Saturday, February 24, 2018

HIKAYAT SALIM ADIL SEBAGAI SEBUAH KARYA INTELEKTUAL



Musibah dan kecelakaan paling besar yang dihadapi sastera Melayu ialah apabila muncul the poetics of adultery yang diterima oleh para sarjana sebagai satu perubahan penting dalam penyelidikan sastera dan dalam kritikan sastera. Pada waktu inilah Hikayat Salim Adil muncul untuk mencabar kejahatan intelektual dalam sastera Melayu yang dibawa oleh seorang sarjana yang memperkenalkan the poetics of adultery itu.  Penulis buku the poetics of adultery ini menolak konsep ilmu dalam al-Quran, sebaliknya menerima “teori” feminisme Elaine Showalter yang beliau namakan ginokritik.   Akibatnya karya sastera yang langsung tidak ada kualiti pemikirannya diangkat sebagai karya yang bermutu yang telah memperkenalkan perubahan yang amat penting dalam penulisan kreatif, dipelopori oleh Ayu Utami.  Adakah karya perempuan muda Indonesia ini bermutu dari segi pemikiran dan pengolahan tema yang benar-benar mencabar daya intelek pembaca?  Tidak. Buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik, adalah sebuah karya picisan yang sama sekali tidak ada kualiti akademiknya. Beberapa entri blog ini telah mengupas persoalan ini.  Yang terserlah ialah sikap berani penulis buku ini menolak wahyu sebagai sumber ilmu, dengan itu beliau tidak  ada kemampuan untuk membezakan  perbuatan mungkar dengan makruf. Perzinaan yang diceritakan dalam novel-novel yang dipilihnya dijadikan asas the ethics of adultery itu. Inilah yang dijadikannya sumber kajiannya, kerana menurutnya karya-karya picisan dan lucah itu mengandungi pemikiran yang mendalam dari segi feminisme berasaskan konsep ginokritik itu.  Sedikit catatan telah saya masukkan dalam Hikayat Salim Adil, hal. 57-58.

Apakah yang dimaksudkan dengan karya intelektual, atau sering juga di sebut sebagai karya pemikiran?  Saya cuba mencari jawapannya dalam timbunan karya para sasterawan negara, atau dalam  longgokan kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara. Tidak bertemu. Yang dapat kita lihat di situ ialah penggunaan pelbagai “pendekatan” kritikan Barat yang digunakan untuk memuji karya para sasterawan negara. Tidak sebuah pun dari jumlah kertas kerja yang besar bilangannya itu terdapat satu analisis yang kritis dan kreatif membicarakan sumbangan para sasterawan negara ini dari segi “pemikiran”.  Oleh itu, apakah jenis “pemikiran” yang dilontarkan oleh para penulis kertas kerja ini? Hanya ocehan, atau idle talk, yang bersifat bullshit, atau hogwash, yang semuanya ditulis dalam kerangka pandirisme.  Dewan Bahasa dan Pustaka yang kaya dengan peruntukan untuk memajukan sastera tidak berusaha menerbitkan edited version semua kertas kerja ini, atau sekumpulan pilihan yang disunting secara akademik.  Kita sudah mempunyai beratus profesor sastera; tidakkah salah seorang dari mereka boleh membuat kerja penyuntingan itu? Jika mereka perlu wang, atau upah, beri mereka tiga ratus atau hingga 500,000 untuk menghasilkan kumpulan tulisan itu untuk dikerjakan seorang atau beberapa orang yang boleh dibayar daripada jumlah wang yang besar itu.  Sudah acap kali saya membuat cadangan dalam blog ini supaya karya para sasterawan negara ini dinilai sehabis kritis, sebaik-baiknya dari perspektif ilmu.  Tidak munasabah jika tiada seorang pun para sarjana yang ramai itu boleh mengerjakan projek ini. DBP mesti rajin menghubungi mereka dengan mengemukakan kertas cadangan yang jelas untuk mereka pertimbangkan. Jika dipersetujui, lebih bagus jika dikumpul beberapa orang sarjana dalam satu pertemuan untuk memberi cadangan mereka, supaya projek ini benar-benar mencapai kualiti yang kita harapkan. Perkara yang sama  boleh juga dikerjakan oleh ITBM, jika DBP tidak berminat. Tentulah sangat berguna jika kita dapat pandangan yang betul-betul kritis, yang mengarah kepada penerokaan keistimewaan para sasterawan negara ini daripada perspektif ilmu. Kertas kerja seminar tentang mereka tidak berapa berkualiti jika dinilai dari segi akademik. Pendekatannya terlalu bersifat popular dan hanya ingin memuji. Dengan kemunculan Hikayat Salim Adil, penerokaan yang dimaksudkan itu menjadi lebih mudah kerana sudah ada ukuran yang boleh dipakai dan dijadikan perbandingan. Saya harap ada pihak yang berminat dalam projek penting ini, demi untuk kebaikan sastera Melayu dan untuk para sasterawan negara juga.

