjadi  kerana Panel tidak jelas (malah lebih tepat tidak ada) falsafah nilai (axiologi) yang menjadi pegangan mereka; kerana mereka keliru dalam memahami aspek epistemologi dalam kritikan sastera, sama ada yang dicedok dari Barat atau yang difahami mereka daripada epistemologi Islam. Ringkasnya,  analisis dan kesimpulan yang mereka ajukan tidak akademik, tidak berasaskan konsep ilmu yang jelas. Hal ini menimbulkan keanehan yang luar biasa jika kita terima mereka sebagai pakar dan ahli akademik dalam bidang sastera. Keanehan itu ialah mereka tenggelam dalam dunia “common sense” mereka sendiri, dengan itu analisis dan penilaian mereka amat longgar, malah dari segi akademik tidak bertanggungjawab.  Mereka memuji dan menyanjung realisme dalam karya para sasterawan; tetapi mereka sendiri tidak realistik dalam analisis dan penilaian mereka.  Tidak ada “realisme ilmiah” yang diperlukan dalam analisis dan penilaian mereka: semuanya bertenggek di atas pentas “common sense” yang sudah lapok dan bobrok, yang runtuh dengan hanya sedikit jentikan, belum lagi digoncang dengan kuat dalam hujah yang mencabar kewibawaan mereka. Inilah kedudukan sebenar Panel Anugerah Sastera Negara dalam bidang kritikan sastera Melayu moden.  Selama lebih dari 30 tahun kita telah tertipu. Adakah ini sebahagian daripada “nilai-nilai murni” yang ditekankan oleh para sasterawan itu?  Jika anda bandingkan perbuatan ini dengan perbuatan ahli politik tadi, anda akan dapati banyak sekali persamaannya. Sesuatu yang buruk, diberi sanjungan dan pujian oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dengan itu pembaca tidak dapat melihat lagi batas-batas sempadan antara yang baik dengan yang buruk tadi. Mereka menjadi amat keliru untuk membezakan “nilai murni” kerana konsep itu telah dikotorkan dengan memberinya ciri terpuji dalam konteks “pembaharuan” yang dikaitkan dengan eksperimen. Oleh itu perbuatan zina dan segala maksiat besar yang lain, yang menjadi tema cerpen, diberi pujian atas nama “pembaharuan” dan eksperimen, padahal kedua-duanya tidak bermakna sama sekali jika dilihat dalam konteks “nilai murni”; kecuali dalam konteks “nilai murni yang telah dikotorkan” dengan memberinya ciri “pembaharuan” dalam eksperimen kreatif. Lihat betapa karutnya hujah Panel Anugerah Sastera Negara ini jika dianalisis dan ditafsirkan dengan kritis berasaskan kefahaman yang mendalam dalam konsep ilmu yang benar. Berdasarkan analisis ini (secara ringkas saja), benarkah “nilai murni” itu wujud dalam karya sastera, terutama dalam karya para sasterawan negara, dan dicerminkan dalam analisis dan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara?

Jika anda berminat hendak menjawab soalan ini, anda harus menjelaskan tiga perkara: (1) sejauh mana karya para sasterawan negara mencerminkan nilai-nilai murni yang betul-betul murni? (2) Panel Anugerah Sastera Negara menolak, melalui laporan mereka, nilai-nilai murni sebagai ukuran yang menentukan bernilai tidaknya karya para sasterawan negara: Adakah ini mencacatkan penilaian mereka atau pada hakikatnya itulah realiti mutu karya para sasterawan negara ini?  (3)  Jawapan kepada dua soalan di atas sangat penting kerana dari situ kita akan dapat menentukan kedudukan sebenar sasterawan negara, dan pada masa yang sama kita juga dapat melihat sejauh mana tepatnya penilaian Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Sekarang kita sampai kepada soalan yang paling penting: Adakah penilaian Panel Anugerah Sastera Negara sudah muktamad, tidak boleh diusik lagi? Jika jawabnya tidak, adakah perlu kita nilai semula para sasterawan negara ini dengan melihat kemampuan mereka sebagai pemikir dan juga sebagai pencipta karya yang sedar tentang aspek pemikiran dalam kesusasteraan? Dari situlah baru kita dapat menentukan apakah nilai-nilai murni yang mendominasi karya mereka. Jika anda berpendapat semua ini tidak penting, membuang masa, maka anda telah meremehkan para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara yang telah memilih mereka. Nampaknya inilah yang terjadi, jika anda faham maksud saya. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan
2/5/2012






Saturday, April 21, 2012

WAJIBKAH SASTERA DIWAJIBKAN UNTUK DIPELAJARI?

