HADIAH-HADIAH UNTUK SASTERAWAN
Tulisan ini akan membicarakan dua perkara yang berkaitan, tetapi saling bertentangan. Pertama tentang hadiah sastera, termasuk Hadiah Nobel Sastera. Kedua mengenai persoalan peminggiran sastera yang ditimbulkan kembali oleh beberapa orang penulis. Kita mulai dengan persoalan pertama. Nampaknya para sasterawan sangat terkilan kerana belum ada di antara mereka yang dapat Hadiah Nobel, walaupun menurut mereka sudah ramai sasterawan Malaysia yang layak menerima hadiah itu. Malah karya mereka jauh lebih bermutu daripada karya penerima Hadiah Nobel sendiri (tidak disebut siapa mereka). Tiga empat nama disebut-sebut layak menerima Hadiah Nobel, termasuk seorang yang belum lagi diberi Anugerah Sastera Negara. Ini menimbulkan persoalan yang menarik. Nampak gayanya mutu Anugerah Sastera Negara lebih tinggi daripada Hadiah Nobel, sehingga seorang penulis novel yang belum layak diberi Anugerah Sastera dan bergelar SN dikira layak diberi Hadiah Nobel. Inilah kedudukan Anwar Ridhwan menurut SN A. Samad Said. Perkara ini dibincangkan dalam forum di DBP baru-baru ini, dilaporkan dalam Utusan Malaysia (11 Jun 2007). Jika benarlah hujah ini, maka amatlah wajar jika Anugerah Sastera dibuka kepada semua sasterawan dunia. Keputusan ini akan memberi kejutan kepada sasterawan dunia dan meningkatkan prestij sasterawan Malaysia, yang nantinya akan lebih memudahkan mereka dipilih untuk diberi Hadiah Nobel yang diidamkan itu. Mungkin mereka tidak perlukan Hadiah Nobel lagi ketika itu, kerana Anugerah Sastera lebih tinggi nilainya daripada Hadiah Nobel sendiri. Barangkali inilah cara promosi terbaik untuk sasterawan Malaysia, oleh itu perlu disokong oleh badan-badan penulis dan organisasi seperti DBP.
Untuk memuaskan hati para sasterawan, badan-badan penulis dan badan-badan kerajaan harus bersedia berbelanja besar untuk membuat promosi itu. Cadangan supaya karya sasterawan tertentu diterjemahkan ke dalam 30 bahasa dunia sekurang-kurangnya, jauh lebih mahal daripada cara promosi yang dicadangkan. Selain kos penerbitan yang tinggi kerana mutu buku mesti dijaga, kita juga akan menghadapi masalah timbunan buku yang tidak laku. Tidak pasti sama ada DBP sudah dapat mengatasi masalah buku tidak laku ini; tetapi yang pasti masalah ini amat berat dan belum bertemu penyelesaiannya. Oleh itu, adalah lebih ekonomik dan lebih mudah jika Anugerah Sastera Negara dibuka kepada penulis dunia, supaya para sasterawan kita mempunyai pengalaman bertanding dengan tokoh-tokoh dunia. Ini tidak jadi masalah kerana di kalangan sasterawan kita ada yang lebih baik daripada sasterawan dunia yang terbaik sekali pun. Jika cadangan ini dilaksanakan, maka sempurnalah pentakdisan sasterawan Melayu sebagai ahli waris sastera Barat yang begitu gigih mereka perjuangkan.
