Adakah
penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara Malaysia berasaskan
teori sastera yang benar? Soalan ini tidak pernah ditanyakan, kerana tidak
perlu ditanyakan. Tetapi sebaik saja Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, dalam
tahun 2005, membuat kenyataan bahawa teori sastera Barat itu tidak sesuai
digunakan untuk menilai karya Malaysia yang ditulis dalam bahasa Melayu, oleh
itu “kita telah melakukan kesalahan, termasuk saya sendiri” (kata-kata Prof.
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri; rujuk Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 14), maka
pertanyaan itu tiba-tiba menjadi pertanyaan yang amat penting dalam kritikan
sastera dan dalam kajian akademik mengenai sastera, yang memang menggunakan hanya teori Barat dalam analisis dan
penilaian mereka. Pertanyaan itu penting kerana dua sebab: Pertama, kesedaran
tentang kepalsuan penilaian menggunakan teori Barat ini diutarakan oleh seorang
anggota Panel Anugerah Sastera Negtara sendiri. Kedua, beliau adalah juga seorang
sasterawan negara yang dipilih dalam tahun 1991. (Lihat Laporan 1991 tentang beliau). Bagaimana kedudukan beliau jika
penggunaan teori Barat itu satu kesalahan, oleh itu adakah beliau telah dinilai
dengan objektif, tepat dan jitu? Pertanyaan ini menjadi lebih penting apabila
seorang sarjana sastera yang popular ketika ini, membuat satu kenyataan yang
mengundang pertikaian yang perlu diselesaikan secara objektif, dan berani. Saya
rujuk tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berjudul, “Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan” (Dewan Sastera, September 2005; dan dalam
Jurnal Pengajian Media Malaysia, jilid 7, no. 1 (2005); yang diberi Hadiah
Sastera Perdana Malaysia 2004-2005).
Tulisan ini disiarkan semula dalam blog beliau bertarikh 23/8/2009
dengan pendahuluan yang menarik. Antaranya berbunyi: “Kalau kita hendak memilih
Sasterawan Negara biarlah kita apungkan kekuatan dan keistimewaan karya mereka.
Dengan kesedaran itu, maka saya titipkan makalah kritikan saya terhadap karya
Sasterawan Negara ke-10, Dato’ Anwar Ridhwan sebagai penghargaan kepada
beliau.”
Apakah yang
perlu kita lakukan untuk mengapungkan kekuatan dan keistimewaan karya para
sasterawan negara? Dr. Saleeh Rahamad
telah melakukan ini dengan menjadikan Naratif
Ogonshoto sebagai teks pascamoden multiwacana, dalam konteks sastera rakyat
moden, yang dicirikan oleh tiga ciri utama: pascakolonialiti, tekstualisme
baru, dan realisme magis. Perhatikan semua istilah itu diambil daripada teori
sastera Barat “pascamoden” yang dicirikan oleh, antara lain yang sangat penting
diberi perhatian, ialah tiadanya makna yang tunggal dan kebenaran yang mutlak.
Semua teks pascamodena boleh “ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran”. Kalau anda
memakai istilah yang menjadi inti dekonstruksi, makna tidak wujud, yang wujud
hanya tafsiran. Tetapi Umberto Eco
mengingatkan kita adanya kecenderungan untuk melakukan “overinterpretation”
(dalam bukunya Interpretation and
Overinterpretation, (Cambridge University Press, 1992). Pandangan Eco
dibahaskan oleh beberapa orang sarjana, termasuk Jonathan Culler. Saya tertarik dengan Jonathan Culler (yang
amat dikenali di Malaysia) dalam makalahnya dalam buku itu, yang membuat
penegasan begini: “Interpretation itself
needs no defence; it is with us always, but like most intellectual activities,
interpretation is interesting only when it is extreme. Moderate interpretation,
which articulates a consensus, though it may have value in some circumstances,
is of little interest. A good statement of this view comes from G. K. Chesterton, who observes, ‘Either criticism is no
good at all (a thoroughly defensible proposition) or else criticism means
saying about an author those very things that would have made him jump out of
his boots’” (hal. 110). Di sini Culler memberi takrif “extreme interpretation” dalam
kata-kata G. K. Chesterton, “saying about an author those very things that
would have made him jump out of his boots.” Di Malaysia kedua-duanya tidak
mungkin terjadi, kerana para sasterawan Malaysia pada umumnya “oversensitive”,
oleh itu mereka “over rated” dan perlukan pujian melambung yang berterusan
untuk menyenangkan hati mereka dan para penyokong mereka. Dan inilah yang
membuat kritikan sastera di Malaysia meloyakan, kerana terlalu tepu dengan
pujian yang berlebihan yang tidak ada dan tidak terserlah di dalam teks, tetapi
pujian melambung itu menyerlahkan kehebatan budaya pandirisme di kalangan sarjana dan para sasterawan sendiri. Inilah
yang membuat mereka tidak mahu mendengar pendapat yang berbeza yang mereka
anggap merendahkan taraf mereka sebagai penulis atau sarjana, padahal itulah
kedudukan mereka yang sebenarnya.
