Wednesday, November 22, 2017

HIKAYAT SALIM ADIL: SEBUAH AUTOBIOGRAFI INTELEKTUAL

Hikayat Salim Adil kini berada di pasaran. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Penerbit Wadi al-Irfan (anak syarikat Klasika Media-Akademi Jawi Malaysia) yang terlibat dalam penerbitan karya yang amat unik ini. Mudah cerita, dalam pengalaman saya sebagai seorang pengarang, saya bermula dengan sebuah cerita pendek “Kapitalis Kecil” (diterbitkan dalam sebuah akhbar mingguan bulan Januari 1957.) Itulah permulaan perjuangan saya dalam penulisan kreatif, yang kemudiannya melahirkan Gagasan Persuratan Baru.  Dalam konteks inilah Hikayat Salim Adil dilahirkan.  Saya boleh berkata dengan selamat, dan objektif,  saya adalah satu-satunya pengarang yang sejak permulaan lagi tahu apa yang dibuatnya dan tahu pula apa yang ingin dicapainya.

Dari segi teknik, karya ini membicarakan kritikan sastera dalam bentuk cerita yang diwacanakan melalui perbincangan dan perbahasan. Sebuah cerita tentang kritikan sastera, dan soal-soal kemasyarakatan termasuk politik, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. Salim Adil bercerita tentang pengalamannya sebagai tukang sapu sampah, yang kemudiannya menjadi seorang saudagar sampah yang pertama di Malaysia. Melalui perniagaan sampahnya, dia menjadi seorang jutawan.  Tetapi kerana beliau seorang intelektual, dia lebih terserlah sebagai seorang pemikir, meskipun pemikirannya agak aneh. Dia mencabar hampir semua persoalan yang timbul dalam masyarakat, dengan memberikan pendapatnya yang agak aneh. Dalam Aligupit,  watak Salim Adil hanya muncul  sebagai satu nama, orangnya tidak ada.  Walaupun tidak wujud, namanya amat ditakuti oleh tokoh yang bergelar YB. Salim Adil dalam Aligupit dibicarakan dan dihukum oleh Mahkamah Keadilan Negara yang dipengerusikan oleh YB. Kini Salim Adil muncul di tengah-tengah masyarakat membicarakan segala bentuk korupsi dan penyelewengan dalam masyarakat. Karya ini akan menyerlahkan wajah sebenar sastera Melayu, yang selama ini tertutup daripada pengetahuan masyarakat. Wajah sebenar sastera Melayu sangat buruk, meskipun diberi lukisan yang amat indah dengan melantik sekumpulan penulis untuk digelar sasterawan negara.  Pelantikan itu sepatutnya menggalakkan perkembangan ilmu dan memberi penekanan kepada peranan ilmu dalam penulisan; yang terjadi adalah sebaliknya. Apakah yang mendorong sarjana, pengkritik, dan sasterawan bersikap ingkar ilmu?  Hikayat Salim Adil memberi jawapan dan penjelasannya yang terbuka untuk dinafikan dan dikritik jika tidak benar.




Karya ini pada umumnya adalah sebuah karya kritikan sastera yang ditulis dalam bentuk cerita, untuk memudahkan pembaca memahami beberapa persoalan penting dalam kritikan sastera.  Seperti yang selalu saya tegaskan, isu terpenting ialah peranan ilmu dalam kritikan; dan ini berkaitan dengan peranan ukuran yang hendak digunakan dalam menilai karya kreatif.  Kedua, bagaimana kita hendak meletakkan kedudukan teori sastera Barat dalam perkembangan kritikan Melayu. Ketiga, isu pendidikan sastera yang perlu diberi penekanan dengan matlamat untuk mencerdikkan generasi baru supaya mereka bersedia membangunkan persuratan Melayu abad 21.  Ketiga-tiga isu besar ini diberi penekanan dalam Hikayat Salim Adil.  Sejauh mana anda bersedia, dan sanggup, menghadapi tiga isu besar itu? Di sinilah kita memerlukan dialog yang betul-betul terbuka, tidak lagi untuk mempertahankan golongan tertentu. Kita harus membina suasana intelektual yang benar-benar menuju ke arah meletakkan ilmu di takhtanya yang hak, bukan hanya sebutan yang tidak dibuktikan dalam karya. Hikayat Salim Adil boleh dijadikan penggerak ke arah ini dengan membincangkan pelbagai isu yang ditimbulkan dalam karya ini.  Saya tidak perlu membuat senarainya, kerana ini akan merebut kreativiti anda sendiri untuk menentukan apakah isu-isu itu yang terdapat dalam hikayat ini.

Antara isu besar yang tidak pernah dibincangkan dengan kritis ialah peranan sebenar Panel Anugerah Sastera Negara. Siapakah sebenarnya anggota Panel Anugerah Sastera Negara? Apakah yang mereka telah lakukan terhadap sastera Melayu? Berhubung dengan peranan Panel ini ialah kelahiran para sasterawan negara. Siapakah mereka dan apakah sumbangan mereka? Kita belum lagi mempunyai kajian menyeluruh mengenai peranan sebenar para sasterawan negara ini dan apakah sumbangan mereka yang sebenarnya. Terdapat keinginan yang berlebihan untuk mempertahankan mereka, seolah-olah kedudukan mereka sudah menjadi seperti golongan Brahmin (dalam konteks ini Brahmin sastera) yang tidak boleh diungkit dan tidak boleh dikritik. Perlukah kita kepada kumpulan Brahmin Sastera ini? Walaupun DBP telah mengadakan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara, tidak sebuah pun kertas kerja membincangkan aspek pemikiran ini. Yang terjadi ialah longgokan teori dan pendekatan Barat yang dipadankan dengan karya para sasterawan negara, dikemukakan kononnya untuk membuktikan karya para sasterawan negara ini boleh dinilai daripada pelbagai perspektif, dengan itu kata mereka akan terserlahlah keunggulan para sasterawan negara ini. Ini suatu lelucon yang amat murah, lebih rendah dan murah daripada lelucon pelawak yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Lawak Malaysia. Katalah semua kertas kerja itu telah berjaya menyerlahkan kehebatan pemikiran para sasterawan negara, membuktikan mereka boleh dinilai dan ditafsir dalam pelbagai lapisan makna, adakah ini bermakna semua pendekatan yang kita kenal telah digunakan dengan saksama? Bagaimana dengan pendekatan Persuratan Baru yang berasaskan konsep ilmu yang benar? Sejauh mana para sasterawan negara ini menampilkan pemikiran mereka yang mendalam dalam aspek ini? Lawak jenaka yang ditonjolkan oleh para penulis kertas kerja tidak membuktikan keistimewaan para sasterawan ini sehingga membolehkan mereka diberi gelaran sasterawan negara. Walaupun anda boleh meremehkan kesimpulan ini, tetapi anda tidak boleh meremehkan peri perlunya para sasterawan negara ini dinilai sehabis kritis, sesuai dengan kedudukan mereka “di takhta keunggulan” itu. Anda tidak boleh lari dengan tidak mempedulikan pendekatan kritis yang diberikan oleh PB. Hendak lari ke mana lagi?  Di sinilah anda perlu menunjukkan kejujuran ilmiah anda, yang anda sering sebut-sebut itu.

