Tuesday, October 28, 2014

KEUNGGULAN YANG CACAT



KEUNGGULAN YANG CACAT: Satu Pandangan Kritis Terhadap Sumbangan Sasterawan Negara dari Segi Pemikiran dan Keupayaan Kreatif


[Catatan:  Mempertahankan sasterawan negara bukan dengan melindungi mereka dari sebarang kritikan dan perbincangan serius dan kritis. Mereka telah diisytiharkan sebagai the cream of Malaysian writers, sasterawan terbaik yang ada di Malaysia waktu ini. Dengan tidak mendedahkan mereka kepada ujian dalam penilaian yang kritis, maka mereka telah diletakkan lebih tinggi daripada para ulama dan ahli ilmu yang sentiasa dikritik dan dibahaskan sumbangannya dengan kritis. Mengadakan seminar tentang “pemikiran” mereka tidak mencukupi untuk menilai karya mereka dengan objektif kerana kecenderungan penulis kertas kerja ialah untuk menyanjung dan memuji, bukan untuk menganalisis dengan kritis sumbangan mereka.]


Saya masih berpegang kepada pendirian saya bahawa kemunculan sasterawan negara di Malaysia adalah satu penyelewengan kebudayaan yang kita tidak perlukan sama sekali. Kita telah memberi kedudukan yang tidak sepatutnya diberikan dan ditonjolkan kepada sekumpulan sasterawan yang dari segi pemikiran adalah mandul dan  dari segi kreatif pula tidak lebih daripada peniru yang tidak tahu memilih. Mereka adalah kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba”. Layakkah mereka diberi kedudukan istimewa melebihi para ulama dan cendekiawan Melayu terbilang seperti Za’ba yang tidak pernah diberi penghormatan  dan kedudukan seperti itu? Saya akan jelaskan mengapa pandangan saya adalah tepat, objektif dan boleh diuji ketepatannya.

Pertama sekali, apakah yang kita maksudkan dengan pemikiran?  Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan “Seminar Pemikiran Sasterawan Negara” untuk  meraikan kehebatan “pemikiran” para sasterawan negara. Dari segi jumlah kertas kerja yang dihasilkan, kita sudah mempunyai tidak kurang dari 200 kertas kerja yang dikatakan “ilmiah” dan tinggi kualiti akademiknya.  Dilihat dari jumlah yang begitu besar, kita sepatutnya tidak perlu menimbulkan apa juga keraguan terhadap para sasterawan negara ini sebagai golongan pemikir terbaik yang pernah kita lahirkan dalam negara kita, sehingga melayakkan mereka diberi gelaran yang begitu megah sebagai “sasterawan negara”. Tidak ada seorang pun yang layak diberi kedudukan setinggi itu oleh negara dari kalangan para ulama dan ahli ilmu yang pernah kita lahirkan, kecuali gelaran Pendeta yang diberikan oleh rakyat  kepada Za’ba.  Tetapi Za’ba bukan “pemikir”,   oleh itu tidak sebuah pun karya beliau diangkat menjadi buku teks dalam subjek “kesusasteraan dan bahasa”.  Bandingkan dengan kemegahan yang diberikan kepada sasterawan negara yang karya mereka diangkat ke bilik darjah untuk dikunyah oleh para pelajar dan diuji hasil kunyahan itu untuk diberi markah.  Apakah yang didapati oleh para pelajar ini hasil dari kunyahan karya para sasterawan negara ini?  Hanya air liur mereka sendiri yang tawar, tidak ada benda-benda yang berfaedah yang akan membolehkan para pelajar itu berubah menjadi cerdik, kritis, tajam daya estetiknya dan benar-benar dapat membezakan mana satu karya yang indah dan mana satu pula yang hanya ocehan sahaja.  Adakah mereka tahu maksud dan makna keindahan itu? Apakah yang indah itu? Kita akan diberitahu oleh para pelajar ini, bahawa yang indah dalam sajak para sasterawan negara ialah aliterasinya, alusinya, metaforanya, perbandingannya, perulangannya, ironinya, dan segala istilah sastera yang mereka dapat daripada buku-buku panduan peperiksaan yang memberi sanjungan dan pujian tinggi kepada karya para sasterawan negara ini. Apakah hasilnya? Di sana sini orang bercakap tentang kegagalan pengajaran sastera di sekolah-sekolah, sehingga kesusasteraan sebagai satu subjek tidak diminati, malah diremehkan oleh guru dan para pelajar sendiri dan akhirnya dihapuskan, satu tindakan berani yang betul. Sekurang-kurangnya seorang profesor sastera telah menulis tentang masalah ini dan mencuba memberikan beberapa cadangan untuk mengatasinya. Kita lihat pandangan Prof. Mohd. Mokhtar Hassan dalam kertas kerja beliau yang dibentangkan dalam “Seminar Sasterawan Negara II” di Universiti Putera Malaysia, 26 April 2014.

Ada dua perkara yang sangat aneh tentang kertas kerja ini.  Pertama, penulis ingin berbicara tentang pendidikan sastera yang menghadapi masalah, tetap dia tidak jelas apakah sebenarnya masalah itu. Akhirnya dia berbicara meleret-leret memberitahu beberapa “dapatan” soal selidiknya. Adakah ini penting, dan merupakan masalah sebenarnya?  Ini berkaitan dengan perkara kedua, mengenai kejujuran akademiknya dalam menggunakan sumber. Dia tidak tahu, suatu perkara yang amat memalukan bagi seorang sarjana, bahawa masalah yang dia sedang rintih itu sudah dirintis dan  dibicarakan dengan mendalam sejak tahun 1990 lagi, malah sebelum itu pun. Tahun 1992 DBP menerbitkan Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid, oleh Mohd. Affandi Hassan, yang menegaskan bahawa kita harus mulai memperkenalkan pendidikan estetika,  bukan lagi pengajaran sastera di sekolah menengah dan di universiti. Saya agak ketika buku itu diterbitkan, profesor ini belum lahir, jadi dia tidak tahu buku itu wujud dan membicarakan dengan mendalam aspek pendidikan estetika itu sebagai alternatif, malah untuk menggantikan, pengajaran sastera. Masalah kita ialah masalah ilmu, dan ini ditunjukkan oleh penulis profesor ini sendiri, yang sudah jelas sedang menghadapi masalah ilmu ini. Dalam konteks ini, yang kita perlu bereskan bukan maklumat yang dibentangkan oleh sang profesor, kerana maklumat itu tidak boleh berbuat apa-apa dan tidak menyelesaikan masalah jika sekiranya kekacauan dalam konsep ilmu tidak dibereskan terlebih dahulu. Jika anda mahu bukti bagaimana masalah ini lebih akut (Inggeris: acute) lagi dideritai oleh penulis ini, maka inilah contoh the confusion in the concept of knowledge. Baca kutipan ini:

“Hal yang sama jika diteliti pada cerita si Tanggang. Lazimnya para peneliti,
para pengkaji sastera mahupun para pelajar ditekankan supaya jangan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Jika derhaka, maka anak-anak akan mendapat balasannya sepertimana yang berlaku kepada Si Tanggang. Di sebalik unsur moral dan pengajaran yang ditekankan, kisah “Si Tanggang” juga memperlihatkan nilai positif. Akibat kemiskinan, Si Tanggang bercita-cita hendak jadi kaya dan terkenal. Di sini memperlihatkan bahawa Si Tanggang ada matlamat, iaitu ingin menjadi kaya dan terkenal. Untuk mencapai cita-citanya, ia bekerja dengan Nakhoda kapal apabila sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang bekerja keras untuk mencapai cita-citanya hingga menyebabkan Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang. Si Tanggang cekap dan pandai berniaga hinggakan namanya terkenal. Si Tanggang dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang berjaya meniti dari satu tangga ke satu tangga untuk berjaya menjadi saudagar kaya apabila adanya perancangan.” (Prof. Mohd. Mokhtar Hassan, dalam kertas kerjanya, “Kesusasteraan Melayu mutakhir: antara realiti dan harapan”.)

Selama ini para sasterawan negara menolak kritikan saya bahawa mereka membawa nilai buruk dan negatif dalam masyarakat Melayu, terutama sekali di kalangan pelajar. Sekarang mereka sendiri sudah mengaku, dan memperakukan kejahatan itu dalam bentuk baru sebagai perancangan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan. Panel sendiri menggalakkan perubahan nilai ini, dengan memanggilnya kemajuan, perubahan, kelainan, eksperimen, jalur kemajuan dan macam-macam istilah lagi. Semua ini diterima dengan baik, dipertahankan dengan hujah bahawa inilah wajah moden, wajah postmodern. Semua perubahan ini membawa nilai-nilai baru yang sekular, sama ada disedari atau tidak. Kutipan daripada Prof. Mohd. Mokhtar Hassan adalah jelas menunjukkan bahawa perubahan itu digalakkan dengan diberi nama baru, dalam istilah profesor ini dipanggil perancangan untuk mencapai kejayaan hidup. Peranan sajak “Pulang Si Tanggang” lebih jelas di sini, kerana sajak itu sudah diberi tempat  secara rasmi di sekolah-sekolah melalui Kementerian Pendidikan. Hujah Prof. Mohd. Mokhtar Hassan, walaupun palsu, mendapat sambutan kerana akhirnya kejahatan Si Tanggang dapat dipadamkan dengan dilihat dalam konteks mencari kemajuan dalam kehidupan peribadi.

Pretensi Intelektual Muhammad Haji Salleh


Palsunya hujah Prof. Mohd. Mokhtar Hassan ini boleh diuji melalui perbahasan tentang suatu aspek daripada “pemikiran” Muhammad Haji Salleh, yang juga diberi tekanan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Saya merujuk kepada konsep kebijaksanaan yang disebut oleh Muhammad Haji Salleh sebagai matlamat akhir sesebuah sajak. Merumuskan pandangan Muhammad Haji Salleh, Panel menegaskan begini: “Muhammad berpendapat, puisi adalah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa dan kebijaksanaan penyair dan tradisinya.  ... bahawa puisi seharusnya boleh membijaksanakan pembaca, menyebabkan puisi-puisinya mempunyai jalur serta warna tertentu bukan saja daripada aspek pemilihan diksi serta pengungkapan, malah peranan yang harus dimainkan oleh otak, akal dan pegangan dalam menghadapi tantangan duniawi.” (Laporan Panel 1991 hal. 5)  Menurut Panel, idea puisi membijaksanakan ini diambil oleh Muhmmad Haji Salleh daripada Robert Frost, penulis sajak Amerika yang terkenal, terutama sajaknya yang sangat masyhur, “The  Road Not Taken” (hal. 10). Ambiguiti dalam sajak ini dikatakan menjadi perbahasan berpanjangan di kalangan pembaca sajak Amerika; dari aspek ini kedudukannya samalah dengan ucapan Shakespeare “to be or not to be” dalam Hamlet. Apakah kebijaksanaan yang terdapat di dalam sajak Robert Frost yang memikat Muhammad Haji Salleh ini? Inilah stanza yang menjadi perbahasan itu:


I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I —
I took the one less traveled by, 
And that has made all the difference.