Catatan: Tulisan ini dikirim ke Berita Harian. Disiarkan dalam blog ini untuk manfaat pembaca yang tidak membaca akhbar. Terima kasih.


Timbul lagi persoalan  mewajibkan sastera sebagai mata pelajaran wajib. Kali ini dibawa oleh GAPENA sebagai menunaikan permintaan satu seminar yang mereka adakan baru-baru ini (Hari Sastera Nasional ke 15 anjuran GAPENA).  Izinkan saya memberi komentar sekadarnya terhadap  “Godam” Salbiah Ani dalam Berita Harian 12/4/2012  mengenai perkara ini.

Salbiah Ani menegaskan betapa pentingnya sastera dijadikan mata pelajaran wajib kerana di dalam teks sastera itu terdapat nilai-nilai murni yang perlu diwarisi dan dijadikan panduan hidup para pelajar. Benarkah terdapat nilai-nilai murni dalam karya sastera? Jika kita membaca laporan Panel  Anugerah Sastera Negara yang menilai karya para sasterawan negara, nilai murni tidak dijadikan asas penilaian sama sekali. Tidak disebut dan tidak dianggap penting oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Jadi siapakah yang menjadikan nilai murni ukuran yang menentukan sesebuah karya mempunyai nilai yang tinggi sebagai karya sastera? Tentu sekali bukan Panel Anugerah Sastera Negara. Oleh itu wujudnya “nilai murni” dalam karya sastera adalah tidak lebih daripada mitos yang dibuat-buat. Para sasterawan sendiri pun tidak berminat kepada nilai-nilai murni ini, oleh itu para sasterawan negara sendiri menulis novel-novel lucah dan erotik yang turut dijadikan bahan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Inilah kenyataan yang diberikan kepada kita oleh laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Adakah kenyataan ini sudah kita tolak? Atau kita sebenarnya tidak membaca laporan mereka dan tidak pun faham implikasinya.

Apakah “nilai-nilai murni” itu? Belum lagi diberi definisi yang tepat dan jelas. Ada beberapa contoh yang diberi, misalnya sikap tolong-menolong, pemurah, rajin, gigih berusaha, bersimpati dengan orang yang susah, dan yang seumpama itu. Adakah itu “nilai-nilai murni”? Jika diteliti dengan cermat, semua itu bukan “nilai-nilai murni” yang dimaksudkan. Semua yang disenaraikan itu adalah perilaku yang baik, yang mungkin mencerminkan moral dan etika tertentu. Tetapi untuk dikatakan sebagai nilai murni belum tentu tepat. Perhatikan contoh ini. Salah satu “nilai murni” yang selalu dibanggakan ialah sikap pemurah, suka membantu, suka berderma. Para penderma akan menayangkan “cek palsu” yang tertera dengan huruf besar jumlah derma yang diberikan. Berita ini diberi liputan besar-besaran. Penderma itu diberi gelar “dermawan”. Tetapi adakah itu nilai murni? Tidak. Sama sekali tidak. Itulah sifat angkuh, takabur, menunjuk-nunjuk, riak, yang sangat jelas menayangkan betapa bangsatnya orang yang berbuat demikian dan betapa rendahnya akhlak mereka.  Orang begini menggunakan kesusahan orang lain untuk menunjuk-nunjuk keangkuhan mereka menayangkan kekayaan atau harta bukan milik mereka (umpamannya harta kerajaan dan orang ini hanya tampil sebagai “pemberi yang dermawan” yang kononnya bersifat prihatin) supaya mereka dikenali sebagai seorang yang dermawan dan baik hati; padahal perbuatan itu hanya sejenis penipuan yang dibenarkan oleh masyarakat yang juga sudah begitu bangsat sehingga tidak dapat lagi membezakan antara penipuan dan sifat dermawan yang tulen. Banyak lagi contoh yang boleh dikemukakan, tetapi untuk maksud kita di sini, contoh-contoh yang diberikan itu sudah mencukupi untuk kita memahami konsep sebenar “nilai murni” yang jarang sekali terdapat dalam karya sastera, hatta yang ditulis oleh seorang sasterawan negara sekali pun.