Tetapi sebenarnya, daripada pengalaman saya yang lama dalam bidang ini, yang disebut sebagai kejujuran itu sebenarnya tidak ada; hanya ucapan semata-mata, untuk menuduh orang lain apabila seseorang tersepit tidak dapat melepaskan diri dalam sesuatu perbincangan. Ketika itulah dia menuduh lawannya tidak jujur; walaupun yang sebenarnya dialah yang tidak jujur kerana tidak mahu menerima kebenaran yang menghimpitnya.  Anda boleh lihat keadaan ini dalam sikap negatif sarjana, pengkritik dan sasterawan yang dengan angkuh menolak Gagasan Persuratan Baru hanya kerana mereka tidak dapat mempertahankan diri mereka ketika dicabar. Jika anda meneliti perkembangan di Barat, anda akan berasa hairan mengapa keadaan ini hanya berlaku di Malaysia. Di Barat setiap pendapat, apatah lagi jika pendapat baru, akan dibincangkan dengan kritis sehingga mereka mendapat suatu ketetapan kedua-dua belah pihak, sama ada untuk membiarkan saja perbezaan itu atau menerima sejenis persefahaman akademik. Banyak contoh mengenai perkara ini. Antaranya yang paling terkenal ialah antara Habermas dengan para pengkritik dan penyokongnya; antara Chomsky dengan Skinner; C.P.  Snow tentang “two cultures” dengan pengkritik Inggeris yang terkenal (saya pasti anda tahu siapa dia kerana kes ini sangat terkenal); manakala di dunia Arab terkenal polemik yang sangat hebat antara Muhammad Kurd Ali dengan intelektual Mesir yang terkenal, Ahad Amin, mengenai masalah adab. Anda tentu tahu polemik panas antara Derrida dengan ahli falsafah Amerika yang menuduh Derrida “kehilangan punca” dalam kerja-kerja akademiknya.  Ini memaksa Derrida menulis sebuah buku untuk “mengutuk” ahli falsafah ini sebagai bodoh dan hanyut dalam khayalan! Membaca semua polemik ini memberi kita dua perkara: betapa seriusnya mereka tentang “ilmu”; dan betapa garangnya dan sinisnya mereka ketika mengkritik lawan mereka. Perkara begini tidak berlaku di Malaysia, kerana dua perkara: pertama, kerana kecetekan akademik para sarjana; dan kedua kerana keangkuhan mereka untuk meremehkan usaha orang lain yang mereka tidak berdaya mencapainya dan yang sebenarnya membuat mereka terkejut hingga terkentut-kentut dalam gosip akademik sesama mereka untuk mengutuk orang yang mereka tidak dapat tandingi sebagai biadab dan kurang ajar, manakala yang mereka buat semuanya beradab dan bersopan santun. Sekiranya perbualan mereka didengar Pak Pandir atau Si Luncai, tentu mereka akan tertawa terguling-guling kerana terlalu lucu: mengata orang lain bodoh dan mengarut serta biadab, padahal itulah yang mereka buat!

Sebagai seorang penulis yang menguasai tiga bidang – kreatif, akademik, dan pemikiran baru – saya perlu memberi laluan kepada tiga bidang itu dalam sebuah karya yang menyatukan ketiga-tiganya. Itulah Hikayat Salim Adil. Dalam karya ini anda akan dapat mengesan bagaimana saya adun tiga kegiatan itu melalui cereka untuk memudahkan pembaca yang cerdik dan kritis melihat perkembangan ini dalam konteks yang betul. Kepada pembaca biasa yang bukan terlibat dalam bidang-bidang yang disebut itu, mereka akan dapat merasakan kelucuan serius dengan membaca episod yang diserlahkan dalam karya ini yang disengajakan untuk memaksa mereka membuat tafsiran kritis mereka sendiri. Pembaca yang cepat menyerah diri menghadapi lontaran cabaran bersifat kreatif, politik (terutama tentang korupsi), masalah sosial, masalah akademik dan lain-lain yang anda boleh kesan dengan mudah, pada akhirnya mereka akan bertemu sesuatu yang akan membuat mereka sedar apa yang telah, sedang, dan akan berlaku dalam politik, sosial, dan gerakan intelektual Malaysia. Barangkali yang akan benar-benar berdarah dilukai sindiran yang agak keras ialah para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Sebagai gambaran sekadarnya, Salim Adil senang-senang saja menjadi kaya raya, sebagai seorang jutawan, hanya dengan menjual sampah. Apakah jenis sampah itu? Saya biarkan pembaca membuat tafsiran masing-masing. Sekadar imbasan mudah, Salim Adil membeli mesin racik kertas untuk mengumpulkan sampahnya yang tidak laku di dalam negeri, tetapi mendapat sambutan di luar negeri yang kemudiannya dijual kembali dalam bentuk produk yang menarik minat masyarakat Malaysia untuk membelinya, tanpa mengetahui itulah sampah yang diolah menjadi produk yang canggih, baik dari segi bahan mahu pun dari segi isi.  Saya boleh bayangkan beliau akan diberi anugerah dan gelaran negara, barangkali paling kurang bergelar Datuk jika tidak pun Tan Sri kerana …. (tak mahu cakap!).  Sebenarnya Salim Adil tidak layak diberi anugerah atau gelaran apa-apa sekali pun, kerana setiap gelaran dan anugerah itu akan dikaitkan dengan sampah yang menjadi sumber kekayaannya. Tentulah tidak manis sekiranya orang yang tidak tahu apa-apa, secara innocent, berkata, “Itulah Datuk sampah … Itulah Tan Sri sampah. Kau tahu dia itu seorang saudagar sampah!”  Kaya sampah tidak sama degan kaya kata, walaupun kata-kata itu kedudukannya seperti sampah dari segi kandungan isinya.  Satu masa dulu saya pernah mencadangkan supaya semua sasterawan negara diberi gelaran Tan Sri, sesuai dengan kedudukan tinggi mereka “di takhta keunggulan”.  Lagi pula seorang sasterawan terkenal diketepikan daripada gelaran sasterawan negara, tetapi beliau diberi gelaran Tan Sri A. Samad Ismail!  Dia tidak layak, menurut Panel Anugerah Sastera Negara, untuk digelar sasterawan negara; tetapi layak mendapat gelaran Tan Sri. Dunia, begitulah keadaannya.