Cadangan ini mempunyai kaitan dengan masalah kedua yang semakin kerap diungkit sejak akhir-akhir ini, iaitu tentang wajibnya sastera dijadikan mata pelajaran wajib untuk semua pelajar, dari tadika hingga ke universiti, untuk memastikan mereka tidak terlepas peluang menikmati karya sasterawan Malaysia yang bermutu tinggi. Kata seorang penulis, peradaban Malaysia akan pincang, malah akan jadi tidak beradab, jika sastera disisihkan dalam sistem pendidikan negara. Kata para sasterawan pula, sastera lebih penting dari segala-galanya kerana sastera menampilkan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi dan beradab tanpa mengenal batasan budaya dan agama. Benarkah anggapan ini? Oleh sebab tidak diberikan contoh yang konkrit, maka hujah-hujah ini tidak dapat diterima. Para peneliti sastera yang objektif akan segera dapat melihat kepalsuan andaian ini kerana karya sastera yang kita baca, yang dicadangkan supaya dijadikan teks wajib kepada budak-budak sekolah itu, pada dasarnya mengajar anak-anak kita bersikap kurang ajar, biadab, menerima zina dan pergaulan bebas sebagai nilai moden yang penting, mengagumi syaitan dan sebagainya. Satu lagi aspek penting yang tidak pernah disebut ialah sifat pengajaran sastera di Malaysia cenderung untuk mengajar para pelajar menjadi bodoh. Isi dan analisis yang sangat lemah dalam karya sastera Melayu membuat pembaca menjadi lebih bodoh, bukan sebaliknya. Saya telah menulis dengan panjang lebar tentang perkara ini, cukup dengan contoh dan penghujahannya. Sesiapa yang ingin membahaskan perkara ini dan menolak kesimpulan saya bolehlah membaca tulisan-tulisan itu. Dalam hubungan ini, menarik juga pandangan seorang penulis yang berkata cara mengajar sastera yang dipakai sekarang, yang memberi penekanan kepada aspek struktur (dalam konteks yang sempit) membicarakan plot, perwatakan, tema dan sebagainya sudah tidak sesuai, sudah ketinggalan zaman. Oleh itu beliau cadangkan supaya “teori-teori baru” dan “teori-teori tempatan” diajarkan juga, supaya analisisnya beraneka ragam. Sekali imbas cadangan ini kelihatan bagus, tetapi jika dihalusi, cadangan ini akan hanya memindahkan klise struktur kepada klise baru dalam bentuk apa yang disebutkan teori-teori baru tadi. Ini memang telah terjadi dan agak meluas, apabila sering kali ditekankan oleh para sarjana dan penilai sastera bahawa karya yang bermutu dan yang baik adalah karya yang “melanggar adat”, yang absurd (gila-gilaan), yang biadab, yang mementingkan kejahatan dan mempersetankan moral dan akhlak. Jika anda tidak percaya, cubalah teliti laporan Anugerah Sastera Negara dan lain-lain laporan pemilihan karya pertandingan. Memindahkan klise lama kepada klise bentuk baru bukanlah kemajuan, tetapi hanya melunakkan kebodohan lama dalam bentuk baru. Maka itulah saya cadangkan gagasan Persuratan Baru, yang menilai karya berasaskan konsep ilmu yang benar. Mari kita bahaskan dengan mendalam apakah maksud konsep ilmu yang benar itu, dengan membongkar khazanah persuratan Islam yang dipertentangkan dengan “kemiskinan pemikiran” dalam teori-teori sastera moden. Jika anda tidak sanggup melakukannya, maka anda harus bersedia belajar terlebih dulu. Hal ini ditekankan oleh penulis yang sama, yang mencadangkan supaya diajarkan “seni membaca”. Bagi saya seruan ini sangat bagus, kerana saya sendiri sudah mencadangkannya sejak tahun 1970-an lagi; malah ketika membicarakan buku Sayembara II, saya secara khusus mengajak para sasterawan dan sarjana belajar membaca dengan betul. (Disiarkan dengan judul: “Para penulis, belajarlah membaca dengan betul” dalam majalah Widya bulan Mac dan April 1982). Kemuncak dari saranan ini ialah gagasan Persuratan Baru, yang melihat karya kreatif tidak lagi dalam konteks struktur melulu seperti yang masih dilakukan, tetapi dalam konteks ilmu yang benar dengan mempertentangkan konsep wacana dan cerita, dua konsep utama gagasan Persuratan Baru. Inilah penyelesaian kepada kemelut kekeliruan besar para sasterawan dan sarjana sastera sekarang.