Satu jenis “nilai murni” yang tidak dianggap penting oleh para sasterawan, sarjana, dan wartawan sastera ialah nilai “cintakan ilmu” yang benar.  Hampir tidak ada perbincangan mengenai perkara ini. Sebaliknya, yang diutamakan dan dibanggakan ialah budaya pandirisme yang menerima begitu saja apa juga yang dianggap popular. Sebagai contoh, Pos Malaysia akan menerbitkan setem khas untuk memperingati sebuah novel picisan yang “berjaya” dijadikan sebuah filem yang tidak kurang juga picisannya. Kita tidak mendengar apa-apa bantahan atau teguran daripada para sasterawan, sarjana dan badan-badan penulis. Mereka menyokong pandirisme ini. Adakah ini satu contoh “nilai murni”?  Apabila orang tidak lagi berupaya membezakan mana yang berharga mana pula yang sampah, maka dia sudah kehilangan daya akal sihat dan keberanian untuk menyatakan sesuatu yang betul, dan menyalahkan yang salah. Dia sudah kehilangan adab, seperti yang dijelaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Antara yang kehilangan adab ini ialah para sarjana sastera sendiri dan para sasterawan. Banyak lagi contoh yang boleh kita kemukakan. Semua contoh ini memperlihatkan betapa karutnya konsep “nilai murni” itu jika tidak diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Oleh itu, kita perlu bincangkan perkara ini dengan lebih mendalam supaya kita dapat menggunakan istilah dengan betul dan tepat, bukan seperti sekarang yang “cetek meraba-raba” (satu gambaran yang tepat yang diberikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang kehilangan adab dalam masyarakat kita).

Pengajaran sastera di Malaysia berada dalam dunia “cetek meraba-raba” ini. Salbiah Ani sendiri menyebutnya ketika membicarakan kegagalan KOMSAS. Jika pengalaman ini belum cukup untuk membuat para sarjana, sasterawan dan aktivis sastera berfikir dengan siuman tentang pengajaran sastera, maka di manakah hak mereka untuk lebih mengusutkan persoalan ini dengan mengemukakan cadangan supaya sastera diwajibkan? Apakah isu sebenarnya di sini? Pertama sekali, konsep sastera itu sudah ketinggalan zaman, sudah gagal membuat pelajar dan sasterawan sendiri, termasuk sarjana, untuk berfikir dengan sistematik. Ketika DBP mengadakan seminar pemikiran sasterawan negara, sarjana dan ahli akademik hampir keseluruhannya menolaknya adanya “pemikiran” dalam karya para sasterawan negara ini.  Jika ini dijadikan hujah, maka usaha untuk mewajibkan sastera di sekolah tertolak bulat-bulat. Apakah yang akan diajar jika karya sastera para sasterawan negara sendiri tidak mempunyai pemikiran? Konsep pemikiran ini pun belum jelas, masih berserabut dengan andaian yang bukan-bukan. Prof. Ungku Maimunah, Prof. Madya Mohd. Zariat dan lain-lain telah menulis tentang perkara ini, dengan memberikan hujah dan pembuktian yang cukup meyakinkan. Jika persoalan ini diambil kira, maka kita harus bereskan konsep pemikiran ini secara tuntas, supaya tidak lagi berpusing-pusing tak tentu arah mencari hujah untuk menegakkan adanya pemikiran, padahal tidak ada.  Jelaslah kita perlukan pendekatan dan teori sastera yang menjurus ke arah memperjelas aspek pemikiran ini, dan dari situ barulah kita dapat mengajar sastera dengan meyakinkan, terutama sekali dalam aspek mencerdikkan para pelajar sehingga mereka dapat melihat manakah karya yang benar-benar bermutu dan apakah ukuran yang digunakan untuk membuat penilaian itu. Sekarang kaedah dan teori yang dipakai tidak menjurus ke arah itu. Itulah antara sebab utama mengapa KOMSAS gagal, dan mengapa karya picisan dipilih, yang akhirnya membuat pelajar menjadi bosan membaca karya picisan yang dangkal. Aspek ini masih boleh diselamatkan, jika kita mempunyai kaedah yang membolehkan kita mengenal pasti ukuran yang kita pakai dan dari situ dapat dengan mudah menolak atau menerima hujah-hujah yang dikemukakan. Sekarang hal ini tidak boleh dilakukan kerana kaedah yang kita pakai terlalu lemah dan bertentangan dengan cara otak manusia berfikir. Jika anda ingin memahami persoalan ini, bacalah dengan kritis analisis Prof. Ungku Maimunah ketika membicarakan makna dan maksud realisme dalam sastera Melayu, juga tentang aspek pemikiran yang kabur dan keliru itu. Untuk melakukannya, anda perlu memiliki nilai murni yang dipanggil “nilai cintakan” ilmu yang benar.  Jika anda menolak nilai cintakan ilmu ini, anda akan terus berada dalam kekeliruan. Bagaimana orang yang keliru boleh berbicara dengan meyakinkan tentang pendidikan sastera dan tentang “nilai-nilai murni”?