Apa agaknya komen Salim Adil mengenai perkara ini! Saya boleh agak, tetapi tidaklah perlu disebut di sini…


***


Hikayat  Salim Adil adalah sebuah karya paling unik yang pernah ditulis di mana-mana saja dalam dunia. Saya tersenyum sinis selepas menulis ayat ini. Mungkin anda tahu mengapa, mungkin juga tidak tahu. Tetapi saya tahu, dan orang yang tidak berkenan dengan style tulisan saya tentu, saya pasti, juga tahu. Kalau anda pernah main choh, satu permainan strategik yang dimainkan oleh budak-budak Kelantan (tempat lain saya tidak tahu), seseorang yang ingin memasuki “kubu” lawannya akan mengacah-acah betisnya untuk menerobos ke dalam…. Dan seterusnya. (Boleh tanya pakar permainan kanak-kanak di mana-mana universiti yang mengajar subjek kebudayaan dan seni permainan Melayu).  Style yang saya gunakan dalam Hikayat Salim Adil adalah style permainan choh itu, mempermainkan anda sebagai pembaca supaya lalai daripada kecerdikan untuk menjadi korban ketidak-telitian anda yang tentu saja akan merungut, “Apa jenis novel ini?”  Kalau anda cerdik, mempunyai keupayaan kreatif yang tinggi dan ketajaman intelektual yang juga tinggi, anda akan membaca sehabis kritis untuk sampai kepada kesimpulan paling objektif. Jarang pembaca Malaysia sampai ke taraf itu, termasuk di kalangan sarjana (ciritan), pengkritik (cetek meraba-raba) dan sasterawan (picisan).

Apakah kesimpulan paling objektif itu? Kalau anda pernah mandi sungai yang lebar, dan cekap berenang, anda akan ulang berenang dari pesisir pasir ke tebing, berulang alik. Pernah tengok Sungai Kelantan? Tebingnya curam, sebelah kampung saya pula berpasir. Zaman dulu, ketika kami membesar, satu keseronokan permainan kami ialah berlumba berenang dari tebing ke tebing, sampai tercungap-cungah lelah. Sebagai pembaca Hikayat Salim Adil, anda juga akan tercungap-cungap keletihan cuba menyeberang makna yang jernih tetapi tidak dapat ditangkap kerana belum cekap bermain dengan idea. Baru belajar berenang dalam sungai idea … Permainan idea dalam Hikayat Salim Adil akan dapat anda fahami jika anda pernah membaca Aligupit dan Hikayat Buyung Lurus. Tiga karya ini bersaudara. Perlukah saya memberi penjelasan? Anda lebih tahu.

Uniknya Hikayat Salim Adil adalah berseliratnya kelarai warna-warni yang seolah-olah memberi makna tertentu mengikut warna, tetapi apabila dilihat keseluruhannya anda akan melihat warna yang berbeza. Barang siapa yang pernah melihat permaidani sutera, dia akan melihat pelbagai warna mengikut sudut yang dilihatnya. Cuba cari permaidani sutera, misalnya dengan pergi ke kedai permaidani dan minta penjual anda mahu lihat permaidani sutera. Anda perlu lihat sendiri untuk tahu apa yang saya maksudkan. Hikayat Salim Adil juga begitu, berserabut dengan kelarai yang seolah-olah kacau bilau, tetapi sebenarnya wajah lain dari sebuah karya yang dijalin begitu rupa untuk memberi makna tunggal yang kecil tetapi bila diteliti keseluruhannya akan bertemu dengan makna keseluruhan yang mungkin menggerunkan anda akan kehebatannya.  Tetapi yang hadir hanya seorang watak, Salim Adil. Dalam Aligupit sangat bebeza, sebab tidak ada watak di situ, tetapi cerita berjalan lancar dan boleh difahami. Aneka warna, seolah-olah seperti permaidani sutera, tetapi bila dilihat keseluruhan anda akan melihat sebuah kisah yang diceritakan oleh idea semata-mata.  Dalam Hikayat Buyung Lurus, anda bertemu ramai tokoh, dan mereka saling berinteraksi, dengan didominasi oleh Buyung Lurus sendiri. Dalam Hikayat Salim Adil, hanya Salim Adil yang wujud sebagai watak tunggal dengan nama itu. Watak-watak lain semuanya tidak bernama. Yang disebut nama adalah tokoh-tokoh yang tidak berada dalam novel itu, tetapi memainkan peranan penting kerana mereka dibawa khas oleh Salim Adil untuk sesuatu maksud yang dia sendiri tahu. Tiga karya yang satu, tetapi dipersembahkan dalam tiga cara yang berbeza. Semuanya ditulis seluruhnya dengan menggunakan teknik stylization of ideas.

Adakah ini satu pembaharuan? Tidak. Hanya satu persembahan biasa yang anda pernah lihat dalam Mak Yong. Cerita dituturkan sendiri oleh pelakonnya.  Apakah nama yang kita boleh berikan kepada gaya ini?  Saya akan memberi jawapannya setelah anda membaca hikayat ini tiga kali dan betul-betul faham, tetapi belum begitu pasti anda mengerti sepenuhnya. Sekiranya anda pernah menonton Mak Yong, anda mungkin tidak memerlukan penjelasan saya lagi. Nasihat saya, anda tidak perlu bertanya mana-mana sarjana sastera, sasterawan atau pengkritik.  Lebih mudah jika anda bertanya Salim Adil sendiri.

Inilah maksud membaca dalam mod bacaan intelektual, bukan mod bacaan cerita. Anda perlu melihat bagaimana Salim Adil menggunakan ruang naratifnya.

Jika anda meneliti perbahasan saya, mungkin anda akan faham mengapa saya mengkritik Panel Anugerah Sastera Negara yang mereka tulis dalam laporan mereka.

Sekadar peringatan, yang juga berupa petua. Sebelum anda mendapat apa yang saya kemukakan dalam penjelasan saya, anda harus membaca sekurang-kurangnya tiga kali Hikayat Salim Adil ini. Bacaan pertama untuk mendapat sedikit gambaran kasar. Bacaan kali kedua untuk mengenal pasti beberapa isu dan persoalan yang menarik perhatian anda. Bacaan ketiga untuk memahami mengapa novel persuratan ini ditulis dalam bentuknya sebagai kritikan sastera yang bercerita tentang sastera dan pemikiran dalam sastera. Teknik yang dipakai seluruhnya ialah stylization of ideas, atau siratan makna.  Itu sebab saya pakai istilah kelarai tadi. Kelarai, atau pattern, adalah siratan makna yang mempunyai hierakinya sendiri, mana satu yang utama dan seterusnya. Hanya pada ketika itulah baru anda dapat “menikmati” aspek intelektual yang terdapat dalam karya ini. Kalau anda gagal mendapatnya, tidak semestinya karya ini telah gagal memberi makna kepada anda. Sabar dulu, cuba lagi, kerana karya ini jauh sangat berbeza dan berlainan dengan karya yang anda pernah baca. Kritis, tetapi menghiburkan daya intelek anda.  Kalau anda terus gagal, baca sajalah novel picisan yang senang didapati di pasaran. Mungkin setakat itulah saja kemampuan intelektual anda. So sorry for that!


