Saturday, October 24, 2020

PENTING: BACA KEMBALI TULISAN LAMA YANG TIDAK DIARKAN

 

Raja Adil Raja Disembah …

 

 

Dalam perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan perlente Keling yang diangkat menjadi raja mereka oleh rakyat Palembang, termaktub persetujuan bahawa raja tidak boleh memalukan rakyat, manakala rakyat pula tidak dibenarkan menderhaka kepada raja. Tidak disebut raja tidak boleh dihina jika melakukan kezaliman; oleh itu orang tua-tua telah meminda persetujuan itu melalui peribahasa mereka yang terkenal, Raja adil raja disembah; raja zalim raja disangggah. Tetapi peribahasa ini tidak boleh dipakai lagi, seperti banyak lagi peribahasa lain yang diharamkan selepas merdeka. Antaranya peribahasa berkaitan dengan gelaran “Keling” dan ular siapa dulu yang harus dibunuh, atau yang perahunya karam. Kini semuanya ditafsir dan dihukum mengikut istilah “ketuanan Melayu” yang dicipta oleh UMNO untuk mengabui mata orang Melayu sambil menakutkan orang bukan Melayu. UMNO mendakwa mereka telah diberi hak istimewa untuk mempertahankan “ketuanan Melayu” itu, oleh itu mereka boleh berbuat apa saja dalam konteks itu, termasuk menolak demokrasi jika didapati tidak memihak kepada mereka. Peristiwa di Perak adalah contoh paling baik membenarkan kesimpulan ini.

 

Dalam politik Malaysia moden, raja-raja Melayu telah mengkhianati rakyatnya dengan menyebelah kepada penjajah untuk menerima Malayan Union; tetapi raja-raja ini telah diselamatkan oleh para pembesar Melayu, golongan bangsawan Melayu, yang kehilangan kuasa dan kedudukan jika Malayan Union itu dilaksanakan. Golongan bangsawan dan para pembesar ini digunakan oleh Inggeris untuk melaksanakan projek kemerdekaan tajaan mereka, sebagai hadiah mereka kepada orang bukan Melayu yang telah menyokong mereka ketika perang. Orang Melayu menyokong Jepun dengan harapan akan diberi kemerdekaan selepas Jepun berundur. Dengan kemenangan Inggeris dalam Perang Dunia II, maka Inggeris meletakkan syarat yang ketat kepada pembesar Melayu jika mereka ingin merdeka mengikut tajaan Inggeris. Paling berat ialah persetujuan mereka untuk memberi kerakyatan kepada kaum pendatang secara total melalui jus soli. UMNO menerimanya sebagai hadiah kepada kebaikan Inggeris yang berjanji akan memerdekakan Tanah Melayu. Inggeris pun tunaikan janjinya, dan orang Melayu pun hilang Tanah Melayu; tetapi UMNO sangat gembira serta megah kerana raja-raja mereka telah diberi kedudukan tinggi oleh Inggeris dengan menyerahkan hal ehwal adat dan agama Islam kepada raja, sambil merampas semua kuasa lain yang seharusnya ada pada seorang raja tulen.

 

Walau bagaimanapun sejarah Tanah Melayu dan raja-rajanya ditulis, hakikat ini tidak dapat ditolak. Penenggekan raja-raja Melayu di atas takhta adalah bukti kegagalan perjuangan orang Melayu untuk mendapat kemerdekaan sebenar. Oleh itu mereka akan menghadapi masalah politik seperti di Perak sepanjang hayat dan sepanjang sejarah mereka. Demikianlah celakanya orang Melayu yang menerima perjanjian Demang Lebar Daun dengan perlente Keling yang dilantik orang Melayu menjadi raja mereka di Palembang, yang kemudiannya diturunkan di Tanah Melayu. Yang pertama harus berani menerima hakikat ini ialah ahli sejarah sendiri, yang telah mengkhianati sejarah bangsanya.

 

 

bertarikh 13 Februari 2009.

1 comment:

  1. Benarlah kata bidalan "sudah nasib celaka badan".
    Bangsa itu sendiri mengundang atau menempa kebinasaan.
    Sewaktu kuasa masih ada di tangan mereka terus rakus mengumpul kekayaan dan asyik dengan agenda memenuhi kepentingan nafsu sendiri.
    Akhirnya hak bangsanya, kepentingan kaumnya dan sebagainya yang dimiliki tergadai, kian hari kian tipis penguasaan dalam banyak sektor ekonomi, pendidikan dan lain-lain.
    Tidak dapat dibayangkan setelah sekian lama negara merdeka, kerajaan ditadbir oleh bangsanya berapa lagi yang tinggal atau berjaya dikembalikan?.
    Andainya kuasa yang sedikit yang ada itu hilang, bangsaku ini zahirnya tentu kehilangan kompas di bumi bertuah ini.
    Waktu kamu berkuasa ini sekadar mana kamu berjaya mengangkat martabat bangsaku?.
    Bangkitlah wahai bangsaku kerana kelalaian, kelekaan atau terpengaruhnya kamu dengan tipu-daya dunia ini mengakibatkan bangsa ini merempat, dihalau dan diperlakukan seperti anjing kurap..!!,
    Masihkah kamu wahai bangsa ini seluruhnya terutamanya para pembesar umat terlalu rendah dan hinanya kamu jika masih bercita-cita merebut kemewahan dengan mengabaikan amanah yang Tuhan pikulkan di atas bahu-bahu kita semua.
    Sekian salam bahagia selamat berjaya.
    Maju bersama janji-janji Allah SWT dan rasulNya.
    Terima kasih.

    ReplyDelete