Kebijaksanaan itu, kata para sarjana dan pembaca Amerika, terletak dalam ayat “I took the one less traveled by,”. Bagaimana jika sajak ini dibaca oleh seorang pembaca Muslim berasaskan epistemologi Islam? Sajak ini tidak lebih daripada sejenis permainan kata, bukan suatu pernyataan tentang kebijaksanaan apa pun. Tepat sekali dengan pendapat Robert Frost yang amat dikagumi oleh Muhammad Haji Salleh: “puisi sebagai performance in words atau suatu persembahan dalam bentuk perkataan” (hal. 10, dipetik daripada buku Pengalaman Puisi, hal. 8). Idea Frost ini berselirat dengan jelas dalam sajak-sajak Muhammad Haji Salleh. Bahawa sajak-sajak beliau lebih cenderung untuk dikategorikan sebagai persembahan dalam bentuk perkataan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh Prof. Madya Arbak Othman dalam kertas kerja beliau yang dibentang dalam “Seminar Pemikiran SN Muhammad Hj. Salleh” (Dewan Seminar, DBP Kuala Lumpur, 9-10 November 2010). Kertas kerja itu diberi judul yang penuh sensasi, “Penstrukturan Intelektual dalam Puisi Muhammad Haji Salleh: Suatu Penelitian Semiotik”. Apakah makna “penstrukturan intelektual”? Saya harap tajuk yang bombastik ini berjaya membicarakan aspek pemikiran seorang sasterawan penting di Malaysia. Pendekatan semiotik jarang digunakan di Malaysia kerana agak sukar, rimbun dengan jargonnya sehingga seorang sarjana perlu menjadi hamba kepada pendekatan ini untuk memahaminya. Dalam tulisan Arbak Othman ini, tidak dibezakan antara “mencari makna” dengan “membina makna”, mungkin kerana semiotik hanya berminat kepada cara “membina makna” melalui lambang-lambang yang direka-reka untuk melahirkan sejenis logik semiotik yang menjurus kepada kefahaman yang sepatutnya. Konsep “membina makna” yang dipakai oleh Arbak Othman tidak ada kaitannya dengan konsep “mencari makna” kerana yang kedua ini berkaitan dengan pemikiran dan data budaya sesuatu tamadun. Ini dijelaskan oleh al-Jurjani dalam kitabnya Asrar al-Balighah. Sebuah contoh yang dikemukakannya cukup menarik. Dalam sebuah syair Arab, disebut di situ api sentiasa meninggalkan bara di sebuah khemah, yang bermaksud sheikh khemah itu sangat pemurah kerana sentiasa menyalakan api untuk memastikan setiap pengembara atau tamunya boleh dihidangkan dengan makanan panas yang enak. Soalan: Adakah sajak-sajak Muhammad Haji Salleh sudah sampai ketinggian kebijaksanaannya dan keintelektualannya setinggi itu? Dengan membina makna berasaskan semiotik, nampaknya Arbak Othman cenderung ke arah itu. Tetapi bacaan saya sangat berbeza, kerana saya dapati, setelah “mencari makna” yang cuba disampaikan oleh pensajak, sajak yang dicontohkan oleh Arbak Othman itu hanya sejenis permainan kata-kata, sejenis retorik dalam “permainan kata” seperti yang dikonsepsikan oleh Robert Frost, yang diminati oleh Muhammad Haji Salleh itu. Anda boleh membaca sajak yang dikemukakan Arbak Othman dalam kumpulan sajak pilihan Aksara Usia, hal. 153, berjudul “sebuah sajak” ditulis 1996.

Retorik Teh Tarik Baha Zain



Saya memberi tajuk tulisan ini “Keunggulan yang Cacat”, untuk memberi penekanan kepada keunggulan yang cuba dibina di sekitar para sasterawan negara sebagai golongan yang unggul, yang secara rasmi mempunyai tempat yang lebih tinggi daripada para ulama terbilang dan cendekiawan Melayu yang bijak. Satu lagi contoh keunggulan yang cacat ini diberikan oleh Baharuddin Zainal aka Baha Zain, yang pemilihannya sebagai sasterawan negara ditolak oleh Shahnon Ahmad. Baha Zain adalah salah seorang anggota Panel yang memilih Shahnon Ahmad sebagai sasterawan negara kedua selepas Keris Mas tahun 1982. Ketika itu dia seorang pemimpin muda UMNO yang terkenal di Kedah.  Beliau beruntung kerana Usman Awang, yang sepatutnya mengambil tempat kedua, diundurkan ke tempat ketiga tahun berikutnya. Mengapa perubahan ini terjadi mungkin diketahui oleh Baha Zain. Kita lihat siapa Baha Zain ini.  Tetapi Usman Awang beruntung kerana dalam sejarah sasterawan negara, laporan tentang beliau  adalah yang terpanjang (106 halaman, teks sahaja 76 halaman); manakala laporan tentang Shahnon Ahmad adalah yang terpendek, hanya 43 halaman, teks sahaja 21 halaman. Nampaknya Panel tidak mempunyai masa untuk menulis lebih panjang, atau ketika itu bahannya tidak banyak; sebaliknya untuk Usman Awang, Panel mempunyai masa lebih dari setahun (?) untuk menulis laporan yang panjang. Adakah ini hasil politik sastera yang dibicarakan oleh Keris Mas dalam ucapan penerimaannya? Semuanya tidak penting lagi kerana semuanya sudah menjadi sejarah, dan sejarah dalam alam intelektual Malaysia boleh diubah-ubah mengikut cita-rasa penulisnya. Baha Zain tidak dapat melepaskan dirinya daripada tempias kerenah sejarah itu, kerana beliau menerima gelaran sasterawan negara hanya pada tahun 2013, ketika tidak (?) ada lagi calon yang layak!  Bercakap tentang sejarah, saya adalah yang terawal membantah projek sasterawan negara ini, dengan memberi sumbangan satu ringgit tahun 1981 sebagai protes; dan menulis sebuah cerita pendek tentangnya, berjudul “Orang Yang Berdiri”. Cerita pendek ini diterbitkan dalam antologi saya yang diterbitkan oleh DBP, dengan segala kesalahan editing yang memalukan sekiranya editor atau sesiapa saja yang mengerjakan buku itu mempunyai maruah. Itu sejarah, tidak perlu diketahui.


Pensajak Baha Zain ini mendapat sanjungan tinggi daripada Prof. Muhammad Haji Salleh dan Prof. Dato’ Rahman Shaari, sebagai seorang pemikir unggul dalam sastera Melayu moden. Seorang teman yang suka bergurau memberikan komen beliau yang agak melampau dengan menambah huruf “t” di depan “unggul”. Saya fikir tidaklah sampai ke tahap itu kerana beliau bukan tunggul mati yang menunggu reput (walaupun Shahnon Ahmad dalam bantahannya berkata Baha Zain tidak layak diberi anugerah SN kerana beliau hanya menulis sajak-sajak kontot); oleh itu saya masih boleh terima kata sifat “unggul”, walaupun barangkali kurang tepat.  Jikalau anda membaca sumbangan Baha Zain dalam seminar tentang sasterawan negara yang diadakan di UPM, 26 April 2014, anda tidaklah salah untuk menilai sumbangan beliau sebagai “biasa-biasa saja”, mungkin kerana suasana tidak begitu mendesak untuk beliau melahirkan keunggulan pemikiran beliau. Seperti biasa dengan penulis ini, beliau memang unggul menggunakan “retorik teh tarik” yang tetap enak bagi orang yang sukakan teh tarik, tetapi kita semua tahu teh tarik bukanlah minuman terbaik yang terdapat dalam pasaran walaupun agak popular di kedai-kedai mamak.  Kita lihat contoh “retorik teh tarik” ini.

Perenggan pertama kertas beliau, ayat pertama berbunyi: “Dari waktu ke waktu penulis dan sasterawan perlu menilai zamannya; dan menaksir kedudukan dan tanggungjawab kebudayaannya.” Saya setuju seratus peratus dengan beliau; tetapi adakah beliau sendiri bersetuju dengan pendapat beliau ini? Saya fikir tidak. Keseluruhan tulisannya ini tidak sedikit pun memperlihatkan beliau sedar tentang perkembangan terbaru dalam kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, dalam pemikiran bernas yang boleh membawa kita ke arah pembentukan (atau pertumbuhan) budaya ilmu di negara kita. Adakah beliau tidak membaca karya-karya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan usaha beliau melahirkan sarjana Malaysia yang betul-betul dan benar-benar berkualiti? Sudah pasti tidak, kerana jika beliau membacanya dan benar-benar jujur seperti yang diucapkannya, dia tentulah akan tercabar untuk menyebut perihal kehilangan adab di kalangan para sasterawan yang dipanggil oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai golongan pinggiran yang “cetek meraba-raba”.  Faham ilmu yang dibawa oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas amat wajar diberi perhatian serius oleh para sarjana dan sasterawan, jika benar mereka berminat tentang “pemikiran”. Dilihat dari segi ini, amatlah jelas Baha Zain hanya bermain “retorik teh tarik” saja, bukan benar-benar ikhlas tentang “sasterawan perlu menilai zamannya”.  Jika beliau sendiri tidak mampu melakukan sarannya yang hebat itu, beliau sekurang-kurangnya berani untuk membuat kesimpulan: “kita belum lagi mempunyai sasterawan atau penulis seperti itu”. Dengan itu beliau memperlihatkan  keprihatinan beliau tentang perkara ini, dan dengan ikhlas serta berani memberi sedikit pandangan kritis beliau tentang persoalan ini. Tetapi kerana beliau tidak membaca, dan sudah jauh ketinggalan zaman, beliau tidak dapat melihat apa-apa perubahan yang cuba dilakukan oleh tokoh-tokoh yang saya fikir beliau tidak iktiraf sebagai pemikir. Sekurang-kurangnya beliau mempunyai Muhammad Haji Salleh, yang diiktiraf oleh Panel Anugerah Sastera Negara (yang Baha Zain sendiri pernah menjadi anggotanya) sebagai satu-satunya pensajak atau sasterawan intelektual di Malaysia. Apakah yang istimewa tentang Muhammad Haji Salleh? Tentulah kita mahu tahu, kerana kita memang tahu Baha Zain sangat rapat dengan tokoh besar ini.  Tidak mungkin selama berinteraksi dengan tokoh besar ini, beliau tidak pernah mendengar pemikiran yang dimaksudkan oleh beliau itu. Kita mahu tahu, misalnya, mengapa tokoh besar ini menjadikan Si Tanggang ikon bangsa Melayu, seorang tokoh yang perlu dihormati dan diikuti jejak langkahnya. Apa pendapat Baha Zain apabila saya sendiri menjadikan Pak Pandir sebagai ikon bangsa Melayu dan menulis sebuah cerita pendek tentangnya?  Sudah jelas “retorik teh tarik” tidak mungkin sampai ke situ!  Pendeknya apa yang saya sebut sebagai budaya pandirisme benar-benar menjadi ciri kegiatan intelektual di Malaysia.  Dalam konteks ini, yakni keberanian untuk mengaku kekurangan diri, nampaknya Prof. Muhammad Haji Salleh jauh lebih berani, seperti yang kita lihat dalam pengakuan beliau tentang betapa silapnya menggunakan teori dan pendekatan sastera Barat untuk menilai “diri kita yang bukan Barat”.  Tokoh besar ini juga tidak teragak-agak untuk membuat kesimpulan bahawa “kita belum lagi mempunyai teori sastera kita sendiri yang lengkap”.  Sebagai seorang ahli akademik yang cukup unggul  dan dihormati, serta diberi gelaran tertentu oleh para sarjana peminat beliau,  kita boleh maafkan beliau jika kita dapati beliau juga sudah ketinggalan zaman, oleh itu memberi pendapat, atau kesimpulan, tidak berasaskan fakta, tetapi hanya prasangka semata. 