Dengan terbitnya Hikayat Salim Adil, perkembangan penulisan kreatif di Malaysia memulai zaman baru yang mencabar para penulis dan para sasterawan untuk menghasilkan karya yang benar-benar bermutu, yang boleh menandingi Hikayat Salim Adil dari segi pemikiran dan pengolahan persoalan semasa. Hikayat Salim Adil kini menjadi batu tanda dari segi kualiti pemikiran dalam karya kreatif yang berbentuk cerita.  Pada waktu ini amat kurang para sarjana yang boleh membicarakan masalah pemikiran dalam karya kreatif, oleh itu sukar untuk mendapat pandangan kritis daripada para sarjana sastera atau pengkritik sastera yang boleh membicarakan Hikayat Salim Adil dengan jujur dan objektif.  Terlalu jelas betapa lemahnya kualiti kesarjanaan mereka ini yang tidak berupaya memberi sumbangan idea apabila sesuatu karya baru yang mencabar diterbitkan, seperti Hikayat Salim Adil ini.  Oleh sebab mereka ini dari segi majoritinya berada dalam Mutual Admiration Club, maka penulis yang mereka anggap tidak layak berada dalam kelab mereka tidak layak pula karya mereka dipilih untuk dibicarakan, walaupun karya yang berada di luar lingkungan Mutual Admiration Club itu jauh lebih bermutu dan lebih baik daripada sebarang karya yang ditulis oleh anggota Mutual Admiration Club ini.  Anggota kumpulan ini lebih berminat untuk melindungi habuan yang mereka perolehi sebagai anggota Mutual Admiration Club, dengan itu mereka menolak dan menyisihkan sesiapa juga yang mereka anggap bukan anggota mereka.  Mereka berusaha gigih untuk mengekalkan kedudukan ini, bukan mengembangkan budaya ilmu yang sah dalam perkembangan intelektual Malaysia. (Catatan: anda perlu baca entri bertarikh 22 November 2017;  1 Disember 2017;  2 Dsember 2017; 6 Disember 2017 dan beberapa entri lagi selepasnya.)

Sumbangan penting, dan paling utama, yang diberikan oleh Hikayat Salim Adil ialah dari segi sumber ilmu berasaskan al-Quran, yang menjadi tunjang karya ini yang dengan itu karya ini termasuk sebuah karya moden persuratan Melayu.  Ini memberi takrif baru dan teknik baru dalam penulisan naratif di Malaysia, barangkali juga di dunia. Hikayat Salim Adil menyerap cerita (naratif) dan kritikan (literary criticism)  dalam satu acuan yang unik, menggunakan konsep ilmu yang benar sebagai asas penulisan kreatif, yang belum pernah dicuba oleh mana-mana pengarang dunia. Dilihat dari segi ini pun para sarjana Malaysia sepatutnya berminat untuk menganalisis dan mengkritik karya ini agar lebih terdedah kepada analisis yang seratus peratus berasaskan pemikiran yang bersumber daripada konsep ilmu yang benar. Anda tidak lagi boleh menolak hakikat ini, kerana kini sudah tercokol karya yang mencabar kemampuan intelektual dan kemampuan akademik anda untuk dikritik dan dinilai dengan objektif, sesuai dengan kedudukan anda sebagai para sarjana sastera yang berwibawa dan mempunyai kedudukan akademik yang berprestij pula.  Apakah yang menghalang anda daripada muncul dengan gagah membicarakan perspektif baru dalam perkembangan sastera Malaysia?  Mahu tidak mahu, anda tiada pilihan, melainkan menerima kehadiran Gagasan Persuratan Baru sebagai alternatif kepada konsep sastera yang sudah kehilangan taring dan tidak relevan lagi dengan perkembangan ilmu di Malaysia sekarang.   Peranan PB sebagai alternatif sudah dibincangkan dengan amat jelas oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam tulisan dan analisis mereka; juga dalam tulisan Dr. Zulkarnain Muhammad.  Prof. Emeritus Muhammad Bukhari Lubis dalam syarahan perdana beliau memberi ruang yang agak panjang kepada perkembangan baru ini. (Rujuk syarahan perdana beliau, Kesusasteraan Islami Bandingan: Menyingkap Tabir Mengungkap Fikir, diberikan di UPSI pada 2 Mei 2017.)  Di bawah tajuk “Fikrah Mohd. Affandi Hasaan” (hal.15-18), beliau membicarakan  beberapa aspek Gagasan Persuratan Baru, yang ditakuti oleh para sarjana sastera itu.

