Saturday, April 21, 2012

WAJIBKAH SASTERA DIWAJIBKAN UNTUK DIPELAJARI?

Catatan: Tulisan ini dikirim ke Berita Harian. Disiarkan dalam blog ini untuk manfaat pembaca yang tidak membaca akhbar. Terima kasih.


Timbul lagi persoalan  mewajibkan sastera sebagai mata pelajaran wajib. Kali ini dibawa oleh GAPENA sebagai menunaikan permintaan satu seminar yang mereka adakan baru-baru ini (Hari Sastera Nasional ke 15 anjuran GAPENA).  Izinkan saya memberi komentar sekadarnya terhadap  “Godam” Salbiah Ani dalam Berita Harian 12/4/2012  mengenai perkara ini.

Salbiah Ani menegaskan betapa pentingnya sastera dijadikan mata pelajaran wajib kerana di dalam teks sastera itu terdapat nilai-nilai murni yang perlu diwarisi dan dijadikan panduan hidup para pelajar. Benarkah terdapat nilai-nilai murni dalam karya sastera? Jika kita membaca laporan Panel  Anugerah Sastera Negara yang menilai karya para sasterawan negara, nilai murni tidak dijadikan asas penilaian sama sekali. Tidak disebut dan tidak dianggap penting oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Jadi siapakah yang menjadikan nilai murni ukuran yang menentukan sesebuah karya mempunyai nilai yang tinggi sebagai karya sastera? Tentu sekali bukan Panel Anugerah Sastera Negara. Oleh itu wujudnya “nilai murni” dalam karya sastera adalah tidak lebih daripada mitos yang dibuat-buat. Para sasterawan sendiri pun tidak berminat kepada nilai-nilai murni ini, oleh itu para sasterawan negara sendiri menulis novel-novel lucah dan erotik yang turut dijadikan bahan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Inilah kenyataan yang diberikan kepada kita oleh laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Adakah kenyataan ini sudah kita tolak? Atau kita sebenarnya tidak membaca laporan mereka dan tidak pun faham implikasinya.

Apakah “nilai-nilai murni” itu? Belum lagi diberi definisi yang tepat dan jelas. Ada beberapa contoh yang diberi, misalnya sikap tolong-menolong, pemurah, rajin, gigih berusaha, bersimpati dengan orang yang susah, dan yang seumpama itu. Adakah itu “nilai-nilai murni”? Jika diteliti dengan cermat, semua itu bukan “nilai-nilai murni” yang dimaksudkan. Semua yang disenaraikan itu adalah perilaku yang baik, yang mungkin mencerminkan moral dan etika tertentu. Tetapi untuk dikatakan sebagai nilai murni belum tentu tepat. Perhatikan contoh ini. Salah satu “nilai murni” yang selalu dibanggakan ialah sikap pemurah, suka membantu, suka berderma. Para penderma akan menayangkan “cek palsu” yang tertera dengan huruf besar jumlah derma yang diberikan. Berita ini diberi liputan besar-besaran. Penderma itu diberi gelar “dermawan”. Tetapi adakah itu nilai murni? Tidak. Sama sekali tidak. Itulah sifat angkuh, takabur, menunjuk-nunjuk, riak, yang sangat jelas menayangkan betapa bangsatnya orang yang berbuat demikian dan betapa rendahnya akhlak mereka.  Orang begini menggunakan kesusahan orang lain untuk menunjuk-nunjuk keangkuhan mereka menayangkan kekayaan atau harta bukan milik mereka (umpamannya harta kerajaan dan orang ini hanya tampil sebagai “pemberi yang dermawan” yang kononnya bersifat prihatin) supaya mereka dikenali sebagai seorang yang dermawan dan baik hati; padahal perbuatan itu hanya sejenis penipuan yang dibenarkan oleh masyarakat yang juga sudah begitu bangsat sehingga tidak dapat lagi membezakan antara penipuan dan sifat dermawan yang tulen. Banyak lagi contoh yang boleh dikemukakan, tetapi untuk maksud kita di sini, contoh-contoh yang diberikan itu sudah mencukupi untuk kita memahami konsep sebenar “nilai murni” yang jarang sekali terdapat dalam karya sastera, hatta yang ditulis oleh seorang sasterawan negara sekali pun.

Satu jenis “nilai murni” yang tidak dianggap penting oleh para sasterawan, sarjana, dan wartawan sastera ialah nilai “cintakan ilmu” yang benar.  Hampir tidak ada perbincangan mengenai perkara ini. Sebaliknya, yang diutamakan dan dibanggakan ialah budaya pandirisme yang menerima begitu saja apa juga yang dianggap popular. Sebagai contoh, Pos Malaysia akan menerbitkan setem khas untuk memperingati sebuah novel picisan yang “berjaya” dijadikan sebuah filem yang tidak kurang juga picisannya. Kita tidak mendengar apa-apa bantahan atau teguran daripada para sasterawan, sarjana dan badan-badan penulis. Mereka menyokong pandirisme ini. Adakah ini satu contoh “nilai murni”?  Apabila orang tidak lagi berupaya membezakan mana yang berharga mana pula yang sampah, maka dia sudah kehilangan daya akal sihat dan keberanian untuk menyatakan sesuatu yang betul, dan menyalahkan yang salah. Dia sudah kehilangan adab, seperti yang dijelaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Antara yang kehilangan adab ini ialah para sarjana sastera sendiri dan para sasterawan. Banyak lagi contoh yang boleh kita kemukakan. Semua contoh ini memperlihatkan betapa karutnya konsep “nilai murni” itu jika tidak diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Oleh itu, kita perlu bincangkan perkara ini dengan lebih mendalam supaya kita dapat menggunakan istilah dengan betul dan tepat, bukan seperti sekarang yang “cetek meraba-raba” (satu gambaran yang tepat yang diberikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang kehilangan adab dalam masyarakat kita).