Kembali kepada
makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, kita lihat keseronokannya yang luar biasa memuji Naratif
Ogonshoto sebagai sebuah karya pascamoden, walaupun novel itu mengambil pengalaman cerita rakyat (yang sudah
mati) diberi wajah baru sebagai tekstualisme baru yang memakai baju hitam
(biasanya pakaian ahli sihir) realisme magis. Istilah pascamoden memberi makna yang tinggi kepada para sasterawan
kerana istilah itu dikaitkan dengan sesuatu yang bermutu, yang bernilai tinggi,
walaupun karya pascamoden tidak
mementingkan makna, hanya tafsiran. Memang karya pascamoden itu diakui tidak
menerima apa juga bentuk kebenaran mutlak, yang akan membataskan tafsiran itu
kepada satu jenis tafsiran sahaja. Dengan kata yang mudah, makna bukan
matlamat, kerana konsep makna itu sendiri membataskan kemampuan intelektual dan
keluasan pemikiran sasterawan yang akan membuatnya tidak bertaraf
antarabangsa, dan mencapai taraf
antarabangsa itu merupakan suatu kejayaan yang ingin dicapai oleh para
sasterawan. Apakah maksudnya dalam konteks kehidupan beragama? Maksudnya jelas: kebenaran bukanlah matlamat,
oleh itu makna hanya sejenis permainan dalam tafsiran yang bersifat
multiwacana (seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam
makalahnya). Jika anda biasa dengan gaya
pemikiran zaman Jahiliah zaman permulaan munculnya Islam, maka anda akan dengan
mudah dapat melihat intipati faham Jahiliah
itu dicerminkan dalam karya sastera moden seluruh dunia, termasuk yang
tertulis di Malaysia. Anda tidak perlu pergi jauh untuk mendapat buktinya, anda
hanya perlu membaca Laporan Panel Anugerah Sastera Negara untuk melihat
bagaimana idea Jahiliah moden itu diberi kedudukan istimewa dengan memberi pujian
tinggi kepada aspek perzinaan, keruntuhan moral, kejahatan manusia secara umum,
yang menjadi tema agung dalam sastera Melayu. Novel (?) Naratif Ogonshoto juga berada dalam kategori itu, jika benarlah
pencirian yang diberikan oleh Dr. Mohamad Salleh Rahamad itu memang terdapat di
dalam novel itu. Oleh kerana tidak mementingkan makna, maka yang diutamakan
ialah hanya cerita yang mesti dibumbui dengan unsur erotik, unsur-unsur sensasi,
dan segala macam usaha untuk menunjukkan adanya kelainan dengan menonjolkan apa
yang disebut aspek eskperimen. Semua ini adalah buih-buih kreatif yang tidak
bermakna. Jika betullah konsep wacana itu penting dalam karya Anwar Ridhwan
ini, maka aspek makna itu perlu ditegaskan dalam konteks yang bagaimana makna
itu dikonsepsi oleh pengarang dan apakah matlamatnya. Kalau anda seorang Islam,
matlamatnya ialah anda ingin masuk syurga, oleh itu semua usaha anda tertumpu
untuk mencapai matlamat itu. Adakah Naratif
Ogonshoto menuju ke arah itu? Sebagai sebuah karya pasacamoden, seperti
yang ditegaskan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, sudah jelas bukan itu
matlamatnya. Jika matlamat tidak ada kaitan dengan kekuatan dan keistimewaan
karya para sasterawan negara ini, maka di manakah mereka mendapat dan
meletakkan kekuatan dan keistimewaan itu? Kata Dr. Mohamad Saleeh Rahamad,
kekuatan dan keistimewaan itu mesti diapungkan.