Akhirnya saya ingin kemukakan satu contoh bagaimana persoalan ini boleh diselesaikan. Saya rujuk sebuah tesis sarjana yang ditulis oleh Puan R. Sharatha A/P Ramasamy (Universiti Malaya, 2007). Tesis ini diselia oleh Prof. Madya Dr. Hashim Ismail. Dalam tesis itu, Puan R. Sharatha membincangkan dengan meyakinkan satu kaedah yang dinamakan “gagasan Persuratan Baru”. Kaedah itu berteraskan nilai-nilai Islam, tetapi dapat digunakan dengan baik oleh Puan R. Sharatha kerana beliau berusaha memahami kaedah itu. Beliau telah memberikan contoh yang baik dari segi akademik, dengan bersikap terbuka terhadap ilmu. Mungkin anda tidak mahu mengatakan bahawa beliau mempunyai nilai murni cintakan ilmu yang dibincang di atas. Tetapi bagaimana pula anda yang mendakwa mempunyai nilai cintakan ilmu berada dalam kekeliruan, menutup apa juga  kemungkinan lain yang anda rasa anda tidak suka?  Jika anda termasuk dalam golongan yang mahukan karya sastera dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah, dalam sistem pendidikan negara, maka dakwaan anda yang mengaku cintakan ilmu, tetapi bersikap anti-ilmu kerana tidak adanya keterbukaan kepada ilmu, maka anda tidak layak berbicara tentang pendidikan sastera, apatah lagi membuat cadangan tentangnya.

Sebagai kesimpulan, saya ingin cadangkan kepada ITBM supaya menerbitkan tesis sarjana Puan R. Sharatha itu, untuk dijadikan landasan konkrit dalam usaha para sasterawan, sarjana dan badan-badan penulis meminta kerajaan menjadikan sastera mata pelajaran wajib. Kita perlukan kaedah yang betul, dan ini diberikan oleh Puan R. Sharatha dalam tesis sarjana beliau. Jika anda menolak contoh yang baik ini, yang diberikan oleh Puan R. Sharatha, maka anda tidak berhak bercakap tentang “nilai-nilai murni” jika nilai murni cintakan ilmu itu anda tolak mentah-mentah. Harap-harap ITBM tidak begitu, dengan itu bersedia untuk menerbitkan tesis penting ini.

Mohd. Affandi Hassan,
16/4/2012.


