Kemunculan the
poetics of adultery dalam sastera Melayu memberi wajah baru kepada
sastera Melayu, tetapi pada waktu yang
sama kita lihat betapa ceteknya para
sarjana ciritan yang tergila-gilakan sesuatu pendekatan Barat tanpa
memahaminya, oleh itu tidak dapat melihat pengaruh buruk yang jahat dibawa
masuk dalam sastera Melayu. Inilah yang
terjadi dengan kehadiran tesis Ph.D. yang diterbitkan dengan judul Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu
Bacaan Ginokritik, oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman. Buku ini menggunakan pendekatan feminisme
jenis ginokritik yang mengutuk peranan bapa sebagai ketua keluarga dan tidak
menerima kepemimpinan lelaki dalam apa juga keadaan kerana menurut Elaine
Showalter, yang memperkenalkan pendekatan ini, kaum lelaki adalah punca
kezaliman dalam tamadun manusia dari dulu hingga sekarang. Menurut beliau, wanita perlu dibebaskan dari
sebarang ikatan patriarki yang zalim itu, untuk bebas sebebas-bebasnya dalam
sebarang tindakan mereka. Inilah yang dipuja oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman
dalam bukunya ini, yang menjadikan perzinaan sebagai cara kaum wanita
membebaskan diri mereka dari sebarang ikatan terhadap lelaki. Tetapi amatlah
ironik, apabila pengarang wanita Ayu Utami masih memerlukan lelaki untuk
melakukan persetubuhan. Dari segi itu, lelaki masih berguna untuk memuaskan
nafsu seks wanita. Itulah makna
partriarki dari perspektif feminisme.
Bolehkah bidang kreatif di Malaysia dimajukan dengan mengasaskannya
kepada the poetics of adultery yang dihuraikan dengan baik sekali oleh
Dr. Norhayati Ab. Rahman?
Satu-satunya
cara berkesan untuk memajukan bidang kreatif di Malaysia untuk memberi maruah
intelektual ialah dengan kembali kepada konsep ilmu seperti yang diajarkan
dalam al-Quran, seperti yang dijelaskan dalam entri yang lepas. Satu-satunya
kaedah yang berkesan untuk digunakan ialah dengan menerima Persuratan Baru
sebagai metodologi yang terbaik yang dapat difikirkan oleh manusia ketika ini,
jika dibandingkan dengan apa juga teori
Barat yang menjadi candu para sarjana dan sasterawan Malaysia. Antara pengaruh Barat yang paling buruk kesannya kepada tamadun kita ialah kehadiran feminisme dalam sastera
Melayu. Seperti yang dijelaskan dalam entri yang lepas, feminisme
memecah-belahkan keluarga dan amat bertentangan dengan kepercayaan kepada
Tuhan. Ini juga telah dijelaskan dalam entri yang lepas. Keburukan feminisme boleh
dilihat dengan jelas dalam buku Puitika
Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia:
Satu bacaan Ginokritik, yang menjadikan perzinaan sebagai asas puitika itu.
Hakikat ini tidak disedari oleh para sarjana dan
sasterawan kerana sensitiviti intelektual mereka telah tertutup rapat oleh
pengaruh teori sastera Barat, yang mereka jadikan tempat rujukan dan
pergantungan akademik. Pengaruh ini kemudiannya melahirkan pandirisme dalam
sastera Melayu.
Cara
berfikir Pak Pandir diberi kedudukan istimewa oleh cucunya, Polan Cupan,
seorang genius yang menggunakan AI (Artificial
Intelligence) untuk mencipta bahan binaan yang mesra alam: ketika musim
panas mencurahkan kesejukan yang diperlukan; manakala ketika sejuk memberikan
kepanasan yang diperlukan. Persis inilah yang terjadi di Andalus di Masjid
Cordoba. Masjid yang indah itu memancarkan cahaya pada waktu malam yang
disimpan daripada cahaya siang, cukup untuk para jemaah beribadat dengan selesa
sambil membaca kitab; waktu siang pula ketika di musim panas cuaca di dalam masjid
menjadi sejuk. Idea itulah yang digunakan oleh Polan Cupan untuk mencipta bahan
binaannya, seperti yang diceritakan oleh pencerita dalam kisah “Rumah Impian
Polan Cupan”.
