Wednesday, January 10, 2018

KEBENARAN MILIK SALIM ADIL, BUKAN MILIK SASTERAWAN NEGARA



Tajuk ini biasa saja, tidak akan memberi apa-apa kesan kepada kedudukan para sasterawan negara yang semakin kukuh setelah para sarjana yang menyokong mereka mengambil keputusan bijak untuk tidak melayan apa juga bentuk cabaran terhadap para sasterawan negara yang kini sudah disahkan sebagai Brahmin Sastera, satu kedudukan berprestij dalam naratif Melayu lama yang berasaskan penglipur lara yang dipengaruhi unsur Hindu.  Sejauh mana unsur Hindu itu masih wujud dalam karya para sasterawan negara hanya boleh ditentukan oleh para sarjana, tetapi pengaruh Hindu itu memang wujud.  Walau bagaimana pun tidak perlu disebut kerana sudah disebut berkali-kali dan memang sudah dimaklumi. Tetapi ini tidak bererti mereka sudah selamat dari kritikan, malah akan menggalakkan lagi kritikan terhadap mereka yang digambarkan oleh para penyokong mereka tidak mementingkan kebenaran, sebaliknya berjuang untuk menang. Mereka sudah menang, dan mendapat apa yang mereka mahu selama ini. Kemenangan adalah lebih penting dan lebih penting daripada kebenaran,  seperti falsafah ahli politik dalam  cerita pendek “Bukan Orang Jahat” (Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2 (ATMA 20014).

Hikayat Salim Adil yang kini berada dalam pasaran, muncul sebagai sebuah karya kreatif yang paling unik dalam sejarah sastera Melayu, yang memberi cabaran kepada karya para sasterawan negara dengan meletakkan ukuran yang paling jelas berasaskan prinsip-prinsip yang dijadikan landasan dalam Gagasan Persuratan Baru.  Walaupun para penyokong sasterawan negara tidak menerima Gagasan Persuratan Baru sebagai asas penilaian karya kreatif,  mereka juga tidak bole kembali menggunakan teori sastera Barat kerana ini telah diberi amaran oleh sarjana terpenting Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.  Kini timbul satu percanggahan (contradiction) yang amat memalukan kumpulan ini apabila mereka dapati mereka sedang berada dalam kubang teori sastera Barat dan berasa amat selesa berada di situ walaupun telah dikutuk oleh sarjana terbesar di kalangan mereka. (Lihat kembali entri lepas, 31 Disember 2017 mengenai perkara ini.)  Akhirnya mereka dan tokoh besar mereka sedar bahawa berada dalam kubang teori Barat adalah lebih mudah dan lebih selesa daripada berdepan dengan Gagasan Persuratan Baru yang akan menyingkirkan mereka kepada kedudukan kedua yang tidak dapat dielakkan.  Sekarang kita sedang menunggu bagaimana mereka akan mempertahankan kedudukan mereka dalam kubang teori Barat itu walaupun telah ditolak dengan tegas dan tuntas oleh sarjana besar mereka sendiri, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang mengatakan mereka telah melakukan kesalahan menilai karya Melayu berasaskan ukuran Barat.  Kita mempunyai bukti yang jelas mengenai perkara ini. Sekiranya mereka mengaku bahawa sarjana besar mereka telah membuat kesilapan besar dengan mengutuk teori Barat, oleh itu mereka harus kembali kepada teori Barat dan bergantung seterusnya kepada ukuran Barat, maka keputusan itu akan menjadi bukti betapa palsunya segala keputusan dan pertimbangan mereka selama ini.  Oleh itu, bagaimana mereka dapat mempertahankan kedudukan para sasterawan negara jika pelantikan mereka berasaskan ukuran Barat yang palsu?  Untuk mengatakan sarjana besar mereka membuat kesilapan yang tidak disengajakan, bagaimanakah tokoh besar itu, seorang sasterawan negara, boleh berasa aman berada dalam kelompok yang dia sendiri mengaku dipilih berasaskan ukuran teori Barat? Dan ini termasuk dirinya sendiri. Tetapi mereka tidak perlu berasa bersalah, kerana jasa terbesar mereka ialah pengakuan mereka bahawa teori Barat yang memberi mereka kedudukan yang tinggi itu pada hakikatnya adalah palsu, dengan itu kedudukan mereka sendiri adalah palsu. Mereka telah memberikan penilaian yang tepat kepada diri dan kedudukan mereka, tidak memerlukan hujah lain. Dengan itu cabaran Gagasan Persuratan Baru adalah sia-sia, tidak berfaedah dan tidak bermakna apa-apa, tidak memberi bekas sedikit pun kerana kepalsuan telah diterima dan diperkukuhkan dengan gelaran yang berprestij.  Adakah ini bermakna Gagasan Persuratan Baru tertolak dengan sendirinya setelah golongan anti-Barat ini memperkukuhkan kedudukan mereka?  Soalan ini penting dan menarik, tetapi siapakah yang akan memberikan jawapannya?