Pengajaran sastera di Malaysia berada dalam dunia “cetek meraba-raba” ini. Salbiah Ani sendiri menyebutnya ketika membicarakan kegagalan KOMSAS. Jika pengalaman ini belum cukup untuk membuat para sarjana, sasterawan dan aktivis sastera berfikir dengan siuman tentang pengajaran sastera, maka di manakah hak mereka untuk lebih mengusutkan persoalan ini dengan mengemukakan cadangan supaya sastera diwajibkan? Apakah isu sebenarnya di sini? Pertama sekali, konsep sastera itu sudah ketinggalan zaman, sudah gagal membuat pelajar dan sasterawan sendiri, termasuk sarjana, untuk berfikir dengan sistematik. Ketika DBP mengadakan seminar pemikiran sasterawan negara, sarjana dan ahli akademik hampir keseluruhannya menolaknya adanya “pemikiran” dalam karya para sasterawan negara ini.  Jika ini dijadikan hujah, maka usaha untuk mewajibkan sastera di sekolah tertolak bulat-bulat. Apakah yang akan diajar jika karya sastera para sasterawan negara sendiri tidak mempunyai pemikiran? Konsep pemikiran ini pun belum jelas, masih berserabut dengan andaian yang bukan-bukan. Prof. Ungku Maimunah, Prof. Madya Mohd. Zariat dan lain-lain telah menulis tentang perkara ini, dengan memberikan hujah dan pembuktian yang cukup meyakinkan. Jika persoalan ini diambil kira, maka kita harus bereskan konsep pemikiran ini secara tuntas, supaya tidak lagi berpusing-pusing tak tentu arah mencari hujah untuk menegakkan adanya pemikiran, padahal tidak ada.  Jelaslah kita perlukan pendekatan dan teori sastera yang menjurus ke arah memperjelas aspek pemikiran ini, dan dari situ barulah kita dapat mengajar sastera dengan meyakinkan, terutama sekali dalam aspek mencerdikkan para pelajar sehingga mereka dapat melihat manakah karya yang benar-benar bermutu dan apakah ukuran yang digunakan untuk membuat penilaian itu. Sekarang kaedah dan teori yang dipakai tidak menjurus ke arah itu. Itulah antara sebab utama mengapa KOMSAS gagal, dan mengapa karya picisan dipilih, yang akhirnya membuat pelajar menjadi bosan membaca karya picisan yang dangkal. Aspek ini masih boleh diselamatkan, jika kita mempunyai kaedah yang membolehkan kita mengenal pasti ukuran yang kita pakai dan dari situ dapat dengan mudah menolak atau menerima hujah-hujah yang dikemukakan. Sekarang hal ini tidak boleh dilakukan kerana kaedah yang kita pakai terlalu lemah dan bertentangan dengan cara otak manusia berfikir. Jika anda ingin memahami persoalan ini, bacalah dengan kritis analisis Prof. Ungku Maimunah ketika membicarakan makna dan maksud realisme dalam sastera Melayu, juga tentang aspek pemikiran yang kabur dan keliru itu. Untuk melakukannya, anda perlu memiliki nilai murni yang dipanggil “nilai cintakan” ilmu yang benar.  Jika anda menolak nilai cintakan ilmu ini, anda akan terus berada dalam kekeliruan. Bagaimana orang yang keliru boleh berbicara dengan meyakinkan tentang pendidikan sastera dan tentang “nilai-nilai murni”?

Akhirnya saya ingin kemukakan satu contoh bagaimana persoalan ini boleh diselesaikan. Saya rujuk sebuah tesis sarjana yang ditulis oleh Puan R. Sharatha A/P Ramasamy (Universiti Malaya, 2007). Tesis ini diselia oleh Prof. Madya Dr. Hashim Ismail. Dalam tesis itu, Puan R. Sharatha membincangkan dengan meyakinkan satu kaedah yang dinamakan “gagasan Persuratan Baru”. Kaedah itu berteraskan nilai-nilai Islam, tetapi dapat digunakan dengan baik oleh Puan R. Sharatha kerana beliau berusaha memahami kaedah itu. Beliau telah memberikan contoh yang baik dari segi akademik, dengan bersikap terbuka terhadap ilmu. Mungkin anda tidak mahu mengatakan bahawa beliau mempunyai nilai murni cintakan ilmu yang dibincang di atas. Tetapi bagaimana pula anda yang mendakwa mempunyai nilai cintakan ilmu berada dalam kekeliruan, menutup apa juga  kemungkinan lain yang anda rasa anda tidak suka?  Jika anda termasuk dalam golongan yang mahukan karya sastera dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah, dalam sistem pendidikan negara, maka dakwaan anda yang mengaku cintakan ilmu, tetapi bersikap anti-ilmu kerana tidak adanya keterbukaan kepada ilmu, maka anda tidak layak berbicara tentang pendidikan sastera, apatah lagi membuat cadangan tentangnya.