Kalau orang
Melayu boleh terhibur, sambil mengkritik dan menyindir, melalui cerita-cerita jenaka mereka, maka
demikian itulah yang berlaku kepada Polan Cupan, sang genius yang tidak
dikenali oleh para sarjana dan sasterawan kerana kisahnya yang pelik itu tidak
diketahui mereka kerana mereka tidak membacanya akibat kebencian mereka kepada
watak Polan Cupan yang cerdik itu.
Bezanya, mereka yang moden dan terpelajar itu tidak terhibur dengan
kemunculan Polan Cupan; dan setelah mereka tahu Polan Cupan adalah keturunan
Pak Pandir, maka mereka menjadi sangat benci kepada teknik bercerita yang
kemudiannya melahirkan Hikayat Buyung
Lurus dan Hikayat Salim Adil. Dua orang tokoh besar persuratan Melayu ini
melenyapkan sama sekali kemegahan palsu para sasterawan negara yang tidak
seorang pun di antara mereka berjaya melahirkan watak agung dalam karya mereka.
Adakah seorang pelacur, misalnya, layak dipanggil seorang watak agung, yang
menjadi obsesi seorang sasterawan negara? Watak ini mudah diceritakan, kerana
tidak memerlukan pemikiran mendalam untuk membinanya seperti yang terjadi
terhadap perwatakan Buyung Lurus dan Salim Adil. Apatah lagi jika diambil watak Polan Cupan yang
aneh itu, padahal dia keturunan Pak Pandir. Bagaimana seorang keturunan Pak
Pandir muncul sebagai seorang tokoh yang lebih cerdik daripada para sasterawan
negara dan sarjana sastera sendiri?
Itulah kekuatan kreatif yang
lahir dari Gagasan Persuratan Baru. Suatu kejadian biasa, yang hanya
wujud dalam khayalan, diberi makna baru yang boleh mencetuskan pemikiran kreatif
yang segar, yang hanya dapat diterjemahkan dalam karya kreatif oleh seorang
pengarang yang mempunyai pengetahuan yang luas.
Inilah yang melahirkan karya hikayat moden seperti Hikayat Buyung Lurus dan Hikayat
Salim Adil. Tiga karya ini, tentang Polan Cupan, Buyung Lurus dan Salim
Adil, jika dianalisis dengan kritis akan menghasilkan kesedaran peri pentingnya tentang aspek perwatakan yang kuat dalam
karya kreatif. Antara kelemahan paling
besar, yang amat menonjol pula, dalam karya kreatif Malaysia ialah kelemahan
dalam perwatakan, seperti yang telah saya huraikan ketika membicarakan karya
Anwar Ridhwan.
Bagaimana
seorang keturunan Pak Pandir muncul sebagai seorang tokoh yang lebih cerdik
daripada para sasterawan negara dan sarjana sastera sendiri? Sebelum lahirnya Gagasan Persuratan Baru,
pertanyaan seumpama ini tidak pernah ditanyakan dalam sastera Melayu kerana
keterbatasan ilmu para sasterawan sendiri.
Yang mereka lakukan hanya bercerita, dan ini masih diteruskan dalam
karya para sasterawan negara sendiri.
Dengan memberi penekanan kepada cerita dalam konteks penglipur lara,
maka karya kreatif tidak mempunyai wacana pemikiran, kecuali hanya cerita.
Perbezaan ini sangat jelas jika anda membaca dengan kritis Balai Maqamat, sebuah karya yang dibina daripada dialog yang
melatari setiap episod dalam karya itu.
Jika anda membaca dengan kritis dan kreatif Balai Maqamat, anda akan dapati karya itu memberi tumpuan utama
kepada pemikiran, tetapi tidak meninggalkan cerita, sebaliknya cerita digunakan
untuk menjadi wadah pemikiran yang diwacanakan dalam karya itu. Contoh terbaik untuk memahami kesimpulan ini
ialah “Rumah Impian Polan Cupan”.