KESIMPULAN SEBAGAI PERINGATAN


Dari perspektif mana pun anda nilai Hikayat Salim Adil, anda akan dapati karya ini benar-benar mencabar daya intelektual dan kejujuran intelektual anda.  Dari segi akademik, anda kini berdepan dengan tiga genre dalam satu karya: Hikayat Salim Adil sebagai sebuah novel persuratan; Hikayat Salim Adil sebagai sebuah wacana kritikan yang dipersembahkan dalam bentuk cerita; Hikayat Salim Adil sebagai falsafah politik dalam lingkaran persaudaraan dengan Aligupit, Hikayat Buyung Lurus.  Ketiga-tiganya menggunakan sepenuhnya kaedah stylization of ideas. Ketiga-tiganya berbicara tentang rasuah dalam pelbagai wajah, termasuk antaranya rasuah dalam dunia intelektual apabila pandirisme dijadikan arus perdana untuk melindungi para sasterawan negara supaya terus berada “di takhta keunggulan” hanya pada nama, tetapi tidak dikonkritkan dalam karya yang sebenarnya berada di tahap picisan. Anda akan dapat melihat dengan jelas bentuk-bentuk rasuah intelektual di kalangan sarjana dan pengkritik sastera dan para sasterawan, terutama sekali para sasterawan negara.

Hikayat Buyung Lurus diilhamkan daripada teknik tinju Muhammad Ali; manakala Hikayat Salim Adil pula diilhamkan daripada kegagalan ITBM, DBP serta badan-badan penulis memberi arah yang betul dalam perkembangan sastera Melayu, dengan itu mereka memberi kedudukan tinggi kepada sastera sampah yang ada di antaranya diberi kedudukan sebagai novel agung sepanjang zaman. Tidakkah ini tidak siuman? Mungkin belum gila, tetapi perbuatan memberi sanjungan tanpa alasan kepada sebuah novel karya seorang sasterawan negara adalah perbuatan paling tidak siuman.  Dalam tahun 2002 cerita pendek saya “Zaman Hanyut” disiarkan dalam Utusan Zaman.  Saya memang hendak menulis Hikayat Zaman Hanyut, membicarakan perubahan nilai dalam masyarakat Melayu. Dari segi perancangan Hikayat Zaman Hanyut sepatutnya terbit selepas Hikayat Buyung Lurus,  tetapi kerana sesuatu yang di luar jangka berlaku, Hikayat Zaman Hanyut tertangguh. Hikayat ini menceritakan peristiwa dialami oleh Zaman bin Hanyut, berasal dari Melaka.  Bagi orang Melaka, sejarah Melaka bermula selepas dikalahkan oleh Pertugis yang meninggalkan bangunan merahnya. Orang Melaka sangat bangga dengan peninggalan Portugis ini, yang membawa wang dari pelancongan dari seluruh dunia yang ingin melihat kekuasaan Portugis di Melaka. Zaman bin Hanyut berasa aneh melihat kesan sejarah Melaka dan kesultanannya langsung tidak ada. Yang lebih pelik, Melaka ada Bukit Cina dan Tanjung Keling; tetapi untuk Melayu hanya sebuah katil, lalu sebuah bukit kecil diberi nama Bukit Katil!  Sejarah Melayu tidak bercerita tentang katil, walaupun sultan dan para pembesar Melaka memang terkenal dengan kegiatan perkatilan mereka. Satu-satunya peristiwa yang amat bersejarah ialah apabila seorang Ketua Menteri dituduh oleh seorang nenek bahawa Ketua Menteri itu telah mengacau cucu perempuannya yang gempal, ketika itu berusia baru 15 tahun. Ada kes mahkamah, tetapi yang masuk penjara seorang Cina yang kononnya “membela” gadis itu dan neneknya daripada gangguan Ketua Menteri. Cerita pendek “Bukan Orang Jahat” mendapat ilham daripada peristiwa ini.  Bagi orang politik, yang penting kemenangan, bukan kebenaran. Inilah pegangan ahli politik sepanjang masa. Adakah ahli politik akan berubah bila berdepan dengan neraka nanti? Kata mereka soal neraka terlalu jauh; yang penting menang pilihan raya.

Hikayat Salim Adil wajar dibaca dan dibincang dengan kritis kerana novel persuratan ini mempunyai makna beratus lapis kerana karya ini merupakan rangkuman tiga genre sastera. Belum ada lagi karya seperti ini di Malaysia, mungkin juga di dunia. Tetapi ini hanya andaian, mesti dibahaskan, dan kedudukan sebenarnya mesti diputuskan oleh para sarjana dan pengkritik sastera. Bila berdepan dengan karya saya yang pelik ini, tiba-tiba mereka menjadi bacul dan bisu. Kita tunggu suara mereka, jika mereka berani bersuara.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya
22/11/2017

Monday, November 20, 2017

ADAKAH SAMA MEMBINA KECERDIKAN DENGAN MEMBINA TAMADUN?



Bagaimanakah kita mengukur kecerdikan seseorang, umpamanya seorang sasterawan negara. Adakah ini pertanyaan atau hanya kenyataan umum? Sekiranya kita mengambilnya sebagai satu pertanyaan, maka jawapannya berbeza daripada sekiranya kita mengambilnya sebagai satu kenyataan umum. Sebagai satu pertanyaan, kita boleh bertanya pula, dari perspektif apakah kita boleh mengukur kecerdikan seseorang sasterawan negara?  Tentu saja dari karya mereka. Adakah karya mereka mencerminkan kecerdikan mereka? Soalan ini sangat sukar dijawab, kerana amat sensitif. Kalau karya mereka tidak mencerminkan kecerdikan, maka tentulah mereka tidak terpilih untuk dilantik sebagai seorang sasterawan negara yang setiap kali kita menyebut namanya mesti dimulai dengan ungkapan “Sasterawan Negara” Anu Anu! Oleh itu, kita tidak boleh berkata sukar kita mendapat kecerdikan dalam karya para sasterawan negara kerana pemilihan mereka bukan didasarkan kepada kecerdikan mereka. Sekarang kita perlu jelaskan apa yang kita maksudkan dengan “istilah” kecerdikan itu.

Jika anda membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kita mendapat kesan “kecerdikan” bukanlah satu sifat yang penting atau utama seseorang sasterawan negara. Ada ukuran lain yang lebih penting, yang kerap disebut oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.  Adakah ukuran itu boleh juga dipakai untuk mengukur kecerdikan seseorang sasterawan negara? Saya fikir tidak. Mari kita kupas beberapa ukuran yang disebut oleh Panel Anugerah Sastera Negara, untuk melihat bahawa ukuran itu tidak menggambarkan kecerdikan seseorang sasterawan negara. Malah kadang-kadang sebaliknya.  Masalah kecerdikan ini penting, kerana tidak ada gunanya sekiranya kita membaca karya seorang pengarang yang tidak cerdik, yang menulis karya yang tidak cerdik. Apa bila anda sudah diberi gelaran “Sasterawan Negara”, anda berhak dinilai dari perspektif kecerdikan dan kemampuan intelektual anda. Kalau anda tidak mahu dinilai dari perspektif itu, tidak mungkin anda akan berasa bangga dan megah jika dinilai dari kebodohan anda. Lagi pula sebagai seorang sasterawan negara, anda tentulah tidak tergolong dalam kumpulan manusia yang bodoh-bodoh. Seseorang wartawan mungkin boleh, malah digalakkan untuk berlaku bodoh untuk kepentingan tertentu; tetapi tentu tidak sasterawan negara. Tetapi ini hanya berlaku di Malaysia. Di Barat, wartawan yang bodoh ditendang ke dalam tong sampah dan dilempar ke dalam laut. Mungkin mereka melakukannya dengan halus dan bijak, tetapi ini berlaku dalam mana-mana bidang. Dalam bidang akademik pun nampaknya lebih banyak terjadi. Saya akan memberi beberapa contoh nanti. Kita lihat dulu ukuran yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara.