Sebagai kesimpulan, saya ingin cadangkan kepada ITBM supaya menerbitkan tesis sarjana Puan R. Sharatha itu, untuk dijadikan landasan konkrit dalam usaha para sasterawan, sarjana dan badan-badan penulis meminta kerajaan menjadikan sastera mata pelajaran wajib. Kita perlukan kaedah yang betul, dan ini diberikan oleh Puan R. Sharatha dalam tesis sarjana beliau. Jika anda menolak contoh yang baik ini, yang diberikan oleh Puan R. Sharatha, maka anda tidak berhak bercakap tentang “nilai-nilai murni” jika nilai murni cintakan ilmu itu anda tolak mentah-mentah. Harap-harap ITBM tidak begitu, dengan itu bersedia untuk menerbitkan tesis penting ini.

Mohd. Affandi Hassan,
16/4/2012.


Wednesday, April 4, 2012

Taklif Dalam Seni Mengarang: Menolak Kepalsuan Pengajaran Sastera Dalam Kaedah dan Teori Sastera Barat

Semua orang Islam pernah mendengar seruan azan. Adakah tidak di antara  para penulis, terutama para sasterawan, yang beragama Islam, yang tidak pernah mendengar seruan azan? Mungkin ada, tetapi lebih selamat jika kita membuat kesimpulan memang tidak ada di antara mereka yang tidak pernah mendengar seruan azan itu. Adakah ini suatu realiti? Orang sastera memang sangat mementingkan aspek realiti ini, sehingga mereka sanggup berbuat apa saja, termasuk menulis karya erotik dan lucah semata-mata untuk melaksanakan tuntutan realiti itu. Tetapi adakah itu realiti? Nampaknya bagi para sasterawan, itulah realiti. Itulah sebabnya mereka dengan degilnya mempertahankan pendirian mereka bahawa realiti yang benar-benar real ialah kehidupan manusia daripada aspek kejahatannya. Dari pandangan ini lahirlah novel-novel besar Malaysia, novel-novel besar berbahasa Melayu, seperti Salina, TIVI, Ranjau Sepanjang Jalan, cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” dan lain-lain, yang ditulis oleh para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan. Itulah realiti yang real itu, bagi para sasterawan ini.

Tetapi adakah ini lahir daripada tuntutan azan yang didengar mereka dan dijawab oleh mereka setiap kali mendengar azan? Manakah kesimpulan yang lebih tepat dan lebih selamat di antara dua kesimpulan ini: (1) Mereka tidak mendengarnya, atau (2) Mereka memang mendengarnya tetapi tidak memahaminya dan tidak menganggap itu realiti kehidupan insan. Dalam realiti yang digambarkan oleh azan tadi, tujuan kehidupan manusia ialah mencapai al-falah.  Bolehkah al-falah dicapai melalui penulisan novel dan cerita pendek yang disenaraikan di atas?  Mari kita lihat persoalan ini secara orang bodoh yang jahil. Tidak saja bodoh, tetapi juga jahil. Bolehkah orang begini memberi tafsiran tentang kehidupan manusia? Dari pandangan para sasterawan, bukan saja boleh, tetapi telah dibuktikan dengan jelas perkara itu memang boleh dilakukan jika yang bodoh dan jahil itu mempunyai kebolehan menulis cerita.  Yang perlu ditekankan di sini ialah kebolehan menulis cerita; bukan kebolehan menganalisis cerita dalam bentuk wacana kreatif.

Azan dimulai dengan penegasan shahadah: pengakuan wujudnya Allah Ta’ala, yang mengajarkan ilmu kepada manusia melalui rasul yang diutus oleh Nya. Shahadah itu tidak hanya pengakuan, tetapi keyakinan yang menjadi pegangan. Oleh itu langkah selanjutnya ialah mengerjakan solat. Dan ini diikuti dengan hasil yang dicapai, yakni al-falah. Kesimpulan daripada azan itu ialah penegasan bahawa wujudnya Allah Yang Maha Besar yang mengajar manusia ilmu yang benar; tiada tuhan yang berhak disembah (dengan pengertian sebenarnya) melainkan Allah. Itulah hakikat taklif yang dihuraikan dengan indah oleh Shah Wali Allah.