Inilah
bentuk perkembangan baru yang sering diungkit oleh Panel Anugerah Sastera
Negara, tanpa memberi sebarang penjelasan yang konkrit tentang makna dan maksud
pembaharuan itu. Tidak terdapat apa-apa pembaharuan dalam
karya para sasterawan negara; sebaliknya yang terdapat ialah peniruan teknik
dan gaya yang dikagumi oleh para sasterawan negara ketika membaca karya Barat,
lalu mereka tiru dan jadikan asas penulisan karya mereka. Semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara
membuktikan kayanya peniruan ini dalam penilaian mereka. Saya sudah bincang persoalan ini dalam blog
ini, oleh itu saya tidak perlu mengulasnya lagi. Sesiapa yang berminat boleh membacanya
sendiri. Tetapi ada dua persoalan besar
yang ingin saya ketengahkan untuk kesekian kalinya, kerana memang sifat manusia
pelupa dan tidak peduli walaupun berada dalam khusran.
Perhitungan
untung rugi dari perspektif kebendaan telah diberi peringatan oleh al-Quran
dalam suatu sedutan ayat yang pendek saja, tetapi dari segi makna mengandungi
amaran yang amat besar. Inilah dia: “Nuwallihi
ma tawalla”, yang diterjemahkan oleh John Penrice dalam bukunya, Dictionary
and Glossary of the Koran (London: Curzon
Press, 1873; new edition 1971, reprinted 1976), hal. 163), sebagai berikut, “We
will put it into his power to follow the bent of his inclination”).
Apa yang
jelas daripada kutipan al-Quran ini ialah perihal kebebasan penuh diberikan
kepada Dr. Norhayati Ab. Rahman untuk berbuat apa saja yang dia mahu. Jika kita
terjemahkan keratan ayat itu dalam loghat Kelantan, kita boleh berkata: “Lah gi
lah; buat apa mu nak!” Cuba kita lihat
tafsiran Muhammad Asad: “him We shall
cause to turn to that to which he himself has turned”. Menurut Muhammad Asad ungkapan
ini merupakan “a stress on mans’s freedom of choice” (hal. 127, nota 139 Tafsirnya: The
Message of the Qur’an.) Bagi saya
nampaknya lebih jelas ialah tafsiran yang diberikan oleh Penrise. Cuba lihat
pula terjemahan M. Quraish Shihab dalam
tafsirnya, Tafsir al-Mishbah, jilid
2, hal. 717: “Kami arahkan dia ke arah yang dipilih”. Nampak macam innocent, tetapi lihat implikasinya: “dan Kami masukkan dia ke
dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” Cuba kita lihat kembali makna ayat ini dalam
konteks ginokritik yang melahirkan buku agung karya Dr. Norhayati Ab. Rahman,
yang mendapat hadiah-hadiah “berprestij”.
Barat
mencipta dua jenis budaya: budaya betina (feminisme); budaya jantan
(humanisme). Budaya feminisme adalah
gambaran penyakit jiwa yang dialami oleh wanita Barat, yang tidak puas hati
menjadi betina, tidak pula boleh menjadi jantan, kerana kekangan alat jantina
masing-masing yang amat berbeza. Fungsi keduanya juga berbeza: yang betina akan
basah ketika mahukan jantan; yang jantan akan keras ketika mahukan betina. Ini
benar-benar dunia binatang kerana itulah caranya binatang mengawan. Kenyataan
ini digambarkan dengan cukup cantik oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam bukunya.
Apa yang dianalisisnya ialah kebinatangan manusia dalam penulisan, yang
digambarkan dalam karya Ayu Utami yang menjadi teras huraian Dr. Norhayati Ab.
Rahman tentang feminisme. Adakah Dr.
Norhayati Ab. Rahman tidak sedar tentang perkara ini? Jika beliau sedar,
tentulah beliau akan dapat melihat kepalsuan konsep feminisme yang kini menjadi
penyakit jiwa baru dalam budaya Barat. Anda boleh baca semua ini jika anda
meneliti buku-buku tentang feminisme; terutama sekali buku Prof. Mimi Marinucci, Feminism is Queer. Dalam
konteks inilah para sarjana yang membawa masuk feminisme dalam sastera Melayu
sebenarnya membawa mala petaka besar yang mendekati syirik dan ajaran sesat
dalam budaya ilmu yang menjadi pegangan kita selama ini. Kita perlu bincang
aspek ini dengan mendalam sebelum golongan ini membawa pembacanya yang cetek
ilmu pergi lebih jauh dalam mala petaka ajaran sesat dalam budaya Barat ini.