Kita lihat “pemikiran” Baha Zain seterusnya. Tegas beliau: “Bangsa kita juga masih sangat memerlukan pemikiran yang hebat, dan semangat yang besar bagi membangunkan kebudayaan rohaniah, bahasa kebangsaan, persuratan, ilmu pengetahuan, seni dan budaya yang menjurus kepada pemersatuan penduduk, dan jati diri bangsa.”  Saya tidak perlu mengulas pandangan beliau ini, cukup hanya tersenyum sambil menghirup teh tarik yang sekali sekala saya minum.  Saya hampir mengatakan ucapan seperti ini hanyalah sejenis bullshit, dalam pengertian yang diberikan oleh Prof. Frankfurt dalam bukunya.

Anwar Ridhwan Sebagai Penglipur Lara Moden

Seorang lagi tokoh sasterawan yang dianggap sasterawan intelektual, penulis karya yang kaya dengan unsur intelektual, ialah sasterawan negara Anwar Ridhwan. Panel Anugerah Sastera Negara memuji tinggi  sasterawan ini dalam Laporan 2009: “Novel-novel Anwar Ridhwan, sama ada yang bersifat eksperimental atau konvensional, tidak dapat dibaca dan difahami secara mudah. Karyanya mempunyai sistem makna yang berlapis-lapis, dan menuntut renungan serta pentafsiran yang juga berlapis-lapis. Bahasa yang digunakannya padat dengan irama dan puisi, personifikasi, lambang dan ciri-ciri abstrak yang kadang-kadang sukar dikecapi rasa dan difahami akal. Usaha mencari makna kadang-kadang berdepan dengan bayang-bayang yang teramat asing dan penuh misteri. Pembaca dibawa melihat permasalahan sosial dan manusiawi dalam satu pencarian intelektual, secara meluas, mendalam dan melepasi sempadan hal-hal  peribadi. Pada akhir pencarian, pembaca akan merasa puas, faham dan sedar.” (lihat hal. 36-37).

Inilah kesimpulan yang paling tidak bertanggungjawab dari segi akademik, hanya sejenis ocehan atau idle talk yang kaya dengan unsur bullshit yang dikritik hebat oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit.  Ayat pertama dalam bukunya dimulai begini: “One of the most salient features of our culture is that there is so much bullshit.”  Ayat ini menggambarkan dengan tepat keseluruhan laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Saya telah membuktikannya dalam banyak pos yang disiarkan dalam blog ini. Saya hanya perlu memberi sedikit penjelasan terhadap kesimpulan saya sendiri setelah membaca karya sasterawan negara ini.

Pertama sekali mengenai “pencarian intelektual”. Ini satu kesimpulan penting yang memerlukan penjelasan dan pembuktian yang tidak boleh diragui sama sekali, sesuai dengan konsep intelektual yang digunakan oleh Panel. Seluruh laporan panel ini tidak sedikit pun cuba menjawab soalan yang paling mudah: Apakah aspek intelektual itu?  Bagaimana sekumpulan penilai yang amat kabur dan keliru konsep intelektualnya boleh berbicara dengan “mendalam” dan jelas tentang aspek intelektual dalam karya Anwar Ridhwan?  Konsep intelektual yang dipakai oleh Panel hanyalah sejenis fatamorgana bahasa yang diseret dalam retorik peragaan yang bertentangan dengan kualiti sebenar karya Anwar Ridhwan yang diberi pujian tinggi itu. Oleh sebab kumpulan penilai ini menekankan dengan tidak bertanggungjawab aspek intelektual ini, biarlah kita bahaskan aspek ini dengan sehabis kritis dengan memberikan penjelasan dan huraian yang sehabis tepat untuk mereka kritik atau kumpulan yang menyokong mereka memberikan sanggahan yang benar-benar mempunyai kualiti intelektual yang tinggi, bukan hanya sejenis picisan  intelektual yang berselindung di sebalik pretensi intelektual.

Dalam laporannya, Panel memuji cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”  sasterawan ini sebagai sebuah cerita pendek yang mempunyai unsur “filosofikal”. Ini pun tidak lebih daripada sejenis ocehan yang tarafnya hanya sejenis bullshit. Saya telah menolak secara tuntas kesimpulan tidak bertanggungjawab ini dalam tulisan saya yang dimuat dalam buku suntingan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM, Bangi 2010). Bacalah dengan kritis tulisan saya dalam bab 4, “Mengembalikan Peranan Ilmu yang Benar dalam Persuratan Melayu” (hal. 289-379). Tulisan panjang ini penting kerana di situ dibicarakan beberapa aspek unsur intelektual dalam persuratan Melayu dan dalam kesusasteraan, termasuk kritikan terhadap pandangan Panel yang tidak tepat ketika menilai karya Anwar Ridhwan. Tulisan ini perlu dibaca dengan kritis dan  amat dialu-alukan sekiranya anda ingin memberi sanggahan yang kritis pula. Dalam tulisan itu, pandangan saya tentang karya Anwar Ridhwan boleh dibaca pada halaman 316-320;  antara lain pandangan saya yang penting yang saya bincang dalam tulisan itu ialah aspek intelektual yang disebut oleh Panel. Saya nafikan sepenuhnya andaian Panel tentang unsur intelektual dalam karya Anwar Ridhwan, dengan membantu para pembaca yang kritis, termasuk anggota Panel sendiri jika mereka kritis, supaya melihat dengan kritis dan dengan penuh tanggungjawab akademik yang tinggi untuk melihat aspek intelektual ini dengan membandingkan karya Anwar Ridhwan dengan karya saya “Bukan Orang Jahat” (dalam Biarlah Orang Tahu, DBP 2005). Saya salin pandangan saya itu:

Laporan 2009 menekankan kehebatan Anwar Ridhwan dalam semua bidang penulisan yang diceburinya: dalam bidang cerita pendek, “Pencapaian kreativiti Anwar Ridhwan dalam menghasilkan cerpen meletakkannya sebagai satu jalur besar dalam sejarah perkembangan cerpen” (hal. 17); manakala dalam bidang novel, “Keistimewaan novel-novel Anwar Ridhwan bukan saja terletak pada pemilihan tema tetapi juga pada cara pengolahannya, yang menggunakan teknik naratif yang dapat dianggap sebagai unik dan luar biasa” (hal. 30).    Tentang cerita pendek, kata Laporan 2009: “Cerpen Anwar Ridhwan beralih angin kepada bentuk eksperimen dengan menggunakan pendekatan simbolik, yang berteraskan lambang seperti dalam cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’, apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia, [sebuah] dunia yang sempit, panas dan seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya. Kehidupan yang cuba digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan nilai Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak. Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan semata-mata” (hal. 10).  Kehebatan cerita pendek ini ialah kerana latar belakangnya New York, bukan Kuala Selangor atau Ulu Kelang. Menurut laporan ini, cerita pendek ini mengemukakan persoalan “filosofikal”. Penjelasan tentang  ‘persoalan filosofikal’ ini sangat daif, naif, samar-samar dan tidak langsung menjelaskan maksud ‘filosofikal’, seperti terdapat dalam kutipan ini: “Telah aku lihat dan rasai hidupmu di apartmen Jaffe Road ini. Tidak ada belas kasihan dan kedamaian. Apakah cintamu telah berakhir di apartmen ini?” [Azwar kepada Agnes kekasih seketidurannya](hal. 11). Apakah yang ‘filosofikal’ dalam ucapan ini? Pertanyaan itu diutarakan setelah mereka mengadakan hubungan seks. Itukah yang ‘filosofikal’ itu? Ternyata istilah (?) ‘filosofikal’ itu hanya perhiasan retorik yang tidak bermakna, tak ubah seperti baju kertas Pak Kaduk yang koyak rabak bila disentuh sedikit. Apakah yang ‘filosofikal’ dalam kisah perzinaan yang dilakukan di luar negeri oleh seorang pemuda Melayu? Penilai seharusnya mempunyai perasaan malu, sedikit pun mencukupi, apabila menggunakan kata sifat yang manis didengar, tetapi tidak bermakna dan amat mengelirukan. Menggunakan perkataan tertentu untuk menunjukkan sesuatu karya itu bernilai tinggi, boleh dianggap satu contoh yang amat buruk tentang “keaiban intelektual” yang sering dilakukan oleh para penilai yang tidak bertanggungjawab. Perbuatan begini, yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, dikategorikan oleh Jean-Francois Lyotard sebagai paganism.” [Jean-Francois Lyotard terms the state where we make judgments without criteria as paganism. (Rujuk The Icon Critical Dictionary of Postmodern Thought ed. Stuart Sim (Icon Books, 1998), hal. 331. Kemudian saya beri komen berikut, untuk sekadar memberi penjelasan terhadap perkataan “filosofikal”  yang digunakan oleh Panel. “Mungkin cerita pendek ini akan benar-benar bersifat filosofikal jika peristiwa seks bebas itu berlaku di tengah bendang Kuala Selangor, disaksikan cahaya bulan purnama penuh. Lalu terjadi dialog kecil ini: “Kau tidak rasa berdosa disaksi bulan purnama? (tanya Agnes). “Kita tidak berahsia. Tidak pura-pura. Kalau aku rasa berdosa, kita tidak segila ini. Yang penting bagiku peluang, bukan akibatnya. Aku seorang lelaki siuman …” (kata Azwar). Mereka berpelukan. Falsafahnya ialah: peluang melakukan kejahatan lebih penting daripada akibatnya; inilah ciri utama kehidupan moden. Inilah juga sifat dan “falsafah” kesusasteraan Melayu moden yang digambarkan oleh para sasterawan negara. Anda boleh bahaskan “falsafah hidup” ini berjela-jela”. Contohnya terlalu banyak diberikan oleh para sasterawan negara dalam karya mereka, baik sebelum atau selepas mereka dijadikan sasterawan negara.