Bolehkah kita berkata itulah realiti kehidupan manusia? Memang itulah realitinya. Kalau begitu, mengapa para sasterawan Islam menulis karya mereka bertentangan dengan realiti kehidupan manusia? Ahli falsafah dan para ulama memberikan jawapan yang mendalam mengenai perkara ini, oleh itu anda boleh rujuk tulisan mereka jika anda mahu. Tetapi untuk maksud kita, pandangan orang bodoh dan jahil boleh dipakai untuk menjawab soalan yang begitu besar implikasinya itu, tetapi diabaikan oleh para sasterawan. Sebabnya ialah, itulah cara yang paling senang dan mudah dilakukan. Inilah hakikatnya, jika anda membaca dengan kritis dan analitis laporan  Panel Anugerah Sastera Negara yang membicarakan karya-karya para sasterawan negara yang mereka pilih dan humbankan kepada anda untuk diterima sebagai golongan mulia yang cukup faham dengan mendalam makna dan tujuan kehidupan manusia yang diajarkan di dalam azan tadi.  Saya sering mengutip analisis Prof. Ungku Maimunah yang membicarakan persoalan ini, misalnya dalam posting bertarikh 14/3/2012. Anda harus membacanya kembali, dengan kritis dan objektif, dengan merujuk bahan-bahan yang menjadi ambilan kutipan yang diberikan. Tidak mengapa jika anda tidak membacanya sebagai seorang pembaca yang cerdik dan analitis; cukuplan anda membacanya sebagai seorang pembaca yang bodoh dan jahil yang bersedia untuk berhujah, dengan mengemukakan bukti-bukti anda sendiri yang anda fikir lebih tepat dan lebih baik mencerminkan realitinya.  Sebagai pembaca yang bodoh dan jahil, anda tidak boleh mengelak daripada memberikan hujah dan pembuktian dalam sanggahan anda, lebih-lebih lagi dalam penerimaan anda. Tuntutan ini tidak boleh diterima oleh para sasterawan, penilai dan pengkritik sastera, juga para sarjana. Oleh itu mereka akan terus berada dalam kekeliruan tentang makna dan maksud realisme. Inilah aspek penting yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kuliah MASTERA  beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009).

Buku ini kini sudah menjadi dokumen penting dalam memahami konsep sastera berasaskan realisme Barat yang menjadi ikutan para sasterawan Malaysia, yang disokong dengan kuat dan padu oleh para penilai dan sarjana sastera.  Realisme seperti yang difahami dan dipraktikkan di Barat sudah dijadikan “konvensi sastera”, menurut Prof. Ungku Maimunah,  “iklim sastera yang dibentuk meletakkan kefahaman realisme Barat antara ciri penting penulisan kreatif (dan kritikan) Melayu, yang sopan, hormat serta maju, dan wajar dilestarikan dengan memanfaatkannya tanpa curiga atau segan silu.” (Dalam kertas kerja beliau, “Pemertabatan ‘Realiti’ dan ‘Realisme’ ke Status Konvensi Sastera Dalam Kesusasteraan Melayu”,  Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu XI (SAKM XI, UKM 7-8 Disember, 2011, halaman 36). Seterusnya beliau membuat kesimpulan ini: “Bahawa hakikat tersebut menafikan kewujudan realiti hakiki, meminggirkan ilmu dalam wacana, mengesampingkan seni menyirat makna, tidak membekas dalam dunia sastera Melayu. Perkara ini berlaku kerana realisme sudah mempunyai kedudukan kukuh sebagai konvensi sastera, lengkap dengan mantra serba bolehnya: ‘itulah realiti’”.

Dengan kefahaman sastera yang seperti itu, di mana duduknya taklif dalam kesusasteraan? Tidak ada. Oleh itu siapa di antara sasterawan itu yang mendengar seruan azan mengajak kepada al-falah? Ini pun tidak jelas. Dalam konteks inilah mereka menolak gagasan Persuratan Baru sebagai anti-sastera yang akan membunuh kesusasteraan Melayu, tidak membangunkannya menjadi persuratan berteraskan ilmu yang benar. Siapakah yang sebenarnya silap di sini?

Analisis Prof. Ungku Maimunah penting dibahaskan dengan mendalam oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Bagi saya analisis itu memperlihatkan dengan jelas betapa palsunya faham sastera yang  menjadi pegangan dan ikutan para sasterawan ini; kepalsuan itu lebih jelas lagi apabila faham sastera yang keliru itu dinilai dengan usaha beberapa orang sasterawan yang mendakwa mereka adalah peneroka sastera Islam (seperti Shahnon Ahmad yang menulis novel erotik dan picisan, TIVI itu), padahal fahaman mereka tentang sastera Islam dilihat dalam konteks realisme Barat, oleh itu mereka sebenarnya telah mensekularkan sastera Melayu dengan menggunakan nama sastera Islam. Sikap mereka terhadap realisme Barat membuat mereka tidak dapat melihat kepalsuan faham sastera yang menjadi pegangan mereka itu. Realisme telah menjadi sejenis puaka intelektual dalam sastera Melayu moden, yang akhirnya membawa kepada keaiban intelektual yang tidak disedari. Inilah antara beban intelektual yang ditanggung oleh para sasterawan dan sarjana sastera sejak sekian lama, belum lagi disedari mereka bahayanya kerana kecetekan mereka memahami sastera Barat dan teorinya dan tidak pula mengenal dengan mendalam warisan persuratan Melayu yang memang dikembangkan berasaskan nilai-nilai Islam, berasaskan konsep ilmu yang benar.  Mereka adalah kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba”, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya (1972).