Wednesday, April 4, 2012

Taklif Dalam Seni Mengarang: Menolak Kepalsuan Pengajaran Sastera Dalam Kaedah dan Teori Sastera Barat

Semua orang Islam pernah mendengar seruan azan. Adakah tidak di antara  para penulis, terutama para sasterawan, yang beragama Islam, yang tidak pernah mendengar seruan azan? Mungkin ada, tetapi lebih selamat jika kita membuat kesimpulan memang tidak ada di antara mereka yang tidak pernah mendengar seruan azan itu. Adakah ini suatu realiti? Orang sastera memang sangat mementingkan aspek realiti ini, sehingga mereka sanggup berbuat apa saja, termasuk menulis karya erotik dan lucah semata-mata untuk melaksanakan tuntutan realiti itu. Tetapi adakah itu realiti? Nampaknya bagi para sasterawan, itulah realiti. Itulah sebabnya mereka dengan degilnya mempertahankan pendirian mereka bahawa realiti yang benar-benar real ialah kehidupan manusia daripada aspek kejahatannya. Dari pandangan ini lahirlah novel-novel besar Malaysia, novel-novel besar berbahasa Melayu, seperti Salina, TIVI, Ranjau Sepanjang Jalan, cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” dan lain-lain, yang ditulis oleh para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan. Itulah realiti yang real itu, bagi para sasterawan ini.

Tetapi adakah ini lahir daripada tuntutan azan yang didengar mereka dan dijawab oleh mereka setiap kali mendengar azan? Manakah kesimpulan yang lebih tepat dan lebih selamat di antara dua kesimpulan ini: (1) Mereka tidak mendengarnya, atau (2) Mereka memang mendengarnya tetapi tidak memahaminya dan tidak menganggap itu realiti kehidupan insan. Dalam realiti yang digambarkan oleh azan tadi, tujuan kehidupan manusia ialah mencapai al-falah.  Bolehkah al-falah dicapai melalui penulisan novel dan cerita pendek yang disenaraikan di atas?  Mari kita lihat persoalan ini secara orang bodoh yang jahil. Tidak saja bodoh, tetapi juga jahil. Bolehkah orang begini memberi tafsiran tentang kehidupan manusia? Dari pandangan para sasterawan, bukan saja boleh, tetapi telah dibuktikan dengan jelas perkara itu memang boleh dilakukan jika yang bodoh dan jahil itu mempunyai kebolehan menulis cerita.  Yang perlu ditekankan di sini ialah kebolehan menulis cerita; bukan kebolehan menganalisis cerita dalam bentuk wacana kreatif.

Azan dimulai dengan penegasan shahadah: pengakuan wujudnya Allah Ta’ala, yang mengajarkan ilmu kepada manusia melalui rasul yang diutus oleh Nya. Shahadah itu tidak hanya pengakuan, tetapi keyakinan yang menjadi pegangan. Oleh itu langkah selanjutnya ialah mengerjakan solat. Dan ini diikuti dengan hasil yang dicapai, yakni al-falah. Kesimpulan daripada azan itu ialah penegasan bahawa wujudnya Allah Yang Maha Besar yang mengajar manusia ilmu yang benar; tiada tuhan yang berhak disembah (dengan pengertian sebenarnya) melainkan Allah. Itulah hakikat taklif yang dihuraikan dengan indah oleh Shah Wali Allah.