Perkembangan terbaru ini memberi kedudukan yang kukuh kepada konsep ilmu yang benar dalam persuratan Melayu, dengan itu meletakkan konsep sastera di tahap kedua sebagai konsep yang tidak lagi  relevan dengan perkembangan terbaru ini.  Inilah konteks yang melahirkan Hikayat Salim Adil.  Para sarjana dan sasterawan mahu tidak mahu terpaksa menerima perkembangan terbaru ini dan perubahan kedudukan sastera dalam perkembangan intelektual Malaysia.  Cabaran ini cukup besar untuk dinyahkan begitu saja. Cabaran ini mesti dihadapi, kerana itulah yang terjadi di Barat sekalipun apabila sesuatu teori dicabar dan yang tercabar, seperti New Criticism akan terkeluar dari kedudukannya walaupun masih terpakai untuk maksud tertentu yang akan ditentukan oleh para sarjana sendiri.  Tidak patut sarjana dan sasterawan Malaysia sampai lari masuk tandas tergesa-gesa kerana ketakutan apabila PB meletakkan sastera di tingkat kedua dalam perubahan paradigma yang memang amat dikecohkan oleh para sarjana dan sasterawan satu ketika dahulu, yang tidak berapa lama sebenarnya. Lagi pula, Panel Anugerah Sastera Negara memang meneriakkan dengan lantang betapa perlunya perubahan dan pembaharuan dikemukakan oleh para sasterawan dan juga para sarjana. Bacalah laporan mereka, jika anda ragu-ragu.

Walaupun kita tahu pengaruh Mutual Admiration Club sangat kuat dalam sastera Malaysia, namun tidak semua penulis menjadi anggota badan tidak berdaftar yang amat berpengaruh ini.  Kedudukan Mutual Admiration Club dalam sastera Malaysia merupakan satu kecelakaan (bahasa Inggeris, a disaster)  dalam perkembangan intelektual. Dari segi makna dan matlamat kumpulan ini, kemunculan mereka sejak 1973 (dikesan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh) hanya untuk menjaga kepentingan suku sakat mereka, bukan kepentingan sastera.  Pelantikan para sasterawan negara adalah pelantikan daripada kumpulan mereka sendiri. Bukti yang paling jelas ialah pemilihan Baha Zain yang lama tertunda, kemudiannya dilantik setelah tiada lagi calon yang layak, sehingga ditegur oleh Shahnon Ahmad bahawa Baha Zain tidak melahirkan karya yang melayakkannya dijadikan sasterawan negara.  Kalau betul tuduhan yang serius ini, bagaimana dengan tiba-tiba beliau menjadi sasterawan negara?  Jawapannya mudah. Itulah bukti kekuatan Mutual Admiration Club. Sahabat karib tokoh ini menggesa pengkritik sastera Malaysia mencontohi tokoh kecil ini dalam menulis kritikan.  Yang menjadi masalah, beliau tidak menghasilkan buku yang berkualiti, hanya tulisan eceran yang bersifat popular. Beliau tidak mempunyai kaedah tertentu dan tidak juga falsafah (?) kritikan yang hebat. Apabila saya mencabar dua orang tokoh ini belajar dari Gagasan Persuratan Baru, mereka berdua terus menikus. Sepatutnya mereka bangkit dengan gagah perkasa menolak PB berterus terang berasaskan hujah dan bukti yang jelas. Inilah sandiwara anggota Mutual Admiration Club ini, sehingga tidak puas dengan cerita lucu ini, salah seorang dari mereka naik ke bumbung kilang berkarat untuk mencari ilham untuk menulis kertas kerja dalam satu seminar besar 2014; tetapi hasilnya? Semua orang tahu!