Wajarkah faham yang palsu dan foni ini diteruskan dalam sastera Melayu moden? Jawapannya hanya dapat diberikan oleh para sasterawan sendiri dan para sarjana sastera yang menjadi parasit kepada karya mereka. Tetapi dalam perkembangan terbaru, kita diberitahu sebuah persatuan penulis terbesar di Malaysia telah menulis surat kepada Kementerian Pelajaran Malaysia memohon supaya kesusasteraan dijadikan mata pelajaran wajib di semua sekolah di semua peringkat, termasuk peringkat universiti. Timbalan Menteri Pelajaran telah pun memberi jawapan bahawa kesusasteraaan tidak perlu dijadikan mata pelajaran wajib; bagaimana pun, kata beliau, persatuan itu bolehlah mengemukakan cadangan mereka secara terperinci.  Adakah langkah yang diambil oleh persatuan ini satu langkah yang mundur, dari segi ilmu dan dari segi kreatif?  Masalah ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam buku kecil berjudul, Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. Kaedah yang perlu digunakan pun sudah dicadangkan dalam buku itu. Siapakah yang membaca buku itu? Tentulah tidak ahli persatuan penulis yang meminta kerajaan mewajibkan kesusasteraan di sekolah. Demikianlah ketinggalannya para “penggiat” (berasal daripada perkataan ‘giat’ yang mempunyai makna sindiran dan makna perniagaan!) sastera ini. Bolehkah kita harapkan golongan oportunis dan parasit begini membina tamadun penulisan berasaskan ilmu yang benar? Apakah yang ingin mereka ajar kepada masyarakat mereka jika mereka menerima  ungkapan “aku sudah belajar/ jadi kurang ajar” sebagai ucapan paling puitis dan paling intelektual  di Malaysia? Jika anda bertanya Pak Pandir, dia akan menjawab, “Tanya Mak Andeh. Dia lebih tahu!”  Tidakkah itu satu  kemenangan buat feminisme? Dan yang menjadi pelopornya ialah Pak Pandir, bukan Mak Andeh.

Para sasterawan menegaskan dengan bangga, mereka menulis tentang realiti masyarakat, dengan memberi perhatian kepada kejahatan dan keburukan yang terdapat dalam masyarakat kerana itulah hakikat realiti bagi mereka. Jika mereka benar, dan nampaknya memang mereka bercakap benar, seperti yang dibuktikan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, maka apakah kebaikan yang boleh disaring daripada penulisan yang menjadikan kejahatan sebagai tumpuan utama? Apakah jenis moral yang mereka ingin tonjolkan. Dalam hal ini, Panel Anugerah Sastera Negara menegaskan, moral tidak perlu dan tidak harus dijadikan ukuran dalam penilaian sastera. Jika itulah hakikat sastera yang berasaskan realisme Barat ini, maka apakah faedahnya dijadikan mata pelajaran wajib jika yang ditonjolkan kejahatan manusia? Mungkin kita boleh selamatkan anak-anak kita daripada pengaruh jahat ini, tetapi kita perlukan kaedah analisis yang menolak kejahatan dan dapat membaca dengan kritis hasil karya palsu ini. Tetapi itu pun ditolak oleh para sasterawan, penilai dan para sarjana. Mereka menggunakan teori dan kaedah Barat yang memang menerima kejahatan sebagai pengucapan seni yang tinggi.  Itulah kemuncak pandirisme yang dikembangkan dan dilestarikan di Malaysia. Itulah pengajaran kesusasteraan yang dimaksudkan. “Itulah realiti!”

Mohd. Affandi Hassan
1 April 2012.

Wednesday, March 28, 2012

Era Kegemilangan Pandirisme di Malaysia

Jika benar Pos Malaysia akan menerbitkan setem khas untuk memperingati sebuah novel picisan dan sebuah filem yang sama picisannya berasaskan novel tersebut, maka Malaysia harus berasa bangga kerana satu mercu tanda dalam budaya pandirisme telah diwujudkan oleh Pos Malaysia. Nampaknya langkah ini amat dihargai oleh para sasterawan dan badan-badan penulis, termasuk GAPENA dan PENA. Tidak ada sasterawan atau badan penulis yang membantah langkah Pos Malaysia itu. Semua mereka nampaknya menyokong “peghormatan” itu sebagai suatu penghargaan yang tinggi kepada budaya pandirisme yang kini sudah disempurnakan kewujudannya oleh Pos Malaysia. Bagi saya, langkah Pos Malaysia adalah wajar, malah amat tepat. Itulah yang rakyat Malaysia mahu. Itulah juga yang ditunggu-tunggu oleh para sasterawan dan badan-badan penulis. Barangkali yang sedikit cacat ialah tiadanya karya daripada para sasterawan negara yang layak diberi penghormatan seumpama itu. Padahal karya mereka juga tidak kurang hebatnya menayangkan aspek pandirisme ini. Nampaknya jenis pandirisme mereka tidak menarik minat sebuah organisasi seperti Pos Malaysia, walaupun terdapat watak-watak yang menarik hasil karya para sasterawan negara ini. Misalnya, watak Lahuma adalah lambang kebodohan petani Malaysia, yang boleh saja dijadikan ikon kebodohan itu. Walaupun petani Malaysia tidak sebodoh yang digambarkan dalam watak Lahuma, namun sebagai ikon pandirisme Lahuma layak diberi kesempatan untuk mendapat penghormatan istimewa daripada Pos Malaysia, sekurang-kurangnya bolehlah dijadikan teladan yang perlu diikuti para sasterawan betapa pentingnya dan perlunya pandirisme diberi kedudukan tinggi seperti yang diberikan kepada novel Ranjau Sepanjang Jalan dan Lahuma.  Ini hanya satu contoh. Jika kita perlukan contoh lain yang lebih menarik,  Pos Malaysia wajar menimbangkan satu setem khas untuk memperingati Interlok dengan menayangkan tiga wajah bangsat rakyat Malaysia yang ditindas dan tertindas, tetapi gigih mempertahankan identiti mereka sebagai tiga kaum yang bersatu di bawah naungan UMNO. Tidakkah itu satu achievement yang amat besar yang menjadi mercu tanda kemerdekaan Malaysia? Anda tidak perlu bertanya sama ada kemerdekaan itu mencerminkan pandirisme atau pencapaian intelektualisme tertinggi dari perspektif pandirisme tadi.