Para sasterawan dan sarjana adalah keliru besar apabila mereka meletakkan sastera lebih tinggi daripada ilmu yang benar berasaskan konsep tauhid. Teori apa pun yang mereka pakai akan tetap mengelirukan mereka jika mereka enggan membetulkan konsep ilmu yang mereka anuti (sekiranya mereka penganut ilmu). Jika masalah ini tidak dibereskan, maka mereka akan tetap memandang tinggi karya sastera dengan memberi segala macam sifat dan ciri yang mereka suka, berasaskan kekeliruan pemahaman mereka tentang konsep ilmu. Oleh itu, seruan mereka supaya sastera dijadikan mata pelajaran wajib dalam pendidikan negara akan hanya menambah keliru para murid dan guru serta sarjana dan sasterawan. Yang kita perlukan sekarang bukan pendidikan atau pengajaran sastera, tetapi pendidikan estetika berasaskan konsep ilmu yang benar. Dalam konteks ini, kita berpindah dari sastera kepada persuratan, suatu perpindahan yang tidak dapat dielakkan jika kita benar-benar ingin melakukan “anjakan paradigma” seperti yang diriuhkan dengan gamat satu ketika dulu (kini sudah diam kerana ternyata mereka tidak mahu berubah kedudukan, kerana selesa berada dalam dunia sastera yang keliru itu). Jika hakikat ilmu ini difahami dan dijadikan asas analisis, maka kita akan dapat membaca dan menilai dengan objektif, tepat dan jitu semua karya sastera dari mana pun juga. Para sasterawan pun tidak lagi tergila-gila inginkan anugerah dan hadiah, kerana matlamat mereka sekarang ialah mencerdikkan bangsa mereka dengan menulis karya persuratan berasaskan konsep ilmu yang benar. Tidakkah ini pilihan terbaik bagi mereka? Oleh itu mereka tidak mempunyai hujah untuk menolaknya. Dari segi pendidikan pula, kita tidak lagi memberi tumpuan kepada para sasterawan yang keliru ini; tetapi akan memberi perhatian yang wajar kepada para pemikir kita yang menulis dalam konteks persuratan. Dengan mengalih tumpuan kepada pendidikan estetika, bukan hanya kepada pengajaran sastera, maka kita akan mendidik anak-anak kita menjadi cerdik dan gemarkan ilmu. Kemunculan para sasterawan sekitar tahun 1950-an, yang cuba dilanjutkan dan diperkukuh hingga sekarang, telah menyempitkan dan mengelirukan pandangan masyarakat terhadap ilmu, oleh itu telah memperbodohkan mereka. Inilah yang kita perlu ubah. Jika kita perlu membuang sastera dalam pengertiannya yang sempit dan keliru yang kita pegang sekarang, maka kita perlu berbuat demikian. Kita tidak harus membiarkan kebodohan itu terterusan untuk membina budaya pandirisme, dan merimbunkan dunia kreatif kita dengan karya-karya picisan yang dangkal, cetek dan keliru. Untuk sampai kepada kesimpulan seumpama ini kita perlukan kaedah analisis yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Ini tidak boleh diberikan oleh teori Barat. Wallahu a’lam. (11 Julai 2007)
(Mohd. Affandi Hassan)
Oakley Titanium sunglasses and Merkur
ReplyDeleteOakley Titanium sunglasses and Merkur titanium bmx frame Merkur Solingen 2018 ford fusion hybrid titanium adjustable safety thunder titanium lights razor. Description: Open head, open comb, closed comb, double-edge razor. titanium iv chloride Product type: titanium alloy MK-3100 $69.99 · Out of stock
i329w5bvzvg666 sex doll,dildos,glass dildos,dildos,sex toys,dog dildo,dildos,realistic dildo,realistic dildo h495c5boarw200
ReplyDelete