Kita mulai dengan kes Shahnon Ahmad. Dia orang kedua menerima anugerah yang amat “berprestij” itu, selepas Keris Mas. Mendahului Usman Awang dan A. Samad  Said.  Ketika dia menerima anugerah itu dia baru saja tulis beberapa buah novel yang biasa-biasa saja, kalau dikira kualitinya belum layak diangkat ke taraf karya seorang sasterawan negara sekiranya seorang sasterawan negara seseorang yang istimewa dan “special”. Laporan tentang karyanya yang terpendek dan paling lekeh di antara laporan yang pernah terbit. Nampaknya ada masalah yang dihadapi oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Kita mahu tahu mengapa Shahnon melangkah kepala Usman Awang,  A. Samad Said dan lain-lain yang lebih senior dan lebih “mewah” karyanya.  Penjelasan ini penting, kerana bayang-bayang unsur politiknya sangat menonjol. Adakah pelantikan “tokoh” ini mempunyai rahsia tertentu? Kami mahu tahu, jangan sembunyikan sebarang rahsia kerana ini pelantikan penting yang seharusnya terbuka, tiada syak wasangka. Tidak wajar berahsia dalam perkara sebegini.  Pihak yang berkenaan mesti berani tampil memberi penjelasan.   Sekiranya anda merasakan tidak perlu membuang masa memberi penjelasan, maka itu sudah cukup untuk menjadi bukti bahawa ada sesuatu yang bersifat bangkai dalam projek sasterawan negara ini.  Strong words, tidak syak lagi; tetapi itulah kenyataannya.

Laporan tentang Keris Mas dimulai dengan “Pengenalan”, dikuti dengan Tema, Bentuk, Perwatakan, Gaya Bahasa, Kesan – Pengaruh.   Bandingkan dengan laporan  tentang Shahnon Ahmad: dimulai dengan “Pengantar”, seterusnya Tema, Perwatakan, Bahasa dan Stail. Laporan tentang kehebatan karya Shahnon Ahmad terlalu pendek, seolah-olah tidak cukup bahan untuk dibicarakan dengan lebih mendalam. Laporannya kontot saja, seperti sajak-sajak Baha Zain yang dikritik Shahnon Ahmad sebagai sajak-sajak kontot, oleh itu tidak layak diangkat untuk menerima anugerah gelaran sasterawan negara. Teks tentang Keris Mas 29 halaman; teks tentang Shahnon Ahmad 21 halaman.  Teknik penulisan laporan awal ini kelihatan seperti cara budak-budak sekolah menulis esei mereka, seperti yang diajarkan oleh guru sastera mereka. Guru sastera pula belajar daripada para sarjana dan pengkritik sastera; oleh itu tidak hairan jika laporan Panel Anugerah Sastera Negara masih berada dalam bingkai tulisan budak-budak sekolah!

Laporan tentang Usman Awang adalah yang terpanjang, teks saja 70 halaman; keseluruhannya termasuk Lampiran menjadi 106 halaman. Siapakah yang menulis laporan panjang ini? Salah seorang anggota Panel ialah Prof Dr. Muhammad Haji Salleh, seorang pensajak yang kemudiannya menjadi sasterawan negara ke-6 (1991).  Mengapa tentang Usman Awang begitu terperinci? Saya fikir sentimentaliti dalam karya Usman Awang menjangkiti penulis laporan yang juga menulis sebuah laporan yang sentimental. Anda perlu membacanya untuk dapat menikmati sentimentaliti Sang Pelapor atau Penulis Laporan.  Laporan tentang tiga orang tokoh besar sastera Melayu ini, yang menjadi pelopor para sasterawan negara lainnya, amat tidak memuaskan. Panel memilih teknik bercerita dalam laporan mereka, bukan berasaskan analisis yang kemudiannya diakhiri dengan kesimpulan yang mantap. Kesimpulan yang mantap itu tentu saja berhubung dengan “pemikiran” para sasterawan negara pelopor ini, bukan tentang cerita biasa yang mereka hasilkan. Tidak bolehkah cerita biasa yang mereka hasilkan itu dijadikan luar biasa melalui laporan yang lebih berbobot? Di sinilah teknik membaca dengan betul perlu dijadikan panduan, supaya setiap bacaan boleh menonjolkan kekuatan “pemikiran” para tokoh besar ini, di samping kecanggihan teknik mereka, dan keampuhan intelektual mereka yang terserlah dalam cara mereka mengolah cereka yang mereka sampaikan melalui karya mereka. Mereka mestilah luar biasa, kerana mereka diberi gelaran yang sangat istimewa, seorang sasterawan negara yang setiap kali disebut namanya mesti dimulai dengan ungkapan, yang berupa gelaran yang berprestij, yakni Sasterawan Negara Keris Mas, dan seterusnya seperti yang berlaku hingga ke hari ini. Tidak ada lagi tokoh yang sehebat para sasterawan negara ini, yang mesti dihormati dengan menyebut “gelaran” yang diberikan kepada mereka. Biasanya kita hanya menggunakan gelaran yang berupa pangkat akademik, misalnya gelaran “Profesor” untuk seseorang ahli akademik yang telah mencapai keulungan akademik yang tidak dapat disangsikan lagi. 

Mengenai gelaran “sasterawan negara” ini banyak sekali perkara yang kita sangsikan, terutama sekali keperluan untuk menyebut gelaran itu setiap kali kita menyebut nama mereka. Mengapa begitu istimewa? Padahal karya mereka tidaklah istimewa, seperti yang dibuktikan dari laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, yang telah saya kritik secara objektif dengan bersandarkan konsep ilmu, seperti yang dihuraikan dalam Gagasan Persuratan Baru.  Sekiranya anda berkata, PB tidak boleh dipakai untuk menilai sasterawan negara, yang bererti para sasterawan negara ini mengatasi PB, maka anda boleh dituduh sebagai bersikap ingkar ilmu, kerana terlalu angkuh meletakkan para sasterawan negara ini di atas kedudukan ilmu, sesuatu yang amat aneh kerana jika ini benar, maka inilah yang dimaksudkan dengan pandirisme. Kita perlu mendapat penjelasan daripada para penilai yang meremehkan ilmu ini. Nampaknya kedudukan yang diberi pembelaan yang tidak masuk akal ini terlalu lucu untuk diberi perhatian serius!  Para sarjana dan pengkritik sastera tidak wajar menjadikan para sasterawan negara ini seolah-olah Raja Lawak dalam sastera Melayu; apatah lagi apabila terdapat di antara mereka yang sanggup naik bumbung kilang berkarat untuk mencari ilham, yang hasilnya benar-benar hampas, seperti yang telah dibuktikan dalam ulasan saya, “Keunggulan Yang Cacat”. 