Mohd. Affandi Hassan,
28/3/2012.

Wednesday, March 14, 2012

Gagasan Persuratan Baru Mencabar Teori Sastera Barat

Perlukah teori sastera Barat dicabar? Bagi Panel Anugerah Sastera Negara, teori sastera Barat tidak perlu dicabar, dan memang tidak boleh dicabar kerana kekuatan akademik (?) yang dimilikinya.  Adakah pandangan Panel Anugerah Sastera Negara (seterusnya PASN) ini berasaskan penelitian akademik yang cermat dan benar-benar kritis? Sebenarnya tidak. PASN hanya mengandaikan bahawa teori sastera Barat adalah yang terbaik dan telah terbukti dari laporan PASN sendiri bahawa tanpa teori sastera Barat, para sasterawan negara tidak mungkin terpilih kerana tidak ada teori lain yang boleh digunakan selain dari teori Barat untuk menilai para sasterawan ini.  Dalam konteks yang dipakai oleh PASN, kesimpulan ini tepat sekali. Memang betul tidak seorang pun di antara sasterawan negara itu akan menyerlah tanpa bantuan dan ukuran yang diberikan oleh teori sastera Barat.  Anda hanya perlu membaca laporan PASN untuk melihat betapa eratnya para sasterawan negara ini bergantung pada teori sastera Barat. Oleh sebab perkara ini telah dibincang dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya, dan oleh saya sendiri sama ada melalui blog ini atau melalui kertas kerja dan rencana yang saya tulis, maka tidak perlulah diulang hujah-hujah yang telah dikemukakan. Cukup dengan merujuk, antara lain, kuliah MASTERA Prof. Ungku Maimunah, syarahan perdana beliau, dan berbagai-bagai kertas kerja yang beliau bentangkan dalam seminar dan sebagainya.  Antara lain, perkara paling penting yang dihuraikan dan dinilai dengan kritis oleh Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya ialah mengenai makna dan peranan konsep realisme dalam sastera Melayu. Inilah kunci yang boleh digunakan oleh sesiapa saja yang ingin memahami apakah sebenarnya faham sastera moden yang menjadi asas pembinaan sastera Melayu moden. Dan kunci inilah juga yang boleh digunakan untuk mencabar teori sastera Barat yang menjadi tempat bergantung para sarjana dan sasterawan Malaysia.

Apakah yang akan terjadi jika kunci itu dilempar ke dalam laut? Para sasterawan dan para sarjana sastera akan terpinga-pinga, menjerit ketakutan kerana dengan tiba-tiba mereka menjadi bisu, tidak boleh berbicara tentang sastera lagi. Jika anda tidak percaya dan tidak yakin, silalah baca huraian Prof. Ungku Maimunah dalam rencana panjang beliau yang dimuat dalam buku suntingannya, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis.  Di situ diberi senarai dan penjelasan tidak kurang dari 22 jenis teori sastera Barat yang dikenali dan dipakai oleh para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia. Tidakkah ini suatu bukti yang amat jelas betapa kuatnya ketergantungan para sasterawan dan sarjana kepada teori sastera Barat?  Anda mungkin akan bertanya, sama ada dengan sinis atau marah terpulang kepada pembawaan peribadi anda sendiri, apa salahnya digunakan teori Barat jika dengan teori itu kita sudah berjaya membina sastera Melayu moden yang bertaraf dunia?  Tetapi perkara ini tidak disedari oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang menyesal dia sendiri pun telah melakukan kesalahan dalam penilaiannya menggunakan teori sastera Barat; atau Prof. Dr. Zawiah Yahya yang mahu menghumbankan saja teori sastera Barat itu, tanpa memberi pilihan teori apa yang boleh digunakan.  Jelas di sini terdapat kekeliruan yang luar biasa; maka dengan itulah mereka ini perlu dibantu supaya tidak terus keliru. Jadi jelaslah teori Barat ini perlu dan wajar dicabar. Maka muncullah gagasan Persuratan Baru untuk melancarkan cabaran itu. Di sinilah terjadi satu perkara yang amat pelik, tetapi benar: Hampir seluruh para sasterawan dan sarjana sastera bangkit mempertahankan teori Barat, lalu mengutuk gagasan Persuratan Baru sebagai “pengacau” dalam sastera Melayu moden.  Berasaskan sikap ini saja pun sudah cukup untuk kita membuat kesimpulan bahawa teori Barat memang perlu dicabar, supaya para sasterawan dan sarjana sastera sedar dari kekeliruan mereka yang kini nampaknya menjadi kebanggaan mereka.  Tidakkah lucu apabila mereka bangkit mempertahankan sesuatu yang dulunya mereka anggap tidak sesuai dengan nilai dan budaya Melayu? Apakah sebenarnya yang terjadi?