Membaca dengan kritis Hikayat Salim Adil, boleh membantu anda memahami PB dengan lebih mudah.  Saya akan membicarakan beberapa tajuk yang mungkin boleh membantu anda mengenal PB lebih dekat dan bagaimana prinsip-prinsip yang terdapat dalam PB dipakai untuk menulis karya cereka yang memberi  tumpuan kepada pemikiran.  Di kalangan para sasterawan, yang dimaksudkan dengan pemikiran itu hanyalah campakkan (lontaran) nasihat atau kutipan dari al-Quran atau hadis atau daripada kutipan kata-kata tokoh terkenal. Itu bukan pemikiran. Yang kita maksudkan dengan pemikiran itu ialah yang terdapat dalam Hikayat Salim Adil dan Hikayat Buyung Lurus. Cara mengadunnya dijelaskan dalam perbincangan yang terdapat dalam Balai Maqamat.  Tiga buah karya ini perlu dibaca bersama untuk dapat melihat bagaimana “pemikiran” dijelmakan dalam karya kreatif mengikut acuan Gagasan Persuratan Baru.  Balai Maqamat sebenarnya memberi ulasan selari kepada setiap karya yang dimuat dalam buku itu.  Jika anda ikuti perbincangan “pengarang” dengan sahabatnya anda akan mendapat beberapa idea mengenai penulisan kreatif berasaskan PB.  Dua buah hikayat di atas menunjukkan bagaimana ini  dapat dilakukan.

Bagaimana “pemikiran” dijelmakan secara kreatif  mengikut acuan Persuratan Baru? Saya akan bincang secara ringkas dalam tulisan ini. Perbincangan yang lebih menyeluruh sudah diberikan dalam buku-buku mengenai PB, antaranya Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2 (UKM 2014). Anda boleh rujuk di sana untuk mendapat penjelasan lanjut.  Di sini saya akan memberi beberapa petunjuk yang boleh digunakan untuk memahami persoalan ini. 

Pertama sekali, PB membezakan antara peranan wacana dan cerita. Yang utama adalah wacana  yang menjadi wahana kepada pemikiran, yang disampaikan melalui bantuan cerita. Oleh itu cerita berada di tempat kedua, menerima arahan dari wacana dalam membina karya kreatif yang mengutamakan ilmu. Ini dilakukan melalui penggunaan ruang naratif yang dibina sesuai dengan matlamat karya itu sendiri. Maksudnya, ruang naratif memberi fokus kepada persoalan utama. Misalnya, anda mahu bercerita tentang peranan riba dalam perbankan: sejauh mana riba itu memainkan peranan dalam perkembangan ekonomi, dan melihat bagaimana sistem kewangan Islam dibina atau diwujudkan. Kita sampai kepada masalah Baitul Mal. Apakah peranan Baitul Mal dalam sistem kewangan Islam dan bagaimana ini boleh diwujudkan dalam sistem ekonomi modern yang berasaskan kapitalisme? Ini persoalan besar yang belum lagi dibicarakan secara kreatif dalam sebuah novel. Sesiapa yang berminat dan tahu selok-belok sistem ekonomi moden dan tahu pula konsep ekonomi Islam, boleh membantu masyarakat menulis sebuah karya ilmu berasaskan persoalan ini. Jika anda mahu menulisnya, maka persoalan yang amat sukar ialah menampilkan watak yang berilmu dalam konteks ekonomi moden dan ekonomi Islam.  Inilah orangnya yang akan menjadi pembicara persoalan ini.  Pemilihan watak ini sangat penting kerana adanya konsep uswatun hasanah yang akan menjadi fokus kepada perilaku watak tadi.  Bagaimana ini boleh dilakukan tergantung kepada kemampuan bahasa anda, kerana di sini anda akan terikat kepada konsep keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan.   Retorik yang akan anda pakai dalam membina sebuah cerita yang menarik tergantung kepada kefahaman anda tentang konsep keindahan berasaskan ihsan tadi. Semua ini mesti dipelajari dan difahami dengan mendalam jika anda mahu menulis sebuah karya persuratan. Itulah saja beberapa imbasan awal yang boleh anda fikirkan. Yang lebih terperinci terdapat dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua; termasuk konsep stylization of ideas yang penting itu.

Adakah Hikayat Salim Adil memenuhi ciri-ciri ini? Sekarang tugas anda menentukannya dengan pertimbangan paling kritis yang anda boleh lakukan sebagai seorang pembaca yang berilmu.  Bagi saya, inilah persoalan yang menakutkan para sarjana, kerana itulah mereka menyisihkan diri dari membicarakan karya kreatif dengan menggunakan pendekatan PB.  Inilah kelemahan para sarjana sastera Malaysia yang amat mereka banggakan, kerana dengan adanya kelemahan ini mereka dengan senang hati memisahkan diri dari memanahi PB. Satu keputusan paling bodoh yang boleh dilakukan oleh kumpulan yang berkecimpung dalam dunia akademik.  Inilah cabaran Hikayat Salim Adil yang ditujukan kepada mereka.

Mohd. Affandi Hassan,
24 Februari 2018.








No comments:

Post a Comment