Bolehkah kita berkata itulah realiti kehidupan manusia? Memang itulah realitinya. Kalau begitu, mengapa para sasterawan Islam menulis karya mereka bertentangan dengan realiti kehidupan manusia? Ahli falsafah dan para ulama memberikan jawapan yang mendalam mengenai perkara ini, oleh itu anda boleh rujuk tulisan mereka jika anda mahu. Tetapi untuk maksud kita, pandangan orang bodoh dan jahil boleh dipakai untuk menjawab soalan yang begitu besar implikasinya itu, tetapi diabaikan oleh para sasterawan. Sebabnya ialah, itulah cara yang paling senang dan mudah dilakukan. Inilah hakikatnya, jika anda membaca dengan kritis dan analitis laporan  Panel Anugerah Sastera Negara yang membicarakan karya-karya para sasterawan negara yang mereka pilih dan humbankan kepada anda untuk diterima sebagai golongan mulia yang cukup faham dengan mendalam makna dan tujuan kehidupan manusia yang diajarkan di dalam azan tadi.  Saya sering mengutip analisis Prof. Ungku Maimunah yang membicarakan persoalan ini, misalnya dalam posting bertarikh 14/3/2012. Anda harus membacanya kembali, dengan kritis dan objektif, dengan merujuk bahan-bahan yang menjadi ambilan kutipan yang diberikan. Tidak mengapa jika anda tidak membacanya sebagai seorang pembaca yang cerdik dan analitis; cukuplan anda membacanya sebagai seorang pembaca yang bodoh dan jahil yang bersedia untuk berhujah, dengan mengemukakan bukti-bukti anda sendiri yang anda fikir lebih tepat dan lebih baik mencerminkan realitinya.  Sebagai pembaca yang bodoh dan jahil, anda tidak boleh mengelak daripada memberikan hujah dan pembuktian dalam sanggahan anda, lebih-lebih lagi dalam penerimaan anda. Tuntutan ini tidak boleh diterima oleh para sasterawan, penilai dan pengkritik sastera, juga para sarjana. Oleh itu mereka akan terus berada dalam kekeliruan tentang makna dan maksud realisme. Inilah aspek penting yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kuliah MASTERA  beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009).

Buku ini kini sudah menjadi dokumen penting dalam memahami konsep sastera berasaskan realisme Barat yang menjadi ikutan para sasterawan Malaysia, yang disokong dengan kuat dan padu oleh para penilai dan sarjana sastera.  Realisme seperti yang difahami dan dipraktikkan di Barat sudah dijadikan “konvensi sastera”, menurut Prof. Ungku Maimunah,  “iklim sastera yang dibentuk meletakkan kefahaman realisme Barat antara ciri penting penulisan kreatif (dan kritikan) Melayu, yang sopan, hormat serta maju, dan wajar dilestarikan dengan memanfaatkannya tanpa curiga atau segan silu.” (Dalam kertas kerja beliau, “Pemertabatan ‘Realiti’ dan ‘Realisme’ ke Status Konvensi Sastera Dalam Kesusasteraan Melayu”,  Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu XI (SAKM XI, UKM 7-8 Disember, 2011, halaman 36). Seterusnya beliau membuat kesimpulan ini: “Bahawa hakikat tersebut menafikan kewujudan realiti hakiki, meminggirkan ilmu dalam wacana, mengesampingkan seni menyirat makna, tidak membekas dalam dunia sastera Melayu. Perkara ini berlaku kerana realisme sudah mempunyai kedudukan kukuh sebagai konvensi sastera, lengkap dengan mantra serba bolehnya: ‘itulah realiti’”.

Dengan kefahaman sastera yang seperti itu, di mana duduknya taklif dalam kesusasteraan? Tidak ada. Oleh itu siapa di antara sasterawan itu yang mendengar seruan azan mengajak kepada al-falah? Ini pun tidak jelas. Dalam konteks inilah mereka menolak gagasan Persuratan Baru sebagai anti-sastera yang akan membunuh kesusasteraan Melayu, tidak membangunkannya menjadi persuratan berteraskan ilmu yang benar. Siapakah yang sebenarnya silap di sini?

Analisis Prof. Ungku Maimunah penting dibahaskan dengan mendalam oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Bagi saya analisis itu memperlihatkan dengan jelas betapa palsunya faham sastera yang  menjadi pegangan dan ikutan para sasterawan ini; kepalsuan itu lebih jelas lagi apabila faham sastera yang keliru itu dinilai dengan usaha beberapa orang sasterawan yang mendakwa mereka adalah peneroka sastera Islam (seperti Shahnon Ahmad yang menulis novel erotik dan picisan, TIVI itu), padahal fahaman mereka tentang sastera Islam dilihat dalam konteks realisme Barat, oleh itu mereka sebenarnya telah mensekularkan sastera Melayu dengan menggunakan nama sastera Islam. Sikap mereka terhadap realisme Barat membuat mereka tidak dapat melihat kepalsuan faham sastera yang menjadi pegangan mereka itu. Realisme telah menjadi sejenis puaka intelektual dalam sastera Melayu moden, yang akhirnya membawa kepada keaiban intelektual yang tidak disedari. Inilah antara beban intelektual yang ditanggung oleh para sasterawan dan sarjana sastera sejak sekian lama, belum lagi disedari mereka bahayanya kerana kecetekan mereka memahami sastera Barat dan teorinya dan tidak pula mengenal dengan mendalam warisan persuratan Melayu yang memang dikembangkan berasaskan nilai-nilai Islam, berasaskan konsep ilmu yang benar.  Mereka adalah kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba”, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya (1972).