Seterusnya ini lagi pandangan saya terhadap cerita pendek yang mendapat pujian tinggi Panel Anugerah Sastera Negara kerana teknik persembahan yang mereka anggap unggul, bukan kerana pemikirannya atau “falsafahnya”.

“Makna dan falsafah, jika ada, diketepikan kerana yang menjadi tumpuan ialah teknik. Sebagai seorang penulis kreatif yang juga menulis cerita pendek dan novel, saya tidak akan menulis karya yang sebegini kerana terlalu cetek pengolahannya; dan apa yang disebut sebagai sikap objektif pengarang yang membiarkan saja peristiwa berlaku begitu saja tanpa campur tangan, adalah pendirian tidak bermoral bagi seorang pengarang yang serius, tidak hanya permainan teknik semata-mata. Pengarang harus mengelakkan dirinya dari menjadi picisan  dengan mengemukakan pengolahan yang mendalam (tidak semestinya panjang) dalam bentuk pemikiran yang mantap. Contoh yang saya lakukan sendiri dalam cerita pendek “Bukan Orang Jahat”. … Cerita pendek itu mengisahkan perihal seorang “penulis skrip” yang handalan, yang kerjanya menyalahkan orang yang tidak bersalah atau membersihkan tokoh yang korup dan bersalah. Tiba-tiba anak lelakinya ditangkap mencuri seluar dalam guru perempuan, lalu dikenakan tindakan disiplin. Ayahnya yang pintar itu menyediakan skrip untuk dihafal oleh anaknya ketika dibicarakan; tetapi anak itu membantah kerana yang terjadi bukan seperti di dalam skrip. Sang ayah berkata yang penting bukan kebenaran, tetapi kemenangan. Dalam perbicaraan anaknya menang, tetapi tidak dapat menerima kemenangannya, lalu lari hidup dengan orang asli di dalam hutan. Ibu si anak sangat sedih dan kecewa; tetapi suaminya berjanji akan menulis skrip lain yang akan menyambut kepulangan anaknya sebagai seorang wira. Soalnya: siapakah wira di sini, anaknya yang jujur atau ayahnya yang pintar menipu itu? Tersembunyi di dalam kisah kecil ini ialah aspek pendidikan: adakah anak itu mendapat pendidikan yang baik di sekolah dan di rumah? Tidakkah kedua-dua tempat itu lebih berminat menghukum anak tadi daripada mendidiknya? Itulah persoalan besar yang perlu difikirkan pembaca. Adakah itu falsafah cerita pendek itu?  Yang tersirat dalam cerita pendek ini ialah pemikiran, bukan hanya teknik dan sisipan peristiwa biasa yang hanya bercerita tentang kejahatan manusia. Mungkin dua buah karya ini berbeza, tetapi mana satukah hanya sejenis murai yang bising; mana satu pula merak? Apa pun jenis kerangka analisis yang dipakai haruslah dapat menentukan dua jenis mergastua ini, kerana tidak semua burung boleh disetarafkan kedudukannya. Apakah manfaat yang akan anda dapat jika cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” dibincang satu hingga dua jam; sanggupkah anda membuang masa begitu lama? Anda boleh menggunakan apa juga “teori” sastera yang terdapat di Barat untuk membela cerita pendek ini, anda tetap akan sampai kepada kesimpulan bahawa cerita pendek ini “miskin makna” jika anda seorang penganalisis yang cerdik dan jujur dari segi akademik. Dan karya secetek ini bukanlah “mencerminkan” kreativiti Anwar Ridhwan dalam menghasilkan cerita pendek yang telah meletakkannya sebagai satu jalur besar dalam sejarah perkembangan cerpen” (hal. 17). Tetapi sebaliknya anda boleh berbincang berbulan-bulan tentang “Bukan Orang Jahat”  yang ditulis berasaskan konsep stylization of ideas itu; anda akan mendapat manfaatnya dan anda dijamin akan menjadi lebih cerdik dan terbuka fikirannya untuk mendalami falsafah kehidupan manusia dan erti kebaikan serta makna kejahatan dalam kehidupan manusia.” (hal. 319-320).

Dalam kutipan di atas saya sebut sesuatu mengenai “picisan intelektual” yang hanya boleh difahami dalam konteks pretensi intelektual yang lahir daripada retorik peragaan dan fatamorgana bahasa. Keempat-empat aspek intelektual ini perlu difahami dengan jelas untuk memahami konsep “picisan intelektual” itu. Dalam kritikan sastera Malaysia, penggunaan istilah “intelektual” terlalu longgar dan sewenang-wenang, sehingga istilah itu tidak mempunyai makna sama sekali apabila dipakai oleh para sarjana ciritan dalam tulisan mereka. Inilah contoh bullshit yang disebut oleh Prof. Frankfurt. Tidak ada sasterawan yang tidak mahu dikaitkan dengan aspek intelektualisme dalam karya mereka, walaupun tidak terdapat dalam karya mereka; demikian juga para sarjana sendiri sangat bangga jika dapat berbicara tentang intelektualisme dalam karya para sasterawan negara. Kedua kumpulan ini hanya berjaya melahirkan dengan jelas aspek pandirisme dalam kritikan dan penilaian sastera, dan juga dalam membuat keputusan dalam pertandingan mengarang, juga dalam menentukan karya mana yang layak dijadikan teks dalam pengajaran sastera di sekolah-sekolah. Kita bernasib baik kerana ketika berbicara tentang aspek intelektualisme ini sasterawan negara Anwar Ridhwan banyak membantu kita untuk melihat kekeliruan yang berleluasa dalam tulisan para sarjana ketika menilai karya Anwar Ridhwan sendiri. Kutipan pendapat mereka ketika menilai novel-novel Anwar Ridhwan menjadi data yang cukup jelas akan wujudnya pretensi intelektual yang kemudiannya menutup kewujudan “picisan intelektual” dalam kritikan sastera Melayu.  Semua ungkapan mengenai aspek intelektual dalam karya sastera ini hanya baru dapat dikesan dan dilihat dengan jelas setelah munculnya gagasan Persuratan Baru, iaitu apabila penilaian dalam kritikan sastera dilihat dari dua perspektif penting, wacana dan cerita. Sebelum itu karya sastera dilihat daripada perspektif cerita semata-mata, dengan itu tidak memberi gambaran yang jelas dan tepat tentang kualiti sebenar karya berkenaan.  Dengan memberi penekanan kepada pembinaan wacana dalam karya kreatif, maka peranan ilmu dalam karya kreatif mula diberi perhatian dan dihuraikan kedudukannya dalam karya kreatif. Sebelum itu, peranan cerita diberi penekanan berlebihan, dengan itu mengabaikan peranan dan kedudukan ilmu dalam persuratan (juga dalam kesusasteraan).  Kini perubahan ini sudah diterima, tetapi kefahaman tentangnya masih keliru dan kabur. Semua ini dapat dilihat dengan jelas ketika para sarjana menilai karya Anwar Ridhwan, dan ketika beliau sendiri menilai karyanya. Sekarang diberi beberapa contoh untuk memudahkan pembaca memahami persoalan penting ini.