Jawapan itu sebenarnya telah tersedia dalam Hikayat Salim Adil.  Bacalah karya itu dengan kritis dan kreatif supaya anda dapat memahami jawapan yang diberikan oleh Salim Adil. Di sini, anda tidak ada pilihan melainkan berdepan dengan Salim Adil. Itulah makna kebenaran itu milik Salim Adil. Kalau anda mahu, anda masih boleh menolak kesimpulan ini.  Tetapi penolakan anda itulah berupa penerimaan hakikat kebenaran yang dibawa oleh Gagasan Persuratan Baru, dalam bahasa Inggeris saya terjemahkan sebagai genuine literature, genuine merujuk kepada konsep ilmu yang benar yang tidak akan dapat ditolak manusia dan jin sekali pun, kerana ilmu yang benar itu menjadi asas wahyu yang diturunkan kepada seluruh manusia, sama ada mereka mahu menerima dan percaya atau tidak. Pilihan diberikan kepada mereka untuk menentukan kedudukan mereka nanti.  Jalan  ke syurga jelas; jalan ke neraka pun jelas.  Ke mana yang hendak dibawa oleh sastera yang kini menjadi pegangan para sasterawan? Jika kita faham ini, tiada masalah. Jika kita faham, kita akan kembali kepada persuratan. Itu sahaja. Sangat mudah.  Mengapa sasterawan mahu terus kekal dalam sastera berasaskan teori Barat mudah saja jawapannya, yang memang diketahui oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Oleh itu, saya tidak perlu memberi jawapannya; biarkan mereka sendiri memberi jawapannya. Itu lebih wajar dan lebih adil, memberi mereka kebebasan sepenuhnya untuk membuat keputusan.  Cuma yang menjadi masalah hanya satu saja: mereka tidak jelas tentang konsep ilmu. Mereka samakan ilmu dengan maklumat. Yang ada pada mereka adalah maklumat yang sebagai maklumat sangat cetek. Itu saja masalahnya, dan ini telah diberi jawapannya oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sejak tahun 1972 lagi. Sekali lagi, jika anda membaca Hikayat Salim Adil dengan kritis dan kreatif, anda akan menemui jawapannya. Tetapi anda tidak mahu jawapan itu, kerana anda akan kembali kepada konsep ilmu dalam Islam dan ini akan membawa anda berpegang kepada konsep persuratan yang difahami dan dipraktikkan dalam persuratan Melayu oleh para ulama dan cendekiawan sejak beratus tahun. Malah dengan amat memalukan anda sendiri tidak lagi boleh  membaca khazanah persuratan dalam tulisan Jawi kerana tradisi itu telah terputus sama sekali. Jawi yang ada sekarang bukan Jawi yang menjadi warisan persuratan Melayu; tetapi  tulisan Rumi yang diberi wajah Jawi. Jawi yang dirumikan, yang tidak sedikit pun boleh membantu anda memahami tulisan Jawi yang asal. Anda telah terputus dari warisan ilmu anda sendiri, dan anda sangat megah kerana tidak lagi dapat memahami tradisi asal anda.  Jika anda belum tahu, itulah jasa terbesar Asas 50, iaitu melenyapkan tradisi persuratan dan sekali gus  menolak sumber ilmu daripada al-Quran. Inilah yang anda boleh lihat dan yang anda dapat dalam karya para sasterawan negara. Seorang sasterawan negara yang mempunyai sedikit kesedaran Islam dan mahu diterima karyanya sebagai karya berunsur nilai-nilai Islam, diisytiharkan oleh teman-temannya sebagai sasterawan teragung yang melahirkan karya terbesar sepanjang zaman dalam sastera Melayu. Begitu jauh sekali mereka ini sesat dalam belantara ilmu, dan bangga menjadi manusia sesat di tengah belantara Jahiliah moden. 