Wajarkah faham yang palsu dan foni ini diteruskan dalam sastera Melayu moden? Jawapannya hanya dapat diberikan oleh para sasterawan sendiri dan para sarjana sastera yang menjadi parasit kepada karya mereka. Tetapi dalam perkembangan terbaru, kita diberitahu sebuah persatuan penulis terbesar di Malaysia telah menulis surat kepada Kementerian Pelajaran Malaysia memohon supaya kesusasteraan dijadikan mata pelajaran wajib di semua sekolah di semua peringkat, termasuk peringkat universiti. Timbalan Menteri Pelajaran telah pun memberi jawapan bahawa kesusasteraaan tidak perlu dijadikan mata pelajaran wajib; bagaimana pun, kata beliau, persatuan itu bolehlah mengemukakan cadangan mereka secara terperinci.  Adakah langkah yang diambil oleh persatuan ini satu langkah yang mundur, dari segi ilmu dan dari segi kreatif?  Masalah ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam buku kecil berjudul, Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. Kaedah yang perlu digunakan pun sudah dicadangkan dalam buku itu. Siapakah yang membaca buku itu? Tentulah tidak ahli persatuan penulis yang meminta kerajaan mewajibkan kesusasteraan di sekolah. Demikianlah ketinggalannya para “penggiat” (berasal daripada perkataan ‘giat’ yang mempunyai makna sindiran dan makna perniagaan!) sastera ini. Bolehkah kita harapkan golongan oportunis dan parasit begini membina tamadun penulisan berasaskan ilmu yang benar? Apakah yang ingin mereka ajar kepada masyarakat mereka jika mereka menerima  ungkapan “aku sudah belajar/ jadi kurang ajar” sebagai ucapan paling puitis dan paling intelektual  di Malaysia? Jika anda bertanya Pak Pandir, dia akan menjawab, “Tanya Mak Andeh. Dia lebih tahu!”  Tidakkah itu satu  kemenangan buat feminisme? Dan yang menjadi pelopornya ialah Pak Pandir, bukan Mak Andeh.

Para sasterawan menegaskan dengan bangga, mereka menulis tentang realiti masyarakat, dengan memberi perhatian kepada kejahatan dan keburukan yang terdapat dalam masyarakat kerana itulah hakikat realiti bagi mereka. Jika mereka benar, dan nampaknya memang mereka bercakap benar, seperti yang dibuktikan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, maka apakah kebaikan yang boleh disaring daripada penulisan yang menjadikan kejahatan sebagai tumpuan utama? Apakah jenis moral yang mereka ingin tonjolkan. Dalam hal ini, Panel Anugerah Sastera Negara menegaskan, moral tidak perlu dan tidak harus dijadikan ukuran dalam penilaian sastera. Jika itulah hakikat sastera yang berasaskan realisme Barat ini, maka apakah faedahnya dijadikan mata pelajaran wajib jika yang ditonjolkan kejahatan manusia? Mungkin kita boleh selamatkan anak-anak kita daripada pengaruh jahat ini, tetapi kita perlukan kaedah analisis yang menolak kejahatan dan dapat membaca dengan kritis hasil karya palsu ini. Tetapi itu pun ditolak oleh para sasterawan, penilai dan para sarjana. Mereka menggunakan teori dan kaedah Barat yang memang menerima kejahatan sebagai pengucapan seni yang tinggi.  Itulah kemuncak pandirisme yang dikembangkan dan dilestarikan di Malaysia. Itulah pengajaran kesusasteraan yang dimaksudkan. “Itulah realiti!”

Mohd. Affandi Hassan
1 April 2012.