Sekali lagi: Apakah sebenarnya yang terjadi? Jawapannya diberikan oleh Prof. Syed Muhammad  Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). Di situ ditegaskan oleh beliau bahawa kumpulan sasterawan dan sarjana sastera Melayu moden itu terdiri daripada kumpulan pinggiran yang terputus hubungan dengan tradisi Melayu dan cetek pula dalam memahami tradisi Barat. Mereka adalah kumpulan yang “cetek meraba-raba”.  Tesis dan cabaran beliau tidak disambut oleh mana-mana sarjana dan sasterawan Melayu, tidak juga oleh para sasterawan negara. Malah dalam buku sejarah kritikan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan (2003) yang ditulis bersama oleh Prof. Dr. Hashim Awang, Dr. Ahmad Kamal Abdullah (atau Kemala) dan dua orang lagi pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu tidak pernah disanggah, dengan itu terbukti kesimpulan itu diterima oleh mereka sebagai tepat mencerminkan kedudukan sebenar kesusasteraan Melayu moden dalam sejarah dan kebudayaan Melayu.  Para sasterawan dan sarjana menerima kesimpulan itu sebagai tepat; inilah asas sikap mereka mempertahankan pengaruh Barat itu, walaupun pada mulanya mereka berkata pengaruh Barat itu tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam yang menjadi asas tamadun Melayu. Walaupun mereka menerima dan menyokong kehadiran pengaruh teori sastera Barat itu, namun kefahaman mereka tidak mendalam, seperti terbukti daripada tulisan “ilmiah” mereka menggunakan “teori” Barat itu. Dua contoh yang paling menonjol diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam makalahnya, “Pemertabatan ‘Realiti’ dan ‘Realisme’ ke Status Konvensi Sastera Dalam Kesusasteraan Melayu” (Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu XI/SAKM XI, 7-8 Disember 2011), satu lagi, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Hj. Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara” (Simposium Kebudayaan Indonesia-Melayu XII/SKIM XII, 29-30 November 2011). Dalam kertas kedua, dibuktikan dengan meyakinkan betapa kefahaman tentang feminisme begitu cetek, keliru dan bercelaru sehingga sarjana yang menggunakannya untuk menilai novel Harga Sebuah Maruah itu berakhir dengan sebuah kritikan mantra, yang bombastik bahasanya tetapi amat kerdil isinya, yang diperkenalkan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man, seorang sarjana yang diakui seorang pakar feminisme di Malaysia.  Contoh ini memperlihatkan dengan amat jelas betapa kelirunya teori Barat jika digunakan dengan begitu literal dan simplistik, dengan itu penilaian yang dibuat  dengan begitu bombastik tadi hanya indah khabar dari rupa, Much Ado About Nothing (menurut kesimpulan Prof. Ungku Maimunah). 

Dalam kertas kerja pertama, Prof. Ungku Maimunah mengutip beberapa pendapat oleh Azizi Hj. Abdullah dan Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara, tentang realisme yang difahami mereka. Jelas sekali dari pendapat mereka sendiri betapa naifnya kefahaman mereka tentang realisme, dan dengan amat naif pula mereka mendakwa bahawa mereka telah melukiskan realisme itu seperti yang terdapat dalam masyarakt, padahal lebih tepat jika dikatakan mereka sebenarnya hanya melukiskan secara yang amat kasar (crude) gejala maksiat dalam masyarakat.  Lihat contoh-contoh ini yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalah makalahnya:  (bercerita tentang pengalamanya, kata Azizi Haji Abdullah): (1)  “Pada masa itu (1960-an) karya kreatif berunsur lucah sering tersiar. ... Saya cuma nampak dunia kejahatan saja yang perlu ditulis jika mahu menjadi seorang penulis. (2)  Apabila dunia penulisan menjadi perkara nombor satu, saya berasa perlu tahu apa yang saya tidak tahu. Salah satunya ialah dunia pelacuran. (3) Bagi saya ketika itu, dunia penulisan ialah dunia yang penuh dengan kekotoran yang perlu dibongkar kepada umum. Bagi saya ilham hanyalah boleh diangkat dari tempat kotor termasuk di dalam tandas.  (4) Malangnya, saya tidak pernah terfikir ketika itu perlunya seorang penulis berada di masjid.  (5) Ini bukan salah saya. Yang salah ialah karya dan penulisan lain yang mendedahkan dan menelanjangkan semua ini sehingga memberi keyakinan bahawa jika hendak menjadi penulis, dunia seperti inilah yang perlu dikecimpung.” (Semua kutipan diambil daripada buku Kuras-kuras Kreatif (DBP, 2007).

Bandingkan pandangan ini dengan pandangan Shahnon Ahmad sebagai seorang sasterawan negara, yang diucapkannya sewaktu beliau sudah diangkat menjadi sasterawan negara:  TIVI, sekadar yang boleh, cuba mematuhi acuan ini (Quran, 16: 26). Sepanjang perjalanan kisahnya, kecuali detik terakhir bila mana leraian dalam bentuk azab yang digeruni tiba, digelumangi dengan maksiat yang melampaui batasan kerana sememangnya manusia bila berada dalam kealpaan dan keingkaran nikmat Allah serta pula menyombong diri, pasti melakukan kepelampauan melayani nafsu kebinatangannya sehinggalah mereka dimusnahkan oleh Allah.  Bukankah realiti masyarakat kita sekarang ini sedemikian rupa? Banyak yang sudah melampaui batas dalam persoalan melayani nafsu yang sememangnya tidak pernah puas terlayan pun sampai bila-bila. Dalam kealpaan, mereka ingkari nikmat Allah. Mereka menyombong diri. Dan mereka bergelumang dalam babak-babak yang umumnya diterima sebagai lucah, erotika, dan pornografi.”