Apakah yang ingin diceritakan oleh Anwar Ridhwan dalam novel pertamanya, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman? Beliau menegaskan dalam tahun 1999 bahawa novel itu memperkenalkan watak penglipur lara yang berpaksikan agama dan budaya, yang dalam hidupnya tidak mengingkari hukum agama (Islam). Pengakuan ini amat aneh dan amat mengejutkan. Novel ini tidak menggambarkan seorang watak yang tahu atau kenal agama, malah sebaliknya seorang yang amat jahil tentang agama dan tidak sedikit pun memperlihatkan dia patuh kepada agamanya. Sebaliknya dia patuh kepada kepercayaan turun temurun dalam budaya pinggiran orang Melayu. Pak Hassan hidup dalam dunia khayal animisme dan cukup percayakan “semangat” dalam budaya animisme itu, kerana itulah budaya penglipur lara yang diwarisinya. Anwar Ridhwan mungkin ingin menjadikan Pak Hassan seorang yang patuh agama, tetapi Pak Hassan sendiri menolaknya. Akhirnya Anwar Ridhwan tunduk kepada kemahuan Pak Hassan, lalu menjadikan watak ini sebagai manusia yang sentiasa dirundung malang, menghadapi musibah dan mala petaka satu demi satu hingga akhirnya mati dalam pencarian sejenis pokok ajaib yang diyakininya dapat menyembuhkan kemurungan dalam hidupnya.   Mulai dari saat kemenangan Pak Hassan mempengaruhi hidup Anwar Ridhwan, maka sasterawan ini menulis semua novelnya dalam imej Pak Hassan, dengan itu semua novel beliau adalah pancaran hidup seorang penglipur lara moden yang amat gemar bercerita, dan bercerita dengan penuh sensasi. Semua novel Anwar Ridhwan mempunyai corak yang sama, semuanya diwarnai unsur sensasi, sebagai warisan kukuh daripada Pak Hassan, watak yang dicipta oleh Anwar Ridhwan, yang akhirnya mencipta watak penglipur lara moden dalam diri Anwar Ridhwan sendiri. Semua novel Anwar Ridhwan mencerminkan pengaruh Pak Hassan ini, yang semuanya penuh sensasi dan diceritakan sebagai karya penglipur lara  yang dicorakkan oleh watak Pak Hassan. Adakah ini penjelmaan “falsafah kesementaraan” yang cuba disensasikan oleh Shahnon Ahmad, yang menerima karya Anwar Ridhwan sebagai karya intelektual penuh dengan wacana ilmu?  Dalam pemerhatian saya, Anwar Ridhwan itulah yang terpengaruh dengan cara bercerita Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Lahuma dan Pak Hassan adalah tokoh besar dalam sastera Melayu moden, yang amat teliti dan penuh ghairah diberi wajah watak manusia Melayu yang bodoh dan tidak mampu menggunakan akal untuk keluar dari kesulitan hidup mereka. Kedua-duanya adalah wajah buruk manusia Melayu yang lemah, dicipta oleh dua orang penulis yang memang pandai menulis, tetapi tidak mempunyai kekuatan intelektual yang cukup untuk menjadi pengarang yang berwibawa yang akan membawa perubahan dalam seni mengarang. Ketika Anwar Ridhwan menulis novelnya, kita sudah mempunyai sekumpulan cerita penglipur lara Melayu yang diceritakan oleh Pawang Ana. Sayangnya Pak Hassan tidak kenal Pawang Ana, demikian juga Anwar Ridhwan sendiri. Andainya Anwar Ridhwan seorang peneliti penglipur lara yang tekun dan kreatif, dia mungkin menjadikan Pak Hassan seorang Pawang Ana yang menurunkan cerita-cerita penglipur lara baru yang belum didengar, tetapi terdapat dalam masyarakat Melayu atau dicipta sendiri oleh Pak Hassan, seperti “cerita nasi dingin” yang mengharukan dalam wayang kulit dicipta oleh Dalang Awang Lah (menurut sumber yang sampai kepada saya). Ketika itulah Pak Hassan akan muncul sebagai seorang pewaris budaya yang tahu warisan budayanya, tidak seperti dalam novel ini sebagai seorang yang tidak saja jahil dalam agama, tetapi juga buta budaya. Bagaimana dengan Anwar Ridhwan sebagai seorang sasterawan? Dia juga tidak memperlihatkan daya kreatif yang tinggi dan kemampuan intelektual yang boleh dibanggakan. Dia boleh mengangkat novel pertamanya ini jika dia tahu siapa Pawang Ana dan mencorakkan watak Pak Hassan dalam imej Pawang Ana, bercerita untuk bangsanya, bukan bercerita untuk dirinya. Dengan  kesedaran ini, Pak Hassan akan muncul sebagai seorang penglipur lara sejati, menceritakan sebuah kisah agung dalam tradisi penglipur lara itu, dengan memperkenalkan sebuah hikayat besar ciptaannya sendiri memerihalkan kebangkitan baru dalam naratif khayal yang dicorakkan oleh perkembangan baru dalam masyarakat Melayu moden. Ketika itulah novel ini akan layak diberi sanjungan sebagai sebuah karya intelektual, kerana di situ terdapat pemikiran yang diwacanakan dengan teliti untuk menghidupkan kreativiti Melayu dalam bercerita. Seperti yang ada sekarang, novel pertama ini hanya layak digelar novel “picisan intelektual” yang kosong dari sebarang pemikiran bernas yang dapat dijadikan ikutan dalam seni mengarang. Anwar Ridhwan tidak mungkin melakukannya, kerana beliau bukanlah seorang pengarang yang berfikir secara sistematik. Beliau hanyalah seorang penulis cerita dan tukang cerita yang amat ghairah bercerita. Empat buah novelnya yang lahir selepas novel pertama ini semuanya termasuk dalam kategori “picisan intelektual” ini. Bukan novel intelektual, tetapi novel yang diberi baju kertas intelektual seperti yang dipakai oleh Pak Kaduk, dalam pretensi intelektual yang diheret ke sana ke mari oleh sarjana yang membaca mantra retorik peragaan, menggunakan fatamorgana bahasa dalam mantra pujian penglipur lara yang terus mencari pokok asal naratif Melayu. Satu-satunya jasa besar Anwar Ridhwan ialah kejayaannya mempengaruhi Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh untuk menjadikan warisan penglipur lara ini bidang kajian beliau, dan menjadikan seorang penglipur lara, Pak Mahmud, sebagai ikon kesarjanaan Melayu. Dengan penjelasan ini, saya tidak perlu lagi memberi apa-apa pandangan terhadap empat buah novel Anwar Ridhwan, kerana semuanya adalah hasil penglipur lara yang tidak memberi apa-apa pun dalam konteks intelektual, selain hanya memperlihatkan “pretensi intelektual” semata-mata. Kamus Besar Bahasa Indonesia memberi makna pretensi sebagai “alasan yang dibuat-buat”.  Persis itulah yang berlaku apabila para sarjana Malaysia bercakap/berbicara tentang aspek intelektual dalam karya kreatif, iaitu hanya memberi “alasan yang dibuat-buat”. Alasan yang hanya diada-adakan, padahal kualiti intelektual itu tidak ada di dalam karya yang dipuji itu.

Kelemahan paling besar dan paling menonjol dalam karya Anwar Ridhwan ialah dalam perwatakan. Watak yang ditonjolkannya adalah watak yang tidak saja lemah dari segi psikologi manusia, tetapi juga terlalu naif untuk dapat diterima sebagai watak yang boleh berfikir dan membuat keputusan yang tepat. Anda boleh ambil watak mana pun yang anda mahu, termasuk yang paling jahat sekali pun, anda akan melihat betapa lemahnya watak-watak yang dijadikan penggerak sebuah novel yang bercorak intelektual. Dilihat dari segi ini pun sudah cukup untuk menolak andaian palsu bahawa novel-novel dan cerita pendek Anwar Ridhwan mengangkat persoalan bersifat intelektual, apatah lagi yang bersifat filosofikal seperti yang diklaim oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Kalau wataknya sudah bodoh dan lemah, apakah jenis pemikiran yang diharapkan akan lahir daripada tindakan mereka? Kita telah melihat bagaimana hal ini terjadi kepada Pak Hassan, yang hanyut dalam penyerahan kepada nasib, padahal dia ditegaskan oleh penciptanya sebagai watak yang membawa persoalan intelektual. Bagaimana dengan Anwar Ridhwan sendiri? Apakah pemikiran unggul yang ditonjolkannya? Yang kita nampak ialah sensasi yang berlebihan, terutama tentang kejahatan dan kebodohan watak-watak utama dalam karyanya. Sekiranya konsep uswatun hasanah yang menjadi salah satu pegangan gagasan Persuratan Baru dijadikan ukuran, manakah watak yang boleh memberikan contoh teladan terbaik itu? Mungkin ini disedari oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang mendorong mereka berkata contoh itu tidak diperlukan dalam karya kreatif. Jika ini benar, maka bagaimana pula mereka boleh bercakap tentang jalur itu jalur ini yang hebat yang mengubah iklim penulisan cerita pendek atau novel yang telah dilakukan oleh Anwar Ridhwan dalam karya eksperimental, yang inovatif dan kreatif, yang membawa perubahan dan sebagainya itu? Kesimpulan saya, ini semua adalah bullshit semata-mata.

Jika anda membaca dengan kritis pandangan saya tentang watak Pak Hassan, anda mungkin sedar jika Pak Hassan itu hidup sebagai manusia yang berfikir dan berani menghadapi cabaran, dia mungkin menggunakan teknologi moden, seperti radio yang dimusuhinya itu, untuk dijadikan media penglipur laranya, dengan menuturkan cerita lipur laranya di radio untuk khalayak dunia; atau dia berkenalan dengan seorang tokoh akademik yang berminat dengan penglipur lara, seperti Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, maka ada kemungkinan Pak Hassan akan menemui para pelajar penglipur lara (anda mesti berhati-hati membaca ungkapan ini kerana dari segi retorik ia membawa makna lain sama sekali dan di belakangnya terdapat sengat yang tajam dalam konteks stylization of ideas) yang terpesona (seperti Prof. Muhammad Haji Salleh) lantas ingin menjadi penglipur lara setelah tamat universiti nanti. Tidakkah itu akan membawa “seni lipur lara” (kita mesti ingat Anwar Ridhwan menganggap Pak Hassan seorang seniman!) ke menara gading, dan mungkin yang terdidik dalam seni itu akan menjadi penasihat politik atau penasihat budaya seorang Perdana Menteri, atau paling lekeh seorang menteri pendidikan? Kemungkinan itu ada jika Anwar Ridhwan seorang pemikir yang mempunyai kekuatan kreatif yang tinggi dan kemampuan ilmiah yang canggih. Hanya pada ketika itulah karyanya boleh diterima sebagai karya yang bercorak intelektual. Tetapi tidak sebelum itu.  Inilah caranya karya eksperimental yang kreatif-inovatif ditulis, yang menunjukkan kematangan berfikir yang tidak boleh diragui. Sudah sampaikah Anwar Ridhwan ke tahap itu? Maka sebab itulah saya membuat kesimpulan, Anwar Ridhwan telah diseret Pak Hassan untuk menjadi pengikutnya yang setia dan menuturkan cerita lipur lara moden menerusi novel-novel sensasinya. Bukan novel intelektual.
Jika demikian, maka pencirian yang tepat ialah karya-karya itu berada dalam dunia pretensi intelektual, yang hanya layak menduduki kategori “picisan intelektual”. 

Menjana Picisan Intelektual Dalam Kritikan Sastera

Ungkapan “picisan intelektual” yang diperkenalkan di sini memerlukan sedikit penjelasan, sesuai dengan huraian di atas. Dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, hal. 44-50) saya memberi sedikit penjelasan tentang konsep picisan yang saya pakai dalam konteks Persuratan Baru yang diperkenalkan sebagai alternatif kepada kelesuan dan kekeliruan dalam kesusasteraan Melayu moden, yang ditimbulkan oleh konsep kesusasteraan yang terpisah dari ilmu. Sedikit gambaran tentang konsep picisan untuk membantu anda yang belum kenal konsep ini dalam Persuratan Baru. Perhatikan kutipan ini:

“Bagaimana kita dapat mengenal sesuatu tulisan itu bercorak picisan atau tidak? Dalam ukuran biasa, sesuatu karya akan menjadi picisan jika ideanya kabur, keliru, tidak dijalin dalam struktur yang kemas tersusun logiknya, dan tidak dihujahkan dengan teliti. Karya itu menjadi picisan jika konsep yang digunakan tidak tepat, kacau maksudnya, tidak ditakrifkan dengan jelas, pengolahannya dangkal, penghujahannya pula berasaskan bukti yang lemah  dan tidak konkrit. Semua karya adalah picisan jika strukturnya longgar, tidak menyerlahkan kecanggihan analisis yang membolehkan pembaca memahami dengan jelas idea pokoknya, dan memberikan kesempatan kepada pembaca untuk bersetuju atau menentangnya. Pendeknya, karya itu runtuh bertaburan jika dikritik dan dicabar secara ilmiah dengan analisis yang tajam.” (hal. 44).

Dalam buku itu saya berikan contoh karya akademik yang mantap dan berkualiti tinggi  berupa syarahan pengukuhan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas bertajuk, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972); dan contoh karya akademik yang menghampiri sifat-sifat karya picisan syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan (1989). Dua contoh ini boleh dijadikan panduan untuk memahami kritikan saya terhadap novel-novel Anwar Ridhwan. Syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh penuh dengan pretensi intelektual, yang tidak diisi dengan penghujahan yang mantap dengan penelitian sumber yang agak menyeluruh. Saya telah memberi sanggahan khusus dalam sebuah risalah berjudul, Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu (Kota Baharu, 1994; diterbitkan terlebih dahulu dalam Dewan Sastera, Mac-Julai 1991, memakai judul, “Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu: Satu Huraian dari Segi Kaedah dan Tafsiran”). Sanggahan itu penting kerana hingga kini belum ada sebarang sanggahan balik oleh sang profesor mahupun oleh para murid dan pengikutnya. Percubaan Dr. Mana Sikana dalam Dewan Sastera berikutnya terlalu naif dan cetek, merayau beating about the bush tanpa sebarang usaha untuk menolak sanggahan itu, penuh dengan pretensi intelektual untuk bermuka-muka.