Beberapa tahun sebelum sasterawan negara dipilih, saya telah menulis tentang wujudnya Brahmin Sastera, yang menganggap diri mereka sangat istimewa dan tidak boleh dikritik. Bila sasterawan negara diwujudkan, saya tidaklah terkejut sangat; malah agak gembira kerana pemerhatian saya adalah tepat, memang benar mereka ini menuju ke arah itu. Sekarang sudah berapa orang Brahmin Sastera yang sudah kita lantik?  Gelaran Brahmin Sastera lebih “berprestij” daripada gelaran sasterawan negara kerana sudah ada tradisinya dalam kebudayaan Melayu ketika orang Melayu beragama Hindu-Buddha. Kalau kita mahu hidupkan cerita-cerita penglipur lara dan mengadakan Department of Penglipur Lara di universiti, (cadangan sasterawan negara Muhammad Haji Salleh dalam tulisan atas bumbungnya),  maka amatlah wajar jika gelaran Brahmin Sastera itu kita gunakan tanpa ragu-ragu.  Sasterawan negara paling unggul, penulis novel terbesar sastera Melayu sepanjang zaman, adalah seorang sasterawan yang amat mesra dengan budaya Hindu-Buddha ini, yang begitu jelas dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto, dan novel-novel beliau yang lain (Pawang Kri misalnya).  Beliau diberi pujian tertinggi dalam ulasan para sarjana, pengkritik dan sasterawan sendiri kerana keunggulannya menghidupkan penglipur lara, sehingga seorang Muhammad Haji Salleh (terkenal sebagai penulis esei di atas bumbung kilang besi berkarat) dengan bangganya berkata (dalam ucap utama beliau) bahawa Anwar Ridhwan telah membawa cerita penglipur lara ke dunia global.  Para sarjana lain, antaranya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Dr. Mawar Shafei memuji penulis agung ini kerana sangat cekap menggunakan unsur lipur lara itu dalam karya beliau (beliau menggunakan istilah yang amat berprestij untuk maksud itu, hipertex dan intertext, intertextuality); begitu juga Prof. Solehah Ishak yang menterjemahkan Naratif Ogonshoto, terpesona dengan keunggulan Anwar Ridhwan sebagai seorang pelipur lara moden. Berasaskan fakta ini, cadangan saya supaya gelaran Brahmin Sastera itu dipakai untuk mengganti gelaran “sasterawan negara” amat tepat, dan sesuai dengan budaya lama Melayu sebelum Islam. Lagi pula, Anwar Ridhwan sendiri memberi kedudukan tertinggi kepada Sang Resi yang telah menyelamatkan Negara Ogonshoto dari terkena tsunami. Sang Resi memberi amaran, jika penyu keramat keluar dari sarangnya, akan terjadi tsunami. Dan terjadilah… Negara Ogonshoto, menurut Anwar Ridhwan, telah diselamatkan oleh Sang Resi itu. Menurut Kamus Dewan,  “resi” bererti “orang suci”. Nah, bukti apa lagi yang anda mahu? Tepat sekali jika para sasterawan negara ini digelar Brahmin Sastera, kerana mereka semuanya adalah “resi sastera” yang suci dan tidak boleh dikritik.

Itulah kenyataan yang terbentang di hadapan kita, tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun. Tidak pasti sama ada Panel Anugerah Sastera Negara sedar atau tidak kepada kenyataan ini; tetapi jika kita meneliti laporan mereka, kita boleh membuat kesimpulan yang selamat bahawa mereka tidak sedar akan kenyataan ini; malah sebaliknya mereka memberikan pujian tinggi kepada karya para Brahmin Sastera ini tanpa sebarang hujah, hanya melontarkan kenyataan yang tidak dibuktikan dengan fakta dan analisis.  Kata-kata pujian yang mereka gunakan, seperti eksperimen, kelainan, pembaharuan, keindahan bahasa dan style, sebenarnya tidak bermakna apa-apa kerana semua itu tidak ada, tidak terdapat di dalam karya yang mereka puji itu. Mereka menggunakan kata-kara pujian yang kosong itu hanya dengan maksud yang bertentangan dengan semangat kemuliaan ilmu. Pembuktian yang terperinci telah diberikan dalam entri bertarikh 28/10/2014 dan bertarikh   11 Ogos, 2015   untuk rujukan anda.  Tulisan 2015 itu penting kerana di situ anda akan dapat melihat wajah sebenar Prof. Dato’ Rahman Shaari, yang kini menjadi seorang anggota akademik penting di ASWARA.  Saya harap sesiapa juga yang berminat kepada ilmu membaca entri 2015 itu kerana di situ kita mendapat pandangan akademik yang berharga daripada Prof. Dato’ Rahman Shaari tentang konsep ilmu dan peranan PB dalam sastera Melayu.

Apakah kesimpulan yang kita dapat? Jika anda benar-benar percaya Naratif Ogonshoto itu novel paling agung dalam sastera Melayu sepanjang zaman, anda juga harus menerima hakikat bahawa novel itu menerima Sang Resi sebagai tokoh besar yang mewarnai karya agung itu.  Yang kedua, karya ini menolak segala rupa yang boleh kita panggil nilai-nilai murni, kerana menurut penulisnya, nilai-nilai murni tidak diperlukan dalam menegakkan hegemoni seseorang pemerintah untuk mengekalkan kuasanya. Inilah yang difahaminya dari ajaran Machiavelli.  Walaupun kesimpulan itu salah dan lucu serta tidak berasas, namun para sarjana ciritan yang memuji karya ini telah memberi kata putus sesama mereka inilah karya teragung dalam sastera Melayu. Kesimpulan ini dibenarkan dalam politik seluruh dunia, seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam eseinya yang memuji karya agun g ini.  Walaupun kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan lain-lain penyokong beliau tidak mempunyai asas akademik, mereka mempunyai penyokong terkuat dalam Panel Anugerah Sastera Negara yang memilih Anwar Ridhwan diberi gelaran sasterawan negara. Dalam kes ini, satu analisis terperinci diperlukan untuk menentukan bahawa novel ini benar-benar sebuah novel agung. Dalam apa juga kajian, anda tidak boleh mengelak daripada membuat perbandingan kerana kini sudah menunggu Pujangga Melayu untuk dinilai sehabis kritis dalam satu kajian perbandingan dengan novel agung sepanjang zaman ini. Kredibiliti para sarjana, ciritan atau tidak, bergantung pada cara mereka mempertahankan novel picisan ini sebagai sebuah novel teragung sepanjang zaman dalam sastera Melayu. Cara paling mudah untuk melakukan ini ialah dengan menjawab satu soalan mudah dan bodoh: Mana satu di antara dua buah novel ini, Naratif Ogonshoto atau Pujangga Melayu yang boleh mencerdikkan pelajar sekolah? Budak-budak sekolah pun boleh menjawab soalan itu. Mengapa PENA tidak saja mengadakan satu seminar kebangsaan dengan menjemput wakil budak sekolah untuk membincangkan dengan akademik pertanyaan mudah dan bodoh itu?