Kemunculan Hikayat Salim Adil memberi tamparan hebat kepada sasterawan negara apabila tidak sebuah pun karya mereka dapat menandingi Hikayat Salim Adil dari segi pemikiran, teknik, dan pembaharuan dalam penulisan kreatif.  Yang amat menyakitkan hati para sarjana (ciritan) dan para sasterawan ialah Hikayat Salim Adil muncul sebagai kayu ukur kepada karya para sasterawan negara. Tiada sesiapa pun di kalangan penyokong projek sasterawan negara bikinan Asas 50 yang telah mengkhianati persuratan itu berani tampil mempertahankan kepalsuan gelaran sasterawan negara yang tidak sedikit pun terbayang dalam karya picisan para sasterawan negara ini. Cabaran besar ini  tidak mungkin ditolak apabila Gagasan Persuratan Baru memperkenalkan konsep karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan/erotik.  Tiga kategori karya ini telah wujud sejak tahun 1939 lagi apabila Abdul Kadir Adabi menerbitkan karyanya, Melati Kota Baharu yang telah dianalisis dan diberi penilaian akademik oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam makalah beliau.  Sehingga ini belum ada lagi sanggahan daripada mana-mana sarjana ciritan tentang analisis ini, yang membuat kesimpulan karya persuratan itu telah wujud lama sebelum karya sastera yang dipelopori Asas 50 wujud.  Lebih dari sepuluh tahun sebelum muncul Asas 50 sebagai satu organisasi sudah ada kesedaran di kalangan pengarang Kelantan tentang unsur ilmu dalam penulisan kreatif, seperti yang dibuktikan dari karya Abdul Kadir Adabi.  Anggota Asas 50 tidak pernah iktiraf, mungkin mereka tidak tahu kehadiran Abdul Kadir Adabi sebagai seorang pengarang novel. Kita menunggu sanggahan daripada para sarjana sastera (ciritan) untuk membuat penafian bahawa tidak ada unsur ilmu dan wacana dalam novel Abdul Kadir Adabi.  Sejauh mana karya ini diberi perhatian oleh para pendukung feminisme di Malaysia tidak jelas, tidak dibicarakan dalam karya mereka kerana bagi mereka Abdul Kadir Adabi bukan seorang pengarang penting. 

Karya para sasterawan negara ini mengingatkan saya kepada novel Jean-Paul Sartre, Nausea.  Dalam bahasa Melayu boleh diterjemahkan “nak muntah atau nak termuntah”, mual dan meloyakan.  Saya sedang merancang untuk menulis novel persuratan tentang para sasterawan dengan judul Nausea,  khusus membicarakan unsur dan sifat nauseous dalam karya mereka. Kita berharap para penyokong sasterawan negara akan tampil mempertahankan sasterawan negara dengan analisis yang mendalam dan objektif tentang karya mereka; tetapi nampaknya tiada seorang pun daripada sarjana ciritan ini boleh melakukannya. Maka novel yang memualkan ini perlu ditulis dan diterbitkan dengan segera. Ini penting untuk memberi kesempatan kepada para penyokong sasterawan negara mengenal dari dekat para sasterawan negara ini dari segi kreatif dan pemikiran mereka. Kepalsuan pemilihan para sasterawan negara ini perlu dinilai secara objektif dalam sebuah karya kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar, yakni berpandukan PB. Di sini anda akan diberi kesempatan untuk menguji dua perkara: kaedah yang dianjurkan oleh PB dalam analisis dan menilai karya kreatif; dan kemampuan intelektual sebenar para sasterawan negara.  Mana satu, atau kedua-duanya yang anda pilih, akan memberi manfaat kepada perkembangan intelektual dalam penulisan kreatif.