Pretensi intelektual ini sudah menjadi amalan biasa dalam tulisan yang diklaim sebagai “tulisan akademik” oleh penulisnya dan sarjana umumnya.  Bagaimanakah kita boleh mengukur sesuatu penilaian yang kita lakukan terhadap sesebuah karya kreatif tepat dan objektif? Apakah ciri yang perlu ada untuk memastikan penilaian itu tepat dengan kualiti karya yang dinilai? Pembacaan saya dalam masalah penilaian ini meyakinkan saya bahawa berlaku apa yang saya namakan fatamorgana bahasa dalam penilaian itu, sehingga terjadi penilaian yang tidak tepat dan sering kali jauh menyimpang daripada kualiti sebenar karya berkenaan. Saya sudah lama membangkitkan persoalan ini selama lebih dari 40 tahun, sehingga pernah mengemukakan cadangan supaya para sarjana dan penilai sastera belajar membaca dengan betul untuk mengelak daripada membuat kesilapan dalam penilaian. Saya lihat kelemahan paling besar yang dilakukan oleh pengkritik, sarjana dan penilai karya kreatif dan akademik ialah ketidakpedulian mereka terhadap masalah ini, sehingga kita boleh berkata tanpa ragu-ragu bahawa mereka tidak memberi perhatian penting kepada integriti ilmiah dan akademik kerana kedudukan mereka dan tugas yang diberikan kepada mereka meletakkan mereka dalam kedudukan yang kukuh, tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan mereka. Bagi saya sikap ini tidak bertanggungjawab dan kesannya sangat buruk, sehingga boleh memusnahkan sistem nilai kita sendiri dan memberi gambaran palsu dalam kerja-kerja akademik, dalam melaksanakan tugas ilmiah dalam membina tamadun ilmu, dan kewajaran penilaian dalam kritikan sastera. Saya tidak perlu mengulangi contoh-contoh yang pernah saya berikan dalam tulisan saya yang lepas, untuk mengelak  daripada pembaziran ruang dan masa. Bagaimana pun, saya akan menyebut contoh-contoh itu apabila diperlukan untuk penjelasan.

 Fatamorgana bahasa ini menjelma dalam penggunaan beberapa “konsep” (?) longgar tanpa sebarang dasar ilmiah yang boleh dijadikan pegangan. Dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kita bertemu ungkapan seumpama karya tidak perlu menyatakan ajaran moral, peniruan teknik adalah sumber kemajuan dalam penulisan,  karya kreatif mesti menunjukkan kelainan, kemajuan dari segi eksperimen dalam bentuk dan isi, mesti menyerlahkan intelektualiti (?), tetapi tidak perlu memberi perhatian kepada konsep ilmu kerana semua karya kreatif mesti bebas nilai, tidak terikat kepada sebarang ajaran agama, hanya boleh terikat kepada teori sastera dari Barat. Seterusnya, tidak ada teori sastera yang bukan berasal dari Barat, oleh itu semua usaha untuk membicarakan sastera dan karya kreatif berasaskan tradisi sesuatu bangsa adalah palsu dan tidak universal, dan banyak lagi yang akan kita temui dalam analisis kita nanti. Semua fatamorgana bahasa itu bertujuan untuk membina mitos di sekitar tokoh tertentu, dengan itu dicari-cari kelainan, eksperimen, jalur baru dalam penulisan cerita pendek, novel dan sajak, dan sebagainya. Termasuk juga gaya sufi yang diiktiraf hanya wujud dalam karya seorang sasterawan negara saja, oleh itu beliau menonjol sebagai sasterawan sufi yang membawa kemanisan rohani dan keindahan ucapan kesufian dalam sajak-sajak beliau yang seorang itu. Dan seterusnya. Kerana wujudnya, dan diwujudkan fatamorgana bahasa, maka para sasterawan negara mendapat perlindungan istimewa, oleh itu hanya boleh dipuji dan sebarang kritikan hanya lahir daripada perasaan hasad, niat yang jahat, dan keangkuhan yang bejat. Semua istilah ini muncul sebagai ciri fatamorgana bahasa yang dimaksudkan itu. Usaha memitoskan tokoh ini merupakan kejayaan paling besar Panel Anugerah Sastera Negara, tetapi mereka gagal memberi arah yang betul yang benar-benar berasaskan nilai-nilai moral dan nilai seni yang tinggi. Kegagalan itu terserlah dalam semua laporan yang dihasilkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Sehingga kini belum lagi terdapat sanggahan yang bernas yang menolak kesimpulan ini, malah tulisan terbaru tentang sajak Muhammad Haji Salleh, “Pulang Si Tenggang”, yang ditulis oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan, menguatkan hujah-hujah palsu Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam tulisannya, profesor ini memasukkan satu unsur baru dalam penilaian sastera, iaitu kejahatan itu dilihat dari segi usaha gigih untuk mencapai kejayaan, seperti yang dilakukan oleh Si Tenggang. Dengan demikian, sikap derhaka Si Tenggang dilenyapkan; yang ditonjolkan ialah kejayaannya mendapat kedudukan tinggi sehingga berjaya menjadi menantu raja. Satu pencapaian yang besar dalam kehidupan manusia, yang perlu ditiru oleh pelajar sekolah dan pelajar universiti. Inilah kesan negatif paling ketara akibat fatamorgana bahasa dalam kritikan dan penilaian sastera.

Dalam aspek “intelektualiti” pula, karya Anwar Ridhwan diberi sanjungan tinggi kerana nilai-nilai intelektual yang tinggi yang terdapat di dalamnya dan kerana terdapat simbolisme di dalamnya.  Apakah nilai intelektual yang dimaksudkan? Apakah makna simbolisme? Kata seorang sarjana memberi pendapatnya yang tidak berasas, atau sekurang-kurangnya terlalu longgar hujahnya, ketika menentukan ukuran yang diperlukan untuk menilai karya yang bermutu: “Yang kita mahu ialah karya  yang bernilai intelektual dan gubahan naratifnya bersifat simbolik” (Dewan Sastera, Oktober 2013, hal. 14; dalam tulisan Dr. Mohamad  Saleeh Rahamad, “Pemugaran Intelektualiti Sasterawati Sarawak”).  Jika anda membaca ucapan ini dalam konteks fatamorgana bahasa, anda mungkin terpesona, dan jika anda seorang penulis, anda akan cuba menjadi penulis intelektual dan menghasilkan karya simbolik. Semudah itukah tafsiran anda? Di sinilah perlunya konsep ilmu yang benar, kerana ucapan ini dalam konteks ilmu yang benar adalah palsu. Al-Quran tidak mengajar kita begitu, tetapi mengajar kita tahu membaca ayat-ayat Allah, dan ini memerlukan ilmu berasaskan tauhid, bukan hanya sekadar maklumat longgar dalam konteks intelektualiti yang kabur sebagai konsep ilmu. Jika anda menerima simbolisme sebagai ukuran yang menentukan nilai sesuatu karya, anda terjebak dalam pemikiran golongan syirik yang diceritakan dengan banyaknya dalam al-Quran, yang mengatakan Tuhan mempunyai anak dan isteri; atau menjadikan lembu sebagai simbol untuk mendekati Tuhan. Jadi simbolisme, jika anda tidak melihatnya dalam konteks ilmu yang benar, akan membawa anda kepada kesesatan. Inilah yang terjadi dalam sastera Melayu, apabila para sasterawan yang terpesona dengan konsep dan teknik realisme magis, menerima itu sebagai sesuatu yang indah, padahal tidak lebih daripada fatamorgana bahasa. Anda harus melengkapkan diri dengan ilmu, sebelum anda membuat sesuatu keputusan yang boleh menyesatkan anda. Semua pilihan yang benar harus berasaskan konsep ilmu yang benar; dan anda akan dapat mencapai hakikat ini jika anda faham konsep taklif, kerana di situ tersimpul tiga rahsia taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah: ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar.

 Menggunakan ciri intelektualiti dan simbolisme sebagai ukuran hanya dapat diterima sekiranya kedua-dua ciri itu dihuraikan dengan mendalam dan diberi batasannya supaya tidak lari daripada konsep ilmu yang benar. Jika dibiarkan kabur dan keliru seperti yang digunakan oleh sarjana ini, maka maknanya boleh apa saja, termasuk yang boleh menyesatkan. Kita harus menggunakan apa juga konsep dan istilah untuk membina makna yang benar, bukan untuk menyesatkan. Pertama sekali yang harus disedari ialah, sasterawan negara Anwar Ridhwan  menggunakan teknik penglipur lara dalam penulisan novel dan cerita pendeknya. Penilai beliau berkata, beliau telah menghidupkan kembali penglipur lara dalam sastera Melayu moden dengan menulis novel-novel beliau, yang dimulai dengan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (tentang seorang tokoh penglipur lara), dengan novel terbarunya Penyeberang Sempadan mengenai seorang pemuda yang hanyut dalam ideologi politik yang tidak difahaminya. Novel ini masih dalam bentuk penglipur lara, mengisahkan pengembaraan seorang pemuda Melayu yang kononnya mencari “kebenaran”. Dengan pantas para sarjana ciritan memberi pujian tinggi sebagai sebuah novel global (genre baru atau hanya ungkapan biasa saja dalam konteks fatamorgana bahasa?) yang membicarakan aspek ideologi politik dengan mendalam. Untuk muncul sebagai pembicara tentang ideologi politik yang mendalam, diperlukan seorang tokoh yang tahu berfikir dan sistematik pula, yang tidak ada pada tokoh utama novel ini. Untuk muncul sebagai sebuah novel intelektual, tidak cukup dengan memaparkan cerita dan pengembaraan yang bersifat eskapisme. Tokoh yang dimunculkan itu mestilah memperlihatkan kecanggihan pemikirannya, dan ini memerlukan wacana bersifat ilmu. Tidak ada wacana itu dalam novel ini. Yang ada ialah cerita pengembaraan biasa seorang tokoh yang sebenarnya bukan seorang pemikir. Bagaimana sebuah novel penglipur lara boleh dinaikkan taraf menjadi novel intelektual? Hanya penggunaan fatamorgana bahasa sahaja yang memungkinkan kepalsuan penilaian  ini diterima sebagai satu kesimpulan yang bernas. Untuk melihat kepalsuan penilaian berasaskan fatamorgana bahasa ini, anda perlu membaca kupasan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang menulis tentang novel Naratif Ogonshoto dan Penyeberang Sempadan.  Kedua-dua buah novel ini adalah novel penglipur lara moden yang diberi pretensi sebagai novel intelektual berasaskan penggunaan ciri-ciri fatamorgana bahasa.  Kesimpulan bahawa novel ini novel penglipur lara moden berasaskan mod bacaan intelektual, yang melihat novel ini daripada perspektif wacana dan penggunaan ruang naratif. Kesimpulan yang berbeza akan kita dapati sekiranya novel ini dibaca dalam mod bacaan cerita. Bacaan dalam mod bacaan cerita sangat popular di kalangan sarjana ciritan, tetapi kerana mereka tidak mempunyai rujukan untuk menilai bacaan mereka, maka mereka terus menggunakan fatamorgana bahasa dalam tulisan mereka dan dalam cara bacaan mereka, oleh itu terus berada dalam kesilapan besar yang memang boleh dihindarkan oleh seseorang sarjana sekiranya dia cuba belajar membaca dengan betul, menggunakan mod bacaan intelektual apabila dia perlu berbuat demikian. Tahu untuk memilih yang terbaik adalah tanda anda seorang sarjana yang mengasaskan pilihan akademik  anda kepada konsep ilmu yang benar. Hanya pengaruh pandirisme sahaja yang menghalang anda daripada menggunakan teknik dan konsep yang betul. Berada dalam budaya pandirisme terus menerus, dan bangga melakukan kesilapan, hanya akan menyuburkan penyelewengan budaya dan terus melakukan kesilapan yang boleh dihindarkan dalam penilaian karya sastera yang anda buat. Walaupun mereka ini sombong dan angkuh berbicara tentang kelainan, kemajuan, intelektualiti, dan segala macam, namun mereka melakukan semua itu dalam konteks fatamorgana bahasa, oleh itu keadaan mereka samalah dengan keldai yang ditutup matanya berjalan beribu batu mengelilingi kincir air, tetapi sebenarnya tidak bergerak ke mana-mana. Sekiranya mata sang keldai dibuka, pastilah keldai yang bodoh sekali pun akan merentap tali yang mengikatnya untuk lari ke dunia bebas, sebagai seekor keldai yang sukakan kebebasan.