Tepat sekali pencirian yang diberikan oleh sarjana ini, kerana memang
itulah sifat buih yang mesti terapung di permukaan laut, dan kelihatan mengagumkan,
padahal tidak berisi. Yang berisi, tegas al-Quran, ialah logam murni yang
berada di bawah. Apakah logam murni itu di dalam Naratif Ogonshoto? Tidak seorang pun penulis kertas kerja seminar
pemikiran Anwar Ridhwan ini memberikan contohnya. Mereka memberi pujian berbuih
untuk hanya mengangkat buih? Sebagai pemuja teori sastera Barat, anda harus
baca kembali sindiran tajam G. K. Chesterton tadi. Di situlah anda akan faham mengapa karya para
sasterawan negara ini hanya buih-buih terapung, sedikit sekali yang berada di
dasar laut sebagai logam murni yang dihargai tinggi itu. Jika anda salah baca
kenyataan ini, tandanya anda tidak sedar saya menggunaklan alusi daripada
al-Quran; atau anda sendiri memang terpesona dengan buih terapung yang
berlenggang-lenggok diayun ombak di lautan. Yang kedua inilah yang kini menjadi
pilihan anda dan teman-teman anda; oleh itu anda perlu rujuk al-Quran 13:17
untuk mengetahui maksud kenyataan ini. Aspek ini telah saya sebut dalam tulisan saya
yang lepas, jadi bukan suatu perkara baru yang dicari-cari atau diada-adakan.
Lagi pula inilah pandangan para pujangga dan pendeta kita, seperti yang
ditunjukkan oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam tulisan beliau dan
ketika memberi kata-kata sambutan dalam pengurniaan anugerah Ijazah Kehormat
Doktor Persuratan 1973 kepada Pendeta Za’ba oleh Universiti Kebangsaan Malaysia
dalam konvokesyen pertamanya. Za’ba
sendiri sering menggunakan perbandingan yang disebut di dalam al-Quran itu.
(Ucapan Prof. Syed Naquib dapat dibaca dalam Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu: Esei-esei Penghormatan
Kepada Pendita Za’ba (KKBS 1976).
Jadi jika kita perlu “apungkan kekuatan dan keistimewaan” para
sasterawan negara, janganlah yang diapungkan itu buih-buih dalam deretan
retorik peragaan yang bombastik, tetapi sebaliknya tersirat kemas dalam
analisis dan penilaian menggunakan konsep ilmu yang benar. Hanya dengan itu
saja karya mereka akan terserlah bermutu atau hanya karya palsu yang dinaikkan
tarafnya oleh penilaian yang palsu pula, yang tidak berasaskan ilmu yang benar.
Jika ini yang dibuat, maka tidaklah akan terloncat jeritan amaran yang tidak
siuman yang berlaku baru-baru ini, “sapa-sapa
nak pertikaikan keistimewaan HHTSS, langkah mayat saya dulu.” (HHTSS
ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, novel pertama Anwar Ridhwan
yang menang hadiah pertama pertandingan menulis novel. Novel ini bercerita
tentang seorang penglipur lara. Judulnya saja pun sudah salah, kerana
penglipur lara bukanlah seorang seniman. Dalam pengertiannya yang mudah sekali
pun, seniman itu merujuk kepada seseorang ahli seni yang memberi sumbangan asli
dalam bidangnya dan ada pula mutu ilmunya atau paling tidak keterampilan seni
persembahan seorang dalang wayang kulit yang juga memberi sumbangan asli
beliau, seperti yang dilakukan oleh Awang Lah dengan cerita “Nasi Dingin”nya;
bukan hanya sekadar penutur cerita lama seperti tokoh utama novel ini.)
Semua yang
disebut di sini hanya bermakna jika berasaskan konsep ilmu yang benar; ikhlas
dalam pencariannya dan ikhlas pula dalam menyebarkannya. Itulah dua syarat yang
mesti ada supaya yang dicari dan disebarkan bukannya hanya buih-buih kosong
yang kelihatan hebat, tetapi tidak berisi. Inilah yang terjadi kepada Pak
Pandir, yang melihat padi hampa dan terus kagum lalu mengambilnya. Inilah
kemudiannya yang melahirkan pandirisme,
tetapi diberi istilah yang hebat untuk menutup kekosongan isi dan maknanya. Dari
semangat berkobar pandirisme inilah
terloncat kata-kata untuk mati katak mempertahankan kepalsuan. Inikah wajah
sebenar sastera Melayu moden?
Mohd. Affandi
Hassan,
27/7/2013