Anda boleh melihat semua ini jika anda menelitinya dari perspektif psikologi
Freud. Anda harus sedar, budaya Barat
diasaskan kepada konsep pemberontakan
yang tidak mahu menerima adanya Tuhan kerana bagi mereka sudah lengkap jika
diikuti sifat kebinatangan manusia dengan menghuraikannya secara falsafah
modenisme dan pascamodernisme.
Pemberontakan ini adalah bermula dari keengganan Iblis menerima Nabi
Adam ‘a.s., walaupun Iblis mengaku adanya Tuhan dan dia sendiri dicipta oleh
Allah SWT daripada api, kerana itulah
Iblis menggunakan logik Iblisnya dengan mengatakan api itu lebih tinggi
darjatnya daripada tanah yang menjadi unsur manusia. Inilah gerakan yang melahirkan the poetics of adultery
yang dihuraikan dengan begitu bergaya oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam
bukunya, berasaskan feminisme yang menolak bulat-bulat al-Quran, Surah An-Nisa,
ayat pertama (disalin dengan lengkap dalam entri yang lepas dengan
huraiannya/tafsirnya sekali). Apa yang
dikembangkan dalam budaya Barat adalah persis seperti yang ditegaskan dalam
An-Nisa, ayat 115 yang disalin di atas. Adakah
keadaan inilah yang melahirkan the poetics of adultery itu?
Jawapannya
diberikan oleh seorang sarjana terkenal yang menulis buku Puitika
Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik, oleh Dr.
Norhayati Ab. Rahman. Buku ini serius,
kerana inilah sebuah buku yang memperkenalkan the poetics of adultery
dalam sastera Melayu, yang sebelumnya tidak wujud. Tetapi dari perspektif lain, jika kita
melihatnya dari perspektif pandirisme, maka buku ini menggambarkan dengan
cantik sekali kepalsuan faham feminisme yang menjadi anutan sarjana ini dan
para sasterawan dan sarjana sastera sendiri. Apakah yang aneh tentang
feminisme? Seperti yang dijelaskan dalam entri yang lepas, yang memakai tajuk the
poetics of adultery, kita dapati feminisme menolak konsep ilmu dan asal
usul manusia dari Nabi Adam ‘a.s.; sebaliknya feminisme menerima pendapat
seorang wanita Amerika yang bernama
Showalter yang mencipta “teori” patriarki yang diberi nama oleh beliau gynocritic. Kelahiran teori ini mendorong seorang ahli
falsafah menulis sebuah buku, Feminism is
Queer (dalam bahasa Melayu boleh diterjemahkan, Feminisme Itu Tidak Siuman, yakni gila. Sekiranya anda mempunyai
terjemahan yang lebih baik, sila kemukakan untuk diabadikan dalam perbincangan
tentang feminisme di Malaysia.) Mengapa
hal ini terjadi? Jawapannya cukup mudah. Para sarjana dan sasterawan yang
menolak konsep ilmu yang benar ini dan tidak menerima sumber ilmu dari
al-Quran, mempersetankan Gagasan Persuratan Baru yang berasaskan konsep ilmu
yang benar, sebaliknya menerima “teori” palsu sarjana Amerika hanya untuk
mereka tayangkan kepada teman-teman mereka bahawa pengetahuan mereka tentang
kritikan sastera adalah up- to- date,
paling terkini. (Sebenarnya idea Showalter itu muncul dalam tahun 1970-an, jadi
tidaklah baru!). Mereka ini ibarat ikan
yang sudah masuk tembilai (ejaan dalam kamus “tembilar”, saya pakai loghat
Kelantan; sebelah Kedah dan daerah utara mereka panggil “bilai”), tidak
boleh keluar lagi. Orang-orang yang
terpengaruh dengan sikap “sesat Barat” (ini ungkapan biasa di kalangan orang
kampung yang nampaknya jauh lebih cerdik daripada para sarjana ciritan ini)
akan berhabisan mempertahankan
kekeliruan mereka, kerana dengan itu saja mereka boleh mengekalkan kedudukan
mereka yang palsu itu. Kedudukan itu menjadi palsu kerana ketergantungannya
kepada teori palsu yang golongan ini jadikan panduan mereka. Amat aneh apabila golongan ini lebih
mempercayai pendapat peribadi sarjana Barat daripada wahyu yang terdapat dalam
Quran. Mengapa hal ini terjadi tidak
seorang pun dari mereka yang mahu berterus terang. Kelakuan begini sangat pelik
bagi seorang sarjana yang mengaku selalu objektif, tidak ada nada kelentong
sedikit pun. Soalnya, mendiamkan diri sebenarnya adalah sejenis kelakuan
kelentong yang nyata.