Tetapi dalam sastera Melayu, orang hanya bercakap tentang perubahan, kemajuan, dan semua perkara yang muluk-muluk, tetapi mereka adalah penentang semua itu, kerana semua itu mereka ucapkan dalam konteks fatamorgana bahasa, bukan dalam konteks pembinaan budaya ilmu. Lepaskan keldai budaya ini dari kongkongan fatamorgana bahasa, biar mereka kenal dunia luar dan dunia ilmu yang luas dan mencabar itu. Anda terus terbelenggu dalam fatamorgana bahasa jika anda terus berdegil menolak konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam. Kalau demikianlah pendirian anda, maka anda tidak layak digelar sarjana, kerana seseorang sarjana adalah seseorang yang berilmu, bukan hanya mengetahui sedikit maklumat dan fakta yang bertaburan yang tidak dapat dirangkaikan dalam kalungan ilmiah yang kemas dan memberi manfaat kepada anda dan pembaca anda.


Meneruskan Sastera Cetek Meraba-raba


Nampaknya kita belum lagi berupaya membuktikan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya pada tahun 1972 itu tidak tepat. Dalam syarahan penting yang hingga kini belum dicabar oleh mana-mana ahli akademik itu, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa yang disebut “sastera Melayu moden” itu adalah sastera pinggiran, yang tidak berjejak dalam tradisi Melayu-Islam dan tidak pula berakar dalam tradisi Barat. (Rujuk karya beliau Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu). Menurut beliau, hasil “sastera Melayu moden” itu ditulis dan dinilai oleh  “mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu” (hal. 55). Kesimpulan ini dibuktikan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, mulai tahun 1981 hingga 2014.  Yang diberi pujian tinggi dalam laporan itu ialah keupayaan sasterawan Melayu menjadi peniru dan pengikut sastera Barat. Laporan 1985 tentang A. Samad Said mengangkat beliau sebagai seorang sasterawan ulung kerana berjaya meniru teknik novel Barat sehingga memungkinkan terciptanya novel Salina yang mengagungkan kehidupan seorang pelacur Melayu, yang kini diterima oleh ahli akademik Malaysia sebagai wanita unggul yang menjadi korban peperangan dan percintaan yang gagal. A. Samad Said juga dipuji oleh Panel kerana karyanya tidak mempunyai matlamat, tidak mempunyai tema yang tetap, tidak langsung mempunyai unsur didaktik di dalamnya.
Dalam Laporan 2009 pula, Anwar Ridhwan dipuji dalam nada yang sama,  dengan mengangkat sasterawan ini sebagai seorang sasterawan yang menulis karya eksperimen yang matang, dengan kekuatan gaya dan teknik naratif yang inovatif, eksperimental dan mencabar intelek pembaca, menggunakan bahasa puitis, segar dan sarat dengan metafora, imejan, dan lambang. Berbeza dengan A. Samad Said yang tidak mempunyai tema tertentu, Anwar Ridhwan pula disanjung kerana mengemukakan tema-tema “besar”,  seperti cerita penglipur lara, pawang buaya,  pemimpin yang gila kuasa dan lain-lain. Seperti dalam seluruh laporan Panel yang kita terima, tidak sebuah pun karya “besar” itu disorot dengan mendalam, mengemukakan hujah yang mantap dalam analisis yang cermat. Laporan 2009 misalnya mengutip pendapat seorang sarjana yang membuat kesimpulan salah sebuah novel Anwar Ridhwan adalah novel terbaik di Malaysia. Sudah wajar jika novel terbaik itu disorot dengan mendalam. Tetapi yang terjadi hanya ditonjolkan ujaran berbentuk umum, seolah-olah karya besar itu tidak mempunyai apa-apa keistimewaan jika dianalisis dan diberi bukti konkrit dalam analisis yang kritis. Panel mengejek penulis yang suka menggunakan klise dalam tulisan mereka, dan mengutuk khutbah sebagai gaya yang tidak mempunyai daya estetika. Tetapi mereka sendiri menggunakan semua jenis klise yang sudah lusuh dalam penilaian mereka, misalnya dengan memuji penulis yang menggunakan realisme magis, atau yang pandai meniru teknik Barat seperti …(anda boleh senaraikan sendiri kerana mudah dikesan).   Di samping itu, mereka cukup seronok melontarkan khutbah yang cetek dalam penilaian mereka. Mengapa mereka sendiri melakukan apa yang mereka kutuk orang lain melakukannya?
            Untuk membuktikan Anwar Ridhwan menggunakan bahasa yang indah dan puitis, Panel memberikan contoh-contoh ini: “… kebimbangannya mula memburunya dari belakang, mendekatinya, lalu memukul-mukul hatinya”; “… angin memukul-mukul kaca jendela”;   “… kereta api menjerit-jerit dari perut bumi”; dan “Kawai Maru, raksasa besi waja yang terapung-apung, beroleng lembut melayan usikan tangan-tangan gelombang”. Apakah yang indah dari ucapan berbentuk klise ini?  Jika anda tidak menemui ucapan klise ini, pastilah anda tidak membaca karya sastera popular (atau picisan) yang gemarkan gaya begini; anda tidak akan menemuinya dalam karya agung para penulis agung dunia. Jika tidak percaya, bacalah Tolstoy, James Joyce, Thomas Mann, Pirandillo,  Chekhov, dan ramai lagi. Malah anda akan bertemu dengan pemenang Hadiah Nobel 2003 bernama   J.M.Coetzee, misalnya novelnya Elizabeth Costello atau Disgrace atau Slow Man; anda dijamin tidak akan bertemu dengan klise yang dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Negara Malaysia, malah anda akan bertemu dengan gaya intelektual seorang penulis yang betul-betul matang.   Semua ini membuktikan Panel tidak mempunyai pengertian yang jelas dan tepat tentang konsep keindahan bahasa dalam karya kreatif; malah pemahaman mereka tentang estetika pun terlalu samar dan cetek, oleh itu tidak hairan jika mereka memuji kecetekan karya para sasterawan negara yang mereka angkat dengan kata-kata bombastik yang tidak dibuktikan dengan hujah dan analisis yang kritis.  Prof. Ungku Maimunah telah menghuraikan aspek ini dengan terperinci dalam Kuliah MASTERA beliau berjudul, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009). Sila rujuk buku itu untuk melihat kualiti  sebenar “pemikiran” Panel Anugerah Sastera Negara ini. Jika kita  menerima contoh-contoh yang dikemukakan oleh Panel sebagai bukti keindahan bahasa yang bercorak puitis, pastilah para sasterawan negara ini tidak layak digelar sasterawan negara jika itulah corak “keindahan bahasa” yang mereka hidangkan. Kesimpulan ini hanya boleh dibatalkan sekiranya Panel tampil dengan contoh dan analisis yang mendalam mengenai keindahan bahasa dan aspek estetika ini. Apa yang jelas kepada kita ialah mereka menghadapi masalah kognitif yang berat dalam memahami dua  aspek kreatif ini. 
            Dalam semua laporannya Panel mengejek para sasterawan yang bergelumang dengan klise, tanpa menyedarinya bahawa mereka sendirilah yang bergelumang dengan klise dalam penilaian mereka yang bersifat umum, bombastik, keliru dan gagal menyediakan ukuran yang boleh diuji ketepatannya. Sebagai contoh, apabila Panel berkata, A. Samad Said itu seorang  sasterawan yang istimewa kerana beliau seorang peniru yang handal; atau Anwar Ridhwan seorang sasterawan yang hebat melahirkan novel-novel yang hebat pula, misalnya kerana beliau pandai menggunakan teknik realisme  magis,   maka apakah hujah yang boleh kita kemukakan bahawa menjadi peniru itu sangat istimewa dan orang-orang yang pandai meniru layak digelar sasterawan negara? Tentulah kita akan berasa malu jika sasterawan hebat kita hanya seorang peniru saja, kecuali jika kita kemukakan hujah bahawa meniru teknik dan idea Barat itu harus digalakkan kerana hanya dengan berbuat demikian saja kita boleh melahirkan sasterawan besar yang layak diberi kedudukan sebagai sasterawan negara. Tetapi kita mesti ingat, jika kita membuat kesimpulan begitu, kita dengan sukarela bersetuju dengan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menegaskan seperti yang beliau telah tegaskan. Akhirnya kita akan berlagak angkuh menyodorkan sasterawan pinggiran “yang cetek meraba-raba” ini sebagai tokoh besar yang istimewa, walaupun mereka hanya para peniru saja. Mencari tempat bergantung dari Barat ini telah dianalisis dengan mendalam oleh Pascale Casanova dalam bukunya The World Republic of Letters (2004). Dalam buku itu ditegaskan bahawa terdapat dua kiblat yang diikuti oleh sasterawan negara membangun, iaitu Paris dan London. Dari situlah nilai dan ukuran hasil sastera yang baik dan bermutu ditetapkan. Dan itulah juga ikutan para sasterawan Malaysia dan para penilainya. Tidakkah ini membuktikan betapa tepatnya kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu?
            Tentulah amat malang jika inilah yang terjadi, inilah realitinya. Tetapi nampaknya amat sukar hendak menolak kesimpulan ini, jika kita membaca dengan teliti analisis Prof. Ungku Maimunah dalam kuliah MASTERAnya. Sebagai contoh, Prof. Ungku Maimunah membuktikan bagaimana gandingan realisme dan novel menjadi begitu serasi dalam analisis novel dan dalam penulisan novel; begitu dogmatiknya mereka (pengkritik dan penulis novel) terhadap realisme sehingga  mereka mencedok “realisme magis”   apabila mereka ingin berada dalam dunia Awang Sulung Merah Muda, atau dalam alam Dewa Muda yang dijadikan cerita utama oleh Tok Minduk dalam Main Puterinya. Hakikat ini terserlah dengan jelas dalam semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Menurut Prof. Ungku Maimunah lagi,  ideologi realisme ini   dijadikan ideologi   estetik yang amat disenangi dalam Abad ke-19 di Eropah. Inilah juga yang diikuti oleh para sasterawan dan pengkritik/ahli akademik Malaysia.   Nampaknya mereka selesa betul berada dalam Abad ke-19, dan merasa tersinggung sekali jika keselesaan mereka digugat dengan pemikiran dan kaedah baru Abad 21. Misalnya, mereka tidak suka, dan amat benci, jika karya kreatif berasaskan ilmu, apatah lagi memakai konsep ilmu yang benar. Boleh dikatakan 98% di antara mereka menolak apa juga bentuk analisis dan kaedah menulis jika berdasarkan konsep ilmu yang benar. Apakah yang membuat mereka begitu tersinggung dan gelisah? Menurut mereka, jika kaedah itu diterima, maka para sasterawan negara akan kelihatan begitu kerdil, tak ubahnya seperti “scare crow” yang dipuisikan oleh T.S.Eliot itu. Benarkah begitu? Seharusnya, secara logik, apabila seorang tokoh besar seperti sasterawan negara itu diangkat darjatnya, maka mereka layak diberi penilaian yang kritis berasaskan kaedah apa sekalipun. Tidak ada alasan sama sekali untuk melindungi mereka dengan pantang larang tertentu bahawa mereka hanya layak dinilai mengikut kaedah yang boleh meninggikan darjat mereka sahaja. Maka itulah sebabnya semua Laporan Anugerah Sastera Negara ditulis secara umum, kabur dan berbelit-belit, untuk menyenangkan hati semua orang. Tetapi ini bertentangan dengan kehendak akademik, yang menilai sesuatu berasaskan ukuran akademik yang boleh diukur ketepatannya secara objektif.   Nampaknya mahu tidak mahu kita terpaksa meletakkan para sasterawan negara kita dan para penilai mereka  dalam gelanggang  ilmu untuk diuji sehabis kritis berasaskan ukuran yang boleh diuji pula ketepatannya. Itulah kehendak Abad 21 yang kononnya dikenali sebagai Abad Ilmu (padahal dalam tamadun Islam Abad Ilmu itu telah bermula awal-awal lagi, sehingga kini dipersetujui ledakan ilmu dalam tamadun Islam itulah yang menjadi asas kemajuan ilmu di Barat moden.) 
            Bagaimana jika sikap anti-ilmu itu berterusan? Kita tidak mempunyai pilihan kecuali menghapuskan Anugerah Sastera, diganti dengan Anugerah Persuratan yang lebih luas cakupannya. Cadangan ini telah dikemukakan dalam sebuah kertas kerja, “Anugerah dan Hadiah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis” (DBP, 25 Mei 2006). Dalam kertas itu, telah dicadangkan supaya diwujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS, dikeluarkan setiap tahun untuk semua bidang ilmiah yang dihasilkan oleh para penulis yang menggunakan bahasa Melayu, termasuk para sasterawan dan lain-lain yang sejenis dengannya. Hadiah itu diberi nama Hadiah Persuratan kerana yang diutamakan ialah pencapaian sebenarnya dari segi ilmu, termasuk yang bercorak karya kreatif. Dengan memberi perhatian kepada ilmu, kita akan mengelak daripada memberi hadiah dan anugerah kepada sesiapa juga yang tidak layak menerimanya. Kita harus kembali kepada maksud “persuratan” yang menjadi asas tamadun Melayu yang dibina di atas dasar tauhid yang hasilnya cukup cemerlang untuk diremehkan oleh sastera dan para sasterawan. Kita telah bosan membaca laporan Panel yang berserabut dengan klise itu,   untuk hanya memilih para sasterawan yang tidak boleh disentuh lagi selepas diberi cap mohor Panel Anugerah Sastera Negara. Sikap yang melemaskan ini   terlalu jelas anti-ilmunya, oleh itu tidak wajar diteruskan jika kita benar-benar mahu maju dalam bidang pemikiran dan mewujudkan keupayaan kreatif yang tinggi.  Lebih penting lagi, kita tidak harus mencampakkan tokoh-tokoh pemikir kita dengan memberi keutamaan kepada para sasterawan yang tidak boleh berdiri jika diuji dengan kritis berasaskan ilmu yang difahami dalam Islam. Dengan menggunakan konsep dan istilah persuratan, kita akan kenal tokoh-tokoh yang sepatutnya kita sanjung, seperti Pendeta Za’ba, Prof. Syed Muhammad  Naquib al-Attas, Haji Agus Salim, Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri,  dan lain-lain tokoh yang mungkin kita tidak kenal lagi atau sudah lupa. Jika kita benar-benar mahu berubah ke arah kebaikan yang sebenarnya, atau membuat anjakan paradigma seperti yang dilaung-laungkan satu masa dahulu, maka inilah masanya untuk melakukan anjakan paradigma itu. Wujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS; hapuskan Anugerah Sastera Negara dan gelaran Sasterawan Negara yang mengelirukan itu.   