Kesimpulan

Pertanyaan yang menjadi tajuk entri kali ini bolehlah dijawab oleh budak-budak sekolah dalam seminar yang dimaksudkan, setelah para sarjana sendiri sudah hilang akal tidak dapat mempertahankan keputusan mereka bahawa Naratif Ogonshoto sebuah novel teragung di Malaysia, sepanjang zaman.  Budak-budak sekolah yang kini sudah mempelajari dengan mendalam novel agung ini, tentu saja boleh memberi keputusan yang kita perlukan. Tidak mengapa jika mereka tidak dibenarkan membaca Pujangga Melayu, kerana novel mini ensiklopedia itu tidak memerlukan budak-budak sekolah untuk membuat penilaian. Kita beri peluang kepada guru sastera, guru budak-budak sekolah tadi, untuk membuat penilaian mereka.  Setelah Panel Anugerah Sastera Negara telah dibuktikan gagal memberi keputusan muktamad yang tepat, kita biarkan budak-budak sekolah pula membuat keputusan itu, untuk membuktikan pengajaran sastera sudah mencapai maksudnya mencerdikkan murid-murid sekolah. Kita biarkan mereka sendiri menentukan kejayaan dasar pendidikan negara yang dihempap ke atas bahu mereka.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20/11/2017.


Tuesday, November 7, 2017

DI MANAKAH KEKUATAN KARYA SASTERA?



Pertanyaan dalam tajuk ini bermaksud untuk menggariskan dengan jelas dan padat cici-ciri kekuatan karya sastera, terutama yang dihasilkan oleh para sasterawan negara. Dalam entri yang lepas mengenai Pujangga Melayu, dijelaskan beberapa ciri kekuatan karya persuratan yang tidak terdapat dalam karya sastera yang dihasilkan oleh para sasterawan negara, sehingga dibuat kesimpulan mereka tidak layak diangkat dan dilantik sebagai sasterawan negara. Yang paling istimewa menurut para sarjana sastera dan pengkritik sastera, ciri utama karya para sasterawan negara ini ialah sifatnya yang berunsur penglipur lara. Keistimewaan ini diakui oleh Prof. Solehah Ishak  dalam kata-kata beliau, “Anwar is the master pelipur lara (raconteur) who will regale his readers with such  wondrous tales.” (hal. ix).

Dengan pengakuan itu, beliau membenarkan kesimpulan saya bahawa para sasterawan negara adalah penglipur lara, bukan pemikir sastera yang berbobot.  Tetapi Prof. Solehah Ishak dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengakui sifat penglipur itulah yang menjadi kekuatan Naratif Ogonshoto.  Adakah mereka serius?  Saya fikir mereka serius, kerana memang itulah sifat asasi semua karya para sasterawan negara. Saya melihat ini dalam konteks Gagasan Persuratan Baru yang melahirkan Pujangga Melayu. Tidak mungkin mana-mana karya para sasterawan negara ini mencapai taraf Pujangga Melayu dari perspektif ilmu dan teknik kreatif, seperti yang saya buktikan dalam entri yang lepas. Saya telah membuktikan kebenaran kesimpulan ini dengan merujuk cerita pendek awal saya (1957) yang menjadi asas karya kreatif saya dan tidak berubah hingga sekarang. Kesedaran itu amat awal dan masih kekal hingga sekarang. Lebih-lebih lagi semua ini terserlah dalam karya saya yang diterbitkan selama ini.  Dengan kenyataan ini, saya sekali lagi menjemput semua para sarjana yang tidak bersetuju dengan kesimpulan ini memberi hujah mereka. Jika mereka tidak mahu, atau tidak mampu, maka mereka ternyata tidak mempunyai kejujuran akademik dan ini sangat merugikan masyarakat kerana mereka akan terus menerus menipu masyarakat melalui pretensi intelektual (saya sudah bincang aspek ini lama dulu).  Tugas mereka untuk meyakinkan kita bahawa sastera mempunyai kekuatannya untuk diteruskan. Tentu saja mereka tidak boleh berdolak-dalik untuk meneruskan suatu usaha yang sebenarnya sia-sia dan tidak berguna untuk diteruskan. Sekarang sudah ada alternatif baru yang lebih canggih, maka dengan itu amatlah wajar jika para sarjana sastera dan pengkritik sastera, bersama-sama para sasterawan, memberikan hujah mereka yang mantap mengapa mereka mesti meneruskan kehidupan intelektual mereka yang cetek meraba-raba dan keliru dalam konsep ilmu.

Bila kita bercakap tentang alternatif, kita sebenarnya mempunyai pilihan. Dengan itu anda boleh saja meneruskan apa yang anda buat sekarang, tanpa mempedulikan perkembangan baru yang lebih mencabar. Saya lihat kemunculan Gagasan Persuratan Baru adalah suatu cabaran intelektual yang sebelumnya tidak pernah muncul. Saya sudah sering mengatakan dengan keyakinan yang kuat bahawa Gagasan Persuratan Baru adalah satu-satunya anugerah intelektual kepada Malaysia untuk dikritik sehabis kritis, atau diberi sokongan sehabis jujur untuk dijadikan panduan dalam penulisan kreatif dan akademik. Kalau anda membaca perkembangan intelektual di Barat, anda akan dapati mereka sangat gigih mengemukakan pendapat kritis mereka dan bersedia untuk menerima kritikan daripada sesiapa sekalipun. Kita belum ada kesedaran itu. Ini kerana kelemahan yang nyata dalam penguasaan ilmu. Sudah berkali-kali saya mengatakan bahawa tulisan para sarjana kita tentang pemikiran para sasterawan negara amat mengecewakan. Tidak saja para sasterawan negara ini sudah diterima sebagai penglipur lara moden; malah para sarjana dan pengkritik sastera juga menjadi penglipur lara dalam dunia akademik palsu yang gagal menyumbangkan pemikiran yang benar-benar mencabar dunia akademik kita.