Tanpa mereka sedar, para sarjana ciritan dan pengkritik sastera pada umumnya berfaham existentialist, oleh itu mereka sendirilah yang menentukan nilai-nilai, yang tidak semestinya ada kaitan dengan agama. Faham agama mereka hanya dalam bentuk ritual, pergi ke masjid setiap Jumaat, atau mengerjakan terawih pada bulan puasa.  Berasaskan pemerhatian ini, yang memang tepat, mereka menolak sebarang kaitan agama dengan penulisan seperti yang dianjurkan oleh Persuratan Baru. Hujah mereka, mereka tidak perlukan PB, kerana nilai-nilai agama itu sudah tertanam dalam diri mereka, cuma tidak dipraktikkan dalam penulisan kreatif secara sedar seperti yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru, yang memberi penekanan kepada konsep ilmu yang benar. Menurut kaum existentialist Melayu ini, agama tidak perlu teori, walaupun ada di antara sarjana mengemukakan teori sastera Islam. Islam hanya pilihan yang boleh diketepikan dalam sastera, tanpa merosakkan akidah.  Masalahnya, mereka tidak mahu memberi komitmen, seperti yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Kerana tidak adanya komitmen itu, maka mereka tidak berasa perlu memberi penekanan kepada epistemologi Islam dalam sastera. Mereka menolak konsep ilmu kerana bagi mereka aspek ilmu itu sudah terdapat dalam teori Barat yang menjadi ikutan mereka. Inilah pendirian mereka; dan inilah yang salah jika mereka faham makna konsep salah itu dalam konteks ilmu yang difahami dalam Islam.  Aspek paling penting dalam masalah ini ialah jelas tentang konsep ilmu dan sumbernya. Apakah sumber ilmu dalam teori sastera Barat? Tidak sama dengan sumber yang menjadi pegangan orang Islam. Perkaranya cukup mudah, tetapi kalau sudah degil, ada-ada saja alasan bodoh dan angkuh. Biar saya tegaskan sekali lagi, semua teori Barat boleh dipatahkan dengan mudah oleh Gagasan Persuratan Baru, atau genuine literature dalam bahasa Inggeris.  Perkenalan saya dengan teori sastera Barat dan falsafah mereka secara umum memperlihatkan betapa kuatnya pengaruh ateisme; dan orang-orang atheist  inilah yang meletakkan prinsip-prinsip kehidupan manusia dalam semua bidang, termasuk moral  (mengenai persoalan baik dan buruk sesuatu perilaku).  Manusialah yang menentukan semuanya. Pada umumnya inilah aspek nihilisme dalam kehidupan manusia moden yang dijadikan panduan hidup mereka yang menjadikan ajaran Nietzsche  sebagai panduan  kehidupan moden Barat. Saya mahu sebut satu perkara lucu yang serius. Nietzsche menulis bukunya tentang Zarathustra di Pergunungan Alps; manakala Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menulis karya besarnya dalam bidang akademik, yang dipersembahkannya sebagai kertas kerja dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014,  mendapat ilham ketika berada di atas bumbung kilang berkarat, lantas judul karyanya, “Mimpi Sastera di Atas Bumbung Kilang Yang Berkarat” (buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, 2014). Bayangkan hasil di Pergunungan Alps dengan hasil di bumbung kilang berkarat!  Mengikut para penyokong dan pengikut Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, karya beliau adalah hasil “pemikiran” dan renungan mendalam seorang sarjana yang siuman; manakala karya Nietzsche hasil seorang yang tidak siuman!  Kalau itulah standard kita, kita terima sajalah.  Kita juga harus terima hakikat seluruh novel agung Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto, ditulis dalam imej nihilisme dan pengaruh Mafia, oleh itu sudah mencapai taraf global dan universal dan setaraf dengan karya Nietzsche, maka sanjungan Naratif Ogonshoto sebagai karya agung Melayu sepanjang zaman tidak boleh diungkit lagi, walaupun dari segi pemikiran Hikayat Salim Adil lebih cemerlang.

Bagaimana kedudukan Hikayat Salim Adil jika dibandingkan dengan karya Nietzsche tentang Zarathustra?    Sekali lagi saya mahu ulang, Hikayat Salim Adil  boleh dijadikan ukuran dalam membuat perhitungan tentang kualiti pemikiran dalam karya para sasterawan negara ini. Kalau anda tidak mahu menerima cadangan ini, bentangkan hujah anda mengikut konsep ilmu anda sendiri, supaya kita boleh membuat pertimbangan sewajarnya mana satu yang lebih wajar dijadikan panduan dan ikutan. Kerja ini tidak sukar lagi, kerana Naratif Ogonshoto sudah mencapai taraf universal dan setanding dengan karya Nietzsche tentang Zarathustra.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10 Januari, 2018.


No comments:

Post a Comment