Kesimpulan: Ilmu yang Benar Sebagai Asas Penulisan Kreatif

Nampaknya sasterawan dan sarjana sastera sudah mula menunjukkan minat dalam memperkatakan persoalan ilmu dalam kesusasteraan, walaupun pada peringkat yang sangat naif, daif dan cetek, tetapi boleh dianggap suatu tanda sudah ada sedikit kesedaran untuk meningkatkan kualiti karya kreatif melalui penerokaan penulisan kreatif berpaksikan konsep ilmu yang benar. Kesedaran ini masih lagi pada peringkat acah-acah, belum berani dijadikan pakaian intelektual yang lengkap dalam amalan penulisan.  Masih terdapat kesangsian dan perasaan takut untuk terlibat sepenuhnya dalam membahaskan peranan ilmu yang benar  itu dalam penulisan kreatif, sejenis ketakutan yang dikaitkan dengan perasaan tidak tenteram sekiranya  perubahan sikap ke arah itu akan mengakibatkan mereka tidak akan dibicarakan lagi di peringkat antara bangsa kerana pada waktu ini orang tidak mahu dengar kehebatan ajaran Islam dalam apa-apa bidang sekali pun, termasuk bidang kreatif.  Mereka tahu Islam berupaya mencabar bidang apa juga yang pernah difikir dan diusahakan manusia, apatah lagi dalam konteks pemikiran falsafah, Islam sudah mempunyai tradisi yang kuat untuk menentang apa jenis teori ilmu sekali pun, dan dapat dengan tuntas menolak hujah palsu para ahli falsafah dunia, baik yang berkenaan soal kemanusiaan mahu pun soal alam (nature) yang membina ilmu sains dan matematik. Di Barat sendiri kemunculan budaya hedonisme yang anti ilmu sudah lama dibincangkan dan sudah diterbitkan pula buku yang menganalisis budaya hawa nafsu ini, antaranya yang terkenal ialah tulisan P. A. Sorokin (bekas seorang profesor dalam  bidang sosiologi di Harvard University), The Crisis of Our Age (diterbitkan 1941). Dalam tahun 1976 satu kajian mendalam pada peringkat kedoktoran telah ditulis oleh I. Robert Sinai, bertajuk The Decadence of the Modern World. Sudah sampai waktunya satu kajian mendalam tentang the decadence of modern Malay literature dibicarakan dengan mendalam dalam satu kajian di peringkat kedoktoran, khusus untuk membincangkan pengaruh teori sastera Barat yang mengubah dan merosakkan sistem nilai kebudayaan Melayu, dan bagaimana bangkitnya golongan anti-ilmu dalam kesusasteraan Melayu modern yang menolak konsep ilmu yang benar dalam Islam, dan kemunculan para sasterawan negara untuk memperkukuhkan sikap anti-ilmu itu.

Dalam perkembangan ini, sikap negatif dan anti-ilmu para sasterawan negara adalah menarik. Kumpulan yang mewakili golongan Mutual Admiration Club ini muncul sebagai puak yang paling rugi jika konsep ilmu yang benar itu diterima, kerana seluruh kredibiliti mereka sebagai sasterawan negara akan musnah sebaik saja karya mereka dinilai dengan kritis berasaskan konsep ilmu yang benar. Sangat jelas puak ini cuba secara senyap dan tersembunyi untuk meneruskan gerakan pretensi intelektual yang palsu itu dengan menggunakan seluruh peralatan kerajaan untuk mencapai maksud mereka yang sia-sia, iaitu mengekalkan kecelaruan dan kekacauan dalam konsep ilmu itu dengan mengadakan seminar, diskusi, penerbitan dan penempatan sarjana di universiti yang memihak kepada mereka untuk memastikan para pelajar universiti tidak didedahkan kepada konsep ilmu yang benar dan dapat memahami dengan mendalam perkembangan persuratan Melayu sebagai warisan ilmu yang telah melahirkan cendekiawan dan ulama terkenal. Walau bagaimana pun kita harus mengakui satu perkembangan yang positif telah muncul di Dewan Bahasa dan Pustaka apabila persoalan ilmu ini mula diberi perhatian oleh Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru, dengan mendekati pemikiran Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, diperkenalkan kepada para pegawai di pusat perkembangan bahasa dan kesusasteraan itu. Perkembangan positif ini mewajarkan diadakan satu perbincangan mendalam tentang konsep ilmu dalam persuratan Melayu dan kesusasteraan Melayu moden. Inilah peluang untuk mempertahankan kewajaran kewujudan para sasterawan negara, untuk membuktikan bahawa mereka adalah kumpulan yang menjadi benteng dalam perkembangan ilmu yang benar, yang kedudukannya lebih mulia daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang telah membina kebudayaan Melayu. Tetapi mengapakah golongan yang berjasa ini tidak diperkenalkan dalam sistem pendidikan kita? Saya maksudkan golongan ulama dan cendekiawan, bukan sasterawan negara.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22/10/2014.