“Jangan marahkan saya kalau terasa kelucahannya, terasa erotikanya, terasa pornografinya kerana saya hanya mematuhi tuntutan realiti masyarakat dalam berkarya. Saya tidak boleh berbohong dan cuba mengajak pembaca dari realiti masyarakat.  [Ayat ini bingung sedikit, maksudnya begini: Saya tidak boleh berbohong dengan mengajak pembaca lari dari realiti masyarkat yang memang sukakan maksiat dan tenggelam dalam maksiat. Saya cuba mengajak pembaca memahami realiti masyarakat.]  Kelucahan, erotika dan pornografi itu adalah real (huruf condong oleh Shahnon Ahmad sendiri); malah sudah pun melampaui batasannya di luar duga.” (Dewan Sastera, Oktober 1997, hal. 43, kolum 1).

Dua perkara perlu diberi perhatian: pertama, Shahnon Ahmad mendakwa beliau telah menyempurnakan tuntutan al-Quran dengan menulis sebuah novel lucah dan picisan; ini jelas menunjukkan betapa naifnya sasterawan negara ini menafsirkan ayat-ayat al-Quran, terutama sekali maksud dan tujuan kisah-kisah dalam al-Quran. Tafsiranya begitu literal, dangkal, dan mengelirukan.  Ini terjadi kerana konteks kisah-kisah al-Quran itu tidak difikirkan dengan mendalam dan diberi konteksnya yang dimaksudkan. Adalah amat malang apabila Shahnon Ahmad menjadikan al-Qruan sebagai hujah untuk menulis kisah lucah dan picisan, dengan itu merendahkan martabat al-Quran yang disalah tafsir. Pandangan sebegini naif sepatutnya tidak lahir daripada seorang sasterawan negara.  Kedua, kefahaman Shahnon Ahmad tentang makna dan maksud realiti adalah totok seperti yang difahami oleh para penulis Barat; malah beliau begitu naif sekali meletakkan realiti sebagai hanya kejahatan. Adakah maksud beliau kebaikan dan kesopanan bukan suatu realiti dalam kehidupan manusia?  Adakah suatu realiti yang tidak dapat disangkal bahawa para sasterawan Melayu, seperti yang ditunjukkan oleh Azizi Haji Abdullah dalam kutipan di atas,  memang gemarkan unsur-unsur masyarakat yang bersifat picisan, erotik, lucah dan segala macam keburukan untuk memudahkan mereka menulis karya sensasi, lucah dan picisan?  Sebenarnya inilah kesimpulan yang paling tepat mencirikan faham sastera yang dianuti oleh para sasterawan ini. Dan ini dibuktikan dengan amat jelas dalam seluruh laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang menerima realiti palsu anutan Shahnon Ahmad itu sebagai asas kreatif yang telah melahirkan karya bermutu yang layak diberi kedudukan sebagai karya bermutu dan penulisnya layak diberi gelaran Sasterawan Negara.

Betapa naifnya faham sastera berasaskan realisme Barat ini boleh dilihat dalam kesimpulan Shahnon Ahmad dalam rencananya: “Bagi saya TIVI bukanlah sebuah novelet yang layak dilucahi tapi tentunya sangat layak digeruni.  Dalam kegerunan azab Allah itulah tersebatinya unsur tarbiah, unsur jihad dan unsur sufistik dalam TIVI.”  (kolum 3).  Apakah unsur jihad, unsur tarbiah, unsur sufistik dalam sebuah karya lucah dan picisan yang menceritakan  dengan sombong, angkuh dan biadab persetubuhan seorang bapa dengan anak-anak perempuannya dan kelakuan biadab tokoh utamanya? Hanya faham realisme Barat saja yang boleh menerima kesimpulan Shahnon Ahmad yang bertentangan dengan realiti ilmu yang benar yang menolak kepalsuan kesimpulan Shahnon Ahmad ini.

Demikianlah betapa pentingnya teori sastera dan faham realisme Barat dicabar secara ilmiah. Inilah yang dilakukan oleh gagasan Persuratan Baru. Dalam konteks inilah, seperti yang ditunjukkan oleh Shahnon Ahmad dan Azizi Haji Abdullah, kesusasteraan Melayu moden itu membawa nilai palsu yang  bertentangan dengan nilai-nilai yang pernah dibangunkan dalam tamadun Melayu melalui persuratan Melayu berteraskan pandangan hidup Islam. Kesusasteraan Melayu moden, seperti yang dicontohkan oleh Azizi Hj. Abdullah dan Shahnon Ahmad (dua orang tokoh yang banyak sekali menerima hadiah sastera), adalah kesusasteraan Barat yang ditulis dalam bahasa Melayu, yang mencerminkan sepenuhnya nilai-nilai Barat dan hanya layak diberi sanjungan dalam konteks teori sastera Barat. Jika itulah pilihan para sasterawan dan para sarjana dan penilai, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, maka teori dan nilai sastera Barat yang dianuti oleh para sasterawan dan sarjana sastera itu perlu dicabar kesahihannya.  Inilah tugas besar penulis dan pengarang Malaysia abad 21.

Mohd. Affandi Hassan,
9 Mac 2012.