Kesimpulan ini perlu dicabar oleh para sarjana dan pengkritik sastera untuk membuktikan tidak benar, malah mungkin mengandungi unsur fitnah yang besar. Tetapi jika sebaliknya, jika kesimpulan ini memang tepat dan benar, berasaskan penelitian kritis terhadap sumbangan para sasterawan negara ini, maka apakah sikap dan pendirian mereka selepas itu? Pada waktu ini cabaran seumpama ini amat ditakuti oleh para sarjana dan pengkritik sastera; dan di kalangan para sasterawan negara pula mereka menggeletar ketakutan kerana para sarjana dan pengkritik yang membela selama ini buntu, mati akal bila berdepan dengan cabaran ini. Biarlah saya jelaskan mengapa cabaran ini penting dan perlu disambut dengan tuntas oleh pihak yang berkenaan.  Saya telah membuat kesimpulan bahawa karya terbesar dalam sastera Melayu, Naratif Ogonshoto, adalah sebuah karya picisan yang memperagakan tindakan jahat golongan Mafia yang menguasai Negara Ogonshoto (yang hanya ada dalam khayalan Anwar Ridhwan).  Yang diberi gelaran Presiden dalam novel ini adalah seorang ketua Mafia; oleh itu segala kebaikan yang disebut oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan lain-lain sarjana dalam pembelaan mereka adalah bertujuan untuk menjadikan idea Mafia yang dibentangkan dalam novel agung ini sebagai kelainan dan pembaharuan yang unggul yang menyedarkan masyarakat bahawa kejahatan dan kezaliman adalah penting dalam kepemimpinan sesebuah negara yang maju, seperti Negara Ogonshoto itu. Itulah model yang perlu diikuti oleh semua negara dunia, termasuk Malaysia. Inilah yang dimaksudkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kata-katanya ketika membuat kesimpulannya, “Naratif Ogonshoto berdiri sebagai sebuah teks yang lengkap teradun pelbagai unsur daripada pelbagai sumber, dan teks ini terhasil sebagai karya yang tinggi nilainya ibarat madu yang telah melalui proses penyaringan daripada sumber yang pelbagai. Naratif Ogonshoto menawarkan satu penyelesaian yang menarik dalam usaha para seniman menghantar suara radikalnya untuk mengkritik sesuatu golongan yang berkuasa. Karya ini telah menampilkan keupayaan karya seni untuk memberikan teguran yang keras tetapi berkias. Dari segi ini, Anwar telah memanipulasi kaedah kritikan cara Melayu yang banyak ditemukan dalam sastera rakyat dan sastera sejarah dengan cara yang sangat halus tetapi menikam.”

Ketika membaca kesimpulan ini, saya yakin Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berada dalam dunia ilusi yang sangat hebat, yang hanya boleh muncul dalam mimpi. Semua kesimpulan yang diberikan oleh beliau adalah jenis retorik hogwash yang diberi maknanya dengan jelas oleh Cambridge English Dictionary, “nonsense or words that are intended to deceive.”

Pembacaan yang kritis terhadap novel agung ini tidak memberikan apa-apa yang positif dari segi perwatakan, teknik, style, bahasa, dan persoalannya atau temanya.  Kesimpulan ini tidak dapat ditolak oleh mana-mana sarjana sastera, kecuali jika beliau seorang sarjana tiga suku yang memang berminat kepada kebodohan dan kejahatan yang melampau. Saya tidak pasti sama ada sarjana jenis ini terdapat di Malaysia; yang saya pasti mereka pada umumnya memberikan pendapat yang tidak siuman, seperti yang anda dapat lihat dalam beberapa contoh yang saya pernah kemukakan dalam blog ini.  Barangkali yang paling aneh ialah mengapa sifat tidak siuman itu kelihatan amat jelas ketika para sarjana ini memberi pujian tinggi kepada novel agung ini, tanpa memberikan sebarang hujah dan pembuktian yang kukuh.

Peranan kritikan jenis hogwash ini nampaknya mendapat sokongan para sarjana, kerana bagi mereka inilah satu-satunya kaedah yang boleh digunakan untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara.  Tetapi pembelaan seumpama ini tidak berfaedah langsung, kerana tidak ada hujah yang konkrit  yang boleh diuji tepat atau tidak. Ukuran yang tepat haruslah berasaskan konsep ilmu, dengan itu kita mahu pembuktian yang tidak dapat diragui bahawa karya para sasterawan negara ini mempunyai kualiti itu. Apakah yang menghalang para sarjana dan pengkritik sastera daripada mengemukakan hujah akademik mereka berasaskan peranan ilmu dalam karya para sasterawan negara ini. Kita mahu mendengar sendiri pengakuan konkrit daripada para sarjana dan pengkritik sastera mengenai perkara ini. Jika mereka tidak mampu melakukannya, maka pilihan terbaik bagi mereka ialah menerima penilaian berasaskan gagasan Persuratan Baru. Menolak PB tanpa hujah adalah satu jenayah akademik; oleh itu mereka ini  dituntut menyatakan pendirian mereka tentang peranan ilmu dalam karya kreatif dengan mengemukakan buktinya daripada karya para sasterawan negara sendiri.

Jika para sarjana ini serius dan benar-benar percaya dari segi akademik bahawa “sastera adalah teras negara bangsa”, mereka perlu tampil memberikan hujah yang konkrit, yang tidak terdapat dalam buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa.  Yang terdapat dalam buku itu hanya slogan, bukan penghuraian yang konkrit dan akademik.  Setelah dicabar oleh gagasan Persuratan Baru, kedudukan sastera tidak lagi seperti dahulu, sudah diturunkan darjatnya menjadi karya kelas dua selepas karya persuratan. Apa akan terjadi kepada para sasterawan negara yang ternyata hanya berjaya menyerlahkan pandirisme dalam karya mereka, bukan berasaskan ilmu yang benar. Sekarang mereka perlu menyatakan dengan tegas bahawa tidak ada konsep ilmu yang benar itu; kerana yang menjadi keutamaan ialah  sensasi dan khayalan jenis penglipur lara, seperti yang diakui sendiri oleh Prof. Dr. Solehah Ishak dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Pengakuan ini memberi makna bahawa tiada seorang pun di antara para sasterawan negara ini layak digelar pemikir; hanya sejenis penglipur lara moden seperti yang ditegaskan oleh Prof. Dr. Solehah Ishak.

Di manakah kekuatan karya sastera? Mengikut Prof. Solehah Ishak dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan lain-lain sarjana yang memuji tinggi Naratif Ogonshoto, termasuk Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, kekuatan karya agung itu ialah pada sifat penglipur laranya dan sensasi yang berlebihan serta kejahatan manusia yang tidak terbatas, dengan kata-kata yang lebih tegas, kekuatan itu kerana gerakan Mafia telah berjaya diterjemahkan dengan cantik dan berkesan sekali dalam novel agung Naratif Ogonshoto oleh sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.  Karya agung ini, menurut penulisnya, kaya dengan unsur Islam oleh itu sebuah karya intelektual berasaskan Islam. (Rujuk tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu Bakar.)  “Teori kerancuan sastera” yang ditelurkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad boleh digunakan untuk mempertahan karya agung satu-satunya dalam sastera Melayu moden, Naratif Ogonshoto.  Sebagai  perbandingan, yang juga satu peringatan kecil, “kerancuan” dalam makna yang diberikan oleh semua kamus bahasa Melayu/Indonesia adalah ‘iwajan  dalam konteks al-Quran (Surah al-Kahfi, ayat 1).  Tetapi kerana para sarjana sastera, pengkritik sastera, dan para sasterawan negara sendiri telah menolak konsep ilmu yang benar dan juga menolak al-Quran sebagai sumber ilmu, bagi mereka tidak ada percanggahan. Sastera adalah sastera, bukan sebuah karya teologi, tegas mereka dengan yakin. Di situlah kekuatan sastera Melayu moden.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 7/11/2017.