Pendukung feminisme di Barat jelas terdiri daripada
mereka yang menghadapi penyakit jiwa yang teruk. Mereka ingin jadi binatang,
tetapi dilahirkan sebagai manusia yang tidak puas hati kerana lahir sebagai
perempuan yang terpaksa menghadapi patriarki… Tidakhah ini sejenis kegilaan?
Feminis adalah golongan ahli sihir zaman moden. Kerana menolak Tuhan dan etika
kemanusiaan, hidup mereka tak tentu arah. Tak tahu makna keadilan, tak tahu
konsep ilmu, terlalu kecewa sebagai perempuan dengan mengkritik lelaki yang
jahat!!! Anais Nin, simbol penipuan para
feminis dunia (ini kesimpulan penulis biografi beliau dan pengkritik Anais); yang menulis tentang beliau
pun sedar Anais Nin seorang pembohong. Itulah feminisme dalam wajahnya yang
sebenar, yang amat jelas ditunjukkan dalam buku
Dr. Norhayati Ab. Rahman itu yang amat jelas beliau begitu terpesona
dengan Ayu Utama, seorang Anais Nin di Nusantara. Apakah sebenarnya yang mendorong Dr.
Norhayati Ab. Rahman menulis tesisnya tentang ginokritik ciptaan Elaine Showalter
itu? Satu misteri yang perlukan jawapan, tetapi yang boleh menjawabnya hanya Dr.
Norhayati Ab. Rahman sendiri. Tak
mungkin beliau akan memberi penjelasan, kerana ini akan menjadi pengakuan
kepada kesilapan akademiknya, yang tidak akan dapat diterima olehnya walaupun
beliau telah melakukan kesalahan besar sebagai seorang Islam yang bertaqwa. Satu-satunya jalan keluar yang terbuka ialah
seperti yang saya pernah cadangkan, supaya beliau membawa bukunya untuk dikaji
dengan teliti oleh JAKIM. Sayang, itu
pun beliau tidak mahu lakukan. Pilihan
beliau tepat sekali dengan Ayat 115, Surah An-Nissa’ itu: “Kami arahkan dia ke arah yang dipilihnya”.
Kesimpulan dan Amaran.
Perhatikan
ayat 34 ini yang juga terdapat dalam Surah An-Nissa’: “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum
wanita, oleh sebab Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas
sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan
sebahagian daripada harta mereka. …” Kalau
anda masih mahu menggunakan istilah “feminisme”, maka inilah “feminisme” dalam
Islam, yang menerima kedudukan lelaki sebagai pemimpin kaum wanita. Andainya Dr. Norhayati Ab. Rahman membaca Surah An-Nisa’ dan tafsirnya, tetapi masih
mahu menjadi pengikut Elaine Showalter, maka seratus persen jelas beliau adalah
golongan yang menolak al-Quran sebagai sumber ilmu. Dan sesiapa juga yang menerima dan memuji
buku Puitika
Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik, terutama sekali para juri yang memilih buku
ini untuk diberi hadiah “berprestij” itu, maka mereka juga adalah golongan
ingkar ilmu, yang dari pandangan al-Quran adalah para pengikut Iblis yang
menolak kehadiran Nabi Adam ‘a.s. dan peranan lelaki dalam kehidupan manusia
seluruhnya. Rujuk kembali ayat pertama An-nisa’. Dengan itu amat jelas mereka
adalah penyokong the poetics of adultery dalam sastera Melayu.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 18 Februari 2018.
No comments:
Post a Comment